Ayat 21:
۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ وَمَن يَتَّبِع خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ فَإِنَّهُ يَأمُرُ بِالفَحشاءِ وَالمُنكَرِ ۚ وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ ما زَكىٰ مِنكُم مِّن أَحَدٍ أَبَدًا وَلٰكِنَّ اللهَ يُزَكّي مَن يَشاءُ ۗ وَاللهُ سَميعٌ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, do not follow the footsteps of Satan. And whoever follows the footsteps of Satan – indeed, he enjoins immorality and wrongdoing. And if not for the favor of Allāh upon you and His mercy, not one of you would have been pure, ever, but Allāh purifies whom He wills, and Allāh is Hearing and Knowing.
(MELAYU)
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.
Jangan ikuti jejak langkah syaitan. Jangan buat tohmahan seperti yang dilakukan oleh syaitan. Kerja syaitan sememangnya untuk menghebohkan perkara-perkara yang keji di kalangan manusia. Merekalah yang menghasut untuk mengatakan perkara yang buruk tentang orang yang beriman. Mereka akan bisikkan ke telinga manusia dan kita kena berusaha untuk menolaknya. Jangan ikut hasutan syaitan itu.
وَمَن يَتَّبِع خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ فَإِنَّهُ يَأمُرُ بِالفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar.
Tidak ada syaitan yang menyuruh untuk berbuat benda yang baik melainkan segala yang disuruh itu adalah benda buruk sahaja. Syaitan senantiasa membisikkan perkara yang buruk maka jangan diikuti arahan syaitan itu. Kalau kita mula mendengar bisikan syaitan, lama-kelamaan kita akan dikawal olehnya.
Mula-mula syaitan hanya boleh memujuk dan mengajak sahaja; tetapi kalau selalu sangat diikuti, syaitan sudah mula mendapat kuasa untuk memberikan ‘arahan’ pula kepada kita. Amatlah teruk jika sudah mencapai sehingga tahap itu, seolah-olah manusia tidak dapat lagi mengawal dirinya.
Dan kalaulah kita tanyakan dia kenapa dia berbuat perkara yang salah, dia akan jawab: “Aku terpaksa buat, aku tak dapat halang diri aku”. Itu bermakna mereka sudah teruk sangat dikawal oleh syaitan. Dia sudah di dalam kawalan syaitan.
Kalimah الفَحشاءِ bermaksud perbuatan dosa yang keji yang melibatkan nafsu seks. Ini termasuklah zina, melihat video lucah atau berkata-kata perkara lucah dan lain-lain lagi. Ini perkara yang kita sendiri malu dengan orang yang rapat dengan kita pun, seperti isteri dan ahli keluarga kita. Kita pun malu sangat kalau mereka tahu.
Kalimah المُنكَرِ adalah jenis kesalahan yang tidak pernah didengari sebelum itu. Maka ia adalah benda pelik. Kalau seseorang itu mula berbuat الفَحشاءِ, ada kemungkinan dia akan mula membuat perkara buruk yang orang tidak pernah buat pun.
Ini adalah kerana syaitan akan memberi ilham dan idea-idea baru kepada mereka yang mengikut bisikan syaitan. Kerana itulah kadangkala kita mendengar perbuatan manusia yang pelik-pelik. Kita pun berkata: “Hebat betul, dulu tidak ada pun orang buat begini….”.
وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ ما زَكىٰ مِنكُم مِّن أَحَدٍ أَبَدًا
Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya,
Allah ﷻ mengulangi lagi kalimah وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ seperti di dalam ayat 16 dan 20 tetapi kali ini Allah ﷻ sebutkan dengan akibatnya sekali, sedangkan di dalam ayat 16 dan 20 itu Allah ﷻ membiarkannya tergantung sahaja.
Allah ﷻ memberitahu Dia sebenarnya menolong kita. Kerana kalau bukan kerana kurnia dan rahmatNya, tentu tidak ada sesiapa yang boleh melawan syaitan. Kalau Allah ﷻ tidak membantu, maka semua manusia hanya mengikut syaitanlah sahaja jawabnya. Tetapi Allah ﷻ membantu dengan memberikan kekuatan kepada kita untuk menolaknya.
Allah ﷻ membantu dengan memberikan akal kepada kita untuk membezakan mana yang benar dan mana merupakan ajakan syaitan. Allah ﷻ membantu kita dengan memberikan guru untuk memperkenalkan kita dengan penipuan syaitan, dapat kita belajar talbis iblis dan lain-lain lagi bantuan dari Allah ﷻ.
Allah ﷻ membantu dengan beri iman kepada kita kerana kalau tanpa iman, tentu akan gagal untuk menjaga kemaluan. Allah ﷻ juga membantu dengan memberi kan taufikNya kepada kita untuk melawan bisikan syaitan. Dan untuk mendapat iman dan taufik ini, kenalah ada usaha dan doa.
Mintalah taufik kepada Allah ﷻ dan tingkatkan iman kita dengan melakukan ibadat terutamanya dengan solat. Ini kerana solat dapat menolak perbuatan fahsya’ dan mungkar seperti disebut dalam ayat lain.
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.
وَلٰكِنَّ اللهَ يُزَكّي مَن يَشاءُ
tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Allah ﷻ membersihkan dosa sesiapa yang Dia kehendaki – Allah ﷻ yang pilih. Yang dimaksudkan adalah Allah ﷻ memberikan taufik untuk mengetuk pintu hati seseorang itu untuk bertaubat.
Dan kerana itu jikalau ada keinginan untuk bertaubat dalam hati kita, ketahuilah kita bahawa itu adalah taufik daripada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ yang telah mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat, maksudnya Allah ﷻ sudah bersedia untuk menerima taubat kita.
Maka kalau tengah berjalan dan tengah memandu kereta, tiba-tiba kita teringat akan dosa kita, maka teruslah bertaubat waktu itu kerana Allah ﷻ sedang memberikan peringatanNya kepada kita untuk bertaubat. Maknanya, Allah sudah bersedia untuk menerima taubat kita.
Allah ﷻ memberitahu yang Allah ﷻ yang memilih untuk membawa sesiapa sahaja ke jalan kebenaran. Tetapi jangan salah sangka, jangan kata Allah ﷻ pilih kasih pula. Allah ﷻ membawa sesiapa sahaja ke jalan kebenaran dan memberikan taufik kepada orang itu jikalau ada keinginan dalam hatinya kepada kebenaran.
وَاللهُ سَميعٌ عَليمٌ
Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah ﷻ Maha Mendengar taubat yang diucapkan oleh mulut seseorang itu dan Allah ﷻ Maha Mengetahui ikhlas atau tidak hati seseorang itu dalam bertaubat. Ini kerana mulut boleh mengucapkan istighfar, tetapi kita tidak tahu sama ada di dalam hati seseorang itu memang ada keinginan untuk membersihkan dirinya atau tidak. Kita tidak tahu, tetapi Allah ﷻ tahu.
Allah ﷻ mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia, maka Allah ﷻ tahu siapa yang mahukan kebenaran dan siapa yang tidak kisah pun. Maka kerana Allah ﷻ mempunyai ilmu inilah yang menyebabkan Allah ﷻ boleh memilih sesiapa sahaja dan menariknya ke arah kebaikan.
Ayat 22: Ayat ini berkenaan Abu Bakr رضي الله عنه, ayah kepada A’isyah رضي الله عنها yang dituduh telah melakukan zina itu
وَلا يَأتَلِ أُولُو الفَضلِ مِنكُم وَالسَّعَةِ أَن يُؤتوا أُولِي القُربىٰ وَالمَسٰكينَ وَالمُهٰجِرينَ في سَبيلِ اللهِ ۖ وَليَعفوا وَليَصفَحوا ۗ أَلا تُحِبّونَ أَن يَغفِرَ اللهُ لَكُم ۗ وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And let not those of virtue among you and wealth swear not to give [aid] to their relatives and the needy and the emigrants for the cause of Allāh, and let them pardon and overlook. Would you not like that Allāh should forgive you? And Allāh is Forgiving and Merciful.
(MELAYU)
Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,
وَلا يَأتَلِ أُولُو الفَضلِ مِنكُم وَالسَّعَةِ
Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah
Allah ﷻ menegur Abu Bakr رضي الله عنه di dalam ayat ini. Kalimah يَأتَلِ dari أ ل و yang bermaksud ‘bersumpah untuk tidak melakukan sesuatu’. Beliau telah bersumpah untuk tidak menolong seseorang. Apakah kisahnya? Tetapi sebelum itu kita haruslah selami hati Abu Bakr رضي الله عنه.
Tentu beliau sedih apabila anaknya dituduh telah berzina. Tambahan pula beliau adalah seorang yang mempunyai iman yang amat tinggi. Kalau beliau tidak mempunyai iman, mungkin beliau tidak kisah sangat kalau ada anak dia yang berzina.
Dan yang dituduh itu adalah anaknya sendiri yang amat disayangi; dan tambahan pula A’isyah رضي الله عنها itu bukan orang biasa tetapi isteri kepada Rasulullah ﷺ. Dan beliau amat-amat menyayangi dan menghormati baginda. Jadi tentulah beliau amat terkesan dengan tohmahan itu.
Abu Bakr رضي الله عنه adalah seorang yang kaya dan amat pemurah. Kerana itulah beliau dikatakan dalam ayat ini sebagai seorang yang mempunyai ‘kelebihan dan keluasan’. Ini merujuk kepada kekayaan yang Allah ﷻ telah berikan kepadanya.
‘Keluasan’ yang dimaksudkan ini tidak semestinya hanya menyebut tentang keluasan di dalam harta sahaja. Tetapi untuk Abu Bakr رضي الله عنه ini beliau mempunyai berbagai-bagai kelebihan dan keluasan dari segi ilmu, kesabaran, hati yang baik dan banyak lagi dan kerana itulah beliau selalu dipuji di dalam Qur’an dan juga di dalam hadis Nabi ﷺ.
Beliau merupakan orang kedua yang disebut di dalam Qur’an seperti di dalam Tawbah:40. Ini dapat dilihat ketika peristiwa Rasulullah ﷺ di dalam gua bersama beliau (semasa kejadian mereka dikejar ketika berhijrah ke Madinah). Walaupun nama beliau tidak disebut tetapi kita tahu yang dimaksudkan di sini adalah Abu Bakr رضي الله عنه kerana beliau merupakan orang yang kedua beriman selepas Rasulullah ﷺ.
Beliau juga telah diberi isyarat akan menjadi khalifah selepas Nabi Muhammad ﷺ kerana apabila baginda tidak boleh mengimani jemaah sahabat dalam solat kerana baginda terlalu sakit, baginda telah menyuruh Abu Bakr رضي الله عنه untuk menggantikan baginda.
أَن يُؤتوا أُولِي القُربىٰ وَالمَسٰكينَ وَالمُهٰجِرينَ في سَبيلِ اللهِ
bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah,
Maka tentulah beliau amat marah kepada mereka yang menyampaikan kisah palsu itu. Kalau anak kita telah dituduh sedemikian rupa, sudah tentu kita juga akan marah.
Terdapat tiga (3) golongan yang disebut di dalam ayat ini iaitu ‘kaum kerabat’, orang yang ‘miskin’ dan ‘Muhajirin’. Dan walaupun nampak seperti menyebut tiga (3) golongan tetapi dari Asbabun Nuzul ayat ini ia menceritakan tentang orang yang sama kerana dia mempunyai ketiga-tiga sifat ini.
Walaupun orang itu telah mengatakan sesuatu yang tidak baik terhadap anak Abu Bakr رضي الله عنه, tetapi Allah ﷻ memberitahu yang dia adalah seorang Muhajirin dan kerana itu adalah satu kriteria yang besar maka Allah ﷻ mengingatkan kepada Abu Bakr رضي الله عنه untuk membukakan hati beliau agar memaafkan orang itu.
Yang dimaksudkan adalah seorang mukmin yang bernama Mistah. Dia sebenarnya adalah sepupu Abu Bakr رضي الله عنه, maka dia adalah ahli kerabat Abu Bakr رضي الله عنه. Dan dia seorang yang miskin dan kerana itulah Abu Bakr رضي الله عنه selalu menolongnya dan Mistah banyak bergantung kepada Abu Bakr رضي الله عنه di dalam kehidupannya.
Walaupun Mistah ini seorang Muslim (bukan munafik) tetapi dia ada juga bercakap tentang tuduhan ini dan memperbesarkan perkara ini dengan menyampaikannya kepada orang lain. Maka tentulah Abu Bakr رضي الله عنه marah dengan perbuatannya itu. Kerana sampai-menyampaikan inilah yang menyebabkan sesuatu perkara itu menjadi besar.
Maka, selepas ayat 11-21 surah ini diturunkan untuk membersihkan nama A’isyah رضي الله عنها dan sudah diketahui siapakah yang terlibat di dalam penyebaran fitnah ini, maka Abu Bakr رضي الله عنه membuat keputusan untuk melakukan sesuatu terhadap Mistah itu.
Jadi tidaklah salah jika Abu Bakr رضي الله عنه marah, bukan? Tetapi lihatlah, walaupun Abu Bakr رضي الله عنه memang marah, beliau tidaklah membuat perancangan untuk mencederakan Mistah itu (kalau kita, mungkin sudah melakukan sesuatu yang seumpama itu).
Sebaliknya Saidina Abu Bakr رضي الله عنه hanya membuat keputusan untuk tidak lagi menolong Mistah selepas itu. Kalau difikirkan, ini adalah seringan-ringan tindakan yang boleh dikenakan. Dan kita boleh memahami akan perkara ini kerana sememangnya Abu Bakr رضي الله عنه adalah seorang yang berhati lembut.
Tetapi Allah ﷻ tetap menegur Abu Bakar رضي الله عنه di dalam ayat ini supaya jangan bersumpah untuk tidak membantu orang lain. Tambahan pula kerana Mistah itu telah bertaubat dan telah dirotan sebanyak 80 kali.
وَليَعفوا وَليَصفَحوا
dan hendaklah mereka memaafkan dan lupakanlah.
Afuw bermaksud memaafkan seseorang tanpa mengenakan hukuman kepada orang itu. Sebenarnya Abu Bakar رضي الله عنه tidak pun menghukum Mistah kerana beliau cuma tidak mahu menolongnya sahaja selepas itu. Dan itu bukanlah ‘hukuman’ dalam erti kata yang sebenarnya.
Tetapi kerana ketinggian budi Abu Bakar رضي الله عنه itu maka Allah ﷻ memberi isyarat bahawa dengan tidak membantu pun sudah dikira satu hukuman dari Abu Bakr رضي الله عنه.
Afuw di sini bermaksud seseorang itu dapat memaafkan dan sekaligus melupakan apa sahaja kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya.
Perbuatan afuw sememangnya bukanlah perkara mudah kerana mungkin kadangkala kita mampu untuk memaafkan seseorang tetapi di dalam hati kita masih lagi menyimpan perasaan marah dan dendam terhadapnya dirinya. Perasaan marah ini akan mengganggu hubungan kita dengan orang itu dan hubungan itu tidak mungkin akan sama seperti dahulu lagi.
Maka Allah ﷻ menambah di dalam ayat ini untuk وَليَصفَحوا (lupakanlah). Kalimah ini asalnya bermaksud ‘tukar muka surat’ iaitu apabila kita sedang membaca dan menyelak muka surat lain (kerana itu buku juga dipanggil ‘mushaf’ kerana ia boleh diselak-selak); dan apabila kita menukar muka surat yang lain itu, maka kita tidak boleh melihat lagi muka surat yang sebelumnya.
Maksudnya di dalam ayat ini, Allah ﷻ menyuruh untuk melupakan terus kesalahan yang telah dilakukan dan jangan diingat-ingat lagi. Seolah-olah orang itu tidak pernah melakukan kesalahan itu. Dan ini memang payah dilakukan tetapi Allah ﷻ menyuruh kita lakukannya.
Allah ﷻ memberikan isyarat di dalam ayat ini bahawa kebiasaannya orang-orang sekeliling yang rapat dengan kitalah berkemampuan untuk menyakiti hati kita dengan lebih lagi. Perbuatan orang yang rapat dengan kitalah yang selalunya lebih menyakitkan hati kita, bukan?
Oleh kerana mereka rapat dengan kitalah maka kita haruslah melupakan kesalahan mereka itu. Ini kerana hubungan kita dengan mereka akan terganggu. Sedangkan kita tidak boleh membuang mereka, dan masih tetap mempunyai keperluan untuk berurusan dengan mereka.
أَلا تُحِبّونَ أَن يَغفِرَ اللهُ لَكُم
Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu?
‘Memaafkan dan melupakan’ perbuatan salah dari kaum keluarga sendiri memang amat berat dan kerana itulah Allah ﷻ memberikan insentif besar di dalam ayat ini.
Iaitu Allah ﷻ memberitahu yang sesiapa yang sanggup untuk memaafkan dan melupakan, maka Allah ﷻ akan memaafkan dia juga. Adakah kita tidak suka kalau Allah ﷻ mengampunkan dosa kita? Maka kena bayangkan pada waktu itu: Adakah kemarahan kita lebih besar daripada keinginan kita kepada pengampunan dari Allah ﷻ? Fikirkanlah sendiri. Tentulah keampunan dari Allah ﷻ itu lebih besar.
Maka selepas ayat ini dibacakan kepada Abu Bakr رضي الله عنه, beliau dengan rela hati memaafkan dan melupakan kesalahan yang dilakukan oleh sepupunya itu. Dan beliau terus membantu Mistah dan malah lebih banyak lagi dari sebelumnya.
Ibn Abbas رضي الله عنه mengatakan bukan Abu Bakr رضي الله عنه sahaja yang bersumpah begitu tetapi ada sahabat lain juga bersumpah tidak membantu lagi mereka yang telah menyebarkan fitnah itu. Dan mereka juga telah membatalkan sumpah mereka. Dan perkara ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang mempunyai iman yang tinggi kerana hanya iman yang tinggi diperlukan untuk percaya kepada janji Allah ﷻ itu.
Maka Allah ﷻ mengajar di dalam ayat ini bahawa jikalau seseorang itu sanggup untuk memaafkan orang lain, maka Allah ﷻ pun akan sanggup untuk memaafkan dosanya.
Ulama khilaf sama ada perlu atau tidak melakukan kifarah terhadap sumpah yang telah dilakukan itu. Satu pihak mengatakan kifarah perlu dilakukan dan satu pihak lagi mengatakan tidak perlu. Tidak perlu kerana mereka telah bersumpah untuk melakukan perkara yang tidak baik dan sekarang mereka telah membatalkan sumpah tidak baik itu. Maka penukaran sumpah itu sendiri sudah dikira sebagai kifarah.
وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,
Dan Allah ﷻ mengingatkan SifatNya yang Maha Pengampun di hujung ayat ini. Dan haruslah diingatkan kerana kita memerlukan Sifat Allah ﷻ ini kerana kita pun tahu yang kita mempunyai banyak dosa. Kalau Abu Bakr رضي الله عنه yang tentu banyak pahala dan kurang dosa pun mengharapkan pengampunan dari Allah ﷻ, maka siapalah kita kalau tidak berharap perkara yang sama?
Jangan pula kita sangka yang ayat ini hanya untuk Abu Bakr رضي الله عنه sahaja kerana bahasa yang digunakan bersifat umum, maka kita haruslah mengambil pengajaran dari ayat ini dan kita gunakannya di dalam kehidupan kita. Cuma Asbabun Nuzul ayat ini adalah kisah Abu Bakr رضي الله عنه. Maka kisah beliau menjadi pengajaran buat kita.
Maka eloklah kita memaafkan orang lain yang melakukan kesalahan kepada kita kerana jikalau kita tidak maafkan maka kita kena berurusan dengan orang itu di Mahsyar kelak dan ini akan menyebabkan kita lambat memasuki syurga pula. Nanti serabut di sana pula untuk dibicarakan, dilakukan pemindahan pahala dan sebagainya – bukankah susah? Maka maafkanlah sahaja dan balasannya Allah ﷻ akan mengampunkan dosa kita.
Ayat 23: Takhwif Ukhrawi dan Duniawi.
إِنَّ الَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ الغٰفِلٰتِ المُؤمِنٰتِ لُعِنوا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who [falsely] accuse chaste, unaware and believing women are cursed in this world and the Hereafter; and they will have a great punishment
(MELAYU)
Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita yang baik-baik, yang lengah lagi beriman (berbuat zina), mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar,
إِنَّ الَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ
Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita yang baik-baik,
Allah ﷻ mengingatkan manusia lagi tentang bahayanya membuat tuduhan yang palsu terhadap wanita المُحصَناتِ iaitu wanita yang bermaruah. Mereka itu adalah orang yang baik-baik dan tidak terfikir untuk berbuat dosa. Maka Allah ﷻ memberikan ancaman kepada mereka yang sanggup memburukkan dan menjatuhkan maruah orang yang baik-baik.
Walaupun ayat ini sebut ‘wanita’, tetapi boleh diqiyaskan kepada lelaki mukmin juga.
الغٰفِلٰتِ
yang lengah
Mereka tidak tahu pun orang memperkatakan tentang hal mereka. Maksud ghaflah adalah tidak sedar.
Dalam kes A’isyah رضي الله عنها ini beliau tidak tahu menahu langsung pun yang beliau dituduh sehinggalah sebulan kemudian barulah beliau mendapat maklumat itu. Waktu itu satu Madinah sudah bising dan kecoh tentang perkara itu. Tetapi oleh kerana beliau tidak sihat selepas kejadian balik dari peperangan itu, beliau duduk di rumah sahaja dan tidak berjumpa dengan orang lain.
Dan orang lain pun tidak sampai hati untuk menceritakan kepadanya kerana beliau sakit teruk ketika itu. Orang lain bimbang kalau disampaikan berita tersebut, emosi beliau akan terjejas malah ada kemungkinan boleh mengakibatkan kematian.
Sampaikan Nabi Muhammad ﷺ hanya datang bertanya khabar sahaja dan tidak bercakap pun dengan A’isyah رضي الله عنها. Ini kerana baginda tahu, kalau baginda bercakap-cakap dengan beliau, tentu beliau akan perasan yang ada sesuatu yang tidak kena. Kalau A’isyah رضي الله عنها bertanya, maka baginda tidak boleh lagi untuk menyimpan rahsia pula. Maka baginda hanya datang bertanya khabar dan terus berlalu.
Satu lagi maksud الغٰفِلٰتِ adalah mereka yang dituduh itu tidak tahu pun tentang perlakuan zina. Mereka tidak biasa melakukannya, tidak pernah terfikir untuk melakukannya dan tidak tahu pun bagaimana cara untuk melakukannya. Ini kerana orang yang baik-baik mana tahu untuk berbuat perkara sebegitu.
المُؤمِنٰتِ
dan beriman
Jangan tuduh orang beriman melakukan perkara yang keji. Melainkan terdapat bukti dan kita telah pelajari yang bukti itu adalah saksi seramai empat (4) orang.
Maka ini mengajar kita supaya bersangka baik kepada orang beriman. Dan jangan lupa yang A’isyah رضي الله عنها itu pula adalah Ummahatul Mu’minin (ibu kaum mukmin), maka tentulah berlebih-lebih lagi diharuskan untuk bersangka baik dengan beliau.
لُعِنوا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ
mereka kena laknat di dunia dan akhirat,
Hukuman yang dikenakan kepada mereka yang membuat tuduhan palsu itu adalah mendapat laknat Allah ﷻ semasa di dunia lagi. ‘Laknat’ maksudnya tidak ada peluang untuk mendapat rahmat Allah ﷻ. Ini adalah ancaman yang amat besar sekali.
وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ
dan bagi mereka azab yang besar,
Dan di akhirat nanti mereka akan dikenakan dengan azab yang amat besar. Mereka akan diazab di dalam neraka yang tidak diketahui berapa lama mereka akan tinggal di dalamnya.
Begitulah masalah dengan mulut kita ini. Senang sahaja untuk berkata apa-apa tentang orang lain. Pepatah Melayu pun ada berkata: “Kerana pulut santan binasa. Kerana mulut, badan binasa.” Dan ayat ini menceritakan tentang hukuman yang lagi buruk lagi iaitu azab dari Allah ﷻ.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 26 Mei 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
Assalamualaikum
Tafsir ayat 22…minta clarification..bukankah org yg kedua beriman selepas Rasulullah saw ialah Khadijah r.a ?
‘Walaupun nama beliau tidak disebut tetapi kita tahu yang dimaksudkan di sini adalah Abu Bakr رضي الله عنه kerana beliau merupakan orang yang kedua beriman selepas Rasulullah ﷺ.’
Jazakallah Khair
LikeLike
orang beriman yang di dalam gua pada waktu itu.
LikeLike