Tafsir Surah an-Nur Ayat 24 – 27 (Jangan masuk rumah orang melulu)

Ayat 24: Balasan azab akhirat kepada mereka yang menuduh tuduhan palsu.

يَومَ تَشهَدُ عَلَيهِم أَلسِنَتُهُم وَأَيديهِم وَأَرجُلُهُم بِما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On a Day when their tongues, their hands and their feet will bear witness against them as to what they used to do.

(MELAYU)

Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

 

يَومَ تَشهَدُ عَلَيهِم أَلسِنَتُهُم وَأَيديهِم وَأَرجُلُهُم

Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka

Takutlah pada hari akhirat itu di mana kaki, tangan dan lidah kita akan menjadi saksi ke atas diri kita sendiri. Waktu itu tidak boleh untuk berhelah lagi. Kaki akan berkata: “Aku lah yang pergi ke rumah orang lain untuk bawa cerita tidak benar itu….”; tangan pula akan berkata: “Akulah yang menulis WhatsApp ….”; Lidah akan berkata: “Aku inilah yang bercakap menyampaikan berita palsu itu….”. Waktu itu memang tiada harapan lagi untuk menolak atau menafikan apa yang semua anggota itu katakan.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mengajar bahawa kita sekarang menguasai tubuh badan kita di mana kita boleh mengawal apa yang kita cakap, apa yang tangan kita lakukan dan ke mana arah kaki kita melangkah. Juga kita boleh mengawal apa yang dikatakan oleh lidah kita.

Tetapi di hari akhirat nanti penguasaan kita terhadap tubuh badan kita akan ditarik di mana lidah akan berkata apa yang perlu dikatakan, tangan akan memberitahu apa yang telah dilakukan oleh tuannya, dan kaki akan beritahu ke manakah tuannya telah melangkah.

Lidah akan menjadi saksi apa yang tuannya menyuruhnya kata, dan tangan akan mengatakan yang tuannya menyuruhnya buat begitu dan kaki pula akan berkata tuannya menyuruhnya melangkah ke sana dan ke sini.

Maka semasa kita masih mempunyai kuasa untuk mengawal perlakuan tubuh badan kita, maka haruslah kita gunakan untuk kebaikan dan bukannya untuk keburukan. Janganlah kita menyesal di masa kita tidak dapat mengawal lagi tubuh badan kita.

Manusia yang mengatakan perkara tidak baik tentang A’isyah (walaupun mereka itu mukmin), melakukan perkara itu ketika tidak dibersihkan lagi nama beliau. Kemudian mereka telah bertaubat setelah nama A’isyah رضي الله عنها dibersihkan. Tapi bagaimana pula kalau ada yang mengutuk A’isyah رضي الله عنها walaupun Allah sudah membersihkan namanya dalam Qur’an?

Malangnya, inilah yang dilakukan oleh golongan yang mengaku Muslim, tapi sebenarnya tidak. Mereka itu seperti Syiah yang sedang mengembangkan fahaman sesat mereka termasuk di negara ini. Mereka mengutuk dan menghina A’isyah sampai sanggup mengatakan beliau telah berzina. Bagaimana mungkin ada dari kalangan orang kita masih lagi terima fahaman Syiah yang sesat dan kufur ini?

Hanya kerana jahil agama sendiri. Begitulah kalau jahil senang sahaja ditipu oleh syaitan. Kalau mereka faham apakah yang Allah ceritakan tentang A’isyah dalam Qur’an ini, maka tentu mereka tidak berani bersekongkol dengan Syiah yang mengatakan A’isyah رضي الله عنها seorang pelacur!

Dalam ayat Yaasin:65 ada disebut yang mulut mereka yang berdosa akan ditutup. Tapi dalam ayat ini disebut pula yang lidah mereka akan bersaksi. Tiada percanggahan antara dua ayat ini. Ia memberi maksud yang manusia tidak mempunyai kuasa lagi terhadap lidah mereka.

Kalau di dunia, ramai manusia yang menipu dan tidak boleh ditutup mulut mereka. Tapi di akhirat kelak, mereka tidak ada kuasa lagi terhadap fizikal mereka kerana semuanya dalam kuasa Allah. Hanya di dunia sahaja Allah beri sedikit kuasa untuk manusia menguasai fizikal mereka, tapi tidak di akhirat kelak.

 

بِما كانوا يَعمَلونَ

terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

Waktu sekarang, lidah, tangan dan kaki tidak mempunyai pilihan tetapi hanya taat kepada tuannya dan kerana itu mereka tidak bersalah dan mereka mempertahankan diri mereka dengan membuka segala rahsia perbuatan tuannya di akhirat nanti.

Waktu di akhirat nanti kita sudah mengetahui bahawa lidah, tangan dan kaki akan menjadi musuh kepada tuannya. Itu jikalau tuannya telah menggunakan lidah, tangan dan kakinya itu untuk melakukan perkara yang buruk dan jikalau tuannya menggunakan mereka untuk kebaikan, maka tangan dan kaki akan menjadi kawan dan saksi baik kepada tuannya.

Nanti di hari akhirat, ada manusia yang meminta saksi mereka, dan Allah ‎ﷻ akan menjadikan anggota mereka sendiri sebagai saksi.

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ أَيْضًا: حَدَّثَنَا أَبُو شَيْبَةَ إِبْرَاهِيمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بن أبي شيبة الكوفي، حدثنا مِنْجَاب بْنُ الْحَارِثِ التَّمِيمِيُّ حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ الأسَدِيَ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ عُبَيْدٍ المُكْتب، عَنْ فُضَيل بْنِ عَمْرٍو الفُقَيمي، عَنِ الشَّعْبِيِّ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضْحِكَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجذُه، ثُمَّ قَالَ: “أَتُدْرُونَ مِمَّ أَضْحَكُ؟ ” قُلْنَا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “مِنْ مُجَادَلَةِ الْعَبْدِ رَبَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَقُولُ: يَا رَبِّ، أَلَمْ تُجِرْني مِنَ الظُّلْمِ؟ فَيَقُولُ: بَلَى. فَيَقُولُ: لَا أُجِيزُ عليَّ شَاهِدًا إِلَّا مِنْ نَفْسِي. فَيَقُولُ: كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ شَهِيدًا، وَبِالْكِرَامِ عَلَيْكَ شُهُودًا فَيُخْتَمُ عَلَى فِيهِ، وَيُقَالُ لِأَرْكَانِهِ: انْطِقِي فَتَنْطِقُ بِعَمَلِهِ، ثُمَّ يُخَلِّي بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْكَلَامِ، فَيَقُولُ: بُعدًا لَكُنّ وسُحْقًا، فعنكُنَّ كنتُ أُنَاضِلُ”.

Ibnu Abu Hatim رضي الله عنه mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Syaibah Ibrahim ibnu Abdullah ibnu Abu Syaibah Al-Kufi, telah menceritakan kepada kami Minjab ibnul Haris At-Tamimi, telah menceritakan kepada kami Abu Amir Al-Asadi, telah menceritakan kepada kami Sufyan ibnu Ubaidul Maktab, dari Fudail ibnu Amr Al-Faqimi, dari Asy-Sya’bi dari Anas ibnu Malik yang mengatakan bahawa ketika kami berada di rumah Nabi ﷺ, tiba-tiba baginda tertawa sehingga gigi serinya kelihatan, kemudian baginda bersabda: “Tahukah kalian mengapa aku tertawa?” Kami menjawab, “Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda ﷺ bersabda, “Kerana perdebatan seorang hamba kepada Tuhannya; dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, bukankah Engkau melindungi diriku dari kezaliman?’ Allah ‎ﷻ berfirman, ‘Aku tidak memperkenankan seorang saksi pun kecuali dari pihak-Ku. ‘Allah ‎ﷻ berfirman, “Cukuplah hari ini engkau sebagai saksi terhadap dirimu dan juga para malaikat yang mulia-mulia.” Maka dikuncilah mulutnya, lalu dikatakan kepada seluruh anggota tubuh si hamba itu, ‘Berbicaralah kamu. ‘Maka seluruh anggota tubuh si hamba itu membicarakan tentang amal perbuatan­nya. Kemudian Allah ‎ﷻ membiarkannya berbicara kembali, maka si hamba itu berkata (kepada seluruh anggota tubuhnya), ‘Celakalah kalian dan binasalah kalian, padahal aku berjuang untuk kalian’.”


