Ayat 3: Ini adalah hukum yang kedua. Orang yang baik-baik jangan bercampur gaul dengan orang yang buruk. Mereka yang bersifat buruk, selalunya akan mencari kawan yang sepertinya juga.
الزّاني لا يَنكِحُ إِلّا زانِيَةً أَو مُشرِكَةً وَالزّانِيَةُ لا يَنكِحُها إِلّا زانٍ أَو مُشرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى المُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The fornicator does not marry except a [female] fornicator or polytheist, and none marries her except a fornicator¹ or a polytheist, and that [i.e., marriage to such persons] has been made unlawful to the believers.
- Included in this ruling is the adulterer as well. Such persons cannot be married to believers unless they have repented and reformed.
(MELAYU)
Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.
الزّاني لا يَنكِحُ إِلّا زانِيَةً
Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina,
Ini bukanlah merupakan ayat arahan pula, maka jangan salah faham. Bukanlah seseorang yang telah berzina hanya boleh berkahwin dengan orang yang berzina sahaja. Banyak juga yang salah faham dengan maksud ayat ini. Tidaklah ayat ini hendak memberitahu: kalau penzina mesti mencari penzina sahaja baru dia boleh berkahwin.
Ada pula yang berkata: “Kalau sudah seorang penzina, memang akan berkahwin dengan penzina juga.” Ini pun fahaman yang tidak benar. Bukan begitu maksudnya.
Maksud ayat ini adalah: mereka yang bersifat kotor adalah untuk orang yang kotor juga. Dan kerana itu kebiasaannya, orang yang berzina dari kalangan lelaki akan berkahwin dengan perempuan yang melakukan zina juga. Mereka akan mencari orang yang sama sifat dengan mereka juga kerana senang untuk mereka meneruskan sifat buruk mereka itu.
Mereka akan cari orang yang sama perangai dengan mereka. Begitulah yang Allah ﷻ akan jadikan. Keinginan dan sifat mereka sama sahaja. Mereka senang klik.
أَو مُشرِكَةً
atau perempuan yang musyrik;
Dan satu lagi kebarangkalian: lelaki penzina akan berkahwin dengan perempuan yang mengamalkan syirik. Ini adalah kerana seorang lelaki yang tidak menjaga agamanya dan tidak peduli kepada hukum-hakam agama, akan sudah tidak kisah dengan siapa yang dikahwininya lagi. Kalau berkahwin dengan wanita yang mengamalkan amalan syirik pun mereka tidak kisah.
Kalau undang-undang perkahwinan pun dia sanggup langgar, apatah lagi perkara lain. Ini sudah tentu termasuk perkara tauhid.
Satu lagi, ayat ini hendak memberitahu dengan kata lain, tiada seorang wanita pun yang mahu melayani hawa nafsu zina lelaki penzina melainkan hanyalah wanita penzina lagi derhaka atau wanita musyrik yang tidak menganggap perbuatan zina itu haram.
Maksud ini diambil dari Sufyan As-Sauri yang mengatakan dari Habib ibnu Abu Amrah, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas رضي الله عنهم sehubungan dengan makna firman-Nya: Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina atau perempuan yang musyrik. (An-Nur: 3) Bahawa yang dimaksudkan dengan ‘nikah’ dalam ayat ini bukanlah ‘kahwin’, melainkan ‘bersetubuh’.
Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa tiada seorang pun yang berzina dengan perempuan penzina melainkan hanyalah lelaki penzina atau lelaki musyrik sahaja. Sanad riwayat ini sahih sampai kepada Ibnu Abbas رضي الله عنه.
Telah diriwayatkan pula dari Ibnu Abbas رضي الله عنه melalui berbagai jalur sehubungan dengan masalah ini. Hal yang semisal telah diriwayatkan dari Mujahid, Ikrimah, Sa’id ibnu Jubair, Urwah ibnuz Zubair, Ad-Dahhak, Makhul, Muqatil ibnu Hayyan, رضي الله عنهم dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang.
Allah ﷻ telah memberikan ancaman ini kerana institusi perkahwinan adalah satu institusi yang amat besar dan penting di dalam Islam. Maka kenalah dijaga institusi ini. Tidak mungkin kita mahu berkahwin dengan penzina atau orang musyrik pula, bukan? Kalau tidak mahu, maka kita sendiri janganlah menjadi penzina.
Disebut ‘orang musyrik’ di dalam ayat ini kerana orang yang bersifat musyrik itu tidak cukup dengan satu Tuhan sahaja tetapi mereka masih hendak mencari dan puja ilah yang lain. Maka begitu juga dengan orang yang berzina: iaitu mereka tidak cukup dengan satu pasangan sahaja tetapi mereka hendakkan kepada pasangan yang lain. Jadi terdapat persamaan di antara mereka.
وَالزّانِيَةُ لا يَنكِحُها إِلّا زانٍ أَو مُشرِكٌ
dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik,
Dan begitu juga kepada wanita yang melakukan zina. Mereka juga akan selalunya berkahwin dengan penzina juga.
Atau mereka juga akan bertemu dengan lelaki yang mengamalkan amalan musyrik juga. Penjelasannya seperti di atas tadi.
وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى المُؤمِنينَ
dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.
Dan perkara ini dilarang di dalam Islam. Islam tidak membenarkan perkahwinan dengan penzina dan musyrik. Maksudnya, diharamkan ke atas mereka melakukan perbuatan tersebut dan mengahwini pelacur-pelacur, atau mengahwinkan wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya dengan lelaki yang lacur.
Maknanya, seorang wali tidak sepatutnya membenarkan anaknya mengahwini orang yang diketahui sebagai seorang penzina. Ini tidak patut berlaku di dalam masyarakat yang normal. Kalau ada yang melakukannya juga, maka ini mungkin terdapat masalah dengan otak mereka! Maka kenalah elakkan perkara ini melainkan kalau orang itu sudah bertaubat.
Berangkat dari pengertian ini, Imam Ahmad ibnu Hambal رحم الله berpendapat bahawa tidak sah akad nikah seorang lelaki yang memelihara dirinya dari perbuatan zina terhadap wanita pelacur, selagi wanita yang bersangkutan masih tetap sebagai pelacur, terkecuali bila dia telah bertaubat.
Jika wanita yang bersangkutan telah bertaubat, maka akad nikah terhadapnya dari laki-laki yang memelihara diri hukumnya sah; dan jika masih belum bertaubat, akad nikahnya tetap tidak sah.
Demikian pula halnya sebaliknya, iaitu mengahwinkan wanita yang terpelihara kehormatan dirinya dengan seorang lelaki yang suka melacur atau penzina, sebelum lelaki itu bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya, kerana berdasarkan firman Allah ﷻ yang mengatakan: dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin. (An-Nur: 3).
Tapi pendapat Imam Ahmad رحم الله ini dikritik kerana perkara haram tidaklah menjadikan sesuatu itu tidak sah. Ya, memang mengahwinkan anak perempuan dengan penzina itu adalah haram, tetapi tidaklah menjadikan pernikahan itu tidak sah pula. Jadi ‘haram’ bagi perkahwinan dengan orang yang penzina adalah berdosa, walaupun perkahwinan itu sah.
Maka jikalau kita telah tahu bahawa seseorang lelaki ataupun wanita itu memang kaki zina, maka kita tidak dibenarkan untuk berkahwin dengan mereka. Tetapi kenalah ada bukti yang kukuh untuk mengatakan mereka itu penzina.
Maknanya orang yang mukmin ditegah untuk berkahwin dengan orang yang suka berzina.
Satu lagi maksud, ia adalah larangan untuk berzina. Ini kerana,
Abu Daud At-Tayalisi mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qais, dari Abu Husain, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas رضي الله عنهم sehubungan dengan makna firman-Nya: dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin. (An-Nur: 3) Yakni Allah ﷻ mengharamkan perbuatan zina ke atas orang-orang mukmin.
Dan bagi perkahwinan dengan orang musyrik, ‘haram’ yang dimaksudkan pula adalah ‘tidak sah’. Ini adalah kerana kalimah ‘haram’ membawa dua maksud: sama ada tidak sah atau berdosa.
Ayat 4: Ini adalah hukum yang ketiga. Ini dinamakan Hukum Qozaf. Orang yang baik jangan dituduh dengan sewenang-wenangnya. Islam amat menjaga perkara ini dan meletakkan hukuman kalau ada yang menuduh tanpa saksi.
Ini adalah ayat yang penting dalam surah ini. Akan disebut dengan panjang lebar dalam ayat-ayat seterusnya nanti.
وَالَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ ثُمَّ لَم يَأتوا بِأَربَعَةِ شُهَداءَ فَاجلِدوهُم ثَمٰنينَ جَلدَةً وَلا تَقبَلوا لَهُم شَهٰدَةً أَبَدًا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who accuse chaste women and then do not produce four witnesses – lash them with eighty lashes and do not accept from them testimony ever after. And those are the defiantly disobedient,
(MELAYU)
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.
وَالَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik
Kalimah المُحصَنٰتِ dari katadasar ح ص ن yang bermaksud ‘sesuatu yang diletakkan di dalam kubu’. Maksudnya terpelihara sungguh sesuatu itu kalau begitu. Ia digunakan sebagai istilah untuk ‘perempuan yang baik-baik’ kerana mereka itu terpelihara di dalam rumah mereka yang diibaratkan sebagai kubu.
Mereka itu sentiasa menjaga maruah dan kemaluan mereka. Mereka ini ialah wanita merdeka yang sudah baligh dan memelihara kehormatan diri mereka. Jadi, hukum ini hanya untuk wanita yang baik-baik sahaja yang dituduh. Walau bagaimanapun jika wanita itu sendiri yang mempunyai masalah moral, maka hukum ini tidak lagi terpakai.
Kalimah المُحصَنٰتِ ini dari kalimah احصان dan dalam hukum syarak, kalimah احصان ini ada dua:
- Merujuk kepada wanita atau lelaki yang telah bernikah dan mereka telah merasai jimak yang halal.
- Merujuk kepada wanita atau lelaki yang baik-baik. Kalau mereka ini dituduh melakukan zina, maka hukuman qazf boleh dikenakan kepada penuduh.
Kalimah يَرمونَ pula diambil dari kalimah ر م ي yang bermaksud ‘membaling kepada sesuatu’ seperti membaling batu kepada seseorang. Digunakan dalam ayat ini sebagai merujuk kepada perbuatan ‘menuduh seseorang’.
Dan tuduhan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah menuduh perempuan yang baik-baik telah melakukan zina. Ini dilarang dan ini adalah perbuatan yang amat teruk dan keji. Jadi perbuatan menuduh perempuan yang baik telah melakukan zina adalah satu perbuatan yang besar seolah-olah berperang. Allah ﷻ menegur dengan keras perbuatan itu dalam ayat ini.
Ulama bersetuju bahawa walaupun kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah المُحصَنٰتِ yang merujuk kepada perempuan, tetapi kalau lelaki pun dituduh, hukum yang sama juga digunakan.
Dan walaupun kalimah penuduh itu dalam bentuk lelaki (وَالَّذينَ يَرمونَ), tetapi kalau penuduh itu wanita, maka hukuman yang sama akan dikenakan kepada mereka.
Hukuman qazf ini adalah hak mereka yang dituduh. Oleh itu hukuman akan dijalankan kalau orang yang dituduh itu mahu melaksanakannya. Maka dia boleh sahaja memaafkan orang yang menuduhnya itu. Ini berlainan dengan hukuman zina kerana ia adalah hak Allah ﷻ. Tidak ada sesiapa yang boleh memaafkan mereka yang telah ditangkap berzina. Maka ia akan tetap dijalankan juga.
ثُمَّ لَم يَأتوا بِأَربَعَةِ شُهَداءَ
dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi,
Menuduh seseorang telah melakukan zina, secara dasarnya tidaklah dilarang tetapi mestilah dibawakan saksi dan bukti. Jangan hanya sesuka hati menuduh sahaja tetapi gagal membawakan bukti dan saksi. Manusia dilarang untuk menuduh perempuan yang nampak baik dengan tuduhan berzina melainkan jikalau mereka dapat membawa empat orang saksi yang menyaksikan perkara zina itu berlaku.
Dan tentulah ini adalah perkara yang agak luar biasa. Kalau terjadi, maka ia sudah menunjukkan yang masyarakat itu sudah teruk sampaikan empat orang boleh melihat kejadian zina itu pada satu masa. Jadi, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dari mula lagi. Ini seolah-olah dilakukan di khalayak ramai pula, atau tidak disorok-sorok lagi. Pelakunya tidak kisah kalau orang lain tahu dan nampak. Memang tanda masyarakat sudah amat teruk kalau sudah mencapai tahap begitu.
Maka jikalau ada orang yang nampak seseorang telah berzina tetapi tidak ada saksi yang dapat mengukuhkan dakwaan itu, maka biarkan sahaja kerana mereka akan menerima nasib mereka di akhirat kelak. Dalam kes ini, tidak boleh untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana tidak mencukupi syarat.
Dan kerana itulah ramai susah untuk menerima ayat ini. Mereka seolah-olah nampak susah untuk mensabitkan seseorang telah berzina kerana syarat terlalu ketat yang Allah ﷻ letakkan. Sebenarnya kita kena faham yang Allah ﷻ ketatkan penghukuman zina ini agar tidaklah manusia menuduh orang lain dengan sewenang-wenangnya.
Bayangkan kalau mudah sahaja untuk menuduh orang berbuat zina, maka akan ada manusia jahat yang boleh mengambil kesempatan dengan menuduh orang dan menjatuhkan nama baik seseorang.
Mungkin ada yang berhujah: “Kalau macam itu, susahlah nak tuduh orang berzina sebab susah sangat syaratnya… nanti ramailah orang yang senang sahaja nak berzina”. Seolah-olah agama menggalakkan zina pula.
Maka kita jawab: Itu adalah kata-kata menggunakan akal sahaja dan bukan mengikut kehendak Allah ﷻ. Allah ﷻ telah menetapkan hukumnya maka mestilah kita mengikutinya begitu tanpa ragu-ragu lagi. Tidak mungkin kita berani untuk mengatakan yang Allah ﷻ tidak pandai membuat hukuman pula?
Kita juga mengetahui bahawa hukuman yang dikenakan ke atas penzina adalah ketat sebagaimana yang telah disebut di dalam Surah Nisa’. Maka kalau hukuman hudud sebegini dijalankan, tentu manusia tidak berani untuk membuat dosa zina lagi.
Kita kenalah ingat yang tujuan kita bukanlah untuk menghukum manusia sahaja, tetapi lebih kepada untuk menghalang manusia dari melakukan zina; dan hukuman yang ada dalam Islam amatlah ketat supaya tidaklah boleh disalahgunakan oleh manusia. Biar yang benar-benar salah sahaja dihukum.
Jangan tersilap hukum pula iaitu dengan menghukum yang tidak bersalah. Biarlah kita melepas orang yang benar-benar bersalah dari kita hukum orang yang tidak bersalah.
فَاجلِدوهُم ثَمٰنينَ جَلدَةً
maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan,
Kalau ada yang menuduh perempuan baik telah berzina, dan mereka tidak dapat mendatangkan empat orang saksi, maka hukuman kepada mereka adalah sebatan sebanyak 80 kali. Mereka yang menuduh pula yang akan dikenakan hukuman! Maka kerana itu kalau tidak ada saksi, senyaplah sahaja.
Jika yang dituduh melakukan zina itu adalah seorang lelaki yang terpelihara kehormatan dirinya, maka begitu pula ketentuan hukumnya, yakni si penuduh dikenakan hukuman dera. Tiada seorang pun dari kalangan ulama yang memperselisihkan masalah hukum ini.
Dalam sejarah pemerintahan Sayidina Umar رضي الله عنه, pernah terdapat orang yang menuduh seorang sahabat berzina. Maka itu adalah perkara berat. Tetapi kemudian ditanya adakah terdapat saksi yang lain? Mereka membawa saksi yang lain, di mana saksi kedua dan ketiga berkata memang ada penzinaan terjadi. Tetapi orang yang keempat tidak dapat memastikan sama ada kejadian zina itu berlaku atau tidak, kerana dia nampak lelaki itu dengan seorang wanita sahaja. Maka pertuduhan itu telah ditolak dan para saksi itu semuanya telah disebat.
Hukuman ini hanya akan dijalankan setelah melalui proses perbicaraan, iaitu mestilah terdapat pelapor yang benar-benar nampak kejadian itu berlaku. Kalau yang dituduh tidak melaporkan perkara itu, maka kerajaan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang qazaf terhadap penuduh. Apabila yang dituduh itu telah dikatakan sebagai penzina, maka yang menuduh mesti membawakan saksi.
Ayat ini membuka satu perbincangan yang besar di kalangan umat, tentang apakah yang kita perlu lakukan jikalau ada perbuatan buruk di kalangan masyarakat kita? Tidak mungkin kita hanya berdiam diri sahaja?
Maka kita jawab: Kebanyakan yang dilakukan oleh manusia hanyalah bercakap-cakap tentang perkara itu sahaja tetapi tidak melakukan apa-apa pun dan ini bukanlah yang diajar oleh Islam. Sebagai contoh, kalau ada jiran sebelah membawa masuk teman lelakinya ke dalam rumahnya, apa yang selalu terjadi adalah jiran tetangganya hanya akan bercakap sesama sendiri sahaja tetapi tidak pula dinasihati ataupun ditegur wanita itu.
Islam mengajar kita untuk menangani perkara ini adalah dengan menasihati mereka yang melakukan kesalahan zina itu dan menghalang mereka dari melakukan perbuatan salah itu dari awal lagi. Bukankah kita mesti menjalankan tugas kita untuk memberi nasihat? Memang kita tidak boleh menghukum mereka, tetapi kita masih boleh memberikan nasihat lagi, bukan?
