Ayat 31: Sekarang ayat untuk wanita pula. Allah ﷻ beritahu bukan sahaja mesti ditundukkan pandangan tetapi mesti juga menutup anggota dengan menjaga aurat.
وَقُل لِّلمُؤمِنٰتِ يَغضُضنَ مِن أَبصٰرِهِنَّ وَيَحفَظنَ فُروجَهُنَّ وَلا يُبدينَ زينَتَهُنَّ إِلّا ما ظَهَرَ مِنها ۖ وَليَضرِبنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلىٰ جُيوبِهِنَّ ۖ وَلا يُبدينَ زينَتَهُنَّ إِلّا لِبُعولَتِهِنَّ أَو ءآبائِهِنَّ أَو ءآباءِ بُعولَتِهِنَّ أَو أَبنائِهِنَّ أَو أَبناءِ بُعولَتِهِنَّ أَو إِخوٰنِهِنَّ أَو بَني إِخوٰنِهِنَّ أَو بَني أَخَوٰتِهِنَّ أَو نِسائِهِنَّ أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُهُنَّ أَوِ التّٰبِعينَ غَيرِ أُولِي الإِربَةِ مِنَ الرِّجالِ أَوِ الطِّفلِ الَّذينَ لَم يَظهَروا عَلىٰ عَورٰتِ النِّساءِ ۖ وَلا يَضرِبنَ بِأَرجُلِهِنَّ لِيُعلَمَ ما يُخفينَ مِن زينَتِهِنَّ ۚ وَتوبوا إِلَى اللهِ جَميعًا أَيُّهَ المُؤمِنونَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And tell the believing women to reduce [some] of their vision¹ and guard their private parts and not expose their adornment² except that which [necessarily] appears thereof³ and to wrap [a portion of] their headcovers over their chests and not expose their adornment [i.e., beauty] except to their husbands, their fathers, their husbands’ fathers, their sons, their husbands’ sons, their brothers, their brothers’ sons, their sisters’ sons, their women, that which their right hands possess [i.e., slaves], or those male attendants having no physical desire, or children who are not yet aware of the private aspects of women. And let them not stamp their feet to make known what they conceal of their adornment. And turn to Allāh in repentance, all of you, O believers, that you might succeed.
- Looking only at what is lawful and averting their eyes from what is unlawful.
- Both natural beauty, such as hair or body shape, and that with which a woman beautifies herself of clothing, jewelry, etc.
- i.e., the outer garments or whatever might appear out of necessity, such as a part of the face or the hands.
(MELAYU)
Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.
وَقُل لِّلمُؤمِنٰتِ يَغضُضنَ مِن أَبصٰرِهِنَّ
Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya,
Ini pula adalah arahan kepada wanita juga untuk menundukkan pandangan mereka. Maknanya, bukan lelaki sahaja yang mesti menundukkan dan menjaga pandangan mereka tetapi wanita juga mesti menundukkan pandangan. Janganlah mereka salahkan orang lelaki sahaja yang sentiasa melihat wanita. Haruslah sedar yang wanita juga mempunyai nafsu apabila mereka melihat lelaki.
Oleh kerana itu, wanita juga tidak boleh memandang kepada lelaki yang bukan suami mereka. Sebahagian besar dari ulama’ berdalilkan kepada sebuah hadis:
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Turmuzi melalui hadis Az-Zuhri dari Nabhan maula Ummu Salamah, yang menceritakan kepadanya bahawa Ummu Salamah رضي الله عنها pernah bercerita kepadanya bahawa pada suatu hari beliau dan Maimunah berada di hadapan Rasulullah ﷺ. Ummu Salamah melanjutkan kisahnya, “Ketika kami dalam keadaan demikian, tiba-tiba datanglah Ibnu Ummi Maktum. Ibnu Ummi Maktum masuk menemui Rasulullah ﷺ. Kejadian ini sesudah Rasulullah ﷺ memerintahkan kepada kami agar berhijab. Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
“احْتَجِبَا مِنْهُ”
‘Berhijablah kamu berdua darinya!’
Maka saya (Ummu Salamah) bertanya, ‘Wahai Rasulullah ﷺ, bukankah dia buta tidak dapat melihat kami dan tidak pula mengetahui kami?’ maka Rasulullah ﷺ bersabda:
“أَوَ عَمْيَاوَانِ أَنْتُمَا؟ أَلَسْتُمَا تُبْصِرَانِهِ”
‘Apakah kamu berdua juga buta? Bukankah kamu berdua dapat melihatnya?’.” Kemudian Imam Turmuzi رحم الله mengatakan bahawa hadis ini hasan sahih.
Ulama’ lainnya berpendapat bahawa kaum wanita dibolehkan memandang lelaki lain jika tanpa berahi. Seperti yang disebutkan di dalam kitab sahih, bahawa Rasulullah ﷺ menyaksikan orang-orang Habsyah sedang bermain dengan tombak mereka di hari raya di dalam masjid, sedangkan Aisyah Ummul Mu’minin رضي الله عنها menyaksikan pertunjukan mereka dari balik tubuh baginda, dan Nabi ﷺ menutupinya dari pandangan mereka hingga A’isyah رضي الله عنها bosan, lalu pulang.
Begitu juga ada kisah Nabi ﷺ menyuruh Fatimah binti Qais رضي الله عنها tinggal menghabiskan eddahnya di rumah Abdullah ibn Ummu Maktum kerana beliau seorang lelaki yang buta.
