Tafsir Surah Ahzab Ayat 38 – 43 (Kena suka dengan hukum Allah)

Ayat 38:

مّا كانَ عَلَى النَّبِيِّ مِن حَرَجٍ فيما فَرَضَ اللهُ لَهُ ۖ سُنَّةَ اللهِ فِي الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلُ ۚ وَكانَ أَمرُ اللهِ قَدَرًا مَّقدورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There is not to be upon the Prophet any discomfort concerning that which Allāh has imposed upon him.¹ [This is] the established way of Allāh with those [prophets] who have passed on before. And ever is the command of Allāh a destiny decreed.

  • Or permitted to him.

(MELAYU)

Tidak ada suatu keberatan pun atas Nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya. (Allah telah menetapkan yang demikian) sebagai sunnah-Nya pada nabi-nabi yang telah berlalu dahulu. Dan adalah ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku,

 

مّا كانَ عَلَى النَّبِيِّ مِن حَرَجٍ فيما فَرَضَ اللهُ لَهُ

Tidak ada suatu keberatan pun atas Nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya.

Tidak ada apa-apa yang bahaya apabila Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ mengahwini Saidatina Zainab رضي الله عنها. Allah ‎ﷻlah yang menyuruh baginda berkahwin dengan Saidatina Zainab رضي الله عنها. Allah ‎ﷻ bukanlah berkata Dia ‘membenarkan’ Nabi ﷺ mengahwininya tetapi ia adalah ‘suruhan’ dari Allah ‎ﷻ. Jadi bukanlah baginda teringin hendakkan kepada Zainab رضي الله عنها.

Dan tidaklah Nabi Muhammad ﷺ rasa berat dengan arahan Allah ‎ﷻ itu. Tidak patut seorang Nabi ﷺ berasa berat dengan arahan Allah ‎ﷻ. Seorang Nabi sepatutnya kena redha dan terima sahaja arahan dari Allah ‎ﷻ dan bersedia untuk menjalankannya.

Macam kita yang sudah belajar wahyu Allah ‎ﷻ ini pun tidak patut untuk merasa berat dalam menjalankan perintah Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an ini. Kalau arahan dari Allah ‎ﷻ sahaja, maka kita kena jalankan dengan redha. Jangan kita ada rasa tertekan dan rasa terpaksa untuk menjalankan arahan Allah ‎ﷻ itu.

Ayat ini sebagai dalil bahawa bukanlah Nabi ﷺ minat asalnya kepada Zainab رضي الله عنها. Kerana ada tuduhan sebegitu, maka Allah ‎ﷻ mempertahankan nama baik baginda. Mana mungkin Nabi ﷺ mempunyai minat terhadap isteri orang lain pula. Tetapi bila sudah menjadi isteri baginda, tentulah baginda sayang.

 

سُنَّةَ اللهِ فِي الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلُ

(Allah telah menetapkan yang demikian) sebagai sunnah-Nya pada nabi-nabi yang telah berlalu dahulu. 

Tidak boleh berasa berat dengan suruhan daripada Allah ‎ﷻ kerana itulah cara diberi arahan oleh Allah ‎ﷻ semenjak dari dahulu lagi. Dari dahulu lagi, apabila Allah ‎ﷻ telah berikan arahan, maka para Nabi dan Rasul akan menjalankannya.

Allah ‎ﷻ hendak menjadikan ini sebagai satu sunnah di dalam agama Islam. Iaitu tidak salah untuk mengahwini janda. Dan tidak salah untuk mengahwini janda kepada anak angkat sendiri.

Maka kena tolak stigma sebegini. Pelbagai stigma dalam masyarakat sebenarnya. Sebagai contoh, ada orang yang segan untuk berkahwin dengan janda kawan sendiri kerana mereka berasa rapat dengan kawan itu tetapi ingatlah yang Nabi Muhammad ﷺ juga rapat dengan Zaid رضي الله عنه.

Ini bukanlah kali pertama undang-undang ini diperkenalkan kepada manusia kerana zaman dahulu pun sudah ada. Maka ia adalah sunnatullah. Sunnatullah itu juga bermaksud yang Allah ‎ﷻ tidak sekali-kali memerintahkan kepada para Nabi untuk melakukan sesuatu yang menyebabkan mereka berdosa kerananya.