 

Ayat 25:

يَومَئِذٍ يُوَفّيهِمُ اللهُ دينَهُمُ الحَقَّ وَيَعلَمونَ أَنَّ اللهَ هُوَ الحَقُّ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Day, Allāh will pay them in full their true [i.e., deserved] recompense, and they will know that it is Allāh who is the manifest Truth [i.e., perfect in justice].

(MELAYU)

Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahawa Allah-lah yang Benar, lagi Yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).

 

يَومَئِذٍ يُوَفّيهِمُ اللهُ دينَهُمُ الحَقَّ

Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut yang semestinya,

Pada hari akhirat nanti Allah ‎ﷻ akan membalas segala perbuatan manusia dengan penuh dan dengan adil. Kalimah deen di dalam ayat ini bermaksud ‘pembalasan’. Dan balasan itu akan sempurna di mana tidak ada yang tidak dibalas. Segala kebaikan akan dibalas berlebihan dari perbuatan; dan dosa pun akan dibalas kalau Allah ‎ﷻ tidak mengampunkannya.

Allah ‎ﷻ hanya akan membalas setimpal sahaja dengan apa yang makhluk lakukan. Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim dan Allah ‎ﷻ tidak akan zalim. Kalau di dunia, mungkin kita dituduh dan dihukum atas kesalahan yang kita tidak pernah lakukan; tetapi di akhirat, ini tidak akan berlaku kerana Allah ‎ﷻ mengetahui segala-galanya.

 

وَيَعلَمونَ أَنَّ اللهَ هُوَ الحَقُّ المُبينُ

dan tahulah mereka bahawa Allah-lah yang Benar, lagi Yang menjelaskan

Dan pada hari itu setiap manusia akan tahu betapa benarnya Allah ‎ﷻ. Tiada siapa yang akan berkata bahawa apa yang Allah ‎ﷻ lakukan itu tidak adil.


 

Ayat 26: Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa isteri-isteri Nabi  ﷺ itu adalah orang yang baik-baik, maka kerana itulah mereka layak untuk menjadi isteri kepada baginda. Maka tidak patut dituduh mereka dengan tuduhan yang tidak betul.

الخَبيثٰتُ لِلخَبيثينَ وَالخَبيثونَ لِلخَبيثٰتِ ۖ وَالطَّيِّبٰتُ لِلطَّيِّبينَ وَالطَّيِّبونَ لِلطَّيِّبٰتِ ۚ أُولٰئِكَ مُبَرَّءونَ مِمّا يَقولونَ ۖ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Evil words are for evil men, and evil men are [subjected] to evil words. And good words are for good men, and good men are [an object] of good words.¹ Those [good people] are declared innocent of what they [i.e., slanderers] say. For them is forgiveness and noble provision.

  • Another accepted interpretation is “Evil women are for evil men, and evil men are for evil women. And good women are for good men, and good men are for good women.”

(MELAYU)

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).

 

الخَبيثٰتُ لِلخَبيثينَ

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji,

Inilah tabiat alam ini. Wanita yang bertabiat buruk selalunya untuk lelaki yang bertabiat buruk juga. Mereka akan tertarik sesama sendiri dan kerana itu mereka akan berpasangan.

 

وَالخَبيثونَ لِلخَبيثٰتِ

dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),

Dan lelaki yang keji selalunya akan digandingkan dengan wanita yang keji juga. Lelaki yang keji tentu akan mencari perempuan yang sama sifat dengannya juga.

Maka, tidak mungkin seorang yang baik sepanjang hidupnya boleh tiba-tiba menjadi penzina pula? Tidak mungkin seorang isteri atau seorang suami yang baik tidak perasan akan perbuatan pasangannya? Maka untuk menuduh seseorang dengan tuduhan zina, mestilah tengok sejarah hidupnya.

 

وَالطَّيِّبٰتُ لِلطَّيِّبينَ وَالطَّيِّبونَ لِلطَّيِّبٰتِ

dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).

Begitulah yang sepatutnya di mana wanita baik untuk lelaki yang baik dan wanita keji adalah untuk lelaki yang keji. Maka, oleh kerana Rasulullah ﷺ itu adalah seorang yang baik dan mulia, maka tentulah isteri-isteri baginda adalah yang baik-baik juga.

Walaupun kita tahu yang isteri Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Luth عليه السلام tidak beriman, tetapi kita harus tahu yang mereka tidak pernah melakukan perbuatan keji seperti zina. Kerana ia tidak layak dilakukan oleh isteri para Nabi dan Allah ‎ﷻ akan menghalang perkara itu dari berlaku.

Ini juga menolak tohmahan keji Syiah yang mengatakan A’isyah رضي الله عنها dan Habsah رضي الله عنها itu kafir dan mereka menyembunyikan kekafiran mereka. Syiah mengatakan A’isyah رضي الله عنها dan Habsah رضي الله عنهاlah yang membunuh Nabi Muhammad ﷺ! Amat teruk sekali kata-kata mereka itu dan mereka telah melanggar ayat ini. Seolah-olah mereka berkata Allah ‎ﷻ telah tersalah pilih memberikan isteri kepada baginda.

Satu lagi tafsir bagi ayat ini: Ibnu Abbas رضي الله عنه mengatakan bahawa perkataan yang keji hanyalah layak dilemparkan kepada lelaki yang berwatak keji, dan lelaki yang keji hanyalah layak menjadi bahan perbicaraan perkataan yang keji. Perkataan yang baik-baik hanyalah layak ditujukan kepada lelaki yang baik-baik, dan lelaki yang baik-baik hanyalah layak menjadi bahan perbicaraan perkataan yang baik-baik.

Ada satu lagi tafsir yang kita harus ketengahkan. Mungkin timbul persoalan: kalau wanita baik bagi lelaki baik dan wanita keji bagi lelaki keji, ini mungkin tidak terjadi dalam realiti kehidupan kita. Kerana kita biasa melihat terdapat suami yang baik, tetapi isterinya keji dan ada isteri yang baik, tetapi isterinya pula yang keji. Maka ada yang berkata ayat ini tidak benar. Ini adalah tanggapan yang bahaya. Tidak mungkin Qur’an yang salah pula?

Maka ayat ini bukan hanya hendak menceritakan realiti, tetapi hendak memberitahu kita yang kalau kita baik, maka haruslah mencari isteri yang baik untuk diri kita. Maka kita haruslah memilih isteri kita.

Begitu juga bagi wanita, jangan terus berkahwin sahaja, tetapi haruslah ada usaha untuk mengenali bakal suami. Maka wali haruslah memeriksa bakal suami kepada anaknya/adiknya. Haruslah pergi periksa, siasat dan tanyakan terlebih dahulu sama ada orang itu baik atau pun tidak.

Tafsir berkenaan ini boleh dibaca lanjut di sini.

 

أُولٰئِكَ مُبَرَّءونَ مِمّا يَقولونَ

Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu).

Ayat ini sebagai ayat pembersihan kepada Aisyah رضي الله عنها dan juga Sofwan رضي الله عنه dari tuduhan zina itu. Mereka adalah insan-insan  yang baik.

Dan kepada orang lain di mana-mana zaman pun, mereka akan dibersihkan dari tuduhan yang tidak benar. Sama ada di dunia ataupun di akhirat.

