Tafsir Surah Ahzab Ayat 53 – 54 (Ayat Hijab)

Ayat 53: Apabila Nabi ﷺ menikah baginda selalunya akan mengadakan kenduri. Kenduri pernikahan baginda dengan Saidatina Zainab رضي الله عنها kali ini agak besar kalau dibandingkan dengan kenduri pernikahan baginda yang lain kerana memang baginda hendak memberitahu tentang hukum ini dan supaya ramai orang tahu berkenaannya.

Cuma ramai yang datang ke rumah baginda waktu itu terus melepak tidak balik-balik. Mereka berbual panjang pula di rumah Nabi ﷺ. Maka Allah ‎ﷻ menegur mereka kerana sudah menjelang malam.

Ayat ini adalah hukum secara umum sebelum diberikan penjelasan lebih lanjut dalam ayat Nur:27 yang akan diturunkan setahun selepas ayat ini. Ayat dalam Surah Ahzab ini menyebut adab di dalam rumah Nabi ﷺ tetapi nanti dalam Surah Nur nanti adab itu perlu diaplikasikan dalam setiap rumah.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَدخُلوا بُيوتَ النَّبِيِّ إِلّا أَن يُؤذَنَ لَكُم إِلىٰ طَعامٍ غَيرَ نٰظِرينَ إِنٰهُ وَلٰكِن إِذا دُعيتُم فَادخُلوا فَإِذا طَعِمتُم فَانتَشِروا وَلا مُستَئنِسينَ لِحَديثٍ ۚ إِنَّ ذٰلِكُم كانَ يُؤذِي النَّبِيَّ فَيَستَحيي مِنكُم ۖ وَاللهُ لا يَستَحيي مِنَ الحَقِّ ۚ وَإِذا سَأَلتُموهُنَّ مَتٰعًا فَاسئلوهُنَّ مِن وَراءِ حِجابٍ ۚ ذٰلِكُم أَطهَرُ لِقُلوبِكُم وَقُلوبِهِنَّ ۚ وَما كانَ لَكُم أَن تُؤذوا رَسولَ اللهِ وَلا أَن تَنكِحوا أَزوٰجَهُ مِن بَعدِهِ أَبَدًا ۚ إِنَّ ذٰلِكُم كانَ عِندَ اللهِ عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not enter the houses of the Prophet except when you are permitted for a meal, without awaiting its readiness. But when you are invited, then enter; and when you have eaten, disperse without seeking to remain for conversation. Indeed, that [behavior] was troubling the Prophet, and he is shy of [dismissing] you. But Allāh is not shy of the truth. And when you ask [his wives] for something, ask them from behind a partition. That is purer for your hearts and their hearts. And it is not [conceivable or lawful] for you to harm the Messenger of Allāh or to marry his wives after him, ever. Indeed, that would be in the sight of Allāh an enormity.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali bila kamu diizinkan untuk makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu diundang maka masuklah dan bila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa asyik memperpanjang percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi lalu Nabi malu kepadamu (untuk menyuruh kamu keluar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar. Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengahwini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah dia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Ini adalah ajaran kepada orang-orang mukmin yang kena diberikan perhatian. Ini kerana ia melibatkan perhubungan sosial dan kemasyarakatan.

 

لا تَدخُلوا بُيوتَ النَّبِيِّ إِلّا أَن يُؤذَنَ لَكُم إِلىٰ طَعامٍ

janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali bila kamu diizinkan untuk makan 

Janganlah senang-senang sahaja hendak memasuki rumah Nabi ﷺ. Begitu juga jangan masuk ke dalam rumah orang lain sesuka hati. Zaman itu, menjadi kebiasaan untuk lelaki masuk sahaja ke dalam rumah orang dan di dalam rumah baru ditanya mana tuan rumah. Ini adalah adab yang buruk sekali yang boleh menyebabkan banyak masalah.

Maka Allah ‎ﷻ ajar hukum masuk ke rumah orang. Biasanya di dalam rumah Nabi ﷺ dan rumah orang lain, selalunya ada wanita yang tidak menutup aurat mereka. Ini kerana rumah adalah tempat mereka berehat dan mereka boleh membuka aurat mereka di dalam rumah. Jadi kalau tiba-tiba sahaja masuk, tentulah mereka tidak bersedia.

Bukan sahaja wanita, tetapi lelaki pun turut berasa tidak selesa. Ini kerana mereka mungkin sedang berehat, atau mungkin sedang bersenggama dengan isteri; ataupun mungkin ada perkara rahsia yang dia tidak mahu orang lain tahu; dan macam-macam hal lagi. Termasuk jugalah Rasulullah ﷺ tidak selesa kalau para sahabat terus menerjah masuk ke dalam rumah.

Bukanlah tidak boleh masuk langsung kerana ada masa kita dibenarkan masuk. Antaranya kalau ada kenduri atau ada jemputan makan ke rumah baginda atau rumah orang lain.

 

غَيرَ نٰظِرينَ إِنٰهُ

dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak

Walaupun sudah dijemput, tetapi para sahabat dilarang duduk-duduk berdekatan dengan rumah Nabi ﷺ semasa keluarga baginda sedang memasak dan menyediakan makanan. Ini kerana jikalau Nabi ﷺ nampak para sahabat ada di luar maka tentunya baginda akan mengajak sahabat itu masuk.

Maka ini menyusahkan baginda dan keluarga baginda. Sepatutnya datanglah pada waktu makan sahaja, janganlah datang sebelum waktunya. Tentu waktu makan telah ditentukan, maka datanglah waktu itu sahaja.

Yang keduanya, ayat ini juga mengajar adab bermasyarakat kepada kita sesama Muslim. Janganlah kita datang ke rumah orang pada waktu makan. Ini kerana jika kita datang pada waktu itu, maka tentu orang itu berasa serba salah kalau dia tidak menjemput kita masuk dan makan sekali. Sedangkan mungkin dia tidak menyediakan makanan dan mungkin makanan dia ada tetapi tidak mencukupi atau makanan itu hanya sesuai untuk keluarganya sahaja.

Ini menolak adat resam masyarakat Arab pada waktu itu yang sengaja datang pada waktu makan atau datang sebelum waktu makan dan terus sahaja melepak sehingga tiba waktu makan. Maka ini akan menyusahkan tuan rumah pula kerana terpaksa memberi makan kepada tetamu.

Maka datanglah pada waktu lain kecuali jikalau ada perkara yang amat mendesak menyebabkan terpaksa juga datang pada waktu itu. Tetapi janganlah duduk sampai masuk waktu makan. Lainlah kalau dia memang ajak untuk datang makan kerana kalau begitu tentu dia sudah bersedia.

 

وَلٰكِن إِذا دُعيتُم فَادخُلوا

tetapi jika kamu diundang maka masuklah

Jika Nabi Muhammad ﷺ telah menjemput mana-mana sahabat untuk datang ke dalam rumah maka mereka dibenarkan untuk masuk.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui Ibnu Umar رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إِذَا دَعَا أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيجب، عُرسًا كَانَ أَوْ غَيْرَهُ”

Apabila seseorang di antara kalian mengundang saudaranya untuk suatu jamuan, hendaklah orang yang diundang me­menuhinya, baik undangan pernikahan ataupun undangan lainnya.

Namun rumah baginda amat kecil dan kerana itu jikalau mereka datang maka isteri baginda akan menutup diri mereka dan membelakangi melihat dinding sahaja.

Tetapi walaupun telah dijemput, jangan pula datang terlalu awal kerana baginda atau yang menjemput itu tidak bersiap lagi dan akan menyebabkan ketidakselesaan kepada baginda.

Dalam Surah Nur disebut bagaimana apabila orang datang terlalu awal maka tuan rumah boleh menghalau orang itu balik. Maka kena prihatin dengan masa jemputan. Ini disebut dalam Nur:28

وَإِن قيلَ لَكُمُ ارجِعوا فَارجِعوا

Dan jika dikatakan kepadamu: “Kembali (saja)lah, maka hendaklah kamu kembali.