Oleh itu, ini menunjukkan bahawa orang perempuan melihat lelaki tidak sama dengan orang lelaki melihat wanita. Perbuatan lelaki melihat wanita lebih keras lagi. Lelaki lebih harus menjaga pandangan mereka. Dan memang lelaki suka melihat wanita dengan pandangan ghairah. Kerana itulah wanita disuruh menutup aurat mereka sampai menutup rambut mereka, tetapi tidaklah lelaki disuruh berbuat begitu. Allahu a’lam.
وَيَحفَظنَ فُروجَهُنَّ
dan menjaga kemaluannya,
Dan mereka juga disuruh untuk menjaga kemaluan mereka. Jangan murahkan kemaluan mereka itu. Kalaulah mereka tidak menjaganya, maka tentu akan lebih susah lagi kerana lelaki ini memang senang terangsang, tetapi mereka susah untuk mendapatkan wanita.
Tetapi kalau wanita yang terhegeh-hegeh terhadap lelaki, memang senang sahaja untuk mereka mendapatkan lelaki kerana kebanyakan lelaki akan bersedia untuk menerima sahaja. Oleh sebab itu apabila Allah ﷻ menyebut hukuman kepada penzina dalam ayat 2 surah ini, Allah ﷻ memulakan dengan penzina wanita, kerana merekalah yang memegang ‘kunci’nya.
Kerana itu aurat wanita lebih banyak perlu dijaga dari lelaki. Mereka mesti menutup aurat mereka kecuali muka dan tangan sahaja. Dan mereka tidak boleh memakai pakaian yang ketat yang boleh memberi maklumat tentang bentuk tubuh badan mereka.
Kerana itu pernah kakak A’isyah رضي الله عنها yang bernama Asma’ datang ke rumah Nabi ﷺ memakai pakaian yang agak tipis dan ditegur oleh baginda.
وَلا يُبدينَ زينَتَهُنَّ
dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya,
Salah satu cara untuk mengelakkan penzinaan terjadi, ialah dengan menjaga penampilan kaum wanita. Kaum wanita ini memang sudah menarik perhatian lelaki secara semulajadi. Kalau mereka tidak berbuat apa-apa pun memang kaum lelaki sudah tertarik.
Maka kalau mereka menambah lagi penampilan mereka, maka tentu akan jadi lebih menarik dan merbahaya bagi kebanyakan lelaki. Kerana itulah pandangan lelaki susah untuk dijaga, kerana ada wanita-wanita yang memang menghiasi penampilan mereka supaya dinampak indah oleh manusia, terutama golongan lelaki.
Kalimah زينَتَهُنَّ (perhiasan mereka) ada tiga tafsiran:
Tafsiran yang pertama mengatakan ia merujuk kepada tubuh badan wanita itu sendiri. Oleh kerana itu di dalam syari’at, tubuh badan orang perempuan itu sendiri sudah dikira sebagai ‘aurat’. Dan kerana itu jikalau tidak ada keperluan untuk mereka keluar, maka mereka harus duduk di dalam rumah sahaja. Ini ada disebut di dalam Surah Ahzab.
Kerana jikalau mereka tidak ada urusan dan keluar rumah juga, maka syaitan akan menyebabkan lelaki ajnabi melihat mereka. Dan kita telah bincangkan dengan panjang lebar sebelum ini, apa masalahnya kalau mereka dilihat oleh mata liar lelaki keranjang. Maka, yang terbaik adalah mereka duduk sahaja di dalam rumah supaya selamat dari pandangan kaum lelaki.
Tafsiran yang kedua, kalau mereka ada keperluan untuk keluar, maka hendaklah mereka menutup aurat mereka. Kalau boleh buka pun hanyalah muka dan tapak tangan mereka sahaja. Maka yang boleh dilihat adalah pakaian yang di luar sahaja.
{يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ}
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu.
Tafsiran yang ketiga, merujuk kepada kecantikan perhiasan mereka. Maksudnya mereka jangan pakai benda-benda yang boleh menarik perhatian. Jangan pakai pakaian yang ketat. Jangan pakai alat solek yang tebal. Jangan pakai perhiasan yang ‘bling-bling’, tudung yang berwarna warni, lilit 7 kali dan sebagainya.
Ini kerana perhiasan itu semua menarik perhatian kaum lelaki. Sepatutnya tudung yang mereka pakai itu dapat mengelakkan agar lelaki tidak pandang atau tertarik sangat kepada mereka. Tetapi kalau sudah cantik tudungnya, lelaki yang asalnya tidak perasan pun boleh tertarik pula.
إِلّا ما ظَهَرَ مِنها
kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.
Hendaklah ditutup kesemuanya sekali kecuali perkara yang tidak dapat dielakkan lagi. Contohnya, mereka itu orang yang tinggi, maka mereka tidak boleh berbuat apa-apa tentang ketinggiannya itu.
Juga baju di bahagian luar mereka, memang tidak dapat dielak lagi.
Ada juga yang berpendapat, ia bermaksud bahagian tubuh mereka yang terbuka kerana ditiup angin, contohnya. Iaitu perkara yang tidak disengajakan. Perkara yang tidak disengajakan, dimaafkan.
وَليَضرِبنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلىٰ جُيوبِهِنَّ
Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya,
Dan wanita hendaklah panjangkan ‘khimar’ mereka ke atas dada mereka. Digunakan kalimah ‘khimar’ yang bunyinya seperti ‘khamar’ (arak) kerana sifatnya yang menutup akal di kepala. Jadi ‘khimar’ dalam ayat ini adalah sesuatu yang menutup kepala mereka.
Kebiasaan bagi orang Arab sebelum Islam, bahagian kepala mereka sudah biasa ditutup dengan khimar. Tetapi kain hujungnya dibawa ke belakang (macam kain serban yang leretan kainnya dilepaskan di belakang). Maknanya pakaian wanita waktu itu terbuka di bahagian dada. Maka apabila Islam datang, Allah ﷻ memerintahkan agar kain itu dibawa ke bahagian depan menutupi belahan dada. Yang penting adalah bahagian dada yang menonjol itu yang perlu ditutup.
Saidatina A’isyah رضي الله عنها menceritakan bagaimana apabila ayat ini mula turun, mereka membacakan ayat ini kepada keluarga mereka dan para wanita terus mencari kain untuk menutupi bahagian tubuh mereka. Dan mereka terus meninggalkan kain yang jarang dan mula memakai kain yang kasar dan tebal.
Ini menunjukkan betapa warak dan taatnya mereka dengan ayat-ayat Qur’an. Mereka terus buat tanpa soal dan tanpa lengah. Tidaklah seperti wanita zaman sekarang yang sengaja mencari alasan untuk tidak menjaga aurat dengan benar.
Maka, ada hujah jahil yang mengatakan tidak ada ayat Qur’an yang memerintahkan untuk ‘menutup kepala’. Mereka kata, hanya tutup ‘dada’ sahaja. Dan sememangnya kalau dicari terjemahan ‘menutup kepala’ tidak ada dalam terjemahan Qur’an. Ini kerana mereka tidak faham apakah maksud ‘khimar’.
Khimar itu sudah membawa maksud ‘tutup kepala’, jadi tidak disebut ‘tutup kepala’ dalam Qur’an lagi kerana ia memang telah diamalkan pada zaman itu. Cuma perubahan yang ditambah adalah kain yang jatuh ke belakang itu dahulu dibawa ke hadapan untuk menutupi belahan dada sahaja.
Maka, haruslah pandai dan memahami cara memakai kain tudung ini. Haruslah diajarkan anak-anak perempuan kita dan isteri-isteri kita. Supaya kain tutup kepala itu juga benar-benar menutupi dada. Jangan singkatkan sehinggakan dada itu masih nampak lagi bentuk payu daranya. Kerana itu masih lagi tidak menutupi aurat. Mestilah menggunakan kain yang panjang supaya dapat menutupi keseluruhan bahagian dada.
Imam Bukhari رحم الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Na’im, telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnu Nafi’, dari Al-Hasan ibnu Muslim, dari Safiyyah binti Syaibah, bahawa Aisyah رضي الله عنها pernah mengatakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, iaitu firman-Nya: Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudungnya ke dadanya. (An-Nur: 31) Maka mereka melepaskan kain sarungnya, lalu mereka robek dari pinggirnya, kemudian robekan itu mereka jadikan kain kerudung (pada saat itu juga).
وَلا يُبدينَ زينَتَهُنَّ إِلّا لِبُعولَتِهِنَّ
dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka,
Maka seorang wanita haruslah menjaga penampilan mereka. Tidak boleh menampakkan aurat dan juga perhiasan mereka melainkan kepada yang dibenarkan sahaja.
Maka Allah ﷻ memberikan senarai dan Allah ﷻ memulakan dengan suami wanita itu sendiri. Dalam ayat ini, disebut 12 golongan yang dibenarkan. Sedangkan dalam Surah Ahzab hanya disebut tujuh (7) golongan sahaja. Ini adalah kerana Surah Nur ini datang kemudian selepas Surah Ahzab, maka ada penambahan dari surah yang awal turun.
Kalau dengan suami, maka berhiaslah semolek-moleknya. Pakailah mana-mana hiasan yang disukai oleh suami. Dengan suami tidak perlu dijaga aurat kerana wanita itu halal bagi suaminya, semua benda boleh tengok.
Kita haruslah ingat yang wanita itu jangan menarik perhatian lelaki lain. Janganlah kita sangka yang kalau wanita itu sudah menutupi auratnya, maka itu sudah cukup. Kerana aurat itu lebih lagi dari sekadar pakaian sahaja. Kalau dia menutupi aurat tubuh badannya, dia haruslah juga menjaga tingkah lakunya.
Sebagai contoh, kalau dia menutup tubuhnya dengan pakaian, tetapi suara manjanya kedengaran, lenggoknya menggiurkan lelaki yang melihat, senyum kepada lelaki lain tidak tentu pasal, bersembang selamba sahaja dengan lelaki ajnabi, itu tidaklah dikira sebagai ‘menutup aurat’.
أَو ءآبائِهِنَّ أَو ءآباءِ بُعولَتِهِنَّ
atau ayah mereka, atau ayah suami mereka,
Wanita itu boleh menampakkan perhiasannya kepada bapanya sendiri dan juga bapa mertuanya. Ini termasuklah datuk dan moyang juga. Aurat dengan mahram tidak sama dengan aurat bersama ajnabi.
Dibenarkan membuka aurat kepada ahli keluarga kerana ahli keluarga menghormati sesama sendiri dan tidaklah akan mengambil kesempatan ke atas ahli keluarga sendiri.
Dan tambahan pula, susah kalau hendak dijaga aurat di dalam rumah kerana mereka tinggal di dalam rumah yang sama. Jadi Islam membenarkannya. Tetapi hendaklah di dalam keadaan yang sesuai. Aurat yang dibenarkan adalah setakat rambut, tangan, wajah dan yang sesuai sahaja.
أَو أَبنائِهِنَّ أَو أَبناءِ بُعولَتِهِنَّ
atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka,
Juga boleh menunjukkan perhiasan kepada anak-anak mereka dan juga anak-anak suami mereka (anak tiri — mungkin suaminya itu sudah mempunyai anak dengan isteri yang lain).
