Tafsir Surah an-Nur Ayat 5 – 10 (Hukum Li’an)

Ayat 5: Di dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang hukuman kepada mereka yang menuduh perempuan baik telah berzina. Iaitu kalau tidak dibawakan 4 orang saksi, maka orang yang menuduh itu yang akan dikenakan rotan. Dan kemudian dari itu, mereka tidak lagi boleh menjadi saksi dan mereka dikira sebagai fasik.

Ayat ini pula adalah pengecualian kepada hukuman berat dari Allah ‎ﷻ itu. Iaitu, mereka yang telah melakukan kesalahan itu kenalah bertaubat.

إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن بَعدِ ذٰلِكَ وَأَصلَحوا فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for those who repent thereafter and reform, for indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن بَعدِ ذٰلِكَ

kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu

Hukuman teruk dijanjikan kepada pelaku qazaf (yang membuat tuduhan) kecuali jikalau mereka telah bertaubat. Ini memberitahu kepada kita bahawa Allah  ‎ﷻ itu Maha Pengampun dan masih lagi boleh menerima taubat hambaNya yang telah berdosa asalkan mereka ikhlas dalam taubat mereka itu.

Maka kalau sudah membuat kesalahan, maka hendaklah ambil peluang ini untuk bertaubat kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَأَصلَحوا

dan memperbaiki

Bukan sahaja mereka mesti bertaubat tetapi mereka mestilah menunjukkan yang mereka telah mencuba untuk melakukan pembaikan. Mereka hendaklah merubah perangai dan menarik balik tuduhan mereka itu. Mereka kenalah meminta maaf dari orang yang mereka telah tuduh itu.

Maka kalau mereka telah melakukannya, maka bolehlah mereka diterima kembali ke dalam masyarakat.

 

فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ‎ﷻ sanggup menerima taubat hambaNya. Kenapakah Allah ‎ﷻ sanggup? Kerana Allah ‎ﷻ Maha Penyayang. Allah ‎ﷻ kasihkan hambaNya dan kalau mereka sanggup bertaubat, maka Allah ‎ﷻ sanggup untuk menerimanya.

Ulama berselisih pendapat tentang apakah yang dimaafkan dari orang itu? Kerana sebelum ini telah disebut, terdapat tiga (3) kesan dari qazf:

  • Pertama, dikenakan hukuman sebat sebanyak lapan puluh (80) kali.
  • Kedua, kesaksiannya tidak dapat diterima buat selama-lamanya.
  • Ketiga, dicap sebagai orang fasik dan bukan orang adil.

Maka manakah yang diselamatkan? Adakah ketiga-tiganya sekali atau sebahagiannya sahaja? Ulama berselisih tentang perkara ini:

  1. Imam Malik رحم الله, Imam Ahmad رحم الله, dan Imam Syafie رحم الله berpendapat bahawa jika orang yang bersangkutan telah bertaubat, maka kesaksiannya dapat diterima kembali dan terhapuslah sifat fasik dari dirinya. Maknanya, dua perkara diterima tetapi hukuman hadd tetap dijalankan.
  2. Imam Abu Hanifah رحم الله mengatakan, sesungguhnya yang dimaafkan hanyalah jumlah yang terakhir sahaja (sifat fasik itu). Kerana itu, menurutnya terhapuslah kedudukan fasik bila yang bersangkutan bertaubat (setelah menjalani hukuman hadd), sedangkan kesaksiannya tetap ditolak untuk selamanya. Orang yang berpendapat demikian dari kalangan ulama Salaf ialah Qadi Syuraih, Ibrahim An-Nakha’i, Sa’id ibnu Jubair, Mak-hul, dan Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Jabir رضي الله عنهم.
  3. Asy-Sya’bi رضي الله عنه dan Ad-Dahhak رضي الله عنه mengatakan bahawa kesaksiannya tetap tidak dapat diterima, sekalipun telah bertaubat, kecuali jika dia mengakui bahawa tuduhan yang dilancarkannya dahulu adalah bohong semata, maka barulah dapat diterima kesaksiannya (di masa mendatang). Hukuman hadd tetap dijalankan.

Maknanya, hukuman hadd tetap dijalankan dalam apa keadaan pun. Dia tetap akan dikenakan dengan sebatan sebanyak 80 kali.


 

Ayat 6: Ini adalah hukum yang keempat iaitu apabila suami isteri duduk sesama sendiri dan tidak ada saksi untuk perbuatan zina. Ini dipanggil hukum li’an.