 

فَإِذا طَعِمتُم فَانتَشِروا وَلا مُستَئنِسينَ لِحَديثٍ

dan bila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa asyik memperpanjang percakapan.

Dan lagi satu adab, setelah selesai makan, jangan duduk lepak-lepak bersama baginda untuk bersembang dengan tetamu lain atau apa-apa hal yang lain. Ini kerana baginda hanya mengajak makan sahaja. Tetapi dalam asbabun nuzul ayat ini, diceritakan ada para sahabat yang terus duduk bersembang sesama sendiri. Dari hadith yang telah disebut, kita dapat tahu ia adalah berkenaan tiga sahabat yang terus bersembang setelah majlis itu selesai.

Sama juga kalau kita ke rumah orang. Dia ajak makan sahaja dan apabila selesai makan, maka baliklah sebab tuan rumah ada hal lain pula. Mungkin dia sudah penat melayan tetamu dan ada banyak kerja lagi seperti ingin mengemas rumah. Atau apa-apa sahaja perkara yang tuan rumah hendak buat. Selagi tetamu ada di rumahnya, maka dia masih kena layan tetamu lagi.

Maka kenalah tengok keadaan. Kalau nampak tuan rumah tidak ada program lain dengan kita, maka minta diri untuk baliklah sahaja. Kalau tuan rumah ajak duduk lagi, barulah boleh melepak lagi di situ.

 

إِنَّ ذٰلِكُم كانَ يُؤذِي النَّبِيَّ فَيَستَحيي مِنكُم

Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi lalu Nabi malu kepadamu

Nabi ﷺ seorang yang pemalu maka baginda tidak akan berkata apa-apa ataupun memberi isyarat untuk menghalau tetamu baginda keluar. Baginda tidak mahu mereka berkecil hati kalau baginda halau mereka.

Oleh sebab itu, Allah ‎ﷻ yang memberitahu kepada mereka. Ini kerana baginda juga ada perkara yang baginda hendak lakukan dan baginda hendak bersama dengan keluarga baginda. Hanya selepas ayat ini dibaca barulah para sahabat keluar daripada rumah Nabi ﷺ.

Maka kita kena prihatin dengan perkara ini dan jikalau kita dijemput untuk makan di rumah kawan kita, maka janganlah kita duduk melepak lama-lama sangat kerana ia akan menyusahkan mereka.

Kecualilah kalau memang tuan rumah suka kita ada bersama dan meminta kita untuk tunggu terlebih dahulu kerana dia ingin bersembang dengan kita. Maka kenalah tengok keadaan.

 

وَاللهُ لا يَستَحيي مِنَ الحَقِّ

dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar. 

Allah ‎ﷻ tidak malu untuk memperkatakan tentang perkara-perkara yang kecil sebegini kerana manusia kena tahu. Ini adalah perkara yang penting walaupun nampak seperti perkara kecil sahaja. Ia mengajar kita untuk prihatin dengan keadaan orang lain.

Imam Bukhari رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdullah Ar-Raqqasyi, telah menceritakan kepada kami Mu’tamir ibnu Sulaiman yang mengatakan bahawa beliau pernah mendengar ayahnya mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Abu Mijlaz, dari Anas ibnu Malik رضي الله عنه yang mengatakan, “Ketika Rasulullah ﷺ menikahi Zainab binti Jahsy رضي الله عنها, baginda mengundang sejumlah orang, lalu menjamu mereka, kemudian mereka bercakap-cakap di majlis itu. Kemudian kelihatan baginda ﷺ hendak bangkit, dan kaum masih duduk-duduk sahaja. Melihat keadaan itu baginda terus bangkit. Ketika baginda bangkit, sebahagian orang bangkit pula, tetapi masih ada tiga orang yang tetap duduk. Nabi ﷺ datang lagi dan hendak masuk (ke kamar pengantin), tetapi ternyata masih ada sejumlah orang yang masih duduk dan belum pergi. Tidak lama kemudian mereka bangkit dan pergi. Lalu aku (Anas ibnu Malik) menghadap dan menceritakan kepada Nabi ﷺ bahawa kaum telah pergi. Lalu Nabi ﷺ bangkit hendak masuk, dan aku pergi mengikutinya. Tetapi tiba-tiba baginda menurunkan hijab antara baginda dan aku, lalu turunlah firman Allah ‎ﷻ: ‘Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi ﷺ kecuali bila kamu diizinkan untuk makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak (makanannya). Tetapi jika kamu diundang, maka masuklah; dan bila kamu selesai makan, keluarlah kamu’ (Al-Ahzab: 53), hingga akhir ayat.”

 

وَإِذا سَأَلتُموهُنَّ مَتٰعًا فَاسئلوهُنَّ مِن وَراءِ حِجابٍ

Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir.

Sekarang kita masuk ke perbincangan yang lain yang berkenaan para isteri Nabi Muhammad ﷺ. Ayat ini dikenali sebagai ‘Ayat Hijab’.

Sebelum itu, Saidina Umar رضي الله عنه selalu mencadangkan supaya para isteri Rasulullah ﷺ berhijab. Akan tetapi kerana tiada wahyu berkenaan perkara itu, maka baginda senyapkan sahaja menunggu wahyu. Penurunan ayat ini bertepatan dengan perkataan sahabat Umar ibnul Khattab رضي الله عنه, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam kitab sahihain yang bersumber darinya.

Disebutkan bahawa Umar رضي الله عنه pernah berkata, “Aku bersesuaian dengan Tuhanku dalam tiga perkara, iaitu aku pernah berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, sekiranya engkau menjadikan maqam Ibrahim عليه السلام sebagai tempat solat,” lalu Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat. (Al-Baqarah: 125), Dan aku pernah berkata, ‘Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya isteri-isterimu banyak ditemui oleh orang-orang, di antaranya ada yang bertaqwa dan ada yang derhaka (yakni ada yang baik dan ada yang buruk), maka sekiranya engkau buatkan hijab untuk mereka,’ lalu turunlah ayat hijab ini. Dan aku pernah berkata kepada isteri-isteri Nabi ﷺ pada ketika mereka bersekongkol memprotes Nabi ﷺ kerana terdorong oleh rasa cemburu mereka, ‘Jika Nabi ﷺ menceraikan kalian, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu.’ Maka turunlah ayat yang menyebutkan hal yang sama,” iaitu firman-Nya: Jika Nabi ﷺ menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan mem­beri ganti kepadanya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu. ‘ (At-Tahrim: 5)

Selepas ayat ini diturunkan, para sahabat tidak boleh melihat isteri-isteri baginda dan kerana itu jikalau ada apa-apa urusan dengan mereka, seperti mungkin Nabi ﷺ menyuruh sahabat mengambil barang ataupun mereka hendak bertanyakan sesuatu kepada para isteri Nabi ﷺ, maka mereka hendaklah melakukannya di balik dinding ataupun di belakang hijab.

Selepas ayat ini diturunkan, maka semua rumah Nabi ﷺ dipasang langsir. Dan kerana rumah Nabi ﷺ menjadi model bagi semua rumah orang mukmin, maka konsep ini ditiru oleh semua rumah. Maka memang molek kalau rumah kita ada langsir dan tabir. Ini dapat mengelak pandangan manusia ke dalam rumah.

Rumah memang kena ada dinding atau kain hadang, asalkan tidak nampak mereka. Dan perkara ini berterusan dilakukan di rumah Nabi, walaupun Nabi Muhammad ﷺ telah wafat.

Imam Bukhari رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Musaddad, dari Yahya, dari Humaid, dari Anas ibnu Malik yang menceritakan bahawa Umar ibnul Khattab رضي الله عنه berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, yang masuk menemuimu ada orang yang bertaqwa dan ada pula yang derhaka, maka sebaiknya engkau perintahkan kepada Ummahatul Mu-minin (semua isterimu) memakai hijab.” Maka Allah ‎ﷻ menurunkan ayat hijab ini. Disebutkan bahawa penurunan ayat ini bertepatan dengan pagi hari perkahwinan Rasulullah ﷺ dengan Zainab binti Jahsy رضي الله عنها yang perkahwinannya dilakukan langsung oleh Allah ‎ﷻ (melalui wahyu-Nya).

Walaupun ayat ini asalnya khusus diberikan kepada isteri-isteri Rasulullah ﷺ tetapi ada yang juga yang menyambungkannya kepada para wanita mukminah yang lain untuk setiap zaman. Ada baiknya mereka menjaga diri mereka dari dilihat oleh orang-orang lelaki ajnabi.

Kalau ada yang datang ke rumah waktu suami tidak ada, maka mereka boleh sahaja bercakap dari belakang pintu. Cuma beritahu sahaja suami tidak ada dan yang datang itu datanglah pada waktu lain. Kalau ada barang yang hendak diberi, keluarkan tangan sahaja. Atau orang itu letak di pintu dan nanti dia ambil apabila pemberi itu telah pergi.

Jangan buka pintu pun dan jawab secara berhadapan. Ini kerana kebiasaannya seorang suami tidak akan suka jikalau ada orang lain yang melihat isterinya.

 

ذٰلِكُم أَطهَرُ لِقُلوبِكُم وَقُلوبِهِنَّ

Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.

Memang patut kita menjaga perkara ini kerana walaupun isteri Rasul ﷺ itu wanita-wanita yang baik, namun Allah ‎ﷻ tetap memberikan peringatan kepada mereka. Ini adalah kerana perkara ini amat bahaya kerana syaitan akan membisikkan perkara buruk ke dalam hati lelaki dan wanita sampai mereka tertarik di antara satu sama lain.

Orang yang baik pun boleh termakan bisikan syaitan dalam perkara ini. Kalau kepada para isteri Nabi ﷺ pun Allah ‎ﷻ ada memberikan peringatan, maka apatah lagi kepada wanita-wanita yang lain. Maka jangan perasan anda boleh tolak bisikan syaitan ini.

Maka berhati-hatilah. Bayangkan satu situasi di mana kawan kita datang ke rumah dan mengetuk pintu rumah kita dan isteri kita yang membukanya. Adakah tidak mustahil apabila dia melihat isteri kita dan dia tertarik dengan isteri kita? Syaitan tentu akan mengambil peluang untuk membisikkan benda yang jahat ke dalam hati kita.

Lihatlah bagaimana pentingnya perkara ini sampaikan dengan isteri-isteri Nabi ﷺ pun Allah ‎ﷻ menyuruh untuk menjaga perkara ini. Maka kalaulah sesama kita tentulah lebih lagi kita kena jaga.

Maka kalau kita pergi ke rumah seseorang dan isterinya yang menjawab salam kita, maka itu bermakna yang suaminya tentu tidak ada di rumah. Maka janganlah kita duduk-duduk melepak lagi. Jangan ditanyakan apa-apa lagi kepada isterinya. Datanglah pada waktu yang lain sahaja.

Para ustazah pun tidak perlu tonjolkan dirinya di khalayak ramai. Di negara Arab ramai wanita yang dua tiga kali ganda lebih berilmu daripada pendakwah wanita di Malaysia, namun mereka tidak pernah menonjolkan diri kepada lelaki – tidak berswafoto di FB mahupun muncul di kaca TV.

Antaranya ialah Dr. Amirah al-Sa’idi, penulis tesis sarjana yang mengkaji perbezaan pendapat antara ulama-ulama usul fiqh dengan ahli hadis tentang isu-isu berkaitan hadis. Pernah dia terlibat dalam rancangan TV tentang wanita dan beliau sekadar dihubungi melalui telefon untuk memberi ulasan, tanpa hadir di studio.

Kedua, Maryam al-Hakami, penulis tesis sarjana bertajuk Ahkam al-Duff fi al-Fiqh al-Islami. Tesis ini sangat baik kerana membahaskan hukum-hakam berkaitan kompang dari segenap sudut termasuklah hukum belajar bermain kompang dan hukum menggunakan kompang untuk tujuan perubatan. Tesis yang kemudiannya diterbitkan ini menjadi rujukan penting dalam penyediaan “Seruling Syaitan”.

Ketiga, Dr. Ummu Tamim. Beliau dikatakan sangat alim dan mendapat pujian serta pengiktirafan oleh Syeikh Abu Ishaq al-Huwayni dan Syeikh Mustafa al-‘Adawi. Beliau mengarang banyak kitab dan yang paling terkenal ialah al-Fiqh al-Muyassar setebal 6 jilid. Ribuan Muslimat dikatakan pernah menuntut ilmu daripadanya. Ya, ribuan murid dan lebih 10 jilid kitab ilmiah tanpa perlu meletakkan gambar selfie di laman sesawang sendiri.

 

وَما كانَ لَكُم أَن تُؤذوا رَسولَ اللهِ وَلا أَن تَنكِحوا أَزوٰجَهُ مِن بَعدِهِ أَبَدًا

Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengahwini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah dia wafat. 

Sebelum ini telah disebut yang para isteri Nabi ﷺ ‎adalah ibu-ibu orang mukmin. Sepatutnya kita sudah faham bahawa kita tidak boleh mengahwini ibu kita. Tetapi jika tidak faham juga, maka Allah ‎ﷻ berikan hukum dengan lafaz yang jelas iaitu sampai bila-bila pun lelaki Muslim tidak boleh mengahwini isteri baginda.

Ada sahabat yang sudah bercita-cita untuk mengahwini isteri Nabi ﷺ apabila baginda wafat.  Maka Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini untuk menutup pintu itu.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali ibnul Husain, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abu Hammad, telah menceritakan kepada kami Mahran, dari Sufyan ibnu Abu Hindun, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah. (Al-Ahzab: 53) Bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki yang berniat akan mengahwini bekas isteri Nabi ﷺ apabila baginda ﷺ sudah tiada. Seorang lelaki bertanya kepada Sufyan, “Apakah dia adalah Aisyah رضي الله عنها?” Sufyan menjawab, “Mereka telah menceritakan hal tersebut.”

Kerana itulah para ulama’ telah sepakat bahawa setelah Rasulullah ﷺ wafat, maka isteri-isterinya haram dikahwini oleh orang lain kerana mereka bukan sahaja sebagai isteri-isteri baginda di dunia ini, tetapi juga di akhirat. Ini adalah kerana ada pendapat yang mengatakan, isteri akan tinggal dengan suaminya yang terakhir di dalam syurga.

Kalau seorang wanita ada lebih dari seorang suami, temannya di syurga adalah suaminya yang terakhir. Jadi kalau para isteri Nabi ﷺ menikah dengan orang lain, maka mereka tidaklah dapat tinggal bersama Rasulullah ﷺ di syurga. Maka Allah ‎ﷻ menjaga kelebihan mereka: sudahlah menjadi isteri baginda di dunia, di akhirat juga tetap menjadi isteri baginda.

Satu lagi sebab para isteri Rasulullah ﷺ tidak boleh dikahwini selepas itu adalah kerana mereka juga adalah Ummahatul Mukminin iaitu ibu-ibu semua kaum mukmin, sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Hukum ini hanya terpakai untuk Rasulullah ﷺ sahaja. Maka tidak perlulah kita berpesan kepada isteri kita untuk tidak berkahwin jika kita sudah tiada lagi. Tambahan pula apabila kita sudah meninggal nanti siapa yang mengahwini isteri kita itu bukan lagi urusan kita dan kita pun sudah tidak terfikir lagi akan perkara itu. Ini kerana kita pada waktu itu sudah sibuk dengan alam akhirat yang sudah bermula untuk kita.

Maka biarkan sahaja dan tidak perlu pesan kepada isteri supaya jangan berkahwin lagi.  Biarlah isteri kita menjalani kehidupannya sendiri selepas kita tiada.

Memang seorang suami tidak suka sebenarnya kalau isterinya berkahwin lain. Namun begitu lelaki itu tidak dapat halang. Rasulullah ﷺ juga tentu cemburu kalau isterinya menikahi orang lain. Dalam kes Rasulullah ﷺ, Allah ‎ﷻ berikan kelebihan tersebut kepada baginda, isteri baginda pasti tidak akan menikahi sesiapa. Tetapi peraturan ini hanya eksklusif untuk baginda sahaja.

 

إِنَّ ذٰلِكُم كانَ عِندَ اللهِ عَظيمًا

Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah.

Allah ‎ﷻ mengingatkan lagi kepada umat Islam bahawa perkara ini adalah perkara yang amat penting dan hendaklah dijaga. Menikahi isteri Nabi ﷺ adalah satu dosa besar.

Begitu juga, menikahi isteri Nabi ﷺ setelah ketiadaan baginda akan menyebabkan hati baginda tersentuh. Maka kerana itu tidak boleh menyebabkan hati baginda sakit dengan menikahi isteri baginda setelah baginda tiada.

Bayangkan ada isteri Nabi Muhammad ﷺ yang masih muda apabila baginda wafat. Kalau isteri orang lain maka ada kemungkinan mereka itu dikahwini oleh orang lain juga tetapi dalam kes isteri Nabi ﷺ, ia tidak boleh dilakukan.

Selepas itu walaupun ada yang datang untuk belajar dengan mereka dan ada urusan dengan para isteri Nabi ﷺ, maka mereka hendaklah menjaga pergaulan mereka dan hendaklah berkomunikasi di balik dinding atau hijab sahaja.


 

Ayat 54:

إِن تُبدوا شَيئًا أَو تُخفوهُ فَإِنَّ اللهَ كانَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whether you reveal a thing or conceal it, indeed Allāh is ever, of all things, Knowing.

(MELAYU)

Jika kamu melahirkan sesuatu atau menyembunyikannya, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

إِن تُبدوا شَيئًا أَو تُخفوهُ

Jika kamu melahirkan sesuatu atau menyembunyikannya,

Ini adalah teguran kepada para sahabat yang ada menyimpan niat yang tidak baik atau kebencian terhadap Rasulullah ﷺ; atau ada perasaan hendak mengahwini para isteri Nabi ﷺ maka Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia tahu.

Kita pun tahu yang kadang-kadang ada perasaan yang jahat melintas di dalam fikiran kita. Mungkin kita nampak isteri orang lain dan terpikat dengannya. Dan kita sentiasa mesti melawan perasaan itu supaya kita tidak melakukan apa-apa perkara yang buruk.

Ada yang jahat dan meneruskan keinginan hatinya itu dengan menghubungi isteri kawannya secara senyap.  Kita pun selalu dengar bagaimana perkara ini pernah terjadi.

Dan ada yang simpan sahaja di dalam hati mereka tidak melakukan apa-apa. Inilah tindakan yang sepatutnya berlaku. Ini kerana kita tidak dapat mengawal hati kita daripada meminati seseorang tetapi kita boleh mengawal perbuatan kita.

 

فَإِنَّ اللهَ كانَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang sama ada kita simpan sahaja perasaan itu di dalam hati kita ataupun kita meluahkannya, Allah ‎ﷻ tetap tahu juga.

Tidak ada apa-apa yang tersembunyi daripada Allah ‎ﷻ. Maka jagalah apa yang dilakukan oleh hati kita.  Ingatlah yang Allah ‎ﷻ itu sedang memerhatikan sahaja apa yang difikirkan oleh kita.  Tidakkah kita malu jikalau isi hati kita itu dikeluarkan balik oleh Allah ‎ﷻ di khalayak ramai?

Satu perkara yang penting dijaga di dalam hati adalah tentang hukum-hukum Allah ‎ﷻ yang telah disebut. Jangan ada perasaan buruk terhadap hukum-hukum itu sampai ada perasaan ia tidak patut atau tidak adil, atau sudah tidak sesuai pada zaman sekarang. Harus diingatkan yang semua hukum Allah ‎ﷻ adalah adil dan patut.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s