Tafsir Surah an-Nisa Ayat 31 – 33 (Tinggalkan dosa besar)

Ayat 31: Dalam Qur’an, Allah ada memberitahu kita bahawa ada dua jenis dosa. Ada dosa syirik dan kufur yang tidak akan dimaafkan oleh Allah. Dan ada dosa yang Allah boleh ampunkan kalau Dia mahu. Ayat ini adalah tentang dosa yang Allah boleh ampunkan. Walaupun dosa itu adalah jenis dosa besar sekalipun.

Ini adalah satu konsep tentang dosa dalam Qur’an dan perkara ini disebut tiga kali dalam Qur’an. Kita adalah manusia biasa dan kadang-kadang tidak dapat elak dari buat dosa kecil. Kadang-kadang kita tercakap benda yang salah, terambil barang orang, ambil wuduk sekali sekala tidak sempurna kerana nak cepat, solat tak khusyuk dan macam-macam lagi.

Yang penting diajar dalam ayat ini adalah kita kena jaga diri dari melakukan dosa-dosa besar, jangan langsung buat, kemudian baru jaga diri kita setiap hari dari melakukan dosa-dosa kecil. Bila kita tak tahu nak bezakan mana dosa yang besar dan mana dosa yang kecil, maka kita akan kerugian yang amat sangat.

Sebab itu ada orang yang jaga solat, marah orang lain kalau orang lain buat salah, tapi dalam masa yang sama, dia buat benda syirik tanpa disedari. Ini adalah kerana dia adalah seorang yang jahil sekali. Jahilnya itu adalah kerana tidak belajar.

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you avoid the major sins which you are forbidden, We will remove from you your lesser sins and admit you to a noble entrance [into Paradise].

MALAY

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

 

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya,

Kita memang dilarang dan ditegah dari melakukan dosa. Dan kita pun tahu yang dosa ada jenis dosa yang ‘kecil’ dan ada dosa yang ‘besar’. Tentunya dosa besar itu dikelaskan sebagai ‘besar’ kerana ianya adalah kesalahan yang amat berat sekali. Itu yang pertama sekali kita kena tinggalkan.

Semua dosa kena tinggalkan, tapi dosa-dosa besar itu jangan sekali-kali buat dan kalau sudah terbuat, kena tinggalkan dengan segera. Dosa yang paling besar adalah dosa syirik. Nabi Muhammad ﷺ telah bersabda dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ “أجتنبوا السبع الموبقات” قالوا‏:‏ يا رسول الله وما هن‏؟‏ قال‏:‏ ‏”‏الشرك بالله، والسحر، وقتل النفس التى حرم الله إلا بالحق، وأكل الربا، وأكل مال اليتيم، والتولي يوم الزحف، وقذف المحصنات الغافلات” ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Jauhilah oleh kalian tujuh dosa yang membinasakan”. Para sahabat bertanya, “Apa itu?”. Beliau menjawab, “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri dari peperangan, menuduh berzina wanita-wanita mukminah yang suci.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Ini adalah salah satu hadis sahaja yang menyebut tentang dosa-dosa besar itu. Ulama tidak ada kata putus tentang senarai dosa-dosa besar itu. Daripada hadis-hadis yang dibaca, kita boleh tahu bahawa bukanlah tujuh sahaja dosa besar, tapi ada banyak lagi. Ini boleh diketahui apabila kita semakin banyak belajar hadis-hadis Nabi.

Antara yang boleh ditambah di sini – tidak taat kepada ibubapa, jadi saksi palsu, bunuh anak kerana takut anak itu makan rezeki kita, berzina dengan isteri jiran, menyeru selain dari Allah, memaki hamun ibubapa, memaki muslim yang lain dan sebagainya.

Ulama sampai menulis kitab untuk menjelaskan perbezaan antara dosa besar dan dosa kecil. Jadi, kita cuma dapat membincangkan dengan ringkas sahaja di sini. Antara ciri-ciri yang dikatakan dosa besar itu:

  • Dosa-dosa yang telah ada hukum hudud untuknya, contohnya zina.
  • Dosa-dosa yang Allah melaknat atas pelakunya
  • Dosa-dosa yang dijanjikan neraka bagi mereka yang melakukannya
  • Dosa yang kesannya sama dengan dosa besar yang lain
  • Dosa yang sengaja dengan perasaan sengaja nak lawan hukum. Contohnya, kita sudah tahu yang sesuatu perbuatan itu berdosa, tapi sengaja kita buat sebab nak lawan hukum itu.
  • Dosa kecil yang dilakukan berterusan.

