Tafsir Surah an-Nisa Ayat 24 (Nikah Mut’ah)

Ayat 24: Ini adalah Hukum ke 13 dalam Surah an-Nisa ini. Hukum perkahwinan dengan hamba yang beriman yang dimiliki oleh orang lain.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang wanita-wanita yang langsung tidak boleh dikahwini sampai bila-bila. Ayat ini menyebut tentang mereka yang tidak boleh dikahwini juga, tapi ianya haram bersyarat. Iaitu kalau sebab yang menyebabkan mereka haram dikahwini itu diangkat, mereka boleh dikahwini.

Sebagai contoh, memang kita tahu tak boleh kahwin isteri orang. Tapi kalau dia bukan isteri orang lagi, sudah boleh dikahwini, bukan?

وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُمْ كِتٰبَ اللهِ عَلَيْكُمْ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ فَمَا اسْتَمْتَعْتُم بِهِ مِنْهُنَّ فَئآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرٰضَيْتُم بِهِ مِن بَعْدِ الْفَرِيضَةِ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [also prohibited to you are all] married women except those your right hands possess.¹[This is] the decree of Allāh upon you. And lawful to you are [all others] beyond these, [provided] that you seek them [in marriage] with [gifts from] your property, desiring chastity, not unlawful sexual intercourse. So for whatever you enjoy [of marriage] from them, give them their due compensation² as an obligation. And there is no blame upon you for what you mutually agree to beyond the obligation. Indeed, Allāh is ever Knowing and Wise.

  • i.e., slaves or war captives who had polytheist husbands.
  • The mahr, a specified gift to the bride required of the man upon marriage.

MALAY

Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah dia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ النِّسَاءِ

Dan perempuan-perempuan isteri orang, 

Ini adalah sambungan dari ayat-ayat pengharaman berkahwin dengan wanita-wanita dalam ayat sebelum ini. Senarai itu diteruskan lagi. Perempuan-perempuan yang masih isteri orang, tidak boleh kita kahwini.

Oleh itu, seorang isteri hanya boleh dikahwini oleh seorang lelaki. Tidaklah boleh seorang isteri ada ramai suami. Ada yang mulut celupar, mengatakan kalau suami boleh ada isteri banyak, isteri pun bolehlah ada suami yang banyak juga. Ini adalah kata-kata yang menentang ketentuan Allah.

Ia juga tidak praktikal, sebagai contoh, kita pun tahu yang tujuan perkahwinan adalah untuk mendapatkan anak. Seorang wanita hanya boleh melahirkan seorang anak sahaja pada satu-satu masa. Kalau dia ada banyak suami, kalau dia melahirkan anak, anak siapakah yang dilahirkan itu? Sedangkan kalau seorang suami ada banyak isteri, dan semua isterinya melahirkan anak, dia boleh pasti bahawa itu semua adalah anaknya.

 

إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُمْ

kecuali hamba sahaya yang kamu miliki.

Isteri orang adalah haram untuk dikahwini, melainkan kalau mereka itu hamba sahaya kita. Hamba sahaya itu boleh didapati dari hasil perang. Setelah musuh dikalahkan, kita boleh mengambil wanita-wanita sebagai tawanan dan mereka boleh menjadi milik kita.

Mungkin mereka itu isteri seseorang di negara Kafir Harbi, tapi apabila mereka masuk ke negara Islam, perkahwinan mereka itu telah mansukh.

Ada khilaf ulama berkenaan keadaan jikalau suami dan isteri yang ditangkap dan dijadikan hamba. Imam Abu Hanifah berpendapat pernikahan mereka masih ada, tapi Imam Malik dan Imam Syafie berpendapat pernikahan mereka dimansukhkan.

Mungkin mereka itu isteri orang, tapi kerana mereka hamba sahaya, mereka boleh dinikahi oleh kita. Cuma syaratnya, kena pastikan yang mereka tidak hamil waktu itu. Oleh itu, sebelum bersama dengan mereka, kenalah ditunggu sehingga haidh wanita itu datang sekali dahulu. Perbuatan ini dinamakan istibra‘ (membersihkan rahim).

Ada hadis riwayat Tirmizi berkenaan perkara ini:

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، أَخْبَرَنَا حَبَّانُ بْنُ هِلاَلٍ، حَدَّثَنَا هَمَّامُ بْنُ يَحْيَى، حَدَّثَنَا قَتَادَةُ، عَنْ أَبِي الْخَلِيلِ، عَنْ أَبِي عَلْقَمَةَ الْهَاشِمِيِّ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ أَوْطَاسٍ أَصَبْنَا نِسَاءً لَهُنَّ أَزْوَاجٌ فِي الْمُشْرِكِينَ فَكَرِهَهُنَّ رِجَالٌ مِنْهُمْ فَأَنْزَلَ اللَّهُ ‏:‏‏(‏وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلاَّ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ‏)‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ ‏

Pada Hari Awtas (Peperangan Awtas), kami menawan beberapa wanita yang mempunyai suami di kalangan orang-orang musyrik, beberapa sahabat ada yang tidak suka (mengadakan hubungan kelamin dengan hamba yang ada suami), maka Allah Taala menurunkan ayat: “Dan wanita yang bersuami, kecuali orang-orang yang tangan-tangan kanan kamu memiliki … (04:24)” Tirmizi mengatakan yang hadis ini hasan.

Juga dalam hadis yang lain:

حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ بْنِ مَيْسَرَةَ الْقَوَارِيْرِيُّ حَدَّثَنَا يَزِيْدُ بْنُ زُرَيْعٍ حَدَّثَنَا سَعِيْدُ بْنُ أَبِي عَرُوْبَةَ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ صَالِحٍ أَبِي الْخَلِيْلِ عَنْ أَبِي عَلْقَمَةَ الْهَاشِمِيِّ عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ اَلْخُدْرِيِّ :

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ حُنَيْنٍ بَعَثَ جَيْشًا إِلَى أَوْطَاسَ فَلَقُوْا عَدُوًّا فَقَاتَلُوْهُمْ فَظَهَرُوْا عَلَيْهِمْ وَأَصَابُوْا لَهُمْ سَبَايَا فَكَأَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحَرَّجُوْا مِنْ غِشْيَانِهِنَّ مِنْ أَجْلِ أَزْوَاجِهِنَّ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ فَأَنْزَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي ذَلِكَ { وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلاَّ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ } [4 /النساء/ الآية 24] أَيْ فَهُنَّ لَكُمْ حَلاَلٌ إِذَا انْقَضَتْ عِدَّتُهُنَّ

33 – (1456)

Telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidullah bin Umar bin Maisarah Al Qawariri telah menceritakan kepada kami Yazid bin Zurai’ telah menceritakan kepada kami Sa’id bin Abu ‘Arubah dari Qatadah dari Shalih Abu Al Khalil dari Abu Alqamah Al Hasyimi dari Abu Sa’id Al Khudri :

Bahawa pada saat perang Hunain, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengirim ekspedisi ke wilayah Authas, kemudian mereka bertemu dengan musuh dan terjadilah pertempuran, akhirnya mereka dapat mengalahkan musuh dan berhasil menawan musuh, di antaranya adalah tawanan wanita, seakan-akan para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keberatan menggauli mereka, karena mereka memiliki suami-suami yang masih musyrik. Maka Allah menurunkan ayat mengenai hal itu “Dan di haramkan bagi kamu mengawini wanita-wanita yang bersuami, kecuali budak-budak yang kalian miliki, (Allah telah menetapkan hukum itu) sebgai ketetapan-Nya atas kamu.” (QS: An Nisaa’ : 24). Maksudnya, mereka halal bagimu setelah ‘iddah mereka habis. (Shahih Muslim 1456 -33  )

Dalam Islam hamba perempuan dihalalkan untuk digauli sebagaimana layaknya seorang isteri, namun hamba tersebut hanya boleh digauli oleh tuannya saja.

Ertinya hamba yang dimiliki oleh seorang bapa tidak boleh digauli oleh anaknya atau siapapun yang lain. Bahkan apabila dia telah melahirkan anak maka statusnya telah bertukar menjadi ‘ummul walad’ dimana tuannya tidak boleh menjualnya kepada yang lain, tetapi dia perlu terus memelihara atau memerdekakannya.

Undang-undang hamba masih lagi berjalan dalam syariat Islam. Memang tidak ada hamba lagi zaman sekarang, jadi hukum hamba itu ‘tergantung’. Ianya tidak dimansukhkan, dan boleh digunakan apabila perlu.

Oleh kerana sekarang tidak ada perang jihad, dan kalau ada perang pun, tidaklah pihak musuh mengambil hamba dari tawanan mereka, maka tidaklah Islam menjalankan sistem perhambaan lagi sekarang. Tetapi katakanlah ianya dimulakan oleh pihak musuh Islam, jadi sistem hamba masih boleh dijalankan semula.

Sebelum Islam diturunkan, perbudakan atau perhambaan sangat biasa dan tidak ada batasan yang melarangnya. Ertinya siapa saja dapat dijadikan hamba dengan cara apapun, seperti dirampas, diculik dan sebagainya. Namun ketika Islam datang perhambaan sangat dibatasi. Iaitu hanya tawanan perang yang boleh dijadikan hamba. Sebab hal ini sudah menjadi konvensi internasional, dimana orang Islam pun ditawan oleh musuh akan dijadikan hamba.

Undang-undang Islam berkenaan hamba ini ada disebut di dalam kitab-kitab Fiqh dengan terperinci. Cuma mungkin jarang diajar kerana tidak ada praktikal buat masa sekarang kerana tidak ada hamba lagi zaman sekarang. Tapi kita kena faham yang bukan Islam yang memulakan sistem perhambaan.

Undang-undang Islam cuma mengawal sistem perhambaan supaya tidak ada penyalahgunaan kepada mereka. Bayangkan, dalam Islam apabila ada hamba, hamba itu kena makan apa yang kita makan dan pakai pakaian apa yang kita pakai.

 

كِتٰبَ اللهِ عَلَيْكُمْ

suatu ketetapan hukum Allah atas kamu.

Hukum ini adalah ketetapan dari Allah, maka hendaklah kita jaga, dan jangan kita langgar. Perkahwinan dengan isteri orang lain memang tidak akan boleh sampai bila-bila.

Begitu juga dengan hukum perhambaan dan bagaimana seorang tuan boleh bergaul dengan hamba wanitanya. Mungkin kerana tidak belajar, ramai yang salah faham tentang sistem perhambaan dan bagaimana seorang tuan boleh mengadakan hubungan seks dengan hambanya. Mungkin ada yang rasa ini tidak patut. Jadi kita kena tahu serba sedikit undang-undang perhambaaan ini:

1. Islam tidaklah membenarkan seorang tentera terus mengadakan hubungan kelamin dengan wanita dari pihak musuh yang ditangkap. Mereka itu semua dikira sebagai harta kerajaan dan perlu diberikan kepada kerajaan dulu. Kerajaan yang akan buat keputusan tentang mereka.

Kerajaan boleh pilih samada untuk bebaskan dengan percuma, bebaskan tapi dengan tebusan, tukar dengan tawanan perang Orang Islam, atau dibahagikan kepada para tentera Muslim. Apabila telah diberikan, barulah boleh mengadakan hubungan seks dengan mereka.

2. Itu pun setelah menerima wanita tawanan itu, seorang lelaki kena tunggu satu kitaran haid untuk memastikan wanita itu tidak mengandung. Kalau mengandung, kena tunggu wanita itu bersalin dahulu.

3. Wanita tawanan perang yang dijadikan hamba itu tidak semestinya kena dari kalangan Ahli Kitab. Boleh mereka digauli walaupun mereka itu dari agama lain pun.

4. Hanya tuannya sahaja yang boleh menjimak wanita itu, tidak boleh diberikan kepada orang lain (ini kebiasaan zaman Jahiliah). Dan apabila wanita itu beranak, maka anak itu adalah anak kepada tuannya dan dapat hak-hak sebagai seorang anak (dapat harta pusaka dan sebagainya).

Dan wanita itu sudah mendapat status Ummul Walad dan tidak boleh dijual kepada orang lain lagi. Dan apabila tuannya mati, wanita itu otomatik menjadi bebas.

5. Tuan itu boleh membenarkan wanita hambanya itu mengahwini orang lain. Dan apabila dia sudah berkahwin, tuan itu tidak boleh menjimaknya lagi. Cuma wanita itu boleh berkhidmat dalam bentuk lain (mencuci rumah dan lain-lain lagi).

