Tafsir Surah Tahreem Ayat 1 – 2 (Nabi ﷺ nak jaga hati isterinya)

Pengenalan: 

Surah ini boleh dikatakan sebagai kembar kepada Surah Talaq sebelum ini. Dalam Surah Talaq kita telah belajar bagaimana apabila cinta sudah tidak ada antara suami dan isteri (atau sebab-sebab lain), maka mereka boleh bercerai. Dan sekarang kita akan belajar bahawa di waktu yang lain pula ada orang yang terlalu sayang kepada isteri sampai ia boleh mengganggu agama. Ini pun tidak bagus. Maka Allah ﷻ beri nasihat kepada kita. Allah mengajar para suami bagaimana mendidik para isteri yang senang cemburu.

Adakah salah untuk cemburu? Tentu tidak, kerana ini adalah sifat semulajadi manusia. Tapi jangan sampai teruk sangat sampai menyusahkan diri dan mengganggu amalan agama dan ibadah.

Isi utama surah ini sama dengan Surah Hadid kerana ada disebut tentang infak dan juga jihad. Surah Hadid adalah pembuka kepada Surah-surah Musabbihaat dan Surah Tahrim ini adalah penutupnya. Ada 10 surah berangkai semua sekali.

Dan kerana ia sebagai penutup maka ia kembali membincangkan kedua-dua topik infak dan jihad yang penting dalam Surah-surah Musabbihaat ini. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak

Dalam Surah Tahreem ini Allah ﷻ menegur Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan mencari dan mengejar keredhaan manusia dan menepikan keredhaan Allah ﷻ. Maka ia mengajar kita supaya jangan utamakan redha manusia dibandingkan dengan keredhaan Allah ﷻ. Jadi setiap masa di dalam hidup kita hendaklah kita mencari redha Allah ﷻ dan jika kita tidak perhatikan perkara ini, maka kita boleh tersasar dari apa yang sepatutnya kita lakukan. 

Kerana itulah ramai yang tidak mampu nak amalkan agama Islam dengan benar kerana takut pandangan masyarakat. Takut ada yang terasa dan takut digelar sebagai Wahabi pun ada. Maka ingatlah jangan takut kepada golongan yang jahil. Kerana kalau mereka menuduh seseorang itu sebagai Wahabi, maka itu sudah menjadi tanda kejahilan mereka. Maka tak perlu layan dan risau. Biarkan sahaja mereka.

Walaupun ayat ini ditujukan kepada Nabi ﷺ tetapi ianya ada pengajaran buat kita di mana Allah ﷻ mengajar jikalau hidup kita ini ada perjuangan untuk menegakkan agama, maka perkara-perkara lain perlulah diletak sebagai nombor 2 sahaja. Mesti utamakan perjuangan menegakkan agama Islam. 

Ada kisah tentang Nabi Muhammad ﷺ dan para isteri baginda dalam surah ini. Seperti yang kita tahu, Nabi ﷺ ada isteri yang ramai tetapi ada isterinya yang dia lebih kasih kalau dibandingkan dengan isteri-isteri yang lain. Ini biasa sahaja dan bukanlah satu kekurangan pada diri baginda ﷺ. Baginda ﷺ boleh beri nafkah yang sama banyak kepada semua isteri baginda dan menggilir hari dengan mereka, tetapi kecintaan baginda ﷺ tidak boleh sama. Kerana perasaan cinta tidak dapat dikawal (walaupun bagi Nabi). 

Maka kalau ada di kalangan kita yang beristeri lebih dari satu, maka memang akan ada salah seorang yang dia lebih sayang lebih dari yang lain. Maka ini adalah normal.

Yang kedua, berkenaan kesukaan baginda di mana salah satunya baginda suka makan madu. Memang makan madu adalah Sunnah Nabi. Kerana untuk rawat hati adalah dengan baca Al-Qur’an dan untuk rawat fizikal adalah dengan madu. Ini seperti disebut dalam banyak hadis antaranya hadis dari Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhu. Beliau radhiyallahu ‘anhu menceritakan,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ إِنَّ أَخِى اسْتَطْلَقَ بَطْنُهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « اسْقِهِ عَسَلاً ». فَسَقَاهُ ثُمَّ جَاءَهُ فَقَالَ إِنِّى سَقَيْتُهُ عَسَلاً فَلَمْ يَزِدْهُ إِلاَّ اسْتِطْلاَقًا. فَقَالَ لَهُ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ جَاءَ الرَّابِعَةَ فَقَالَ « اسْقِهِ عَسَلاً ». فَقَالَ لَقَدْ سَقَيْتُهُ فَلَمْ يَزِدْهُ إِلاَّ اسْتِطْلاَقًا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « صَدَقَ اللَّهُ وَكَذَبَ بَطْنُ أَخِيكَ ». فَسَقَاهُ فَبَرَأَ.

“Sesungguhnya ada seorang laki-laki yang mendatangi Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Dia berkata, ’Saudaraku sakit perut.’ Rasulullah berkata, ’Minumkanlah madu kepadanya.’ Laki-laki itu lalu meminumkan madu kepada saudaranya. Kemudian laki-laki itu datang lagi, dan berkata, ’Aku telah memberinya madu, namun penyakitnya semakin bertambah.’ Maka Rasulullah berkata lagi kepadanya untuk yang ketiga kalinya. Kemudian laki-laki itu datang lagi untuk yang keempat kalinya. Rasulullah tetap berkata, ’Minumkanlah madu kepadanya.’ Laki-laki tersebut datang lagi dan berkata, ’Sungguh sudah saya beri minum madu, namun penyakitnya semakin bertambah.’ Maka Rasulullah bersabda,  ’Maha benar Allah, dan dustalah perut saudaramu’. Laki-laki itu lalu meminumkan madu kepada saudaranya, dan akhirnya sembuh.” (HR. Bukhari no. 5684)

Nota: ini mengajar kita untuk yakin dengan pengubatan madu. Cuma kenalah cari madu yang asli.

Dan di dalam kisah ini ada kisah berkenaan isteri baginda yang bernama Zainab bint Jahshy di mana beliau seorang yang rapat dengan baginda dari segi kekeluargaan kerana baginda adalah sepupu kepada Rasulullah ﷺ. Pernikahan Zainab agak lewat kerana asalnya beliau telah menikah dengan Zaid bin Harithah iaitu anak angkat Rasulullah.

Zainab pandai melihat apa yang Nabi ﷺ suka dan dia dapat kesan yang Nabi ﷺ suka madu maka dia pun cari madu untuk diberikan kepada Baginda ﷺ. Zainab cari madu yang paling bagus untuk dijamu kepada baginda ﷺ. 

Nabi ﷺ kebiasaannya akan melawat setiap isterinya setiap hari (selepas waktu Asar) walaupun bukanlah menjadi kewajipan ke atas baginda ﷺ. Tujuan baginda adalah bertanya khabar kepada mereka. Semua akan dilawati tetapi tidakkah baginda ﷺ bermalam dengan mereka semua tetapi hanya melawat sahaja. Dan baginda selalu pergi rumah Zainab untuk makan madu dan perkara ini telah diketahui oleh Aisyah dan juga Hafsah رضي الله عنهما. Kerana apabila baginda di sana, baginda akan lama di sana.

Di kalangan isteri Nabi boleh dikatakan terbahagi kepada dua ‘kumpulan’ iaitu satu kumpulan mengikut Aisyah dan satu kumpulan mengikut Zainab رضي الله عنهما. Aisyah anak Saidina Abu Bakr dan Hafsah anak Saidina Umar, maka dua-dua anak orang yang hebat. Jadi macam dua kem pula. Dan Hafsah rapat dengan Aisyah رضي الله عنهما maka mereka tahu yang Nabi ﷺ selalu makan madu di rumah Zainab رضي الله عنها. Mereka jadi agak cemburu kerana baginda lama di rumah Zainab رضي الله عنها, maka mereka telah buat satu rancangan. 

Mereka buat rancangan yang kalau baginda pergi rumah mereka dari rumah Zainab, mereka akan kata yang mulut baginda berbau busuk. Tujuannya supaya baginda ﷺ rasa bersalah dan tidak lagi pergi untuk makan madu yang disediakan oleh Zainab di rumahnya. Mereka merancang untuk kata yang bau mulut baginda ﷺ seperti bau pokok Magafir.

Selain dari A’isyah dan Hafsah, ada juga riwayat yang mengatakan dua isteri lagi yang terlibat adalah Sawdah dan Safiyyah رضي الله عنهما. Allahu a’lam.

Imam Bukhari رحمه الله mengatakan bahawa magafir itu mirip dengan getah yang terdapat pada batang kayu, dan getah ini rasanya manis. Bila dikatakan agfarar ramsu ertinya batang kayu itu mengeluarkan getahnya. Bentuk tunggalnya ialah magfur, ada juga yang mengatakan magafir. 

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan bahawa Siti Aisyah رضي الله عنها mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ adalah seorang yang merasa sangat tidak enak (tidak suka) bila dari dirinya tercium bau yang tidak enak. Kerana itulah apabila mereka mengatakan, “Engkau telah makan magafir”, ia untuk merujuk kepada bau magafir yang tidak enak.

Dan ketika Nabi ﷺ menjawab, “Tidak, aku hanya minum madu.” Mereka (isteri-isteri beliau) menjawab, “Barangkali lebahnya menghisap getah pohon ‘urfut,” yang getahnya menghasilkan magafir. Kerana itulah maka baunya terasa di madu yang diminumnya.

Oleh kerana Rasulullah ﷺ memang tidak suka bau busuk dan setelah mereka berkata begitu, maka baginda bersumpah untuk tidak pergi ke rumah Zainab untuk makan madu lagi. Baginda beritahu hal ini kepada Hafsah dan pesan supaya jangan beritahu sesiapa pun tentang sumpah baginda itu. Ini kerana baginda tidak mahu Zainab tahu dan terasa hatinya tentang perkara itu. Atau, baginda bersumpah untuk tidak makan madu lagi. Itulah perbuatan tahreem (mengharamkan yang halal) yang dijadikan nama surah ini.

Walaupun Nabi ﷺ suruh rahsiakan tetapi Hafsah tetap juga memberitahu tentang sumpah baginda itu kepada Aisyah رضي الله عنها kerana rancangan mereka sudah berjaya. Kemudian Allah ﷻ telah memberitahu kepada Nabi ﷺ tentang pembocoran rahsia dari Hafsah kepada Aisyah itu.

Dari ayat ini, kita dapat belajar yang tidak salah untuk kita berahsia. Ini perkara biasa sahaja kerana bukan semua perkara kita kena beritahu kepada orang lain. Tapi wajib bagi orang yang menerima rahsia itu untuk menjaga rahsia itu.

Kenapa disebut kisah ini dengan agak panjang lebar? Ini kerana madu adalah makanan yang halal tetapi sekarang baginda ﷺ telah bersumpah untuk tidak memakannya kerana baunya yang baginda ﷺ sangka busuk. Sepatutnya Rasulullah ﷺ kena periksa dulu dakwaan isterinya itu kerana baru sekali sahaja diberitahu begitu.

Satu lagi insiden dalam surah ini adalah baginda ﷺ telah memberitahu satu rahsia kepada salah seorang isterinya dan isteri itu telah berkongsi rahsia itu dengan isteri yang lain. Ini kita akan jelaskan nanti di dalam tafsir ayat berkenaan. 


Tahreem Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengajar kita yang hak Allah ﷻ mengatasi rasa kasih kepada isteri. Jangan halalkan yang haram dan jangan haramkan yang halal.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ ۖ تَبتَغي مَرضاتَ أَزوٰجِكَ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

At-Taḥreem: Prohibition.

O Prophet, why do you prohibit [yourself from] what Allāh has made lawful for you, seeking the approval of your wives? And Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi,

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad yang mengandungi teguran sebenarnya. Oleh kerana baginda paling disayangi oleh Allah, maka panggilan yang digunakan adalah lembut sekali. Kerana itu kita lihat yang digunakan adalah panggilan pangkat baginda (Nabi) dan tidak disebut nama.

Asbabun nuzul ayat ini berkenaan Nabi Muhammad ﷺ sendiri di mana baginda ﷺ telah meluangkan masa dengan salah seorang isterinya (Saidatina Zainab) dan selepas itu baginda ﷺ telah pergi ke rumah para isterinya yang lain.

