Tafsir Surah Tahreem Ayat 4 – 7 (Selamatkan keluarga)

Ayat 4: Oleh kerana pembohongan mereka itu bukan jenis yang dibenarkan, maka Allah telah menegur mereka berdua. Dan kemudian Allah suruh mereka bertaubat. 

إِن تَتوبا إِلَى اللَّهِ فَقَد صَغَت قُلوبُكُما ۖ وَإِن تَظٰهَرا عَلَيهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَولٰهُ وَجِبريلُ وَصٰلِحُ المُؤمِنينَ ۖ وَالمَلٰئِكَةُ بَعدَ ذٰلِكَ ظَهيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you two [wives] repent to Allāh, [it is best], for your hearts have deviated. But if you cooperate against him – then indeed Allāh is his protector, and Gabriel and the righteous of the believers and the angels, moreover, are [his] assistants.

(MELAYU)

Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan); dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula.

 

إِن تَتوبا إِلَى اللَّهِ

Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, 

Allah bercakap kepada kedua-dua isteri Nabi dengan menganjurkan mereka bertaubat.

 

فَقَد صَغَت قُلوبُكُما

maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong

Ada muqaddar di dalam ayat ini: Allah hendak memberitahu yang jikalau mereka bertaubat maka itu adalah baik bagi mereka.

Allah mengatakan yang jikalau mereka bertaubat maka memang hati mereka pun telah rasa bersalah dan condong untuk bertaubat maka teruskanlah niat untuk bertaubat dan minta maaf itu.

Atau ayat ini juga bermaksud teguran Allah kepada mereka kerana hati mereka telah condong kepada perkara yang tidak baik di dalam penipuan mereka. Maka ini adalah teguran dari Allah. 

 

وَإِن تَظٰهَرا عَلَيهِ

dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, 

Allah menegur mereka kerana menyusahkan Nabi Muhammad. Allah beritahu yang jikalau mereka bekerjasama sesama mereka untuk menyusahkan Nabi Muhammad, mereka sendiri yang akan susah. Maka hentikanlah. 

 

فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَولٰهُ وَجِبريلُ وَصٰلِحُ المُؤمِنينَ

maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik;

Allah mengingatkan kepada mereka berdua yang jikalau mereka menyusahkan begitu, maka kenalah ingat yang Allah, Malaikat Jibril dan juga seluruh orang mukmin akan menjadi pembantu kepada Baginda. Maksudnya mereka takkan menang. 

 

وَالمَلٰئِكَةُ بَعدَ ذٰلِكَ ظَهيرٌ

dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula.

Malaikat selain Jibrail pun akan tolong Nabi Muhammad.

Mereka diingatkan dengan perkara ini kerana baginda bukan sahaja seorang suami kepada mereka tetapi baginda juga seorang Rasul yang kena menjalankan tugas yang amat berat untuk menyampaikan agama kepada umat. Maka baginda tidak ada masa nak melayan mereka.

Dan jikalau mereka menyusahkan hati baginda maka tentunya ini akan menyusahkan pengajaran Baginda dan usaha baginda untuk menyampaikan agama. Baginda memang seorang sensitif dan terkesan dengan perasaan orang lain. Maka tentulah apa yang mereka lakukan itu menyesakkan fikiran baginda. 

Dan jikalau kamu tidak sedar juga maka ketahuilah bahawa kamu tidak akan menang kerana kamu tidak boleh melawan Allah, Jibril dan juga orang mukmin seluruhnya kerana kedudukan Nabi Muhammad itu tinggi dan baginda pasti akan dibantu.

Ada hadis yang panjang tentang perkara ini:

Syaikhain (Bukhari dan Muslim) telah meriwayatkannya melalui hadis Yahya ibnu Sa’id Al-Ansari, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa dia tinggal selama satu tahun (di Madinah) dengan tujuan akan menanyakan kepada Umar ibnul Khattab tentang makna suatu ayat yang dia tidak mampu menanyakannya secara langsung kerana segan kepadanya (Umar). Hinggalah Umar berangkat untuk menunaikan ibadah haji, dan Ibnu Abbas pun ikut berangkat bersamanya. Ketika kami berada dalam perjalanan pulang ke Madinah, di tengah jalan Umar turun di sebuah pohon Arak untuk menunaikan hajatnya.

Ibnu Abbas melanjutkan kisahnya: bahawa lalu aku berdiri menunggunya sampai menyelesaikan hajatnya. Setelah selesai, aku berjalan bersamanya, maka kutanyakan kepadanya, “Wahai Amirul Mu’minin, siapakah dua orang wanita yang membangkang terhadap Nabi?”

Berikut ini menurut lafaz Imam Bukhari dan Imam Muslim, bahawa siapakah kedua wanita yang disebutkan dalam firman-Nya: dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi. (At-Tahrim: 4) Umar menjawab, “Aisyah dan Hafsah,” kemudian disebutkan hingga akhir hadis dengan panjang lebar, dan sebagian dari mereka ada yang meringkasnya.

Imam Muslim mengatakan pula, telah menceritakan kepadaku Zuhair ibnu Harb, telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Yunus Al-Hanafi, telah menceritakan kepada kami Ikrimah ibnu Ammar, dari Sammak ibnul Walid Abu Zamil, telah menceritakan kepadaku Abdullah ibnu Abbas, telah menceritakan kepadaku Umar ibnul Khattab yang mengatakan bahawa ketika Nabi Allah memisahkan diri dari isteri-isterinya, aku masuk ke dalam masjid, tiba-tiba kulihat orang-orang sedang diam menundukkan pandangan mereka, lalu mereka berkata bahawa Rasulullah telah menceraikan isteri-isterinya. Demikian itu terjadi sebelum ada perintah untuk berhijab. Maka aku berkata pada diriku sendiri, “Aku benar-benar akan memberitahukan (masalah hijab itu) kepada beliau hari ini.” Kemudian disebutkan dalam hadis ini kisah masuknya Umar menemui Aisyah dan Hafsah serta nasihat Umar kepada keduanya.

Kemudian dilanjutkan bahawa aku (Umar) masuk dan aku bersua dengan Rabah (pelayan Rasulullah Saw.) sedang berdiri di depan pintu ruangan tamu. Maka aku panggil dia dan kukatakan kepadanya, “Hai Rabah, mintakanlah izin masuk kepada Rasulullah Saw. untukku.” Lalu disebutkan kisah seperti yang terdapat pada hadis sebelumnya. Hingga sampai pada perkataan Umar yang mengatakan, “Wahai Rasulullah, apakah yang memberatkanmu tentang urusan isteri-isterimu itu. Jika engkau ceraikan mereka, maka sesungguhnya Allah bersamamu, dan juga para malaikat-Nya, Jibril, Mikail, aku sendiri, Abu Bakar, dan semua orang mukmin bersamamu.” Setiap kalimat yang kukatakan selalu berharap semoga Allah menurunkan wahyu yang membenarkan perkataanku. Pada akhirnya turunlah ayat ini, yaitu ayat Takhyir: Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu. (At-Tahrim: 5) Dan firman-Nya: dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. (At-Tahrim: 4)

Maka kukatakan kepada beliau, “Apakah engkau telah menceraikan mereka?” Rasulullah Saw. menjawab, “Tidak.” Maka aku berdiri di pintu masjid, dan aku serukan dengan sekuat suaraku bahawa Nabi Saw. tidak menceraikan isteri-isterinya. Dan turunlah pula ayat ini, yaitu firman-Nya:

{وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الأمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الأمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ}

Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). (An-Nisa: 83)

Maka aku adalah orang yang mengulas berita peristiwa tersebut.


 

Ayat 5: Maka hendaklah mereka segera minta ampun atau ini ada kemungkinan yang lain. Iaitu Nabi Muhammad mungkin menceraikan mereka.

عَسىٰ رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبدِلَهُ أَزوٰجًا خَيرًا مِّنكُنَّ مُسلِمٰتٍ مُؤمِنٰتٍ قٰنِتٰتٍ تٰئِبٰتٍ عٰبِدٰتٍ سٰئِحٰتٍ ثَيِّبٰتٍ وَأَبكارًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Perhaps his Lord, if he divorced you [all], would substitute for him wives better than you – submitting [to Allāh], believing, devoutly obedient, repentant, worshipping, and traveling¹ – [ones] previously married and virgins.

  • Emigrating for the cause of Allāh.

(MELAYU)

Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.

 

عَسىٰ رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبدِلَهُ أَزوٰجًا خَيرًا مِّنكُنَّ

Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu,

Ini adalah ayat untuk menakutkan mereka kerana Nabi mungkin ceraikan mereka. Tentu mereka terkejut kalau terbayang baginda ceraikan mereka. Kerana mereka sedar yang kedudukan mereka waktu itu adalah di dalam kedudukan yang mulia sebagai isteri Rasulullah SAW. Dan kalau mereka dicerai, tentu itu adalah pertanda yang amat buruk bagi mereka. 

Allah beritahu jangan rasa hebat sangat jadi isteri Nabi kerana Dia boleh ganti mereka dengan isteri yang lebih baik dari mereka. Ini satu lagi tempelak bagi mereka: ada wanita yang lebih baik bagi mereka. Tentu apabila mereka dengar ayat ini, ia menjadi satu tamparan yang hebat bagi mereka. 

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Al-Ansari, telah menceritakan kepada kami Humaid, dari Anas, bahawa Umar ibnul Khattab pernah mengatakan bahawa telah sampai kepadanya suatu berita yang terjadi di antara Ummahatul Mu’minin dan Nabi Saw. Maka dia menasihati mereka seorang demi seorang. Umar mengatakan kepada mereka, “Sungguh kamu harus menghentikan sikap kamu terhadap Rasulullah Saw. yang demikian, atau benar-benar Allah akan memberikan ganti kepadanya dengan isteri-isteri lain yang lebih baik daripada kamu.” Hingga sampailah Umar kepada Ummahatul Mu’minin yang terakhir, tetapi dia disanggahnya dengan ucapan, “Hai Umar, ingatlah, Rasulullah Saw. sendiri tidak menasihati isteri-isterinya terlebih kamu.” Akhirnya Umar diam, dan turunlah firman-Nya: Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda, dan yang perawan. (At-Tahrim: 5)
Wanita yang menyanggah Umar dalam riwayat ini saat Umar menasihatinya adalah Ummu Salamah r.a. Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari.

 

مُسلِمٰتٍ مُؤمِنٰتٍ

yang patuh, yang beriman, 

Tiada huruf و antara sifat-sifat yang disebut dalam ayat ini, maksudnya ia adalah mawsuf sifat. Maksudnya ia adalah sifat kepada pengganti isteri Nabi. Semua sifat itu ada pada pengganti mereka. 

Yang pertama, mereka itu ‘muslim’ iaitu menyerah diri kepada Allah sepenuhnya.

Dan kedua, mereka itu mukmin yang bermaksud benar-benar beriman.

Apabila ada kalimah ‘muslim’ dan ‘mukmin’ dalam satu ayat, maka:

Muslim: bermaksud orang yang mengamalkan agama dengan benar. Jadi ini adalah dari segi amalan.

Mukmin: yang beriman sungguh. Jadi ini adalah dalam bentuk akidah.

 

قٰنِتٰتٍ

yang taat, 

Mereka akan menjadi orang yang taat. Taat itu ada dua perkara: 

1. Taat kepada Allah dan Rasul
2. Taat kepada suami mereka.

 

تٰئِبٰتٍ

yang bertaubat,

Mereka sentiasa bertaubat, bukan sekali sahaja tapi mereka selalu melakukannya. Ini kita faham dari bentuk kalimah yang digunakan.

Mereka taubat dalam taat. Walaupun mereka beriman dan taat dalam melaksanakan ibadat, tapi mereka tetap juga bertaubat. Kerana mereka tidak tahu manakah amalan mereka yang diterima.

Dan entah ada salah mereka kepada Allah yang mereka tidak perasan. Maka mereka terus membanyakkan taubat kepada Allah.

Maka mereka yang jenis ini tidaklah rasa bangga dan rasa selamat. Mereka sentiasa merendahkan diri dan bersentiasa berusaha untuk menjaga amalan dan iman mereka.

 

عٰبِدٰتٍ

yang mengerjakan ibadat, 

Mereka kuat melakukan ibadat. Apabila kuat melakukan ibadat, maka orang itu tidaklah leka dengan dunia dan sebaliknya mereka sentiasa mendekatkan diri dengan Allah. Maka mereka akan terjaga dari melakukan dosa kerana apabila buat ibadat, tidaklah seseorang itu melakukan dosa, bukan?

 

سٰئِحٰتٍ

yang berpuasa, 

Mereka juga kerap berpuasa. Kalimah ini dari katadasar س ي ح yang bermaksud ‘mengalir di daratan’, ‘bergerak ke depan dan ke belakang’, ‘bermusafir’. Ia membawa maksud ‘puasa’ dalam ayat ini kerana pada zaman dahulu, rahib bergerak dalam perjalanan mereka dan tidak ada makanan sampailah mereka sampai ke sesuatu tempat yang ada makanan.

Apabila dikatakan puasa dalam ayat ini, para wanita itu bukanlah setakat puasa di bulan Ramadhan yang wajib sahaja, tapi mereka selalu melakukan puasa sunat.

Inilah kualiti yang kena ada pada setiap wanita muslim. Maka sifat-sifat ini hendaklah cuba disematkan dalam diri wanita (dan juga lelaki). 

 

ثَيِّبٰتٍ وَأَبكارًا

yang janda dan yang perawan.

Wanita yang Allah kata boleh dijadikan sebagai pengganti isteri Nabi itu boleh sahaja janda atau anak dara. Allah boleh gantikan dengan mana-mana sahaja.

Tapi, selepas ayat ini diturunkan, Allah tidak tukar pun para isteri baginda dengan orang lain. Maksudnya isteri Nabi dah ada semua sifat-sifat itu. Termasuk ada dari kalangan mereka yang bernikah dengan Nabi semasa anak dara dan lebih ramai yang janda semasa menikah dengan baginda.

Maka para isteri Nabi waktu itu pun sudah ada sifat-sifat itu, kerana kalau tidak, tentu sudah kena tukar dah. 

Maka bukanlah ayat ini hendak mengatakan yang para isteri Nabi itu tidak ada sifat-sifat yang telah disebut ini; tapi Allah hendak mereka meninggalkan perbuatan mereka yang salah dan menyusahkan Nabi itu dan tumpukan perhatian mereka dengan meneruskan perbuatan baik mereka. Tinggalkan yang buruk dan teruskan dengan kebaikan yang mereka memang telah lakukan pun.


 

Ayat 6: Sekarang ayat ini ditujukan untuk semua pula. Ini adalah ayat yang berat dalam Qur’an. 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, protect yourselves and your families from a Fire whose fuel is people and stones, over which are [appointed] angels, harsh and severe; they do not disobey Allāh in what He commands them but do what they are commanded.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman, 

Dengarlah semua wahai orang-orang yang mengaku beriman. Dengar dan amalkanlah.

 

قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا

peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka 

Allah mengajar dalam ayat ini yang setiap orang ada tanggungjawab kepada orang lain. Kita bukanlah hanya bertanggungjawab ke atas diri kita sahaja, tapi ada tanggungjawap ke atas orang lain, iaitu keluarga yang berada dalam jagaan kita. Kita kena selamatkan mereka dari api neraka dengan sedaya upaya kita.

Qatadah mengatakan bahawa engkau perintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan engkau cegah mereka dari perbuatan durhaka terhadap­Nya. Dan hendaklah engkau tegakkan terhadap mereka perintah Allah dan engkau anjurkan mereka untuk mengerjakannya serta engkau bantu mereka untuk mengamalkannya.

Dan apabila engkau melihat di kalangan mereka terdapat suatu perbuatan maksiat terhadap Allah, maka engkau harus cegah mereka darinya dan engkau larang mereka melakukannya.

Hal yang sama telah dikatakan oleh Ad-Dahhak dan Muqatil, bahawa sudah merupakan suatu kewajiban bagi seorang muslim mengajarkan kepada keluarganya—baik dari kalangan kerabatnya ataupun budak-budaknya — hal-hal yang difardukan oleh Allah dan mengajarkan kepada mereka hal-hal yang dilarang oleh Allah yang harus mereka jauhi.

Semakna dengan ayat ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan Imam Turmuzi melalui hadis Abdul Malik ibnur Rabi’ ibnu Sabrah, dari ayahnya, dari kakeknya yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلَاةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ، فَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا”

Perintahkanlah kepada anak untuk mengerjakan solat bila usianya mencapai tujuh tahun; dan apabila usianya mencapai sepuluh tahun, maka pukullah dia kerana meninggalkannya.

Api neraka itu amat menakutkan. Maka lakukanlah semampu kamu untuk menyelamatkan dirimu dan bukan sahaja nak selamat diri sendiri sahaja, tapi cubalah selamatkan ahli keluarga juga. Kita kena ada usaha.

Selalunya apabila disuruh kita menyelamatkan diri daripada sesuatu, ia menunjukkan yang kita ada kemungkinan dikenakan dengan perkara itu. Akan tetapi ayat ini ditujukan kepada orang Islam dan bukannya kepada orang-orang kafir, bukan? Kenapa ada nasihat tentang neraka pula?

Maka ini memberi isyarat kepada kita bahawa orang-orang Islam belum tentu selamat lagi daripada api neraka. Jangan kita berangan yang apabila kita ini orang Islam, kita pasti selamat dari neraka. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang pasti selamat lagi. Maka kenalah ada usaha untuk menyelamatkan diri kita.

Ini meletakkan kita pada tempatnya (sedar diri sikit) iaitu kita kena sedar bahawa kita dan ahli keluarga kita belum tentu selamat lagi daripada api neraka. Oleh itu kita kena berusaha untuk menyelamatkan diri kita kerana jikalau kita tidak buat apa-apa, maka kita akan masuk ke dalam neraka.

Dan Allah menyuruh kita menyelamatkan diri kita dahulu kerana jikalau kita tidak menyelamatkan diri kita maka tentu kita tidak boleh menyelamatkan ahli keluarga kita. Ini macam dalam pesawat pramugari akan ajar kalau oksigen tidak cukup, maka kena pakai oksigen untuk diri sendiri dahulu sebelum tolong orang lain. Kerana kalau kita terus beri oksigen kepada anak kita kerana kita sayang dia tapi kerana kita tidak ada oksigen dan pengsan, bagaimana nak selamatkan anak kita pula?

Malangnya kadang-kadang kita tahu ada ibu bapa yang hantar anaknya ke Sekolah Agama supaya anaknya boleh jadi baik dan kenal agama sedikit. Memang itu elok tetapi dia sendiri tidak tahu apa-apa pun tentang agama. Ada yang hantar anak dan tunggu sahaja di luar. Bukan nak dengar apa yang diajar di dalam pun.

Maka di dalam hal ini kita kena pentingkan diri sendiri juga dimana kita kena pastikan yang kita selamat dulu dan jangan sibuk tentang hal orang lain dulu. Kerana kalau hal kita sendiri pun tidak selesai maka bagaimana kita nak sibuk nak bagi nasihat kepada orang lain?

Para sahabat telah bertanya dengan Nabi bagaimana cara untuk menyelamatkan diri daripada api neraka dan baginda menjawab dengan mengajar agama. Maka kita kena ajar agama kepada keluarga kita. Maka kita sendiri kenalah belajar agama dulu.

Ibu bapa kena tahu tentang agama dan mahir sampaikan mereka boleh bercakap kepada anak-anaknya. Dan ini dimulai dengan seorang suami mengajar kepada isterinya. Dan perkara ini bukannya dibuat di dalam bentuk ceramah kepada anak isteri tetapi hendaklah disebut dalam keadaan biasa sahaja seperti ketika sedang makan ataupun tengah berjalan-jalan atau pun tengah bersembang-sembang. Selitkan pelajaran agama dalam kehidupan kita. 

Maka ibu bapa kena jaga akhlak dan juga agama mereka kerana anak-anak bukannya tidak nampak apa yang mereka lakukan. Jikalau kita hanya memberi nasihat sahaja tetapi kita tidak amalkan sendiri, maka ia akan menjadi sesuatu yang tidak bermakna kepada anak-anak itu dan mereka pun tidak mahu ikut. Maka, kalau nak anak suka baca Qur’an, maka kenalah kita sendiri selalu baca Qur’an di hadapan mereka, bukan?

 

وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ

yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; 

Kita mahu supaya ahli keluarga kita selamat daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu. Dan apabila Allah sebut manusia dahulu sebelum disebut ‘batu’, maksudnya lebih banyak manusia daripada batu yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Maka ini amat menakutkan sekali.

Menurut suatu pendapat, yang dimaksud dengan ‘batu’ adalah berhala-berhala yang dahulunya dijadikan sesembahan, kerana ada firman Allah Swt. yang mengatakan:

{إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ}

Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan Jahanam. (Al-Anbiya: 98)

Maka kita kena ada usaha untuk menyelamatkan anak isteri kita kerana kita tentu tidak mahu ahli keluarga kita dibakar dalam api neraka, bukan?

 

عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ

penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, 

Allah takutkan kita lagi dengan memberitahu penjaga Neraka itu. Neraka itu dijaga oleh para malaikat yang garang dan mereka tidak ada perasaan belas kasihan kepada ahli neraka. Maka mereka tidak kisah untuk menyeksa ahli neraka itu dan mereka tidak ada belas kasihan dan kalau ahli neraka merayu apa saja pun mereka tidak akan dengar. 

Ini adalah kerana mereka lebih taat kepada Allah. Mereka tidak boleh nak ada belas kasihan lagi kerana di dalam neraka itu adalah tempat azab. Dan tugas mereka adalah untuk mengazab ahli neraka maka takkan mereka akan tinggalkan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah itu.

 

لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم

dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka

Dan para malaikat itu taat kepada Allah dan Allah telah beri arahan kepada mereka untuk menyeksa ahli neraka, maka mereka pasti akan melakukannya tanpa lengah dan tanpa belas kasihan kepada ahli neraka. Maka jangan harap ada sesiapa lagi yang akan kasihan kepada kita.

Kalau ada penjara di dunia, mungkin ada warden penjara yang agak-agak kasihan kepada banduan dalam penjara. Tapi jangan ada pengharapan ini di dalam neraka kerana kalau ada, maka akan jadi sia-sia sahaja. Maka untuk selamatkan diri kita adalah semasa di dunia lagi, bukannya nak mencuba nasib di akhirat kelak. 

 

وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ

dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Malaikat itu akan tetap menyeksa ahli neraka. Kalau seganas-ganas tentera yang paling ganas di dunia seperti Tentera Israel pun, masih ada yang tidak boleh terus menyeksa para tawanan kerana mereka masih ada sifat kemanusiaan lagi. Kerana itu kita selalu dengar ada tentera Israel yang membocorkan rahsia perbuatan kejam rejim Zionis.

Tetapi jangan harap ada para malaikat itu ada sifat kemanusiaan kerana mereka bukan manusia pun. Mereka akan tetap jalankan tugas mereka menyeksa ahli neraka. 


 

Ayat 7: Ayat Takhwif Ukhrawi

يٰأَيُّهَا الَّذينَ كَفَروا لا تَعتَذِرُوا اليَومَ ۖ إِنَّما تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have disbelieved, make no excuses that Day. You will only be recompensed for what you used to do.

(MELAYU)

Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ كَفَروا

Hai orang-orang kafir,

Ini adalah satu-satunya ayat di dalam Qur’an dimana Allah bercakap terus kepada orang-orang kafir. Kalau  di dalam ayat-ayat Qur’an yang lain apabila bercakap kepada orang kafir, Allah akan suruh Nabi Muhammad yang cakapkan.

Ini nampak macam iltifad (perubahan orang yang dihadap bercakap) kerana ayat sebelumnya Allah bercakap kepada orang beriman dan ayat selepasnya Allah bercakap kepada orang beriman kembali dan tiba-tiba pada ayat ini ada penukaran dimana Allah bercakap dengan orang kafir pula. Tetapi sebenarnya Allah bercakap kepada orang yang sama sahaja. Cuma sekarang Allah bercakap dengan keras kerana terus panggil mereka sebagai ‘orang kafir’ sahaja. 

Jadi mereka ini sebenarnya adalah orang Islam yang tidak berjaya melepaskan diri mereka daripada api neraka ataupun setelah diberikan nasihat mereka tetap juga tidak mengambil pengajaran. Maka mereka sekarang berada di dalam neraka dan waktu itu Allah bercakap dengan mereka dengan gelaran ‘orang kafir’ terus. Kerana kalau sudah masuk di dalam neraka takkan hendak digelar orang beriman lagi? 

Apa Allah katakan kepada mereka?

 

لا تَعتَذِرُوا اليَومَ

janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. 

Jadi ayat ini dikatakan kepada orang-orang Islam yang dimasukkan kedalam kafir dan waktu itu mereka supaya tidak beri alasan lagi. Mereka akan cuba hendak menyelamatkan diri mereka dengan beri berbagai-bagai alasan dan hujah, tapi Allah nak beritahu yang waktu itu hujah dan alasan mereka tidak laku langsung.

Allah nak tolak percubaan untuk menyelamatkan diri dengan beri alasan dari mereka. Allah nak kata: jangan buang masa nak beri alasan. 

 

إِنَّما تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ

Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.

Antara alasan yang cuba diberikan nanti adalah mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama di dunia itu salah. Maka dalam ayat ini Allah hendak memberitahu yang alasan itu tidak boleh dipakai kerana Allah telah memberi nasihat di dalam Qur’an dan telah diajar dalam sunnah.

Semua itu telah ada dan kalau ada manusia yang tidak mengamalkannya, itu adalah salah mereka kerana tidak belajar dan ambil pengajaran daripada Qur’an.

Maka ini adalah ancaman keras kepada manusia yang mengaku muslim tapi tidak mengamalkan amalan Islam seperti yang sepatutnya.  

Habis Ruku’ 1 dari 2 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 24 Mei 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s