Tafsir Surah Ahzab Ayat 36 – 37 (Pernikahan Rasulullah dan Zainab)

Ayat 36: Sekarang kita masuk kepada kes Zainab binti Jahshy رضي الله عنها dan Zaid رضي الله عنه. Allah ‎ﷻ sekarang memberi maklumat umum dahulu. Iaitu Allah ‎ﷻ memberi amaran jika tidak taat kepada suruhan Nabi ﷺ.

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم ۗ وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا مُّبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not for a believing man or a believing woman, when Allāh and His Messenger have decided a matter, that they should [thereafter] have any choice about their affair. And whoever disobeys Allāh and His Messenger has certainly strayed into clear error.

(MELAYU)

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

 

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin,

Allah ‎ﷻ sekarang bercakap tentang apa yang perlu diikuti oleh mukmin dan mukminat selepas ayat sebelum ini yang memberi penekanan kepada kaum lelaki dan juga kaum wanita secara khusus. Ini pula ada tambahan lagi kewajipan kepada mereka.

 

إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا

apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan,

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kaum lelaki dan juga wanita bahawa apabila Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ telah membuat keputusan, hendaklah diikuti semampu kita.

 

أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم

(tidak patut) ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. 

Apabila Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ telah memberi keputusan, tidak ada lagi ruang untuk orang mukmin membuat keputusan yang lain ataupun menolak keputusan itu. Ayat ini diturunkan apabila Nabi ﷺ mencadangkan Zaid  رضي الله عنه menikah dengan Zainab رضي الله عنها.

Dalam ayat Ahzab:6 pun telah disebut sebelum ini:

النَّبِيُّ أَولىٰ بِالمُؤمِنينَ مِن أَنفُسِهِم

Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri

Asbabun Nuzul: Nabi Muhammad ﷺ telah mencadangkan supaya Zaid رضي الله عنه bernikah dengan Zainab رضي الله عنها dan Allah ‎ﷻ membenarkan keputusan Nabi Muhammad ﷺ itu dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa keputusan yang dibuat oleh baginda itu bukan hanya datang daripada Nabi Muhammad ﷺ sahaja tetapi ia dipersetujui oleh Allah ‎ﷻ.

Nabi Muhammad ﷺ mencadangkan supaya Zainab رضي الله عنها berkahwin dengan Zaid رضي الله عنه walaupun Zaid رضي الله عنه itu asalnya adalah hamba kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebenarnya Zaid رضي الله عنه itu dari keturunan bangsawan juga. Ini adalah kerana semasa kecil beliau telah diculik dan dijadikan sebagai hamba. Dan Nabi ﷺ pun sudah membebaskan Zaid رضي الله عنه dan telah menjadikan beliau seperti anak sendiri (anak angkat).

Ini adalah ketika Nabi ﷺ menjadi wakil meminang Zainab رضي الله عنها bagi pihak Zaid رضي الله عنه. Zainab رضي الله عنها pula dari keturunan Quraisy yang bangsawan dan beliau merupakan seorang janda. Beliau adalah sepupu Rasulullah ﷺ iaitu anak kepada makcik sebelah ayah baginda, iaitu Umaimah bint ‘Abdul Muttalib.

Asalnya Zainab رضي الله عنها dan keluarganya tidak suka dengan perkahwinan itu kerana Zaid رضي الله عنه itu asalnya adalah seorang hamba dan status tentulah tidak sama (tidak sekufu). Maka Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini. Allah ‎ﷻ sudah tetapkan kena mengikut Nabi ﷺ baik dari segi agama ataupun dalam hal dunia.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin. (Al-Ahzab: 36), hingga akhir ayat. Pada mulanya Rasulullah ﷺ pergi untuk melamar buat pelayan laki-lakinya yang bernama Zaid ibnu Harisah رضي الله عنه. Maka baginda masuk ke dalam rumah Zainab binti Jahsy Al-Asadiyyah رضي الله عنها, dan baginda langsung melamarnya buat Zaid رضي الله عنه. Tetapi Zainab binti Jahsy رضي الله عنها menjawab, “Aku tidak mahu menikah dengannya.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak, bahkan kamu harus menikah dengannya.” Zainab binti Jahsy رضي الله عنها berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, apakah engkau mengatur diriku?” Ketika keduanya sedang berbincang-bincang mengenai hal tersebut, Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan. (Al-Ahzab: 36), hingga akhir ayat. Akhirnya Zainab binti Jahsy رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ, apakah engkau rela menikahkan dia denganku?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Ya.” Zainab berkata, “Kalau demikian, saya tidak akan menentang perintah Rasulullah ﷺ. Saya rela dinikahkan dengannya.”

Nabi ﷺ sendiri telah mengeluarkan mahr untuk Zaid رضي الله عنه sebanyak 10 dinar dan 60 dirham (bersama binatang tunggangan, sepersalinan wanita, tepung dan kurma). Maka setelah pernikahan itu berlangsung, Zaid رضي الله عنه beberapa kali datang bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ dan memberitahu bahawa perkahwinan itu tidak menjadi. Ini kerana tidak ada kemesraan antara mereka tidak sekufu dan Zainab tidak menghormati Zaid. Bila Zaid رضي الله عنه berkata begitu, maka tentu baginda merasa mungkin baginda telah membuat keputusan yang salah.

