Pengenalan:
Surah ini boleh dikatakan sebagai kembar kepada Surah Talaq sebelum ini. Dalam Surah Talaq kita telah belajar bagaimana apabila cinta sudah tidak ada antara suami dan isteri (atau sebab-sebab lain), maka mereka boleh bercerai. Sekarang kita akan belajar bahawa di waktu yang lain pula ada orang yang terlalu sayangkan isteri sehingga ia boleh mengganggu agama. Ini pun tidak bagus. Maka Allah ﷻ beri nasihat kepada kita. Allah ﷻ mengajar para suami bagaimana mendidik para isteri yang senang cemburu.
Adakah salah untuk cemburu? Tentu tidak, kerana ini adalah sifat semulajadi manusia. Namun jangan sampai teruk sangat sampai menyusahkan diri dan mengganggu amalan agama dan ibadah.
Isi utama surah ini adalah sama dengan Surah Hadid kerana ada disebut tentang infak dan juga jihad. Surah Hadid adalah pembuka kepada Surah-surah Musabbihaat dan Surah Tahreem ini adalah penutupnya. Ada 10 surah berangkai semua sekali.
Oleh kerana ia sebagai penutup maka ia kembali membincangkan kedua-dua topik infak dan jihad yang penting dalam Surah-surah Musabbihaat ini. Ringkasannya:
1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak
Dalam Surah Tahreem ini Allah ﷻ menegur Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan mencari dan mengejar keredhaan manusia dan mengetepikan keredhaan Allah ﷻ. Maka ia mengajar kita supaya jangan utamakan redha manusia dibandingkan dengan keredhaan Allah ﷻ. Setiap masa di dalam hidup kita hendaklah kita mencari redha Allah ﷻ dan jika kita tidak perhatikan perkara ini, maka kita boleh tersasar daripada apa yang sepatutnya kita lakukan.
Kerana itulah ramai yang tidak mampu untuk mengamalkan agama Islam dengan benar kerana takut pandangan masyarakat. Takut ada yang terasa dan takut digelar sebagai Wahabi pun ada. Maka ingatlah jangan takut kepada golongan yang jahil. Sekiranya mereka menuduh seseorang itu sebagai Wahabi, maka itu sudah menjadi tanda kejahilan mereka. Oleh itu, tidak perlu layan dan risau. Biarkan sahaja mereka.
Walaupun ayat ini ditujukan kepada Nabi ﷺ tetapi ia terdapat pengajaran buat kita di mana Allah ﷻ mengajar jikalau hidup kita ini ada perjuangan untuk menegakkan agama, maka perkara-perkara lain perlulah diletak sebagai nombor 2 sahaja. Mesti utamakan perjuangan menegakkan agama Islam.
Ada kisah tentang Nabi Muhammad ﷺ dan para isteri baginda dalam surah ini. Seperti yang kita tahu, Nabi ﷺ mempunyai isteri yang ramai tetapi ada isterinya yang baginda lebih kasihi berbanding dengan isteri-isteri yang lain. Ini biasa sahaja dan bukanlah satu kekurangan pada diri baginda ﷺ. Baginda ﷺ boleh memberi nafkah yang sama banyak kepada semua isteri baginda dan bergilir hari dengan mereka, tetapi kecintaan baginda ﷺ tidak boleh sama. Ini kerana perasaan cinta tidak dapat dikawal (walaupun bagi seorang Nabi).
Oleh itu, sekiranya ada dalam kalangan kita yang beristeri lebih daripada satu, maka memang akan ada salah seorang yang dia lebih sayangi melebihi daripada yang lain. Perkara ini adalah normal.
