Ayat 27: Masih lagi kepentingan syariat yang Allah telah berikan kepada kita.
وَاللهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوٰتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh wants to accept your repentance, but those who follow [their] passions want you to digress [into] a great deviation.
MALAY
Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya.
وَاللهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ
Dan Allah hendak menerima taubat kamu,
Allah ulang lagi tentang hal taubat. Kali ini dalam jumlah ismiah pula dimana dalam susunan ayat ini, Allah meletakkan NamaNya di hadapan. Ini menunjukkan penekanan – Allah benar-benar hendak menerima taubat kita.
Allah mahu menerima taubat kita, asalkan kita ikut syariatNya yang telah diberikan. Kita telah banyak belajar hukum-hukum syariat yang telah disampaikan dalam surah ini dan surah-surah yang lain. Maka amalkan dengan baik, dan Allah akan menerima taubat kita.
وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوٰتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا
sedang orang-orang yang menurut keinginan syahwat hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng dengan penyelewengan yang besar.
Allah mahu menerima taubat kita, tapi mereka yang ikut syahwat, ingin kita berpaling jauh dari syariat. Kalimah الشَّهَوَاتِ bermaksud keinginan nafsu yang kuat kalau dibandingkan dengan ‘hawa’ sahaja.
‘Hawa’ hanyalah keinginan biasa sahaja. Mereka yang ada kejahatan dalam dirinya ingin umat Islam condong jauh dari kebenaran. Mereka tak puas hati kalau kita buat sesuatu yang ikut syariat agama kita. Padahal kita bukan kacau mereka pun. Tapi ada rasa dengki dan tidak puas hati kalau kita nak amal agama. Allah nak bezakan keinginan Allah dan keinginan mereka yang ikut syahwat. Kalau tak ikut syariat, maka maknanya akan ikut syahwatlah.
Kalau dulu, ini merujuk kepada golongan munafik dan juga golongan Ahli Kitab. Mereka tidak suka dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah lama berpegang dengan satu pegangan agama dan sekarang Nabi Muhammad ﷺ datang dan membawa syariat baru pula. Maka mereka tak suka cara hidup mereka diganggu-gugat.
Memang hati mereka seleweng kalau menolak syariat Allah. Ini kerana terdapat berbagai pembaharuan syariat yang menyenangkan manusia. Walaupun ia berlawanan dengan kebiasaan mereka, tapi ianya baik. Sebagai contoh:
- Kanak-kanak dan perempuan sudah layak menerima harta pusaka.
- Wanita yang menjadi janda boleh menentukan hak mereka untuk berkahwin lagi dan tidak lagi tertakluk dengan kehendak keluarga bekas suaminya.
- Tidak boleh berkahwin dengan adik beradik dalam satu masa lagi.
- Anak angkat tidak lagi layak menerima harta pusaka.
- Perkahwinan dengan janda anak angkat dibenarkan.
Perkara di atas adalah berlainan dengan amalan penduduk Tanah Arab dari dahulu lagi. Mereka sudah biasa dengan cara hidup dan undang-undang begitu dan mereka tidak suka apabila ada perubahan. Ini macam orang kita juga yang tidak suka amalan-amalan lama dikatakan sebagai bidaah dan khurafat.
Maka mereka yang tidak suka dengan syariat baru ini mula mengata-ngata perubahan yang dilakukan dalam Islam. Sebagai contoh, mereka mengejek dengan mengatakan mereka yang lahir dari perkahwinan yang ada adik beradik dalam satu perkahwinan itu, sebagai haram. Padahal, mereka tidak bersalah kerana perkahwinan sebegitu tidak diharamkan lagi pada masa dulu. Tapi mereka yang ada kejahatan dalam hati mereka itu sengaja nak menyakitkan hati orang lain dan nak mengajak mereka menentang syariat. Mereka kata: “apa punya karut la hukum baru ini…”
Begitulah juga yang ada dalam hati orang kafir yang jahat. Maka mereka akan kata macam-macam untuk memesongkan kita kepada kesesatan. Sebagai contoh, mereka kata agama Islam ini tindas wanita, wanita tidak boleh kerja, wanita tidak boleh pandu kereta, wanita sepatutnya tidak perlu pakai tudung dan sebagainya.
Kita kena berhati-hati dengan diayah mereka. Kita mungkin terselamat, tapi bagaimana dengan keluarga kita? Anak-anak kita sekarang hidup membesar dalam suasana dimana mereka boleh mendapat maklumat yang salah dari macam-macam arah. Kalau kita kita jaga apa yang sampai kepada anak kita, kita takut mereka akan hanyut nanti jadinya.
Golongan Yahudi lain pula kisah mereka. Mereka pun tidak setuju dengan syariat baru yang disampaikan oleh Rasulullah. Mereka telah lama beragama dan mereka telah menambah-nambah dalam agama mereka. Benda yang tidak haram, mereka telah kata haram. Jadi bila Qur’an datang dan tidak iktiraf undang-undang yang mereka telah reka, maka tentulah mereka marah.
Sebagai contoh, mereka telah mengubah hukum dengan mengatakan perempuan yang dalam haidh tidak suci. Jadi wanita yang dalam haidh bukan sahaja tidak boleh digauli, tapi makanan masakan mereka tidak boleh dimakan, mereka tidak boleh duduk sekali makan di meja makan, sentuh pun tidak boleh.
Tapi Islam datang dan mengatakan wanita itu memang tidak suci pada waktu itu tapi mereka tidak boleh dijimak sahaja. Bukannya tidak boleh duduk sekali dan makan masakan mereka. Tidaklah wanita hina sangat sampai begitu sekali. Jadi apabila Islam tidak iktiraf apa yang mereka reka itu, mereka pun marah dan tidak mahu nak ikut Qur’an. Mereka kata hukum baru ini adalah rekaan Muhammad sahaja.
Begitulah juga yang terjadi dengan ahli bidaah dalam masyarakat kita. Telah ada banyak perkara yang mereka tambah dalam agama dan mereka marah apabila kita kata apa yang mereka katakan itu tidak ada. Sebagai contoh, ada golongan ustaz yang jahil mengatakan bila nak istinja’, kena korek lubang dubur itu dan cuci dengan jari sampai ke dalam.
Ini adalah tambahan dalam agama dan menyusahkan manusia. Jadi bila kata mereka salah dan ajar ajaran salah kepada masyarakat, maka marahlah mereka. Dan mereka menolak golongan Sunnah dengan mengatakan kita sebagai ‘wahabi’ dan golongan sesat sampai tidak membenarkan kita mengajar di masjid dan surau yang mereka mengajar.
Ayat 28: Ini adalah kesimpulan dari penerangan tentang syariat yang telah disebut sebelum ini.
يُرِيدُ اللهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ الْإِنسٰنُ ضَعِيفًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Allāh wants to lighten for you [your difficulties]; and mankind was created weak.
MALAY
Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.
يُرِيدُ اللهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ
Allah hendak meringankan beban daripada kamu,
Allah jadikan undang-undang syariat untuk meringankan kita. Kita mungkin sangka yang undang-undang ini menyusahkan kita, bukan? Tapi sebenarnya Allah nak ringankan beban kita. Ringan beban di dunia dan juga di akhirat.
Ada hukum-hukum adat resam masyarakat jahiliah dan yang diajar oleh Ahli Kitab itu berat dan menyusahkan. Maka Allah beri penerangan bahawa ada yang diamalkan itu salah. Dengan itu meringankan kehidupan manusia. Antaranya yang kita sudah belajar, boleh kahwini hamba kalau tidak mampu mengahwini wanita merdeka.
Kalau kita buat sesuatu ikut syariat, hidup kita akan mudah sebenarnya. Kerana hukum syariat yang diwajibkan kepada kita itu adalah sesuai untuk kita sebenarnya. Kalau kita rasa berat, maknanya kita yang ada masalah, bukan hukum itu.
Sebagai contoh, lihat cara perkahwinan kita. Mana yang senang, cara sunnah atau cara adat Melayu yang menyusahkan? Dengan wang belanja yang mahal, kena uruskan kenduri yang besar, hantaran yang berjenis-jenis, pakaian yang melampau, pelamin yang syirik, bunga manggar, adat yang tidak bertepatan dengan syariat dan macam-macam lagi. Bukankah itu menyusahkan?
Ikut cara yang Allah telah jadikanlah yang mudah. Kita pun sepatutnya tidak ada rasa nak kena ikut manusia yang kaya. Sepatutnya kita kena ikut kata Allah sahaja.
وَخُلِقَ الْإِنسٰنُ ضَعِيفًا
dan manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.
Manusia memang dilahirkan dalam keadaan lemah. Manusia tidak mampu mengurus hidup kalau tidak ada syariat dan peraturan hidup. Kerana itu Allah mudahkan kita dengan beri siap-siap apa yang perlu kita ikut. Tak payah pening kepala nak fikir-fikirkan lagi mana yang elok untuk kita.
Kita tidak akan mampu nak reka sendiri hukum yang terbaik. Ini kerana akal kita lemah untuk memikirkan mana yang baik dan mana yang buruk. Maka ikutlah sahaja apa yang Allah telah syariatkan.
Dengan ikut hukum Allah ini dapat menguatkan kita yang lemah. Sebagai contoh, lelaki memang tidak dapat nak menghalang dirinya dari wanita kerana memang sifat lelaki memerlukan wanita. Maka Allah bukan sahaja benarkan tapi malah menganjurkan manusia untuk bernikah. Dengan bernikah, pasangan suami isteri itu dapat memuaskan diri mereka sesama sendiri dan tidaklah mencari-cari perhubungan yang tidak halal. Selagi tidak berkahwin, maka kemungkinan berzina itu lagi tinggi.
Dan hukum yang Allah berikan adalah mudah dan boleh diamalkan. Kerana Allah tahu kita lemah dan tidak mampu buat yang lebih berat. Jadi syariat untuk kita ini memang sudah sesuai sangat untuk kita.
Musa عليه السلام berkata kepada Nabi kita Muhammad ﷺ. ketika beliau menjalani isra dan bersua dengannya di saat baru kembali dari Sidratul Muntaha, “Apakah yang telah difardukan atas kalian?” Nabi ﷺ menjawab, “Allah memerintahkan kepadaku mengerjakan solat lima puluh kali setiap sehari semalam.” Nabi Musa عليه السلام berkata, “Kembalilah kepada Tuhanmu, dan mintalah keringanan kepada-Nya, kerana sesungguhnya umatmu pasti tidak akan mampu melakukan hal tersebut. Sesungguhnya aku telah menguji manusia dengan tugas yang lebih ringan dari itu, tetapi ternyata mereka tidak mampu; dan sesungguhnya umatmu memiliki pendengaran, penglihatan, dan kalbu yang lebih lemah (daripada umatku).”
Maka Nabi ﷺ kembali, dan diringankan sebanyak sepuluh kali, lalu Nabi ﷺ kembali lagi kepada Musa عليه السلام. Hal tersebut terus-menerus terjadi hingga pada akhirnya tinggal salat lima waktu.
Ayat 29: Ini adalah hukum ke 14. Sekarang tentang Hukum Pencarian Harta. Harta ini penting kerana ianya menjadi sumber pendapatan manusia dan kalau ada ketidakpuasan hati, akan menyebabkan kekecohan, malah boleh sampai terjadi pembunuhan.
Maka, Allah mengajar apakah yang perlu dijaga dan dipatuhi di dalam berurusan dengan harta. Selepas perkahwinan, lelaki yang bertanggungjawab akan mencari nafkah untuk anak isterinya dan hendaklah dia melakukannya melalui cara yang halal.
يٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوٰلَكُم بَيْنَكُم بِالْبٰطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, do not consume one another’s wealth unjustly¹ but only [in lawful] business by mutual consent. And do not kill yourselves [or one another]. Indeed, Allāh is to you ever Merciful.
- i.e., unlawfully or under false pretense.
MALAY
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
يٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوٰلَكُم بَيْنَكُم بِالْبٰطِلِ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah
Perkataan ‘makan’ dalam ayat ini bermaksud ‘ambil’. Dan ia juga termasuk juga makan dan minum. Jangan urus, ambil, guna, makan harta orang lain dengan cara yang salah. Cara yang salah itu boleh jadi macam-macam – curi, tipu, rampas, rasuah, riba, cara peniagaan yang salah, gharar (ketidakpastian) dan sebagainya. Semua itu termasuk dalam cara-cara yang salah, cara ‘bathil’.
Malangnya, ramai yang menipu orang lain dan menggunakan bermacam-macam cara yang salah untuk mendapatkan duit. Sebagai contoh, zaman sekarang, banyak menggunakan kontrak dalam setiap perkara. Kalau kita lihat dalam kontrak, mereka akan menggunakan tulisan kecil dan banyak sangat, sampai orang awam tak tahu apa yang ditulis. Dan mereka pun tidak sempat nak baca atau malas nak baca. Maka mereka akan setuju sahaja.
Tapi apabila ada masalah dengan urusan sesama mereka, penjual akan mengeluarkan kontrak atau terms of agreement, dan mereka kata: “ini semua sudah ada dalam kontrak, dan encik pun sudah tandatangan, jadi kami tidak boleh buat apa.” Maka, yang si pembeli pun terpaksalah gigit jari dan terima sahaja, kerana kalau ke mahkamah pun mereka akan kalah dan buang masa sahaja.
Banyak lagi cara urusan perniagaan dan harta yang batil yang diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ dalam sunnah. Ianya disebut secara ringkas sahaja dalam ayat ini, diperjelaskan dengan lebih terperinci oleh Nabi Muhammad ﷺ. Sebab itu penting untuk kita belajar juga hadis.
Selain dari memakan harta orang lain dengan batil, ayat ini juga melarang manusia memakan hartanya sendiri dengan batil. Ini jikalau kita meluaskan makna ‘harta-harta kamu’ itu kepada harta kita sendiri. Maksudnya jangan menghabiskan harta kepada perkara yang haram dan juga membazir tidak tentu hala.
إِلَّا أَن تَكُونَ تِجٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu,
Yang dibenarkan kita berurusan dan mengambil harta orang lain adalah dengan cara perniagaan. Kerana perniagaan melibatkan pertukaran barangan atau pertukaran wang sesama pihak yang terlibat. Dan semua pihak terlibat rela untuk melakukan transaksi itu.
Dan kalimah تِجٰرَةً bermaksud perniagaan yang ada tukar milik dengan wang. Maka kalau rasuah, beli saham yang barangnya tiada, perjudian, spekulasi matawang dan beli barang yang belum siap lagi, itu tidaklah termasuk dalam تِجٰرَةً. Ini perlu dipelajar khusus bab muamalat.
Dan perniagaan itu mestilah dengan syarat ada aqad persetujuan bersama. Kena dua-dua pihak setuju dan tahu apa yang mereka lakukan. Sama-sama setuju dan sama-sama mendapat kepentingan masing-masing. Ulama mengatakan dalam perniagaan dan pertukaran barangan itu, kena ada lafaz aqad dan lafaz qabul sebagai bukti kedua-dua pihak itu setuju.
Begitulah Islam begitu menjaga perkara ini supaya manusia dapat hidup dengan harmoni dan tidak ada penipuan. Akan tetapi tidaklah akad itu kena disebut sentiasa. Asalkan boleh difahami ada persetujuan antara kedua belah pihak. Sebagai contoh, kalau pekedai memang sudah jual barangan dia, tidaklah perlu untuk berkata: “saya beli” dan dia kena sebut: “saya jual”.
Memang pandangan Mazhab Syafie dalam hal ini agak keras, tapi ada lagi pendapat mazhab-mazhab lain yang kita kira lebih sesuai kalau untuk diamalkan zaman sekarang. Bayangkan susahnya kita nak amalkan kaedah Mazhab Syafie kalau kita hendak membeli di supermarket, beli dengan mesin atau membeli secara online.
Perniagaan adalah bantu membantu sebenarnya. Satu pihak ada wang untuk diberikan dan memerlukan barang, dan satu pihak lagi ada barang untuk dijual. Kalau tidak ada syariat yang menetapkan perkara ini, tentu yang akan terjadi adalah rampas merampas.
Rampas merampas itu tidak ada seorang pun yang suka dan ia sampai boleh membawa kepada perbunuhan kerana tidak puas hati. Sebab tidak ada yang rela orang ambil harta dia.
Perniagaan itu juga mestilah satu pihak redha dengan pihak yang lain. Kalau ada elemen paksaan, itu juga termasuk perkara yang dilarang. Sebagai contoh, kalau kita paksa seseorang beli barang dari kita, itu adalah paksaan, walaupun kita beri barang kepadanya dan dia pun beri wang kepada kita; atau kalau kita monopoli semua barangan dapur, sampai semua kena beli dengan kita, mahu tak mahu. Itu pun tidak dikira sebagai redha kerana mereka terpaksa beli dengan kita, kalau tidak mereka akan mati kebuluran.
Perniagaan bukanlah satu-satunya cara yang halal untuk mendapatkan harta atau pendapatan. Ada lagi banyak cara-cara lain. Antaranya, dengan mendapat hadiah. Dalam pemberian hadiah, hanya satu pihak sahaja yang memberi. Pemberian hadiah dibenarkan malah digalakkan dalam Islam.
Tapi hanya disebut perniagaan dalam ayat ini kerana ianya adalah cara yang selalu digunakan dan ianya adalah cara yang paling baik untuk mendapatkan harta yang banyak.
Dan menjadi penjual dan peniaga yang jujur boleh menjadi asbab untuk dimasukkan ke dalam syurga dan duduk di tingkatan yang tinggi:
عن عبد الله بن عمر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: « التَّاجِرُ الأَمِينُ الصَّدُوقُ الْمُسْلِمُ مَعَ الشُّهَدَاءِ – وفي رواية: مع النبيين و الصديقين و الشهداء – يَوْمَ الْقِيَامَةِ » رواه ابن ماجه والحاكم والدارقطني وغيرهم
Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Seorang pedagang muslim yang jujur dan amanah (terpercaya) akan (dikumpulkan) bersama para Nabi, orang-orang shiddiq dan orang-orang yang mati syahid pada hari kiamat (nanti).” HR Ibnu Majah (no. 2139), al-Hakim (no. 2142) dan ad-Daraquthni (no. 17), dalam sanadnya ada kelemahan, akan tetapi ada hadits lain yang menguatkannya, dari Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu ‘anhu, HR at-Tirmidzi (no. 1209) dan lain-lain. Oleh kerana itu, hadits dinyatakan baik sanadnya oleh imam adz-Dzahabi dan syaikh al-Albani.
Nota: ‘Kerelaan’ bukanlah tanda yang ianya dibenarkan. Ada orang yang bertukar harta dan sama-sama rela. Tapi kalau ianya tidak halal seperti pemberian rasuah, maka ia tetap tidak halal. Atau kalau perniagaan itu barang yang haram, ia tetap haram walaupun kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bertukar wang dan barang. Yang haram tetap haram.
وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ
dan janganlah kamu bunuh diri kamu.
Potongan ayat ini boleh berdiri sendiri atau sambung dari bahagian awal tadi tentang perniagaan.
Kalau ia bersambung dari awal, ia hendak menceritakan bahaya kalau tidak diikuti hukum Allah sebelum ini. Apabila perniagaan tidak dijalankan dengan jujur, ekonomi masyarakat akan jadi kacau bilau. Ini kerana akan ada yang terlebih kaya dan ada yang terlebih miskin.
Apabila ketidakpuasan semakin tinggi, kadar jenayah akan meningkat. Maka boleh jadi manusia berbunuhan sesama sendiri. Ini kerana korupsi akan bermaharajalela. Memang mereka bunuh orang lain, tapi itu pun dikira bunuh diri sendiri kerana orang lain dikira sebagai sebahagian dari kita juga.
Maka kalau perniagaan tidak dikawal dan pembahagian harta dijaga supaya semua puas hati, maka akhirnya keadaan akan menjadi teruk dan akhirnya akan terjadi perbunuhan sesama sendiri jikalau benda ini tidak dikawal dengan baik. Sebagai contoh, ada yang benci sangat kepada golongan kaya, dan mereka akan memberontak. Ini telah banyak kita lihat di negara-negara yang mengamalkan sistem pembahagian harta yang tidak terkawal.
Atau kalau ada yang terasa dia telah ditipu dalam perniagaan atau hak dia, maka dia mungkin buat keputusan untuk bunuh orang yang telah menipunya.
Kalau ayat ini berdiri sendiri, maka ini adalah larangan untuk membunuh. Samada bunuh orang lain atau bunuh diri sendiri. Ayat ini adalah sebagai satu dalil yang kita tidak boleh bunuh diri kita sendiri. Nyawa kita telah diberi oleh Allah dan kita tidak berhak untuk mengambilnya dengan tangan kita sendiri kerana kita tidak layak. Hanya Allah sahaja yang layak mengambil nyawa kita.
Ada banyak hadis dari Nabi ﷺ yang melarang membunuh diri. Ini adalah salah satu darinya:
من قتل نفسه بحديدة فحديدته فى يده يتوجأ بها فى بطنه فى نار جهنمخالدا مخلدا فيها أبدا ومن شرب سما فقتل نفسه فهو يتحساه فى نار جهنم خالدا مخلدافيها أبدا ومن تردى من جبل فقتل نفسه فهو يتردى فى نار جهنم خالدا مخلدا فيها أبدا
[ Barangsiapa bunuh diri dengan menggunakan besi, maka tangannya akan melukai perutnya sendiri dengan besi itu di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Barangsiapa bunuh diri dengan cara minum racun, maka dia akan terus meminumnya di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa melompat dari tebing untuk bunuh diri, maka dia akan terus terjatuh di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya ] [ HR. Muslim ; 313 ]
Oleh itu, kita tidak boleh bunuh diri kita, dan kita tidak boleh bunuh orang lain. Ini jelas dan sekarang kita sudah tahu dalilnya.
Dalam satu ayat ini, ada disebut penjagaan harta dan penjagaan nyawa. Kenapa didahulukan penjagaan harta sebelum penjagaan nyawa, sedangkan tentu nyawa itu lebih penting? Ditakdimkan penjagaan harta kerana salahguna atau penipuan dalam hal harta itu lebih kerap terjadi dari pembunuhan diri atau pembunuhan orang lain.
Penggunaan ayat ini amat luas. Seorang sahabat telah menggunakan ayat ini dengan luas sekali:
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا حَسَنُ بْنُ مُوسَى، حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعة، حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ أَبِي حَبِيبٍ، عَنْ عمْران بْنِ أَبِي أَنَسٍ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ جُبَير، عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّهُ قَالَ لَمَّا بَعَثَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ ذَاتِ السَّلَاسِلِ قَالَ: احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيدَةِ الْبَرْدِ فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلِكَ، فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِي صَلَاةَ الصُّبْحِ، قَالَ: فَلَمَّا قدمتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: “يَا عَمْرُو صَلَّيت بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ! ” قَالَ: قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيدَةِ الْبَرْدِ، فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أهلكَ، فَذَكَرْتُ قَوْلَ اللَّهِ [عز وَجَلَّ] {وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا} فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ. فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا.Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasan ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Ibnu Luhai’ah, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Abu Habib, dari Imran ibnu Abu Anas, dari Abdur Rahman ibnu Jubair, dari Amr ibnul As r.a. yang menceritakan bahawa ketika Nabi ﷺ mengutusnya dalam Perang Zatus Salasil, di suatu malam yang sangat dingin dia bermimpi mengeluarkan air mani. Ia merasa khawatir bila mandi jinabah, nanti akan binasa. Akhirnya dia terpaksa bertayamum, lalu salat Subuh bersama teman-temannya. Amr ibnul As melanjutkan kisahnya, “Ketika kami kembali kepada Rasulullah ﷺ, maka aku ceritakan hal tersebut kepadanya. Beliau bersabda, ‘Hai Amr, apakah kamu salat dengan teman-temanmu, sedangkan kamu mempunyai jinabah?’. Aku (Amr) menjawab, ‘Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku bermimpi mengeluarkan air mani di suatu malam yang sangat dingin, hingga aku merasa khawatir bila mandi akan binasa, kemudian aku teringat kepada firman Allah Swt. yang mengatakan: Dan janganlah kalian membunuh diri kalian, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada kalian. (An-Nisa: 29) Kerana itu, lalu aku bertayamum dan salat.’ Maka Rasulullah ﷺ tertawa dan tidak mengatakan sepatah kata pun.”
إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
Allah amat kasih kepada hambaNya dan sebab itu Dia beri syariat untuk mengawal transaksi antara manusia. Syariat itu untuk kebaikan kita supaya perjalanan sosial dan ekonomi manusia jadi teratur, semua puas hati dan tidak berlaku kacau bilau dan perbunuhan.
Kalau Allah tak kasih, Allah boleh sahaja cipta kita tapi biarkan kita apa yang kita hendak buat. Tentulah kalau begitu, akan jadi kacau bilau, bukan?
Ayat 30: Takhwif Ukhrawi.
وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوٰنًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسِيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And whoever does that in aggression and injustice – then We will drive him into a Fire. And that, for Allāh, is [always] easy.
MALAY
Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).
وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوٰنًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا
Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam api neraka,
Sesiapa yang yang melanggar hukum Allah, Allah akan masukkan dia ke dalam neraka. Ini adalah ancaman dari Allah yang amat keras. Setelah mengetahui hukum-hukum yang telah disebutkan, maka hendaklah kita berjaga-jaga dan menunaikan tanggungjawab yang dikehendaki oleh hukum itu.
Dalam ayat ini, digunakan perkataan عُدْوَانًا وَظُلْمًا (menceroboh dan zalim), memberi isyarat bahawa yang akan dimasukkan ke dalam neraka adalah mereka yang sengaja melakukan kesalahan itu. Sengaja hendak melawan hukum Allah. Kalau tidak sengaja, atau dia tahu ia salah tapi tak mampu lagi untuk tidak melakukannya, maka tidak termasuk dalam ancaman ayat ini.
Tapi ada yang kurang ajar, sengaja nak melanggar hukum Allah. Mereka itu yang termasuk dalam ayat ini.
وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسِيرًا
dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah,
Senang sahaja Allah nak masukkan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya ke dalam neraka. Kerana Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia hendak. Dan Dia tidak kisah sama sekali dengan reaksi dari sesiapa pun.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusya.
Kemaskini: 25 Julai 2018
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani