Ayat 25: Ini adalah sambungan tentang hukum berkahwin dengan hamba.
Ada ketikanya, berkahwin dengan hamba yang dimiliki oleh orang lain itu adalah lebih sesuai kepada seseorang kerana ianya lebih murah dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi kepada isteri itu kurang sedikit daripada tanggungjawab kepada isteri dari kalangan wanita yang merdeka. Mari kita lihat ayat ini.
وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ الْمُحْصَنٰتِ الْمُؤْمِنٰتِ فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُم مِّن فَتَيٰتِكُمُ الْمُؤْمِنٰتِ وَاللهُ أَعْلَمُ بِإِيمٰنِكُم بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَانكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَءآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ مُحْصَنٰتٍ غَيْرَ مُسٰفِحٰتٍ وَلَا مُتَّخِذٰتِ أَخْدَانٍ فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفٰحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنٰتِ مِنَ الْعَذَابِ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ الْعَنَتَ مِنكُمْ وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ وَاللهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And whoever among you cannot [find] the means to marry free, believing women, then [he may marry] from those whom your right hands possess of believing slave girls. And Allāh is most knowing about your faith. You [believers] are of one another. So marry them with the permission of their people and give them their due compensation [i.e., mahr] according to what is acceptable. [They should be] chaste, neither [of] those who commit unlawful intercourse randomly nor those who take [secret] lovers. But once they are sheltered in marriage, if they should commit adultery, then for them is half the punishment for free [unmarried] women. This [allowance] is for him among you who fears affliction [i.e., sin], but to be patient is better for you. And Allāh is Forgiving and Merciful.
MALAY
Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba – abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ الْمُحْصَنٰتِ الْمُؤْمِنٰتِ
Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik lagi beriman,
Ini hukum dan jalan keluar kepada lelaki yang tidak mampu untuk berkahwin dengan wanita yang merdeka. Mungkin kerana permintaan mahr yang tinggi, atau rendah tapi dia masih tak mampu juga sebab memang tidak ada apa-apa.
فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُم مِّن فَتَيٰتِكُمُ الْمُؤْمِنٰتِ
maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki.
Kalau tidak mampu untuk berkahwin dengan wanita yang merdeka, seorang lelaki dibolehkan untuk berkahwin dengan hamba perempuan yang mukmin. Sebaiknya seorang lelaki merdeka kahwinlah juga dengan wanita merdeka. Tapi kalau dia memang tidak mampu bolehlah kahwin dengan wanita hamba, bagi mengelak dari melakukan zina.
Jangan terus nak kahwin dengan wanita yang hamba kerana itu bukanlah pilihan yang pertama. Kerana itulah Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa mengahwini wanita status hamba adalah makruh. Sementara Imam Syafie mengatakan kalau mampu mengahwini wanita merdeka, haram berkahwin dengan wanita hamba.
Dan hamba perempuan itu dimiliki oleh orang Islam juga. Inilah maksud أَيْمَانُكُم dalam ayat ini. Ini kerana dhomir كم itu merujukan kepada ‘orang Islam’.
Ini hanya berlaku pada zaman dahulu. Kerana sekarang tidak ada lagi hamba. Jadi, walaupun belanja perkahwinan sekarang mahal, jalan ini bukanlah jalan yang boleh digunakan.
Memang belanja perkahwinan sekarang terlalu mahal sampai menyebabkan pasangan lelaki dan perempuan terpaksa menangguh pernikahan mereka sampai duit cukup untuk buat belanja kahwin. Kadang-kadang semasa tunggu itu, mereka terlanjur melakukan perzinaan. Atau mereka melakukan perkara yang tidak patut.
Ini semua adalah kerana masalah masyarakat kita yang mementingkan kebendaan dan hendak menunjuk-nunjuk kepada orang ramai yang mereka mampu buat kenduri yang besar-besar. Dipanggil datang mereka yang tidak patut-patut seperti kumpulan kugiran, kumpulan kompang, beribu-ribu orang dan macam-macam lagi. Akhirnya ia menjadi satu pesta yang dipenuhi dengan maksiat.
Yang susahnya adalah pasangan yang hendak berkahwin itu. Mereka terpaksa mengumpul untuk masa yang lama, untuk dapat kahwin dan dihabiskan pada satu hari sahaja. Dan kalau mereka tidak mampu, mereka terpaksa pinjam dari bank dan bank tentunya mengenakan kadar riba yang tinggi.
Maka, pasangan itu memulakan kehidupan mereka bersama dengan hutang yang bertambah-tambah. Baru menikah dan hendak memulakan kehidupan berkeluarga, sudah ada hutang yang kena dibayar. Sedangkan waktu itulah yang memerlukan wang. Tambahan pula kalau dapat anak. Siapa yang susah?
Inilah yang terjadi kepada masyarakat sekarang. Agaknya, siapakah yang boleh memperbetulkannya? Kena orang yang ada agama lah yang membetulkannya. Jangan pakat sertai sekali majlis yang membazir itu. Kenalah nasihat sikit kepada ‘ibu-ibu’ dan ‘makcik-makcik’ yang suka melaram itu.
وَاللهُ أَعْلَمُ بِإِيمٰنِكُم
Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu;
Nak buat apa-apa pun, kena tahu yang Allah mengetahui apa yang dalam hati kita.
Juga bermaksud yang Allah tahu samada seseorang itu beriman atau tidak. Kalau seseorang itu hamba, tapi ia beriman, itu lebih baik dari seorang yang merdeka tapi tidak beriman. Kerana pada pandangan Allah, bukan kemerdekaan yang penting, tapi iman. Mungkin orang yang jadi hamba itu lebih beriman dari orang yang merdeka.
بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ
kamu masing-masing adalah berasal dari sebahagian yang lain
Kamu yang beriman dikira dari sebahagian yang lain. Walau berbeza kerana ada yang status hamba dan ada yang merdeka tapi dari asal yang sama, iaitu keturunan Nabi Adam juga. Kerana sama sahaja pada Allah kalau iman yang sama. Yang penting adalah iman.
Allah sebut tentang iman dalam ayat yang bercakap tentang perkahwinan dengan hamba sahaya, untuk mengingatkan kepada manusia bahawa manusia sama sahaja. Kerana mungkin ada yang tidak dapat terima seorang yang merdeka mengahwini seorang hamba. Jadi Allah ingatkan balik yang semuanya manusia. Yang jadi hamba itu kerana suasana sahaja.
Kita kena ingat yang zaman manusia mengamalkan sistem perhambaan, status hamba ini adalah amat rendah sekali. Maka, Allah buka minda manusia dengan mengingatkan manusia kepada iman. Janganlah halang kalau ada orang merdeka nak kahwin dengan hamba. Jangan juga pandang rendah kepada mereka. Mereka terpaksa menikah dengan hamba kerana terpaksa.
فَانكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ
Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya
Perkahwinan itu boleh dijalankan dengan persetujuan tuan hamba itu. Ini adalah kerana tuannya itulah yang menjadi wali wanita hamba itu. Kalau tuannya tidak beri kebenaran, tidak boleh berkahwin dengan wanita itu. Seperti disebutkan di dalam sebuah hadis yang mengatakan:
“أَيُّمَا عَبْدٍ تَزَوّج بِغَيْرِ إِذَنْ مَوَاليه فَهُوَ عَاهِر”siapa pun budaknya kawin tanpa seizin tuan-tuannya, maka dia adalah seorang pezina.
Dan kalau tuan kepada hamba itu adalah seorang wanita, maka yang menjadi wali bagi hamba wanita itu adalah wali kepada tuannya itu sendiri.
وَءآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut.
Untuk mengahwini wanita hamba pun perlulah dibayar mahr mereka. Berilah dengan cara makruf – dengan cara yang patut. Janganlah kerana mereka itu hanya hamba sahaya sahaja, kamu tidak bayar mahr mereka.
Mahr pun kena beri kepada tuan hamba. Sebab seorang hamba terikat dengan tuannya. Seorang hamba itu tidak ada hak, sampaikan mereka pun tidak ada harta, jadi mahr pun bukan hak mereka. Akan tetapi, Imam Malik tetap berpendapat yang mahr adalah hak wanita hamba itu.
مُحْصَنٰتٍ غَيْرَ مُسٰفِحٰتٍ
Mereka yang hendak menjaga maruah, bukan perempuan-perempuan lacur,
Kahwinilah wanita hamba yang mahu memelihara diri dari zina. Bukan jenis pelacur. Maknanya kena cari wanita yang baik.
Walaupun ayat ini tentang wanita hamba, tapi seorang lelaki pun kenalah cari wanita merdeka yang baik juga untuk dikahwini. Jangan menikah dengan wanita yang suka berpeleseran.
وَلَا مُتَّخِذٰتِ أَخْدَانٍ
dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan.
Bukan perempuan yang mahu lelaki simpanan. Ini pun ada juga pada zaman itu. Sebagai contoh ada perempuan kaya yang berani mengambil lelaki sebagai lelaki simpanan. Jangan kita sangka lelaki sahaja yang ada mengambil perempuan simpanan. Dalam ayat ini pula, ia bermaksud perempuan yang ada teman dia (boyfriend) tapi bukan suaminya (bersekedudukan). Maka jangan kahwini hamba yang sebegitu.
فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفٰحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنٰتِ مِنَ الْعَذَابِ
Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka.
Sekiranya hamba perempuan buat dosa zina selepas dia telah berkahwin, hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah separuh dari hukuman yang dikenakan kepada orang merdeka. Kalau orang merdeka kena 100 rotan, mereka dikenakan dengan 50 rotan sahaja.
Ada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya melalui Ali r.a., bahawa dia pernah berkhutbah, “Hai manusia sekalian, tegakkanlah hukuman had atas budak-budak perempuan kalian, baik yang telah menikah ataupun yang belum menikah. Kerana sesungguhnya pernah budak perempuan milik Rasulullah ﷺ melakukan perbuatan zina, maka beliau ﷺ memerintahkan kepadaku untuk menderanya. Ternyata budak perempuan tersebut masih baru dalam keadaan nifas, maka aku merasa khawatir bila menderanya, nanti dia akan mati. Ketika aku ceritakan hal tersebut kepada Nabi ﷺ , maka Nabi ﷺ bersabda:
«أَحْسَنْتَ اتْرُكْهَا حَتَّى تَمَاثَلَ»‘Tindakanmu baik, biarkanlah dia dahulu hingga keadaannya membaik”.”
Menurut riwayat Abdullah ibnu Ahmad, dari selain ayahnya, Rasulullah Saw. bersabda kepadanya:
«فَإِذَا تَعَالَتْ مِنْ نَفْسِهَا حَدَّهَا خَمْسِينَ»Apabila dia telah bebas dari nifasnya, maka deralah dia sebanyak lima puluh kali.
Hukuman kepada penzina yang telah berkahwin adalah rejam sampai mati. Tapi kalau rejam sampai mati, tentulah tidak boleh dibahagi dua (tidak ada rejam separuh mati). Jadi, ayat ini merujuk kepada hukuman yang boleh dibahagi, iaitu 100 rotan menjadi 50 rotan. Allahu a’lam.
ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ الْعَنَتَ مِنكُمْ
bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu;
Hukum kebenaran berkahwin dengan hamba ini khusus kepada yang takut berlaku perzinaan sahaja. Kalau ada yang rasa, kalau tidak bernikah, dia akan melakukan zina dengan wanita lain. Ini adalah kerana perkahwinan dengan hamba ini tidak digalakkan.
وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ
dan jika kamu bersabar, itu adalah lebih baik bagi kamu.
Kalau boleh sabar sehingga cukup belanja untuk kahwin dengan perempuan merdeka, itu adalah lebih baik. Kahwin dengan wanita yang merdeka itu lebih baik. Antaranya, kerana anak akan merdeka juga.
Ini bermakna, kalau berkahwin dengan wanita yang menjadi hamba sahaya kepada seseorang, dan mereka dapat anak, anak hasil dari perkahwinan itu akan menjadi hamba pula kepada tuan yang asal itu.
Dan seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita hamba adalah perbuatan yang rendah kerana kedudukan mereka tidak sama. Maka kalau boleh, dielakkan.
Diingatkan bahawa perkahwinan dengan hamba ini adalah kepada mereka yang tidak mampu untuk berkahwin dengan wanita yang merdeka. Jadi, kalau seseorang yang mampu, tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita yang hamba, mengikut pendapat Imam Syafie.
وَاللهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Walaupun perkahwinan dengan wanita yang hamba tidak digalakkan dan dikira termasuk dalam perkara makruh, tapi Allah ampunkan perkara itu, kerana ada sebab lelaki itu terpaksa berkahwin dengan wanita hamba.
Allah juga maha mengasihani, dimana Allah telah membenarkan perkahwinan dengan wanita yang hamba. Allah boleh sahaja tidak benarkan, tapi Allah benarkan atas sifat RahmahNya.
Habis Ruku’ 4 dari 24 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 26: Selalu orang tanya, apa yang Allah hendak dari kita? Banyak sangat bagi hukum kepada manusia, sampai ada yang rasa lemah dan lemas dengan undang-undang Islam ini (kerana mereka tidak faham).
Oleh kerana tidak faham keindahan hukum-hukum Allah dalam Qur’an, maka ramai yang mempersoalkan undang-undang yang disampaikan. Maka ayat ini menjawap persoalan itu.
يُرِيدُ اللهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَاللهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh wants to make clear to you [the lawful from the unlawful] and guide you to the [good] practices of those before you and to accept your repentance. And Allāh is Knowing and Wise.
MALAY
Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
يُرِيدُ اللهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ
Allah menghendaki untuk menerangkan kepada kamu
Allah ingin jelaskan undang-undang syariat keluarga dan undang-undang yang lain. Dalam ayat-ayat yang kita telah belajar ini, Allah menjelaskan apakah hukum-hukum yang perlu kita ikuti.
Hukum-hukum itu memberitahu manakah yang baik dan manakah yang tidak. Semuanya itu adalah untuk kebaikan diri kita. Kalau kita belajar, akan jelas kepada kita betapa pentingnya undang-undang itu.
وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ
dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu
Allah mengajar kepada kita tentang cara hidup orang-orang yang berjaya sebelum kita. Kerana itulah jalan untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Hukum-hukum yang dikenakan untuk kita ikut itu bukan diberikan kepada umat Nabi Muhammad sahaja, tapi telah diberikan juga kepada para Nabi dan umat-umat sebelum kita.
Allah hendak kita berjaya dalam kehidupan kita. Maka kita kena belajar dengan contoh-contoh perjalanan hidup orang-orang yang terdahulu sebelum kita. Kalau kita ikut contoh kejayaan mereka, maka kita pun akan berjaya juga.
وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ
dan juga untuk menerima taubat kamu.
Dan Allah hendak menerima taubat kita. Kerana itu Allah ajar tentang taubat di dalam ayat-ayat sebelum ini. Allah menganjurkan kita bertaubat dan Allah sebut cara-caranya. Dan kita belajar apakah tujuan taubat dan kita dah belajar Allah suka menerima taubat.
Jangan kita tertipu dengan syaitan yang menjadikan kita putus asa dengan dosa-dosa kita. Ada orang yang sudah terlalu banyak dosa sampai mereka rasa Allah tidak akan ampunkan dosa mereka lagi.
وَاللهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Oleh kerana Allah Maha Tahu dan Maha Bijaksana, maka hukum yang telah ditetapkanNya itu tentulah ada banyak kebaikan dan banyak hikmat. Kalau kita dapat ikut undang-undang itu, kita pasti akan berjaya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 22 Julai 2018
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
Salam tuan.
“Kalau tidak mampu untuk berkahwin dengan wanita yang merdeka, seorang lelaki dibolehkan untuk berkahwin dengan hamba perempuan yang mukmin”
Q: Kenapa perlu tuan itu berkahwin dgn hamba sahayanya yg beriman (sekiranya tak mampu utk berkahwin dgn perempuan merdeka) sedangkan seorang tuan boleh menggauli hamba sahayanya tanpa nikah (betulkan kalau sy salah)?
Atau konteks menggauli hamba sahaya adalah terpakai utk hamba yg beriman dan yg kafir ttp utk berkahwin perlu hamba yg beriman?
Tq.
LikeLike
Ini bukan tuan menggauli hambanya. Ini seorang lelaki lain, tak mampu menikahi wanita merdeka, maka dia menikahi wanita hamba (hamba kepada orang lain).
LikeLike
“maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki.”
Pernyataan di atas bukan merujuk kpd tuan kpd seorang hamba?
LikeLike