Tafsir Surah Tahreem Ayat 3 – 5 (Selamatkan keluarga)

Tahreem Ayat 3: Ini adalah kisah kedua pula dan ada bersangkutan dengan kisah pertama.

وَإِذ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلىٰ بَعضِ أَزوٰجِهِ حَديثًا فَلَمّا نَبَّأَت بِهِ وَأَظهَرَهُ اللَّهُ عَلَيهِ عَرَّفَ بَعضَهُ وَأَعرَضَ عَن بَعضٍ ۖ فَلَمّا نَبَّأَها بِهِ قالَت مَن أَنبَأَكَ هٰذا ۖ قالَ نَبَّأَنِيَ العَليمُ الخَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when the Prophet confided to one of his wives a statement; and when she informed [another] of it and Allāh showed it to him, he made known part of it and ignored a part. And when he informed her about it, she said, “Who told you this?” He said, “I was informed by the Knowing, the Acquainted.”

(MELAYU)

Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad memberitahukan sebahagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebahagian yang lain (kepada Hafsah). Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: “Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?” Nabi menjawab: “Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

وَإِذ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلىٰ بَعضِ أَزوٰجِهِ حَديثًا

Dan ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang isterinya suatu peristiwa.

Ini adalah kisah Nabi ﷺ memberitahu sesuatu kepada salah seorang isterinya dan diingatkan supaya tidak diberitahu kepada orang lain. Akan tetapi kemudian isteri itu telah memberitahu kepada isteri yang lain. Maknanya, dia telah membocorkan rahsia. Kebanyakan tafsir mengatakan yang dimaksudkan adalah Hafsah.

Asas bagi perhubungan suami isteri adalah kepercayaan suami isteri. Oleh kerana itu suami kena simpan rahsia isteri dan isteri kena simpan rahsia suami. Jangan pasangan pula yang bocorkan rahsia kepada orang lain. Ini tidak patut berlaku.

فَلَمّا نَبَّأَت بِهِ

Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah)

Bayangkan Nabi Muhammad ﷺ telah dengar cakap Hafsah itu yang madu itu berbau busuk. Nabi ﷺ kata baginda tidak akan memakannya lagi tapi baginda ﷺ beritahu Hafsah jangan cakap kepada sesiapa. Akan tetapi Hafsah tidak pegang kata Nabi Muhammad ﷺ yang menghalangnya untuk membocorkan rahsia itu kepada sesiapa pun.

Seperti yang kita telah sebut, salah satu kisah yang dikatakan sebagai asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Mariyah Qibtiyyah. Kisahnya begini:

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Yahya, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ishaq, dari Az-Zuhri, dari Ubaidillah ibnu Abdullah, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa dia pernah bertanya kepada Umar ibnul Khattab, “Siapakah kedua wanita itu?” Umar ibnul Khattab menjawab, “Keduanya adalah Aisyah dan Hafsah.” Permulaan kisahnya ialah berkenaan dengan ibu Ibrahim (iaitu Mariyah Al-Qibtiyyah). Nabi Saw. menggaulinya di rumah Hafsah di hari gilirannya, maka Hafsah mengetahuinya, lalu berkata, “Hai Nabi Allah, sesungguhnya engkau telah melakukan terhadapku suatu perbuatan yang belum pernah engkau lakukan terhadap seorang pun dari isteri-isterimu. Engkau melakukannya di hari giliranku dan di atas peraduanku.” Maka Nabi SAW menjawab: Puaskah engkau bila aku mengharamkannya atas diriku dan aku tidak akan mendekatinya lagi? Hafsah menjawab, “Baiklah.” Maka Nabi pun mengharamkan dirinya untuk menggauli Mariyah, Nabi SAW bersabda, “Tetapi jangan kamu ceritakan hal ini kepada siapa pun.” Hafsah tidak tahan, akhirnya dia menceritakan kisah itu kepada Aisyah. Maka Allah SWT menampakkan (memberitahukan) hal itu kepada Nabi SAW, dan Allah SWT menurunkan firman-Nya: Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? (At-Tahrim:1) hingga beberapa ayat sesudahnya. Maka telah sampai kepada kamu suatu berita yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW membayar kifarat sumpahnya dan kembali menggauli budak perempuannya itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan ada rahsia lain. Iaitu ada yang Rasulullah ceritakan satu rahsia kepada salah seorang isteri Nabi. Dan isteri itu tanya kepada isteri lain: “Rasulullah ada cerita tak?”. Ini kerana dia bangga dia dapat tahu rahsia yang isteri lain tidak tahu. Menyebabkan isteri yang lagi satu itu rasa rendah diri atau tidak sedap hati kerana tidak tahu perkara itu.