Ayat ini merupakan sanggahan terhadap sebahagian orang dari kalangan orang-orang munafik yang mengatakan martabat Nabi ﷺ menjadi kurang kerana mengahwini bekas isteri anak angkatnya.

Juga sudah dari dahulu lagi terdapat lelaki yang berkahwin lebih daripada satu dan ini biasa sahaja, termasuk kepada para Nabi pun. Maka ia bukanlah isu yang besar. Jangan kata Nabi ﷺ gila seks pula kerana berkahwin lebih dari satu.

 

وَكانَ أَمرُ اللهِ قَدَرًا مَّقدورًا

Dan adalah ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku,

Dan keputusan Allah ‎ﷻ adalah tetap. Takdir Allah tetap akan berjalan. Apabila Allah ‎ﷻ mahukan sesuatu maka semua makhluk kena lakukan dan tidak ada alasan untuk menolaknya.


 

Ayat 39: Telah disebut yang Para Nabi itu taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Dan siapakah golongan Nabi itu?

الَّذينَ يُبَلِّغونَ رِسٰلٰتِ اللهِ وَيَخشَونَهُ وَلا يَخشَونَ أَحَدًا إِلَّا اللهَ ۗ وَكَفىٰ بِاللهِ حَسيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh praises] those who convey the messages of Allāh¹ and fear Him and do not fear anyone but Allāh. And sufficient is Allāh as Accountant.

  • i.e., the prophets (peace be upon them all) and after them, the followers of the final prophet, Muḥammad (ṣ), who honestly convey Allāh’s message to the people.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.

 

الَّذينَ يُبَلِّغونَ رِسٰلٰتِ اللهِ

(iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, 

Ada perubahan dalam topik ini secara tiba-tiba. Allah ‎ﷻ hendak menekankan siapakah golongan Nabi itu termasuk Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita kepada mereka supaya kita pandang mereka dengan pandangan yang benar. Jangan pandang rendah dengan Nabi.

Mereka menyampaikan ajaran Islam kepada manusia. Ini adalah tugas yang amat penting dan ini tidak dapat dilakukan jikalau ada masalah dalaman. Maka hal dalam keluarga hendaklah diselesaikan.

Maka kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ kena berkahwin dengan Sayyidah Zainab رضي الله عنها kerana ada pengajaran agama di dalamnya. Baginda kena sampaikan kepada umat. Dan setiap perbuatan baginda ada konotasi agama yang kita kena perhatikan.

Dan dengan ada ramai isteri, Nabi Muhammad ﷺ dapat menyampaikan pengajaran agama dengan lebih lagi. Ini adalah kerana mereka itu duduk tinggal dengan baginda di dalam rumah. Kalau di luar rumah, sahabat biasa nampak. Tetapi bagaimana dengan hal-hal dalam rumah?

Maka para isteri bagindalah yang menyampaikan kepada umat bagaimana sikap baginda di dalam rumah. Mereka sampaikan kepada kita dan kita dapat belajar apakah sunnah baginda di dalam rumah.

 

وَيَخشَونَهُ وَلا يَخشَونَ أَحَدًا إِلَّا اللهَ

dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah.

Para Nabi itu tidak takut kepada selain Allah ‎ﷻ. Mereka tidak takut dengan kata-kata penentangan manusia terhadap mereka dan segala perancangan manusia yang hendak menjatuhkan mereka. Mereka kena sampaikan ajaran wahyu dan tidak boleh takut dalam melakukannya. Jangan takut kata-kata manusia sampai sorok wahyu.

Maka ini pun mengajar kita pun kena berani sampaikan wahyu Al-Qur’an ini kepada manusia. Walaupun ramai yang marah dan melawan namun ia tetap kena dilakukan. Biarlah apa yang mereka hendak kata, kita sampaikan sahaja.

Kerana kita kena lebih takutkan Allah ‎ﷻ daripada takutkan manusia. Manusia tidak boleh berbuat apa-apa tanpa izin Allah ‎ﷻ tetapi Allah ‎ﷻ boleh memasukkan kita ke dalam neraka kalau kita tidak menjalankan tugas kita untuk menyampaikan wahyu.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْر، أَخْبَرَنَا الْأَعْمَشُ، عَنْ عَمْرِو بْنِ مُرَّة، عَنْ أَبِي البَخْتَري، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا يَحْقِرَنَّ أَحَدُكُمْ نَفْسَهُ أَنْ يَرَى أَمْرَ اللَّهِ فِيهِ مَقَالٌ ثُمَّ لَا يَقُولُهُ، فَيَقُولُ اللَّهُ: مَا يَمْنَعُكَ أَنْ تَقُولَ فِيهِ؟ فَيَقُولُ: رَبِّ، خَشِيتُ النَّاسَ. فَيَقُولُ: فَأَنَا أَحَقُّ أن يخشى “

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Namir, telah menceritakan kepada kami Al-A’masy, dari Amr ibnu Murrah, dari Abul Bukhturi, dari Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: jangan sekali-kali seseorang di antara kalian menghina dirinya sendiri bila dia melihat perintah Allah ‎ﷻ yang memerlukan pembelaannya, kemudian dia tidak membelanya. Maka Allah ‎ﷻ akan bertanya, “Apakah yang mencegahmu untuk tidak membelanya?” Lalu dia mengatakan, “Ya Tuhanku, aku takut kepada manusia.” Maka Allah ‎ﷻ akan berfirman, “Akulah seharusnya yang lebih ditakuti.”

Mungkin timbul persoalan: kenapa ayat ini kata para Nabi tidak takutkan manusia, tetapi dalam ayat 37 disebut Nabi ﷺ takut kepada kata-kata manusia? وَتُخفي في نَفسِكَ مَا اللَّهُ مُبديهِ وَتَخشَى النّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخشاهُ (sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah ‎ﷻ akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-‎ﷻlah yang lebih berhak untuk kamu takuti.)

Untuk menjawab persoalan ini kita kena faham yang memang Nabi ﷺ takut pada mulanya kerana baginda berasakan itu adalah pernikahan untuk dunia baginda. Tetapi selepas baginda tahu yang pernikahan itu ada misi agama, maka baginda tidak takut lagi.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ حَسيبًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.

Biarlah Allah ‎ﷻ yang menghitung kesalahan yang dilakukan oleh para penentang dan memberikan balasan kepada mereka. Kita tidak mampu untuk menghitung dan membalasnya sendiri. Maka tidak payah hendak hiraukan sangat kata-kata mereka dan serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 40:

مّا كانَ مُحَمَّدٌ أَبا أَحَدٍ مِّن رِّجالِكُم وَلٰكِن رَّسولَ اللهِ وَخاتَمَ النَّبِيّينَ ۗ وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Muḥammad is not the father of [any] one of your men, but [he is] the Messenger of Allāh and seal [i.e., last] of the prophets. And ever is Allāh, of all things, Knowing.

(MELAYU)

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

مّا كانَ مُحَمَّدٌ أَبا أَحَدٍ مِّن رِّجالِكُم

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu,

Nabi Muhammad ﷺ bukanlah bapa kepada Zaid رضي الله عنه; dan sebenarnya baginda juga tidak ada anak lelaki kerana semua anak-anak lelaki baginda mati dan kerana itu ayat ini amat tepat sekali. Kerana itu Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah رجال yang bermaksud ‘lelaki’. Kerana Nabi ﷺ memang hanya mempunyai anak perempuan yang hidup.

Tetapi baginda juga pernah mempunyai anak lelaki, bukan? Namun begitu, semua anak lelakinya mati di usia yang kecil. Kerana itu kalimah رجال lebih tepat lagi bermaksud ‘lelaki dewasa’. Maka ayat ini menafikan Nabi Muhammad ﷺ itu ayah kepada lelaki yang dewasa kerana anak-anak lelaki baginda semuanya mati ketika kanak-kanak.

Maka tidak boleh menasabkan Zaid رضي الله عنه kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ayat ini tegas menidakkan perkara itu.

 

وَلٰكِن رَّسولَ اللهِ

tetapi dia adalah Rasulullah

Mungkin ada yang berhujah, walaupun Nabi Muhammad ﷺ bukan bapa sebenar kepada Zaid رضي الله عنه dan Zainab رضي الله عنها bukanlah menantunya, tetapi baginda tidaklah perlu untuk mengahwini Zainab رضي الله عنها. Kerana dengan perkahwinan itu telah menimbulkan prasangka yang tidak elok.

Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah dan memang tugas baginda untuk mengajar manusia dengan hukum. Dan juga tugas baginda untuk mematikan adat resam yang tidak patut. Maka kerana itu baginda kena tunjukkan sendiri bahawa boleh mengahwini janda anak angkat. Kerana apabila baginda sendiri yang berkahwin, maka itu adalah satu penegasan yang kuat. Maka senang untuk umat tukar adat resam kerana Rasulullah sendiri yang buat.

Tadi telah disebut yang baginda bukanlah bapa kandung kepada Zaid رضي الله عنه. Sebaliknya baginda adalah ‘Rasul Allah’ yang bermaksud baginda adalah ‘ayah’ kepada seluruh umat. Kerana kalau para isteri baginda adalah ibu kepada semua orang mukmin, maka secara automatik baginda adalah ‘bapa’. Namun bukanlah ayah biologi tetapi ayah dari segi agama.

Dan ini menolak kutukan puak Musyrikin yang mengatakan baginda ‘abtar’ iaitu tidak mempunyai anak lelaki yang meneruskan kerja baginda. Allah ‎ﷻ memberitahu yang anak dari segi agama yang lebih penting untuk meneruskan ajaran agama ini, bukannya anak biologi.

 

وَخاتَمَ النَّبِيّينَ

dan penutup nabi-nabi.

Tiada Nabi lagi selepas baginda. Ini jelas disebut dalam Al-Qur’an dan juga hadis Nabi ﷺ:

قَالَ [الْإِمَامُ] أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يُونُسُ بْنُ مُحَمَّدٍ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ، حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ عُبَيد الرَّاسِبِيُّ قَالَ: سَمِعْتُ أَبَا الطُّفَيْلِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم: “لا نُبُوَّةَ بَعْدِي إِلَّا الْمُبَشِّرَاتِ”. قَالَ: قِيلَ: وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ -أَوْ قَالَ -الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yunus ibnu Muhammad, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Zaid, telah menceritakan kepada kami Usman ibnu Ubaid Ar-Rasibi yang telah mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abut Tufail رضي الله عنه mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: “Tiada kenabian sesudahku, kecuali hanya mubasysyirat.” Ketika ditanyakan “Apakah mubasysyirat itu (berita-berita yang menggembirakan).” Rasulullah ﷺ menjawab, “Mimpi yang baik, ” atau, “Mimpi yang saleh.”

Maka kalau ada yang mengaku Nabi selepas itu, maka dia adalah pembohong besar. Dan memang banyak juga yang mengaku Nabi. Sampaikan orang Melayu pun ada yang teringin ingin menjadi Nabi juga. Alangkah jahilnya dan gila (yang lagi gila orang yang mengikut mereka). Yang mengaku Nabi itu memanglah sudah gila. Tetapi kenapa ada orang yang percaya? Itu yang menghairankan.

Tidak mungkin ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad ﷺ, sekalipun orang yang mengaku menjadi nabi atau rasul itu dapat mengeluarkan berbagai macam perkara yang bertentangan dengan hukum alam, atau mendatangkan berbagai macam sihir, silap mata, dan magis; maka semuanya itu adalah kesesatan belaka menurut orang-orang yang mempunyai akal.

Sebagaimana yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada Al-Aswad Al-Anasi dan Musailamah Al-Kazzab di Yamamah, iaitu berupa berbagai macam keadaan yang merosak dan kata-kata yang dingin, yang semuanya itu diketahui oleh setiap orang yang mempunyai akal sihat dan pandangan hati serta pengertian yang benar, bahawa keduanya pendusta lagi sesat; semoga Allah ‎ﷻ melaknat keduanya.

Jadi Nabi Muhammad ﷺ adalah pelengkap kepada rentetan segala Nabi dan Rasul dari dahulu lagi.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلِي وَمَثَلُ النَّبِيِّينَ [مِنْ قَبْلِي] كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى دَارًا فَأَتَمَّهَا إِلَّا لَبنَة وَاحِدَةً، فَجِئْتُ أَنَا فَأَتْمَمْتُ تِلْكَ اللَّبِنَةِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, telah menceritakan kepada kami Al-A’masy, dari Abu Saleh, dari Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Perumpamaanku dan para nabi lainnya seperti seseorang yang membangun sebuah gedung, dia menyempurnakan bangunan­nya terkecuali suatu bahagian darinya. Maka aku datang, lalu menyempurnakan bahagian itu.

Maka agama sudah sempurna apabila Nabi Muhammad ﷺ telah menyampaikannya. Ini adalah satu penghormatan kepada baginda kerana bagindalah yang menyempurnakan agama Islam setelah diajar oleh para Nabi yang dahulu. Ini telah disebut dalam Maidah:3

اليَومَ أَكمَلتُ لَكُم دينَكُم وَأَتمَمتُ عَلَيكُم نِعمَتي وَرَضيتُ لَكُمُ الإِسلامَ دينًا

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.

Ini dijelaskan lagi dalam hadis berikut,

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ – رضى الله عنه – أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « إِنَّ مَثَلِى وَمَثَلَ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِى كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى بَيْتًا فَأَحْسَنَهُ وَأَجْمَلَهُ ، إِلاَّ مَوْضِعَ لَبِنَةٍ مِنْ زَاوِيَةٍ ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَطُوفُونَ بِهِ وَيَعْجَبُونَ لَهُ ، وَيَقُولُونَ هَلاَّ وُضِعَتْ هَذِهِ اللَّبِنَةُ قَالَ فَأَنَا اللَّبِنَةُ ، وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ »

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda, “Perumpamaan aku dengan Nabi sebelumku ialah seperti seorang lelaki yang membangunkan sebuah bangunan kemudian dia memperindah dan mempercantik bangunan tersebut kecuali satu tempat batu bata di salah satu sudutnya. Orang-orang ketika itu mengitarinya, mereka kagum dan berkata, “Amboi, jika batu bata ini diletakkan, akulah batu bata itu dan aku adalah penutup para nabi.”

(HR. Bukhari, no. 3535 dan Muslim, no. 2286)

Maka agama Islam ini telah lengkap dan kalau ada yang reka perkara baru dalam agama, mereka sebenarnya telah menidakkan ayat ini. Mereka sangka boleh sahaja hendak membuat ajaran dan amalan baru, tetapi itu tidak patut kerana itu adalah kerja Nabi Muhammad ﷺ. Dan apabila baginda telah menyempurnakan agama ini, maka kerana itulah baginda adalah penutup segala Nabi.

Maka kalau ada yang mereka amalan bidaah, atau ada yang mengikut amalan bidaah yang direka oleh manusia, maka mereka itu tidak faham ayat ini. Mereka tidak faham kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan kerana itu mereka tidak faham agama dengan benar.

Kerana tidak ada lagi Nabi selepas baginda, maka kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ kena melalui peristiwa yang berat bagi baginda ini, kerana baginda kena meletakkan sunnah yang penting kepada masyarakat. Bagindalah yang kena mengajar manusia dan memberi contoh bahawa boleh mengahwini janda anak angkat. Baginda tidak boleh membiarkan sahaja perkara itu kerana tidak ada lagi Nabi selepas baginda yang akan memperbetulkannya.

Dan kerana baginda adalah Rasul terakhir, maka tugas baginda amat berat. Kerana itulah baginda amat prihatin dengan umat manusia. Kalau para Nabi dahulu, mereka tahu yang kalau ada penyelewengan dalam agama, maka akan ada Nabi lain yang akan membetulkannya. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ sedar yang selepas baginda tidak ada lagi Nabi lain. Maka baginda kena sampaikan ajaran yang lengkap dan ingatkan kepada manusia mana ajaran yang benar dan mana ajaran yang salah.

Maka kerana itu baginda mengingatkan berkali-kali untuk mengambil ajaran dari Al-Qur’an dan sunnah baginda. Maka kita umat baginda ini kenalah mahir dengan dua sumber ini. Dan kalau belajar, ambillah ajaran dari guru yang menggunakan dua sumber ini. Malangnya, banyak guru yang tidak mengikut dua sumber ini tetapi pakai ajaran dan kata-kata manusia sahaja. Kerana itu, ramai yang sesat dan mengamalkan amalan bidaah.

Kalau kita perhatikan permulaan ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut Nabi Muhammad ﷺ itu adalah ‘Rasul’ tetapi sekarang disebut baginda adalah ‘penutup para Nabi’. Kenapa tidak disebut penutup para Rasul?

Ini adalah kerana ada perbezaan antara Nabi dan Rasul. Nabi adalah manusia yang dilantik oleh Allah ‎ﷻ dan mendapat wahyu. Tetapi Rasul adalah Nabi yang membawa syariat baru. Maka, setiap Rasul adalah Nabi tetapi tidaklah setiap Nabi itu Rasul.

Maka, apabila Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat ‘penutup para Nabi’ maka itu bermakna tiada ada Nabi selepas baginda dan tidak juga ada Rasul selepas baginda. Kalau Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat ‘penutup para Rasul’, maka nanti ada pula makhluk yang kata mereka itu bukan Rasul tetapi mereka itu Nabi. Maka Allah ‎ﷻ tutup hujah yang sebegitu.

Bagaimana pula dengan turunnya Nabi Isa عليه السلام di akhir zaman nanti? Ajaran sesat Qadiani berhujah yang tidak ada penutupan Nabi (kerana hendak mengatakan yang Qadiani itu pun Nabi juga) dengan mengatakan: bukankah Nabi Isa عليه السلام pun akan turun juga nanti?

Jawabnya: tidak akan dilantik Nabi yang baru. Macam Nabi Isa عليه السلام itu, baginda sudah dilantik dahulu lagi maka baginda bukanlah baru dilantik. Baginda hanya turun sahaja di akhir zaman.

Maka jangan percaya kalau ada yang mengaku mereka itu Nabi. Mereka itu jelas adalah penipu besar dan telah disebut dalam hadis dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلَاثِينَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللَّهِ

Tidak akan terjadi hari kiamat hingga muncul para dajjal/para pendusta, yang berjumlah sekitar 30-an. Mereka semua mengaku sebagai utusan Allah (Rasulullah).”

(HR. Muslim, no. 157)

 

وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apa sahaja yang berlaku dan apa yang dikatakan oleh manusia. Dan Allah ‎ﷻ sudah tahu bahawa untuk mengubah adat resam manusia, memerlukan contoh dari Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

Allah ‎ﷻ telah takdirkan yang tidak ada Nabi selepas Nabi Muhammad ﷺ dan ini sahaja peluang yang ada untuk mengubah adat resam masyarakat waktu itu. Walaupun nanti ada pendakwah, tetapi sesiapa sahaja selain dari Nabi Muhammad ﷺ, tidak akan dapat mencapai efek yang dikehendaki.

Habis Ruku’ 5 dari 9 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 41: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 8 surah ini dari ayat ini sehingga ke ayat 48. Sekarang diberikan nasihat kepada Muslimin yang ikhlas.

Kaum muslimin diperintahkan untuk berzikir dan bertasbih. Dalam ayat sebelum ini telah disebut yang Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul dan kemudian disebut baginda adalah Nabi terakhir. Baginda adalah rahmat sekalian alam. Maka kita berzikir dan bertasbih sebagai tanda kesyukuran kerana Allah ‎ﷻ telah berikan nikmat yang besar ini.

Mereka juga disuruh untuk meneruskan usaha Rasulullah ﷺ dan sebarkan agama tauhid dengan taufiq dari Allah ‎ﷻ. Ingatlah ganjaran gembira di akhirat kelak. Jangan pedulikan celaan dan sendaan kaum munafik dan kafirin. Jadikan Allah ‎ﷻ sebagai wali dan tempat bergantung harapan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اذكُرُوا اللهَ ذِكرًا كَثيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, remember Allāh with much remembrance

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.

 

Wahai manusia, kamu kena ingat banyak-banyak kepada Allah ‎ﷻ dan jangan peduli dengan skandal yang macam-macam. Manusia memang akan bercakap macam-macam kerana memang manusia ramai dan ada banyak dari mereka yang hatinya tidak bersih. Memang tidak mampu untuk kita melayan mereka. Lebih baik kita zikir kepada Allah ‎ﷻ sahaja dari menyesakkan akal dan hati kita dengan dengar apa kata mereka.

Maka untuk elak dari memikirkan kata-kata mereka, maka kena sibukkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Banyakkan zikir dan ibadat. Jangan buang masa melayan perasaan dan melayan mereka. Buat ibadat dapat juga pahala, kalau layan mereka akan menyesakkan fikiran sahaja.

Malangnya manusia waktu itu sibuk bercakap-cakap tentang perkahwinan Nabi ﷺ dan Zainab رضي الله عنها yang baru berlangsung. Maka orang mukmin diajar jangan terkesan dengan suasana itu. Jangan melibatkan diri dengan cakap-cakap kosong yang boleh menyebabkan mereka mendapat dosa sahaja.

Hanya dalam bab zikir sahaja Allah ‎ﷻ suruh kita ‘banyakkan’ amalan itu. Kalau solat ada waktu tertentu dan rakaat tertentu; kalau puasa ada hari tertentu; kalau Haji pun ada bulan dan tempat tertentu, bukan? Tetapi apabila Allah ‎ﷻ sebut zikir, Allah ‎ﷻ tidak hadkan bilangan dan tempat. Kenapa?

Ini adalah kerana zikir ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tidak terhad kepada waktu dan tempat, malah tidak perlu untuk dalam keadaan suci pun. Kalau dalam hadas dan dalam junub pun, masih boleh berzikir (memang molek kalau dalam keadaan suci, tetapi ia bukan syarat).

Maka, sebenarnya tidak ada alasan kalau kita tidak berzikir, bukan? Maka kena memperbanyakkan zikir. Dan jangan lupa yang zikir itu ada banyak cara. Dalam bentuk baca Al-Qur’an, pengajian, bercakap tentang Allah ‎ﷻ dan bermacam cara lagi.


 

Ayat 42:

وَسَبِّحوهُ بُكرَةً وَأَصيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And exalt Him morning and afternoon.

(MELAYU)

Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.

 

Sibukkan diri dengan zikir dan tasbih. Apabila dikatakan pagi dan petang, maksudnya sepanjang masa.

Banyakkan zikir dan tasbih kerana Allah ‎ﷻlah yang telah melimpahkan nikmat kepada manusia berupa berbagai macam nikmat dan beraneka ragam anugerah. Kerana dalam melaksanakan hal tersebut terdapat pahala yang berlimpah bagi mereka dan tempat kembali yang sangat baik.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن سعيد ، حدثني مولى بن عَيَّاشٍ عَنْ أَبِي بَحرية ، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَلَّا أُنْبِئَكُمْ بِخَيْرِ أعمالكم وأزكاها عند مليككم، وأرفعها في درجاتكم، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ والوَرق، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ، وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ؟ ” قَالُوا: وَمَا هُوَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “ذِكْرُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id, dari Abdullah ibnu Sa’id, telah menceritakan kepadaku maula ibnu Iyasy, dari Abu Bahriyyah, dari Abu Darda رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: “Mahukah aku ceritakan kepada kalian tentang amal perbuatan yang terbaik bagi kalian dan tersuci di sisi Tuhan kalian serta menghantarkan kalian kepada kedudukan yang tertinggi, dan lebih baik bagi kalian daripada menyedekahkan emas dan perak, serta lebih baik bagi kalian daripada kalian berperang melawan musuh kalian, lalu kalian tebas batang leher mereka dan mereka menebas batang leher kalian?” Mereka bertanya, ‘Wahai Rasulullah, amalan apakah itu?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Zikrullah (banyak menyebut nama Allah ‎ﷻ).”


 

Ayat 43:

هُوَ الَّذي يُصَلّي عَلَيكُم وَمَلىٰئِكَتُهُ لِيُخرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۚ وَكانَ بِالمُؤمِنينَ رَحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who confers blessing upon you,¹ and His angels [ask Him to do so] that He may bring you out from darknesses into the light. And ever is He, to the believers, Merciful.

  • i.e., Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) cares for you and covers you with His mercy. An additional meaning is that He praises you in the presence of the angels.

(MELAYU)

Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat-Nya (memohonkan ampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.

 

هُوَ الَّذي يُصَلّي عَلَيكُم

Dialah yang memberi rahmat kepadamu

Allah ‎ﷻ memberi selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kepada manusia. Nama Nabi Muhammad ﷺ dinaikkan di serata dunia sampai sekarang. Dan dengannya juga manusia mendapat rahmat. Allah ‎ﷻ memberikan rahmat keimanan dan agama kepada manusia melalui Nabi Muhammad ﷺ.

Dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ suruh kita berzikir dan bertasbih dan ayat ini menggalakkan kita untuk banyak berzikir. Dengan kata lain, dapat diertikan bahawa Allah  ‎ﷻ selalu ingat kepada kita, maka kita kenalah ingat pula kepada-Nya dengan banyak menyebut nama-Nya. Nabi  ﷺ pernah bersabda:

“يَقُولُ اللَّهُ: مَنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، ومَنْ ذَكَرَنِي فِي مَلأ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ”

Allah ‎ﷻ berfirman, “Barang siapa yang menyebut-Ku di dalam dirinya, maka Aku menyebutnya pula dalam diri-Ku. Dan barang siapa yang menyebut-Ku dalam suatu kumpulan orang, maka Aku menyebutnya pula dalam suatu golongan yang lebih baik daripada golongannya.

Maka, kalau banyakkan berzikir seperti disuruh dalam ayat sebelum ini, maka Allah ‎ﷻ akan beri selawat kepada kita, iaitu beri nikmat kepada kita. Bukan sahaja Allah ‎ﷻ akan berselawat kepada kita, tetapi para malaikat juga. Maksud Allah ‎ﷻ selawat: Allah ‎ﷻ berikan rahmat; maksud malaikat selawat, mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk berikan rahmat kepada kita.

Maka jangan keliru pula dengan penggunaan kalimah ‘solah’ dan ‘selawat’ dalam Al-Qur’an. Secara umumnya, ada tiga penggunaan kalimah ‘solah’ yang berbeza:

Dari Allah ‎ﷻ: ia bermaksud pemberian rahmat;
Dari Malaikat: doa kepada Allah ‎ﷻ untuk ampunkan manusia;
Dari manusia: doa kepada Allah ‎ﷻ

 

وَمَلىٰئِكَتُهُ

dan malaikat-Nya

Para malaikat juga mendoakan kerahmatan untuk manusia. Dan ada para malaikat yang memang mendoakan orang mukmin sepertimana yang disebut dalam ayat lain:

{الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ}

(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan), “Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang bernyala-nyala. Ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguh­nya Engkaulah Yang Mahaperkasa lagi Mahabijaksana, dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. (Al-Mu-min: 7-9)

 

لِيُخرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya

Tujuannya untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan syirik dan juga jahil. Kepada cahaya iman dan wahyu. Yakni berkat rahmat Allah ‎ﷻ kepada kalian, pujian-Nya terhadap kalian, dan doa malaikat bagi kalian, maka kalian dikeluarkan oleh Allah ‎ﷻ dari gelapnya kejahilan dan kesesatan menuju kepada terangnya hidayah dan keyakinan.

 

وَكانَ بِالمُؤمِنينَ رَحيمًا

Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.

Dan kepada orang mukmin Allah ‎ﷻ akan bersifat Rahim kepada mereka. Maknanya Allah ‎ﷻ akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Inilah kelebihan orang mukmin. Mereka akan mendapat kesan sifat Rahman Allah dan juga sifat Raheem Allah. Sedangkan kalau bukan mukmin, mereka hanya dapat kesan dari sifat Rahman Allah sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment