Ayat 51: Sekarang disebut satu lagi kebebasan yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda tidak terikat dengan peraturan menjaga giliran dengan isteri-isteri baginda.
Ini kerana baginda banyak melakukan kerja dakwah dan jikalau baginda terikat dengan jadual giliran isteri, maka ia akan mengganggu program baginda dalam berdakwah. Maka Nabi Muhammad ﷺ dibenarkan bebas untuk menentukan giliran. Peraturan ini tidak dibenarkan bagi orang lain yang beristeri lebih dari seorang.
۞ تُرجي مَن تَشاءُ مِنهُنَّ وَتُئوي إِلَيكَ مَن تَشاءُ ۖ وَمَنِ ابتَغَيتَ مِمَّن عَزَلتَ فَلا جُناحَ عَلَيكَ ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن تَقَرَّ أَعيُنُهُنَّ وَلا يَحزَنَّ وَيَرضَينَ بِما ءآتَيتَهُنَّ كُلُّهُنَّ ۚ وَاللهُ يَعلَمُ ما في قُلوبِكُم ۚ وَكانَ اللهُ عَليمًا حَليمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
You, [O Muḥammad], may put aside whom you will of them¹ or take to yourself whom you will. And any that you desire of those [wives] from whom you had [temporarily] separated – there is no blame upon you [in returning her]. That is more suitable that they should be content and not grieve and that they should be satisfied with what you have given them – all of them. And Allāh knows what is in your hearts. And ever is Allāh Knowing and Forbearing.
- Those mentioned in the previous verse as being lawful to the Prophet (ṣ) or his wives to which he was married.
(MELAYU)
Kamu boleh menangguhkan menggauli siapa yang kamu kehendaki di antara mereka (isteri-isterimu) dan (boleh pula) menggauli siapa yang kamu kehendaki. Dan siapa-siapa yang kamu ingini untuk menggaulinya kembali dari perempuan yang telah kamu tinggalkan, maka tidak ada dosa bagimu. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk ketenangan hati mereka, dan mereka tidak merasa sedih, dan semuanya rela dengan apa yang telah kamu berikan kepada mereka. Dan Allah mengetahui apa yang (tersimpan) dalam hatimu. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.
تُرجي مَن تَشاءُ مِنهُنَّ
Kamu boleh menangguhkan menggauli siapa yang kamu kehendaki di antara mereka
Ini adalah hukum kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Baginda ada banyak isteri maka susah untuk baginda membahagikan masa yang sama kepada setiap para isteri baginda.
Kalimah تُرجي dari katadasar ر ج ي yang antara lain bermaksud ‘melengahkan sesuatu’. Kadangkala ada benda kita memang suka tetapi kita tangguhkan. Sebagai contoh, saya memang suka minum kopi tetapi oleh kerana ingin cepat ke tempat kerja, maka saya tangguhkan minum kopi sehingga dapat minum di tempat kerja sahaja.
Maknanya, ia sesuatu yang boleh dibuat tetapi kita tidak buat. Maknanya dalam ayat ini, ada isteri yang mungkin baginda hendak berjumpa dengannya tetapi baginda tangguh dan tidak berjumpa.
وَتُئوي إِلَيكَ مَن تَشاءُ
dan menggauli siapa yang engkau kehendaki.
Atau baginda boleh pilih untuk bersama dengan isterinya itu jika baginda suka. Ia dari katadasar أ و ي yang bermaksud melindungi, melayan. Jadi Allah beri kelonggaran untuk jumpa para isteri baginda mengikut masa baginda. Baginda tidak diberatkan dalam hal ini.
Akan tetapi, walaupun baginda diberikan dengan kelonggaran ini, tetapi para isteri baginda mengatakan yang baginda tetap menjaga aturan hari dengan para isteri baginda. Baginda selalunya berjumpa dengan semua isterinya setiap hari. Jarang baginda tidak berjumpa mereka. Tetapi baginda hanya berjumpa sahaja dan tidak adakan hubungan kelamin dengan mereka kecuali jikalau hari itu adalah hari mereka.
Maknanya, baginda tetap adil kepada mereka. Sebagai contoh, di hujung hayat baginda di mana baginda tidak mampu untuk bergerak sangat, baginda minta kebenaran dari para isteri baginda untuk tetap sahaja di rumah Aisyah رضي الله عنها. Hanya apabila baginda mendapat kebenaran mereka barulah baginda tetap sahaja di rumah Aisyah رضي الله عنها. Baginda sebenarnya tidak perlu minta kebenaran pun kerana telah diberikan kelonggaran, tapi begitulah lembutnya hati baginda.
وَمَنِ ابتَغَيتَ مِمَّن عَزَلتَ فَلا جُناحَ عَلَيكَ
Dan siapa-siapa yang kamu ingini untuk menggaulinya kembali dari perempuan yang telah kamu tinggalkan, maka tidak ada dosa bagimu.
Kalimah عَزَلتَ dari katadasar ع ز ل yang bermaksud letak di tepi, mengeluarkan. Maksudnya baginda boleh pergi berjumpa dengan isteri baginda yang telah lama baginda tidak bertemu. Jadi ini bukanlah bermaksud baginda telah menceraikan mereka dan mengambil balik mereka. Sebaliknya ia bermaksud kalau baginda sudah lama tidak bertemu dengan mana-mana isteri baginda itu.
Di antara sembilan isteri Rasulullah ﷺ yang dikenali melalui hadis-hadis yang sahih, baginda tidak pernah menceraikan sesiapa jua. Apa yang paling dekat ialah baginda pernah menceraikan Hafsah binti ‘Umar al-Khattab رضي الله عنها dengan talak satu, namun baginda merujuk kembali dengannya. Memandangkan ia hanya talak satu yang telah dirujuk semula, maka ia tidak dikira sebagai satu perceraian. Dalilnya ialah hadis berikut:
Daripada ‘Umar bin al-Khattab رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ pernah mentalak Hafsah رضي الله عنها lalu merujukinya kembali. [Sahih Sunan Abu Daud, no: 1943/2283]
Dalam sebuah riwayat lain, Qais bin Zaid رضي الله عنه menerangkan:
Rasulullah ﷺ menceraikan Hafsah binti ‘Umar رضي الله عنها, kemudian dua pakcik Hafsah رضي الله عنها dari silsilah Ibn Qudamah dan Utsman bin Madz’un masuk menemui Hafsah رضي الله عنها yang ketika itu sedang menangis.
Hafsah رضي الله عنها berkata: “Demi Allah ﷻ! Baginda menceraikan aku bukan kerana sesuatu aib”.
Kemudian Rasulullah ﷺ datang sementara Hafsah رضي الله عنها menyembunyikan diri. Baginda bersabda: “(Malaikat) Jibrail عليه السلام berkata kepadaku, rujuklah Hafsah رضي الله عنها kerana beliau banyak berpuasa dan bersolat malam, serta merupakan isterimu di syurga”. [Riwayat Ibn Sa’ad, al-Hakim dan al-Thabarani. Sanadnya sahih, kecuali mursal kerana Qais bin Zaid رضي الله عنه ialah seorang tabi’in. Namun ia memiliki beberapa penguat yang lain. Rujuk takhrijnya dalam Azwaji al-Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam oleh Syaikh Muhammad bin Yusuf al-Dimasyqi, ms. 399-400]
Dari ayat ini, Allah ﷻ memberikan kebebasan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk mengurus masa baginda dengan isteri-isteri baginda. Kelebihan ini diberikan kepada baginda sahaja kerana tugas baginda yang besar di dalam menjalankan dakwah. Ini adalah supaya baginda tidak diberatkan dengan hal-hal di rumah.
Walaupun baginda mendapat kebebasan itu namun baginda tetap juga menjaga jadual baginda dengan isteri-isteri baginda.
Dan para isteri baginda sepatutnya tidak merasa terbeban dengan perkara ini kerana mereka telah diberikan peluang oleh Allah ﷻ untuk mendampingi baginda dan berusaha bersama baginda untuk menegakkan agama Allah ﷻ. Kelebihan yang mereka dapat itu tidak ada pada wanita-wanita lain. Maka mereka kena bersyukur.
ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن تَقَرَّ أَعيُنُهُنَّ
Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk ketenangan hati mereka,
Kalau Nabi ﷺ datang bertemu dan bermalam dengan mereka, mereka akan suka dan tenang. Bagaimanakah dikatakan ayat ini (tentang Nabi ﷺ tidak perlu menjaga giliran) boleh menyebabkan mereka merasa gembira pula?
Maknanya mereka pasti akan merasa gembira dengan keputusan baginda itu, dan mereka akan merasa lebih berterima kasih kepada baginda atas perlakuan baginda yang adil itu kepada mereka. Mereka pasti merasa berhutang budi kepada baginda kerana baginda bergilir juga, padahal bergilir di antara mereka bukanlah merupakan suatu kewajipan bagi baginda.
Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.
وَلا يَحزَنَّ وَيَرضَينَ بِما ءآتَيتَهُنَّ كُلُّهُنَّ
dan mereka tidak merasa sedih, dan semuanya rela dengan apa yang telah kamu berikan kepada mereka.
Memang ada baik jikalau baginda dapat berjumpa dengan isteri-isteri baginda yang telah lama baginda tidak temui supaya mereka tidak bersedih dan mereka redha dengan apa yang Nabi ﷺ telah berikan kepada mereka.
وَاللهُ يَعلَمُ ما في قُلوبِكُم
Dan Allah mengetahui apa yang (tersimpan) dalam hatimu.
Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati manusia. Maka Allah ﷻ tahu apa dalam hati baginda dan hati para isteri baginda. Ini bermaksud Allah ﷻ tahu kecenderungan baginda kepada seseorang di antara mereka, bukan kepada semuanya, yang hal ini tidak dapat baginda elakkan.
Kerana perasaan tidak dapat dijaga, kadangkala ada salah satu isteri baginda yang baginda lebih sayang dari yang lainnya. Walaupun begitu, baginda tetap adil kepada mereka.
Allah ﷻ juga mengingatkan manusia yang Dia tahu apa yang bermain dalam hati mereka. Ayat-ayat yang kita telah sampaikan sebelum ini adalah hukum yang khusus untuk Rasulullah ﷺ sahaja. Mungkin ada yang rasa tidak patut Allah ﷻ berikan kelebihan itu kepada baginda. Ini datang dari hati yang tidak redha dengan keputusan Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ mengingatkan mereka untuk menjaga hati mereka.
Maknanya, ini adalah peringatan: jangan ada sangsi langsung dengan Nabi kita. Jangan kita rasa baginda ambil kesempatan, buat yang tidak patut-patut dalam hal rumahtangga.
وَكانَ اللهُ عَليمًا حَليمًا
Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.
Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati manusia kerana Allah ﷻ Maha Tahu segala perkara.
Allah ﷻ juga bersifat haleem kepada manusia. Maknanya Allah ﷻ bersabar dengan kesalahan dan doa manusia. Tidaklah Allah ﷻ terus menghukum hambaNya yang berdosa, kerana Allah ﷻ sanggup tunggu hamba itu bertaubat.
Maka ayat ini hendak memberitahu para isteri baginda yang mereka kena terima ayat-ayat ini dengan redha. Jangan mereka merasa berat dengan hukum Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tahu apa dalam hati mereka.
Dan ia juga menjadi peringatan kepada manusia. Jangan mereka ada sangka buruk terhadap Rasulullah ﷺ kerana itu adalah perkara yang salah. Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati manusia. Kalau sesiapa ada rasa sangsi dengan keadilan baginda, Allah ﷻ tahu.
Ayat 52:
لّا يَحِلُّ لَكَ النِّساءُ مِن بَعدُ وَلا أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِن أَزوٰجٍ وَلَو أَعجَبَكَ حُسنُهُنَّ إِلّا ما مَلَكَت يَمينُكَ ۗ وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ رَّقيبًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Not lawful to you, [O Muḥammad], are [any additional] women after [this], nor [is it] for you to exchange them for [other] wives, even if their beauty were to please you, except what your right hand possesses. And ever is Allāh, over all things, an Observer.
(MELAYU)
Tidak halal bagimu mengahwini perempuan-perempuan sesudah itu dan tidak boleh (pula) mengganti mereka dengan isteri-isteri (yang lain), meskipun kecantikannya menarik hatimu kecuali perempuan-perempuan (hamba sahaya) yang kamu miliki. Dan adalah Allah Maha Mengawasi segala sesuatu.
لّا يَحِلُّ لَكَ النِّساءُ مِن بَعدُ
Tidak halal bagimu mengahwini perempuan-perempuan sesudah itu
Walaupun Rasulullah ﷺ telah diberikan dengan beberapa kelonggaran dalam ayat sebelum ini, tetapi Nabi Muhammad ﷺ tidak dibenarkan lagi untuk menambah isteri baginda selepas itu.
Banyak ulama’ seperti Ibnu Abbas, Mujahid, Ad-Dahhak, Qatadah, Ibnu Zaid, Ibnu Jarir serta yang lainnya menyebutkan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan balasan Allah ﷻ dan redha-Nya kepada isteri-isteri Nabi ﷺ kerana sikap mereka yang baik —iaitu lebih memilih Allah ﷻ dan Rasul-Nya serta pahala akhirat, ketika mereka disuruh memilih oleh Rasulullah ﷺ, sebagaimana yang kisahnya telah disebutkan sebelum ini.
Maka, balasannya, Allah jamin madu mereka tidak bertambah. Ini kerana apabila baginda tambah isteri lain, sedikit sebanyak mereka akan terasa hati dan sedih juga.
Ibn Abbas رضي الله عنه mengatakan, sebagaimana para isteri baginda tidak boleh berkahwin lain selepas baginda wafat, maka baginda juga tidak boleh menambah isteri. Kiranya, adillah kalau begitu, bukan?
Satu lagi interpretasi ayat ini: Rasulullah ﷺ tidak boleh berkahwin dengan wanita-wanita yang di luar kriteria yang telah disebut sebelum ini. Maka, larangan kepada baginda adalah hanya tidak boleh bernikah dengan wanita bukan Muslim dan juga wanita yang tidak berhijrah bersama baginda.
وَلا أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِن أَزوٰجٍ
dan tidak boleh (pula) mengganti mereka dengan isteri-isteri (yang lain),
Bukan sahaja tidak boleh tambah, baginda juga tidak boleh ganti isteri baginda dengan isteri yang baru. Maknanya tidaklah boleh baginda ceraikan seorang isteri dan nikah dengan wanita yang baru. Sedangkan lelaki lain boleh berbuat begitu.
Ini adalah kerana para isteri baginda telah redha menjadi isteri baginda dan berjuang bersama baginda, maka janganlah baginda balas dengan menceraikan mereka pula.
وَلَو أَعجَبَكَ حُسنُهُنَّ
meskipun kecantikannya menarik hatimu
Had ini telah ditetapkan kepada baginda walaupun mungkin ada wanita yang menyebabkan baginda tertarik hati. Ini bukanlah perkara yang pelik kerana Nabi Muhammad ﷺ juga adalah seorang lelaki normal dan tentulah baginda juga ada tertarik kepada wanita lain. Maka isteri baginda yang ada mestilah memuaskan hati baginda.
Maka kalau Nabi Muhammad ﷺ pun boleh tertarik dengan wanita lain maka apatah lagi kita. Maka ini bukan perkara pelik. Ini mengajar kita yang isteri kenalah pandai kemaskan diri. Bagilah suami suka dan tertarik dengan anda. Antaranya dengan jaga perangai dan jaga penampilan diri. Allah ﷻ suka para isteri berbuat begini. Bukanlah berhias untuk lelaki lain tetapi hiasilah diri anda untuk suami.
Apabila para isteri tidak menjaga perkara ini, maka kerana itulah suami suka melihat kepada wanita lain. Maka jangan biarkan ini berlaku.
Dan begitu juga suami kenalah juga menjaga isteri dengan baik dan bagi mereka mencintai kita supaya mereka tidak tertarik dengan suami orang lain pula. Maka bukan para isteri sahaja kena berkemas diri tetapi suami pun juga.
إِلّا ما مَلَكَت يَمينُكَ
kecuali perempuan-perempuan (hamba sahaya) yang kamu miliki.
Had bilangan isteri tidak tertakluk kepada hamba sahaya. Maka baginda boleh tambah wanita dari kalangan hamba. Tidak ada had kepada bilangan mereka. Juga tiada had bagi kita jikalau perhambaan sudah dibenarkan semula.
Tetapi, jangan lupa yang ada hukum syariat tentang sistem perhambaan ini. Tidaklah boleh mengambil hamba sesuka hati dan kemudian menyusahkan mereka. Walaupun Islam membenarkan perhambaan, tetapi ia adalah tertakluk kepada undang-undang syariat. Cuma jarang kita dengar kerana sekarang ia tidak diamalkan. Tetapi ilmu ini kenalah juga diajar kerana entah-entah ia boleh terjadi lagi di masa hadapan.
وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ رَّقيبًا
Dan adalah Allah Maha Mengawasi segala sesuatu.
Kenalah berhati-hati dengan apa yang kita lakukan kerana Allah ﷻ sentiasa memerhatikan perlakuan kita. Allah ﷻ yang telah memberikan hukuman ini, maka kita tidak layak untuk mempersoalkannya. Ingatlah yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan kita, jadi jangan kita mempersoalkan hukum Allah ﷻ pula.
Habis Ruku’ 6 dari 9 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 29 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani