Tafsir Surah Ahzab Ayat 44 – 49 (Cerai sebelum setubuh)

Ayat 44:

تَحِيَّتُهُم يَومَ يَلقَونَهُ سَلٰمٌ ۚ وَأَعَدَّ لَهُم أَجرًا كَريمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their greeting the Day they meet Him will be, “Peace.” And He has prepared for them a noble reward.

(MELAYU)

Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialah: Salam; dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka.

 

تَحِيَّتُهُم يَومَ يَلقَونَهُ سَلٰمٌ

Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialah: Salam;

Kalimah تَحِيَّتُ (seperti tahiyat awal dan akhir dalam solat) bermaksud salam penghormatan. Ia adalah dari kalimah ح ي ي yang bermaksud hidup/hayat. Ini kerana sebelum Islam, orang Arab apabila berjumpa sesama sendiri mereka akan sebut: ‘Hayyakallah’ (semoga Allah ‎ﷻ memanjangkan umurmu).

Tetapi selepas Islam, salam penghormatan ditukar kepada assalamualaikum tetapi kalimah تَحِيَّتُ masih tetap dipakai untuk merujuk kepada kalimah salam penghormatan itu.

Ayat ini memberitahu yang apabila manusia bertemu dengan Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan beri salam dan ini juga disebut dalam Yaasin:58.

سَلامٌ قَولًا مِن رَبٍّ رَحيمٍ

(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.

Bayangkan Allah ‎ﷻ yang beri salam kepada kita?! Alangkah hebatnya! Maknanya Allah ‎ﷻ memuliakan ahli syurga dengan memberi salam terus kepada mereka.

Maka kenalah kita berusaha beramal dengan amal kebaikan yang banyak supaya kita dapat masuk syurga dan menerima salam dari Allah ‎ﷻ ini. Kerana Allah ‎ﷻ hanya jumpa dan beri salam kepada ahli syurga sahaja.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah malaikat yang akan beri salam itu. Ini telah disebut dalam Nahl:32

الَّذينَ تَتَوَفّاهُمُ المَلائِكَةُ طَيِّبينَ ۙ يَقولونَ سَلامٌ عَلَيكُمُ ادخُلُوا الجَنَّةَ بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): “Salaamun’alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan”.

Atau pun, ada pendapat yang mengatakan mereka mengucapkan salam sesama mereka, seperti yang disebut dalam Yunus:10

دَعواهُم فيها سُبحانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُم فيها سَلامٌ

Do’a mereka di dalamnya ialah: “Subhanakallahumma”, dan salam penghormatan mereka ialah: “Salam”.

 

وَأَعَدَّ لَهُم أَجرًا كَريمًا

dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka.

Mereka yang mukmin akan dimasukkan ke dalam syurga dan diberi balasan yang mulia kepada mereka. Yakni syurga dan segala makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, pasangan-pasangan, semua kelazatan, dan semua pemandangan yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga, serta belum pernah terbayang di hati seorang manusia pun. 


 

Ayat 45: Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut pula tugas Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu tugas penting yang diberikan kepada baginda. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu baginda yang kerja baginda itu penting.

Dan Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada pembaca Al-Qur’an bahawa Rasulullah di kalangan mereka itu bukan orang biasa. Ada kelebihan baginda yang disebut nanti: Shahid, mubashshir, nadhir, da’i ila Allah ‎dan siraj munir.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِنّا أَرسَلنٰكَ شٰهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, indeed We have sent you as a witness and a bringer of good tidings and a warner

(MELAYU)

Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan,

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِنّا أَرسَلنٰكَ شٰهِدًا

Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi,

Salah satu tugas baginda adalah menjadi ‘saksi’. Saksi apakah itu? Baginda akan menjadi saksi kepada apa yang manusia amalkan dengan Al-Qur’an dan ajaran baginda.

Maka kalau kita tidak tahu apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini dan tidak amalkan, jangan harap akan dapat syafaat dari baginda. Malah baginda akan jadi pendakwa kepada kita pula. Baginda akan dakwa kita tidak amalkan Al-Qur’an. Ini ada juga disebut dalam Nahl:89

وَيَومَ نَبعَثُ في كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا عَلَيهِم مِن أَنفُسِهِم ۖ وَجِئنا بِكَ شَهيدًا عَلىٰ هٰؤُلاءِ

(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia.

Jadi kena ingat bahawa ada yang jadi saksi baik kepada kita. Saksi ini akan mempertahankan kita. Sebagai contoh, dalam mahkamah ada saksi yang kata kita orang baik dan tidak akan mencuri. Jadi baginda akan menjadi saksi mempertahankan kita. Tetapi ini bagi mereka yang mengikut ajaran Al-Qur’an dan Sunnah.

Dan jangan lupa yang jadi saksi lawan. Iaitu yang menjadi saksi kepada pendakwaraya di mahkamah. Dialah yang berkata yang tertuduh itu memang orang jahat dan memang dialah yang telah mencuri. Maka Nabi menjadi saksi lawan kepada mereka yang tidak endahkan ajaran Al-Qur’an.

Tetapi bagaimana hendak mengamalkan Al-Qur’an kalau tidak faham Al-Qur’an? Bagaimana mungkin hendak faham Al-Qur’an kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an? Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an ini dan ajak kawan dan keluarga anda juga mempelajarinya.

Kalimah شٰهِدًا di dalam ayat ini juga boleh bermaksud ‘menyampaikan kebenaran’. Maka baginda diingatkan dalam ayat ini untuk sampaikan wahyu kepada manusia. Tidak boleh baginda simpan mana-mana wahyu Al-Qur’an. Baginda kena menjadi saksi di atas kebenaran perkara-perkara ghaib seperti syurga dan neraka, tentang dosa dan pahala, tentang malaikat, jin segala hukum hakam yang Allah ‎ﷻ sampaikan.

Yakni bagindalah yang menyaksikan keesaan Allah ‎ﷻ dan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah ‎ﷻ. Mereka juga sebagai saksi terhadap umat manusia tentang amal perbuatan mereka di hari kiamat kelak. Baginda yang terlebih dahulu mengetahui perkara ini dan kerana itu baginda kenalah menjadi saksi kepada orang lain.

Tetapi Rasulullah ﷺ sudah tiada maka siapakah yang akan sampaikan wahyu Al-Qur’an ini sekarang? Tidak lain dan tidak bukan adalah kita yang mengaku sebagai umat Islam. Kita yang kena sampaikan kepada manusia yang ramai itu. Perihalnya sama dengan pengertian yang terdapat di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا}

agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Al-Baqarah: 143)

Tetapi malangnya umat Islam pun ramai yang tidak tahu tafsir Al-Qur’an. Maka bagaimanakah hendak mengajak dan menyampaikan Al-Qur’an kepada orang lain?

Kalimah شٰهِدًا ke atas Nabi ﷺ juga bermaksud baginda kena menjadi contoh ikutan kepada umat. Baginda kena tunjukkan akhlak terbaik, iaitu akhlak Al-Qur’an. Kerana itu baginda kena berkahwin dengan Saidatina Zainab رضي الله عنها untuk menjadi contoh kepada umat bahawa boleh berkahwin dengan janda anak angkat.

Dan baginda hendaklah menjadi contoh sebagai bapa, suami, pemimpin, kawan dan lain-lain lagi. Ini kita dapat pelajari dari banyak hadis tentang cara kehidupan baginda. Maka kita belajar dengan Nabi bukan bab agama sahaja, malah bab kehidupan juga kerana baginda adalah contoh yang terbaik.

Ada pendapat yang salah mengatakan yang apabila Nabi Muhammad ﷺ dikatakan menjadi ‘saksi’, maknanya baginda sekarang sedang melihat segala amalan-amalan kita (walaupun baginda sudah wafat). Ini tidaklah benar, kerana Allah ‎ﷻ ada cara lain untuk merekod amalan kita, tidak perlu Nabi ﷺ tengok kita.

Antaranya Allah ‎ﷻ ada malaikat, Allah ‎ﷻ juga jadikan tubuh badan kita sebagai saksi. Yang menggunakan ayat ini sebagai dalil adalah kerana hendak menegakkan fahaman sesat yang Nabi Muhammad ﷺ masih hidup lagi. Jangan termakan dengan fahaman itu.

Ini dijelaskan lagi dengan dalil dalam Maidah:117

وَكُنتُ عَلَيهِم شَهيدًا ما دُمتُ فيهِم ۖ فَلَمّا تَوَفَّيتَني كُنتَ أَنتَ الرَّقيبَ عَلَيهِم

dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka.

Ayat Maidah ini adalah jawapan Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ bersabda bahawa beginilah nanti yang baginda sendiri akan jawab di akhirat kelak. Kerana bila baginda wafat, baginda tidak nampak apa yang umat baginda lakukan. Maka bagaimana mungkin kita berkata yang baginda sedang memerhatikan kita dan menjadi saksi pula atas perbuatan kita?

 

وَمُبَشِّرًا

dan pembawa khabar gembira

Tugas baginda juga adalah untuk membawakan berita gembira kepada mereka yang telah menerima ajaran wahyu. Bukan sahaja mereka terima, malah mereka amalkan dan sampaikan juga kepada orang lain.

 

وَنَذيرًا

dan pemberi peringatan,

Tetapi kepada mereka yang tidak endahkan ajaran agama dan wahyu, maka baginda disuruh memberikan peringatan dan ancaman kepada mereka. Kena ancam mereka dengan ancaman azab neraka.

Nabi Muhammad ﷺ telah diberi dengan pangkat kenabian yang membolehkan baginda memberitahu manakah amalan yang dapat pahala dan membawa ke syurga dan mana amalan yang buruk dan boleh membawa ke neraka. Maka ini adalah kedudukan seorang Nabi. Maka kita sebagai manusia biasa, hanya boleh sampaikan apa yang Nabi telah sampaikan.

Maka kita tidak boleh reka amalan baru dan berkata amalan ini baik; dan tidak boleh kita pilih kelakuan manusia yang buruk dan kata ia pasti memasukkan orang itu ke dalam neraka. Maknanya, apa sahaja yang kita beritahu dalam hal agama ini, kenalah ada dalil.

Maka, ini menolak fahaman sesetengah manusia yang mengatakan walaupun sesuatu amalan itu Nabi tidak pernah buat dan suruh, namun oleh kerana ia ‘baik’, maka Allah ‎ﷻ suka dan akan berikan pahala. Maka orang yang suka dengan amalan-amalan bidaah kena sedar siapakah diri mereka. Jangan mereka ambil kerja Nabi pula.

Dan kita tidak boleh hendak menetapkan sesuatu perkara itu haram dan sesiapa sahaja sebagai ahli neraka, kerana kita tidak ada dalil dalam perkara ini. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu dan tugaskan Nabi untuk beritahu kepada kita.


 

Ayat 46:

وَداعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذنِهِ وَسِراجًا مُّنيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And one who invites to Allāh, by His permission, and an illuminating lamp.

(MELAYU)

dan untuk jadi penyeru kepada Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi.

 

وَداعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذنِهِ

dan untuk jadi penyeru kepada Allah dengan izin-Nya

Inilah tugas utama Nabi ﷺ. Dan baginda telah menjalankan tugas baginda ini. Kerana itulah agama Islam yang mulia ini telah sampai kepada kita.

Kita lihat dalam ayat ini, kalimat إِلَى اللهِ (kepada Allah ‎ﷻ) yang digunakan. Maka ini mengajar kita, apabila sampaikan ajaran wahyu kepada manusia, maka ajak mereka terus kepada Allah ‎ﷻ. Ajak manusia kenal Allah ‎ﷻ dan ajak manusia memuliakan Allah ‎ﷻ. Ajak manusia sembah Allah sahaja dan doa kepadaNya terus. Maka ini bermaksud ajaran tauhid kerana kena kenal Allah ‎ﷻ dalam fahaman tauhid.

Maka untuk tahu tauhid, tidak dapat lari dari kena belajar tafsir Al-Qur’an kerana Al-Qur’anlah yang mengajar tauhid dengan lengkap. Tidak lengkap fahaman tauhid manusia kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Maka bukanlah kena belajar Sifat 20 untuk kenal Allah ‎ﷻ tetapi kena belajar tauhid dari tafsir Al-Qur’an.

Rasulullah ﷺ menyampaikan ajaran wahyu dan mengenalkan manusia kepada Allah ‎ﷻ adalah atas arahan Allah ‎ﷻ. Kalimah بِإِذنِهِ dalam ayat ini berbentuk ‘suruhan’ dan bukannya ‘izin’ seperti yang kita selalu fahami itu.

Ia juga bermakna, Nabi Muhammad ﷺ menyampaikan ajaran agama ini dengan taufik-Nya. Baginda tidak akan melakukannya bersendirian. Baginda dipandu oleh Allah  ‎ﷻ dan apa sahaja yang baginda sampaikan adalah benar.

 

وَسِراجًا مُّنيرًا

dan untuk jadi cahaya yang menerangi.

Nabi Muhammad ﷺ diibaratkan memberi cahaya kepada manusia. Kerana yang baginda sampaikan adalah Al-Qur’an yang ajaran di dalamnya menerangi. Dengan cahaya wahyu ini mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid.

Juga ia bermaksud kebenaran yang baginda sampaikan sangat jelas dan mudah difahami sama dengan kejelasan sinar mentari, tiada seorang pun yang mengengkarinya kecuali hanya orang yang mem­bangkang tidak mahu tunduk kepada kebenaran.

Juga hati baginda diibaratkan seperti cahaya kerana dengan ajaran baginda, dapat menerangi kegelapan syirik dan membawa manusia ke arah cahaya tauhid. Tetapi bukanlah ia bermaksud yang Nabi Muhammad itu dijadikan dari cahaya pula.

Jadi ini bukanlah jadi dalil yang Nabi Muhammad ﷺ itu Nur pula. Ada banyak ajaran sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu adalah ‘Nur Muhammad‘. Yang selalu mengajar ajaran ini di negara ini adalah golongan sufi dan tarekat. Rakyat negara ini yang tidak masuk tarekat pun seolah-olah menerima konsep Nur Muhammad ini. Tetapi ketahuilah yang itu adalah ajaran yang sesat. Malangnya terlalu banyak yang jahil perkara ini sampaikan zikir munajat Nur Muhammad pun sudah masuk dalam TV utama.


 

Ayat 47:

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ بِأَنَّ لَهُم مِّنَ اللهِ فَضلًا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give good tidings to the believers that they will have from Allāh great bounty.

(MELAYU)

Dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang mukmin bahawa sesungguhnya bagi mereka kurnia yang besar dari Allah.

 

Maksud kalimah فَضلًا lain dengan kalimah ‘upah’ iaitu أجر. Kalimah فَضلًا adalah seperti bonus iaitu pemberian yang berlebihan dari yang sepatutnya. Ahli syurga akan diberikan dengan balasan yang mereka tidak layak dapat pun. Macam mana kita hendak dikatakan layak, sedangkan amal kita bukan banyak pun, tetapi dibalas dengan syurga yang amat-amat hebat. Beramal entah berapa tahun sahaja di dunia, tapi balasannya syurga yang kekal abadi.

Sebagai contoh, orang Islam boleh mendapat فَضلًا dengan melakukan selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Maka mereka yang diberi dengan فَضلًا akan mendapat balasan yang amat besar. Balasan itu berganda-ganda dan lebih dari amalan yang dilakukan. Mudah sahaja untuk selawat, bukan? Tapi pahalanya berganda-ganda.


 

Ayat 48:

وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ وَدَع أَذٰهُم وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not obey the disbelievers and the hypocrites but do not harm them, and rely upon Allāh. And sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pelindung.

 

وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ

Dan janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, 

Jangan terkesan dengan kata-kata golongan kafir dan munafik itu. Mereka memang akan berkata macam-macam untuk menjatuhkan nama baik Nabi ﷺ dan agama Islam. Maka jangan ikut jejak langkah mereka dan termakan dengan kata-kata mereka. Gunakan akal dan iman anda supaya tidak percaya dengan kata-kata mereka.

Ini mengajar kita untuk berhati-hati dengan siapa kita bergaul dan ambil pendapat. Kita kena lengkapkan diri kita dengan ilmu wahyu supaya kita dapat menolak kata-kata orang yang jauh dari kebenaran.

 

وَدَع أَذٰهُم

janganlah kamu hiraukan gangguan mereka

Kalimah وَدَع maksudnya ‘tinggalkan, jangan hirau’. Biarkan sahaja apa yang mereka lakukan. Jangan kisah dengan usaha mereka ingin menyakiti Rasulullah dan umat Islam.

Memang Nabi ﷺ risau dengan apa yang mereka lakukan. Kerana Nabi ﷺ takut agama Islam akan tercalar kalau nama baik baginda pun dijatuhkan. Maka Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ dan umat Islam jangan terkesan dengan kata-kata orang kafir dan munafik itu.

Nanti akan ada isu yang lebih besar iaitu peristiwa ifk Aisyah رضي الله عنها. Iaitu mereka akan menuduh Aisyah رضي الله عنها berzina. Allah ‎ﷻ bagi peringatan awal dalam Surah Ahzab ini untuk sediakan Nabi ﷺ.

 

وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ

dan bertawakkallah kepada Allah.

Tawakal maksudnya serah segala urusan kepada Allah ‎ﷻ. Kerana kita tidak mampu untuk buat banyak perkara. Maka kita buat setakat yang kita mampu dan selebihnya kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Tahulah Allah ‎ﷻ menguruskannya kerana memang Allah‎ ﷻ mampu.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pelindung.

Kita kena ada perasaan puas dan cukup dengan Allah ‎ﷻ. Kena ada rasa selamat dengan Allah ‎ﷻ. Maka apabila kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ, jangan kita ada perasaan terkilan. Kalau kita minta tolong manusia, kita pun tidak boleh hendak berasa puas sebab manusia mungkin berjaya dan mungkin tidak. Tetapi apabila kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ, kita kena sedar yang kita sudah serahkan kepada Yang boleh menyelesaikan masalah kita.


 

Ayat 49: Dari ayat ini hingga ke ayat 59 adalah Perenggan Makro ke 9 surah ini. Ditambah lagi hukum kekeluargaan dan kemasyarakatan untuk kita amalkan. Sekarang kita lihat ayat hukum tentang perkahwinan. Di dalam ayat ini, ada tiga hukum yang disampaikan tentang perkahwinan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نَكَحتُمُ المُؤمِنٰتِ ثُمَّ طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ فَما لَكُم عَلَيهِنَّ مِن عِدَّةٍ تَعتَدّونَها ۖ فَمَتِّعوهُنَّ وَسَرِّحوهُنَّ سَراحًا جَميلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you marry believing women and then divorce them before you have touched them [i.e., consummated the marriage], then there is not for you any waiting period to count concerning them. So provide for them and give them a gracious release.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya maka sekali-sekali tidak wajib atas mereka ‘iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya. Maka berilah mereka mut’ah dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Sekarang disampaikan ayat untuk semua orang mukmin pula. Surah ini banyak khitab (orang yang dihadap bicara) maka kita kena perhatikan kepada siapakah ia ditujukan.

 

إِذا نَكَحتُمُ المُؤمِنٰتِ ثُمَّ طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ

apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya

Ini adalah tentang perkahwinan yang tidak dilangsungkan dengan ‘malam pertama’. Mungkin selepas bernikah itu ada terjadi sesuatu perkara yang menyebabkan suami itu hendak menceraikan isterinya tanpa digauli. Jadi, tidak salah kalau hendak ceraikan isteri sebelum isteri itu digauli.

Kalimah تَمَسّوهُنَّ dari kalimah م س س yang bermaksud ‘sentuh’. Bukanlah sentuh biasa sahaja yang dimaksudkan dalam ayat ini, tetapi yang dimaksudkan ‘persetubuhan’. Al-Qur’an tidaklah menggunakan bahasa yang kasar dan lucah, tetapi menggunakan bahasa dalam bentuk isyarat yang beradab. Jadi kalau ayat-ayat Al-Qur’an dibaca di khalayak ramai pun tidak malu; kalau kanak-kanak kecil baca pun tidak malu.

Ini berbeza dengan Bible contohnya yang mengandungi kisah dan bahasa-bahasa yang lucah. Ada ayat-ayat dalam Bible yang kalau kita disuruh baca kepada budak-budak atau dibaca di khalayak ramai, kita pun tidak sanggup walaupun dibayar.

Dalam ayat ini digunakan kalimat ‘perempuan-perempuan beriman’. Akan tetapi, kita juga tahu bahawa lelaki mukmin juga boleh bernikah dengan wanita Ahli Kitab. Maka apabila Allah ‎ﷻ menyebut ‘perempuan-perempuan beriman’ dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak memberi isyarat bahawa perkahwinan yang baik adalah dengan wanita-wanita yang beriman.

Walaupun boleh untuk berkahwin dengan wanita Ahli Kitab, namun itu tidaklah digalakkan sebenarnya. Malah Saidina Umar رضي الله عنه pernah menghalang perkahwinan dengan Ahli Kitab kerana ramai yang mencari wanita Ahli Kitab dan berkurangan lelaki bernikah dengan wanita Muslim. Maka larangan Saidina Umar itu tidak salah kerana ikut kepada keperluan.

 

فَما لَكُم عَلَيهِنَّ مِن عِدَّةٍ تَعتَدّونَها

maka sekali-sekali tidak wajib atas mereka ‘iddah bagimu yang kamu diminta menyempurnakannya.

Maka dalam keadaan begitu, tidak ada iddah kepada wanita itu. Ini adalah kerana iddah itu untuk memastikan yang isteri itu bersih daripada ada anak dalam kandungan. Akan tetapi jikalau memang tidak ada perhubungan badan, maka tidaklah ada kemungkinan ada anak itu. Maka tidaklah perlu tunggu masa iddah. Wanita itu boleh sahaja terus berkahwin dengan lelaki lain secepat mungkin.

Akan tetapi, kalau suami itu tidak menggauli isterinya, tetapi dia mati sebelum itu, maka tetap ada iddah 4 bulan 10 hari itu. Tidak boleh pakai ayat ini sebagai dalil untuk berkata wanita itu boleh terus kahwin dengan orang lain.

Kalimah لَكُم (untuk kamu – lelaki) dalam ayat ini juga dibincangkan. Maknanya iddah itu adalah untuk kebaikan suami sebenarnya. Kerana dalam waktu iddah itu, seorang suami boleh lagi untuk mengambil balik isterinya. Mungkin selepas bercerai itu suami itu terkenangkan kembali isterinya, maka bolehlah dia berfikir dalam masa iddah itu. Kalau selepas bercerai sahaja, isteri itu terus berkahwin dengan orang lain, maka melepaslah suami itu. Cuma kalau terus cerai sebelum digauli, maka tidak ada iddah.

Bukan kepentingan suami sahaja dijaga kerana kepentingan anak juga dijaga. Kerana iddah itu adalah untuk memastikan yang tidak ada kandungan dalam perut si isteri. Kerana hak anak dalam perut itu juga kena dijaga. Kerana kalau ada anak, maka nasab anak itu kena diberikan kepada ayahnya. Anak itu layak untuk mendapat nasab yang benar kerana ia melibatkan perkara lain seperti wali, harta pusaka, nafkah dan sebagainya. Jadi, apabila tidak ada pergaulan tubuh (seks), maka tentulah tidak ada anak dan tidak perlu ada iddah.

Tetapi ada satu lagi hak yang kena dijaga iaitu hak Allah ‎ﷻ. Iddah adalah ketetapan dari Allah ‎ﷻ. Jadi walaupun ia adalah hak suami, maka suami tidaklah boleh untuk melepaskan tanpa iddah. Tidaklah boleh dia kata: “Tidak mengapa, aku lepaskan isteri aku ini tanpa iddah kerana aku memang tidak mahu kahwin balik dengan dia…”. Jadi walaupun suami itu telah melepaskan iddahnya, iddah itu tetap dijalankan juga kerana ia adalah hak Allah.

Kecuali dalam kes di mana tidak ada persetubuhan, maka tidak ada iddah seperti perkahwinan biasa. Dan Nabi Muhammad ﷺ mengahwini Zainab رضي الله عنه tanpa menunggu iddah selepas perceraiannya dengan Zaid رضي الله عنه kerana tidak ada persetubuhan di antara mereka berdua ketika di dalam perkahwinan.

 

فَمَتِّعوهُنَّ

Maka berilah mereka mut’ah

Selepas diceraikan isteri itu, wanita itu hendaklah diberikan hadiah untuk mengubat hati mereka. Kerana telah ada majlis pernikahan yang berlangsung dan dia pun mungkin sudah berharap untuk menjadi isteri kamu, tetapi kamu tinggalkan dia.

Bayangkan orang kampung semua sudah tahu pernikahan itu dan sedikit sebanyak tentu bekas isteri itu terkesan juga. Maka sekurang-kurangnya berilah sedikit hadiah sebagai penawar hati baginya. Jangan lepaskan begitu sahaja dan buat tidak tahu sahaja.

Kalau jumlah mahr telah ditetapkan, maka wajib kena beri separuh dari mahr itu seperti yang telah ditetapkan dalam Baqarah:237

وَإِن طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ وَقَد فَرَضتُم لَهُنَّ فَريضَةً فَنِصفُ ما فَرَضتُم

Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu sudah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu

Akan tetapi, ada baiknya kalau diberikan lebih. Termasuk dengan beri terus hantaran-hantaran pernikahan yang selalunya diberikan kepada isteri. Janganlah ambil balik.

Dan kalau tidak ditetapkan jumlah mahr, maka berilah berdasarkan kedudukan suami itu. Ini telah disebut dalam Baqarah:236

لا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً ۚ وَمَتِّعوهُنَّ عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ مَتاعًا بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ

Tidak ada kewajipan membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut’ah (pemberian) kepada mereka. Orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu pemberian menurut yang patut. Yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang-orang yang berbuat kebajikan.

Nota: ini bukan bayaran mut’ah dalam Syiah itu. Bayaran Mut’ah dalam Syiah adalah upah kepada pelacur, bukan kepada isteri. Syiah adalah satu-satunya agama dalam dunia yang menghalalkan, malah menggalakkan pelacuran.

 

وَسَرِّحوهُنَّ سَراحًا جَميلًا

dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.

Kalau mahu bercerai, bercerailah dengan wanita itu dengan cara yang baik. Janganlah ada kata-kata kesat terhadap mereka. Jangan maki dan tuduh menuduh. Jangan pula cerita kepada orang lain apa-apa kekurangan dia yang menyebabkan anda ceraikan dia sebelum bersetubuh. Mungkin ada yang awak tidak suka dengannya, tetapi orang lain tidak kisah.

Maka jagalah nama baik orang. Berkatalah dengan kata-kata yang baik. Ingatlah yang perkataan kita boleh kekal sampai bila-bila lebih-lebih lagi zaman sekarang zaman media sosial. Maka kena tahan mulut dari berkata yang buruk.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan melalui Sahl ibnu Sa’d dan Abu Usaid رضي الله عنه yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ pernah mengahwini Umaimah binti Syurahbil, tetapi ketika baginda masuk ke kamarnya dan menghulurkan tangan kepadanya, kelihatan Umaimah tidak suka. Maka Rasulullah ﷺ keluar dan memerintahkan Abu Usaid رضي الله عنه untuk mengemaskan barang-barang Umaimah, lalu baginda memberinya sepasang pakaian sebagai mut’ahnya. Ali ibnu Abu Talhah رضي الله عنه mengatakan bahawa jika Nabi ﷺ telah menyebutkan mahar kepada Umaimah, maka bagi Umaimah separuh dari mahr tersebut sebagai pemberiannya. Dan jika baginda ﷺ masih belum menentukan mahrnya, maka Umaimah hanya mendapatkan mut’ah yang sesuai dengan kemampuan baginda ketika itu; dan itulah yang dinamakan melepaskan dengan cara yang sebaik-baiknya.

Ringkasnya, 3 hukum yang telah disebut dalam ayat ini:

1. Kalau tidak jimak dalam perkahwinan, maka tiada iddah.
2. Apabila menceraikan isteri, berikan mut’ah kepada isteri.
3. Apabila melepaskan isteri, lepaskan dengan cara baik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s