أَو إِخوٰنِهِنَّ أَو بَني إِخوٰنِهِنَّ أَو بَني أَخَوٰتِهِنَّ
atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki saudara perempuan mereka,
Juga dibenarkan menunjukkan perhiasan mereka kepada adik beradik lelaki mereka. Ini termasuk kepada adik beradik tiri juga.
Juga kepada anak-anak saudara mereka, sama ada anak adik beradik lelakinya atau anak adik beradik perempuannya. Sama sahaja bagi keduanya.
Mereka yang disebutkan di atas (dari ayahnya tadi) adalah ‘mahram’ bagi wanita itu, mereka dibolehkan memperlihatkan perhiasannya kepada orang-orang tersebut, tetapi bukan dengan cara tabarruj (berlebihan).
Dalam ayat ini tidak disebut pakcik dan juga anak menantu. Ini kerana mereka juga tidak boleh dikahwini, maka mereka juga termasuk di dalam ayat ini. Pernah sekali pakcik kepada A’isyah رضي الله عنها datang dan beliau takut untuk berjumpa dengannya. Maka selepas itu Nabi Muhammad ﷺ kembali dan berkata A’isyah رضي الله عنها boleh berjumpa dengan pakciknya itu tanpa menutup aurat.
Kebenaran ini tidak termasuk ipar duai kerana mereka itu bukanlah mahram. Memang waktu itu mereka tidak boleh dikahwini kerana mereka pasangan orang lain. Tapi kalau mereka bercerai, kita boleh menikahi mereka.
Dan ipar duai ini memang bahaya, kerana mereka itu selalunya rapat dengan kita dan mereka itu dianggap sebagai keluarga. Kita biasanya selalu berkumpul bersama-dalam dalam majlis keluarga. Jadi selalu boleh lihat melihat sesama sendiri. Dan kerana itu memang hendaklah dijaga sungguh dengan mereka.
Malangnya selalunya orang kita tidak menjaga perkara ini kerana mereka sangka itu semua keluarga sahaja. Tetapi lihatlah hadis Nabi ﷺ. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan sebuah hadis dari Rasulullah ﷺ yang telah bersabda:
“إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْو؟ قَالَ: “الحَمْو الْمَوْتُ”
“Janganlah kalian masuk menemui wanita.” Dikatakan, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu tentang (masuk menemui) saudara ipar?” Rasulullah ﷺ menjawab, “(Masuk menemui) saudara ipar ertinya maut.”
Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ sampai mengatakan mereka itu boleh dikaitkan dengan ‘maut’ kerana berat sangat apa yang akan terjadi kalau kita tidak menjaga aurat dari ipar duai. Ingatlah yang mereka itu bukanlah mahram dan mereka boleh juga ada keinginan kepada ipar mereka. Dan kita pun tahu ada banyak kisah bagaimana seorang lelaki ‘terlajak’ dengan iparnya sendiri.
أَو نِسائِهِنَّ
atau wanita-wanitanya,
Yakni seorang wanita dibolehkan menampakkan perhiasannya kepada ‘wanita muslimat’, bukan wanita kafir. Kerana itu ayat ini menyebut ‘wanitanya’ yang merujuk kepada sesama Muslim. Wanita Muslim dibenarkan kerana mereka tidak menceritakan keadaan kaum wanita muslimat kepada kaum lelaki mereka. Tapi kenalah berhati-hati dengan wanita bukan Muslim. Ini kerana takut mereka akan menceritakan tentang wanita itu kepada lelaki lain.
Ini kita dapat tahu dari kalimah yang digunakan. Kerana tidaklah digunakan kalimah نِسائِ sahaja yang boleh membawa maksud mana-mana wanita. Tapi kalimah yang digunakan adalah نِسائِهِنَّ (wanita-wanita ‘mereka’) yang membawa maksud wanita yang tertentu sahaja.
Adapun wanita muslimah, sesungguhnya dia sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan menceritakan perihal wanita lain (kepada lelaki) adalah haram sehingga dia hendaklah menahan dirinya dari melakukan hal tersebut. Rasulullah ﷺ telah bersabda:
“لَا تُبَاشِرُ المرأةَ المرأةَ، تَنْعَتُهَا لِزَوْجِهَا كَأَنَّهُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا”
Janganlah seorang wanita menceritakan (menggambarkan) keadaan wanita lain kepada suaminya, (hingga) seakan-akan suaminya memandang ke arahnya.
Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahihnya masing-masing melalui Ibnu Mas’ud.
Inilah hukum yang telah diketengahkan. Mungkin ramai wanita kita tidak tahu tentang perkara ini. Maka mereka sangka yang mereka boleh membuka tudung mereka di hadapan wanita yang bukan beragama Islam sedangkan perkara ini dilarang.
Sa’id ibnu Mansur telah meriwayatkan di dalam kitab sunannya, telah menceritakan kepada kami Isma’il ibnu Ayyasy, dari Hisyam ibnul Gazi, dari Ubadah ibnu Nissi, dari ayahnya, dari Al-Haris ibnu Qais, bahawa Khalifah Umar menulis surat kepada Abu Ubaidah yang isinya sebagai berikut:
Amma Ba’du, sesungguhnya telah sampai berita kepadaku yang mengatakan bahawa sebahagian dari kaum wanita muslimat sering memasuki tempat mandi sauna bersama wanita-wanita musyrik, dan hal itu terjadi di daerah selenggaraanmu. Maka tidak dihalalkan bagi wanita yang beriman kepada Allah ﷻ dan hari kemudian memperlihatkan auratnya kepada wanita lain kecuali wanita yang seagama dengannya.
Satu lagi pendapat yang mengatakan, نِسائِهِنَّ yang dimaksudkan adalah golongan wanita yang selalu berurusan dengan wanita itu, tidak kira sama ada Muslim atau pun tidak. Iaitu mereka yang dipercayai.
Maka kerana itu ada pendapat yang mengatakan boleh wanita yang bukan Muslim melihat aurat wanita. Tambahan pula kerana zaman sekarang amat susah untuk menjaga aurat dari mereka. Allahu a’lam.
Perhiasan yang dimaksudkan ialah bahagian leher, anting-anting, bahagian yang ditutupi oleh kain tudung, dan anggota lainnya yang tidak halal dilihat kecuali hanya oleh mahramnya.
أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُهُنَّ
atau hamba-hamba yang mereka miliki,
Ibnu Jarir رضي الله عنه mengatakan, yang dimaksudkan adalah ‘hamba’ perempuan yang musyrik. Dalam hal ini wanita muslimat dibolehkan memperlihatkan perhiasannya kepada hamba-hamba perempuannya, sekalipun mereka musyrik, kerana mereka adalah hambanya.
Demikianlah menurut pendapat yang dianut oleh Abdullah bin Mas`ud, Mujahid, Hasan Basri, Ibn Sirin, Said bin Musayyab, Ta`us dan Imam Abu Hanifah, dan juga Imam Shafi`i. Jadi ini tidak termasuk hamba lelaki walaupun dimiliki oleh wanita itu. Kerana kalaulah hamba itu dibebaskan, dia boleh berkahwin dengan wanita itu.
Tetapi menurut ulama’ seperti A’ishah dan Ummu Salamah berpendapat wanita muslimat dibolehkan memperlihatkan perhiasannya kepada hamba-hamba, baik yang lelaki mahupun yang perempuan. Mereka mengatakan demikian dengan berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud رحم الله yang mengatakan:
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عِيسَى، حَدَّثَنَا أَبُو جُمَيْعٍ سَالِمُ بْنُ دِينَارٍ، عَنْ ثَابِتٍ، عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَى فَاطِمَةَ بِعَبْدٍ قَدْ وَهَبَهُ لَهَا. قَالَ: وَعَلَى فَاطِمَةَ ثَوْبٌ إِذَا قَنَّعت بِهِ رَأْسَهَا لَمْ يَبْلُغْ رِجْلَيْهَا، وَإِذَا غَطَّتْ بِهِ رِجْلَيْهَا لَمْ يَبْلُغْ رَأْسَهَا، فَلَمَّا رَأَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَلْقَى قَالَ: “إِنَّهُ لَيْسَ عَلَيْكِ بَأْسٌ، إِنَّمَا هُوَ أَبُوكِ وَغُلَامُكِ”
Telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Isa, telah menceritakan kepada kami Abu Jami’ Salim ibnu Dinar, dari Sabit, dari Anas, bahawa Nabi ﷺ datang kepada Fatimah dengan membawa seorang hamba lelaki yang telah diberikan kepadanya. Sedangkan ketika itu Fatimah memakai pakaian yang apabila digunakan untuk menutupi kepalanya, maka bahagian kedua kakinya tidak tertutupi semua; dan apabila digunakan untuk menutupi kedua kakinya, maka bahagian kepalanya tidak tertutupi. Ketika Nabi ﷺ melihat keadaan Fatimah kebingungan, maka baginda bersabda: Sesungguhnya tidak mengapa bagimu (berpakaian seperti itu) kerana yang datang hanyalah ayahmu dan hambamu.
أَوِ التّٰبِعينَ غَيرِ أُولِي الإِربَةِ مِنَ الرِّجالِ
atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita)
Yakni seperti para pelayan yang bergaji di mana mereka yang berakal kurang dan lemah, tiada keinginan terhadap wanita dan tidak pula berkeinginan terhadap wanita.
Jadi terdapat dua kategori: Mereka itu adalah pekerja bawahan dan mereka tidak ada keinginan terhadap wanita. Ini kerana apabila mereka itu orang bawahan, mereka tidak berani untuk membuat benda tidak patut.
Walau bagaimanapun janganlah pula gunakan ayat ini sebagai alasan untuk bermudah-mudah dengan pekerja lelaki seperti pemandu, orang gaji dan sebagainya. Jangan cari alasan untuk memudahkan diri.
Ibnu Abbas رضي الله عنه mengatakan, yang dimaksudkan adalah lelaki dungu yang tidak mempunyai nafsu syahwat. Mujahid mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah lelaki yang tolol, iaitu akalnya lemah.
Sedangkan menurut Ikrimah, yang dimaksudkan adalah lelaki lembut (pondan) yang kemaluannya tidak dapat berereksi. Hal yang sama dikatakan oleh bukan hanya seorang dari kalangan ulama’ Salaf.
Di dalam kitab sahih disebutkan melalui hadis Az-Zuhri, dari Urwah, dari Aisyah رضي الله عنها bahawa dahulu ada seorang lelaki pondan yang biasa masuk menemui isteri Rasulullah ﷺ dan mereka menganggapnya termasuk orang lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita. Pada suatu hari Nabi ﷺ memasuki rumahnya, sedangkan lelaki tersebut sedang menggambarkan perihal seorang wanita. Lelaki itu mengatakan bahawa wanita tersebut apabila datang, maka melangkah dengan langkah yang lemah gemalai; dan apabila pergi, dia melangkah dengan lemah gemalai disertai dengan goyangan punggungnya. Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
“أَلَا أَرَى هَذَا يَعْلَمُ مَا هَاهُنَا، لَا يدخلَنّ عليكُنَ”
Bukankah kulihat orang ini mengetahui apa yang ada di sini? Jangan biarkan orang ini masuk menemui kalian!
Itu adalah kerana jelas yang lelaki itu pun tahu tentang wanita dan perasan tentang wanita, jadi tidaklah dia seorang lelaki yang lembut. Jadi lelaki yang sebegitu tidak boleh diperlihatkan perhiasan kepada mereka. Tetapi kalau memang mereka tidak ada keinginan kepada wanita, maka bolehlah kalau mereka melihat perhiasan wanita.
أَوِ الطِّفلِ الَّذينَ لَم يَظهَروا عَلىٰ عَورٰتِ النِّساءِ
atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.
Ia bermaksud kanak-kanak kecil belum mengenali aurat lagi. Yakni anak-anak kecil yang masih belum mengerti keadaan wanita dan aurat mereka seperti perkataannya yang lemah lembut lagi merdu, lenggak-lenggoknya dalam berjalan, gerak-geri dan sikapnya.
Apabila anak lelaki kecil masih belum memahami hal tersebut, maka dia boleh masuk menemui wanita walaupun wanita itu tidak menutup aurat dengan sempurna.
Ulama’ mengatakan mereka ini paling tua adalah berumur 12 tahun. Ini kerana mereka sepatutnya tidak ada lagi keinginan itu. Tapi pada zaman sekarang tidaklah dapat dipastikan kerana ada di kalangan kanak-kanak ini yang cepat matangnya. Ini kerana mereka dari kecil lagi sudah terdedah kepada perkara-perkara yang tidak senonoh dalam media sosial. Jadi mereka sudah terangsang dari kecil lagi. Maka, kenalah pandai menilai.
وَلا يَضرِبنَ بِأَرجُلِهِنَّ لِيُعلَمَ ما يُخفينَ مِن زينَتِهِنَّ
Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.
Wanita tidak boleh menghentakkan kaki sampai berbunyi perhiasan kaki mereka. Ini adalah perbuatan untuk menarik perhatian orang lelaki. Pada zaman Jahiliah dahulu, apabila seorang wanita berjalan di jalan, sedangkan dia memakai gelang kaki, jika tidak ada lelaki yang melihat dirinya, dia akan memukul-mukul kakinya ke tanah sehingga kaum lelaki mendengar bunyi gelangnya (dengan maksud menarik perhatian mereka). Maka Allah ﷻ melarang kaum wanita mukmin melakukan hal seperti itu.
Kalau zaman sekarang, ia boleh dilakukan dengan kasut tinggi. Ini kerana wanita zaman sekarang tidak memakai gelang kaki yang berbunyi, tetapi kalau dengan kasut tinggi yang berderap-derap bunyinya, itu pun sudah boleh dikira menarik perhatian.
Demikian pula halnya bila seseorang wanita memakai perhiasan lainnya yang tidak kelihatan, bila digerakkan akan menimbulkan suara dan dapat menarik perhatian lawan jenisnya; hal ini pun termasuk ke dalam apa yang dilarang oleh Allah ﷻ di dalam ayat ini.
Ini termasuk juga dengan suara wanita. Kalau bunyi perhiasan pun tidak boleh didengari, apatah lagi suara wanita itu sendiri. Maka kalau tidak perlu, jangan bercakap dengan lelaki ajnabi. Kerana itulah kalau dalam solat jemaah, dan imam buat kesilapan, lelaki boleh menegur dengan menyebut ‘Subhanallah’, tetapi wanita hanya menepuk tangan mereka sahaja. Suara mereka tidak boleh digunakan.
Tetapi memanglah susah untuk menjaga suara dari tidak didengari kepada bukan mahram pula. Nanti susah untuk membeli barang, untuk bekerja, atau meminta tolong dan sebagainya. Para isteri Nabi ﷺ pun ada bercakap dengan bukan mahram walaupun di belakang tabir. Maka ini hendaklah dinilai sendiri. Kalau ada keperluan, maka boleh bercakap; kalau tidak perlu, tidak perlu pun untuk bercakap-cakap dengan lelaki.
Malangnya wanita sekarang tidak tahu tentang perkara ini. Mereka kononnya menutup aurat, tetapi mereka memakai baju yang menarik perhatian. Mereka seolah-olah mahu lelaki melihat dan memerhatikan mereka. Mereka sepatutnya tidak menarik perhatian lelaki, tetapi mereka memakai baju yang menarik perhatian mereka.
Begitu juga dengan tudung. Sepatutnya untuk menutup perhatian lelaki terhadap mereka, tetapi kalau sudah pakai lilit sana sini, dengan warna dan corak yang menarik, bukankah itu akan menarik perhatian lelaki pula?
Termasuk ke dalam apa yang dilarang ialah memakai wangian bila keluar rumah, sebab kaum lelaki akan mencium baunya. Abu Isa At-Tirmizi رضي الله عنه mengatakan:
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ القَّطَّان، عَنْ ثَابِتِ بْنِ عُمَارة الْحَنَفِيِّ، عَنْ غُنَيْم بْنِ قَيْسٍ، عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ، وَالْمَرْأَةُ إِذَا اسْتَعْطَرَتْ فمرَّت بِالْمَجْلِسِ فَهِيَ كَذَا وَكَذَا” يَعْنِي زَانِيَةً
Telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Basysyar, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id Al-Qattan, dari Sabit ibnu Imarah Al-Hanafi, dari Ganim ibnu Qais, dari Abu Musa, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda:
Setiap mata ada zinanya. Seorang wanita bila memakai wangian, lalu melewati suatu majlis, maka dia (akan memperoleh dosa) anu dan anu. Yakni dosa zina mata.
Maka kaum wanita, elaklah dari berhias semasa keluar rumah. Sepatutnya perhiasan itu adalah untuk suami sahaja.
وَرَوَى التِّرْمِذِيُّ أَيْضًا مِنْ حَدِيثِ مُوسَى بْنِ عُبَيدة، عَنْ أَيُّوبَ بْنِ خَالِدٍ، عَنْ مَيْمُونَةَ بِنْتِ سَعْدٍ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم قَالَ: “الرَّافِلَةُ فِي الزِّينَةِ فِي غَيْرِ أَهْلِهَا، كَمَثَلِ ظُلْمَةِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ لَا نُورَ لَهَا”
Imam Turmuzi meriwayatkan melalui hadis Musa ibnu Ubaidah, dari Ayyub ibnu Khalid, dari Maimunah binti Sa’d, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Wanita yang berdandan bukan untuk suaminya, perihalnya sama dengan kegelapan di hari kiamat, tiada nur (cahaya) baginya.
وَتوبوا إِلَى اللهِ جَميعًا أَيُّهَ المُؤمِنونَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.
Dan bertaubatlah kalau dahulu kamu pernah melakukan perkara-perkara yang dilarang ini. Bertaubatlah kamu kerana banyak yang kamu telah langgar. Ikutlah saranan dari Allah ﷻ ini kerana ia adalah untuk kebaikan kita semua.
Perkara ini perlu dijaga dari rumah lagi, dari anak-anak kita kecil lagi. Fahamkanlah mereka tentang perkara ini supaya tidak susah untuk kita ubah mereka apabila mereka dewasa nanti.
Islam amat menjaga perkara ini sampaikan terdapat larangan berdua-duaan dengan wanita ajnabi. Kalau perlu berjumpa, maka kenalah ada mahram wanita itu.
Wanita juga dilarang untuk menyentuh lelaki. Kerana itulah apabila Nabi ﷺ mengadakan bai’ah dengan wanita, baginda tidak pernah berjabat tangan dengan mereka. Maka ini menjadi larangan bagi kita untuk berjabat salam dengan wanita.
Kerana itulah juga wanita dilarang untuk mengembara jauh tanpa mahramnya.
Pentingnya wanita dipisahkan dari lelaki, sampaikan baginda mengatakan wanita lebih afdhal untuk solat di rumah sahaja. Dan kalaupun mereka datang solat berjemaah di masjid, wanita haruslah duduk di saf belakang jauh dari lelaki.
Dan Nabi ﷺ mengarahkan supaya menyediakan pintu asing bagi wanita supaya tidak bertembung dengan lelaki yang berjemaah itu. Dan pada zaman Nabi ﷺ selepas solat, lelaki akan duduk dahulu untuk memberikan peluang kepada wanita untuk keluar dan balik dahulu. Ini supaya dua golongan itu tidak bertembung.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 26 Mei 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
jazakallah
LikeLike
Assalamualaikum ustaz.
Terima kasih atas tafsiran yg mudah & jelas mengenai ayat ini.
Saya nak bertanya tentang kalimah يَغضُضنَ مِن أَبصٰرِهِنَّ
Specifically tentang kalimah أَبصٰرِ .
Konsep pandangan ada beberapa kalimah. Ada نظر , ada “ro a” (Saya tak pasti ejaan arab dia). Boleh kongsikan lanjut hikmah / pengajaran yang boleh ambil melalui penggunaan kalimah أَبصٰرِ berbanding kalimah “pandangan” yang lain?
Nak kongsikan juga problem statement zaman sekarang terkait isu imaginasi (yang bukan visual nyata) tetapi akibat novel-novel lucah yang beredar di pasaran. Adakah perintah menundukkan pandangan cakupannya lebih luas daripada yang zahir, termasuklah “pandangan” imaginasi sebegini? kaitan dengan definisi “absor” itu sendiri.
Terima kasih ustaz.
LikeLike
Beza kalimah ‘pandangan’ dalam Qur’an
Pertamanya kita lihat beza antara نظر dan راى dulu. Kita lihat contoh dalam Qur’an. Lihat dulu Baqarah:69
قَالَ إِنَّهُ ۥ يَقُولُ إِنَّہَا بَقَرَةٌ۬ صَفۡرَآءُ فَاقِعٌ۬ لَّوۡنُهَا تَسُرُّ ٱلنَّـٰظِرِينَ
Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”.
Yang dilihat adalah lembu itu dan warnanya. Ia adalah pandangan biasa sahaja.
Sekarang lihat pada ayat 24:30
قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.
Nota: kalimah أَبۡصَـٰرِهِمۡ adalah dalam bentuk jamak kerana kalimah لِّلۡمُؤۡمِنِينَ pun dalam jamak juga.
Kenapa ada beza antara kalimah ٱلنَّـٰظِرِينَ dan kemudian أَبۡصَـٰرِهِمۡ pula?
Kalimah نظر bermaksud melihat, meneliti, melihat sesuatu yang di hadapan, memeriksa, beri perhatian. Jadi maksudnya lebih umum.
Sedangkan بصر bermaksud pemahaman yang mendalam, ada kaitan dengan hati dan kadangkala berkaitan dengan perkara yang tidak dapat melihat. Kerana itu salah satu nama Allah adalah البصير.
Bayangkan anda dahaga dan mencari air di padang pasir. Anda nampak macam ada wadi dan anda pergi ke arah itu. Mula apabila mencari dan melihat, kalimah نظر digunakan tapi kalau sampai ke situ dan anda dapati tidak ada apa, maka kalimah لا بصر yang digunakan. Nanti ada contoh dari Surah Waqiah.
Jadi kalimah أَبۡصَـٰرِهِمۡ digunakan dalam ayat 24:30 kerana pandangan yang dilarang adalah pandangan yang membawa ke hati. Kalau nampak sahaja (ternampak, sekali sahaja) maka ia tidak berdosa kerana itu pandangan biasa sahaja. Kerana itu dalam hadis digunakan kalimah النَّظْرَةَ.
Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda kepada Saidina Ali r.a:
يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ
Wahai Ali! Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua.(Sunan Abi Dawud: 2149)
Jadi pandangan yang dilarang adalah pandangan yang بصر kerana ia membawa kepada hati (dengan nafsu sekali). Lihat hadis di bawah.
Jarir ibn Abdillah r.a meriwayatkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang memandang wanita secara tidak sengaja, Baginda SAW menjawab:
اصْرِفْ بَصَرَكَ
Palingkan penglihatanmu. Sunan Abi Daud (2148)
Dalam hadis ini digunakan kalimah بَصَرَ kerana ia ada kaitan dengan hati. Agama melarang memandang ajnabi dengan pandangan بصر kerana ia membawa kepada hati. Dan dari hati itu boleh mengajak buat perkara-perkara yang tidak baik. Nanti akal mulalah memikirkan macam mana nak dapatkan nombor dia, nak bagi mesej kepada wanita (atau lelaki) itu dan kemudian cara-cara untuk mengorat dia. Asalnya dari pandangan sahaja. Maka kena tundukkan pandangan.
Sekarang lihat pada ayat 56:83-85
فَلَوۡلَآ إِذَا بَلَغَتِ ٱلۡحُلۡقُومَ (٨٣) وَأَنتُمۡ حِينَٮِٕذٍ۬ تَنظُرُونَ (٨٤) وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنكُمۡ وَلَـٰكِن لَّا تُبۡصِرُونَ (٨٥)
Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya; (83) Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. (84) Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat, (85)
Pertama bagi manusia biasa, mereka melihat biasa sahaja dan kerana itu kalimah تَنظُرُونَ digunakan. Tapi bila tidak nampak, digunakan kalimah تُبۡصِرُونَ.
Sekarang kita bezakan dengan kalimah رأى pula. Ia digunakan untuk unseen events. Dari kalimah inilah jadi الرؤية. Sekarang lihat fiil:1
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصۡحَـٰبِ ٱلۡفِيلِ (١)
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
Dalam ayat ini, kejadian itu adalah kejadian yang lepas. Allah bukan suruh kita tengok, tapi kita memikirkan perkara yang tidak dapat dilihat supaya kita boleh ambil pengajaran darinya.
kemudian lihat ayat 6,7 dari surah Takathur.
لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ (٦) ثُمَّ لَتَرَوُنَّہَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ (٧)
(Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang. (6) Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! (7)
Dalam dua ayat ini, digunakan kalimah رأى digunakan kerana neraka adalah perkara ghaib dan kita sekarang tidak dapat melihatnya. Tapi kita disuruh untuk bayangkan sahaja. Jadi ini bukan lihat dengan mata, tapi suruh kita lihat dengan akal, dengan hati. Ini berbeza dengan ayat 88:17 dan ayat-ayat seterusnya. Ini kerana itu semua perkara yang mudah dilihat dengan mata (langit, gunung, bumi).
أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى ٱلۡإِبِلِ ڪَيۡفَ خُلِقَتۡ (١٧) وَإِلَى ٱلسَّمَآءِ ڪَيۡفَ رُفِعَتۡ (١٨) وَإِلَى ٱلۡجِبَالِ كَيۡفَ نُصِبَتۡ (١٩) وَإِلَى ٱلۡأَرۡضِ كَيۡفَ سُطِحَتۡ (٢٠)
(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? (17) Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? (18) Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? (19) Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? (20)
Sekarang kita lihat bagaimana ketiga-tiga kalimah ‘pandangan’ ini digunakan tiga sekali dalam satu ayat iaitu 7:198.
وَإِن تَدۡعُوهُمۡ إِلَى ٱلۡهُدَىٰ لَا يَسۡمَعُواْۖ وَتَرَٮٰهُمۡ يَنظُرُونَ إِلَيۡكَ وَهُمۡ لَا يُبۡصِرُونَ
Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.
Apabila bila Nabi yang melihat ,digunakan kalimah ترى (kerana pandangan lebih mendalam) dan kalau mereka yang melihat, digunakan kalimah نظر sahaja kerana pandangan mereka biasa sahaja. ini kerana mereka tidak يبصرون (melihat dengan hati). Maknanya mereka tidak memikirkan.
Untuk mendapat iman, pandangan mendalam diperlukan, kalau tidak, maka tidak ada harapan. Macam Allah sebut dalam Baqarah:7
خَتَمَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ وَعَلَىٰ سَمۡعِهِمۡۖ وَعَلَىٰٓ أَبۡصَـٰرِهِمۡ غِشَـٰوَةٌ۬ۖ
Allah materaikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya
Dalam ayat ini, yang ditutup dalam ayat itu bukanlah pandangan mata fizikal, tapi pandangan mata hati yang lebih mendalam.
LikeLike