 

لَهُم مَّغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia

Mereka tidak bersalah dan mereka akan mendapat balasan baik atas kesusahan mereka ini. Kerana itulah sesiapa yang terlibat dalam hal ini ada yang akan mendapat dosa dan ada yang mendapat pahala. Yang menuduh akan mendapat dosa manakala mereka yang mendapat kesusahan kerana tuduhan ini pula akan mendapat pahala.

Ini bermaksud pahala yang banyak akan diberikan kepada mereka yang menerima kesusahan seperti di dalam kes A’isyah رضي الله عنها itu. Ini kerana kisah mereka ada di dalam Qur’an dan setiap kali manusia belajar tentang perkara ini, mereka mendapat pahala.

‘Rezeki’ juga bermaksud ‘syurga’. Maka ayat ini memberikan isyarat yang semua isteri Rasulullah ﷺ akan memasuki syurga.

Sekian kisah tentang tuduhan palsu kepada Aisyah رضي الله عنها. Habis Ruku’ 3 dari 9 ruku’ di dalam surah ini.


 

Ayat 27: Sekarang kita masuk kepada perkara yang baru di mana Allah ‎ﷻ mengajar kita cara bagaimana untuk melawat rumah orang lain. Allah ‎ﷻ mengajar undang-undang sebegini supaya perkara-perkara buruk yang disebut di dalam ayat-ayat sebelum ini dapat dielakkan. Iaitu penzinaan dan perkara-perkara yang dapat menjatuhkan maruah.

Terdapat tujuh (7) undang-undang dan adab di dalam Islam yang akan disebutkan selepas ini. Perkara ini penting untuk dipelajari dan diajar kepada anak dan isteri supaya mereka dapat menjaga perkara ini di dalam kehidupan seharian.

Islam bukan hanya ingin menghukum selepas kejadian keji berlaku, tetapi Islam mengajar bagaimana untuk mengelak perkara itu terjadi dari awal lagi. Dan ayat ini adalah salah satu darinya.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَدخُلوا بُيوتًا غَيرَ بُيوتِكُم حَتّىٰ تَستَأنِسوا وَتُسَلِّموا عَلىٰ أَهلِها ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not enter houses other than your own houses until you ascertain welcome and greet¹ their inhabitants. That is best for you; perhaps you will be reminded [i.e., advised].

  • By the words “As-salāmu ‘alaykum” (“Peace be upon you”).

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَدخُلوا بُيوتًا غَيرَ بُيوتِكُم

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu 

Jangan terus memasuki ke dalam rumah orang lain. Jangan lakukannya walaupun kita nampak pintunya terbuka. Jangan buat seperti rumah sendiri pula. Ini dipanggil isti’zhan (meminta izin).

Ini adalah kerana hendak menjaga maruah wanita-wanita yang berada di dalam rumah itu kerana kemungkinan mereka di dalam keadaan tidak menutup aurat dengan sempurna. Rumahlah tempat selamat dan selesa untuk mereka, maka tidaklah sampai mesti menjaga aurat mereka di dalam rumah sendiri.

Dan kerana itu, jikalau kita terus memasuki begitu sahaja maka tentulah ini akan mengganggu mereka. Tentu kelam kabut mereka untuk lari ke dalam bilik atau kelam kabut mencari tudung untuk dipakai. Atau tidak sempat untuk menutup aurat, lelaki yang masuk sudah nampak aurat yang amat dijaga oleh wanita.

Maka kalau masuk tanpa kebenaran, itu adalah perkara yang buruk. Kemungkinan besar akan ternampak aurat mereka dan menimbulkan rangsangan. Kita bimbang mungkin selepas itu dia tidak dapat hendak melupakan apa yang dia nampak dan dia akan mencari peluang lain pula untuk melihat lagi dan lagi. Maka haruslah dijaga hukum dan adab ini. Jangan kita ambil mudah sahaja.

Rumah adalah tempat istirehat kita, satu tempat kita boleh berbuat apa yang kita suka. Maka tentunya kita tidak suka kalau orang tiba-tiba masuk dan mengganggu kita, bukan? Maka kalau kita tidak suka diganggu, maka janganlah kita ganggu orang.

Begitu juga jikalau di dalam rumah kita dan terdapat rakan-rakan isteri kita, maka kita haruslah berikan ruang kepada mereka untuk bersenang-lenang di dalam rumah kita dan bolehlah kita pergi ke tempat lain. Mungkin ada kawan-kawan isteri kita hendak melepak di rumah dan apabila mereka selesa, bolehlah mereka membuka tudung mereka dan relaks sahaja. Maka tidak perlulah kita berada di rumah waktu itu.

Memang itu rumah kita tetapi kalau kita tahu ada orang lain, maka kita berikan ruang kepada mereka. Pergilah ke tempat lain dan apabila ingin memasuki rumah sendiri pun, hendaklah diperiksa sama ada mereka ada lagi ataupun tidak.

Lagi satu, rumah adalah tempat rahsia kita. Mungkin ada perkara yang kita tidak mahu orang lain tahu apa yang kita lakukan. Tidak kiralah apa perkara tersebut, sama ada baik ataupun tidak. Walaupun ia perkara yang tidak baik, tetapi kita sebagai umat Islam tidak dibenarkan untuk membuka aib orang lain yang dilakukan di rumahnya sendiri. Maka jangan terus memasuki rumah orang lain tanpa meminta kebenaran.

Maka, kalau lelaki melawat lelaki, atau perempuan melawat rumah yang ada orang perempuan sahaja, jangan disangka boleh terus masuk sahaja. Ia bukan tentang melihat aurat sahaja, tetapi pelbagai lagi perkara di dalam rumah itu yang tidak patut kita lihat. Maka kerana itu para sahabiah wanita, apabila mereka melawat rumah A’isyah رضي الله عنها, mereka tetap memberikan salam dan hanya masuk apabila dibenarkan oleh A’isyah رضي الله عنها.

 

حَتّىٰ تَستَأنِسوا وَتُسَلِّموا عَلىٰ أَهلِها

sehingga meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.

Maka sebelum kita memasuki rumah orang lain, pastikan yang ahli di dalam rumah itu sedar tentang kedatangan kita. Berilah salam sebelum masuk. Jangan terus terjah sahaja.

Pada zaman Jahiliyah dulu, mereka biasa masuk sahaja ke rumah orang lain tanpa diberitahu, tanpa diberi salam. Maka Islam mengubah perkara ini. Islam mengajar adab yang baik bagaimana untuk ke dalam rumah orang lain.

Kalimah تَستَأنِسوا diambil dari أ ن س yang darinya dijadikan kalimah ‘insan’. Ia bermaksud ‘senang’, ‘suka’. Oleh itu kalimah تَستَأنِس bukan sahaja bermaksud meminta kebenaran dan beritahu kedatangan kita, tetapi juga bermaksud mereka ‘senang’ dengan kedatangan kita, redha dengan kedatangan kita.

Maka kita boleh beritahu kedatangan kita dengan menggunakan bunyi, yang bermaksud kita boleh memberitahu kedatangan kita dengan berdehem, ketuk pintu dan sebagainya. Sebaiknya kita berilah salam kerana ini yang telah diajar dalam agama.

Seseorang yang hendak memasuki rumah orang lain dianjurkan meminta izin sebanyak tiga (3) kali. Bila diizinkan, maka dia boleh masuk; dan bila tidak diizinkan, hendaklah dia pergi.

Di dalam satu hadis yang sahih telah disebutkan bahawa Abu Musa pernah meminta izin untuk masuk ke dalam rumah Umar sebanyak tiga (3) kali, tetapi tidak diizinkan baginya (Umar tidak dengar), maka dia berlalu pergi. Sesudah itu Umar berkata, “Tidakkah tadi saya mendengar suara Abdullah ibnu Qais (nama asli Abu Musa) meminta izin untuk masuk?” Maka Umar berkata, “Izinkanlah dia masuk.” Mereka mencarinya, tetapi dia telah pergi. Sesudah itu Abu Musa  kembali dan Umar berkata, “Mengapa kamu tadi pulang?” Abu Musa menjawab, “Saya telah meminta izin masuk untuk menemuimu sebanyak tiga kali, tetapi masih belum juga diizinkan bagiku. Dan sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

“إِذَا اسْتَأْذَنَ أَحَدُكُمْ ثَلَاثًا، فَلَمْ يُؤْذَنْ لَهُ، فَلْيَنْصَرِفْ”

‘Apabila seseorang di antara kalian meminta izin sebanyak tiga kali, lalu masih juga belum diizinkan baginya, maka hendaklah dia kembali’.”

Kemudian perlu diketahui bahawa orang yang meminta izin untuk masuk ke dalam rumah seseorang dianjurkan agar jangan berdiri di tengah-tengah pintu sehingga berhadapan dengan pintu. Hendaklah dia berdiri agak menyimpang baik ke arah kanan pintu atau ke sebelah kirinya.

Ini adalah kerana kalau kita berdiri di tengah pintu dan ahli rumah itu membukanya, entah-entah kita boleh nampak ke dalam rumah itu pula dan ternampak perkara yang kita tidak sepatutnya. Ini boleh berlaku apabila tuan rumah terus membuka pintu rumah itu. Demikian itu berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud رضي الله عنه.

Disebutkan bahawa telah menceritakan kepada kami Mu’ammal ibnul Fadl Al-Harrani, lalu disebutkan perawi-perawi lainnya. Mereka mengatakan, telah menceritakan kepada kami Baqiyyah, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdur Rahman, dari Abdullah ibnu Bisyr yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ apabila mendatangi pintu rumah suatu kaum, baginda tidak pernah menghadapkan dirinya ke arah pintu, tetapi dari sebelah kanan atau sebelah kirinya, lalu mengucapkan, “Assalamu ‘alaikum.” Demikian itu kerana di masa itu pintu-pintu rumah tidak memakai kain penutup.

Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Daud رضي الله عنه secara tunggal.

Dalam hadis yang lain, Abu Daud رضي الله عنه menyampaikan,

Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar ibnu Abu Syaibah, telah menceritakan kepada kami Hafs, dari Al-A’masy, dari Talhah, dari Hazil yang menceritakan bahawa seorang lelaki datang; Usman mengatakan bahawa dia adalah Sa’d. Lalu Sa’d berdiri di hadapan pintu rumah Nabi ﷺ seraya meminta izin untuk masuk. Usman (perawi) mengatakan bahawa Sa’d berdiri menghadap ke arah pintu, maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya seraya berisyarat, “Beginilah caranya, minggirlah dari pintu, sesungguhnya meminta izin itu tiada diperbolehkan melihat.”

Tetapi malangnya ramai dari kalangan kita tidak berhati-hati dengan perkara ini dan kadang-kadang masuk ke dalam rumah orang tanpa memberitahu atau mendapat kebenaran tuan rumah. Ini adalah kerana mereka tidak tahu tentang ayat ini yang sudah lama ada di dalam Qur’an.

Kadangkala terjadi di dalam masyarakat kita, bila hendak pergi ke rumah orang, bila berikan salam dan tidak mendapat jawapan, mulalah terjenguk-jenguk melalui tingkap, atau lubang rumah untuk tengok siapa yang ada di dalam rumah. Ini adalah perkara yang amat buruk!

Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar. Mungkin kerana sudah biasa dengan tuan rumah, maka mereka melulu sahaja masuk dan berkata: “Tak mengapa… aku dah biasa dah masuk rumah ni….”. Ini tidak boleh.

Selain dari itu, ramai yang sudah memberikan salam tetapi mereka tidak tahu yang mereka tidak boleh berdiri menunggu betul-betul di hadapan pintu rumah.

Dan kebiasaannya tuan rumah sendiri pun tidak tahu tentang perkara ini. Kadang-kadang kita pergi ke rumah orang dan tuan rumah terus mengajak kita masuk ke dalam rumah mereka walaupun mereka tidak beritahu kepada isteri atau anak perempuan mereka yang ada orang lelaki yang akan masuk ke dalam rumah. Maka kelam kabutlah anak isteri mereka itu.

Maka kita yang sudah tahu tentang perkara ini hendaklah bertanyakan kepada tuan rumah itu sama ada keadaan sesuai untuk kita masuk ataupun tidak. Dan kalau kita tahu memang ada wanita di dalam rumahnya, maka kita hendaklah memintanya untuk memberitahu kepada orang rumahnya yang ada lelaki yang hendak masuk ke dalam rumah. Alangkah indahnya adab yang diajar dalam Islam.

Maka, apabila kita masuk ke dalam rumah itu, walaupun sudah mendapat kebenaran, berilah salam kepada ahli keluarga rumah itu. Inilah adab yang diajar dalam Islam.

Dan bila beri salam itu haruslah memperkenalkan diri kita. Jangan sangka orang mengenali kita pula. Ini ada disebut di dalam hadis:

Jama’ah mengetengahkannya melalui hadis Syu’bah, dari Muhammad ibnul Munkadir, dari Jabir yang mengatakan bahawa dia datang kepada Nabi ﷺ untuk membayar hutang ayahnya, lalu dia mengetuk pintu. Maka Nabi ﷺ bertanya. ”Siapakah kamu?” Aku (Jabir) berkata, “Saya.” Nabi ﷺ bersabda, “Saya, saya,” seakan-akan baginda tidak suka dengan jawapan tersebut.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.

Perkara ini diajar oleh Allah ‎ﷻ dan Rasulullah ﷺ dan kita harus pelihara. Ia adalah penting kerana perkara seperti inilah yang dapat menjadikan lelaki dan perempuan tertarik di antara satu sama lain dan menyebabkan penzinaan terjadi.

Kalau kita masuk dan kita terlihat aurat wanita lain, kemungkinan ada perasaan tidak baik timbul di dalam diri kita. Kita mungkin tertarik dengan kecantikan isteri orang, dengan anak dara orang dan sebagainya. Selepas itu, entah apa yang terjadi, kita pun tidak dapat untuk menjangkanya.

Perkara ini haruslah dijadikan kebiasaan. Sampaikan kalau hendak memasuki ke rumah ibu sendiri pun haruslah memberi salam terlebih dahulu. Ingin memasuki rumah sendiri pun, hendaklah diberi salam kerana mungkin kita mempunyai orang gaji di rumah, bukan?

Dibenarkan tidak memberi salam kalau di dalam keadaan kecemasan. Kalau rumah terbakar, tidaklah perlu diberi salam terlebih dahulu. Maka haruslah menggunakan akal yang logik juga di dalam perkara ini, jangan diambil secara literal sangat.

Bagaimana pula kalau seorang anak tinggal bersama ibunya? Dia masih tetap perlu memberikan salam juga berdasarkan hadis. Ini kerana Nabi ﷺ berkata ada kemungkinan yang emaknya membuka baju kerana sesuatu perkara.

Bagaimana pula kalau kita duduk di rumah kita sendiri dengan isteri dan anak-anak? Masih juga digalakkan untuk memberi isyarat yang kita sudah balik dan hendak masuk. Walaupun mungkin tidak beri salam pun tidak mengapa. Isteri Abdullah ibn Mas’ud رضي الله عنه memberitahu yang Ibn Mas’ud رضي الله عنه apabila memasuki rumah, beliau akan berdehem untuk memberi isyarat yang beliau sudah berada di dalam rumah. Asalkan beri isyarat.

Dan yang paling penting kalau memasuki rumah yang bukan rumah kita. Ini kerana kita hendak mengelakkan dari melihat aurat wanita/lelaki yang kita tidak patut lihat. Maka kita haruslah mengawal perkara dari awal lagi. Ini kerana kalau sudah terjadi perkara yang tidak elok,  maka amatlah malang sekali. Kalau terjadi zina, sama ada dikenakan rotan seratus (100) kali atau dikenakan rejam sampai mati.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment