Ayat 50: Allah ﷻ memberitahu siapakah golongan-golongan yang halal untuk dikahwini oleh Nabi. Ada empat golongan semuanya yang akan disebut.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِنّا أَحلَلنا لَكَ أَزواجَكَ اللّاتي آتَيتَ أُجورَهُنَّ وَما مَلَكَت يَمينُكَ مِمّا أَفاءَ اللهُ عَلَيكَ وَبَنٰتِ عَمِّكَ وَبَنٰتِ عَمّٰتِكَ وَبَنٰتِ خالِكَ وَبَنٰتِ خٰلٰتِكَ اللّاتي هاجَرنَ مَعَكَ وَامرَأَةً مُّؤمِنَةً إِن وَّهَبَت نَفسَها لِلنَّبِيِّ إِن أَرادَ النَّبِيُّ أَن يَّستَنكِحَها خالِصَةً لَّكَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۗ قَد عَلِمنا ما فَرَضنا عَلَيهِم في أَزواجِهِم وَما مَلَكَت أَيمانُهُم لِكَيلا يَكونَ عَلَيكَ حَرَجٌ ۗ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O Prophet, indeed We have made lawful to you your wives to whom you have given their due compensation¹ and those your right hand possesses from what Allāh has returned to you [of captives] and the daughters of your paternal uncles and the daughters of your paternal aunts and the daughters of your maternal uncles and the daughters of your maternal aunts who emigrated with you and a believing woman if she gives herself to the Prophet [and] if the Prophet wishes to marry her; [this is] only for you, excluding the [other] believers. We certainly know what We have made obligatory upon them concerning their wives and those their right hands possess, [but this is for you] in order that there will be upon you no discomfort [i.e., difficulty]. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.
- i.e., bridal gifts (mahr).
(MELAYU)
Hai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan mas kahwinnya dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu, dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapamu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengahwininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ
Hai Nabi,
Khitab ayat ini kembali kepada Nabi Muhammad ﷺ pula (beralih dari khitab kepada para isteri baginda).
إِنّا أَحلَلنا لَكَ أَزواجَكَ اللّاتي آتَيتَ أُجورَهُنَّ
Sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan mas kahwinnya
Semua pernikahan Nabi ﷺ halal dan baik. Iaitu yang baginda sudah beri mahr kepada mereka. Allah ﷻ panggil mahr sebagai أجر yang boleh diterjemahkan kepada ‘upah’. Maksudnya upah harus diberikan kepada isteri sebagaimana upah diberikan kepada pekerja yang telah melakukan kerja.
Maka dari ayat ini, kita pun tahu yang Nabi ﷺ juga memberikan mahr kepada isteri-isteri baginda. Dan baginda tidak pernah berhutang dalam mahr baginda. Mahr atau maskahwin yang diberikan oleh Nabi ﷺ kepada isteri-isterinya (yakni kepada tiap orang dari mereka) adalah sepuluh setengah uqiyah yang harganya ditaksir kurang lebih lima ratus dirham. Terkecuali Ummu Habibah binti Abu Sufyan رضي الله عنها, kerana mahrnya dibayarkan oleh Raja An-Najasyi sebanyak empat ratus dinar.
Kecuali juga Safiyyah binti Huyayyin رضي الله عنها, kerana Nabi ﷺ telah memilihnya di antara para tawanan wanita Khaibar, di mana kemudian baginda ﷺ memerdekakannya, dan menjadikan pemerdekaannya sebagai maskahwinnya. Demikian juga halnya dengan Juwairiyah bintil Haris Al-Mustaliqiyah رضي الله عنها, yakni dari Banil Mustaliq. Nabi ﷺ telah melunasi ansuran Kitabahnya terhadap Sabit ibnu Qais ibnu Syammas, lalu baginda ﷺ menikahinya
Ayat ini sebagai jawapan dari mereka yang mengatakan Nabi ﷺ tidak mengikut undang-undang untuk lelaki boleh berkahwin hanya empat. Mereka kata begini kerana pada waktu itu, Nabi ﷺ sudah pun mempunyai 4 orang isteri:
- Saudah رضي الله عنها: dikahwini 3 tahun sebelum Hijrah
- Aisyah رضي الله عنها: juga dikahwini 3 tahun sebelum Hijrah tetapi hanya tinggal bersama baginda selepas Hijrah
- Hafsah رضي الله عنها: dikahwini pada 3 Hijrah
- Umm Salamah رضي الله عنها: dikahwini pada 4 Hijrah
Para isteri Nabi ﷺ yang lain boleh dilihat di sini. Maka ini memberitahu kita yang hukum ini khusus bagi baginda. Walaupun lelaki lain boleh menikahi wanita yang diberi mahr, tetapi tidaklah boleh lebih dari empat.
Allah ﷻ hendak memberitahu yang Allah ﷻ menghalalkan perkahwinan Nabi ﷺ dengan Zainab رضي الله عنها itu kerana ia adalah arahan dari Allah ﷻ sendiri. Allah ﷻ yang suruh maka Allah ﷻ boleh memberikan pengecualian kepada baginda. Kerana Allah ﷻ yang membuat hukum hanya boleh berkahwin sehingga 4 sahaja. Oleh kerana Allah ﷻ yang membuat hukum, maka Dia boleh membuat pengecualian.
Jadi ini adalah golongan pertama yang boleh dinikahi baginda, iaitu mana-mana wanita yang diberikan mahr kepada mereka. Selain dari itu, ada tiga golongan wanita lagi yang boleh digauli oleh Rasulullah ﷺ:
وَما مَلَكَت يَمينُكَ مِمّا أَفاءَ اللهُ عَلَيكَ
dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu,
Ini pula bagi hamba yang didapati hasil peperangan (harta fai). Ini adalah kerana hamba boleh didapati hanya dari cara peperangan. Tetapi kalau selepas menjadi hamba, bolehlah juga untuk berkahwin dengan hamba yang dibeli. Tapi asal mereka menjadi hamba itu adalah kerana peperangan (bukan kerana tidak bayar hutang, dicolek atau sebab-sebab lain).
Hamba tidak perlu diberi mahr untuk mencampuri mereka. Nabi ﷺ juga ada mempunyai hamba, merujuk kepada Mariyah al Qibtiyah رضي الله عنها. Beliau berbangsa Qibti iaitu dari Mesir. Beliau telah diberikan sebagai hadiah oleh Raja Mesir, al-Muqawqis. Malah baginda mempunyai anak bernama Ibrahim dengan Mariyah tetapi anak tersebut meninggal muda ketika berumur lima tahun.
Selain dari itu, terdapat tiga lagi orang hamba yang baginda terima dan baginda telah bebaskan dan kemudian dinikahi. Dikatakan nama-nama mereka adalah:
- Raihanah رضي الله عنها. Hamba setelah Yahudi Bani Quraizah diserang dan kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan hamba.
- Juwairiyah رضي الله عنها. Hamba yang diambil dari serangan kepada Yahudi Bani Mustaliq.
- Safiyyah رضي الله عنها. Hamba yang diambil dari serangan kepada Yahudi Khaibar.
Ini adalah golongan kedua di mana Nabi ﷺ menerima pemberian wanita sebagai hamba. Maka lelaki Muslim boleh berkahwin dengan hamba yang mereka dapat hasil dari harta rampasan perang juga. Tetapi wanita dari golongan hamba yang telah dijadikan isteri oleh Rasulullah ﷺ juga tidak halal bagi mukmin yang lain apabila baginda telah wafat (sama seperti isteri yang lain).
Cuma sekarang tidak ada lagi perhambaan. Hukum ini tidak dimansukhkan, cuma digantung sahaja. Maknanya ia boleh ada di masa hadapan kalau diperlukan.
وَبَنٰتِ عَمِّكَ وَبَنٰتِ عَمّٰتِكَ وَبَنٰتِ خالِكَ وَبَنٰتِ خٰلٰتِكَ اللّاتي هاجَرنَ مَعَكَ
dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapamu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu
Yang ketiga adalah golongan-golongan yang bersangkut paut dengan Nabi Muhammad ﷺ dari segi kekeluargaan. Iaitu anak pakcik dan makcik baginda. Maknanya mereka itu adalah sepupu. Cuma dalam bahasa Arab lebih kaya, disebut sepupu sebelah bapa dan sebelah ibu juga.
Saidatina Zainab رضي الله عنها adalah sepupu baginda. Iaitu baginda dibenarkan berkahwin dengan sepupu yang berhijrah bersama dengan baginda ke Madinah. Maksudnya mereka itu Mukmin kerana mereka berhijrah. Dan pada tahun 7 Hijrah juga, baginda menikahi seorang lagi sepupu baginda iaitu Umm Habibah رضي الله عنها.
Cuma ada syarat ke atas Nabi ﷺ, sepupu itu mestilah telah berhijrah. Kalau ada yang tidak berhijrah seperti Umm Hani’ (salah seorang sepupu baginda iaitu kakak Saidina Ali رضي الله عنه) tidak halal bagi baginda kerana dia tidak berhijrah. Umm Hani’ hanya masuk Islam setelah Pembukaan Mekah. Syarat ini tidak dikenakan kepada selain baginda.
Hukum pernikahan dengan sepupu ini berlainan dengan hukum dalam agama Yahudi dan Nasrani.
- Dalam Yahudi, boleh menikahi anak saudara sedangkan ini dilarang dalam Islam.
- Dalam Nasrani, tidak boleh menikahi wanita yang bersambung kekeluargaan 7 keturunan.
Agama Islam telah mengambil jalan pertengahan dari dua ekstrem itu. Maka ayat ini menjadi dalil membolehkan menikah dengan sepupu malah Nabi ﷺ telah bernikah dengan sepupu baginda sendiri. Namun ramai orang Melayu tidak tahu hukum ini. Mereka rasa pelik pula berkahwin dengan sepupu.
Dan kerana tidak faham akan perkara ini maka ada yang tidak menjaga aurat dan bermesraan dengan sepupu. Ramai yang bertepuk tampar dengan sepupu, naik motor berpeluk padahal mereka itu adalah ajnabi. Maka kenalah beritahu kepada anak-anak kita tentang perkara ini. Beritahu mereka yang sepupu bukanlah adik-beradik.
وَامرَأَةً مُّؤمِنَةً إِن وَّهَبَت نَفسَها لِلنَّبِيِّ إِن أَرادَ النَّبِيُّ أَن يَّستَنكِحَها
dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengahwininya,
Ada juga wanita Mukmin yang menawarkan diri mereka kepada baginda dan baginda boleh mengahwini mereka tanpa perlu memberi mahr. Namun hukum ini hanya terpakai untuk Nabi Muhammad ﷺ sahaja.
Maka baginda pernah menikahi Maimunah bint Harith رضي الله عنها kerana beliau menawarkan dirinya kepada baginda. Namun begitu, Nabi ﷺ tidak mahu menikahi Maimunah رضي الله عنها tanpa mahr, maka baginda berikan juga mahr kepada beliau.
Maka ada pendapat yang mengatakan Nabi ﷺ tidak pernah mengahwini wanita yang menyerahkan dirinya kepada baginda. Tetapi ini mungkin kerana seperti kes Maimunah رضي الله عنها ini, baginda serahkan juga mahr kepadanya.
Memang banyak juga keadaan di mana wanita menyerahkan diri mereka kepada baginda. Antara hadis berkenaan perkara ini:
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَفَّانُ ، حَدَّثَنَا مَرْحُومٌ، سَمِعْتُ ثَابِتًا يَقُولُ: كُنْتُ مَعَ أَنَسٍ جَالِسًا وَعِنْدَهُ ابْنَةٌ لَهُ، فَقَالَ أَنَسٌ: جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، هَلْ لَكَ فِيَّ حَاجَةٌ؟ فَقَالَتِ ابْنَتُهُ: مَا كَانَ أَقَلَّ حَيَاءَهَا. فَقَالَ: “هِيَ خَيْرٌ مِنْكِ، رَغِبَتْ فِي النَّبِيِّ، فَعَرَضَتْ عَلَيْهِ نَفْسَهَا”.
Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Marhum, beliau pernah mendengar Sabit mengatakan bahawa ketika beliau sedang duduk bersama sahabat Anas رضي الله عنه yang saat itu di hadapannya terdapat seorang puterinya. Kemudian Anas رضي الله عنه bercerita bahawa pernah ada seorang wanita datang kepada Nabi ﷺ, lalu berkata, “Wahai Nabi Allah, apakah engkau mempunyai suatu keperluan (kahwin)?” Anak perempuan wanita itu berkata, “Betapa tidak malunya ibu mengemukakan hal itu.” Nabi ﷺ bersabda: Ibumu lebih baik daripada kamu. Dia mencintai Nabinya, lalu dia menawarkan dirinya (untuk) dikahwini oleh Nabi ﷺ. Imam Bukhari mengetengahkannya secara tunggal melalui riwayat Marhum ibnu Abdul Aziz, dari Sabit Al-Bannani, dari Anas رضي الله عنه dengan lafaz yang semisal.
Maka untuk baginda, baginda boleh menikahi wanita yang menyerahkan diri kepadanya tanpa bayar mahr. Tetapi untuk orang lain, tidak boleh tolak untuk memberi mahr walaupun wanita itu tidak mahu dan tidak minta. Jangan guna dalil ini pula untuk tidak bayar mahr. Maka pasangan lelaki kenalah berikan sesuatu yang bernilai. Jangan pula berkahwin dengan percuma kerana ini tidak dibenarkan.
Maka dibenarkan kepada Nabi, itu pun kalau Nabi ﷺ mahukan wanita itu. Bukan semua wanita yang tawarkan diri mereka kepada baginda, baginda kena terima. Ayat ini bukanlah ayat suruhan kepada baginda pula. Yang Allah ﷻ suruh menikah juga tanpa pilihan adalah Saidatina Zainab رضي الله عنها sahaja.
Memang pernah ada wanita yang menawarkan dirinya kepada baginda tetapi baginda tidak menyambutnya. Ini tersebut dalam satu hadis yang masyhur:
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ، أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ أَبِي حَازِمٍ، عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَتْهُ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي قَدْ وَهَبت نَفْسِي لَكَ. فَقَامَتْ قِيَامًا طَوِيلًا فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَوّجنيها إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكَ بِهَا حَاجَةٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “هَلْ عِنْدَكَ مِنْ شَيْءٍ تُصدقها إِيَّاهُ”؟ فَقَالَ: مَا عِنْدِي إِلَّا إِزَارِي هَذَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنْ أَعْطَيْتَهَا إِزَارَكَ جلستَ لَا إِزَارَ لَكَ، فَالْتَمِسْ شَيْئًا”. فَقَالَ: لَا أَجِدُ شَيْئًا. فَقَالَ: “الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ” فَالْتَمَسَ فَلَمْ يَجِدْ شَيْئًا، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “هَلْ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ شَيْءٌ؟ ” قَالَ: نَعَمْ؛ سُورَةُ كَذَا، وَسُورَةُ كَذَا -لِسُوَرٍ يُسَمِّيهَا -فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ”.
Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq, telah menceritakan kepada kami Malik, dari Abu Hazim, dari Sahd ibnu Sa’d As-Sa’idi, bahawa Rasulullah ﷺ pernah kedatangan seorang wanita, lalu wanita itu berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku serahkan diriku kepadamu.” Maka Rasulullah ﷺ tidak menjawabnya dan wanita itu berdiri saja dalam waktu yang cukup lama. Lalu berdirilah seorang laki-laki dan berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, kahwinkanlah aku dengan dia jika engkau tidak berhajat kepadanya.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu memiliki sesuatu yang akan engkau berikan kepadanya sebagai maskahwinnya?” Lelaki itu menjawab, “Aku tidak memiliki selain dari kainku ini.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Jika kamu berikan kainmu kepadanya, bererti kamu tidak punya kain lagi jika duduk. Maka carilah yang lainnya.” Lelaki itu menjawab, “Saya tidak memiliki yang lainnya.” Rasulullah ﷺ bersabda: Carilah, sekalipun (maskahwin itu) berupa cincin besi. Lelaki itu mencari cincin besi, dan ternyata dia tidak memilikinya. Lalu Nabi ﷺ bertanya, “Apakah kamu hafal sesuatu dari Al-Qur’an?” Lelaki itu menjawab, “Ya, saya hafal surat anu —disebutkan beberapa surat—.” Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya: Aku nikahkan dia dengan kamu dengan maskahwin hafalan Al-Qur’anmu itu.
Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkannya melalui hadis Malik.
Nota: hadis ini bukanlah dalil untuk beri mas kahwin dengan hafal Al-Qur’an sahaja. Pertama, kita bukan sahabat, jadi jangan perasan; kedua, zaman itu semua sahabat miskin, sampai baju pun ada satu sahaja; ketiga, ada nilai tahu ayat Al-Qur’an zaman itu kerana ramai tidak tahu dan lelaki itu kena ajar isterinya dengan ayat-ayat yang dia hafal itu. Maka mahrnya adalah ‘mengajar’ isterinya itu, bukannya kerana hafal Al-Qur’an sahaja.
Nota: satu lagi syarat yang diletakkan kepada Rasulullah ﷺ adalah baginda hanya boleh mengahwini wanita Muslim. Sedangkan orang lelaki lain boleh juga mengahwini wanita Ahli Kitab. Ini kerana ada kalimat امرَأَةً مُّؤمِنَةً (wanita mukminah) dalam potongan ayat ini.
خالِصَةً لَّكَ مِن دونِ المُؤمِنينَ
sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin.
Hukum ini khas untuk Nabi ﷺ sahaja. Orang lain tidak boleh buat. Jangan jadikan hukum ini sebagai hukum umum pula. Hukum yang mana?
- Menikahi wanita tanpa membayar mahr. Seandainya ada seorang wanita menyerahkan dirinya kepada seorang lelaki, maka wanita itu tidak halal baginya sebelum si lelaki itu memberikan sesuatu kepadanya sebagai maskahwinnya.
- Kahwin melebihi dari 4 orang. Hanya Rasulullah ﷺ sahaja yang boleh berkahwin lebih dari 4 orang. Jadi walaupun ini adalah sah perbuatan Nabi ﷺ namun ia bukanlah ‘sunnah’ yang boleh diikuti. Maka, bukan semua perbuatan Nabi ﷺ adalah ‘sunnah’. Yang sunnah adalah perbuatan yang kita boleh ikut sahaja.
- Tidak boleh mengahwini wanita ahli kitab.
- Hanya boleh mengahwini wanita yang berhijrah ke Madinah sebelum pembukaan Mekah.
Jadi ini adalah salah satu dari hukum agama yang khusus untuk Nabi ﷺ sahaja. Memang ada hukum-hukum lain yang sebegitu. Sebagai contoh:
- Solat tahajjud adalah sunat untuk orang Islam tetapi ia adalah wajib bagi baginda.
- Baginda dan keluarga baginda tidak boleh menerima zakat dan sedekah.
- Selepas kewafatan baginda, para isteri baginda haram dinikahi oleh lelaki lain.
قَد عَلِمنا ما فَرَضنا عَلَيهِم في أَزواجِهِم وَما مَلَكَت أَيمانُهُم
Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki
Hukum-hukum perkahwinan telah disebut dalam surah-surah lain seperti Surah an-Nisa dan hukum perceraian telah disebut dalam Surah Baqarah. Antara yang disebut dalam surah-surah itu adalah kewajipan memberi mahr. Maka kenalah dirujuk surah-surah tersebut untuk mengetahui hukum yang telah diberikan.
لِكَيلا يَكونَ عَلَيكَ حَرَجٌ
supaya tidak menjadi kesempitan bagimu.
Allah ﷻ memberikan kelonggaran kepada Nabi ﷺ untuk tidak perlu memberikan mahr supaya Nabi ﷺ tidak susah. Tugas Nabi ﷺ adalah untuk menyebarkan agama dan juga mengajar hukum kepada manusia yang akan digunakan sampai kiamat. Maka tugas Nabi ﷺ amat berat dan kalau sibuk mencari mahr untuk kahwin akan menyusahkan baginda pula.
Dan memang patut baginda berkahwin ramai. Apabila Nabi Muhammad ﷺ mempunyai ramai isteri, maka hukum-hakam banyak dapat disebarkan kepada manusia kerana para isteri baginda akan menceritakan pengalaman mereka bersama baginda. Pengalaman mereka itu menjadi hukum yang dipakai oleh manusia sepanjang zaman.
Namun ada had juga untuk baginda. Walaupun Nabi ﷺ ada kelebihan berkahwin banyak dalam satu masa, tetapi setakat itu sahaja. Nanti kita akan bertemu dengan ayat yang Nabi ﷺ tidak boleh tambah lagi isteri baginda.
Bukan sahaja tidak boleh tambah, baginda tidak boleh menukar mana-mana isteri selepas turun ayat itu. Sedangkan umat baginda masih boleh menukar isteri mereka. Setelah menceraikan satu isteri, boleh berkahwin lagi. Maknanya mereka bercerai dan berkahwin dengan wanita lain.
Ini memang berlaku pada zaman itu sampaikan ada sahabat yang berkahwin ramai. Saidina Hasan رضي الله عنه contohnya, dikatakan banyak berkahwin. Anas bin Malik رحمه الله juga berkahwin banyak sampai ada anak seramai seratus lebih. Maknanya mereka menikah, cerai dan berkahwin lain. Tetapi tidaklah mereka itu terganggu dalam mentaati Allah ﷻ walaupun mereka berkeadaan begitu.
Rasulullah SAW banyak mendoakan Anas bin Malik, dan salah satu doa Rasulullah yang dikhususkan kepada Anas bin Malik adalah : “Ya Allah berilah rezeki kepadanya berupa harta dan anak yang banyak, kemudian berkahi semua itu untuknya”. Dan sungguh Allah ﷻ telah mengabulkan doa Nabi Nya yang tercinta. Oleh kerana itu Anas bin Malik menjadi orang yang paling kaya dari kaum Ansar dan yang paling banyak anaknya, hingga dia melihat anak-anak dan cucunya lebih dari 100.
Allah ﷻ tidak mahu memberati Rasulullah ﷺ. Ini jangan disalahtafsir pula. Kerana ada yang berkata, Nabi Muhammad ﷺ nafsunya kuat, maka kerana itu Allah ﷻ membenarkan baginda berkahwin lebih. Ini adalah salah dan tidak benar (sangka buruk kepada Nabi ﷺ adalah buruk). Mana mungkin baginda sebegitu sedangkan baginda menikah dengan Khadijah رضي الله عنها dan tidak mempunyai isteri lain selama 25 tahun.
Dan kemudian baginda menikahi Saudah رضي الله عنها (seorang yang tua) dan tidak menikah dengan orang lain selama 4 tahun. Maka baginda bukanlah orang yang tidak dapat menjaga hawa nafsunya. Lihatlah para isteri baginda yang kebanyakkannya adalah janda. Tidak mungkin pula kita menuduh Nabi Muhammad ﷺ pada usia tuanya pula mahukan ramai isteri sedangkan masa muda baginda tidak begitu?
Semua pernikahan baginda bersebab. Kita telah sebutkan salah satu tujuannya adalah supaya baginda boleh melatih para isteri baginda untuk menjadi pendakwah kepada para wanita. Susah untuk baginda berkomunikasi secara rapat dengan para wanita yang lain, maka tugas itu diberikan kepada para isteri baginda.
Maka baginda kenalah ada ramai isteri. Merekalah yang mengajar para wanita. Kerana itu baginda mengahwini para isteri yang berlainan umur dan kedudukan. Supaya mereka boleh menyampaikan ajaran agama bersesuai an dengan masyarakat yang berlainan jenis dan kedudukan.
Begitu juga, perkahwinan baginda yang lain mempunyai kepentingan tertentu:
- Pernikahan dengan Aisyah dan Hafsah رضي الله عنهما menguatkan hubungan baginda dengan Abu Bakr dan Umar رضي الله عنهما, dua orang sahabat yang penting.
- Umm Salamah رضي الله عنها adalah dari bani Abu Jahal dan Khalid al Walid. Perkahwinan ini mendekatkan baginda dengan bani itu.
- Umm Habibah رضي الله عنها adalah anak Abu Sufyan, musuh baginda pada waktu itu. Pernikahan ini telah menyebabkan Abu Sufyan lembut hati dengan baginda dan semenjak pernikahan itu, Abu Sufyan tidak lagi memerangi Nabi ﷺ walaupun belum lagi memeluk Islam.
- Safiyyah, Juwairiah dan Raihanah رضي الله عنها pula adalah dari bangsa Bani Israil. Selepas pernikahan itu, bani itu tidak lagi bermusuh dengan baginda. Kerana dalam adat waktu itu apabila seorang wanita bernikah dengan seseorang, ia bukanlah perkahwinan dengan keluarga wanita itu sahaja, tetapi keseluruhan bani itu. Dan tidak molek kalau berperang dengan menantu.
- Pernikahan dengan Zainab رضي الله عنها adalah untuk menghapuskan taboo tidak boleh berkahwin dengan janda anak angkat.
Untuk mencapai segala objektif di atas, maka halangan untuk menikah lebih dari 4 diangkat dari baginda.
Sebenarnya baginda zuhud dalam hal ini. Nabi Muhammad diberikan dengan kekuatan seks melebihi lelaki normal. Akan tetapi baginda hanya mengahwini 9 orang (atau 11 orang) isteri sahaja, sedangkan baginda mampu dari segi kekuatan fizikal untuk kahwin lebih lagi. Tapi baginda tidak lakukan.
وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا
Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Saya belum berjumpa tafsir kenapa Allah ﷻ meletakkan kalimat ini di hujung ayat ini. Semoga Allah ﷻ beri kefahaman ini nanti. Asmaul Husna yang diletak di hujung ayat Al-Qur’an membawa maksud tertentu yang berkait dengan ayat-ayat di dalamnya. Tetapi saya tidak tahu kenapa Allah ﷻ menyentuh tentang sifat pengampun-Nya di dalam ayat ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 29 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
Assalamualaikum. Saya rasa mungkin ada inconsistency dalam umur anak Nabi saw dengan Mariah. Dalam page ini umur anak itu 5 tahun, tapi dalam page isteri2 Nabi saw, di bawahnya ada list anak —- anak dengan Mariah berumur 18 bulan. Wallahualam.
LikeLike
Tidak mengapa. Maklumat yang tidak penting. Selalu sahaja ada khilaf dalam hal sebegini.
LikeLike