Berikan nasihat dan halangnya dari terjadi. Bukannya hanya menunggu sehingga terjadinya penzinaan barulah ditangkap penzina-penzina itu. Malangnya beginilah yang seringkali berlaku di dalam masyarakat kita. Mereka bukannya ingin menghalang, tetapi lebih suka dan bergembira pula jika dapat menangkap orang berzina ‘selepas’ mereka melakukan penzinaan. Sebab itu orang kampung dan pencegah maksiat duduk tempat gelap, tunggu sudah mula berzina baru nak cekup. Ini konsep yang salah dalam otak mereka.
Maka kalau kita mempunyai kedudukan yang boleh menghalang perkara itu dari terjadi, maka kita kenalah menggunakan kuasa yang ada pada kita. Kita tidak boleh hanya diam dan berpeluk tubuh sahaja. Tidak mungkin kita menunggu anak kita berzina dahulu barulah kita ingin menasihatinya, bukan?
Dan bayangkan apa yang akan terjadi jikalau kita bercakap-cakap sahaja tentang perkara ini sehinggakan ramai orang akan mengetahui tentang perkara itu dan ia akan menjadikan perbuatan salah itu seolah-olah popular dan sudah biasa sahaja. Manusia jahil akan berkata: “alaahhh, ramai jer yang buat… kenapa nak heran?”
Maknanya, kalau perbuatan zina itu banyak diperkatakan, ia sampai boleh menyebabkan masyarakat sudah lali dan biasa dengannya, maka mereka tidak berasa bersalah pun untuk melakukannya (kerana mereka akan kata: “orang lain pun ramai buat, apa salahnya?”).
Maka kita haruslah berhati-hati dengan perkara yang kita cakapkan terutama di hadapan anak-anak kecil kerana kita tidak mahu mereka berasa yang perkara itu biasa sahaja di dalam masyarakat. Jangan kita jadikan kesalahan manusia seperti perbuatan zina sebagai normal sehingga menjadi kebiasaan pula.
Lihatlah sekarang ini bagaimana perhubungan lelaki dan perempuan yang bergaul mesra biasa sahaja, sampaikan tidak rasa bersalah pun tentang perkara itu. Maka kita kena elakkan ia dari berlaku. Kerana itulah Islam amat menjaga hal ikhtilat ini.
Maka timbul satu lagi persoalan: Kalau susah untuk melaporkan, maka sangat senanglah untuk orang berbuat maksiat? Senang sahaja mereka masuk ke dalam bilik hotel, tetapi nanti tidak boleh untuk menuduh mereka kerana tidak ada empat orang saksi.
Jawapan: Kita kena sedar yang ayat ini memperkatakan tentang perbuatan zina dalam bentuk jimak. Kriteria yang ketat dikenakan kerana hukuman yang dikenakan juga berat. Maka layaklah kalau penghakiman yang ketat dikenakan.
Akan tetapi, kerajaan boleh buat membuat hukum di bawah ta’zir di mana boleh menetapkan lelaki dan wanita tidak boleh duduk dalam bilik yang sama dalam keadaan yang mencurigakan tanpa mahram. Hukuman yang dikenakan pula boleh ditetapkan oleh kerajaan seperti denda, penjara dan sebagainya. Boleh dikenakan apa-apa hukuman yang dirasakan sesuai asalkan bukan hukum hudud.
وَلا تَقبَلوا لَهُم شَهٰدَةً أَبَدًا
dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya.
Kembali kepada hukum dalam ayat ini. Apabila mereka telah dikenakan sebatan sebanyak 80 kali rotan, satu lagi hukuman kepada mereka adalah tidak boleh diterima persaksian daripada mereka sampai bila-bila.
Mereka sudah tidak dipercayai lagi sampai bila-bila di mahkamah. Mereka tidak boleh menjadi saksi dalam perbicaraan. Maka amat bahaya sekali kalau menuduh orang berzina tanpa dibawakan saksi.
وَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.
Dan Allah ﷻ berfirman bahawa mereka itu adalah orang-orang yang ‘fasik’ iaitu orang-orang yang dalaman mereka sudah busuk. Iaitu orang-orang yang berdosa.
Jadi, terdapat tiga jenis hukuman yang ditimpakan kepada orang yang menuduh orang lain berbuat zina tanpa bukti yang membenarkan kesaksiannya, iaitu:
- Pertama, dikenakan dengan hukuman dera sebanyak lapan puluh (80) kali.
- Kedua, kesaksiannya tidak dapat diterima buat selama-lamanya.
-
Ketiga, dicap sebagai orang fasik dan bukan orang adil, baik dari sudut pandangan Allah ﷻ mahupun pandangan manusia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 25 Mei 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani