Tafsir Surah an-Nisa Ayat 15 – 17 (Layanan kepada wanita)

Ayat 15: Ada 14 hukum semuanya di bahagian awal surah an-Nisa ini. Ayat ini dan ayat seterusnya adalah hukum kelapan. Ianya berkenaan hukum zina.

Memang surah an-Nisa ini banyak menyebut tentang menjaga hak-hak wanita. Tetapi jikalau tsabit mereka telah melakukan kesalahan, maka memang mereka boleh dihukum.

Hukum ini dipakai sebelum hukum hudud diturunkan. Oleh kerana itu, ada pendapat yang mengatakan hukum ini telah dimansukhkan.

وَاللّٰتِي يَأْتِينَ الْفٰحِشَةَ مِن نِّسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِّنكُمْ فَإِن شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفّٰهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللهُ لَهُنَّ سَبِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who commit immorality [i.e., unlawful sexual intercourse] of your women – bring against them four [witnesses] from among you. And if they testify,¹ confine them [i.e., the guilty women] to houses until death takes them or Allāh ordains for them [another] way.²

  • The witnesses must swear to actually having seen the act taking place.
  • The “other way” (i.e., penalty) was later revealed in 24:2, canceling the ruling in this verse.

MALAY

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).

 

وَاللّٰتِي يَأْتِينَ الْفٰحِشَةَ مِن نِّسَائِكُمْ

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, 

Ayat ini berkenaan wanita yang melakukan zina. Kalimah الْفَاحِشَةَ dalam ayat ini bermaksud ‘zina’, walaupun tak disebut dengan jelas. Ini adalah kerana الْفَاحِشَةَ merujuk kepada perbuatan yang keji dan ia melibatkan dosa besar tetapi dosa besar yang melibat perbuatan seksual, jadi ia ditafsirkan sebagai perbuatan zina.

 

فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِّنكُمْ

maka bawalah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.

Untuk menghukum wanita-wanita yang telah melakukan zina itu, kena ada empat orang saksi dulu. Dan saksi-saksi itu kena yang cukup syarat:

1. Mestilah saksi itu orang Islam dan sudah akil baligh.

2. Dan saksi-saksi itu mestilah lelaki sahaja dan tidak boleh dari kalangan wanita.

Dan memang kalau kita fikirkan, amat susah untuk mencari sampai empat orang saksi, dengan syarat-syaratnya pula. Ini adalah kerana sepatutnya perbuatan buruk ini tidak terjadi di khalayak ramai. Kalau dah sampai di khalayak ramai, itu menandakan masyarakat itu sudah rosak teruk, sampaikan ada empat orang saksi ada menyaksikan kejadian itu. Waktu itu barulah dikenakan hukuman yang berat kepada mereka.

Dan penetapan 4 orang saksi untuk menjaga kedudukan wanita juga. Kerana kalau senang sahaja untuk menuduh seseorang wanita itu berzina, maka tentu ada yang akan mengambil kesempatan untuk menuduh perempuan yang baik telah berzina.

Ada juga yang berhujah kenapa 4 orang saksi diperlukan. Ini adalah kerana perbuatan zina melibatkan dua orang: lelaki dan wanita. Dan normalnya setiap kes memerlukan dua orang saksi. Jadi apabila melihat dua orang, maka saksi yang diperlukan juga adalah 4.

Dan kita kena sedar bahawa memang bukan kerja kita nak tangkap orang buat dosa zina. Dan tak elok kalau kita malukan orang lain. Kerana bukan mereka sahaja yang malu, tapi keluarga mereka juga. Yang sepatutnya kita lakukan adalah halang perkara sebegitu jadi dari awal lagi.

Oleh kerana itu, kenalah dijaga keluarga kita dari melakukan perkara sebegitu. Kena diberikan pengajaran agama kepada mereka supaya mereka tahu apa yang mereka lakukan itu salah. Kena jaga pergaulan mereka (ikhtilat) supaya mereka tidak terbawa ke arah itu.

Jangan dibiasakan mereka melihat kepada perkara-perkara yang tidak patut di kaca televisyen dan panggung wayang. Ringkasnya, kita kena sampaikan kepada mereka bahawa perbuatan zina itu adalah sesuatu yang amat jijik.

 

فَإِن شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفّٰهُنَّ الْمَوْتُ

Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya,

Kalau telah tsabit (pasti, terbukti) penyaksian dari empat orang saksi itu, bolehlah dihukum wanita-wanita yang telah berzina itu. Hukuman waktu ayat ini diturunkan adalah wanita-wanita itu kena penjara dalam rumah dan tidak dibenarkan keluar sampai mati.

nota: dari lafaz perkataan يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ itu menjadi dalil bahawa ‘wafat’ bukan bermaksud ‘maut’. Kerana disebut kedua-dua kalimah ‘wafat’ dan ‘maut’ dalam ayat ini. Ini menolak salah faham sesetengah orang yang kata ayat-ayat yang mengatakan ‘wafat’ bermaksud ‘maut’.

Tapi kalau dilihat dari ayat ini, kalaulah ‘wafat’ itu bermaksud ‘maut’, tidaklah perlu digunakan kedua-dua perkataan itu dalam ayat yang sama. Allah sebut ‘wafat’ sudah cukuplah kalau begitu. Tetapi lihatlah Allah letak kedua-dua kalimah itu bersebelahan.

Apabila Allah menggunakan dua perkataan yang diletakkan bersama, ini menunjukkan ada perbezaan maksud antara keduanya. Penting untuk kita tahu perbezaan itu untuk kita tidak salah faham.

Sebagai contoh, apabila dikatakan Allah me’wafat’kan Nabi Isa عليه السلام, tidaklah bermaksud Allah mematikan Nabi Isa عليه السلام, tapi Allah angkat sahaja baginda ke langit keseluruhan jasad dan roh baginda. Allahu a’lam.

 

أَوْ يَجْعَلَ اللهُ لَهُنَّ سَبِيلًا

atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar

Samada mereka dihukum penjara dalam rumah atau Allah berikan jalan keluar untuk mereka dari hukum itu. Maksudnya, Allah boleh jadikan undang-undang lain dalam ayat lain. Dan memang ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat Nur:2. Maknanya kalau semasa mereka dikenakan dengan hukuman penjara di rumah itu Allah beri hukuman lain, maka mereka tidaklah kena penjara lagi.

Seperti yang kita telah sebut, hukuman yang disebut dalam ayat ini adalah hukuman pada awal Islam. Ini adalah kerana ia diturunkan di awal kerajaan Islam di Madinah dan umat Arab waktu itu tidak biasa lagi dengan hukuman yang dijalankan oleh kerajaan kerana mereka biasa hidup ikut suku masing-masing.

Hanya selepas kerajaan Islam telah teguh mempunyai undang-undang, barulah diberikan hukuman yang baru. Hukuman yang baru adalah sebatan sebanyak seratus kali. Dan hukuman untuk lelaki dan wanita yang sudah berkahwin dan melakukan zina adalah rejam sampai mati. Dan hukuman rejam itu tsabit dalam hadis.


 

Ayat 16: Ayat sebelum ini adalah hukuman kepada wanita sahaja dan ayat ini pula untuk lelaki dan wanita.

Ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini tentang hukuman untuk lelaki yang berliwat (homoseksual) dan ayat sebelumnya tentang lesbian. Kita akan bincangkan samada ini benar atau tidak.

وَاللَّذَانِ يَأْتِيٰنِهَا مِنكُمْ فَئآذُوهُمَا فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُوا عَنْهُمَا إِنَّ اللهَ كَانَ تَوَّابًا رَّحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the two¹ who commit it [i.e., unlawful sexual intercourse] among you – punish [i.e., dishonor] them both. But if they repent and correct themselves, leave them alone. Indeed, Allāh is ever Accepting of repentance and Merciful.

  • Scholars differ over whether “the two” refers to two of the same sex (i.e., homosexuals) or those of opposite sexes. In either case, later rulings outlined in the sunnah have replaced this one.

MALAY

Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.

 

وَاللَّذَانِ يَأْتِيٰنِهَا مِنكُمْ فَئآذُوهُمَا

Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; 

Seperti yang kita telah sebut, ada yang mengatakan ayat ini adalah hukuman kepada lelaki yang melakukan Homoseksual. Hukumnya hendaklah diseksa mereka itu bagi mereka rasa sakit.

Tidak disebut di sini yang ayat ini tentang homoseksual, tapi dijelaskan dalam hadis. Dari bahasa pun, kalau digunakan lafaz يَأْتِيَانِ, ia merujuk kepada ‘dua orang lelaki’. Akan tetapi mereka yang menolak pendapat ini mengatakan kalau lafaz ayat merujuk kepada lelaki, ia juga boleh terpakai untuk wanita juga.

‘Menyakiti’ itu boleh menjadi berbagai-bagai maksud dan tidak disebut dalam ayat ini. Ada pendapat yang mengatakan mereka itu dimaki, dimalukan dan dipukul dengan capal. Dan ada juga yang mengatakan sampai dibunuh mereka itu. Apabila tidak dijelaskan, maka hukuman itu boleh ditentukan oleh pemerintah (termasuk dalam ta’zir).

Tentang hukuman bagi peliwat telah disebut dalam hadis. Rasullullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ )

“ Barangsiapa yang kalian dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Luth, maka bunuhlah pelaku dan pasangannya” [HR Tirmidzi dan yang lainnya, dishahihkan Syaikh Al-Albani]

Ada riwayat yang mengatakan pada zaman Saidina Abu Bakr, pasangan homoseksual telah dibakar. Iaitu ada dua lelaki yang berada dalam pasukan tentera. Tapi kesahihannya dikhuatiri kerana telah ada larangan Nabi Muhammad ﷺ menyeksa dengan menggunakan api. Tambahan pula cara bakar itu tidak sesuai lagi zaman sekarang.

Akan tetapi Ibnul Qoyim, dalam kitab I’lam al Muwaqq’ien ada meriwayatkan:

فاستشار أبو بكر الصديق الصحابة رضي الله عنهم فكان على بن أبي طالب أشدهم قولا فيه فقال ما فعل هذ الا أمة من الأمم واحدة وقد علمتم ما فعل الله بها أرى أن يحرق بالنار فكتب أبو بكر الى خالد فحرقه

Abu Bakr as-Shiddiq bermusyawarah dengan para sahabat Radhiyallahu ‘anhum. Ali bin Abi Thalib yang paling keras pendapatnya. Beliau mengatakan, “Kejadian ini hanya pernah dilakukan oleh satu umat, dan kalian telah mengetahui apa yang Allah lakukan untuk mereka. Saya mengusulkan agar mereka dibakar.” Selanjutnya Abu Bakr mengirim surat kepada Khalid, lalu beliau membakar pelaku pernikahan homo itu.

Antara yang mengatakan ayat ini tentang hukuman Homoseksual adalah Abu Muslim al-Isfahani. Tapi pendapat ini dikritik kerana tidak jelas ianya tentang homoseksual. Dan sifat Qur’an selalunya memberikan hukum dalam bentuk yang umum sahaja, tidak spesifik. Kalau kita spesifikkan ayat ini tentang homoseksual dan ayat sebelumnya tentang lesbian, itu sudah spesifik sangat dan terlalu mengkhususkan.

Tambahan pula, apabila terjadi amalan homoseksual di kalangan umat selepas ketiadaan Rasulullah ﷺ, masyarakat, para sahabat tidak menggunakan ayat ini sebagai dalil pun. Maknanya, mereka tidak faham ayat ini sebagai dalil hukuman homoseksual.

Jadi di dalam ayat ini, yang dimaksudkan adalah lelaki dan wanita yang telah terbukti melakukan zina, maka mereka dirotan dan dihina di khalayak ramai. Ini adalah supaya ramai orang akan lihat apa kesan hukuman kepada mereka yang melakukan zina, supaya mereka yang melihat itu tidak berani nak buat zina kerana tak sanggup dilakukan sebegitu. Tapi seperti telah disebut, ayat ini telah dimansukhkan.

 

فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُوا عَنْهُمَا

kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; 

Kalau mereka sudah bertaubat setelah dikenakan dengan hukuman, maka jangan kutuk mereka atau hina mereka lagi. Kerana mereka yang diterima taubat, mereka itu seperti tidak ada dosa. Kalau mereka tidak ikhlas, itu adalah antara mereka dengan Allah. Kalau mereka tidak mengubah cara hidup mereka, maka kenalah mereka dinasihati lagi.

Kenalah diingati bahawa bertaubat ini hanyalah selepas dikenakan dengan hukuman. Kerana itu adalah huruf ف pada kalimah فَأَعْرِضُوا itu. Tidaklah boleh seseorang itu kata dia bertaubat untuk mengelak dari dikenakan dengan hukuman. Kalau dia hendak bertaubat, bagus; tapi hukuman tetap kena dijalankan.

Segala perbuatan yang keji yang telah disebut sebelum ini adalah kerana manusia yang jahil tentang agama. Mereka tidak mendapat pendidikan dan penerapan agama seperti yang sepatutnya, dan kerana itulah mereka hanyut sampai ke kancah keburukan sampai melakukan perbuatan yang hina.

Oleh itu, kita kena ajar anak-anak kita tentang agama sejak dari kecil lagi. Jangan sampai mereka terumbang-ambing dalam kehidupan mereka. Tambahan pula zaman sekarang ini yang perkara-perkara keji ini sudah seperti biasa sahaja. Pergaulan pula semakin bebas dan material lucah amat mudah untuk didapati.

Sekarang amat senang untuk manusia nak buat salah kerana segalanya terbuka sekarang. Kita memang pada zaman yang amat mencabar sekali. Amat senang untuk melakukan kesalahan yang hina, tanpa rasa bersalah. Anak-anak kita didedahkan dengan berbagai-bagai perbuatan keji dalam media massa sampaikan mereka sudah rasa tidak salah kalau melakukan perkara-perkara keji itu.

Maka, ramailah yang tersilap pilih kawan dan tersilap pilih jalan. Tapi yang membuatkan masalah itu lebih besar adalah, mereka tidak tahu nak betulkan diri balik dan bertaubat. Mereka akan dicemuh dan ditolak oleh masyarakat yang memandang mereka dengan pandangan yang jijik. Sampaikan mereka rasa lebih baik kalau mereka terus sahaja bergelumang dengan dosa kerana mereka rasa, kalau mereka mengadu kepada masyarakat pun, mereka akan ditolak dan dicemuh.

Maka Allah memberitahu dalam ayat ini bahawa pintu taubat sentiasa terbuka luas. Dan kalau mereka bertaubat, kita pun kenalah melayan mereka dengan baik. Jangan hina, cemuh dan halau mereka dari sisi kita. Kita kena terima mereka ke dalam pangkuan kita kembali supaya mereka boleh memperbetulkan mana perbuatan mereka yang salah. Kalau kita halau mereka, ke mana lagi mereka hendak pergi, melainkan kembali kepada kehidupan yang salah itu?

 

إِنَّ اللهَ كَانَ تَوَّابًا رَّحِيمًا

kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.

Allah bersifat sentiasa menerima taubat dan amat kasih kepada hambaNya. Maka kita pun kenalah ikut sifat Allah ini dengan memaafkan mereka yang telah terlanjur itu. Kerana kita pun bukannya baik sangat pun, bukan? Kita pun ada buat salah cuma kadang-kadang tidak seteruk orang lain.

Ataupun lebih teruk, tapi tidak ‘tertangkap’ sahaja. Allah sahaja yang rahsiakan dan tutup perbuatan hina kita dari diketahui orang lain. Maka janganlah nak menghukum sangat orang lain kalau diri sendiri pun tidak suci mana.


 

Ayat 17: Sebelum ini adalah ayat tentang anjuran bertaubat. Sekarang kita masuk kepada syarat-syarat taubat itu diterima.

Kita kena ingat bahawa Allah boleh maafkan segala kesalahan kita. Kalau kita tidak bertaubat dan dosa tidak diampunkan, kita akan dihukum dengan dosa itu di akhirat. Entah berapa lama akan duduk di neraka.

Jadi ayat ini adalah targhib (anjuran) kepada taubat dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi.

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهٰلَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The repentance accepted by Allāh is only for those who do wrong in ignorance [or carelessness] and then repent soon after. It is those to whom Allāh will turn in forgiveness, and Allāh is ever Knowing and Wise.

MALAY

Sesungguhnya penerimaan taubat itu diterima oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللهِ

Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah

Taubat akan diterima Allah atas belas ihsan Allah. Maknanya, tidak wajib untuk Allah terima taubat kita. Atas kehendak Dia sama ada Dia nak terima taubat kita atau tidak.

Jadi, kita kenalah berharap Allah menerima taubat kita. Kerana kalau Allah tidak terima taubat kita, maka kita kena membersihkan dosa kita di neraka dan itu adalah sesuatu yang amat malang sekali.

Maka, ini juga mengajar kita, janganlah kita senang-senang buat dosa, kerana tidak semestinya Allah terima taubat kita.

Dan jangan kita sangka kalau kita bertaubat sahaja, Allah terus terima. Kita kena ada rasa takut yang Allah tidak terima taubat kita. Kerana kalau Allah tidak terima taubat kita, maka amatlah teruk nasib kita di akhirat kelak.

Ini penting kerana ada yang berfahaman, kalau bertaubat sahaja, Allah akan terima. Ini bahaya kerana kalau begitu, manusia tidak takut untuk buat dosa kerana mereka sangka: “alaahh, nanti aku taubatlah….”

Kalau ada berfahaman begitu, itu tidak ubah seperti orang Kristian sahaja. Bila buat dosa, pergi ke gereja jumpa paderi, paderi itu yang bagi pengampunan. Senang sangatlah kalau begitu. Dan ini menyebabkan golongan Kristian tidak takut melakukan dosa, sebab senang sangat nak minta ampun.

Siapakah yang diterima taubat mereka itu?

 

لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهٰلَةٍ

hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan

Allah boleh terima taubat dari mereka yang buat dosa kecil atau besar, samada mereka yang buat dosa kerana lupa hukum atau tidak tahu hukum. Kadangkala, ada manusia yang buat sesuatu tanpa dia tahu yang ianya berdosa, bukan?

Ataupun mereka sengaja melakukannya walaupun mereka tahu yang ianya salah. Dia tahu yang apa yang dia buat itu adalah salah, tapi dia buat perangai ‘macam orang jahil’. Itu semua termasuk dalam maksud بِجَهَالَةٍ. Maknanya, waktu dia sedang melakukan dosa itu, dia sedang jahil. Ini pun masih ada harapan diampunkan lagi.

Mujahid (ahli tafsir) dan lain-lain berkata: “Setiap orang yang bermaksiat (melakukan dosa) kepada Allah, baik keliru ataupun sengaja, bererti dia jahil (bodoh), hingga dia menghindari dosa tersebut. (Ath-Thabari {VIII/89})

Ini sama seperti firman Allah dalam Yusuf:89

قالَ هَل عَلِمتُم ما فَعَلتُم بِيوسُفَ وَأَخيهِ إِذ أَنتُم جاهِلونَ

Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”.

Dalam ayat ini, digunakan kalimah ‘jahil’ juga. Tidaklah adik beradik Yusuf عليه السلام itu tidak tahu yang perbuatan mereka itu berdosa, tapi mereka tidak sensitif dengan dosa itu sahaja.

Oleh itu, kalau kita baca sendiri sahaja ayat ini tanpa dirujuk kepada apa yang disampaikan oleh salafussoleh, maka kita mungkin rasa bahawa yang dimaafkan adalah mereka yang buat salah kerana ‘tidak tahu’ sahaja; kalau dah tahu sesuatu perkara itu berdosa tapi masih dilakukan juga, tidak diterima ampunnya.

Ini adalah pemahaman yang tersilap. Semua orang yang melakukan dosa, dikira sebagai jahil, tidak kira sama ada dia tahu atau pun tidak bahawa sesuatu perbuatan itu berdosa.

Ini adalah kerana sewaktu dia melakukan dosa itu, dia sedang dalam keadaan ‘jahil’. Atau, dia jahil ‘kesan’ dari perbuatan dosanya itu. Dia rasa macam tidak besar sahaja kesan dosa itu kepada dirinya. Jadi kerana itu, dia tidak kisah pun buat dosa-dosa itu. Oleh kerana itu memang dia jahil kerana dia memilih untuk mengikut kehendak nafsunya walaupun dia tahu bahawa dia akan dikenakan dengan hukuman di akhirat kelak. Orang sebegini, memanglah jahil.

Ini kita dapat terima kalau kita pun sedar bahawa maksud ‘jahil’ adalah tidak dapat mengawal nafsu. Iaitu kehendak nafsu telah menang mengalahkan akal pada waktu itu.

 

ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ

kemudian mereka segera bertaubat,

Maksudnya mereka bertaubat ‘sebelum mati’. Sama ada dia lakukan dalam masa terdekat ataupun tidak.

Tidak ditetapkan bilakah mereka kena melakukan taubat itu. Asalkan syaratnya, dilakukan ‘sebelum mati’. Kerana sebelum dia nampak Malaikat Maut yang datang untuk mengambil nyawanya, itu sudah termasuk dalam makna ‘masa yang terdekat’. Ini mafhum dari hadis Nabi.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di kerongkong (sebelum sakaratul maut).” (HR at-Turmudzi dan katanya hadith ini hasan)

Oleh itu, kalau kita baca sendiri ayat ini, tanpa belajar tafsir, mungkin kita sangka yang kita kena ‘terus’ bertaubat selepas melakukan dosa itu. Ini bahaya kerana takut ada yang kata kalau lambat bertaubat dari dosa, terus tidak diterima.

Jangan kita pandai-pandai kata taubat seseorang itu diterima atau tidak. Kerana sama ada diterima atau tidak, ianya adalah hak Allah.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa orang yang tidak tahu sesuatu perbuatan itu berdosa dan dia melakukannya, dia tetap berdosa. Ini bersalahan dengan fahaman orang yang kata: kalau tidak tahu, tidak berdosa. Kita jawab balik, kalau tidak berdosa, kenapa ayat ini mengatakan mereka kena bertaubat kerana jahil? Kalau tidak berdosa, tentu tidak perlu bertaubat, bukan?

 

فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّه عَلَيْهِمْ

mereka diterima Allah taubatnya;

Allah boleh terima taubat mereka. Tapi bukan wajib untuk Allah terima taubat itu.

Tanda-tanda taubat seseorang diterima, boleh dilihat bagaimana berubahnya kehidupan dia. Kalau dulu dia jauh dari agama, sekarang sudah jadi dekat kepada agama. Dulu tidak kisah tentang agama, tapi sekarang sudah mahu belajar.

Apabila seseorang itu sudah datang belajar agama, itu adalah ‘alamat’ telah diterima taubatnya. Kerana Allah terima taubat mereka, Allah bawa mereka untuk mendalami agama supaya tahu hukum. Inilah seperti yang dikatakan oleh ulama. Ini sebagai tanda sahaja, bukanlah satu kepastian.

 

وَكَانَ اللَهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah maha tahu apa yang kita lakukan, tapi Dia tetap juga sanggup nak maafkan dosa-dosa kita.

Segala yang Allah lakukan adalah atas kebijaksanaanNya. Maka bukanlah tugas kita untuk mempersoalkan apa yang Allah lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Oktober 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s