Tafsir Surah an-Nisa Ayat 18 – 19 (Bicara tentang taubat)

Ayat 18: Taubat pun ada tahap. Ini adalah syarat-syarat lagi tentang taubat.

Ia juga adalah ayat Takhwif Ukhrawi dan Zajrun.

وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ حَتَّىٰ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ إِنِّي تُبْتُ الْئٰنَ وَلَا الَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمْ كُفَّارٌ أُولَٰئِكَ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But repentance is not [accepted] of those who [continue to] do evil deeds up until, when death comes to one of them, he says, “Indeed, I have repented now,” or of those who die while they are disbelievers. For them We have prepared a painful punishment.

MALAY

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, 

Tidak ada taubat kepada orang yang banyak buat dosa. Asyik buat dosa sahaja tanpa bertaubat. Mereka tidak kisah pun apa yang mereka lakukan. Mereka tidak fikirkan tentang syurga dan neraka. Mereka tidak kisah samada mereka melakukan kezaliman kepada orang atau tidak. Mereka hanya buat apa yang mereka hendak buat sahaja.

Ini amat bahaya kerana hati manusia sebegitu sudah berada pada tingkatan iblis dan syaitan. Kerana mereka tidak terfikir nak bertaubat. Kebanyakan manusia walaupun sedang melakukan dosa, tapi dalam hati mereka, mereka sedar yang mereka sedang melakukan dosa dan adalah sikit cita-cita untuk bertaubat di masa hadapan.

Maksud ‘taubat’ dari segi bahasa adalah ‘kembali’ atau kita boleh katakan sebagai u-turn. Dulu dia menjauh kepada Allah, tapi sekarang dia dah kembali kepada Allah. Ini bagi orang yang terfikir untuk taubat dan sempat untuk bertaubat.

Tapi akan ada manusia yang tidak terfikir pun untuk bertaubat. Mereka ikut suka mereka sahaja buat dosa, tapi sampai bila?

 

حَتَّىٰ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ إِنِّي تُبْتُ الْئٰنَ

hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,”

Iaitu seseorang yang terus melakukan dosa tanpa bertaubat, sehingga sampai ajalnya, baru nak bertaubat waktu itu. Masa itu nyawa sudah sampai ke halqum. Ini dijelaskan dalam hadis yang telah diberikan sebelum ini – taubatnya waktu itu tidak diterima.

Kerana waktu itu dia dah nampak tempatnya samada syurga atau neraka. Dia sudah nampak malaikat maut dengan wajah bengisnya sedang mencabut rohnya dengan keras! Taubat waktu itu sudah tidak laku lagi kerana suasana akhirat sudah bermula baginya. Ayat ini semakna dengan ayat lainnya, yaitu firman-Nya:

فَلَمَّا رَأَوْا بَأْسَنا قالُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَحْدَهُ

Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata, “Kami beriman kepada Allah saja.” (Al-Mu’min: 84)

Semua akan sedar kesalahan sendiri waktu itu dan tentu semua orang akan bertaubat. Tapi taubat waktu itu sudah tidak laku. Kerana Allah nak uji kita semasa kita hidup di dunia. Maka kalau kita sudah nampak ke mana kita akan pergi (iaitu ke neraka), maka mana ujiannya?

Ini adalah kerana kita telah katakan bahawa ‘taubat’ itu bermaksud ‘kembali’. Tapi kalau dia sudah nak mati dan masuk ke alam akhirat, ke mana lagi dia nak kembali? Tidak ada ruang lagi bagi dia untuk mengubah sikap dan sifat dia lagi.

Begitulah, kalau kita baca kisah Firaun, dia telah mengaku beriman dengan Tuhan Nabi Musa عليه السلام sewaktu dia sedang tenggelam dalam laut. Tapi, taubat dan imannya waktu itu tidak diterima kerana nyawanya sudah dekat halqum. Sudah terlambat waktu itu baru nak beriman.

Ini sebagai dalil bagi mengatakan yang taubat itu boleh diterima selagi mana tidak sampai ajal lagi. Jadi, kalau ada yang kata taubat itu mesti dilakukan sebaik sahaja melakukan dosa itu, itu adalah pendapat yang salah.

Tapi ini bukanlah alasan untuk melengahkan taubat kita. Kerana kita tidak tahu bilakah kita akan mati, bukan? Kalau kita lengahkan, adakah kita yakin yang kita akan dapat bertaubat sebelum kita mati? Bukankah kematian itu datang tanpa memberitahu kita? Bukankah ia boleh datang secara tiba-tiba?

 

وَلَا الَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمْ كُفَّارٌ

dan orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. 

Tidak juga diterima taubat orang yang mati dalam syirik kepada Allah. Selepas dia mati, baru hendak bertaubat, tidak akan diterima. Walaupun dia akan mahu beri satu dunia penuh dengan emas, atau sekali ganda dari itu untuk menebus dosanya, pun tidak akan diterima. Ruang untuk dia bertaubat sudah tertutup.

Orang yang mati dalam kufur, tiada siapa pun yang boleh tolong dia. Kalau anak beranak dia minta ampun bagi pihak dia pun, tidak diterima doa anak beranak itu.

 

أُولَٰئِكَ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Mereka akan disediakan dengan azab seksa di neraka dan mereka akan kekal dalam neraka.

Oleh itu, hendaklah kita melakukan taubat kita sebelum kita mati. Tapi kerana kita tidak tahu bila kita akan mati, maka hendaklah kita terus bertaubat dari masa ke semasa. Amalkan bertaubat dengan Allah selalu. Basahkan bibir kita dengan istighfar kepada Allah.


 

Ayat 19: Ini adalah hukum ke 9. Kita telah belajar tentang pembahagian harta pusaka. Tapi ingatlah yang wanita itu bukan harta pusaka pula.

Seperti yang kita telah sebut, semasa zaman jahiliyah, perempuan adalah seperti harta. Mereka boleh dipusakai seperti harta juga, diberi kepada pihak-pihak tertentu. Sampaikan ada adik beradik yang berebut janda adik beradik mereka sendiri, atau anak ambil janda bapa sendiri.

Bukan itu sahaja, mereka itu betul-betul seperti harta, sampai boleh jual pula kepada orang lain. Itu tidak patut berlaku, maka Allah beri hukum pengharaman tentang perkara ini.

يٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا ءآتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, it is not lawful for you to inherit women by compulsion.¹ And do not make difficulties for them in order to take [back] part of what you gave them² unless they commit a clear immorality [i.e., adultery]. And live with them in kindness. For if you dislike them – perhaps you dislike a thing and Allāh makes therein much good.

  • The deceased man’s heirs have no rights of marriage or otherwise over his widow.
  • At the time of marriage as mahr.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

 

يٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan,

Orang beriman diingatkan dalam ayat ini bahawa tidak halal memperolehi wanita dengan cara pusaka kerana itu adalah cara paksaan. Wanita ada hak dan mereka tidak boleh dijadikan seperti barang dagangan dan harta pusaka.

Kalau mahu mengahwini mereka yang telah kehilangan suami memang boleh, tapi kenalah buat dengan cara benar. Tidak boleh paksa mereka melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu.

Sebelum itu pada zaman Jahiliyah, wanita boleh diwarisi oleh ahli keluarga simati. Mereka boleh kahwini wanita itu, atau kahwinkan dengan orang lain, atau halang mereka dari kahwin dengan sesiapa pun. Itu adalah perbuatan yang buruk sekali. Sampaikan ada yang kahwini ibu tiri mereka sendiri.

Zaman sekarang memang tidak ada lagi pewarisan macam itu. Tapi ada atau tidak seseorang wanita itu disuruh melakukan perkara yang mereka tidak mahu? Macam dulu, ada ibubapa yang paksa anak mereka kahwin dengan orang yang mereka (ibubapa) hendak. Mungkin kerana ibubapa itu berkawan baik dengan keluarga si lelaki dan sebagainya. Atau ada yang hendak berbesan dengan orang kaya, maka mereka paksa anak mereka berkahwin dengan lelaki anak orang kaya itu sedangkan anak itu sendiri tidak rela dan redha.

Potongan ayat ini sahaja, kalau difahami akan memberikan banyak kelapangan kepada wanita. Pada zaman Jahiliyah dulu, wanita itu sendiri adalah seperti harta. Kalau dirinya sendiri dianggap seperti harta, apatah lagi tentang harta-harta yang lain?

Tentunya mereka dianggap tidak layak untuk memiliki harta langsung. Kalau mereka ada harta pun, harta itu akan dikira sebagai harta suami atau harta bapa mereka. Begitulah layanan masyarakat Arab Jahiliyah terhadap wanita. Mereka dilayan dengan buruk sendiri. Amalan sebegini bukan sahaja di dalam masyarakat Arab sahaja tapi di mana-mana tempat di dunia.

Di waktu masyarakat dunia memandang rendah kedudukan wanita, Islamlah yang membebaskan mereka. Maka janganlah kata Islam ini agama yang menindas wanita pula. Kerana ada yang kata begitu, bukan?

Dalam ayat ini, perkataan كَرْهًا (secara paksa) digunakan. Adakah ini bermaksud yang kalau wanita itu setuju untuk dimiliki oleh orang lain, itu diterima? Tentu tidak. Bukanlah maksud Allah, yang tidak boleh adalah kalau dipaksa sahaja; kalau dia rela, boleh pula. Tidak begitu.

Allah memberitahu dalam ayat ini, bahawa tidak ada mana-mana wanita yang mahu diperlakukan sedemikian. Kalau mulut dia kata rela pun, tidaklah wanita itu dalam keadaan waras. Tidak akan berlaku begitu.

Allah juga menggunakan lafaz لَا يَحِلُّ (tidak halal) dalam ayat ini, memberi hukum bahawa perkahwinan yang sebegitu bukan sahaja dilarang, tapi ianya tidak sah, tidak halal. Jadi, ia bukan sahaja berdosa, tapi tidak sah. Ini lebih berat lagi dari hanya dilarang sahaja.

Kerana ada perkara yang dilarang, tapi ianya masih sah lagi. Sebagai contoh, suami dilarang untuk menceraikan isterinya sewaktu isterinya dalam haidh, tapi perceraian itu masih sah lagi (mengikut sesetengah pendapat).

Apabila perkahwinan sebegitu tidak sah, bermakna ada kesan kepada keluarga itu. Sebagai contoh, anak yang lahir dari perkahwinan itu tidak boleh dianggap sebagai anak yang sah dan tidak layak untuk menerima harta pusaka.

 

وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا ءآتَيْتُمُوهُنَّ

dan janganlah kamu menyakiti mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya,

Ada yang menyusahkan wanita itu setelah wanita itu kehilangan suami. Sebagai contoh, mereka halang atau menyusahkan wanita-wanita itu untuk kahwin dengan orang lain. Kenapa mereka buat begitu?

Untuk mereka ambil duit yang dijadikan mahr oleh bekas suaminya. Mereka kata, kalau wanita itu nak kahwin dengan orang lain, kena pulangkan duit mahr atau pemberian dari suaminya yang telah meninggal itu.

Atau mereka halang wanita itu dari kahwin dengan orang lain yang luar dari keluarga mereka, kerana kalau wanita itu kahwin lain, dia akan bawa harta itu keluar dari keluarga.

Atau mereka letak syarat kepada mana-mana lelaki yang hendak kahwin dengan janda itu, kalau nak kawin dengan wanita itu, mahr kena beri kepada mereka, bukannya kepada wanita itu.

Contoh-contoh ini, atau apa-apa sahaja cara yang boleh difikirkan oleh mereka yang tidak berhati perut, adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ianya adalah dosa besar. Kena layan wanita dengan baik dan tanya kehendak mereka.

Ayat ini juga boleh bermaksud sebagai saranan kepada seorang suami, jangan susahkan isteri mereka kerana nak isteri mereka pulangkan balik mahr yang telah diberikan kepada mereka. Mungkin ada suami yang jahat, yang sudah tidak suka isteri mereka, maka mereka ganggu dan kacau kerana mahu isteri mereka itu pulangkan mahr yang diberikan dulu kalau nak melepaskan diri. Mungkin dulu mereka beri rumah atau kereta sebagai mahr, tapi sekarang nak balik rumah atau kereta itu.

Ada suami yang sudah tidak suka isterinya, maka mereka layan isterinya itu dengan buruk. Dengan tujuan supaya wanita itu meninggalkan dia. Tapi, kalau nak tinggalkan, kena beri balik mahr yang telah diberikan dulu (tebuk talak).

Cara-cara mengambil balik mahr yang telah diberikan ini adalah salah dan kalau kita baca dari potongan ayat yang di atas, ianya tidak ‘sah’, tidak ‘halal’. Maka, harta yang diambil balik dari wanita itu bukanlah harta lelaki itu. Ianya adalah harta yang haram.

Perlu ditambah di sini, yang dilarang bukan sahaja mengambil balik mahr yang diberi, tapi dilarang juga buat tak tahu tentang mahr yang telah dijanjikan. Kerana kadang-kadang kita dengar semasa akad nikah: “dengan mas kahwin sekian dan sekian.. hutang…..” Tidak boleh lupakan tentang mahr itu. Ini adalah kerana, kadang-kadang ada mahr yang dijanjikan tapi tidak diberi langsung sampai bila-bila. Sang isteri masih lagi layak untuk mendapat mahr itu. Suami masih lagi hutang kepada isterinya itu.

 

إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ

kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. 

Jangan ambil harta para isteri atau susahkan mereka, melainkan perempuan itu melakukan dosa besar yang keji.

Dan dosa keji itu mestikan telah dilakukan di khalayak ramai. Allah tambah lafaz مُّبَيِّنَةٍ yang bermaksud ‘dosa yang jelas’ dan orang lain pun tahu. Kerana kalau disebut ‘dosa keji’ sahaja, mungkin mereka yang berhati busuk itu boleh menuduh perempuan itu telah melakukan dosa keji walaupun mereka tak buat.

Oleh itu, kalau seorang suami itu dapat membuktikan bahawa isterinya telah melakukan zina secara terbuka, iaitu sudah ada empat saksi, maka bolehlah kalau nak ambil balik mahr yang telah diberikan itu.

Perbuatan ‘keji’ itu juga boleh termasuk dengan nusyuz sekali.

 

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. 

Hendaklah seorang suami hidup dengan isterinya itu dengan cara yang baik. Bukan sahaja dia kena memenuhi keperluan biasa seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya, tapi kena hidup dengan kemesraan.

Ini pun penting juga kerana kalau kita layan isteri kita dengan tidak mesra, mereka akan tertekan perasaan. Seorang wanita tentunya memerlukan seorang suami yang dicintainya dan dia pun mencintai suaminya itu. Contohilah Nabi Muhammad ﷺ dalam perkara ini. Sabda baginda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

“ Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya. dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku….” HR. Tirmidzi

Tujuan baginda berkata begitu bukan hendak meninggikan diri, tapi baginda hendak mengajar kita bagaimana cara untuk melayan keluarga dan isteri. Apabila Nabi berkata begitu, tahulah kita bahawa kita kena lihat bagaimana cara baginda melayan keluarga baginda.

Banyaklah kisah-kisah dari hadis yang sahih bagaimana baginda melayan isteri-isteri baginda dan keluarga baginda. Perkara-perkara ini sepatutnya diketahui oleh kita supaya kita juga boleh ikut perbuatan Nabi dalam berkeluarga juga, bukan hanya dalam amal ibadat.

Jangan hanya nak ikut sunnah menikah lebih macam Nabi, tapi tak ikut sunnah baginda melayan isteri baginda pula. Itu tidak lengkap caranya.

 

فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ

Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka

Ini jikalau ada kemungkinan kamu sudah tidak menyukai mereka kerana tabiat mereka atau apa-apa sebab. Ini biasalah terjadi kerana kita semua manusia, tidak sempurna. Mula-mula kahwin, amat sayang sekali, semua boleh bertolak ansur, apa sahaja isteri buat cantik dan molek belaka. Tapi lama-lama, entah apa yang terjadi, suami sudah tidak suka dengan isterinya itu.

Atau, ini mungkin terjadi apabila baru berkahwin. Bila dah kahwin baru tahu isteri ada kekurangan. Atau rupanya isteri tidak cantik mana. Kalau ikutkan hati, mahu dicerai sahaja orang itu. Tapi Allah hendak memberi pengajaran dalam ayat ini tentang keadaan itu. Ingat molek-molek.

 

فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak

Allah nak ingatkan kepada kita, boleh jadi apa yang kita tidak suka itu ada kebaikan untuk kita. Mungkin Allah jadikan wanita itu kebaikan untuk kita dari segi pahala.

Dia mungkin degil dalam agama contohnya, tapi kalau kita didik dia sampai jadi baik, kita boleh dapat pahala. Dia mungkin tidak cantik, tapi dia pandai memasak; dia mungkin seorang pemarah tapi dia pandai jaga duit kita.

Kalau kita sabar dengan dia pun dapat pahala juga. Tengoklah berbagai-bagai kebaikan yang boleh ada, asalkan kita buka mata kita kepada segala kemungkinan itu. Janganlah terus nak ceraikan sahaja isteri itu. Kalau cerai isteri ini dan kahwin dengan isteri lain, mungkin ada masalah lain pula. Kita bukan boleh lari dari masalah.

Manusia tidak sempurna, bukan? Maka sabarlah sedikit dengan pasangan kita itu. Jangan senang sangat nak ceraikan isteri. Nanti menyesal badan pula nanti.

Atau ayat ini boleh bermaksud, kalau kita tidak suka isteri kita itu, entah anak yang lahir dari rahimnya itu memberi banyak kebaikan kepada kita. Macam-macam boleh jadi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Julai 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s