Ada orang yang berkata kepada Ibn Abbas, adakah besar dosa besar ada tujuh? Ibn Abbas jawap, bukan 7 tapi dalam tujuh ratus. Ada seorang ulama yang bernama Imam Ibn Hajr al-Makki telah menyenaraikan dosa-dosa besar dan memasukkannya ke dalam kitabnya Al-Zawajir, dan senarainya sampai 467 jenis dosa.

Ada juga ulama yang membahagikan dosa-dosa besar itu kepada tiga jenis:

1. Menzalimi hak – samada kecil atau besar. Semakin besar hak orang itu ke atas kita, maka semakin besarlah dosa itu. Kerana itulah dosa kezaliman yang paling besar adalah syirik, kerana syirik itu menzalimi hak Allah.

2. Tidak takut kepada Allah, atau tidak cukup takut kepada Allah. Kerana apabila tidak ada takut kepada Allah, maka manusia berani untuk melakukan maksiat kepada Allah.

3. Memutuskan pertalian perhubungan. Semakin penting perhubungan itu, semakin berat dosa itu. Jadi darjah dosa itu mengikut kepada kepentingan perhubungan itu.

Sebagai contoh, kita boleh lihat kepada zina. Zina adalah pemutus kepada perhubungan kekeluargaan, tapi darjah dosa zina ini tidak sama, bergantung kepada keadaan. Kalau zina itu dilakukan dengan lelaki/wanita yang sudah berkahwin, ia lebih berat dari perlakuan zina dengan orang bujang (kerana itu tidak sama hukuman zina kepada orang bujang dan orang sudah berkahwin).

Zina dengan jiran lagi teruk dari zina dengan orang lain. Zina dengan ahli keluarga (mahram) lagi teruk dari zina dengan orang lain. Begitu juga kalau zina itu kalau dilakukan di masjid lagi teruk kalau dilakukan di tempat lain walaupun ia juga zina, tapi kerana tempat tidak sama, maka ia menjadi beza dosanya.

Perlu diingat bahawa antara menjaga dari melakukan dosa besar adalah dengan mengerjakan kewajiban fardhu dan wajib yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Ini adalah kerana meninggalkan kefardhuan adalah dosa besar. Jangan ayat ini bukan hanya suruh ‘tinggalkan’ sahaja, tapi ada memberi isyarat kepada perkara yang perlu ‘dibuat’.

 

نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, 

Inilah yang dinamakan ‘Kaffarah’. Kalau kamu boleh menjauhi dosa besar, yang jenis syirik dan kufur, dan juga dosa-dosa besar yang lain, nescaya Allah boleh ampunkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Dosa-dosa kecil itu memang susah untuk kita elakkan.

Allah bukannya penghukum yang hendak mengazab hambaNya sahaja. Kalau kita boleh jaga diri kita dari melakukan dosa-dosa besar, maka Allah sanggup nak ampunkan dosa-dosa kecil kita.

Kita pun sebagai manusia, tentu tidak sunyi dari melakukan dosa. Kadang-kadang kita tak perasan pun kita buat dosa-dosa itu. Ataupun kita tidak tahu pun yang ianya adalah satu dosa dan kita lakukan tanpa kita sedari yang ianya adalah dosa (kecil).

Tapi, kalau kita jaga diri kita dari melakukan dosa-dosa besar, Allah akan ampunkan dosa-dosa yang kecil itu. Dosa-dosa itu mudah diampunkan. Sebagai contoh, dengan ambil wudhuk, dosa kecil akan gugur; bila solat juga dosa kecil akan gugur; bila puasa, dosa akan gugur juga dan berbagai-bagai amal kebaikan yang kita lakukan akan menggugurkan dosa-dosa itu.

Tapi kita kena ingat yang dosa yang dihapuskan dengan cara ini adalah dosa-dosa kecil sahaja.

Dan seperti yang telah disebut, kena penuhi syaratnya, iaitu tidak dilakukan dosa-dosa yang besar. Jadi, kalau kita masih lagi melakukan dosa-dosa besar, kalau kita wudhuk, solat, puasa dan sebagainya, dosa-dosa kecil itu tidak akan diampunkan. Jadi, kita hadhir ke akhirat nanti, dengan bawa dosa besar kita dan dosa-dosa kecil kita juga. Ini tidak dapat dibayangkan sama sekali!

Bukanlah dosa-dosa besar tidak boleh diampunkan terus. Tapi dosa besar kena ada tawbah dengan syarat-syarat yang perlu dipenuhi.

Ada banyak cara Allah mengampunkan dosa-dosa kecil manusia. Antaranya:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيم عَنْ مُغِيرة، عَنْ أَبِي مَعْشَر، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ قَرْثَع الضَّبِّي، عَنْ سَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ قَالَ: قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَتَدْرِي مَا يَوْمُ الْجُمُعَةِ؟ ” قُلْتُ: هُوَ الْيَوْمَ الَّذِي جَمَعَ اللَّهُ فِيهِ أَبَاكُمْ. قَالَ: “لَكِنْ أدْرِي مَا يَوْمُ الجُمُعَةِ، لَا يَتَطَهَّرُ الرَّجُلُ فيُحسِنُ طُهُوره، ثُمَّ يَأْتِي الجُمُعة فيُنصِت حَتَّى يَقْضِيَ الْإِمَامُ صَلَاتَهُ، إِلَّا كَانَ كَفَّارَةً لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الْمُقْبِلَةِ، مَا اجْتُنبت الْمَقْتَلَةُ

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hassyim, dari Mugirah, dari Abu Ma’syar, dari Ibrahim, dari Marba’ Ad-Dabbi, dari Salman Al-Farisi yang menceritakan bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda kepadanya, “Tahukah kamu, apakah hari Jumaat itu?” Salman Al-Farisi menjawab, “Hari Jumaat adalah hari Allah menghimpun nenek moyangmu (yakni hari kiamat terjadi pada hari Jumaat).” Nabi ﷺ bersabda: Tetapi aku mengetahui apakah hari Jumaat itu. Tidak sekali-kali seorang lelaki bersuci dan dia melakukannya dengan baik, lalu dia mendatangi salat Jumaat dan diam mendengarkan khutbah hingga imam menyelesaikan solatnya, melainkan hari Jumaat itu merupakan penghapus bagi dosa-dosa (kecil)nya antara Jumaat itu sampai Jumaat berikutnya selagi dosa-dosa yang membinasakan (dosa besar) dijauhi (nya).

 

وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia

Tempat masuk yang mulia adalah Syurga. Inilah nikmat yang kita harap-harapkan. Itulah tujuan hidup kita. Kita hidup di dunia ini untuk mencari bekal untuk masuk ke syurga dan menikmati segala nikmat yang Allah janji untuk beri kepada kita. Semoga kita dimasukkan ke dalam syurga, ameen.


 

Ayat 32: Sekarang kita sambung kepada hukum mengenai Harta Pusaka. Ini adalah kesan yang mungkin timbul kalau hukum Allah tidak dijaga.

Dalam pembahagian Harta Pusaka seperti yang kita sudah belajar, ada yang dapat lebih dan ada yang dapat kurang. Allah nak ajar supaya jangan ada irihati kalau dapat bahagian kurang dari orang lain. Jangan persoal pembahagian yang Allah yang telah tetapkan.

Ayat ini juga boleh digunakan secara umum untuk menerangkan perbezaan nasib yang telah ditentukan oleh Allah.

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ لِّّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَسْئلُوا اللهَ مِن فَضْلِهِ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not wish for that by which Allāh has made some of you exceed others. For men is a share of what they have earned, and for women is a share of¹ what they have earned. And ask Allāh of His bounty. Indeed Allāh is ever, of all things, Knowing.

  • This may refer to shares of inheritance, wages and reward in the Hereafter.

MALAY

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (melebihi sebahagian yang lain)

Ini adalah sambungan tentang bahagian dari harta pusaka yang Allah telah tetapkan. Allah yang tetapkan bahagian itu, jadi kita tidak ada hak nak persoal pembahagian itu. Berdosa kalau tak puas hati dengan keputusan Allah. Maka kena terima sahaja cara pembahagian itu dengan rela.

Ayat ini juga boleh diaplikasi dalam kehidupan secara umum. Ia mengajar kita jangan bandingkan apa yang kita dapat dengan orang lain. Pemberian yang Allah berikan kepada orang tidak sama. Ada yang dapat lebih, ada yang diberi kurang.

Bukan sahaja pemberian Allah itu dari segi harta sahaja. Kadang-kadang ada yang pandai, tapi tak cantik; ada yang sihat tubuh badan, ada yang lemah; ada yang lahir dalam keluarga kaya dan ada yang lain dalam keluarga miskin; dan macam-macam lagi yang kita lebih dan kurang dari orang lain. Tapi ingatlah yang kalau kita kurang pada satu bahagian, kita lebih pada bahagian yang lain pula.

Tapi memang manusia ramai yang tidak puas hati dengan nasib mereka yang telah ditentukan oleh Allah. Mereka tidak senang untuk redha. Ini adalah penyakit dalam emosi manusia. Ramai yang selalu banding-bandingkan diri mereka dengan orang lain. Akhirnya mereka sendiri yang tak puas hati.

Ini bahaya kerana selalunya ada perkara yang kita memang tidak boleh nak ubah. Sebagai contoh, ada orang yang dilahirkan semulajadi cantik dan ada yang tidak. Kalau nak ubah macam mana pun, tidak akan jadi cantik. Dan bahayanya pula, kalau dia tidak dapat cantik, dia berharap supaya orang yang cantik itu ditarik kecantikannya supaya jadi sama dengan dia pula. Ini adalah dengki dan ini bahaya sekali. Jangan dilayan perasaan begini. Kerana endah apa yang orang dengki boleh lakukan untuk menjadikan keinginannya terlaksana.

Padahal segala apa yang orang itu ada, Allah yang beri, bukan? Kalau merungut dan bandingkan kekurangan yang ada pada diri kita, itu maknanya kita tak bersyukur dengan pemberian Allah. Sedangkan Allah selalu ingatkan kita untuk bersyukur kepadaNya.

Tetapi, ini tidaklah melarang kita untuk cuba mencapai tahap kebaikan seperti yang ada pada orang lain. Kalau kita nampak seseorang itu pandai dan berilmu, kita boleh cuba untuk jadi macam dia dengan belajar dan berusaha untuk mencapai tahap kepandaian orang itu. Kalau nak kaya macam orang lain, maka berusahalah untuk mencari rezeki yang halal.

Ini telah disebutkan di dalam sebuah hadis sahih, yaitu:

“لَا حَسَد إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فسَلَّطَه عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، فَيَقُولُ رَجُلٌ: لَوْ أَنَّ لِي مِثْلَ مَا لِفُلَانٍ لعَمِلْتُ مِثْلَهُ. فَهُمَا فِي الْأَجْرِ سَوَاءٌ”

Tidak boleh dengki kecuali dalam dua hal, yaitu (terhadap) seorang lelaki yang dianugerahi oleh Allah harta yang banyak, lalu dia menginfakkan (membelanjakan)nya di jalan yang hak, dan ada lelaki lain mengatakan, “Seandainya aku mempunyai apa yang semisal dengan yang dipunyai oleh si Fulan, niscaya aku akan mengamalkan hal yang sama,” kedua-duanya beroleh pahala yang sama.

Syarah: kita bukan disuruh dengki dan berhenti di situ sahaja. Akan tetapi apabila kita lihat ada orang buat kebaikan, maka kita pun berusaha nak buat kebaikan juga seperti dia, malah nak buat lebih baik lagi. Itulah baru ‘dengki’ yang baik.

 

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا

orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,

Lelaki dan perempuan telah ditentukan bahagian penerimaan harta pusaka seperti yang telah disebut dalam ayat 11 dan 12 surah ini.

Selain dari harta pusaka, seorang lelaki ada bahagian yang mereka boleh ikhtiar sendiri untuk dapat lebih. Kalau nak dapat lebih, kenalah usaha lebih. Sebagai contoh, kalau nak pandai, kenalah belajar lebih lagi; kalau nak dapat rezeki lebih, kena usaha cari pendapatan.

Begitu juga, seorang lelaki boleh melakukan usaha untuk mendapatkan lebih banyak pahala. Kita telah diajar untuk berlumba-lumba dalam perkara kebaikan. Para sahabat berlumba-lumba untuk dapat lebih pahala dari sahabat yang lain.

Maka ayat ini mengajar kita bahawa kita kena usaha untuk mendapatkan sesuatu. Samada dari segi keduniaan atau dari segi pahala dan agama. Maka janganlah berharap orang sedekah pahala kepada kita bila kita dah mati, tapi hendaklah kita usaha untuk kumpul pahala kita sendiri. Kalau buat sikit, dapatlah sikit; kalau buat banyak, dapatlah banyak. Allah balas berdasarkan usaha kita.

 

وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; 

Perempuan pun boleh ikhtiar juga. Tidaklah mereka itu kurang dari lelaki kerana mereka pun ada peluang juga. Semua ada usaha masing-masing yang boleh dilakukan dalam rangka ‘ikhtiar’. Allah mahu kita ada usaha dalam hidup, tidaklah tunggu sahaja rezeki atau kepandaian datang sendiri.

Daripada fikir apa yang kurang pada diri sendiri, lihatlah apa yang kita boleh buat dan jalankan usaha dan ikhtiar itu.

Perempuan janganlah rasa rugi dilahirkan sebagai perempuan pula. Ada yang rasa susah jadi perempuan kerana pada mereka, banyak benda yang mereka tak boleh buat kerana mereka dilahirkan lemah.

Sebagai contoh, mereka tidak dapat pergi ke medan perang dan mereka tidak ada solat berjemaah di masjid. Janganlah keluh kesah kerana mereka ada kelebihan sendiri. Sebagai contoh, lelaki tidak boleh lahirkan anak, bukan? Maka lihatlah bagaimana Allah beri kepada setiap jantina peluang untuk buat pahala asalkan mereka mahu berusaha.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari ibnu Abu Nujaih dan dari Mujahid yang menceritakan bahawa Ummu Salamah r.a. pernah berkata, “Wahai Rasulullah, kaum lelaki dapat ikut berperang, sedangkan kami (kaum wanita) tidak dapat ikut berperang, dan bagi kami hanya separuh warisan (yang diterima lelaki).” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Dan janganlah kalian iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebagian kalian lebih banyak dari sebagian yang lain. (An-Nisa: 32)

Kesimpulannya manusia boleh usaha untuk dapat rezeki lebih, dapat anugerah yang lebih, dapat pahala yang lebih, tapi dalam hal harta pusaka, tidak ada usaha untuk mendapatkan lebih lagi dari bahagian harta pusaka itu kerana telah ditetapkan oleh Allah bahagian masing-masing.

 

وَسْئلُوا اللهَ مِن فَضْلِهِ

dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. 

Kita semua kena minta kepada Allah untuk dapat rezeki yang lebih, kepandaian yang lebih, atau apa-apa sahaja. Itu dalam hal lain, cuma dalam bahagian faraid ini telah ditetapkan.

Tetapi sebaiknya, kita tidak perlu meminta sesuatu yang khusus. Seeloknya, kita hanya meminta supaya Allah beri ‘keberkatan’ kepada kita. Kerana kita tidak tahu manakah yang baik untuk diri kita. Sebagai contoh, kalau kita minta supaya Dia beri kita jadi orang yang kaya, kita pun tidak tahu samada kekayaan itu menjadi kebaikan untuk kita atau bahana untuk kita.

Maka mintalah doa kepada Allah supaya memberikan kurniaNya kepada kita. Kerana Allah ada banyak kurnia dan Allah suka kalau kita meminta. Doalah banyak-banyak dengan berharap kepada Allah.

Imam Turmuzi dan Ibnu Murdawaih meriwayatkan melalui hadis Hammad ibnu Waqid, bahawa dia pernah mendengar Israil menceritakan hadis berikut dari Abu Ishaq, dari Abul Ahwas, dari Abdullah ibnu Mas’ud r.a. yang menceritakan bahwa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“سلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِه؛ فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ أَنْ يُسْأَلَ وَإِنَّ أَفْضَلَ الْعِبَادَةِ انْتِظَارُ الْفَرَجِ”.

