Ayat 23: Ini adalah Hukum ke 12. Wanita-wanita yang haram dikahwini itu adalah kerana sebab keturunan dan kerana susuan. Wanita-wanita yang disenaraikan ini tidak boleh dikahwini sampai bila-bila.
Ada 13 golongan yang disebut dalam ayat ini:
7 golongan kerana senasab;
2 golongan kerana susuan; dan
4 golongan kerana perkahwinan.
Yang selain dari itu, halal dikahwini dengan cara ijab dan qabul.
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوٰتُكُمْ وَعَمّٰتُكُمْ وَخَٰلٰتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهٰتُكُمُ اللّٰتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوٰتُكُم مِّنَ الرَّضٰعَةِ وَأُمَّهٰتُ نِسَائِكُمْ وَرَبٰئِبُكُمُ اللّٰتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللّٰتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلٰئِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Prohibited to you [for marriage] are your mothers, your daughters, your sisters, your father’s sisters, your mother’s sisters, your brother’s daughters, your sister’s daughters, your [milk] mothers who nursed you, your sisters through nursing, your wives’ mothers, and your step-daughters under your guardianship [born] of your wives unto whom you have gone in. But if you have not gone in unto them, there is no sin upon you. And [also prohibited are] the wives of your sons who are from your [own] loins, and that you take [in marriage] two sisters simultaneously, except for what has already occurred.¹ Indeed, Allāh is ever Forgiving and Merciful.
- See previous footnote.
MALAY
Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهٰتُكُمْ
Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu,
Emak ke atas – termasuk nenek, moyang.
Ini termasuk juga emak tiri, iaitu isteri ayah kita.
وَبَنَاتُكُمْ
dan anak-anak kamu,
Anak ke bawah – termasuk cucu, cicit.
Termasuk juga dalam larangan ini, anak yang lahir dari hubungan zina kita dengan ibunya. Katakanlah kita telah melakukan seks dengan seorang wanita dan wanita itu telah melahirkan anak perempuan. Kita tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan itu kerana anak itu adalah anak kita, bukan?
Jumhur ulama menyimpulkan dalil atas haramnya anak perempuan yang terjadi akibat air mani zina bagi pelakunya berdasarkan keumuman makna firman-Nya: dan anak-anak perempuan kalian. (An-Nisa: 23).
Memang dalam Mazhab Syafie membenarkan menikah dengan anak luar nikah sendiri (kerana dikira sebagai bukan anak sebenar – bukan anak dari segi syarak). Sedangkan Mazhab Hanifah, Ahmad dan Malik mengharamkan perkara ini. Tapi akal yang sihat, tidak akan sanggup hendak kahwin dengan anak biologi sendiri samada anak luar nikah ataupun tidak.
وَأَخَوٰتُكُمْ
dan saudara-saudara kamu,
Iaitu adik beradik perempuan.
Termasuk dalam larangan ini adalah berkahwin dengan adik beradik tiri, samada sama bapa, lain ibu; atau sama ibu, lain bapa.
وَعَمّٰتُكُمْ
dan saudara-saudara bapa kamu,
Emak saudara belah ayah. Iaitu adik beradik ayah.
وَخٰلٰتُكُمْ
dan saudara-saudara ibu kamu
Emak saudara belah ibu. Iaitu adik beradik emak.
وَبَنَاتُ الْأَخِ
dan anak-anak saudara kamu yang lelaki,
Anak saudara dari adik beradik lelaki.
وَبَنَاتُ الْأُخْتِ
dan anak-anak saudara kamu yang perempuan,
Anak saudara dari adik beradik perempuan.
وَأُمَّهٰتُكُمُ اللّٰتِي أَرْضَعْنَكُمْ
dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu,
Tidak boleh mengahwini ‘ibu susuan’. Iaitu ibu yang telah menyusu kita semasa kita kecil. Sebagaimana haram mengahwini ibu kandung, maka begitulah juga haram mengahwini ibu susuan. Dan suami kepada ibu susu itu pula menjadi ‘bapa susuan’.
Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadis Malik ibnu Anas, dari Abdullah ibnu Abu Bakar ibnu Muhammad ibnu Amr ibnu Hazm, dari Amrah binti Abdur Rahman, dari Siti Aisyah Ummul Mukminin, bahawa Rasulullah ﷺ. pernah bersabda:
«إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الْوِلَادَةُ»Sesungguhnya persusuan itu dapat menjadikan mahram sebagaimana mahram kerana kelahiran.
Syarat menjadi ibu susuan adalah minum susu sampai lima kali ‘kenyang’ (Mazhab Syafie). Ulama lain berbeza pendapat tentang berapa kalikah bayi itu perlu menyusu sebelum dikira sebagai anak susuan. Ada yang kata asalkan menyusu sahaj dan ada yang mengatakan tiga kali kenyang.
Ulama lainnya berpendapat. tidak dapat menjadikan mahram persusuan yang kurang dari lima kali, kerana berdasarkan kepada hadis yang terdapat di dalam kitab Sahih Muslim melalui jalur Malik, dari Abdullah ibnu Abu Bakar, dari Urwah, dari Siti Aisyah r.a. yang menceritakan bahawa dahulu termasuk di antara ayat Al-Qur’an yang diturunkan ialah firman-Nya: Sepuluh kali persusuan yang telah dimaklumi dapat menjadikan mahram. Kemudian hal ini dimansukh oleh lima kali persusuan yang dimaklumi. Lalu Nabi Saw. wafat, sedangkan hal tersebut termasuk bahagian dari Al-Qur’an yang dibaca.
Dan maksud ‘kenyang’ ini juga dibincangkan. Maksudnya bukan lima nyonyot, bukan lima kali ‘duduk’. Tapi begini: semasa anak itu menyusu, dia akan menyusu dan menyusu, kemudian dia angkat muka dia berhenti menyusu. Ini sudah dikira satu. Kemudian dia menyusu balik dan berhenti sebentar – ini dikira kedua dah. Jadi ‘lima kali susu sampai kenyang’ ini boleh terjadi pada sekali duduk sahaja.
Dan ada juga pendapat tambahan yang mengatakan anak itu perlulah disusui semasa dalam lingkungan umur dua tahun, mengambil dalil dari ayat Baqarah:233. Jadi tidak bolehlah ambil anak angkat umur 5 tahun tapi nak jadikan dia anak susuan, maka ambil ubat dan disusukan. Anak itu tetap tidak termasuk sebagai anak susuan.
وَأَخَوٰتُكُم مِّنَ الرَّضٰعَةِ
dan saudara-saudara susuan kamu,
Ini dipanggil ‘adik beradik susuan’. Yang sama-sama menyusu dengan ibu yang sama.
Masalah yang timbul adalah kalau tidak tahu menahu tentang adik beradik susuan. Kerana yang menyusu itu tentulah semasa dia kecil. Jadi dia pun tidak tahu siapakah ibu susuan dia, siapakah adik beradik susuan dia. Masalah timbul jikalau sudah berkahwin dan tiba-tiba ada pula orang yang kata: “sebenarnya pasangan itu adalah adik beradik susuan”.
Kalau jadi begitu, tentulah susah kerana takut nanti terkahwin dengan adik beradik susuan pula. Oleh itu, kalau ada menyusukan anak orang, bagitahulah siap-siap dan simpan maklumat itu. Beritahu kepada anak-anak yang lain.
Ulama meletakkan syarat, kena ada dua saksi untuk memastikan perkara ini. Tapi kalau kita hendak berjaga-jaga, kalau ada seorang sahaja yang cakap kita sebenarnya adik beradik susuan dengan isteri kita, sebaiknya diambil langkah berjaga-jaga dengan menceraikan isteri kita itu. Allahu a’lam.
وَأُمَّهٰتُ نِسَائِكُمْ
dan ibu-ibu isteri kamu,
Pengharaman menikah dengan Ibu Mertua. Jadi haram walaupun tidak mengadakan hubungan kelamin pun dengan isteri kita. Maknanya, kalau kita sudah bernikah sahaja, tidak boleh selepas itu hendak mengahwini ibu isteri kita.
Walaupun kita telah bercerai dengan isteri kita. Kita tidak boleh nak ceraikan isteri kita dan kahwin dengan emak dia pula. Walaupun isteri kita sudah meninggal pun, tetap tidak boleh.
Walaupun kita tidak melakukan hubungan seks dengan anak wanita itu. Katakanlah kita menikah dengan seorang wanita, dan tiba-tiba kita tengok emak dia, kita berkenan pula dengan emak dia. Maka kita terus ceraikan isteri kita waktu itu juga (belum berjimak lagi dengan dia), kononnya kerana hendak mengahwini emak dia. Tidak boleh nak buat begitu.
وَرَبٰئِبُكُمُ اللّٰتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللّٰتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ
dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri;
Tidak boleh menikah dengan anak tiri. Ini adalah anak-anak dari isteri yang dalam pemeliharaan kita kerana kita telah berkahwin dengan ibu mereka. Dan kita telah melakukan hubungan kelamin dengan ibu mereka. Iaitu yang kamu telah bersetubuh dengan mereka. Kalau setakat akad sahaja, boleh lagi kalau ceraikan dan kahwin dengan anak bekas isteri.
Maksudnya, kalau kita menikah dengan seorang wanita dan selepas itu kita nampak anak dia dan berkenan pula nak menikah. Maka kita boleh terus ceraikan emak dia dan menikah dengan anak dia asalkan belum lagi berjimak dengan emak dia. (Lihat beza kalau dengan emak dia. Kalau dengan emak dia, walaupun tidak berjimak lagi, tetap tidak boleh menikah juga dengan emak isteri kita).
Ayat ini menyebut lafaz فِي حُجُورِكُم (dalam pemeliharaan kamu). Adakah ini bermaksud kalau wanita itu anak isteri kita, tapi bukan kita yang jaga dia, kita boleh berkahwin dengan dia apabila sudah bercerai dengan ibunya atau ibunya telah mati?
Jumhur ulama berpendapat tidak boleh berkahwin walaupun bukan dalam pemeliharaan kita, asalkan ianya adalah anak kandung dari isteri kita (dan kita telah jimak emaknya). Dalilnya, ada satu riwayat dimana Rasulullah ﷺ ditawarkan berkahwin dengan anak Umm Salamah, isteri baginda dan baginda kata tidak boleh.
Tapi ada juga pendapat yang mengatakan boleh, asalkan anak itu bukan dalam jagaan kita. Sebagai contoh, kita menikah dengan emak dia, tapi anak itu duduk di negeri lain. Pendapat ini berdasarkan dari satu hadis:
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Zar’ah, telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Hisyam (yakni Ibnu Yusuf), dari Ibnu Juraij, telah menceritakan kepadaku Ibrahim ibnu Ubaid ibnu Rifa’ah, telah menceritakan kepadaku Malik ibnu Aus ibnul Hadsan yang mengatakan, “Dahulu aku mempunyai seorang isteri, lalu dia meninggal dunia, sedangkan sebelum itu dia telah punya seorang anak perempuan, dan aku menyukainya. Ketika Ali ibnu Abu Talib bersua denganku, dia bertanya, ‘Mengapa kamu?’ Aku menjawab, ‘Isteriku telah meninggal dunia.’ Ali bertanya, ‘Apakah dia punya anak perempuan?’ Aku menjawab, ‘Ya, dan tinggal di Taif.’ Ali bertanya, ‘Apakah dahulunya dia berada dalam pemeliharaanmu?’ Aku menjawab, ‘Tidak, tetapi dia tinggal di Taif.” Ali berkata, ‘Kahwinilah dia’. Aku berkata, ‘Bagaimanakah dengan firman-Nya yang mengatakan: anak-anak isteri kalian yang dalam pemeliharaan kalian. (An-Nisa: 23). Ali berkata, ‘Sesungguhnya dia bukan berada dalam pemeliharaanmu. Sebenarnya ketentuan tersebut jika dia berada dalam pemeliharaanmu’.”
Syarah: Sanad astar ini kuat dan kukuh hingga sampai kepada Ali ibnu Abu Talib dengan syarat Muslim. Akan tetapi pendapat ini garib (aneh) sekali. Pendapat inilah yang dipegang oleh Daud Ibnu Ali Az-Zahiri dan semua muridnya, diriwayatkan oleh Abul Qasim Ar-Rafi’i. Dipilih oleh Ibnu Hazm.
Lafaz مِّن نِّسَائِكُمُ adalah lafaz yang umum, kerana tidak disebut yang wanita itu adalah isteri kita. Jadi, kalau ada wanita yang kita tidak bernikah dengannya pun, tapi kita telah mengadakan hubungan seksual dengan dia, mungkin kerana zina atau kerana kita sangka dia isteri kita waktu itu, anak-anak wanita itu sudah tidak halal bagi kita lagi.
فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
tetapi kalau kamu belum campuri mereka, maka tiadalah salah kamu
Kalau tidak sentuh lagi emak mereka, masih boleh lagi nak menikah dengan anak bekas isteri itu. Asalkan kenalah ceraikan dulu emaknya.
Pendapat ini dikuatkan lagi dengan satu hadis:
حَدَّثَنَا حِبَّانُ بْنُ مُوسَى، حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ، أَخْبَرَنَا الْمُثَنَّى بْنُ الصَّبَّاحِ، عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جده عن النبي صلىالله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا نَكَحَ الرَّجُلُ الْمَرْأَةَ فَلَا يَحِلُّ لَهُ أَنْ يَتَزَوَّجَ أُمَّهَا، دُخِلَ بِالْبِنْتِ أَوْ لَمْ يُدْخَلَ، وَإِذَا تَزَوَّجَ الْأُمَّ فَلَمْ يَدْخُلْ بِهَا ثُمَّ طَلَّقَهَا، فَإِنْ شَاءَ تَزَوَّجَ الِابْنَةَDisebutkan bahawa telah menceritakan kepada kami Hibban ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Ibnul Mubarak, telah menceritakan kepada kami Al-Musanna ibnus Sabbah, dari Amr ibnu Syu’aib, dari ayahnya, dari kakeknya, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda: Apabila seorang lelaki mengahwini seorang wanita, maka tidak halal baginya mengahwini ibu wanita itu, baik dia telah menggaulinya atau masih belum menggaulinya. Dan apabila dia kahwin dengan ibu si wanita, lalu dia tidak menggaulinya dan menceraikannya, maka jika dia suka boleh kahwin dengan anaknya.
وَحَلٰئِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلٰبِكُمْ
Dan isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu.
Kita tidak boleh berkahwin dengan bekas menantu. Iaitu bekas isteri anak lelaki kandung kita.
Allah tekankan yang menantu yang tidak boleh dikahwini adalah isteri anak kandung مِنْ أَصْلَابِكُمْ. Kalau bekas isteri ‘anak angkat’ kita, tidak mengapa. Ini penting kerana Nabi Muhammad ﷺ telah berkahwin dengan bekas isteri anak angkat baginda – Zayd ibn Harithah.
Apabila baginda berkahwin dengan Zainab, bekas isteri Zayd, puak Musyrikin Mekah mengutuk baginda kerana kahwin dengan menantu sendiri. Tapi Allah menekankan dalam Surah Ahzab (ayat 37) bahawa anak angkat bukanlah anak kandung dan tidak sama dengan anak kandung.
وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ
Dan menghimpunkan dua beradik sekali
Haram himpun adik beradik. Maksudnya tidak boleh kahwin adik beradik. Sudah kahwin kakak dia, nak menikah dengan adik dia pula. Ini tidak boleh – haram. Samada adik beradik dari keturunan atau kerana mereka adik beradik susuan.
Kalau telah pernah berkahwin dengan dua adik beradik semasa belum Islam, dan apabila masuk Islam, kena pilih satu sahaja dan kena ceraikan satu lagi. Ini berdasarkan dari hadis, bagaimana Nabi suruh sahabat yang ada isteri dua beradik untuk menceraikan salah seorang.
Tetapi, kalau kita sudah menceraikan salah seorang dari adik beradik itu, dan waktu iddah pun sudah tamat, maka bolehlah kita berkahwin dengan adik beradiknya. Dalam adat Melayu, ini dipanggil ‘ganti tikar’. Ini dibolehkan kerana tidak ‘menghimpunkan’ dua adik beradik. Yang tidak boleh adalah menghimpunkan keduanya dalam waktu yang sama.
Satu lagi penambahan: tidak boleh mencampurkan seorang wanita dengan anak saudaranya. Ini berdasarkan hadis. Cara untuk memahaminya, katakanlah salah seorang dari mereka itu lelaki, tentu salah seorang tidak dapat kahwin dengan salah satunya (seorang lelaki tidak boleh mengahwini emak saudaranya, bukan?)
إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ
kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.
Perbuatan dosa di atas, kalau pernah dilakukan pada zaman Jahiliyah, ianya dimaafkan kerana hukum belum tertegak lagi. Cuma jangan diteruskan lagi. Jangan buat lagi dan kalau kita ada perkahwinan yang termasuk dalam senarai yang diatas, perkahwinan itu hendaklah ditamatkan.
Ringkasan bagi ayat ini, tentang siapakah yang tidak boleh dikahwini:
- Ibu
- Anak
- Adik beradik
- Makcik sebelah bapa
- Makcik sebelah ibu
- Anak saudara sebelah adik beradik lelaki
- Anak saudara sebelah adik beradik perempuan
- Ibu susuan
- Adik beradik susuan
- Ibu Mertua
- Anak tiri
- Bekas menantu
- Menghimpun adik beradik
إِنَّ اللهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah maha pengampun. Segala kesalahan yang dilakukan sebelum Islam dimaafkan.
Allahu a’lam. Habis JUZ 4. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 Julai 2018
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Quran
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Salam tuan. Saya ada 2 soalan:
1. وَبَنَاتُكُمْ
“dan anak-anak kamu,
Anak ke bawah – termasuk cucu, cicit.
Termasuk juga dalam larangan ini, anak yang lahir dari hubungan zina kita dengan ibunya. Katakanlah kita telah melakukan seks dengan seorang wanita dan wanita itu telah melahirkan anak perempuan. Kita tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan itu kerana anak itu adalah anak kita, bukan?”
Q: adakah ini bermakna anak perempuan itu dan bapa biologinya tidak terbatal air sembahyang apabila bersentuhan?
2. وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ
“Dan menghimpunkan dua beradik sekali
Satu lagi penambahan: tidak boleh mencampurkan seorang wanita dengan anak saudaranya. Ini berdasarkan hadis. Cara untuk memahaminya, katakanlah salah seorang dari mereka itu lelaki, tentu salah seorang tidak dapat kahwin dengan salah satunya (seorang lelaki tidak boleh mengahwini emak saudaranya, bukan?)”
Q: Berapa pihak yang terlibat dlm cth ini? Sebab kalau 2 pihak shj, ia jelas termasuk dlm point 4 didlm ringkasan yg diberikan. Saya
baca berulangkali ‘cara utk memahaminya’ itu tp maaf…masih tidak faham. Sy mohon pencerahan tuan.
Terima kasih.
LikeLike
1. Bab batal air sembahyang itu khilaf. Sebenarnya yang lebih kuat, sentuh perempuan ajnabi pun tidak membatalkan wuduk. Kecuali kalau sentuh dengan nafsu. Jadi kalau anak dengan bapa, memang tidak membatalkan wuduk. Contohnya, kerana bersalaman.
2. Takpe, susah nak faham dan jarang berlaku pun. Yang penting ingat yang utama, tak boleh nikah adik dengan kakak dia sekali. Dan jangan nikah seorang wanita dengan emak saudara dia juga.
LikeLike
Maaf. Cuba explain semula cara lain. Mmg tak boleh faham tu rasanya..
LikeLike
mungkin kena tanya orang lain. bahasa saya macam ini sahaja.
LikeLike
Assalamualaikum.saya ada satu soalan untuk ditanya.
Bapa saudara saya telah berkahwin.isteri dia mempunyai adik beradik perempuan.bolehkah saya berkahwin dengan adik beradik perempuan isteri dia.
Saya mohon pencerahan.
LikeLike
ada jer:
https://celiktafsir.net/2015/09/17/fawaid-daurah-tafsir/
LikeLike