Ayat 28: Sambungan tentang adab ke rumah orang.
فَإِن لَّم تَجِدوا فيها أَحَدًا فَلا تَدخُلوها حَتّىٰ يُؤذَنَ لَكُم ۖ وَإِن قيلَ لَكُمُ ارجِعوا فَارجِعوا ۖ هُوَ أَزكىٰ لَكُم ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if you do not find anyone therein, do not enter them until permission has been given you. And if it is said to you, “Go back,”¹ then go back; it is purer for you. And Allāh is Knowing of what you do.
- Or a similar expression showing that the occupants are not prepared to receive visitors (which should be respected).
(MELAYU)
Jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: “Kembali (saja)lah, maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
فَإِن لَّم تَجِدوا فيها أَحَدًا فَلا تَدخُلوها
Jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk ke dalamnya
Dan kalau kita telah berikan salam dan tidak ada orang menjawabnya, maka keluarlah atau pergilah dari situ. Jangan masuk pula tak tentu pasal. Malah, jangan dijenguk-jenguk melalui tingkap ataupun belahan pada dinding rumah. Jangan sampai periksa ke belakang rumah.
Malangnya, inilah perangai buruk orang kita, bila tiada jawapan salam, mulalah terjenguk-jenguk melalui tingkap atau celah-celah lubang dinding. Malah ada yang sanggup panjat pagar yang berkunci kerana nak ketuk pintu rumah juga.
Lebih teruk lagi, ada yang sampai pergi ke belakang rumah untuk mencari tuan rumah. Tentu ini tidak boleh kerana kalau dijenguk, entah kita ternampak perkara yang tidak sepatutnya, seperti aurat orang lain.
حَتّىٰ يُؤذَنَ لَكُم
sehinggalah kamu mendapat izin.
Janganlah kita memasuki sesuatu rumah itu tanpa mendapat izin walaupun kita telah mengenali orang di dalam rumah itu.
Dalam ayat ini disebut untuk meminta izin terlebih dahulu kemudian baru disebut tentang memberi salam. Sedangkan dari segi perbuatan, kita berikan salam dahulu dan kemudian barulah kita meminta izin untuk masuk. Ini adalah kerana didahulukan yang lebih penting kerana meminta izin itu wajib, sedangkan memberi salam itu adalah sunat sahaja.
Maka boleh sahaja kita berikan salam, beritahu nama kita dan tanya bolehkah kita masuk. Inilah prosedur yang paling tepat.
وَإِن قيلَ لَكُمُ ارجِعوا فَارجِعوا
Dan jika dikatakan kepadamu: “Kembali (saja)lah, maka hendaklah kamu kembali.
Dan ada kemungkinan orang-orang di dalam rumah itu tidak bersedia untuk menerima kita dan mereka menyuruh kita pergi maka hendaklah kita dengan rendah hati pergi dan jangan tanyakan soalan lagi. Jangan pula kita katakan: “Eh, kurang ajarnya..”
Jangan pula kita merasakan yang tuan rumah itu kurang ajar kerana kenalah kita sedar bahawa tentu ada sebabnya kenapa mereka tidak mahu kita berada di situ pada waktu itu. Tuan rumah mempunyai hak untuk tidak menerima kita jikalau keadaan tidak sesuai bagi mereka. Yang tahu sesuai atau tidak, adalah tuan rumah itu sendiri.
Jadi mungkin ada waktu yang kita dijemput ke rumahnya tetapi kita datang terlalu awal dan mungkin tuan rumah tidak bersedia lagi. Maka kalau dia menyuruh kita pergi maka hendaklah kita berlalu pergi sahaja. Jangan pula berkata: “Ni aku dah sampai ni, bagilah masuk…” Jangan begitu. Hormatilah tuan rumah.
هُوَ أَزكىٰ لَكُم
Itu lebih bersih bagimu
Itulah yang patut kita buat kerana itulah yang diajar oleh Allah ﷻ. Bila keadaan sudah sesuai bolehlah datang semula. Tidak akan ada masalah kalau masyarakat kita tahu dan faham hukum agama.
Janganlah pula kita paksa tuan rumah untuk bukakan pintu untuk kita. Jangan kita terus menunggu di depan pintu rumah itu sehingga dia bukakan pintu. Janganlah berbuat begitu.
Tetapi di dalam masa yang sama, tuan rumah juga hendaklah menjaga hak tetamu. Kalau tetamu sudah datang, maka janganlah dihalau mereka tanpa sebab yang munasabah. Mereka sudah susah-sudah datang ke rumah dan mereka ada hajat, maka sebolehnya kita cubalah penuhi. Lihatlah hadis ini:
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه katanya Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesiapa yang beriman dengan Allah ﷻ dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamu yang datang menziarahinya serta mengeratkan silaturrahim dengan semangat persaudaraan Islam. Sesiapa yang beriman dengan Allah ﷻ dan hari akhirat, hendaklah bercakap dengan perkataan yang baik dan manis didengar, atau pun berdiam sahaja dari bercakap perkara yang sia-sia.”(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
وَاللهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ
dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Allah ﷻ memandang apa yang kita lakukan. Allah ﷻ menilai segalanya yang kita lakukan. Maka jangan sangka ini adalah antara kita dan tuan rumah sahaja tetapi ingatlah yang Allah ﷻ juga melihat perbuatan kita itu.
Bagaimana pula kalau kita hendak mendapatkan ilmu dari seseorang ulama’? Dalam hal ini, adab yang tinggi adalah tunggu sehingga beliau keluar. Inilah yang dilakukan oleh Sayidina Abbas رضي الله عنه apabila hendak mendapatkan sesuatu hadis dari sahabat yang lain.
Begitu juga, Allah ﷻ telah menyentuh perkara ini dalam ayat yang lain iaitu Hujurat:5
وَلَو أَنَّهُم صَبَروا حَتّىٰ تَخرُجَ إِلَيهِم لَكانَ خَيرًا لَهُم
Dan kalau sekiranya mereka bersabar sampai kamu keluar menemui mereka sesungguhnya itu lebih baik bagi mereka,
Ayat 29: Ini adalah undang-undang yang seterusnya berkenaan rumah. Adakah semua tempat kita harus meminta izin untuk masuk?
لَّيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَدخُلوا بُيوتًا غَيرَ مَسكونَةٍ فيها مَتٰعٌ لَّكُم ۚ وَاللهُ يَعلَمُ ما تُبدونَ وَما تَكتُمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
There is no blame upon you for entering houses not inhabited in which there is convenience¹ for you. And Allāh knows what you reveal and what you conceal.
- Some benefit such as rest, shelter, commodities, one’s personal belongings, etc.
(MELAYU)
Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.
لَّيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَدخُلوا بُيوتًا غَيرَ مَسكونَةٍ فيها
Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami,
Tidak ada dosa untuk kita masuk ke bangunan-bangunan yang bukan tempat tinggal, seperti kedai, pejabat, masjid, hotel dan sebagainya, di mana kita tidak perlu hendak berikan salam dan mendapatkan kebenaran untuk masuk. Memang telah dibenarkan masuk kepada semua orang.
Ini kerana tempat-tempat itu bukan tempat tinggal kediaman manusia. Ia adalah tempat awam dan semua yang ada di situ tentulah bersedia kalau berjumpa dengan orang lain. Mereka tidaklah membuka aurat mereka di tempat sebegitu. Maka tidak perlulah untuk mencari ‘Pak Guard’ (Pegawai Keselamatan) hanya untuk meminta izin masuk pasar dan masjid pula.
Kebenaran ini juga termasuk kalau rumah itu mempunyai ruang tamu yang disediakan khas untuk pengunjung. Mungkin terdapat rumah yang besar yang tuannya memang sudah sediakan ruang kepada pelawat untuk menunggu sementara mendapat kebenaran untuk masuk. Dan ruang itu memang tidak ada orang dari ahli rumah itu yang keluar tanpa membuka aurat pun.
مَتٰعٌ لَّكُم
yang di dalamnya ada keperluanmu,
Kerana bangunan-bangunan itu ada مَتاعٌ iaitu ada kegunaan untuk kita kerana di situlah tempat manusia bekerja atau hendak membeli atau menyimpan barang dan sebagainya.
Apabila ayat tentang meminta izin untuk memasuki rumah ini diturunkan, maka Sayidina Abu Bakr رضي الله عنه bertanya Nabi ﷺ tentang kebiasaan peniaga yang sentiasa menumpang di rumah-rumah yang disediakan di perjalanan. Rumah-rumah itu tidak ada penghuninya. Maka kerana itu ayat ini diturunkan.
Tapi haruslah dilihat kepada undang-undang juga. Ada juga tempat awam yang memerlukan tiket untuk masuk. Maka kenalah dibelikan tiket terlebih dahulu. Jangan gunakan ayat ini secara umum sangat.
Sama juga dengan masjid yang luas itu. Memang kita boleh memasuki masjid tanpa kebenaran. Tetapi terdapat bilik tok siak, bilik imam dan sebagainya di situ. Maka janganlah kita sesuka hati redah masuk sahaja. Bukanlah kesemua ruang masjid itu kita boleh masuk begitu sahaja.
وَاللهُ يَعلَمُ ما تُبدونَ وَما تَكتُمونَ
dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.
Allah ﷻ mengetahui apa di dalam hati kita dan kerana itu Allah ﷻ tahu sama ada kita sengaja menggunakan alasan-alasan untuk masuk ke dalam sesuatu rumah itu dengan mengatakan yang rumah itu tidak ada orang tinggal dan sebagainya. Alasan sebegitu diberikan oleh mereka yang jahil sahaja dan tiada adab. Maka janganlah bagi alasan sebegitu.
Walaupun ayat ini mengenai adab memasuki rumah, tetapi boleh diaplikasikan dalam perkara lain. Sebagai contoh, sebagaimana kita tidak boleh mengganggu orang di rumahnya di waktu yang tidak sesuai, maka menelefon orang pun haruslah dilihat pada masa yang sesuai juga. Jangan ganggu orang ketika waktu tidur dan waktu solat. Haruslah bersikap prihatin dengan privasi orang lain.
Kalau terpaksa juga menelefon seseorang, maka selepas orang itu angkat terus tanya boleh bercakap ataupun tidak. Kerana kadangkala orang terpaksa angkat telefon yang berdering kerana takut ada kecemasan. Atau kerana sudah berbunyi maka dia angkat juga tetapi tidaklah dia bersedia untuk bersembang lama.
Begitu juga, kalau orang telefon, cubalah juga angkat telefon itu. Ini sama seperti orang datang ke rumah kita kerana ada hal, maka mungkin orang yang menelefon kita pun ada hal penting. Maka berilah masa kita kepada mereka juga.
Ayat 30: Arahan kepada orang mukmin. Ini untuk mengelak terjadinya perkara yang tidak elok.
قُل لِّلمُؤمِنينَ يَغُضّوا مِن أَبصٰرِهِم وَيَحفَظوا فُروجَهُم ۚ ذٰلِكَ أَزكىٰ لَهُم ۗ إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما يَصنَعونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Tell the believing men to reduce [some] of their vision¹ and guard their private parts.² That is purer for them. Indeed, Allāh is Acquainted with what they do.
- Looking only at what is lawful and averting their eyes from what is unlawful.
- From being seen and from unlawful acts.
(MELAYU)
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”.
قُل لِّلمُؤمِنينَ يَغُضّوا مِن أَبصٰرِهِم
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya,
Kalimah يَغُضّوا dari غ ض ض yang bermaksud mengurangkan, memendekkan, atau menurunkan sesuatu. Ia boleh digunakan untuk pandangan mata dan juga suara. Oleh itu haruslah rendahkan pandangan mata dari melihat perkara yang tidak patut dilihat. Maka jangan lihat perkara yang haram.
Kalau pandangan mata mereka melihat sesuatu yang diharamkan tanpa sengaja, hendaklah dia memalingkan pandangan matanya dengan segera darinya. Jangan terus dipandang tidak berkelip pula. Maklumlah sekarang memang susah untuk tidak terpandang perempuan tanpa aurat. Kalau ingin betul-betul menjaga dari tidak melihat perempuan tidak menutup aurat, kemungkinan besar bila berjalan kita akan terlanggar orang lain pula.
Tetapi kalau ternampak, janganlah terus ditenung atau dipandang untuk kali yang kedua – larikanlah pandangan kamu itu. Pandangan pertama itu tidak berdosa, tetapi kalau terus memandang buat kali kedua, maka itu yang berdosa – seperti yang disebut dalam satu hadis:
قَالَ أَبُو دَاوُدَ: حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ مُوسَى الفَزَاري، حَدَّثَنَا شَريك، عَنْ أَبِي رَبِيعَةَ الْإِيَادِيِّ، عَنْ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بُرَيْدة، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَلِيٍّ: “يَا عَلِيُّ، لَا تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النظرةَ، فَإِنَّ لَكَ الْأُولَى وَلَيْسَ لَكَ الْآخِرَةُ”
Abu Daud mengatakan, telah menceritakan kepada kami Isma’il ibnu Musa Al-Fazzari, telah menceritakan kepada kami Syarik, dari Abu Rabi’ah Al-Ayadi, dari Abdullah ibnu Buraidah, dari ayahnya yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepada sahabat Ali: Hai Ali, janganlah kamu mengikutkan suatu pandangan ke pandangan berikutnya, kerana sesungguhnya engkau hanya diperbolehkan menatap pandangan yang pertama, sedangkan pandangan yang berikutnya tidak boleh lagi bagi kamu.
Kalimah مُؤمِنينَ termasuk untuk lelaki dan perempuan juga (walaupun ia lafaz kepada lelaki). Maka janganlah kata hanya lelaki sahaja kena tundukkan pandangan kerana wanita pun harus menjaga mata mereka juga.
Memandang wanita ini hanya dibenarkan apabila perlu sahaja. Contohnya seperti untuk mengenalpasti identiti seseorang di imigresen. Dan juga apabila kita hendak menikah dengan seseorang, maka eloklah kalau kita lihat dahulu wajah wanita itu untuk melihat sama ada kita berkenan ataupun tidak.
Pandangan mata ini amat bahaya. Seperti kata pepatah: “Dari mata boleh turun ke hati”. Kalau kita tidak menjaga mata kita, maka akan ternampaklah kaum berlainan jenis yang boleh menyebabkan kita terangsang. Maka mungkin timbul keinginan-keinginan pelik dalam diri kita. Maka Allah ﷻ awal-awal lagi memerintahkan kita agar menjaga mata.
Malangnya, ada orang yang sudah menjadikan ‘profesion’ mereka duduk melepak di jalanan dan memerhatikan orang yang lalu lalang. Ini selalunya dilakukan oleh budak-budak muda yang akal masih tidak cukup lagi. Sudahlah mereka menakutkan orang yang lalu lalang, malah mereka kacau lagi, menegur wanita dan anak dara yang lalu dan mengganggu mereka. Nabi ﷺ sudah berpesan tentang perkara ini.
Di dalam kitab sahih disebutkan melalui Abu Sa’id رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَا بُدَّ لَنَا مِنْ مَجَالِسِنَا، نَتَحَدَّثُ فِيهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنْ أَبَيْتُمْ، فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حقَّه”. قَالُوا: وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “غَضُّ الْبَصَرِ، وكَفُّ الْأَذَى، وَرَدُّ السَّلَامِ، وَالْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ، وَالنَّهْيُ عَنِ الْمُنْكَرِ”
“Janganlah kalian duduk-duduk di (pinggir-pinggir) jalan.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ, kami perlu tempat untuk bercakap-cakap.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Jika kalian tetap ingin duduk-duduk di jalanan, maka berikanlah jalan akan haknya.” Mereka bertanya, “Apakah hak jalan itu, wahai Rasulullah ﷺ?” Rasulullah ﷺ bersabda, “Menahan pandangan mata, menahan diri untuk tidak mengganggu (orang yang lalu), menjawab salam, memerintahkan kepada kebajikan, dan mencegah kemungkaran.”
وَيَحفَظوا فُروجَهُم
dan memelihara kemaluannya;
Dan mestilah dijaga kemaluan daripada melakukan maksiat. Maknanya jauhkan diri dari zina. Maka hukum-hukum yang diberikan sebelum ini adalah penjagaan untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku iaitu berhati-hati untuk memasuki rumah orang, jaga pandangan mata dan lain-lain lagi, itu adalah supaya zina tidak terjadi.
Sebelum zina terjadi di dalam bentuk jimak, sudah ada zina-zina lain yang harus dijaga dari berlaku. Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan sebuah hadis melalui Abu Hurairah رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظّه مِنَ الزِّنَى، أدرَكَ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ. فَزنى الْعَيْنَيْنِ: النَّظَرُ. وَزِنَى اللِّسَانِ: النطقُ. وَزِنَى الْأُذُنَيْنِ: الِاسْتِمَاعُ. وَزِنَى الْيَدَيْنِ: الْبَطْشُ. وَزِنَى الرِّجْلَيْنِ: الْخَطْيُ. وَالنَّفْسُ تمَنّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّق ذَلِكَ أَوْ يُكذبه”.
Telah ditetapkan atas anak Adam bahagian dari perbuatan zina yang pasti dialaminya: ‘zina mata’ adalah pandangan mata, ‘zina lisan’ adalah ucapan, ‘zina kedua telinga’ adalah pendengaran, ‘zina kedua tangan’ ialah memukul, dan ‘zina kedua kaki’ ialah melangkah, dan hawa nafsu yang berharap dan menginginkannya, sedangkan kemaluanlah yang membenarkannya atau mendustakannya.
Jadi sebelum zina kemaluan itu berlaku, zina-zina yang lain hendaklah dijaga dari berlaku. Maka dari hadis di atas, bukanlah dukhul (memasukkan zakar ke dalam faraj) sahaja yang dikira sebagai zina, tetapi perlakuan sebelum itu lagi sudah dikira sebagai zina. Cuma yang ada hukum hudud adalah zina dukhul sahaja.
Maka janganlah kita pandang ringan zina-zina yang lain. Jangan kita katakan: “Alaaahhh, aku tengok jer, bukan buat apa pun…..”
ذٰلِكَ أَزكىٰ لَهُم
yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka,
Amat penting untuk pandangan mata kerana terdapat kaitan rapat antara pandangan mata dan kemaluan. Kalau tidak dijaga pandangan, maka akan timbul masalah pada hati yang boleh membawa kepada perbuatan zina.
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَتَّابٌ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْمُبَارَكِ، أَخْبَرَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ، عَنْ عُبَيْد اللَّهِ بْنِ زَحْر، عَنْ عَلِيِّ بْنِ يَزِيدَ، عَنِ الْقَاسِمِ، عَنْ أَبِي أُمَامَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَنْظُرُ إِلَى مَحَاسِنِ امْرَأَةٍ [أَوَّلَ مَرّة] ثُمَّ يَغُضّ بَصَرَهُ، إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ عِبَادَةً يَجِدُ حَلَاوَتَهَا”
Imam Ahmad رحم الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Attab, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnul Mubarak, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Ayyub, dari Ubaidillah ibnu Zuhar, dari Ali ibnu Zaid, dari Al-Qasim, dari Abu Umamah, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda: Tiada seorang lelaki muslim pun yang melihat kecantikan seorang wanita, kemudian dia menundukkan pandangan matanya, melainkan Allah ﷻ akan menggantinya dengan (pahala) suatu ibadah yang dia rasakan kemanisannya (kenikmatannya).
Menjaga pandangan mata dari membuat dosa akan menyebabkan kita dapat berasa nikmat untuk beribadat. Kita akan berasa nikmat dan seronok sahaja untuk solat, baca Qur’an dan lain-lain.
Maka, kalau kita rasa kita tidak mendapat kemanisan dalam ibadat kita, atau berasa berat dan malas, itu mungkin petanda yang kita tidak menjaga pandangan mata kita agaknya. Maka selepas ini, berusahalah untuk menjaganya.
إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما يَصنَعونَ
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”.
Allah ﷻ mengingatkan yang Dia tahu apa sahaja yang kita perhatikan dan lakukan, walaupun kita tengok secara sembunyi-sembunyi. Ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam firmanNya:
{يَعْلَمُ خَائِنَةَ الأعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ}
Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati. (Al-Mu’min: 19)
Allah ﷻ mengetahui semua tentang apa yang manusia lakukan. Allah ﷻ menggunakan kalimah يَصنَعونَ yang bermaksud ‘bina, buat, usahakan’ (seperti usahakan perusahaan kilang dan sebagainya). Ini adalah kerana kebanyakan perbuatan manusia ini ada usahanya, bukannya tanpa sengaja dilakukan. Seperti pembuatan kereta, mesti ada usaha kan?
Maka Allah ﷻ ingin beritahu yang Dia tahu apa rancangan kita. Mula-mula hanya lihat sahaja wanita itu (dan mula terpikat) dan kemudian mulalah membuat perancangan untuk mengurat wanita itu. Kerana untuk mengurat pun perlukan perancangan, bukan? Mulalah difikirkan dan buat rancangan sedikit demi sedikit.
Mungkin mula-mulanya diminta alamat FB, no telefon dan sebagainya. Kemudian mula tegur-tegur sikit demi sikit dalam WhatsApp dan sebagainya lagi. Rancangan itu semua syaitan akan bisikkan. Allah ﷻ berfirman dalam ayat ini yang Dia tahu segala rancangan dan perbuatan rancangan itu, maka janganlah tipu. Semasa membuat rancangan itu, ketahuilah yang Allah ﷻ mendengar juga rancangan kita itu.
Kadang-kadang wanita tidak tahu tentang perkara ini dan kerana itu mereka senang ditipu. Wanita memang menarik perhatian lelaki dan ada jenis lelaki senang tertarik kepada wanita. Nampak sahaja perempuan ‘dahi licin’, mereka akan jalankan rancangan mereka. Bila sudah mendapat perhatian, entah apalah yang dilakukan oleh lelaki itu – bergantung kepada niatnya.
Maka Allah ﷻ menyuruh kita tundukkan mata kita kerana perkara ini boleh membawa kepada perkara yang tidak elok, kerana semuanya berasal dari mata, bukan? Malangnya zaman sekarang perkara ini lagi senang terjadi kerana tidak perlu lihat di khalayak ramai pun kerana ramai sudah ada FB.
Maka senang sahaja lelaki untuk melihat wanita-wanita yang banyak meletakkan gambar mereka di FB itu untuk tatapan semua orang. Boleh ditenung lama-lama. Kalau tenung di jalanan tentu nampak pelik dan orang marah. Tetapi kalau tenung gambar di medsos, tidak ada orang yang larang, bukan?
Tidaklah kita menyalahkan FB itu sepenuhnya kerana ia boleh digunakan untuk berdakwah dan menyambung silaturahim dengan keluarga dan kenalan kita, tetapi kita haruslah menjaga perhubungan di dalamnya dan janganlah kita meletakkan gambar-gambar yang boleh menyebabkan fitnah.
Maka tidaklah perlu untuk “post” gambar-gambar yang tidak perlu untuk tatapan semua dan janganlah kita sibuk untuk membuang masa melayari gambar-gambar wanita cantik di FB lagi.
Ada satu lagi hadis dari Rasulullah ﷺ:
قَالَ الطَّبَرَانِيُّ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ زُهَيْرٍ التُّسْتُري قَالَ: قَرَأْنَا عَلَى مُحَمَّدِ بْنِ حَفْصِ بْنِ عُمَرَ الضَّرِيرِ الْمُقْرِئِ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي بُكَيْر، حَدَّثَنَا هُرَيْم بْنُ سُفْيَانَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ إِسْحَاقَ، عَنِ الْقَاسِمُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ النَّظَرَ سَهْمٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيسَ مَسْمُومٌ، مَنْ تَرَكَهُ مَخَافَتِي، أَبْدَلْتُهُ إِيمَانًا يَجِدُ حَلَاوَتَهُ فِي قَلْبِهِ”
Imam Tabrani رحم الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Zuhair At-Tusturi yang mengatakan, “Kami belajar pada Muhammad ibnu Hafs ibnu Umar Ad-Darir Al-Muqri yang menceritakan bahwa telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Abu Bukair, telah menceritakan kepada kami Harim ibnu Sufyan, dari Abdur Rahman ibnu Ishaq, dari Al-Qasim ibnu Abdur Rahman, dari ayahnya, dari Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Sesungguhnya pandangan mata itu adalah sepucuk anak panah iblis yang beracun. Barang siapa yang menahannya kerana takut kepadaKu, nescaya Aku menggantinya dengan iman yang kemanisannya dia rasakan dalam hatinya.”
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 26 Mei 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
One thought on “Tafsir Surah an-Nur Ayat 28 – 30 (Jaga mata)”