6. Isteri yang sah hanya boleh setakat 4 orang sahaja, tapi tidak ada had untuk wanita hamba. Ini bukanlah untuk membenarkan seorang lelaki menjadikan harem pula di rumahnya. Tapi tiada had ditetapkan kerana tidak tahu berapa banyak perang akan ada dan berapa banyak tawanan perang akan didapati.

7. Hamba sebagai harta dan boleh dipindah milik.

8. Apabila kerajaan telah memberikan wanita sebagai hamba kepada seseorang tentera, maka kerajaan tidak boleh ambil balik atau memansukhkan pemberian itu. Sama juga kalau wali telah serahkan anaknya untuk dikahwini, tidaklah boleh wali itu menukar perjanjian perkahwinan itu.

9. Jeneral perang tidak boleh membenarkan para tentera untuk terus berjimak dengan tawanan perang. Tawanan perang itu kena dibahagikan oleh kerajaan dahulu.

 

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوٰلِكُم

Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu

Selain daripada pengharaman wanita yang telah disebutkan dalam ayat ini dan ayat sebelum ini, boleh kamu kahwini wanita-wanita yang lain. Banyak lagi yang boleh dicari dan dikahwini. Asalkan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antaranya yang disentuh dalam ayat ini, perempuan yang hendak dikahwini itu hendaklah diberi belanja mahr.

Malah di awal surah ini telah disebut yang bukan sahaja boleh berkahwin satu, seorang lelaki dibenarkan untuk berkahwin sampai empat orang isteri pada satu masa. Maka janganlah dicari wanita yang kamu tidak boleh nikahi lagi.

Allah sebut mahr itu mestilah sesuatu yang dianggap sebagai ‘harta’. Belanja mahr itu hendaklah harta yang berpatutan. Ianya akan menjadi hak isteri itu maka hendaklah diberi jumlah yang dapat digunakan oleh mereka. Janganlah bagi 80 ringgit sahaja, atau ada yang nak beri Qur’an, atau dengan bacaan surah al-Ikhlas dan sebagainya.

Janganlah begitu. Janganlah bagi alasan nak ikut sahabat Nabi yang mahr mereka adalah ajar Qur’an sahaja kepada bakal isteri mereka. Kamu itu bukanlah sahabat. Dan zaman kita bukanlah seperti zaman mereka dengan dugaan-dugaan yang mereka lalui. Janganlah perasan rasa macam sahabat pula. Jadi, belanja Mahr itu kena diberikan dengan wang atau harta yang berpatutan.

Secara ringkasnya, lafaz بِأَمْوَالِكُم bermaksud dua perkara:

  1. Pernikahan tidak sah kalau tidak ada mahr. Jangan pula kedua pasangan lelaki dan wanita itu bersetuju untuk tak payah bayar mahr. Tidak boleh memandai buat hukum yang baru. Mesti kena ada pembayaran mahr. Tapi boleh berhutang dan tidak dibayar semasa majlis akad nikah itu – kena bayar waktu lain.
  2. Apa-apa yang diberi itu mestilah termasuk dalam أَمْوَالِ – harta. Maknanya, ada nilai benda yang diberikan sebagai mahr itu. Jadi, kalau nak beri naskah Qur’an, sebentuk cincin suasa, surah al-Ikhlas, itu tidak berapa kena.

 

مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ

untuk menjaga maruah, bukan secara berzina.

Lakukanlah perkahwinan itu dengan cara yang elok, dengan niat untuk menjaga maruah. Setiap manusia yang normal mempunyai keinginan nafsu seks, kepada pasangan yang berlawanan jenis, kerana itu yang Allah telah berikan kepada kita semua.

Mempunyai nafsu tidak salah, asalkan ianya dihadapkan ke tempat yang halal. Dan cara yang halal adalah dengan pernikahan. Ianya dilakukan dengan cara yang baik, dengan persetujuan semua pihak, disaksikan oleh para saksi dan wali dan sebagainya. Seorang lelaki meminang seorang perempuan dan perempuan itu bersetuju untuk bersama dengan lelaki itu dengan cara yang bermaruah sekali. Inilah yang indahnya.

Dan bukan untuk menjadikan mereka sebagai perempuan simpanan atau pasangan zina. Kita berkahwin ada sebab-sebabnya, bukan kerana kerana nak puaskan nafsu sahaja. Sebab ada yang beri duit untuk perempuan simpanan atau kepada pelacur. Maknanya, mereka keluarkan duit juga macam keluarkan mahr, tapi tidak sah kerana tidak ada aqad nikah dan bukan dengan cara yang bermaruah.

Anak-anak kita kena diberi ilmu supaya mereka tahu hendak hidup dan tahu bagaimana untuk bersedia untuk kahwin. Kena ajar mereka erti tanggungjawab. Ibubapa jangan bagi semua yang diminta kepada anak. Ada ibubapa yang buat segalanya untuk anak mereka, sampai anak mereka terlalu bergantung kepada ibubapa. Ini adalah kerja yang bodoh sekali.

Mungkin ibubapa sangka mereka nak senangkan anak mereka, tapi tidak sebenarnya. Kalau ibubapa itu rasa mereka boleh hidup sampai bila-bila, bolehlah mereka buat macam itu. Tapi mereka kena tahu, kalau mereka tak tahu lagi, yang mereka akan mati akhirnya. Waktu mereka sudah tiada, siapa nak jaga anak mereka? Tidak ada orang yang nak jaga anak kita macam kita jaga, kerana orang lain pun ada anak mereka sendiri.

Oleh itu, kena ajar anak untuk hidup sendiri. Zaman sekarang banyak yang semuanya bergantung kepada emak dan ayah. Sampaikan nak kahwin pun, mak ayah yang kena uruskan. Apa nak jadi masyarakat kita kalau macam itu?

 

فَمَا اسْتَمْتَعْتُم بِهِ مِنْهُنَّ فَئآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً

Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya, maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya, sebagai suatu ketetapan

Untuk menjadikan perkahwinan itu sah, lelaki hendaklah memberikan mahr kepada wanita yang hendak dikahwininya. Itu adalah satu kefardhuan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka hendaklah dipenuhi.

‘Nikmat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘nikmat persetubuhan’. Sebab itu jikalau seorang lelaki telah memberi mahr kepada perempuan dan persetubuhan tidak berlaku, maka mahr itu boleh dipotong separuh, kerana ‘nikmat’ yang sepatutnya didapati tidak ada.

Sebab itu mahr itu amat penting sekali. Ianya perlu diberikan dari suami. Kalau pun ianya hutang, tidak dibayar semasa pernikahan, hendaklah si suami membayarnya seperti dijanjikan. Kerana suami itu telah menikmati faraj wanita itu maka dia kenalah bayar juga mahr yang telah dijanjikan.

Dan, seorang isteri walaupun telah dinikahi, tapi tidak dibayar mahr seperti yang dijanjikan, boleh menahan farajnya dari dinikmati oleh si suami.

 

Perbincangan tentang Nikah Mut’ah

Ada keperluan di sini untuk kita membincangkan sedikit tentang nikah Mut’ah yang diamalkan oleh agama Syiah. Saya katakan ‘agama Syiah’ kerana mereka itu bukan Islam, walaupun mereka mengatakan mereka menyembah Allah dan menggunakan Qur’an.

Mereka menggunakan dalil dari ayat ini – اسْتَمْتَعْتُم – untuk menghalalkan Mut’ah. Lafaz اسْتَمْتَعْتُم diambil dari katadasar م ت ع yang bermaksud ‘mengambil nikmat’. Dan mereka kata inilah ayat yang membenarkan mut’ah. Ini adalah cara yang salah sekali dan menggunakan ayat-ayat Qur’an dengan tujuan yang salah.

Mut’ah adalah perbuatan mengadakan hubungan seks lelaki dan wanita dengan melakukan pembayaran yang dipersetujui antara lelaki dan wanita itu. Ianya memang diamalkan sebelum Islam dan cuma diharamkan selepas Perang Khaibar.

Di dalam kitab Sahihain dari Amirul Mu’minun Ali ibnu Abu Talib yang mengatakan:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نِكَاحِ الْمُتْعَةِ، وَعَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ الْأَهْلِيَّةِ يَوْمَ خَيْبَرَ

Rasulullah  melarang nikah mut’ah dan (memakan) daging keledai kampung pada hari Perang Khaibar.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan dari Ar-Rabi’ ibnu Sabrah ibnu Ma’bad Al-Juhani, dari ayahnya, bahawa dia pernah berperang bersama-sama Rasulullah ﷺ pada hari penaklukan atas kota Mekah. Maka beliau ﷺ bersabda:

“يَأَيُّهَا النَّاسُ، إِنِّي كُنْتُ أَذِنْتُ لَكُمْ فِي الِاسْتِمْتَاعِ مِنَ النِّسَاءِ، وَإِنَّ اللَّهَ قَدْ حَرم ذَلِكَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَمَنْ كَانَ عِنْدَهُ مِنْهُنَّ شَيْءٌ فَلْيُخَلِّ سَبِيلَهُ، وَلَا تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا”

Hai manusia sekalian, sesungguhnya aku dahulu pernah mengizinkan kalian melakukan nikah mut’ah terhadap wanita. Dan sesungguhnya Allah telah mengharamkan hal tersebut sekarang sampai hari kiamat. Kerana itu, barang siapa yang padanya terdapat sesuatu dari nikah mut’ah ini, hendaklah dia melepaskannya, dan janganlah kalian mengambil kembali apa yang telah kalian berikan kepada mereka barang sedikit pun.

Ianya bukanlah sesuatu yang molek kerana perbuatan itu bukanlah pernikahan yang sah, wanita itu tidak mendapat hak yang sepatutnya didapati oleh seorang isteri dan ianya bukan tujuan untuk melangsungkan keturunan kerana bukan dilakukan untuk mendapatkan anak tapi kerana hendak memuaskan nafsu sahaja.

Sedangkan dalam ayat ini sendiri disebut: مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ – untuk menjaga maruah, bukan untuk zina. Sedangkan amalan Syiah ini adalah menggalakkan zina. Syiahlah satu-satunya agama dalam dunia yang menghalalkan zina. Tidak ada agama lain yang seteruk itu.

Dan dalam ayat lain, dalam Mukminoon:6 ada disebut:

إِلّا عَلىٰ أَزواجِهِم أَو ما مَلَكَت أَيمانُهُم

Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya

Maknanya, hubungan kelamin hanya boleh dilakukan dengan isteri atau dengan hamba sayaha sahaja. Maka, ini menolak kemungkinan-kemungkinan lain termasuklah nikah mut’ah.

 

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرٰضَيْتُم بِهِ مِن بَعْدِ الْفَرِيضَةِ

Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu

Kalau pasangan wanita itu dengan rela hati hendak memberikan mahr yang diterimanya kepada suaminya, tidak berdosa kalau suaminya mengambil. Asalkan saling rela.

Atau, si suami berkenan untuk memberi lebih dari yang telah dijanjikan.

Atau satu kemungkinan, si isteri sanggup untuk melengahkan lagi pembayaran mahr dari suami, mungkin kerana suaminya dalam kesempitan wang atau sebagainya.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah mengetahui isi hati manusia, samada mereka ikhlas atau tidak. Allah tahu isi hati manusia semasa mereka melakukannya. Maknanya, Allah tahu samada kita menikah itu untuk sebab yang halal atau untuk memuaskan nafsu sahaja. Allah tahu apa yang diperlukan oleh manusia. Oleh itu, Allah telah menjelaskan hukum-hukum yang perlu diikuti.

Allah Maha Bijaksana menetapkan hukum yang telah ditetapkan olehNya. Semua yang diwajibkan kepada kita adalah sesuatu yang memang patut untuk kita dan kalau kita ikut, akan memberi kebaikan untuk diri kita juga. Allah tahu hikmat sesuatu hukum itu, kadang-kadang kita tahu, kadang-kadang tidak jelas buat kita.

Kalau ianya tidak jelas, bukanlah bermaksud ianya tidak berhikmah, cuma kita sahaja yang tidak tahu. Malangnya, ada yang memikirkan dan mencari apakah hikmat sesuatu hukum Allah itu, dan apabila mereka tak nampak atau tidak jumpa, mereka kata hukum itu tidak sesuai untuk zaman sekarang. Ma sha Allah, itu amatlah kurang berilmu dan kurang ajar dengan Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibnu Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah an-Nisa Ayat 24 (Nikah Mut’ah)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s