Maka Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada baginda dan juga umat Islam bahawa keputusan itu bukan hanya keputusan dari Muhammad ﷺ sahaja tetapi dari Allah  ‎ﷻ juga. Allah ‎ﷻ membenarkan kerana Allah ‎ﷻ ada rancangan-Nya yang hendak mengajar manusia. Memang Allah telah takdirkan Zainab dan Zaid tidak boleh bersama.

Jadi perkahwinan mereka berdua itu tetap juga perlu dilangsungkan kerana Allah ‎ﷻ hendak menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran yang akan digunakan zaman berzaman sehingga ke hari kiamat. Kejadian ini terjadi pada tahun ke 4 Hijrah.

Ini juga menjadi pengajaran kepada kita. Kerana kadang-kadang ada pasangan yang berkahwin kerana dicadangkan oleh seseorang. Mungkin dia adalah orang tua pasangan itu ataupun mungkin cadangan daripada orang lain. Tetapi kadang-kadang perkahwinan itu tidak menjadi di mana suami dan isteri itu tidak sesuai dengan sesama mereka. Maka kalau itu terjadi janganlah dipersalahkan orang yang memberi cadangan itu kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi.

Mereka cuma boleh beri cadangan berdasarkan pemerhatian mereka sahaja. Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu yang cadangan baginda itu tidak menjadi. Maka jangan takut untuk memberi cadangan perkahwinan kepada seseorang. Kita boleh sahaja berikan cadangan perkahwinan kepada orang lain asalkan kita yakin yang orang itu sesuai.

Maksudnya kita boleh membuat penilaian kita sendiri. Tetapi jangan pula kita cadangkan seorang lelaki atau wanita untuk dikahwini jikalau kita sendiri tidak yakin dengan orang itu. Kadang-kadang kita kenal baik dan rapat dengan seorang lelaki tetapi tidak semestinya orang itu sesuai untuk menjadi suami orang lain. Maka kenalah dinilai dengan baik.

Jadi Nabi Muhammad ﷺ telah membuat cadangan supaya Zaid رضي الله عنه menikahi Zainab رضي الله عنها kerana baginda mengenali kedua-duanya dan pada fikiran baginda perkahwinan itu sesuai. Tetapi baginda hanya manusia dan baginda tidak tahu perkara ghaib dan kerana itu baginda tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu. Maka baginda tidak boleh dipersalahkan.

Kita pun janganlah takut hendak berkahwin. Ada yang takut-takut hendak kahwin kerana tidak tahu sama ada perkahwinan itu kekal ataupun tidak. Dan ada yang hairan kenapa Allah ‎ﷻ membenarkan pernikahan tetapi kemudian terjadi perceraian pula. Ingatlah yang semua ini dalam takdir Allah ‎ﷻ. Kita tidak tahu perkara ghaib dan apa yang akan terjadi di masa hadapan. Kita membuat keputusan berdasarkan penilaian kita sebagai manusia sahaja. Kita merancang, namun Allah ‎ﷻ jua yang menentukan.

Mari kita bincangkan sedikit tentang perkahwinan sekufu. Di dalam perkahwinan, ini adalah perkahwinan yang melibatkan darjat yang sama. Ini mustahab dijaga supaya perkahwinan itu aman tidak timbul isu-isu yang boleh menyebabkan sakit hati di antara pasangan itu. Maknanya, kalau seorang wanita itu dari keluarga yang tinggi kedudukan, molek kalau dia pun berkahwin dengan lelaki yang dari kedudukan yang lebih kurang sama juga.

Ini bukanlah wajib. Oleh itu kalau ada keperluan lain, mungkin lelaki itu tinggi ilmu agamanya, maka ada keluarga yang tidak kisah kalau tidak sekufu. Para sahabat pun ada yang bernikah luar dari kufu’. Dalam kes sebegini, kedua-dua pihak kena pandai menjaga hati pasangan masing-masing.

 

وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا مُّبينًا

Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

Maka kita sebagai umat Islam tidak boleh derhaka kepada Allah ‎ﷻ dan juga kepada Rasul ﷺ. Kena taat dengan keputusan Allah atau Rasulullah. Kerana jikalau kita melakukan begitu maka itu adalah kesesatan yang amat nyata.

Walaupun asal ayat ini berkenaan kisah Zaid رضي الله عنه dan Zainab  رضي الله عنها tetapi ayat ini terpakai zaman berzaman. Apabila arahan telah dikeluarkan oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul رضي الله عنها, maka kenalah diikuti. Jadi tidak boleh kita hendak pakai pendapat yang lain selain dari Al-Qur’an dan sunnah. Kena dahulukan Al-Qur’an dan sunnah dalam segenap kehidupan kita. Kalau ada apa-apa hal pun, tengok dulu: Al-Qur’an dan hadis kata apa berkenaan perkara itu? Jadi tidak ada sesiapa, sama ada individu atau kerajaan hendak memilih selain dari Al-Qur’an dan sunnah.

Dalam ayat lain disebutkan melalui firman-Nya:

{فَلا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا}

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (An-Nisa: 65)


 

Ayat 37: Ayat ini sampai ayat 48 adalah kisah dan pengajaran selepas perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dan Zainab رضي الله عنها. Baginda telah menikahi Zainab  رضي الله عنها setelah perceraian antara Zainab رضي الله عنها dan Zaid رضي الله عنه. Perkahwinan antara mereka berdua (Zaid رضي الله عنه dan Zainab رضي الله عنها) tidak ada persetubuhan kerana Zainab tetap tidak sukakan Zaid رضي الله عنه.

وَإِذ تَقولُ لِلَّذي أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِ وَأَنعَمتَ عَلَيهِ أَمسِك عَلَيكَ زَوجَكَ وَاتَّقِ اللهَ وَتُخفي في نَفسِكَ مَا اللهُ مُبديهِ وَتَخشَى النّاسَ وَاللهُ أَحَقُّ أَن تَخشٰهُ ۖ فَلَمّا قَضىٰ زَيدٌ مِّنها وَطَرًا زَوَّجنٰكَها لِكَي لا يَكونَ عَلَى المُؤمِنينَ حَرَجٌ في أَزوٰجِ أَدعِيائِهِم إِذا قَضَوا مِنهُنَّ وَطَرًا ۚ وَكانَ أَمرُ اللهِ مَفعولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember, O Muḥammad], when you said to the one on whom Allāh bestowed favor and you bestowed favor,¹ “Keep your wife and fear Allāh,” while you concealed within yourself that which Allāh is to disclose.² And you feared the people,³ while Allāh has more right that you fear Him. So when Zayd had no longer any need for her, We married her to you in order that there not be upon the believers any discomfort [i.e., guilt] concerning the wives of their claimed [i.e., adopted] sons when they no longer have need of them. And ever is the command [i.e., decree] of Allāh accomplished.

  • Referring to the Prophet’s freed slave, Zayd bin Ḥārithah.
  • i.e., Allāh’s command to the Prophet (ṣ) to marry Zaynab after Zayd divorced her. This was to demonstrate that a man may marry a woman formerly married to his adopted son.
  • i.e., feared their saying that the Prophet (ṣ) had married the (former) wife of his son (which is prohibited by Allāh in the case of a true, begotten son).

(MELAYU)

Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya: “Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah”, sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengahwini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.

 

وَإِذ تَقولُ لِلَّذي أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِ

Dan (ingatlah), ketika engkau berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan nikmat kepadanya 

Ayat ini menyebut kelebihan yang ada pada Zaid رضي الله عنه. Beliau dikatakan sebagai seorang yang telah menerima nikmat daripada Allah ‎ﷻ dan apakah nikmat itu? Beliau seorang lelaki yang amat beruntung kerana beliau dibesarkan di dalam rumah Nabi Muhammad ﷺ sendiri oleh baginda dan baginda menyayanginya sampaikan baginda pernah memanggilnya sebagai anak. Beliau dibesarkan oleh sebaik-baik manusia. Tidakkah itu satu nikmat yang amat besar?

Mari kita lihat sejarah ringkas Zaid رضي الله عنه ini: Nama bapa beliau adalah Harithah bin Shurahbil, dari Bani Kalb. Semasa beliau berumur 8 tahun, ibunya membawanya bermusafir untuk menemui keluarganya di luar kawasan. Dalam musafir itu, Bani Qain bin Jasr telah merompak kafilah itu dan telah mengambil Zaid رضي الله عنه dari ibunya. Mereka telah menjual Zaid رضي الله عنه di Pasar Ukiiz berdekatan Taif.

Pembelinya bernama Hakim bin Hizam, anak saudara kepada Siti Khadijah رضي الله عنها. Hakim telah membawanya ke Mekah dan memberinya kepada Siti Khadijah رضي الله عنها. Apabila Rasulullah ﷺ menikahi Siti Khadijah رضي الله عنها, baginda terpesona dengan sifat Zaid رضي الله عنه dan Siti Khadijah رضي الله عنها telah menghadiahkan Zaid رضي الله عنه kepada baginda. Ketika itu Zaid رضي الله عنه berumur 15 tahun dan Nabi Muhammad ﷺ belum lagi menjadi Nabi.

Apabila bapa kandung Zaid رضي الله عنه dan pakciknya mengetahui yang Zaid رضي الله عنه berada di Mekah, maka mereka datang untuk menebusnya dari Rasulullah ﷺ. Mereka sanggup membayar harga Zaid رضي الله عنه. Rasulullah ﷺ memberitahu yang baginda akan memanggil Zaid رضي الله عنه dan membiarkan Zaid رضي الله عنه sendiri membuat keputusan. Jikalau Zaid رضي الله عنه mahu pergi bersama mereka, maka baginda akan bebaskan tanpa mengambil bayaran. Tetapi kalau Zaid رضي الله عنه mahu terus tinggal bersama baginda, maka baginda akan biarkan. Mereka pun bersetuju.

Tetapi apabila Zaid رضي الله عنه diberikan pilihan itu, Zaid رضي الله عنه tetap mahu tinggal dengan Nabi ﷺ dan berkhidmat kepada baginda. Ini kerana beliau telah melihat sendiri akhlak baginda dan tidak mahu meninggalkan baginda. Bapa Zaid رضي الله عنه dan pakciknya pun bersetuju kerana melihat sendiri Zaid lebih sayangkan Nabi Muhammad ﷺ. Bayangkan, beliau lebih rela tinggal dengan Nabi Muhammad ﷺ berbanding dengan keluarga asalnya.

Nabi Muhammad ﷺ kemudian telah terus membebaskan Zaid رضي الله عنه dari perhambaan dan mengumumkan di perhimpunan di Kaabah yang Zaid رضي الله عنه semenjak hari itu adalah anaknya dan akan menerima harta pusakanya nanti (hukum sebelum Islam).

Sejak hari itu, Zaid رضي الله عنه dikenali sebagai Zaid bin Muhammad رضي الله عنه. Semua ini terjadi sebelum baginda menjadi Nabi. Apabila baginda diangkat menjadi Nabi, terdapat empat orang yang terus menerima kenabian baginda tanpa soal: Siti Khadijah رضي الله عنها, Zaid رضي الله عنه, Sayidina Ali رضي الله عنه dan Sayidina Abu Bakr رضي الله عنه. Waktu itu Zaid رضي الله عنه sudah berumur 30 tahun dan telah tinggal selama 15 tahun dengan baginda. Maka beliau kenal sangat dengan Nabi Muhammad ﷺ.

 

وَأَنعَمتَ عَلَيهِ

dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya:

Dan Nabi Muhammad ﷺ juga telah memberikan nikmat kepada Zaid رضي الله عنه kerana telah menganggapnya sebagai anaknya sendiri dan melayannya dengan amat baik. Sampaikan Allah ‎ﷻ kena menegur baginda dengan mengatakan bahawa Zaid رضي الله عنه itu bukan anaknya yang sebenar. Tentang menamakan anak angkat telah disebut dalam ayat:5 surah Al-Ahzab ini. Tetapi dari sini kita dapat yang Nabi Muhammad ﷺ telah melayan Zaid رضي الله عنه dengan baik sekali.

Antara nikmat dari baginda adalah telah memerdekakannya dari perhambaan, sehingga menjadikan beliau sebagai seorang yang terhormat, terkemuka, dan disegani lagi dicintai oleh Nabi ﷺ.‎  Beliau telah mendapat jolokan nama Al-Hibbu (kecintaan Rasulullah ﷺ), dan dikatakan kepada anaknya jolokan nama Al-Hibbu ibnul Hibbi, yang ertinya orang yang disayangi Rasulullah ﷺ putera orang yang disayangi Rasulullah ﷺ.

Siti Aisyah رضي الله عنها pernah mengatakan bahawa tidak sekali-kali Rasulullah ﷺ mengirimnya dalam suatu pasukan khusus, melainkan pasti baginda mengangkatnya sebagai ketuanya. Dan seandainya Zaid ibnu Harisah رضي الله عنه hidup sesudah Nabi ﷺ, pastilah Nabi ﷺ akan mengangkatnya menjadi khalifah. Demikianlah menurut apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Sa’id ibnu Muhammad Al-Warraq dan Muhammad ibnu Ubaid, dari Wa’il ibnu Daud, dari Abdullah Al-Bahi, dari Siti Aisyah رضي الله عنها.

Begitulah bagaimana Islam melayan hamba abdi di kalangan mereka. Zaid رضي الله عنه itu asalnya hamba namun boleh menjadi panglima perang. Begitu juga ada ulama’ yang asalnya dahulu hamba. Tetapi oleh kerana mereka hamba kepada guru agama, mereka mendapat pendidikan dan akhirnya mereka sendiri menjadi ulama’.

 

أَمسِك عَلَيكَ زَوجَكَ

“Tahanlah terus isterimu 

Zainab رضي الله عنها tinggal bersama Zaid رضي الله عنه selama satu tahun atau lebih dari setahun, lalu terjadilah pertengkaran di antara keduanya. Apabila perkahwinan Zaid رضي الله عنه dan Zainab رضي الله عنها tidak menjadi, maka Zaid رضي الله عنه telah banyak kali datang berjumpa dengan Rasulullah ﷺ untuk mengadukan tentang perkara itu dan baginda tetap menyuruh Zaid رضي الله عنه untuk terus memegang Zainab رضي الله عنها sebagai isteri.

Zaid رضي الله عنه mengadu kepada Rasulullah ﷺ kerana kata-kata Zainab رضي الله عنها yang menyentuh hatinya, sifatnya yang tidak menghormatinya kerana kedudukannya lebih mulia dari Zaid رضي الله عنه, dan Zainab رضي الله عنها tidak mahu mendengar cakapnya.

Ada banyak sebab kenapa baginda tidak membenarkan Zaid رضي الله عنه menceraikan Zainab رضي الله عنها. Antaranya kerana baginda memikirkan tentang perasaan Bani Hashim kalau Zainab رضي الله عنها diceraikan. Dan juga tentang kedudukan Zainab رضي الله عنها sebagai janda dan kalau beliau diceraikan, maka nama baiknya akan tercalar. Kalau itu terjadi, maka mungkin baginda terpaksa mengahwini Zainab رضي الله عنها sendiri untuk membersihkan nama baik Zainab رضي الله عنها. Dan ini sesuatu yang berat kerana Zaid رضي الله عنه itu pernah dilihat sebagai anaknya sendiri.

 

وَاتَّقِ اللهَ

dan bertakwalah kepada Allah”, 

Dan Nabi Muhammad ﷺ menasihatkan Zaid رضي الله عنه untuk terus bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ iaitu terus takut kepada hukuman dari Allah ‎ﷻ. Maka terpaksalah Zaid رضي الله عنه akur dengan nasihat baginda.

Maksudnya baginda menasihatkan supaya Zaid رضي الله عنه tidak melakukan perkara yang salah. Ini kerana kadang-kadang apabila perkahwinan tidak menjadi, maka ramai yang melakukan perkara yang tidak patut kepada isteri ataupun suaminya. Sebagai contoh ada yang menggunakan kata-kata kesat ataupun menuduh pasangannya itu telah membuat kesalahan.

Dan perkara ini amat penting sampaikan dalam setiap ayat berkenaan perceraian, Allah ‎ﷻ mengingatkan manusia untuk bertakwa kepada-Nya. Kerana apabila hati sudah panas dan marah kepada pasangan, ramai di antara manusia yang mengeluarkan kata-kata buruk dan melakukan perkara-perkara yang tidak patut.

Juga, ia bermaksud apabila Zaid رضي الله عنه meneruskan perkahwinan dengan Zainab رضي الله عنها, hendaklah beliau bertindak dengan baik dengan Zainab رضي الله عنها. Hendaklah hormat menghormati dengan pasangan masing-masing kerana takwa kepada Allah ‎ﷻ.

Maka nasihat Rasulullah ﷺ ini kepada Zaid رضي الله عنه amat penting. Tidaklah bermaksud yang Zaid رضي الله عنه telah melakukan kesalahan.

 

وَتُخفي في نَفسِكَ مَا اللهُ مُبديهِ

sedang engkau menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya,

Allah ‎ﷻ memberitahu yang Nabi ﷺ menyimpan maklumat yang baginda akhirnya harus menikahi Zainab رضي الله عنها. Allah ‎ﷻ sudah beritahu kepada baginda tentang perkara ini sebelum itu. Allah ‎ﷻ telah beritahu yang Zaid رضي الله عنه dan Zainab رضي الله عنها akan berkahwin dan kemudian bercerai dan kemudian baginda sendiri akan menikahi Zainab رضي الله عنها.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Hasyim ibnu Marzuq, telah menceritakan kepada kami Ibnu Uyaynah, dari Ali ibnu Zaid ibnu Jad’an yang menceritakan bahawa Ali ibnul Husain رضي الله عنه pernah bertanya kepadaku tentang apa yang telah dikatakan oleh Al-Hasan mengenai firman Allah ‎ﷻ: dan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya. (Al-Ahzab: 37) Maka kuceritakan kepadanya bahawa Al-Hasan mengatakan, tidak demikian, tetapi Allah ‎ﷻ telah memberitahukan kepada Nabi-Nya sebelum Nabi ﷺ mengahwininya bahawa kelak Zainab رضي الله عنها akan menjadi salah seorang isterinya. Ketika Zaid رضي الله عنه datang kepada Nabi ﷺ mengadukan sikap Zainab رضي الله عنها yang membangkang, maka Nabi ﷺ bersabda kepada Zaid رضي الله عنه: Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ berfirman, “Aku telah memberitahukan kepadamu bahawa Aku akan mengahwinkannya denganmu, dan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah ‎ﷻ akan menyatakannya.” Hal yang sama telah diriwayatkan dari As-Saddi, bahawa Al-Hasan mengatakan hal yang sama.

Allah ‎ﷻ sendiri yang menikahkan Nabi Muhammad ﷺ dan Zainab رضي الله عنها tanpa eddah kerana perkahwinan Zaid رضي الله عنه dan Zainab رضي الله عنها tidak ada persetubuhan. Nabi ﷺ telah mengetahui perkara ini tetapi baginda cuba menyembunyikan perkara ini kerana berat bagi baginda.

Namun begitu Allah ‎ﷻ tetap menghendaki baginda berkahwin dengan Zainab رضي الله عنها. Dengan kata lain, Allah ‎ﷻ menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya dan memerintahkan kepadanya agar mengahwini Zainab رضي الله عنها tanpa wali, tanpa akad, tanpa mahar, dan tanpa saksi manusia, melainkan semuanya ditangani oleh Allah ‎ﷻ.

Imam Bukhari رحمه الله telah meriwayatkan melalui sahabat Anas رضي الله عنه yang menceritakan bahawa sesungguhnya Zainab binti Jahsy رضي الله عنها merasa berbangga diri atas isteri-isteri Nabi ﷺ yang lainnya dengan mengatakan kepada mereka: Kalian dinikahkan oleh keluarga kalian, sedangkan aku dinikahkan oleh Allah ‎ﷻ dari atas langit ketujuh.

Tetapi Zainab رضي الله عنها kalah juga dengan A’isyah رضي الله عنها. Dalam tafsir Surah An-Nur ada disebutkan suatu riwayat dari Muhammad ibnu Abdullah ibnu Jahsy yang telah menceritakan bahawa Zainab رضي الله عنها dan Aisyah رضي الله عنها saling berbangga diri. Zainab رضي الله عنها mengatakan, “Akulah wanita yang dikahwinkan melalui wahyu yang diturunkan dari langit.” Sedangkan Aisyah رضي الله عنها mengatakan, “Akulah isteri yang pembersihan namanya diturunkan dari langit.” Akhirnya Zainab رضي الله عنها mengakui keunggulan Siti Aisyah رضي الله عنها.

 

وَتَخشَى النّاسَ

dan kamu takut kepada manusia,

Nabi Muhammad ﷺ berat untuk menyampaikan maklumat itu (yang baginda akan mengahwini Zainab رضي الله عنها) adalah kerana naluri baginda takut apa yang akan dikatakan oleh masyarakat. Ini sama juga dengan diri kita apabila hendak memberitahu bahawa ada amalan di dalam masyarakat yang salah kerana syirik dan juga bidaah. Takut hendak beritahu ini adalah kerana memang takut kepada kata-kata manusia itu adalah dari naluri manusia.

Baginda takut apa orang akan kata dan jadi skandal pula. Kerana perkara sebegitu boleh menyebabkan baginda dituduh dan melemahkan umat Islam. Memang benar pun selepas perkahwinan baginda dengan Zainab رضي الله عنها, golongan Munafik, Yahudi dan juga Musyrik telah menggunakan isu ini untuk merosakkan nama Nabi Muhammad ﷺ.

Dan sampai sekarang pun peribadi Nabi ﷺ sentiasa sahaja dituduh oleh mereka yang tidak faham cerita sebenar. Ini kerana ada manusia yang jahat yang hendak merosakkan peribadi Nabi ﷺ kerana apabila mereka berjaya, maka tentulah ajaran dari baginda juga akan menjadi isu.

Maka mereka akan cari apakah perkara yang boleh dijadikan modal untuk menjatuhkan nama Rasulullah ﷺ dan Islam. Kalau zaman sekarang yang selalu digunakan sebagai hujah adalah Nabi ﷺ itu seorang pedofilia kerana mengahwini A’isyah رضي الله عنها belum cukup umur.

Orang akan mengambil peluang untuk menolak ajaran Islam dengan berkata: “Lihatlah Nabi kamu sendiri pun tidak boleh dipakai. Sanggup kahwin dengan bekas menantu sendiri.” Maka ayat ini diberikan untuk orang Islam supaya jangan terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan itu.

Ayat ini lebih untuk orang-orang Islam sebenarnya. Kerana kata-kata orang kafir selalunya menyebabkan orang Islam sendiri pun berasa tidak selesa. Tetapi kalau ada keyakinan dengan wahyu Allah ‎ﷻ, telah belajar keadaan yang sebenar, maka orang mukmin tidak ada masalah kerana mereka sudah tahu duduk perkara yang sebenar.

 

وَاللهُ أَحَقُّ أَن تَخشٰهُ

sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. 

Jadi baginda takut yang agama Islam akan mendapat masalah jikalau peribadi baginda diserang. Maka Nabi ﷺ takut itu bukanlah kerana peribadi sendiri tetapi baginda risaukan nama baik Islam.

Maka Allah ‎ﷻ menegur Nabi ﷺ supaya jangan takutkan manusia kerana Allah ‎ﷻlah yang lebih patut untuk ditakuti. Maka Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada Nabi ﷺ yang tidak perlu takut dengan kata-kata yang mungkin disampaikan oleh manusia. Baginda hanya kena buat sahaja apa yang Allah ‎ﷻ perintah. Dan tidaklah Nabi Muhammad ﷺ menyembunyikan perkara ini.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Ishaq ibnu Syahid, telah menceritakan kepadaku Khalid, dari Daud, dari Amir, dari Aisyah رضي الله عنها; dia pernah mengatakan bahawa seandainya Muhammad ﷺ menyembunyikan sesuatu dari apa yang diwahyukan kepadanya dari Kitabullah, tentulah baginda menyembunyikannya, iaitu: dan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedangkan Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. (Al-Ahzab: 37)

 

فَلَمّا قَضىٰ زَيدٌ مِّنها وَطَرًا زَوَّجنٰكَها

Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan kamu dengan dia

Ini adalah satu-satunya tempat di mana nama seorang sahabat disebut di dalam Al-Qur’an. Tidak ada nama-nama sahabat lain walaupun nama Abu Bakr رضي الله عنه atau A’isyah رضي الله عنها atau Umar رضي الله عنه disebut. Para sahabat lain disebut secara isyarat sahaja dalam Al-Qur’an.

Ini adalah kerana situasi ini adalah unik dan kerana itu nama Zaid رضي الله عنه disebut secara spesifik. Kerana perkara ini tidak akan terjadi lagi dan bermaksud ia tidak boleh dilihat secara umum kerana kes ini hanya berlaku pada Zaid رضي الله عنه sahaja. Sedangkan kalau kes-kes yang melibatkan sahabat-sahabat yang lain, kes itu boleh diaplikasi kepada kes lain zaman berzaman. Sebab itu nama mereka tidak disebut secara spesifik.

Ada lagi pendapat yang  mengatakan, ini adalah pujukan kepada Zaid رضي الله عنه. Selepas namanya bukan lagi Zaid bin Muhammad, beliau menjadi amat sedih. Maka Allah ‎ﷻ menggantikan kesedihannya dengan meletakkan namanya di dalam Al-Qur’an. Maka menyebut namanya sendiri sudah mendapat pahala kerana ia adalah salah satu kalimah di dalam Al-Qur’an.

Kalimah وَطَرًا bermaksud ‘berkongsi katil’. Ertinya keperluan dan hajat kepada pasangan. Ia merujuk kepada perhubungan seks di antara suami dan isteri. Allah ‎ﷻ boleh sahaja mengatakan setelah Zaid رضي الله عنه ‘menceraikan’ isterinya. Tetapi Allah ‎ﷻ tidak berkata begitu kerana Allah ‎ﷻ hendak menekankan tentang masalah yang terjadi di antara suami isteri itu bermula apabila tidak ada perhubungan badan antara mereka.

Perhubungan kelamin amat penting dalam perkahwinan. Dalam ayat sebelum ini kita telah diajar yang wanita tidak boleh menunjukkan kecantikannya di luar. Dan sepatutnya wanita menunjukkan kecantikannya di dalam rumah kepada suaminya. Isteri kena layan suami terutamanya di katil. Isteri kena berusaha supaya suaminya terpesona dengan kecantikan isterinya sahaja. Dan pandai melayan kehendak suami. Jadi kena tahu apa yang suami suka. Suami sepatutnya ‘geram’ kepada isterinya sahaja. Maka kena pandai melayan suami supaya suami pun tidak perlu untuk melihat wanita lain.

Tetapi apabila keadaan dunia sekarang terbalik di mana wanita begitu mudah menunjukkan kecantikannya di luar, tetapi di rumah berkemban sahaja. Maka ada kemungkinan suami sudah tidak ada keinginan lagi kepada isterinya kerana dia melihat ada lagi yang lebih baik di luar. Maka perhubungan kelamin sudah jadi hambar. Maka hubungan suami isteri tidak rapat lagi.

Ini adalah peperangan yang selalu berlaku di dalam hati dan juga fikiran kita semua. Kadang-kadang kita menang dan kadang-kadang kita kalah di mana kita melihat juga kepada wanita lain. Tetapi kalau isteri pandai melayan suami dan menyebabkan suami puas dengannya, maka perkara ini dapat dielakkan atau dikurangkan.

Kerana itulah Islam amat menjaga perkara ini dan melarang wanita untuk menunjukkan kecantikannya di luar. Kerana ada suami yang boleh menahan nafsunya dan ada yang tidak boleh menahan nafsunya dan mereka bukan sahaja melihat tetapi mereka akan buat yang lebih lagi. Boleh fahamlah ya tanpa perlu dijelaskan lagi.

Maka isteri kena jagalah penampilan diri sama ada di luar atau di dalam rumah. Kerana itulah ayat-ayat tentang wanita duduk di rumah dan menjaga aurat dan penampilan mereka amat penting sekali.

Jadi sekarang kembali kepada perbincangan awal iaitu tentang perhubungan di atas katil. Suami isteri kenalah melakukan sesuatu supaya perkara itu berterusan. Janganlah semasa mula berkahwin sahaja perkara ini dijaga tetapi lama kelamaan ia tidak dijaga lagi.

Selalunya isteri yang ada masalah ini. Sampaikan susah untuk suami memuaskan nafsunya dengan isteri kerana isterinya itu sibuk atau tidak menjaga dirinya. Mungkin mereka malas hendak mandi junub di pagi hari kerana rambut mereka basah dan sebagainya.

Akhirnya mereka selalu dingin terhadap ajakan suaminya. Padahal hubungan seks itu penting sangat. Suami akan tenang fikirannya kalau perkara itu dipenuhi. Maka isteri kena menghias dirinya sentiasa di rumah. Kena bertanding dengan wanita lain. Tambahan pula zaman sekarang apabila wanita terbuka sangat di luar.

Sekarang kita kembali kepada kisah Nabi Muhammad ﷺ dan Saidatina Zainab رضي الله عنها.

 

لِكَي لا يَكونَ عَلَى المُؤمِنينَ حَرَجٌ في أَزوٰجِ أَدعِيائِهِم

supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengahwini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka,

Allah ‎ﷻ mahukan Nabi Muhammad ﷺ berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya supaya masyarakat tidak berat hati untuk berbuat demikian. Allah ‎ﷻ hendak mengajar hukum bahawa anak angkat bukan anak sebenar. Dan kalau anak angkat bukan anak sebenar, maka isteri anak angkat bukanlah menantu sebenar.

Dan berkahwin dengan janda anak angkat memang menjadi sosial taboo masa itu dan fahaman itu hendaklah diperbetulkan. Maka perkara besar ini tidak boleh tidak, mestilah dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Kerana ia hendaklah diberikan contoh oleh baginda sendiri, barulah manusia lain tidak ada masalah untuk mengikutinya.

Kerana kalau baginda cakap sahaja, tidak cukup. Baginda kena buat sendiri. Kerana itulah Allah ‎ﷻ merancang Zaid رضي الله عنه bernikah dengan Zainab رضي الله عنها, bercerai dan kemudian dinikahi oleh baginda.

 

إِذا قَضَوا مِنهُنَّ وَطَرًا

apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya.

Maka seorang ayah angkat boleh berkahwin dengan janda anak angkatnya selepas tiada lagi hubungan antara anak angkat dan jandanya itu. Iaitu setelah mereka bercerai.

Maka ini juga memberi isyarat yang berkahwin dengan pasangan muda tidak ada masalah dalam masyarakat. Kerana tentulah janda anak angkat itu kita boleh dianggap sebagai muda, bukan? Ini tidak ada masalah. Orang kita sahaja yang nampak pelik apabila ini berlaku dalam masyarakat. Benda yang pelik tidak semestinya salah.

Jadi ini adalah kisah yang kita dapat dari pembelajaran tafsir Al-Qur’an dan kisah yang sahih. Akan tetapi kita kena tahu bahawa terdapat juga kisah-kisah yang tidak benar tentang peristiwa ini. Dan kisah-kisah itu juga malangnya ada terdapat di dalam kitab-kitab tafsir yang juga dikenali ramai. Maka kita kena sentuh juga.

Ada kitab tafsir yang mengeluarkan cerita yang Nabi ﷺ pernah melawat rumah Zaid رضي الله عنه selepas perkahwinannya dengan Zainab رضي الله عنها. Waktu itu Zaid رضي الله عنه tidak ada tetapi Zainab رضي الله عنها ada dan dikatakan Rasulullah ﷺ ternampak Zainab رضي الله عنها tanpa tudung. Dikatakan juga yang baginda tertarik dengan kecantikan Zainab رضي الله عنها sampai terkeluar kalimah ‘subhanallah’ dari mulut baginda (memberi isyarat ketakjuban baginda kepada Saidatina Zainab رضي الله عنها).

Apabila Zaid رضي الله عنه pulang, Zainab رضي الله عنها memberitahu kejadian itu kepada Zaid رضي الله عنه. Dan kerana Zaid رضي الله عنه menyangka Nabi ﷺ sudah tertarik dengan Zainab رضي الله عنها, maka beliau rela menceraikan Zainab رضي الله عنها supaya baginda boleh berkahwin dengannya.

Ini adalah kisah dari pihak yang tidak bertanggungjawab yang hendak memburukkan Nabi ﷺ. Kononnya Nabi ﷺ ini jenis lihat perempuan cantik sahaja terus jadi tidak tentu arah. Jadi apa yang mereka kata ialah baginda cuba sembunyikan adalah keinginan baginda terhadap Zainab رضي الله عنها . Maka ini menghina kedudukan baginda. Tidak patut sekali kita ada perasaan begini terhadap Rasul ﷺ kita.

Adakah berkemungkinan Nabi Muhammad ﷺ boleh tertarik dengan Zainab رضي الله عنها sekarang sedangkan Zainab رضي الله عنها itu sememangnya adalah sepupu baginda dari dahulu lagi? Baginda sudah mengenali Zainab رضي الله عنها semenjak dari kecil lagi dan tentu sudah pernah melihat Zainab رضي الله عنها tanpa tudung pun kerana ayat hijab belum keluar lagi. Maka bukanlah Nabi Muhammad ﷺ baru tersedar akan kecantikan Zainab رضي الله عنها hanya selepas beliau berkahwin dengan Zaid رضي الله عنه. Baginda bukannya tidak mengenali Zainab رضي الله عنها sejak dari dahulu lagi.

Bukanlah jiwa Nabi ﷺ seperti yang mereka katakan. Nabi Muhammad ﷺ seorang yang jujur hatinya. Apabila dikatakan baginda sembunyikan sesuatu, bukanlah maksudnya baginda ‘sembunyikan’ keinginan baginda kepada Zainab رضي الله عنها. Yang baginda sembunyikan adalah pemberitahuan Allah ‎ﷻ yang baginda akan berkahwin dengan Zainab رضي الله عنها. Kerana itu kalau tidak belajar tafsir (dan belajar lebih dari satu pendapat), kita mungkin tersilap tentang sesuatu perkara.

 

وَكانَ أَمرُ اللهِ مَفعولًا

Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.

Walaupun baginda tidak selesa yang baginda dikehendaki berkahwin dengan Saidatina Zainab رضي الله عنها, tetapi kehendak Allah ‎ﷻ pasti akan terjadi. Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak boleh menghalang kehendak Allah ‎ﷻ. Maka terjadilah apa yang Allah ‎ﷻ takdirkan akan tetap terjadi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Ahzab Ayat 36 – 37 (Pernikahan Rasulullah dan Zainab)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s