Di rumah Zainab baginda telah makan madu dan apabila sampai ke rumah isterinya yang satu lagi, isteri itu tidak suka baginda ﷺ telah meluangkan masa yang lama dengan isteri yang sebelum itu (Zainab). Maka dia kata bahawa ada bau tidak enak pada baginda ﷺ dan kerana sayang kepada isterinya itu maka baginda ﷺ telah bersumpah untuk tidak makan madu itu lagi. Ini ada disebut dalam hadis:

Disebutkan bahawa telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnu Musa, telah menceritakan kepadaku Hisyam ibnu Yusuf, dari Ibnu Juraij, dari Ata, dari Ubaid ibnu Umair, dari Aisyah yang mengatakan bahawa dahulu Nabi SAW suka minum madu (putih) di rumah Zainab binti Jahsy, lalu tinggal bersamanya di rumahnya. Maka aku (Aisyah) dan Hafsah sepakat untuk melakukan suatu tindakan, bahawa kepada sesiapa pun di antara kami berdua baginda SAW masuk, maka hendaklah dia mengatakan kepadanya, “Engkau telah makan magafir (madu putih yang rasanya enak, tetapi baunya tidak enak), kerana sesungguhnya aku mencium bau magafir darimu.” Maka Nabi SAW bersabda:

“لَا وَلَكِنِّي كُنْتُ أَشْرَبُ عَسَلًا عِنْدَ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحش، فَلَنْ أَعُودَ لَهُ، وَقَدْ حَلَفْتُ لَا تُخْبِرِي بِذَلِكَ أَحَدًا”، {تَبْتَغِي مَرْضَاةَ أَزْوَاجِكَ}

Tidak, tetapi aku baru saja meminum madu biasa di rumah Zainab binti Jahsy, maka aku tidak akan meminumnya lagi; dan sesungguhnya aku telah bersumpah untuk itu, maka janganlah engkau ceritakan hal ini kepada siapa pun. Maka Allah menurunkan firman-Nya: kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu. (At-Tahrim: 1)

Nota: Demikianlah menurut riwayat Imam Bukhari dalam tafsir ayat ini dengan lafaz sebagaimana yang tersebut di atas.

Satu lagi asbabun nuzul ayat ini yang juga dibincangkan adalah berkenaan Mariyah Qibtiyyah, seorang hamba kepada Nabi Muhammad ﷺ. Beliau telah melahirkan salah seorang anak baginda, iaitu Ibrahim (kemudian mati semasa kanak-kanak).

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abdur Rahim Al-Burfi, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abu Maryam, telah menceritakan kepada kami Abu Gassan, telah menceritakan kepadaku Zaid ibnu Aslam, bahawa Rasulullah SAW menggauli ibu Ibrahim di rumah salah seorang isteri baginda SAW Maka isteri baginda SAW berkata, “Hai Rasulullah, teganya engkau melakukan itu di rumahku dan di atas ranjangku.” Maka Nabi SAW mengharamkan ibu Ibrahim itu atas dirinya. Lalu isteri beliau SAW bertanya, “Hai Rasulullah, mengapa engkau haramkan atas dirimu hal yang halal bagimu?” Dan Nabi SAW bersumpah kepada isterinya itu bahawa dia tidak akan menggauli budak perempuannya itu lagi. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya atas dirimu? (At-Tahrim: 1)

​nota: kisah ini terjadi kerana satu hari Hafsah telah meminta izin kepada Nabi untuk keluar berjumpa dengan ayahnya. Nabi benarkan. Ketika Nabi di rumah Hafsah ketika itu, baginda telah memanggil Mariyah Qibtiyyah (hamba baginda) dan menggaulinya di rumah Hafsah. Tiba-tiba Hafsah balik dan melihat kejadian itu. Beliau telah marah dan baginda memujuk perkara itu.

 

لِمَ تُحَرِّمُ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ

mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu; 

Dari kalimah تحرم inilah diambil nama surah ini. Ini kerana perbuatan Nabi  yang telah diceritakan sebelum ini. Baginda ﷺ bukannya mengharamkan makan madu itu kepada semua umat tetapi cuma kepada diri baginda sendiri sahaja. Tapi ini pun telah ditegur oleh Allah ﷻ. Dan baginda bersumpah takkan makan itu pun bukannya kerana baginda tidak suka madu, tapi kerana hendak memuaskan hati isterinya sahaja.

Allah terus tegur kesilapan Nabi itu kerana apa sahaja perbuatan dan percakapan baginda menjadi syariat agama dan ikutan bagi umat Islam. Maka Allah tidak mahu manusia mengamalkan perkara yang salah. Maka kerana itu teguran kepada baginda Allah tidak tunggu beberapa hari tapi terus ditegur. Ada beberapa teguran Allah kepada baginda yang ada di dalam Al-Qur’an selain dari di dalam surah ini.

Perkara ini penting untuk diperbaiki kerana jika tidak, maka  mungkin akan ada masalah kerana segala perbuatan Nabi ﷺ menjadi Sunnah kepada para sahabat dan umat Islam. Takut nanti ada yang ikut secara terperinci apa yang  baginda ﷺ lakukan tanpa mengetahui sebabnya.

Maka ditakuti ada yang haramkan makan madu kepada diri mereka pula. Sedangkan madu itu halal lagi baik bagi kesihatan. Kerana ada orang yang tidak tengok pun sebab apa sesuatu perkara itu diharamkan, tapi mereka terus ikut sahaja. Begitulah memang ramai di kalangan kita yang ikut tanpa periksa, ikut tanpa ilmu.

Hak untuk mengharamkan sesuatu makanan adalah hak Allah ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak boleh mengharamkan makanan kalau tidak kerana wahyu dari Allah ﷻ. Tapi dalam kes ini, Nabi ﷺ tidak mengharamkan kepada semua tapi baginda sahaja yang bersumpah untuk tidak makan untuk dirinya sendiri. Tapi kerana Nabi ﷺ bukanlah orang biasa, maka itu pun tidak dibenarkan.

Ini penting kerana ia sudah pernah terjadi kepada bangsa Yahudi apabila Nabi Ya’kub عليه السلام tidak makan daging unta kerana tidak suka (atau atas sebab kesihatan) maka umat baginda (Yahudi) telah mengharamkan daging unta itu padahal baginda tidak suka makan sahaja (atau kerana sebab kesihatan), bukan haramkan kepada umat baginda.

Jadi para Nabi kena berhati-hati dengan perlakuan mereka kerana kadang-kadang ia boleh disalah anggap oleh manusia. Kerana manusia terlalu sayang kepada  Nabi mereka dan mereka akan  cuba ikut segala perbuatan  para Nabi walaupun kadang-kadang ia bukanlah berkenaan syariat. 

Kisah Nabi Muhammad ﷺ ini sebenarnya kecil sahaja dan dalam kehidupan seharian manusia ada benda yang lebih besar lagi yang berlaku dan tidak dimasukkan di dalam Al-Qur’an pun. Akan tetapi oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ ini membawa tugas yang besar, maka titah baginda dan perbuatan baginda ini dijadikan sebagai tauladan dan mengajar kepada kita bahawa untuk kita mencapai cita-cita kita yang penting di dalam agama, maka keluarga kita hendaklah dalam keadaan baik dan harmoni. 

Jadi kita kena ingat tujuan utama kita di atas muka bumi ini adalah untuk menegakkan agama Allah ﷻ supaya kita boleh masuk ke dalam syurga. Dalam masa yang sama, kita juga ada keluarga dan kita mahu keluarga itu baik dan dalam keadaan harmoni. Tetapi itu bukanlah tujuan asal kerana tujuan asal kita adalah agama dan kita kena gunakan keluarga kita untuk mencapai tujuan agama kita. Maka jangan lebihkan keluarga atas perjuangan. 

Jadi di dalam ayat ini Allah ﷻ menegur Nabi Muhammad ﷺ kerana telah mengharamkan untuk dirinya apa yang Allah ﷻ telah halalkan iaitu madu, hanya kerana hendak puaskan hati isteri baginda.

تَبتَغي مَرضاتَ أَزوٰجِكَ

kerana kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu?

Allah ﷻ menegur Nabi Muhammad ﷺ: adakah baginda mengharamkan madu itu kerana hendak mencari redha isterinya? Baginda ﷺ bukannya tidak suka madu itu tapi hanya kerana nak puaskan hati isterinya sahaja.

Perbuatan Nabi ﷺ itu adalah kerana hendak mencari redha isterinya yang tidak suka dengan madu itu (kerana baginda luangkan masa dengan isteri yang lain semasa memakannya). Kadang-kadang para isteri kita bukan fikir halal dan haram tetapi mereka mahu apa yang mereka hendak sahaja tanpa memikirkan kesannya terhadap jangka masa panjang. Maka jangan terkesan sangat dengan kehendak mereka. Kena nilaikan balik apa yang mereka kata. Bukanlah perlu ikut semua kehendak mereka. 

Kalau nak tegur Nabi ﷺ kerana mengharamkan sesuatu sudah cukup dengan potongan awal ayat ini. Tapi kenapa nak sebut tentang sebab kejadian pengharaman itu?

Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menegur para isteri baginda yang menyebabkan kejadian ini berlaku. Mereka sebagai isteri Nabi patutnya janganlah melakukan perkara yang sampai terjadi pengharaman ini. Kerana mereka buat rancangan kononnya madu itu bau busuklah yang sampai menyebabkan baginda ﷺ mengharamkannya ke atas diri baginda.

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

Apabila Nabi Muhammad ﷺ ditegur sebegini maka baginda amat takut tetapi Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ Maha pengampun dan Maha mengasihani. Ini memberi isyarat yang Allah ﷻ telah ampunkan kesilapan Nabi ﷺ. Kerana baginda bersumpah tidak mahu makan sesuatu makanan kerana hendak menggembirakan hati itu tidaklah berdosa, cuma tidak sesuai bagi kedudukan Nabi ﷺ sahaja. Jadi Allah ﷻ boleh ampunkan.

Ini penting supaya jangan ada anggapan dalam fikiran kita yang Nabi ada melakukan dosa. Kita pun tahu yang para Nabi adalah maksum (tidak berdosa) maka yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah dosa, tapi kesilapan sahaja.

Walaupun di dalam ayat ini ada teguran tetapi sebenarnya ia ada juga pujian kepada baginda ﷺ. Ini adalah kerana baginda hendak menjaga hati isterinya maka baginda sampai sanggup untuk meninggalkan sesuatu yang baginda suka. Maksudnya baginda ﷺ sanggup berkorban kerana isteri.

Bayangkan kalau isteri kita tidak suka kita makan makanan yang kita suka makan, tentulah kita sukar untuk meninggalkannya, bukan? Tapi lihatlah baginda ﷺ sanggup tinggalkan. Maka kadangkala sebagai suami, kena ada pengorbanan sedikit. Kalau isteri tidak suka bau petai contohnya, janganlah makan lagi petai itu.

Jadi apakah hukum mengharamkan sesuatu ke atas diri sendiri? Ada tiga jenis hukum di sini:

1. Jikalau seseorang mengharamkan sesuatu yang halal, ini adalah perbuatan kufur dan berdosa besar.

2. Jikalau seseorang itu tahu yang perkara itu tidak haram dalam agama, tapi dia mengharamkan juga ke atas dirinya tanpa ada sebab, maka ini berdosa. Dan dia perlu melakukan kafarah sumpah. Tapi kalau bersebab, mungkin kerana menjaga kesihatan, maka ini dibenarkan.

3. Jikalau seseorang hanya tidak mahu makan sesuatu, tidak bersumpah, ia bergantung. Kalau dia mengharamkan pahala atas perbuatannya itu, maka ini adalah bidaah. Tapi kalau ada sebab, maka ini dibenarkan.


Tahreem Ayat 2:

قَد فَرَضَ اللَّهُ لَكُم تَحِلَّةَ أَيمٰنِكُم ۚ وَاللَّهُ مَولٰكُم ۖ وَهُوَ العَليمُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has already ordained for you [Muslims] the dissolution of your oaths.¹ And Allāh is your protector, and He is the Knowing, the Wise.

  • By means of a kaffārah (expiation). This is required when one is unable to fulfill an oath or when one has taken an oath which would not be pleasing to Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan diri dari sumpahmu dan Allah adalah Pelindungmu dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

قَد فَرَضَ اللَّهُ لَكُم تَحِلَّةَ أَيمٰنِكُم

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan diri dari sumpahmu

Kalimah تحلة dari katadasar ح ل ل yang bermaksud ‘merungkai ikatan tali’ (kalimah halal diambil juga dari katadasar ini). Kalau dalam ibadah Haji, ada perbuatan ‘tahallul’ yang bermaksud setelah itu, dihalalkan untuk melakukan perkara yang diharamkan semasa di dalam Ihram. Maksud Allah ﷻ di dalam ayat ini telah mewajibkan kepada baginda ﷺ untuk melepaskan sumpah baginda itu. Jangan terus haramkan madu itu ke atas baginda.

Dan selalunya kalau untuk merungkai sumpah kena bayar kaffarah (seperti yang diajar dalam Maidah:89) tetapi dalam hal ini tidak perlu kerana ianya adalah arahan daripada Allah ﷻ. Tapi ada juga pendapat yang mengatakan baginda ﷺ telah membayar kaffarah juga iaitu dengan memerdekakan seorang hamba. Kaffarah sumpah ada banyak jenis, tapi baginda pilih yang paling tinggi iaitu membebaskan hamba.

Jadi ini juga adalah tanda cinta Allah ﷻ kepada semua manusia yang jikalau mereka bersumpah yang tidak kena cara, mereka boleh batalkan. Tidaklah mereka kena teruskan juga kerana terpaksa. Allah ﷻ beri jalan keluar untuk melepaskan diri.

Allah ﷻ telah berikan syariat yang siap sempurna maka kita kenalah ikut. Maka jangan kita suka-suka nak haramkan perkara yang Allah ﷻ telah halalkan. Maka kerana itu dalam kes ini Allah ﷻ ajar, kena batalkan sumpah itu.

Walaupun asal surah ini adalah ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi dhomir ayat ini adalah kepada umum (لكم); bermaksud pengajaran ayat ini kepada semua orang di mana kita dinasihatkan supaya jangan berjanji atas sesuatu perkara yang menyusahkan diri kita hanya kerana hendak memuaskan hati orang lain.

Kerana jikalau kita berjanji ataupun bersumpah untuk buat tetapi kita tidak mampu untuk melakukannya maka tidakkah  itu akan menyusahkan diri kita? Kerana selepas itu kena bayar kaffarah sumpah pula.

Ini termasuk juga dengan perbuatan bernazar yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Nazar itu tidaklah bagus (kerana ia dikira kedekut dengan Allah), tapi apabila sudah bernazar, wajib ditunaikan. Tapi banyak yang terjadi, orang menyesal kerana bernazar kerana mereka tidak sanggup nak tunaikan. Maknanya, mereka telah menyusahkan diri mereka.

وَاللَّهُ مَولٰكُم

dan Allah adalah Pelindungmu

Allah ﷻ pasti menjadi pelindung kita jika kita beriman kepada-Nya. Allah ﷻ tahu apa yang baik untuk kita, maka kalau Allah ﷻ sudah halalkan sesuatu perkara, ianya baik untuk kita.

Apabila kita terima Allah ﷻ sebagai Pelindung kita, maka kita mesti terima syariat dari Allah ﷻ. Mana yang Allah ﷻ halalkan, maka gunakanlah; mana yang Allah ﷻ haramkan, maka tinggalkanlah.

Apakah beza antara mawla dan wali? Wali adalah orang yang hendak bantu dan lindung seseorang. Dia mungkin hendak melakukannya, tapi mungkin dia tidak berjaya. Akan tetapi hanya Allah sahaja yang boleh menjadi mawla. Kerana mawla lebih tinggi dari wali. Kerana mawla mampu untuk membantu dan melindungi.

وَهُوَ العَليمُ الحَكيمُ

dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ mengetahui segala perkara. Dan hukum yang Allah ﷻ berikan kepada kita adalah atas kebijaksanaan-Nya. Memang ia pasti ada kebaikan bagi kita.

Maknanya hukum dalam syariat itu adalah untuk kebaikan kita. Allah ﷻ haramkan yang buruk untuk kita dan halalkan yang baik untuk kita. Semua hukum adalah berdasarkan kebijaksanaan Allah ﷻ, maka kita kena yakin dengan hukum Allah ﷻ. Kita mestilah percaya yang tentu ada kebaikan dalam syariat Allah ﷻ.

Dari sini kita dapat tahu yang Nabi pun ada melakukan kesilapan (bukan dosa). Akan tetapi pintu taubat sentiasa terbuka kepada baginda dan umat baginda. Maka ini adalah berita baik bagi kita. Allah suka menerima taubat hambaNya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 27 Julai 2022

Ringkasan Surah Tahreem


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Maulana Asri

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Tahreem Ayat 1 – 2 (Nabi ﷺ nak jaga hati isterinya)”

  1. Assalamualaikum,
    Amat mudah menghafal bila sudah baca penerangan ayat nya, syukran ya Ustaz..
    Cuma memang maksudnya, ada dua asbab unnuzul kah… ustaz.

    Like

    1. Asbabun Nuzul adalah ‘tafsiran kedua’. Level kedua. Ia bukanlah tafsiran yang utama.
      Ia seperti hadis, kena sahih baru boleh dipakai. Maka kadang-kadang seperti juga hadis, ada asbabun nuzul yang tidak pasti mana satu yang lebih sahih. Allahu a’lam.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s