وَالَّذينَ يَرمونَ أَزوٰجَهُم وَلَم يَكُن لَّهُم شُهَداءُ إِلّا أَنفُسُهُم فَشَهٰدَةُ أَحَدِهِم أَربَعُ شَهٰدٰتٍ بِاللهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who accuse their wives [of adultery] and have no witnesses except themselves – then the witness of one of them¹ [shall be] four testimonies [swearing] by Allāh that indeed, he is of the truthful.

  • The husbands who have been betrayed.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.

 

وَالَّذينَ يَرمونَ أَزوٰجَهُم

Dan orang-orang yang menuduh isterinya

Ini adalah hukum berkenaan seorang suami yang menuduh isterinya telah berzina. Sama ada dia nampak isterinya telah berzina atau dia syak isterinya itu telah berzina. Ini kerana mungkin anak yang keluar dari isterinya itu tidak menyerupai dirinya dan dia syak dengan kuat yang itu bukanlah anaknya.

Islam juga ada penyelesaian untuk masalah ini. Ini adalah situasi berlainan dengan ayat-ayat sebelum ini kerana kalau mengikut hukum qazf sebelum ini, penuduh qazf akan dikenakan dengan sebatan sebanyak 80 kali kalau tidak dapat dibawakan empat (4) orang saksi.

 

وَلَم يَكُن لَّهُم شُهَداءُ إِلّا أَنفُسُهُم

padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri,

Suami selalunya tidak dapat membawa empat (4) orang saksi yang nampak isterinya berzina. Ini memang susah untuk dilakukan kerana perkara itu selalunya terjadi di dalam rumahnya sendiri dan tidak ada saksi. Mungkin isterinya itu melakukan kesalahan itu di rumah dan hanya dia sahaja yang tahu kerana terserempak. Mungkin dia balik rumah awal dari yang sepatutnya dan dia terserempak isterinya itu sedang melakukan perbuatan terkutuk itu.

Jadi dalam keadaan ini, apa yang dia perlu lakukan? Kalau tidak ada jalan penyelesaian, maka susahlah suami itu. Apakah alternatif baginya?

  • Kalau dia marah sangat dan bunuh lelaki itu, dia pula akan dikenakan hukum bunuh.
  • Kalau dia keluar untuk mencari empat (4) orang saksi, sudah tentu lelaki dan isterinya itu akan melarikan diri dan tidak dapat untuk membuat persaksian pula.
  • Kalau dia membiarkannya sahaja, berapa lama dia mampu bertahan? Sanggupkah dia masih lagi beristerikan wanita itu sedangkan dia tahu yang isterinya itu telah berlaku curang terhadapnya? Kalau yang berzina itu orang lain, bolehlah dia diamkan sahaja kerana tidak kena mengena dengan dirinya. Tetapi bagaimana pula kalau dia tahu yang berzina itu adalah isterinya sendiri?
  • Kalau dia ceraikan sahaja isterinya tanpa menyebut sebab dia menceraikannya, maka perbuatan terkutuk itu akan terlepas begitu sahaja tanpa hukuman.
  • Kalau dia membiarkan juga dan isterinya mengandung anak zina itu, dia sebagai suami kena menanggung anak orang lain pula.

Maka suami itu tidak mempunyai cara untuk menyelesaikan masalah ini dan kerana itu Allah ‎ﷻ telah memberikan jalan keluarnya dalam ayat ini.

 

فَشَهٰدَةُ أَحَدِهِم أَربَعُ شَهٰدٰتٍ بِاللهِ

maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah,

Jalan keluar bagi suami yang sebegini adalah dengan bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ sebanyak empat (4) kali. Ini adalah ganti kepada empat (4) orang saksi yang sepatutnya ada di dalam tuduhan zina.

Kalau si suami tidak bersumpah, maka dia boleh dikenakan dengan hukuman qazf kerana menuduh isterinya sendiri. Maka dia telah terselamat kalau dia bersumpah.

 

إِنَّهُ لَمِنَ الصّٰدِقينَ

sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.

Dia mesti bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ sambil mengatakan yang percakapannya itu adalah benar, memang isterinya telah berzina. Dia mesti menyebutkan bahawa dia sendiri nampak yang isterinya telah berzina.

Di dunia sesiapa sahaja boleh berkata-kata dan ada kemungkinan mereka menipu. Tetapi mereka kena ingat bahawa di akhirat kelak balasan menipu ini adalah amat berat kerana pertuduhan zina terhadap orang lain.


 

Ayat 7:

وَالخٰمِسَةُ أَنَّ لَعنَتَ اللهِ عَلَيهِ إِن كانَ مِنَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the fifth [oath will be] that the curse of Allāh be upon him if he should be among the liars.

(MELAYU)

Dan (sumpah) yang kelima: bahawa laknat Allah ke atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.

 

Dan dia kenalah menambah dengan persaksian yang kelima, iaitu dia dengan berkata: biarlah laknat Allah ‎ﷻ ke atas dirinya jikalau dia telah menipu. Maka ini bukanlah perkara main-main kerana kalau dia menipu, dia memang akan dilaknat oleh Allah ‎ﷻ. Inilah kenapa nama perbuatan ini dinamakan li’an kerana terdapat ‘laknat’ di dalamnya.

Sebutan ini hendaklah dilakukan di khalayak ramai. Biar semua orang nampak. Atau boleh juga dilakukan di hadapan hakim iaitu di mahkamah.

Apabila dia telah melakukan perkara ini, maka dia telah terselamat daripada dikenakan hukuman qazf kerana dia telah bersumpah. Kalau orang lain yang menuduh begitu tanpa dibawakan saksi, maka mereka boleh dikenakan dengan hukum qazf iaitu 80 kali sebatan.

Kesan dari perkara ini: Jika si suami telah menyatakan sumpah li’an-nya itu, maka isteri yang dituduhnya berbuat zina itu secara automatik tercerai darinya secara ba’in (tidak boleh rujuk lagi). Ini adalah pendapat menurut Imam Syafie رحم الله dan sejumlah banyak orang dari kalangan ulama.

Kemudian haram baginya untuk selama-lamanya mengahwini bekas isterinya itu. Kalau isterinya itu berkahwin dengan orang lain dan bercerai pun, dia tetap tidak dapat menikahi bekas isterinya itu lagi. Dan semasa bercerai, si suami hendaklah melunasi mahar isterinya.

Akhir sekali, bekas isterinya itu akan dikenakan dengan hukuman zina (rejam sampai mati). Ini adalah kerana isterinya itu telah tsabit melakukan zina dan hukuman bagi penzina muhsan adalah rejam sampai mati. Iaitu kalau bekas isterinya itu tidak bertindak mempertahankan dirinya.


 

Ayat 8: Ini adalah jawapan balas dari isteri itu kalau dia hendak menolak tuduhan suaminya itu. Maknanya, dia hendak mempertahankan dirinya.

وَيَدرَأُ عَنهَا العَذابَ أَن تَشهَدَ أَربَعَ شَهٰدٰتٍ بِاللهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But it will prevent punishment from her if she gives four testimonies [swearing] by Allāh that indeed, he is of the liars.

(MELAYU)

Isterinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta.

وَيَدرَأُ عَنهَا العَذابَ أَن تَشهَدَ أَربَعَ شَهٰدٰتٍ بِاللهِ

Isterinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah 

Kalau bekas isteri itu tidak mempertahankan dirinya, maka dia akan dikenakan dengan hukuman rejam sampai mati. Ada jalan keluar bagi isteri yang dituduh itu iaitu dengan bersumpah di atas nama Allah ‎ﷻ sebanyak empat (4) kali juga dengan mengatakan yang suaminya itu adalah pembohong. Maknanya, tidaklah benar apa yang dikatakan oleh suaminya itu.

Jikalau dia tidak bersumpah, maka itu bermaksud yang suaminya itu benar dan dia boleh dikenakan dengan hukum rejam sampai mati kerana dia telah dianggap telah berzina.

Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan, kalau wanita itu enggan untuk bersumpah menolak tuduhan suaminya itu, tidaklah dia dikenakan dengan hukuman rejam. Kerana hukuman rejam sampai mati itu hanyalah kalau dia mengaku telah berzina, atau ada empat (4) orang saksi. Jadi hukuman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hukum ta’zir yang ditentukan oleh mahkamah. Allahu a’lam.

 

إِنَّهُ لَمِنَ الكٰذِبينَ

sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta.

Bekas isteri itu kenalah berkata lebih kurang begini: “Sesungguhnya suami saya telah berdusta di dalam tuduhan zina terhadap saya. Saya tidak berzina.”


 

Ayat 9:

وَالخٰمِسَةَ أَنَّ غَضَبَ اللهِ عَلَيها إِن كانَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the fifth [oath will be] that the wrath of Allāh be upon her if he was of the truthful.

(MELAYU)

dan (sumpah) yang kelima: bahawa murka Allah ke atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.

 

Dan sumpah yang kelima, isteri itu juga mesti mengatakan biarlah murka Allah ‎ﷻ ke atas dirinya jikalau suaminya itu adalah orang yang telah berkata benar.

Jikalau isterinya telah bersumpah begitu maka hukuman rejam tidak dapat dijalankan terhadap isteri itu. Atau hukuman ta’zir tidak dapat dijalankan ke atas dirinya. Mereka tetap bercerai seperti yang telah disebut sebelum ini.

Dalam kes ini maka biarkanlah mereka dengan tidak dikenakan sebarang hukuman dan biarlah Allah ‎ﷻ sahaja yang menentukan siapakah di antara mereka berdua itu yang berkata benar atau telah menipu. Mereka tetap telah bercerai tetapi isteri itu tidak dikenakan dengan hukuman.

Tapi kenalah ingat, kalau menipu di dunia, maka mereka tidak akan selamat di akhirat kelak. Jadi bukanlah Islam ini hendak menghukum manusia di dunia kerana kadang-kadang hukuman itu hanya boleh dilakukan di akhirat oleh Allah ‎ﷻ sahaja.

Kita kenalah sedar bahawa kehidupan kita bukan hanya di dunia sahaja dan ada kehidupan yang lebih kekal abadi iaitu di akhirat kelak. Kalau mereka sanggup menipu di dunia, maka mereka akan dikenakan balasan yang bersesuaian di akhirat kelak. Dan balasan di akhirat itu tentunya lebih teruk lagi.


 

Ayat 10:

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ وَأَنَّ اللهَ تَوّابٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if not for the favor of Allāh upon you and His mercy…¹ and because Allāh is Accepting of repentance and Wise.

  • The phrase omitted is estimated to be “…you would have surely been punished, destroyed or scandalized,” or “…you would have suffered many difficult situations.”

(MELAYU)

Dan andaikata tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya ke atas dirimu dan (andaikata) Allah bukan Penerima Taubat lagi Maha Bijaksana, (nescaya kamu akan mengalami kesulitan-kesulitan).

 

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ

Dan andaikata tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya ke atas dirimu

Potongan ayat ini tidak penuh dan tergantung ayatnya. Maka kalau kita sambungkan sepenuhnya: “Kerana jikalau tidak ada kurnia dan rahmatNya ke atasmu, maka tentunya perkara buruk akan terjadi.”

Tidak disebut perkara itu kerana ia amat buruk sampaikan tidak patut dinyatakan. Maka hukuman yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan kepada kita ini adalah rahmat kepada kita sebenarnya. Ia adalah untuk mengatur kehidupan kita supaya menjadi lebih baik. Ini adalah kerana manusia tidak akan terkawal jika bebas tanpa undang-undang.

Kehidupan manusia akan rosak binasa tanpa kawalan undang-undang Allah ‎ﷻ. Maka undang-undang Allah ‎ﷻ adalah kebaikan dan rahmat untuk kita. Ia adalah kurniaan yang amat besar. Maka haruslah kita belajar dan taat kepadanya.

Atau, perkara buruk yang dimaksudkan adalah: Allah ‎ﷻ menyelamatkan suami dari dikenakan hukum qazf kerana menuduh isterinya telah berzina. Kalau tidak ada hukum Li’an ini, tentu suami itu telah dikenakan hukuman sebat. Dan tentu dia susah untuk mendapatkan pengadilan kalau tidak ada hukum ini.

Atau, dia tidak ada jalan untuk memuaskan hatinya dengan perbuatan isterinya dan dia mungkin mengambil jalan yang keras seperti memukul atau membunuh isterinya dan lelaki yang berzina dengan isterinya itu.

 

وَأَنَّ اللهَ تَوّابٌ حَكيمٌ

Dan sesungguhnya Allah adalah Penerima Taubat lagi Maha Bijaksana, 

Kalau telah membuat kesalahan, Allah ‎ﷻ masih sanggup untuk menerima taubat hambaNya.

Dan Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana untuk mengatur kehidupan manusia. Undang-undang yang diberikan ini datangnya dari Allah ‎ﷻ yang menjadikan kita, maka Dia Maha Mengetahui apa yang baik buat kita. Maka jangan kita persoalkan hukum yang Allah ‎ﷻ berikan ini. Jangan kita sangka yang kita lebih pandai dari Allah ‎ﷻ pula.

Habis Ruku’ 1 dari 9 ruku’ di dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah an-Nur Ayat 5 – 10 (Hukum Li’an)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s