Tafsir Surah an-Nur Ayat 1 – 2 (Tentang Zina)

Pengenalan:

Surah ini adalah Madaniyyah. Sekarang kita berjumpa Surah Makkiyah setelah lama kita mengadap Surah Makkiyah. Surah ini ada kaitan rapat dengan Surah al-Ahzab.

Surah ini banyak menyebut tentang undang-undang yang perlu ditaati oleh manusia. Dan memang begitulah ciri Surah Madaniyyah. Surah Madaniyyah banyak mengajar manusia cara untuk menjalani kehidupan dengan hukum-hukum. Undang-undang memang kena ada untuk mengawal manusia. Kalau tidak akan porak perandalah manusia. Ramailah yang akan ambil kesempatan dan menjadi zalim.

Tapi manusia boleh berubah dengan adanya ilmu. Manusia yang ada ilmu, kesedaran sivik mereka akan tinggi dan tidak memerlukan undang-undang lagi untuk mengawal mereka. Mereka tahu yang memang molek buat perkara baik dan salah kali buat perkara zalim.

Maka kerana itu banyak diingatkan kepada manusia tentang hukum dalam Qur’an. Dingatkan berkali-kali supaya manusia faham. Kalau undang-undang ditetapkan kepada manusia tapi mereka tidak faham, mereka susah nak taat. Memang ada hukuman dunia tapi Allah lebih mengingatkan tentang hukuman akhirat. Ini supaya manusia taat kepada hukum itu kerana takut balasan di akhirat.

Kalau manusia tak faham dengan kepentingan hukum itu, maka jadi macam Prohibition di Amerika (Pengharaman arak dari tahun 1920 hingga 1932). Mereka tidak nampak kenapa mereka tidak boleh minum arak. Maka mereka langgar undang-undang itu dan akhirnya ianya telah dimansuhkan.

Kerana itu penting iman manusia dipupuk dahulu. Kerana kalau iman tidak ada, manusia tidak kisah dengan hukuman. Buatlah ancaman apa pun, mereka tidak mahu ikut.

Surah ini amat penting sekali. Saidina Umar pernah memberi arahan kepada rakyatnya untuk setiap rumah mengajar anak isteri tiga surah iaitu Surah Nisa’, Surah Nur ini dan Surah Ahzab. Kerana apabila sudah faham ketiga-tiga surah ini maka akan menerbitkan satu sifat cinta kepada agama. Mereka yang faham dengan tiga surah ini tidak akan derhaka kepada Allah.

Surah ini memberi satu pengajaran kepada kita yang orang-orang kafir tidak ada dalil untuk melawan orang Islam tetapi apa yang mereka boleh lakukan adalah dengan menimbulkan propaganda untuk menyebabkan kucar kacir dalam fikiran orang Islam.

Maka kita janganlah sampai termakan dengan propaganda mereka itu. Sebagai contoh, orang-orang kafir akan menimbulkan propaganda di dalam dunia media massa yang orang-orang yang beragama Islam ini adalah ganas dan kerana itu orang orang Islam yang jahil akan termakan propaganda itu sampaikan takut untuk bercerita tentang jihad.

Maka surah ini mengajar umat Islam supaya tidak termakan dengan propaganda yang mereka timbulkan di dalam media mereka seperti surat khabar mereka dan filem-filem mereka. Kita kena sedar yang musuh memang akan menimbulkan isu-isu untuk menjatuhkan nama baik agama Islam. Kita kenalah bijak untuk membezakan mana benar dan mana yang tidak benar.

Di dalam surah ini ada empat undang-undang kekeluargaan. Inilah hukum-hukum yang ahli keluarga memang kena jaga sungguh. Kerana masyarakat yang baik bermula dari keluarga yang tersusun agamanya dan akhlaknya.

Kemudian Allah tambah lagi dengan enam undang-undang untuk menjaga dari bahaya kepada keluarga. Kita kena elak perkara-perkara yang disebutkan di dalam enam undang-undang ini daripada berlaku. Ianya untuk kebaikan kita. Maka kena ambil perhatian.

Jadi ada 10 perkara tentang keluargaan dan yang paling penting di antara 10 perkara ini kita kena wujudkan suasana Iman di dalam keluarga kita. Kena ada penyebaran ilmu dalam keluarga. Kena ada suasana untuk suburkan iman dalam kehidupan seharian.


 

Ayat 1: Kepentingan surah ini.

سورَةٌ أَنزَلنٰها وَفَرَضنٰها وَأَنزَلنا فيها ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ لَّعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

 

(SAHEEH INTERNATIONAL

An-Nūr: Light.

[This is] a sūrah which We have sent down and made [that within it] obligatory and revealed therein verses of clear evidence that you might remember.

(MELAYU)

(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya, dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.

 

سورَةٌ أَنزَلنٰها وَفَرَضنٰها

(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkannya

Allah menekankan di awal surah ini yang ianya diturunkan olehNya. Maka jangan pandang ringan surah ini dan Qur’an ini. Kenalah kita ambil perhatian dan belajar untuk memahaminya. Kerana ia bukan untuk dibaca sahaja tapi kena diamalkan. Dan kalau tak belajar, macam mana nak amal?

Surah ini lain sikit dari surah-surah yang lain. Ia menggelar dirinya sebagai سورَةٌ. Ini adalah kerana ramai menunggu-nunggu surah ini. Ada isu yang akan disebutkan nanti yang menyebabkan surah ini ditunggu-tunggu.

Jadi Allah mulakan surah ini dengan memberitahu ini adalah surah yang sedang mula diturunkan. Allah berikan muqaddimah sebelum meneruskannya. Menunjukkan kepentingannya.

Allah kemudian beritahu yang Dia fardhukan surah ini kepada kita. Maknanya surah ini ada banyak hukum hakam di dalamnya. Kalimah ف و ض asalnya bermaksud membuat lubang pada pokok. Kalau sudah buat lubang pada pokok, tentulah tak boleh nak ubah dah selepas itu. Maksudnya hukum hakam ini adalah sesuatu yang setiap muslim kena ikut. Kalau bahasa kita, kita katakan ‘wajib’.

 

وَأَنزَلنا فيها ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ

dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, 

Hukum hakam yang diberikan dalam surah ini adalah jelas. Tidaklah ia samar-samar kepada mereka yang belajar. Kalau tidak belajar, memanglah tidak faham apakah yang disampaikan. Maka kenalah kita luangkan masa kita untuk mempelajarinya.

Maka kerana hukum di dalam surah ini adalah jelas, maka tidak ada alasan nak kata: “maaflah saya tak dapat nak ikut kerana tidak faham”.

 

لَّعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

agar kamu selalu mengingatinya.

Bila Allah suruh sesuatu, kita kena ikut sahaja. Tapi Allah beri maklumat tentang kelebihan surah ini. Tidaklah Allah suruh ikut sahaja. Ini macam kita larang anak kita panjat pokok. Bila kita larang, maka kenalah kita beritahu sebabnya (kerana ia bahaya wahai anakku… nanti kamu jatuh dan cedera nanti). Kalau manusia faham kenapa dia kena melakukan sesuatu, dia akan lebih bersemangat untuk taat untuk melakukannya.

Masa surah ini diturunkan, negara Islam Madinah sedang berkembang. Ia sudah menjadi satu komuniti yang sudah dewasa. Maka ia memerlukan undang-undang untuk mengawalnya. Ada banyak sekali kebaikan dalam hukum hakam yang disampaikan.

Malangnya ramai tidak tahu pengajaran dalam surah ini. Ini adalah kerana mereka tidak belajar.

Sekian pengenalan atau muqaddimah untuk Surah Nur ini. Dan pembukaan surah ini tidak ada sepertinya dalam surah-surah yang lain. Maka ia amat kuat dan tegas sekali.


 

Ayat 2: Ini adalah hukum yang pertama. Tentang hukum perzinaan. Ini termasuk dalam salah satu dari hukum hudud.

الزّانِيَةُ وَالزّاني فَاجلِدوا كُلَّ وٰحِدٍ مِّنهُما مِائَةَ جَلدَةٍ ۖ وَلا تَأخُذكُم بِهِما رَأفَةٌ في دينِ اللهِ إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ وَليَشهَد عَذابَهُما طائِفَةٌ مِّنَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The [unmarried] woman or [unmarried] man found guilty of sexual intercourse¹ – lash each one of them with a hundred lashes,² and do not be taken by pity for them in the religion [i.e., law] of Allāh,³ if you should believe in Allāh and the Last Day. And let a group of the believers witness their punishment.

  • Either by voluntary confession of the offender or the testimony of four male witnesses to having actually seen the act take place. Otherwise, there can be no conviction.
  • The ruling in this verse is applicable to unmarried fornicators. Execution by stoning is confirmed in the sunnah for convicted adulterers.
  • i.e., Do not let sympathy for a guilty person move you to alter anything ordained by Allāh, for in His law is protection of society as a whole.

(MELAYU)

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka rotanlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali rotan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.

 

الزّانِيَةُ وَالزّاني فَاجلِدوا كُلَّ وٰحِدٍ مِّنهُما مِائَةَ جَلدَةٍ

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka rotanlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali rotan,

Ini adalah hukum zina kepada mereka yang belum berkahwin. Kalau dah kahwin, hukumnya sudah dalam sunnah, iaitu direjam sampai mati. Mereka yang sudah kahwin itu dipanggil muhsan (yakni orang yang pernah melakukan persetubuhan dalam ikatan nikah yang sahih sedangkan dia telah akil baligh).

Hukum ini sudah ada dalam Kitab Taurat dan tidak dimansukhkan dan diikuti oleh Rasulullah pada zaman baginda. Satu lagi hukum yang masih pakai dalam Taurat adalah hukuman mati kepada mereka yang murtad. Kerana ikut hukum Bani Israil yang sembah patung anak lembu dimana mereka juga dibunuh.

Kalau dah tukar, tentu Nabi akan beritahu. Dan khalifah selepas baginda pun menjalankan hal yang sama. Tidak ada tentangan dari para sahabat  yang lain. Ini penting untuk diketahui kerana ada juga yang keliru tentang perkara ini. Ada yang berhujah kononnya menggunakan ayat Qur’an ini. Mereka kata: ayat Qur’an hanya kata ‘sebat’ sahaja, tidak ada sebut tentang rejam pun.

Maka kita kena tahu hujah mereka dan kena tahu dalil. Kerana merejam sudah ada pada zaman Nabi dan telah disambung pada zaman khalifah Islam yang lain. Maka tidak ada percanggahan tentang perkara ini melainkan dari golongan sesat seperti Muktazilah sahaja. Hal yang sama telah dikatakan oleh Imam Malik:

Ia mengatakan telah menceritakan kepadaku Ibnu Syihab, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Abdullah ibnu Atabah ibnu Mas’ud; Ibnu Abbas pernah mengatakan kepadanya bahawa Khalifah Umar pada suatu hari berdiri di atas mimbarnya, lalu mengucapkan puji dan sanjungan kepada Allah Swt., kemudian mengatakan:

أَمَّا بَعْدُ، أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا بِالْحَقِّ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ، فَكَانَ فِيمَا أَنْزَلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ، فَقَرَأْنَاهَا وَوَعَيْناها، وَرَجمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجمْنا بَعْدَهُ، فَأَخْشَى أَنْ يُطَولَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ: لَا نَجِدُ آيَةَ الرَّجْمِ فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ قَدْ أَنْزَلَهَا اللَّهُ، فَالرَّجْمُ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى، إِذَا أُحْصِنَ، مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ، إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ، أَوِ الْحَبَلُ، أَوْ الِاعْتِرَافُ.

Amma Ba’du. Hai manusia, sesungguhnya Allah Swt. telah mengutus Muhammad Saw. dengan hak dan menurunkan kepadanya Al-Qur’an. Maka di antara yang diturunkan kepada­nya ialah ayat rejam, lalu kami membacanya dan menghafalnya. Rasulullah Saw. telah melakukan hukuman rejam dan kami pun melakukannya pula sesudah baginda tiada. Aku merasa khawatir dengan berlalunya masa pada manusia, lalu ada orang yang mengatakan bahawa kami tidak menemukan ayat rejam di dalam Kitabullah. Akhirnya mereka sesat kerana meninggalkan suatu perintah fardu yang telah diturunkan oleh Allah Swt. Hukum rejam benar ada di dalam Kitabullah ditujukan kepada orang yang berbuat zina bila dia telah muhsan, baik laki-laki mahupun perempuan, sedangkan kesaksian telah ditegakkan terhadapnya atau terjadi kandungan atau pengakuan.

Baik, kembali kepada ayat ini. Didahulukan menyebut penzina dari kalangan perempuan kerana angkara merekalah yang lebih banyak menyebabkan perzinaan. Kalau lelaki hendak berzina dan mencari perempuan itu payah, tetapi jikalau perempuan hendak berzina dan dia hendak mencari lelaki mudah saja baginya. Jadi merekalah yang lebih banyak menyebabkan zina terjadi.

Kalimah فَاجلِدوا itu dari ج ل د yang bermaksud ‘pukul kulit manusia’. Tapi bukanlah macam rotan di penjara kita sekarang. Kalau hukuman rotan sekarang, ada caranya sampai boleh luka-luka kulit. Ini tidak boleh dilakukan dengan cara itu. Kalau kita baca cara para sahabat lakukan, mereka akan pukul dengan selipar, dengan kain sahaja.

Maka, pukulan rotan itu hanya dengan pelepah tamar sahaja dan orang yang memukul itu lengannya tidak lepas dari sisi tubuhnya. Maknanya, kalau dia kepit buku di celah ketiaknya dan pukul orang, tidak jatuh buku itu.

Dan sebagai hukuman tambahannya ialah dibuang selama satu tahun jauh dari negerinya, menurut pendapat jumhur ulama.

Lain halnya dengan pendapat Imam Abu Hanifah rahimahullah; ia berpendapat bahawa hukuman pengasingan ini sepenuhnya diserahkan kepada imam (khalifah). Dengan kata lain, jika imam melihat bahawa si pelaku zina harus diasingkan, maka dia boleh melakukannya; dan jika dia melihat bahawa pelaku zina tidak perlu diasingkan, maka dia boleh melakukannya.

Berkenaan Zina

Mungkin kita patut sentuh sedikit tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘zina’ ini dan kenapakah ianya diharamkan dan dikenakan dengan hukuman yang berat.

‘Zina’ bukan sahaja tentang perlakuan seks antara manusia tetapi ada zina mata, zina hati, zina tangan dan sebagainya. Tapi yang dikenakan dengan hukuman dalam ayat ini hanyalah berkenaan perlakuan seks sahaja.

Di dalam mana-mana masyarakat yang baik (samada muslim atau tidak) tidak akan menerima perlakukan zina ini. Semua tahu bahawa ianya buruk dan tidak patut dilakukan. Kerana itu manusia malu untuk melakukannya terang terangan. Cuma kalau zaman sekarang, apabila manusia sudah jauh dari akhlak yang baik, ada yang buat tidak kisah sahaja.

Zina ini buruk kerana ia akan merosakkan institusi kekeluargaan di dalam masyarakat. Kerana kalau perzinaan itu menghasilkan anak luar nikah, tidak ada pertanggungjawaban dari lelaki yang telah melakukan zina itu. Maka anak itu akan lahir tanpa bapanya dan ia akan menyebabkan dia tidak sempurna. Dan akhirnya dia tidak dapat berfungsi dengan baik dalam masyarakat. Tidaklah semua orang jadi begitu, tapi potensi ke arah keburukan sudah ada dan kita tidak mahu ini berlaku. Seboleh mungkin kita mahukan anak-anak kita membesar dalam suasana kekeluargaan yang sempurna.

Jadi masyarakat dahulu lagi dalam mana-mana tamadun menerima yang zina adalah perbuatan tidak bermaruah. Tapi samada dikenakan hukuman atau tidak sahaja.

Hukuman berubah-ubah dari satu agama ke satu agama dan dari satu zaman ke satu zaman. Ada pemuka agama yang mengubah hukum Allah dalam kitab mereka seperti Yahudi. Asalnya memang ada hukuman untuk zina tetapi mereka tidak mengamalkannya.

Begitu jugalah zaman sekarang dalam masyarakat kita. Kerana tidak mengamalkan hukum Islam maka perbuatan zina tidak dihukumi seperti yang sepatutnya.

Maka walaupun tidak diamalkan sekarang, kita tetap kena tahu hukum ini supaya di masa hadapan masyarakat kita harapnya mahu kembali mengamalkan hukum Islam dan menjadikan hukuman dalam ayat ini sebagai realiti.

Ini penting kerana zina adalah perbuatan yang amat buruk dan kalau dibiarkan berleluasa akan menyebabkan runtuhnya institusi kekeluargaan dan akan merosakkan masyarakat.

Hukuman dalam ayat ini tentang lelaki dan wanita yang tidak berkahwin lagi. Kalau sudah berkahwin atau pernah berkahwin, maka hukumannya lebih berat lagi kerana mereka sudah pernah merasa persetubuhan yang halal. Dan kalau masih lagi mencari persetubuhan haram, maka mereka itu memang orang yang jahat dan hendaklah dikenakan hukuman yang paling berat.

Hukuman yang diberikan memang amat berat kerana ia hendak menghalang manusia dari berzina. Biar manusia terkenang beratnya hukum zina ini sampai mereka tidak berani melakukannya.

Sekarang apabila tiada hukuman berat dikenakan, maka manusia tidak takut pun. Kerana itu banyak sekali perbuatan zina berleluasa.

Islam bukan hendak menghukum sahaja, sebaliknya konsep Islam adalah menghalang dari perkara itu terjadi. Kerana itulah Islam menggalakkan perkahwinan. Sampaikan kalau tak mampu, berkahwinlah dengan hamba yang murah lagi belanjanya.

Dan kalau tak cukup dengan seorang isteri, boleh berkahwin sampai empat. Asalkan adil. Kerana mungkin ada orang yang nafsu seks terlalu kuat sampaikan tidak cukup kalau dengan seorang sahaja. Maka kenalah berbincang baik-baik suami isteri. Tentu isteri tahu kehendak suaminya. Kalau dia sendiri tidak dapat nak layan, maka berilah suami kahwin satu lagi.

Dan Islam mewajibkan wanita menutup aurat, duduk di rumah sahaja kalau tidak perlu keluar. Dan larang wanita dari tabarruj supaya lelaki tidak mudah terangsang. Islam juga melarang percampuran lelaki dan wanita tanpa kawalan (ikhtilat). Kerana itu Islam mengajar siapakah yang mahram dan siapakah yang ajnabi, supaya lelaki perempuan dapat tahu dengan siapa mereka boleh bergaul dan dengan siapa yang mereka kena berhati-hati dalam pergaulan.

Semua di atas dan banyak lagi adalah sebagai cara nak menghalang zina dari berlaku. Tapi kerana perkara ini dari mula tidak dijaga, maka kerana itulah zina mudah sahaja terjadi.

 

وَلا تَأخُذكُم بِهِما رَأفَةٌ في دينِ اللهِ

dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah,

Kalimah dari katadasar ر ء ف yang bermaksud lembut, belas kasihan. Darinya datang kalimah untuk sifat Allah رَءوفٌ.

Memang sifat itu baik asalnya tapi dalam menjalankan hukum Allah, jangan berlembut. Jangan ada sifat kasihan belas didalam menjalankan hukum kerana hukum itu perlu dijalankan. Kita kena tegas dalam menegakkan agama Allah. Ada masa kena berlembut dan ada masa kena tegas.

Bukanlah ayat ini menidakkan perasaan belas kasihan terhadap manusia. Memang perasaan belas kasihan tetap ada, tapi kita lebih pentingkan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah. Kita akan mendapat pahala kalau kita lakukan.

Di dalam kitab Musnad telah disebutkan sebuah hadis dari salah seorang sahabat yang mengatakan,

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku benar-benar menyembelih kambing, sedangkan hatiku merasa kasihan kepadanya.” Maka Rasulullah Saw. bersabda:

“وَلَكَ فِي ذَلِكَ أَجْرٌ”

Engkau mendapat suatu pahala atas belas kasihanmu itu.

Hukuman ini mestilah dijalankan oleh kerajaan Islam, bukannya oleh orang lain termasuk juga ketua masyarakat. Memang perlu diadakan penghakiman tentang perkara ini.

Dan tidaklah boleh dikenakan hukuman ini jikalau tidak cukup syaratnya. Antaranya syaratnya mestilah ada 4 orang saksi. Dan mestilah pasangan yang melakukan tidak terpaksa atau dipaksa untuk melakukannya. Dan pasangan itu hendaklah tidak gila dan sudah baligh.

Ulama fiqh sampai berbincangan adakah orang bukan Islam juga dikenakan dengan hukuman ini? Maka pendapat yang lebih kuat mengatakan hukuman ini untuk orang Islam sahaja. Kerana mereka itu kenalah tahu tentang haramnya perkara ini dan mempunyai pengetahuan tentang zina.

Hukuman zina ini juga hanya boleh dijalankan samada ada pengakuan dari pelaku zina itu sendiri ataupun ada 4 orang saksi yang betul-betul nampak kejadian itu berlaku.

Mungkin ada yang bertanya: kalau nak dapat 4 orang saksi, tentu susah. Maka tidakkah ini menjadi satu kemudahan kepada manusia untuk berzina?

Jawapannya: tidaklah Islam hendak menghukum orang sahaja. Islam lebih mementingkan menjaga nama baik manusia. Kalau syarat ini tidak ketat, entah ada orang yang akan menjadi saksi palsu dan menuduh orang lain berzina sedangkan tidak terjadi. Maka, Islam lebih banyak mendidik dari menghukum.

Dan kalaulah kejadian zina itu dapat disaksikan oleh 4 orang saksi, maka tentulah masyarakat waktu itu sangat teruk sampaikan perkara itu terang-terang boleh berlaku. Maka waktu itu memang layak mereka dikenakan dengan hukuman yang berat.

 

إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ

jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat,

Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, kamu pasti akan tetap akan jalankan hukumNya. Dan tidak berlembut dalam hal ini termasuklah kepada ahli keluarga sendiri.

Maka ini adalah ujian untuk melihat samada seseorang itu beriman atau tidak.

 

وَليَشهَد عَذابَهُما طائِفَةٌ مِّنَ المُؤمِنينَ

dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.

Hukuman kepada mereka itu kena dihadiri oleh orang awam. Ini supaya ramai dapat lihat dan supaya masyarakat jadi takut untuk melakukannya. Ini adalah satu perkara yang amat penting. Beginilah cara hukuman dalam Islam. Kena jadikan hukuman itu sebagai sebab untuk menghalang manusia lain dari melakukannya. Maka ini bukan benda kecil.

Maknanya kena buat di tempat yang orang ramai boleh datang dan kerana itu tidak boleh dilakukan di dalam penjara secara rahsia kerana orang tidak dapat lihat. Kerana kita bukannya hendak menghukum mereka yang bersalah itu sahaja tetapi kita hendak memberi pengajaran kepada orang-orang lain juga.

Tidak wajib untuk manusia datang dan lihat tetapi kita kena buat di tempat yang orang ramai boleh datang kerana ada orang yang mahu melihat. Tidaklah diiklankan hukuman yang akan dijalankan tapi kalau orang nak datang tengok, memang boleh tengok.

Malangnya hukuman dari undang-undang kita dilakukan secara rahsia pula di penjara maka tidaklah dapat mencapai kehendak Allah dalam hukuman itu, bukan?

Kita kena sedar yang dalam agama Islam, dalam menghukum itu ada pengajaran. Termasuk dalam perkara ini adalah hendak memalukan pelaku salah supaya orang tahu ianya perkara berat dan amat memalukan. Kalau telah tsabit kesalahannya, maka boleh diberitahu kepada orang awam. Memang mereka akan rasa malu dan kita bukan hendak memalukan mereka sangat.

Tapi ia dilakukan supaya manusia lain akan takut nak buat perkara yang sama kerana mereka pun tak mahu malu, bukan? Tapi apabila tidak faham, ramai yang kecoh kalau kes-kes tangkap khalwat disebarkan di dada akhbar. Memang tidak salah kalau menyebut tentang kesalahan mereka. Tapi kena pastikan yang kesalahan mereka itu telah tsabit.

Kita kena takutkan manusia dengan penghukuman di khalayak ramai. Supaya manusia yang ada akal boleh terfikir: Kalau beginilah teruknya hukuman di dunia, bagaimana pula di akhirat? Tentu teruk lagi. Jadi ini amat menakutkan mereka dan semoga mereka takut nak buat salah.

Satu lagi kelebihan menerima hukuman di dunia, kalau redha kena hukum di dunia, maka sudah selamat di akhirat. Kerana itu kalau kita baca hadis, kita akan lihat bagaimana para sahabat lebih rela mereka dihukum di dunia supaya mereka tidak dihukum di akhirat.

Satu lagi kelebihan apabila ramai orang datang lihat, mereka itu boleh berdoa kepada Allah semoga dosa kedua mereka yang dihukum itu diampunkan oleh Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 April 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah an-Nur Ayat 1 – 2 (Tentang Zina)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s