Mohonlah kalian kepada Allah sebagian dari kurnia-Nya, kerana sesungguhnya Allah suka bila diminta. Dan sesungguhnya ibadah yang paling afdal (utama) ialah menunggu jalan keluar.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Sesungguhnya Allah Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah Maha Tahu siapakah yang layak dapat apa dalam dunia ini; Allah tahu siapa yang layak dapat harta yang banyak; Allah tahu siapa yang layak dapat pahala yang banyak; Allah tahu siapa yang layak masuk syurga dan siapa yang layak masuk neraka.

Allah dengan segala kebijaksaan dan ilmuNya, tahu apa yang kita perlukan. Kita kena percaya bahawa apa yang Allah telah berikan kepada kita adalah apa yang sesuai untuk kita. Kita tidak patut rasa kurang atau rasa tidak cukup dengan apa yang kita ada. Belajarlah untuk redha dengan pemberian Allah.


 

Ayat 33:

وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوٰلِيَ مِمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَالَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمٰنُكُمْ فَئآتُوهُمْ نَصِيبَهُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for all, We have made heirs to what is left by parents and relatives. And to those whom your oaths have bound [to you] – give them their share.¹ Indeed Allāh is ever, over all things, a Witness.

  • By bequest, as only those relatives mentioned in verses 11 and 12 inherit fixed shares.

MALAY

Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), Kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

 

وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوٰلِيَ مِمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ

Dan untuk semua, Kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat.

Masing-masing manusia telah ditetapkan pewaris-pewaris. Ada bahagian masing-masing dari harta pusaka yang ditinggalkan. Apa sahaja yang ditinggalkan oleh manusia, akan ada yang akan mewarisinya.

 

وَالَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمٰنُكُمْ فَئآتُوهُمْ نَصِيبَهُمْ

Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. 

Jika telah berlaku sumpah setia untuk tolong menolong, boleh kalau mahu wasiatkan sebahagian dari harta kita kepada mereka. Semasa Zaman Jahiliyah, seseorang itu boleh duduk dalam kabilah yang bukan dia dilahirkan. Kadang-kadang mereka duduk dalam kabilah isteri atau kabilah suami. Sampai adakalanya mereka tukar nama mereka dan ambil nama kabilah suami atau isteri.

Ini adalah sistem masyarakat Arab. Apabila mereka masuk ke dalam kabilah yang lain, akan ada sumpah setia untuk duduk dalam kabilah itu dan perjanjian untuk sama-sama duduk dan sama-sama tolong menolong.

Dalam keadaan macam itu, boleh beri kepada orang kabilah itu, bahagian dari harta sebagai bantuan dan pertolongan. Tapi ia bukan dari bahagian faraid. Ini adalah kerana harta pusaka kita tidak boleh sampai kepada mereka walaupun kita duduk dalam kabilah mereka. Ini adalah kerana mereka bukan ada talian darah dan perkahwinan dengan mereka. Perjanjian setia itu telah dimansukhkan oleh ayat Ahzab:6. Oleh itu kalau nak beri, kenalah dengan cara wasiat dan wasiat dibenarkan sampai 1/3 dari bahagian harta.

Ini terjadi kepada kaum Muhajirin dan Ansar. Dahulu kaum Muhajirin ketika tiba di Madinah; seorang Muhajir dapat mewarisi harta seorang Ansar, kerana berkat persaudaraan yang dicanangkan oleh Rasulullah Saw. di antara mereka. Ketika diturunkan firman-Nya: Bagi tiap-tiap harta peninggalan dari harta yang ditinggalkan ibu bapak dan karib kerabatnya, Kami jadikan pewaris-pewarisnya. (An-Nisa: 33) maka ketentuan tersebut dimansukh, kemudian Ibnu Abbas membacakan firman-Nya: Dan (jika ada) orang-orang yang kalian telah bersumpah setia dengan mereka, maka berilah kepada mereka bagiannya. (An-Nisa: 33)

Syarah: maka tidak ada janji setia sesama manusia yang seorang akan mewarisi dari seorang yang lain. Kalau nak beri sesuatu bahagian kepada orang selain dari penerima harta pusaka, maka boleh dilakukan dengan cara wasiat.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Dan Dia akan membalas segala kesalahan kita. Maknanya, kalau kita mewariskan harta kita kepada mereka yang tidak patut mendapatnya, Allah melihat apa yang kita lakukan.

Habis Ruku’ ke 5 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s