Tafsir Surah an-Nisa Ayat 20 – 22 (Hukum Nikah Kahwin)

Ayat 20: Ini adalah hukum ke 10. Ianya berkenaan hukum cerai. Ini perkara biasa sahaja terjadi jadi Qur’an tentu menyentuh perkara ini. Ayat ini adalah tentang apa yang diberikan kepada isteri yang dicerai.

وَإِنْ أَرَدتُّمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَّكَانَ زَوْجٍ وَءآتَيْتُمْ إِحْدٰهُنَّ قِنطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتٰنًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if you want to replace one wife with another and you have given one of them a great amount [in gifts], do not take [back] from it anything. Would you take it in injustice and manifest sin?

MALAY

Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?

 

وَإِنْ أَرَدتُّمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَّكَانَ زَوْجٍ

Dan jika kamu hendak mengambil isteri menggantikan tempat isteri

Ini pula nasihat kepada seorang suami yang hendak mengganti isteri baru di tempat isteri lama. Dalam bahasa mudahnya, hendak ganti isteri. Perceraian adalah perkara biasa diantara pasangan. Cuma jangan salahgunakan kedudukan sebagai seorang suami sampai menyebabkan kezaliman kepada isteri. Allah beri peringatan di dalam ayat ini. Kalau Allah beri peringatan sebegini, bermaksud memang ada orang yang buat.

 

وَءآتَيْتُمْ إِحْدٰهُنَّ قِنطَارًا

sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, 

Ada kemungkinan seorang suami itu telah memberi harta yang banyak kepada isteri yang hendak diceraikan itu. Iaitu harta itu diberikan sebagai mahr kepada wanita itu pada mereka mula berkahwin dulu. Memanglah kalau sedang bercinta dan sedang sayang, dan hendak pula kahwin dengan wanita itu, tentu sanggup beri macam-macam.

Dalam ayat ini, digunakan lafaz قِنطَارًا. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘selonggok emas’. Ia memberi isyarat keapda harta yang banyak. Ini menjadi dalil bahawa boleh kalau hendak memberi mahr yang mahal kepada bakal isteri.

Pernah Saidina Umar melarang rakyat (waktu dia menjadi khalifah) untuk meminta atau memberi mahr yang banyak. Saidina Umar kata, kalau mahr yang banyak itu adalah baik, tentu Nabi Muhammad dah buat begitu dah. Tapi tidak pernah Nabi Muhammad meminta mahr yang banyak untuk mengahwinkan anaknya. Jadi, Saidina Umar telah naik ke atas mimbar dan mengumumkan had mahr setakat 400 dirham atau kurang.

Sewaktu beliau turun dari mimbar, seorang wanita telah menegur beliau dengan membacakan ayat ini kepada beliau. Kerana Allah sendiri menggunakan kalimah قِنطَارًا yang bermaksud harta yang banyak, maka takkan Saidina Umar nak hadkan pula? Maka, Saidina Umar pun telah mengubah keputusan beliau. Maka tidak ada had untuk mahr di dalam Islam. Ia bergantung kepada kemampuan masing-masing. Allahu a’lam.

 

فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا

maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. 

Allah beri hukum kepada suami supaya jangan ambil balik apa yang telah diberikan sebagai mahr. Jangan ambil walau sedikit pun, kerana ada lafaz مِنْهُ شَيْئًا yang bermaksud ‘walaupun sedikit’.

Ini diberitahu kerana memang ada yang buat begitu. Masa sayang, masa cinta, semua sanggup diberikan. Tapi apabila sudah hendak diceraikan, mulalah minta balik apa yang telah diberikan dahulu. Mungkin kerana suami pun sudah nak kahwin orang lain, maka belanja kahwin dan hadiah isteri baru kena diberikan juga. Tentu susah kalau kena cari harta lain pula.

Jadi, cara paling mudah untuk mereka adalah ambil balik dari isteri lama. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang mereka tidak boleh ambil balik apa yang mereka telah berikan. Nak kahwin lain, carilah harta lain.

 

أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتٰنًا

Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar

Adakah kamu sanggup nak ambil sesuatu dengan cara yang salah?

Ada yang menggunakan cara yang buruk dengan mengambil harta itu. Mungkin ada yang membuat cerita palsu untuk memburukkan bekas isterinya itu untuk membolehkan dia mengambil balik harta itu. Maka Allah mengutuk mereka yang buat cara begitu. Jangan ambil dan lebih-lebih lagi jangan ambil dengan cara memburukkan bekas isteri itu.

Lafaz بُهْتَانًا juga bermaksud ‘tuduhan palsu’. Iaitu menuduh isterinya itu telah curang dan melakukan zina. Inilah sahaja sebab yang membolehkan seorang suami mengambil hak isterinya. Jadi, kalau dia ambil juga, itu bermakna dia sudah mengatakan yang isterinya telah curang. Dan ini sebenarnya termasuk dalam larangan Allah – Allah melarang membuat tuduhan palsu terhadap wanita yang suci. Perbuatan itu dinamakan qazf.

 

وَإِثْمًا مُّبِينًا

dan dosa yang nyata?

Sanggupkah kamu melakukan dosa mengambil sesuatu yang bukan hak kamu? Maka kerana itu jangan ambil mahr isteri dengan zalim. Kalau ambil dengan cara begitu, samada dengan memburukkan bekas isteri, atau rampas dengan cara zalim, itu adalah dosa yang nyata. Tidakkah kamu takut melakukan dosa?


 

Ayat 21: Hujah Allah lagi kenapa tidak patut ambil mahr yang telah diberi kepada isteri.

وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثٰقًا غَلِيظًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how could you take it while you have gone in unto each other and they have taken from you a solemn covenant?

MALAY

Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

 

وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ

Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain,

Wahai lelaki, bagaimana kamu sanggup nak ambil balik pemberian kamu kepada mereka dahulu, sedangkan kamu telah bergaul mesra dengan mereka semasa kamu masih bersuami isteri dahulu?

Apabila sudah bersuami isteri, tentu kita layan mereka lain dengan orang lain. Ada benda yang kita buat dengan isteri itu yang kita tidak buat dengan orang lain. Kita meluangkan banyak masa dengan mereka. Kita berkasih mesra dengan mereka. Kita beri mereka benda yang tidak diberikan kepada orang lain dan dia pun begitu juga.

Ada benda yang kita cerita kepada mereka yang kita tidak cerita kepada orang lain. Memang mereka tidak sama macam orang lain, mereka itu sebahagian dari kita, tempat mengadu kita, melepaskan resah kita dan sebagainya. Semua benda itu kita buat kerana kita telah menikah dengan mereka dan pernikahan itu sah dengan pemberian mahr itu. Oleh kerana itu, mahr yang telah diberikan itu dah jadi hak isteri kita. Itulah ‘bayaran’ bagi menghalalkan perhubungan itu.

Ada pendapat yang mengatakan perkataan أَفْضَىٰ bermaksud ‘hubungan kelamin’. Maksudnya, kamu telah mengadakan hubungan kelamin dengan mereka, bagaimana kamu sanggup nak ambil balik mahr yang kamu sudah berikan itu?

 

وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثٰقًا غَلِيظًا

dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

Dan kamu telah ada perjanjian serius dengan isteri kamu itu untuk hidup sama selagi nyawa masih di badan. Itu adalah perjanjian yang kuat. Apabila sudah ada perjanjian itu, dan sudah ada hubungan suami isteri, ibubapa pun tak boleh campur tangan dalam perjalanan kehidupan pasangan itu. Perjanjian telah termaktub atas suami untuk jaga isteri.

Maknanya, lelaki itu sudah mengambil tanggungjawab untuk menjaga wanita itu dari walinya yang asal (selalunya bapa). Dengan perjanjian itu, isteri telah menghalalkan farajnya kepada kamu untuk kamu nikmati. Kalau perjanjian itu perjanjian yang kukuh, adakah kamu berani nak pecahkan perjanjian itu, wahai suami? Sedangkan perjanjian itu telah dijalankan dalam majlis pernikahan yang disaksikan oleh ramai orang? Kamu tidak malukah nanti kalau kamu diperkatakan orang?


 

Ayat 22: Ini adalah hukum yang ke 11. Tidak boleh mengahwini bekas isteri bapa. Sebelum ini telah disebut tentang perceraian dan tentunya ada menyentuh sedikit tentang perkahwinan kerana telah disebut tentang mahr dan sebagainya.

Dalam ayat ini, ia hendak memberitahu kita bahawa bukan semua wanita boleh dikahwini. Ada wanita yang boleh dikahwini dan ada yang tidak. Oleh kerana lebih ramai yang boleh dikahwini, Allah hanya sebut yang tak boleh dikahwini sahaja. Oleh itu, selain dari yang disebut dalam ayat-ayat ini, boleh dikahwini oleh seorang lelaki.

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ ءآبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فٰحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not marry those [women] whom your fathers married, except what has already occurred.¹ Indeed, it was an immorality and hateful [to Allāh] and was evil as a way.

  • Before Islām. After the ruling was revealed by Allāh, men were required to release those women unlawful to them (e.g., a stepmother, one of two sisters, or any wives over the limit of four). The same obligation applies to one once he has accepted Islām.

MALAY

Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).

 

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ ءآبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang telah diperisterikan oleh bapa kamu

Ini adalah larangan keras untuk berkahwin dengan emak tiri. Asalkan seorang wanita itu sudah pernah berkahwin dengan ayah kita sahaja, tidak boleh kita kahwin dengan dia, samada kalau ayah kita sudah mati atau ayah kita sudah ceraikan. Samada ayah itu sudah mengadakan hubungan kelamin dengan wanita itu atau tidak.

Kalau ayah kita telah mengadakan hubungan kelamin dengan seorang wanita tapi di luar nikah, pun tidak boleh kita menikah dengan wanita itu lagi.

 

إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ

kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. 

Kecuali apa yang telah dilakukan pada Zaman Jahiliyah dulu. Kalau dah kahwin, biarkan sahaja. Tidak perlu diceraikan pula. Kerana ianya telah berlaku. Waktu itu pun syariat larangan ini tidak ditegakkan lagi.

Makna yang pertama, mereka tidak berdosa kerana dulu mereka tidak tahu hukum ini. Tapi apabila tahu, maka kena perbetulkan.

Maka, kalau kejadian itu berlaku selepas masuk Islam, maka hendaklah seorang lelaki itu menceraikan wanita-wanita yang pernah dikahwini oleh bapanya. Tidak boleh terus berkahwin dengan mereka.

Juga, ia bermaksud, kalau ada anak hasil dari perkahwinan dengan ibu tiri itu tidaklah mereka menjadi anak haram. Mereka masih layak untuk menerima harta pusaka contohnya.

 

إِنَّهُ كَانَ فٰحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan

Perbuatan menikahi perempuan yang telah dinikahi oleh ayah sendiri adalah perbuatan yang amat buruk dari segi akal masyarakat. Ianya adalah perbuatan yang dikutuk dan dosa besar. Walaupun baru disebut dalam ayat Qur’an, tapi sememangnya ia adalah amalan yang buruk. Kalau Allah tak sebut pun, ianya sepatutnya dibenci oleh akal yang sihat. Kerana ianya melanggar fitrah manusia.

Oleh kerana itu, dalam Qur’an apabila digunakan kalimah مَقْتًا, ia merujuk kepada kemarahan Allah yang amat sangat. Seolah-olah Allah marah kepada mereka yang berkahwin dengan ibu tirinya sendiri.

Habis Ruku’ 3 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Mac 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s