 

وَأَظهَرَهُ اللَّهُ عَلَيهِ

dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad

Kemudian Allah ﷻ telah memberitahu kepada baginda ﷺ bahawa kisah itu sudah terbongkar. Yang Nabi Muhammad ﷺ telah suruh rahsiakan, Hafsah telah bocorkan. Allah ﷻ ceritakan tentang hal ini kerana ada pengajaran yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita. 

Ini juga menafikan yang Nabi Muhammad tahu perkara ghaib. Kerana kejadian itu Nabi tidak tahu kalau bukan Allah yang beritahu kepada baginda.

Ada riwayat yang mengatakan apabila Nabi dapat tahu perkara ini, baginda mahu menceraikan Hafsah. Akan tetapi Jibril datang dan menahan baginda. Jibril beritahu yang Hafsah banyak mengerjakan solat dan puasa dan nama beliau termasuk di dalam senarai isteri baginda di syurga. Allahu a’lam.

عَرَّفَ بَعضَهُ وَأَعرَضَ عَن بَعضٍ

lalu Muhammad memberitahukan sebahagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebahagian yang lain (kepada Hafsah). 

Kemudian Nabi Muhammad ﷺ telah memberi isyarat kepada isterinya itu yang baginda ﷺ sudah tahu apa yang telah berlaku tetapi tidaklah baginda menceritakan semuanya sekali. Baginda ﷺ hanya cakap dengan cara isyarat sahaja dan tidaklah menceritakan semuanya.

Nabi ﷺ cuma cakap sebegini: “bocor juga rahsia”. Nabi ﷺ tidak cakap pun siapa yang membocorkan rahsia kepada siapa (dan setakat apa yang telah dibocorkan) kerana bukan itu yang penting. Nabi ﷺ cuma hendak menegur sahaja kerana kesalahan isterinya itu. Dan ia menjadi pengajaran bagi kita.

Ada dua perkara tentang rahsia itu: tentang Nabi tidak mahu lagi makan madu dan satu lagi, yang Nabi bersumpah. Nabi ceritakan yang telah bocor tentang Nabi tidak mahu makan madu itu lagi. Tapi Nabi tidak ceritakan tentang pembocoran sumpah itu. Kerana Nabi tidak mahu bagi Hafsah susah hati sangat. Yang penting supaya Hafsah rasa bersalah dan bertaubat.

Ada pengajaran di dalam ayat ini. Kalau beritahu perkara kepada para isteri,  kena jaga-jaga. Ada keadaan tidak perlu beritahu semua. Kerana ada juga berahsia dengan isteri kerana takut dia salah faham pula. Cuma beritahu perkara yang perlu diberitahu sahaja. Begitu juga dengan isteri, bukan semua kena beritahu kepada suami.

فَلَمّا نَبَّأَها بِهِ قالَت مَن أَنبَأَكَ هٰذا

Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: “Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?”

Sepatutnya jikalau kita telah membocorkan sesuatu rahsia dan telah diketahui oleh pemberi maklumat itu, maka sepatutnya kita kenalah minta maaf tetapi sebaliknya isteri ini mahu tahu pula siapa yang memberitahu rahsia itu.

Nampaknya isteri itu hendak menyalahkan orang yang membocorkan rahsia itu  pula. Ini macam orang kita akan tanya balik: “siapa yang cakap?”, “siapa dah bocorkan rahsia ni!?”

قالَ نَبَّأَنِيَ العَليمُ الخَبيرُ

Nabi menjawab: “Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Maka Nabi Muhammad ﷺ telah marah dan memberitahu bahawa maklumat itu disampaikan oleh Allah ﷻ, bukan oleh orang lain. Maka tidak perlu nak salahkan sesiapa pula.

Kisah yang terjadi ini sebenarnya adalah perlakuan antara suami dan isteri dan ini perkara biasa sahaja sebenarnya dalam kehidupan manusia, tetapi kita kena ingat kembali bahawa Nabi Muhammad ﷺ dan juga para isteri baginda menjadi contoh kepada manusia, maka kerana itu Allah ﷻ menceritakan apa yang terjadi sebagai pengajaran untuk kita.

Nabi ﷺ adalah manusia yang penting dan baginda ada misi yang perlu dijalankan. Kalau rahsia dibocorkan kepada orang lain, maka tentulah ini akan membahayakan misi itu. Sekarang memanglah pembocoran rahsia itu perkara kecil sahaja. Tapi perkara kecil ini pun Allah ﷻ sudah tegur kerana nak mengingatkan jangan sampai terjadi kebocoran rahsia yang besar pula.

Maka ini mengajar kepada para isteri yang menjadi isteri kepada pemimpin masyarakat dan mereka yang ada tugas penting. Para isteri itu ada tanggungjawab menyimpan rahsia suami mereka. Mereka bukan orang biasa lagi kerana mereka pun ada tugas untuk masyarakat. Jangan senang-senang nak cerita apa yang terjadi di rumah kepada orang lain pula. Kenalah pandai simpan rahsia. Kerana kita tidak tahu mana rahsia yang bahaya dibocorkan atau tidak.

Apakah beza antara العَليمُ dan الخَبيرُ? Dua-dua bermaksud ‘mengetahui’, tetapi apabila diletakkan bersebelahan, tentu ada bezanya. Imam Ibnul Qayyim رحمه الله menjelaskan al-‘ilmu itu zahir (bahagian luar dari pengetahuan), sedangkan al-khibrah merupakan batin (bahagian dalam yang tersembunyi). Dan merupakan kesempurnaan ilmu adalah ketika mampu menyingkap al-khibrah tersebut. Dengan begitu al-khibrah merupakan bahagian dalam dari ilmu serta kesempurnaannya.” Di sini hendak memberitahu yang Allah tahu segalanya: zahir dan batin.


 

Tahreem Ayat 4: Oleh kerana pembohongan mereka itu bukan jenis yang dibenarkan, maka Allah ﷻ telah menegur mereka berdua. Dan kemudian Allah ﷻ suruh mereka bertaubat. 

إِن تَتوبا إِلَى اللَّهِ فَقَد صَغَت قُلوبُكُما ۖ وَإِن تَظٰهَرا عَلَيهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَولٰهُ وَجِبريلُ وَصٰلِحُ المُؤمِنينَ ۖ وَالمَلٰئِكَةُ بَعدَ ذٰلِكَ ظَهيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you two [wives] repent to Allāh, [it is best], for your hearts have deviated. But if you cooperate against him – then indeed Allāh is his protector, and Gabriel and the righteous of the believers and the angels, moreover, are [his] assistants.

(MELAYU)

Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan); dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula.

 

إِن تَتوبا إِلَى اللَّهِ

Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, 

Sekarang Allah ﷻ sedang bercakap kepada kedua-dua isteri Nabi ﷺ dengan menganjurkan mereka bertaubat. Ini kerana mereka telah bersalah. Maksud taubat adalah ‘kembali’ iaitu tukar perbuatan yang tidak baik kepada yang baik.

 

فَقَد صَغَت قُلوبُكُما

maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong

Ada muqaddar di dalam ayat ini: Allah ﷻ hendak memberitahu yang jikalau mereka bertaubat maka itu adalah baik bagi mereka. Jikalau mereka bertaubat maka memang hati mereka pun telah rasa bersalah dan condong untuk bertaubat pun, maka teruskanlah niat untuk bertaubat dan minta maaf itu.

Atau ayat ini juga bermaksud teguran Allah ﷻ kepada mereka kerana hati mereka telah condong kepada perkara yang tidak baik di dalam penipuan mereka. Hati mereka jadi suka kerana dapat yang mereka hendak dan telah menyusahkan Nabi. Maka ini adalah teguran dari Allah ﷻ. Kena bertaubat cepat-cepat, jangan buat lagi.

Kalau kita perhatikan, perbuatan mereka ini adalah kerana terlalu sayang kepada baginda, bukannya kerana benci. Akan tetapi cara mereka telah menyebabkan baginda jadi susah pula. Dan ini adalah perbuatan dosa dan kerana itu mereka kena bertaubat.

Tapi kena ingat yang mereka telah menyusahkan ‘suami’ mereka, bukan menyusahkan ‘Rasul’. Kerana lagi bahaya kalau menyusahkan seorang Rasul. Tapi kes sekarang ini tentang kedudukan Nabi sebagai seorang suami mereka.

Ada pengajaran tentang suami isteri di sini. Antara suami isteri, kenalah suka untuk buat benda-benda baik, benda yang menyenangkan sesama sendiri. Jangan menyusahkan pasangan masing-masing. Contohnya ketika bercakap, boleh tanya dengan elok, kenapa nak cakap kasar atau menyindir? Zahirkanlah kasih sayang suami isteri.

Soalan: adakah perkara ini mengaibkan Aisyah dan Hafsah? Bayangkan kisah mereka tersebut di dalam Al-Qur’an dan dibaca sehingga ke Hari Kiamat. Tidakkah mereka dimalukan dengan perkara ini?

Kita kena sedar yang melakukan dosa bukanlah perkara yang memalukan sangat. Kerana kita semua berdosa. Bezanya dosa mereka disebut di dalam Al-Qur’an. Akan tetapi yang lebih penting adalah taubat. Allah suka kalau kita bertaubat setelah melakukan dosa.

Dan walaupun kisah mereka disebut di dalam Al-Qur’an, tapi kita yang membacanya mendapat manfaat dari kisah mereka. Maka mereka berterusan mendapat pahala kerana kisah mereka ini memberi manfaat kepada umat. Maka sebenarnya mereka beruntung.

 

وَإِن تَظٰهَرا عَلَيهِ

dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, 

Allah ﷻ menegur mereka kerana menyusahkan hati Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ beritahu yang jikalau mereka bekerjasama sesama mereka untuk menyusahkan Nabi Muhammad ﷺ, mereka sendiri yang akan susah. Maka hentikanlah, bertaubatlah kerana akan jadi malang bagi mereka kalau terus melakukannya.

 

فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَولٰهُ وَجِبريلُ وَصٰلِحُ المُؤمِنينَ

maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik;

Allah ﷻ mengingatkan kepada mereka berdua yang jikalau mereka menyusahkan baginda lagi, maka kenalah ingat yang Allah ﷻ, Malaikat Jibril dan juga seluruh orang mukmin akan menjadi pembantu kepada Baginda ﷺ. Maksudnya mereka takkan menang. Maka berhentilah. Kena ingat yang Nabi ada kedudukan di sisi Allah.

 

وَالمَلٰئِكَةُ بَعدَ ذٰلِكَ ظَهيرٌ

dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula.

Para malaikat selain Jibrail pun akan tolong Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi tadi telah disebut Jibril secara khusus, kenapa pula? Ini adalah kerana kedudukan Jibril yang lebih tinggi dari para malaikat yang biasa.

Maknanya, para isteri baginda diingatkan dengan perkara ini kerana baginda bukan sahaja seorang suami kepada mereka tetapi baginda juga seorang Rasul yang kena menjalankan tugas yang amat berat untuk menyampaikan agama kepada umat. Maka baginda ﷺ tidak ada masa nak melayan kerenah mereka dengan perkara remeh sebegitu.

Dan jikalau mereka menyusahkan hati baginda maka tentunya ini akan menyusahkan tugas pengajaran Baginda dan usaha baginda untuk menyampaikan agama. Baginda ﷺ memang seorang yang sensitif dan terkesan dengan perasaan orang lain. Maka tentulah apa yang mereka lakukan itu menyesakkan fikiran baginda. 

Dan jikalau kamu tidak sedar juga maka ketahuilah bahawa kamu tidak akan menang kerana kamu tidak boleh melawan Allah ﷻ, Jibril, para malaikat lain dan juga orang mukmin seluruhnya kerana kedudukan Nabi Muhammad ﷺ itu tinggi dan baginda pasti akan dibantu. Ayat ini bukan hanya ditujukan kepada Aisyah dan Hafsah sahaja tetapi sesiapa sahaja. Kalau hendak mengalahkan Nabi, kamu pasti akan kalah.

Jadi di mana dalil yang mengatakan dua orang yang disebut dalam ayat ini merujuk kepada Aisyah dan Hafsah? Kerana di dalam Al-Qur’an hanya disebut secara umum sahaja. Kita tahu kerana ada hadis yang panjang tentang perkara ini:

Syaikhain (Bukhari dan Muslim) telah meriwayatkannya melalui hadis Yahya ibnu Sa’id Al-Ansari, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa dia tinggal selama satu tahun (di Madinah) dengan tujuan akan menanyakan kepada Umar ibnul Khattab tentang makna suatu ayat yang dia tidak mampu menanyakannya secara langsung kerana segan kepadanya (Umar). Hinggalah Umar berangkat untuk menunaikan ibadah haji, dan Ibnu Abbas pun ikut berangkat bersamanya. Ketika kami berada dalam perjalanan pulang ke Madinah, di tengah jalan Umar turun di sebuah pohon Arak untuk menunaikan hajatnya.

Ibnu Abbas melanjutkan kisahnya: lalu aku berdiri menunggunya sampai menyelesaikan hajatnya. Setelah selesai, aku berjalan bersamanya, maka kutanyakan kepadanya, “Wahai Amirul Mu’minin, siapakah dua orang wanita yang membangkang terhadap Nabi?”

Berikut ini menurut lafaz Imam Bukhari dan Imam Muslim, bahawa siapakah kedua wanita yang disebutkan dalam firman-Nya: dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi. (At-Tahrim: 4) Umar menjawab, “Aisyah dan Hafsah,” kemudian disebutkan hingga akhir hadis dengan panjang lebar, dan sebahagian dari mereka ada yang meringkasnya.

Imam Muslim mengatakan pula, telah menceritakan kepadaku Zuhair ibnu Harb, telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Yunus Al-Hanafi, telah menceritakan kepada kami Ikrimah ibnu Ammar, dari Sammak ibnul Walid Abu Zamil, telah menceritakan kepadaku Abdullah ibnu Abbas, telah menceritakan kepadaku Umar ibnul Khattab yang mengatakan bahawa ketika Nabi Allah memisahkan diri dari isteri-isterinya, aku masuk ke dalam masjid, tiba-tiba kulihat orang-orang sedang diam menundukkan pandangan mereka, lalu mereka berkata bahawa Rasulullah telah menceraikan isteri-isterinya. Demikian itu terjadi sebelum ada perintah untuk berhijab. Maka aku berkata pada diriku sendiri, “Aku benar-benar akan memberitahukan (masalah hijab itu) kepada beliau hari ini.” Kemudian disebutkan dalam hadis ini kisah masuknya Umar menemui Aisyah dan Hafsah serta nasihat Umar kepada keduanya.

Kemudian dilanjutkan bahawa aku (Umar) masuk dan aku bersua dengan Rabah (pelayan Rasulullah SAW.) sedang berdiri di depan pintu ruangan tamu. Maka aku panggil dia dan kukatakan kepadanya, “Hai Rabah, mintakanlah izin masuk kepada Rasulullah SAW untukku.” Lalu disebutkan kisah seperti yang terdapat pada hadis sebelumnya. Hingga sampai pada perkataan Umar yang mengatakan, “Wahai Rasulullah, apakah yang memberatkanmu tentang urusan isteri-isterimu itu. Jika engkau ceraikan mereka, maka sesungguhnya Allah bersamamu, dan juga para malaikat-Nya, Jibril, Mikail, aku sendiri, Abu Bakar, dan semua orang mukmin bersamamu.” Setiap kalimat yang kukatakan selalu berharap semoga Allah menurunkan wahyu yang membenarkan perkataanku. Pada akhirnya turunlah ayat ini, iaitu ayat Takhyir: Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu. (At-Tahrim: 5) Dan firman-Nya: dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. (At-Tahrim: 4)

Maka kukatakan kepada beliau, “Apakah engkau telah menceraikan mereka?” Rasulullah Saw. menjawab, “Tidak.” Maka aku berdiri di pintu masjid, dan aku serukan dengan sekuat suaraku bahawa Nabi SAW tidak menceraikan isteri-isterinya. Dan turunlah pula ayat ini, iaitu firman-Nya:

{وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الأمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الأمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ}

Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). (An-Nisa: 83)

Maka aku adalah orang yang mengulas berita peristiwa tersebut.


 

Tahreem Ayat 5: Maka hendaklah mereka segera minta ampun. Jangan berlengah-lengah lagi.

Atau, ini ada kemungkinan yang lain. Iaitu Nabi Muhammad ﷺ mungkin menceraikan mereka.

عَسىٰ رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبدِلَهُ أَزوٰجًا خَيرًا مِّنكُنَّ مُسلِمٰتٍ مُؤمِنٰتٍ قٰنِتٰتٍ تٰئِبٰتٍ عٰبِدٰتٍ سٰئِحٰتٍ ثَيِّبٰتٍ وَأَبكارًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Perhaps his Lord, if he divorced you [all], would substitute for him wives better than you – submitting [to Allāh], believing, devoutly obedient, repentant, worshipping, and traveling¹ – [ones] previously married and virgins.

  • Emigrating for the cause of Allāh.

(MELAYU)

Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.

 

عَسىٰ رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبدِلَهُ أَزوٰجًا خَيرًا مِّنكُنَّ

Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu,

Ini adalah ayat untuk menakutkan para isteri Nabi kerana Nabi ﷺ mungkin ceraikan mereka. Tentu mereka terkejut kalau terbayang baginda ceraikan mereka. Kerana mereka sedar yang kedudukan mereka waktu itu adalah di dalam kedudukan yang mulia sebagai isteri Rasulullah ﷺ. Dan kalau mereka dicerai, tentu itu adalah pertanda yang amat buruk bagi mereka. 

Allah ﷻ beritahu jangan rasa hebat sangat jadi isteri Nabi kerana Dia ﷻ boleh sahaja ganti mereka dengan isteri yang lebih baik dari mereka. Ini satu lagi tempelak bagi mereka: ada wanita yang lebih baik bagi mereka. Tentu apabila mereka dengar ayat ini, ia menjadi satu tamparan yang hebat bagi mereka. 

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Al-Ansari, telah menceritakan kepada kami Humaid, dari Anas, bahawa Umar ibnul Khattab pernah mengatakan bahawa telah sampai kepadanya suatu berita yang terjadi di antara Ummahatul Mu’minin dan Nabi SAW. Maka dia menasihati mereka seorang demi seorang. Umar mengatakan kepada mereka, “Sungguh kamu harus menghentikan sikap kamu terhadap Rasulullah SAW yang demikian, atau benar-benar Allah akan memberikan ganti kepadanya dengan isteri-isteri lain yang lebih baik daripada kamu.” Hingga sampailah Umar kepada Ummahatul Mu’minin yang terakhir, tetapi dia disanggahnya dengan ucapan, “Hai Umar, ingatlah, Rasulullah SAW sendiri tidak menasihati isteri-isterinya terlebih kamu.” Akhirnya Umar diam, dan turunlah firman-Nya: Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda, dan yang perawan. (At-Tahrim: 5)
Wanita yang menyanggah Umar dalam riwayat ini saat Umar menasihatinya adalah Ummu Salamah r.a. Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari.

مُسلِمٰتٍ مُؤمِنٰتٍ

yang patuh, yang beriman, 

Tiada huruf و antara sifat-sifat yang disebut dalam ayat ini, maksudnya ia adalah mawsuf sifah. Maksudnya ia adalah sifat kepada pengganti isteri Nabi (jika ada). Semua sifat itu ada pada pengganti mereka (para isteri Nabi waktu itu). 

Yang pertama, mereka itu ‘muslimah’ iaitu menyerah diri kepada Allah ﷻ sepenuhnya. Dan kedua, mereka itu mukminah yang bermaksud benar-benar beriman. Bukan setakat ‘muslimah’ sahaja.

Apabila ada kalimah ‘muslim’ dan ‘mukmin’ dalam satu ayat, maka:

Muslim: bermaksud orang yang mengamalkan agama dengan benar. Jadi ini adalah dari segi amalan.

Mukmin: yang beriman sungguh. Jadi ini adalah dalam bentuk akidah.

 

قٰنِتٰتٍ

yang taat, 

Mereka adalah orang yang taat. Taat itu ada dua perkara: 

1. Taat kepada Allah ﷻ dan Rasul
2. Taat kepada suami mereka. Dalam surah ini telah disebut tentang masalah yang ada dengan mereka.

 

تٰئِبٰتٍ

yang bertaubat,

Mereka sentiasa bertaubat, dan dari kalimah yang digunakan ini, ia bermaksud bukan sekali sahaja tapi mereka selalu melakukannya. Maka maknanya mereka itu adalah orang yang ‘taubat dalam taat’. Maksudnya walaupun mereka beriman dan taat dalam melaksanakan ibadat, tapi mereka tetap juga bertaubat. Kerana mereka tidak tahu manakah amalan mereka yang diterima (dan entah ada kekurangan dalam amal perbuatan mereka).

Dan entah ada salah mereka kepada Allah ﷻ yang mereka tidak perasan. Maka mereka terus membanyakkan taubat kepada Allah ﷻ. Maka mereka yang jenis ini tidaklah rasa bangga dan rasa selamat dengan amalan mereka. Mereka sentiasa merendahkan diri dan sentiasa berusaha untuk menjaga amalan dan iman mereka. Ingatlah yang orang yang rasa selamat itulah yang tidak selamat.

 

عٰبِدٰتٍ

yang mengerjakan ibadat, 

Mereka kuat melakukan ibadat. Apabila kuat melakukan ibadat, maka orang itu tidaklah leka dengan dunia dan sebaliknya mereka sentiasa mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Maka mereka akan terjaga dari melakukan dosa kerana apabila bila seseorang itu banyak buat ibadat, tidaklah dia melakukan dosa, bukan?

 

سٰئِحٰتٍ

yang berpuasa, 

Mereka juga kerap berpuasa. Kalimah ini dari kata dasar س ي ح yang bermaksud ‘mengalir di daratan’, ‘bergerak ke depan dan ke belakang’, ‘bermusafir’. Ia membawa maksud ‘puasa’ dalam ayat ini kerana pada zaman dahulu, rahib bergerak dalam perjalanan mereka dan tidak ada makanan sampailah mereka sampai ke sesuatu tempat yang ada makanan.

Apabila dikatakan puasa dalam ayat ini, para wanita itu bukanlah setakat puasa di bulan Ramadhan yang wajib sahaja, tapi mereka selalu melakukan puasa sunat.

Inilah kualiti yang kena ada pada setiap wanita muslimah. Maka sifat-sifat ini hendaklah cuba disematkan dalam diri wanita (dan juga lelaki). 

 

ثَيِّبٰتٍ وَأَبكارًا

yang janda dan yang perawan.

Wanita yang Allah ﷻ kata boleh dijadikan sebagai pengganti isteri Nabi itu boleh sahaja janda atau anak dara. Allah ﷻ boleh gantikan dengan mana-mana wanita sahaja.

Tapi sebenarnya, selepas ayat ini diturunkan, Allah ﷻ tidak tukar pun para isteri baginda dengan orang lain. Maksudnya isteri Nabi sebenarnya sudah ada semua sifat-sifat itu. Termasuk ada dari kalangan mereka yang bernikah dengan Nabi ﷺ semasa anak dara dan lebih ramai yang janda semasa menikah dengan baginda. Maka para isteri Nabi waktu itu pun sudah ada sifat-sifat itu, kerana kalau tidak, tentu sudah kena tukar. 

Maka bukanlah ayat ini hendak mengatakan yang para isteri Nabi itu tidak ada sifat-sifat yang telah disebut ini; tapi Allah ﷻ hendak mereka meninggalkan perbuatan mereka yang salah dan menyusahkan Nabi ﷺ itu dan tumpukan perhatian mereka dengan meneruskan perbuatan baik mereka. Tinggalkan yang buruk dan teruskan dengan kebaikan yang mereka memang telah lakukan pun.

Bukanlah ayat ini hendak kata yang ada wanita lain yang lebih baik dari mereka. Mungkin tidak ada pun pada masa itu. Akan tetapi kalaulah Allah mahu, Allah boleh adakan wanita yang lebih dari mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 16 Ogos 2022

Ringkasan Surah Tahreem


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Maulana Asri

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s