Yang kedua, berkenaan makanan kesukaan baginda di mana salah satunya adalah madu. Sememangnya madu merupakan salah satu makanan Sunnah Nabi. Ini kerana untuk merawat hati adalah dengan membaca Al-Qur’an manakala untuk merawat fizikal adalah dengan madu. Ini seperti disebut dalam banyak hadith antaranya hadith daripada Abu Sa’id رضي الله عنه. Beliau menceritakan,
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ إِنَّ أَخِى اسْتَطْلَقَ بَطْنُهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « اسْقِهِ عَسَلاً ». فَسَقَاهُ ثُمَّ جَاءَهُ فَقَالَ إِنِّى سَقَيْتُهُ عَسَلاً فَلَمْ يَزِدْهُ إِلاَّ اسْتِطْلاَقًا. فَقَالَ لَهُ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ جَاءَ الرَّابِعَةَ فَقَالَ « اسْقِهِ عَسَلاً ». فَقَالَ لَقَدْ سَقَيْتُهُ فَلَمْ يَزِدْهُ إِلاَّ اسْتِطْلاَقًا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « صَدَقَ اللَّهُ وَكَذَبَ بَطْنُ أَخِيكَ ». فَسَقَاهُ فَبَرَأَ.
“Sesungguhnya ada seorang laki-laki yang mendatangi Nabi ﷺ. Dia berkata, ’Saudaraku sakit perut.’ Rasulullah ﷺ berkata, ’Minumkanlah madu kepadanya.’ Laki-laki itu lalu meminumkan madu kepada saudaranya. Kemudian laki-laki itu datang lagi, dan berkata, ’Aku telah memberinya madu, namun penyakitnya semakin bertambah.’ Maka Rasulullah ﷺ berkata lagi kepadanya untuk yang ketiga kalinya. Kemudian laki-laki itu datang lagi untuk yang keempat kalinya. Rasulullah ﷺ tetap berkata, ’Minumkanlah madu kepadanya.’ Laki-laki tersebut datang lagi dan berkata, ’Sungguh sudah saya beri minum madu, namun penyakitnya semakin bertambah.’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda, ’Maha benar Allah, dan dustalah perut saudaramu’. Laki-laki itu lalu meminumkan madu kepada saudaranya, dan akhirnya sembuh.”
(HR. Bukhari No. 5684)
Nota: ini mengajar kita untuk yakin dengan pengubatan madu. Cuma kenalah cari madu yang asli.
Selain itu, terdapat kisah berkenaan isteri baginda yang bernama Zainab bint Jahshy رضي الله عنها di mana beliau seorang yang rapat dengan baginda dari segi kekeluargaan kerana baginda adalah sepupu kepada Rasulullah ﷺ. Pernikahan Zainab agak lewat kerana asalnya beliau telah menikah dengan Zaid bin Harithah رضي الله عنه iaitu anak angkat Rasulullah ﷺ.
Zainab رضي الله عنها pandai melihat apa yang Nabi ﷺ suka dan beliau dapat mengesan yang Nabi ﷺ suka madu maka beliau pun mencari madu untuk diberikan kepada Baginda ﷺ. Zainab رضي الله عنها mencari madu yang paling bagus untuk dijamu kepada baginda ﷺ.
Nabi ﷺ kebiasaannya akan melawat setiap isterinya setiap hari (selepas waktu Asar) walaupun bukanlah menjadi kewajipan ke atas baginda ﷺ. Tujuan baginda adalah bertanya khabar kepada mereka. Semua akan dilawati namun tidaklah baginda ﷺ bermalam dengan mereka semua tetapi hanya melawat sahaja. Baginda selalu pergi rumah Zainab رضي الله عنها untuk makan madu dan perkara ini telah diketahui oleh Aisyah dan juga Hafsah رضي الله عنهما. Ini kerana baginda akan singgah lama di rumah Zainab رضي الله عنها.
Dalam kalangan isteri Nabi boleh dikatakan terbahagi kepada dua ‘kumpulan’ iaitu satu kumpulan mengikut Aisyah رضي الله عنها dan satu kumpulan mengikut Zainab رضي الله عنهما. Aisyah رضي الله عنها merupakan anak Saidina Abu Bakr رضي الله عنه manakala Hafsah adalah anak Saidina Umar رضي الله عنه, maka mereka berdua ini adalah anak orang yang hebat. Oleh itu telah terbentuk seperti dua kem pula. Hafsah رضي الله عنها rapat dengan Aisyah رضي الله عنها maka mereka tahu yang Nabi ﷺ selalu makan madu di rumah Zainab رضي الله عنها. Mereka menjadi agak cemburu kerana baginda berada lama di rumah Zainab رضي الله عنها, maka mereka telah buat satu rancangan.
Mereka membuat rancangan yang kalau baginda pergi rumah mereka dari rumah Zainab رضي الله عنها, mereka akan kata yang mulut baginda berbau busuk. Tujuannya supaya baginda ﷺ rasa bersalah dan tidak lagi pergi untuk makan madu yang disediakan oleh Zainab رضي الله عنها di rumahnya. Mereka merancang untuk berkata yang bau mulut baginda ﷺ seperti bau pokok Magafir.
Selain daripada A’isyah dan Hafsah رضي الله عنهما, ada juga riwayat yang mengatakan dua isteri lagi yang terlibat adalah Sawdah dan Safiyyah رضي الله عنهما. Allahu a’lam.
Imam Bukhari رحمه الله mengatakan bahawa magafir itu mirip dengan getah yang terdapat pada batang kayu, dan getah ini rasanya manis. Bila dikatakan agfarar ramsu ertinya batang kayu itu mengeluarkan getahnya. Bentuk tunggalnya ialah magfur, ada juga yang mengatakan magafir.
Dalam riwayat Imam Muslim رحمه الله disebutkan bahawa Siti Aisyah رضي الله عنها mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ adalah seorang yang merasa sangat tidak enak (tidak suka) bila dirinya tercium bau yang tidak enak. Oleh kerana itulah apabila mereka mengatakan, “Engkau telah makan magafir”, ia untuk merujuk kepada bau magafir yang tidak enak.
Ketika Nabi ﷺ menjawab, “Tidak, aku hanya minum madu.” Mereka (isteri-isteri baginda) menjawab, “Barangkali lebahnya menghisap getah pohon ‘urfut,” yang getahnya menghasilkan magafir. Kerana itulah maka baunya terasa di madu yang diminumnya.
Oleh kerana Rasulullah ﷺ memang tidak suka bau busuk dan setelah mereka berkata begitu, maka baginda bersumpah untuk tidak pergi ke rumah Zainab رضي الله عنها untuk makan madu lagi. Baginda beritahu hal ini kepada Hafsah رضي الله عنها dan berpesan kepada beliau supaya jangan beritahu sesiapa pun tentang sumpah baginda itu. Ini kerana baginda tidak mahu Zainab رضي الله عنها tahu dan terasa hatinya tentang perkara itu. Atau, baginda bersumpah untuk tidak makan madu lagi. Itulah perbuatan tahreem (mengharamkan yang halal) yang dijadikan nama surah ini.
Walaupun Nabi ﷺ suruh merahsiakan tetapi Hafsah رضي الله عنها tetap juga memberitahu tentang sumpah baginda itu kepada Aisyah رضي الله عنها kerana rancangan mereka sudah berjaya. Kemudian Allah ﷻ telah memberitahu kepada Nabi ﷺ tentang pembocoran rahsia daripada Hafsah رضي الله عنها kepada Aisyah رضي الله عنها itu.
Daripada ayat ini, kita dapat belajar yang tidak salah untuk kita berahsia. Ini adalah perkara biasa sahaja kerana bukan semua perkara kita kena beritahu kepada orang lain. Namun begitu wajib bagi orang yang menerima rahsia itu untuk menjaga rahsia itu.
Kenapakah disebut kisah ini dengan agak panjang lebar? Ini kerana madu adalah makanan yang halal tetapi sekarang baginda ﷺ telah bersumpah untuk tidak memakannya kerana baunya yang baginda ﷺ sangka busuk. Sepatutnya Rasulullah ﷺ kena periksa dulu dakwaan isterinya itu kerana baru sekali sahaja diberitahu begitu.
Satu lagi insiden dalam surah ini adalah baginda ﷺ telah memberitahu satu rahsia kepada salah seorang isterinya dan isteri itu telah berkongsi rahsia itu dengan isteri yang lain. Ini kita akan jelaskan nanti di dalam tafsir ayat berkenaan.
Tahreem Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengajar kita yang hak Allah ﷻ mengatasi rasa kasih kepada isteri. Jangan halalkan yang haram dan jangan haramkan yang halal.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ ۖ تَبتَغي مَرضاتَ أَزوٰجِكَ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
At-Taḥreem: Prohibition.
O Prophet, why do you prohibit [yourself from] what Allāh has made lawful for you, seeking the approval of your wives? And Allāh is Forgiving and Merciful.
(MELAYU)
Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ
Hai Nabi,
Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ yang mengandungi teguran sebenarnya. Oleh kerana baginda paling disayangi oleh Allah ﷻ, maka panggilan yang digunakan adalah lembut sekali. Kerana itulah kita lihat yang digunakan adalah panggilan pangkat baginda (Nabi) dan tidak disebut nama.
Asbabun nuzul ayat ini berkenaan Nabi Muhammad ﷺ sendiri di mana baginda ﷺ telah meluangkan masa dengan salah seorang isterinya (Saidatina Zainab رضي الله عنها) dan selepas itu baginda ﷺ telah pergi ke rumah para isterinya yang lain.
Ketika berada di rumah Zainab رضي الله عنها, baginda telah meminum madu dan ini telah menimbulkan perasaan cemburu di dalam diri isteri selepas itu apabila baginda ﷺ telah meluangkan masa yang lebih lama dengan Zainab رضي الله عنها berbanding dengannya. Maka isteri tersebut dengan sengaja telah berkata bahawa ada bau tidak enak pada baginda ﷺ . Oleh kerana rasa sayang dan ingin menjaga hati isterinya itu maka baginda ﷺ telah bersumpah untuk tidak meminum madu lagi selepas itu. Ini ada disebut dalam sebuah hadith:
كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يشرَبُ عسلًا عِندَ زينبَ بنتِ جحشٍ، ويمكُثُ عِندَها، فواطَيتُ أنا وحفصَةُ على : أيَّتُنا دخَل عليها فلتقُلْ له : أكَلتَ مَغافيرَ، إني أجِدُ منك رِيحَ مَغافيرَ، قال: (لا، ولكني كنتُ أشرَبُ عسلًا عِندَ زينبَ بنتِ جحشٍ، فلن أعودَ له، وقد حلَفتُ، لا تُخبِري بذلك أحدًا
Rasulullah ﷺ meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy رضي الله عنها (isteri Nabi ﷺ) dan Baginda ﷺ bermalam di rumahnya (rumah Zainab رضي الله عنها). Lalu aku (Aisyah رضي الله عنها) dan Hafsah رضي الله عنها berpakat untuk mengatakan sesiapa di antara kita yang bertemu dengan Rasulullah ﷺ dahulu perlu berkata kepada Baginda ﷺ: Adakah engkau makan buah Maghafir? Sesungguhnya aku mendapati bau Maghafir daripada engkau?”. Maka Rasulullah ﷺ menjawah: “Tidak, aku telah meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy, namun aku tidak akan kembali lagi padanya. Aku telah bersumpah dan janganlah engkau menyampaikan hal ini kepada sesiapa pun”.
(Sahih Bukhari No. 4912)
Satu lagi asbabun nuzul ayat ini yang juga dibincangkan adalah berkenaan Mariyah Qibtiyyah, seorang hamba kepada Nabi Muhammad ﷺ. Beliau telah melahirkan salah seorang anak baginda, iaitu Ibrahim (kemudian wafat semasa kecil).
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه bahawa Nabi ﷺ bersabda:
أنَّ رسولَ اللهِ كانت له أمَةٌ يطؤُها ، فلم تزَلْ به عائشةُ وحفصةُ ، حتَّى حرَّمها على نفسِه ، فأنزل اللهُ عزَّ وجلَّ يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ إلى آخرِ الآيةِ
“Rasulullah ﷺ memiliki seorang hamba yang baginda bersama dengannya (menggaulinya), Aisyah رضي الله عنها serta Hafsah رضي الله عنها masih berada bersama beliau hingga beliau mengharamkan ke atas diri Baginda. Kemudian Allah ﷻ menurunkan ayat “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu” sehingga akhir ayat.”
(Riwayat Nasai’iy, Kitab Menggauli isteri, Bab Cemburu, No. Hadith 3897)
Nota: kisah ini terjadi kerana satu hari Hafsah رضي الله عنها telah meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk keluar berjumpa dengan ayahnya. Nabi ﷺ benarkan. Ketika Nabi ﷺ berada di rumah Hafsah رضي الله عنها ketika itu, baginda telah memanggil Mariyah Qibtiyyah رضي الله عنها (hamba baginda) dan menggaulinya di rumah Hafsah رضي الله عنها. Tiba-tiba Hafsah رضي الله عنها pulang dan melihat kejadian itu. Beliau telah marah dan baginda memujuk isterinya dengan melafazkan pengharaman itu.
لِمَ تُحَرِّمُ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ
mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu;
Daripada kalimah تحرم inilah diambil nama surah ini. Ini kerana perbuatan Nabi ﷺ yang telah diceritakan sebelum ini. Baginda ﷺ bukannya mengharamkan makan madu itu kepada semua umat tetapi cuma ke atas diri baginda sendiri sahaja. Akan tetapi ini pun telah ditegur oleh Allah ﷻ. Baginda bersumpah tidak akan makan itu pun bukannya kerana baginda tidak suka madu, tetapi kerana hendak memuaskan hati isterinya sahaja.
Allah ﷻ terus menegur kesilapan Nabi ﷺ itu kerana apa sahaja perbuatan dan percakapan baginda menjadi syariat agama dan ikutan bagi umat Islam. Maka Allah ﷻ tidak mahu manusia mengamalkan perkara yang salah. Kerana itu teguran kepada baginda Allah ﷻ tidak tunggu beberapa hari tetapi terus ditegur. Ada beberapa teguran Allah ﷻ kepada baginda yang ada di dalam Al-Qur’an selain daripada di dalam surah ini.
Perkara ini penting untuk diperbaiki kerana jika tidak, maka mungkin akan ada masalah kerana segala perbuatan Nabi ﷺ menjadi Sunnah kepada para sahabat dan umat Islam. Takut nanti ada yang ikut secara terperinci apa yang baginda ﷺ lakukan tanpa mengetahui sebabnya.
Maka ditakuti ada yang mengharamkan makan madu kepada diri mereka pula. Sedangkan madu itu halal malah baik bagi kesihatan manusia. Ini kerana terdapat orang yang tidak melihat pun sebab apa sesuatu perkara itu diharamkan, tetapi mereka terus ikut sahaja. Begitulah memang ramai dalam kalangan kita yang ikut tanpa periksa, ikut tanpa ilmu.
Hak untuk mengharamkan sesuatu makanan adalah hak Allah ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak boleh mengharamkan makanan kalau tidak kerana wahyu daripada Allah ﷻ. Namun begitu dalam kes ini, Nabi ﷺ tidak mengharamkan kepada semua tetapi baginda sahaja yang bersumpah untuk tidak makan untuk dirinya sendiri. Oleh kerana Nabi ﷺ bukanlah orang biasa, maka itu pun tidak dibenarkan.
Ini penting kerana ia sudah pernah terjadi kepada bangsa Yahudi apabila Nabi Ya’kub عليه السلام tidak memakan daging unta kerana tidak suka (atau atas sebab kesihatan) maka umat baginda (Yahudi) telah mengharamkan daging unta itu padahal baginda tidak suka makan sahaja (atau kerana sebab kesihatan), bukan haramkan kepada umat baginda.
Oleh sebab itu para Nabi mesti berhati-hati dengan perlakuan mereka kerana kadang-kadang ia boleh disalah anggap oleh manusia. Oleh kerana manusia terlalu sayang kepada Nabi mereka dan mereka akan cuba mengikut segala perbuatan para Nabi walaupun kadang-kadang ia bukanlah berkenaan syariat.
Kisah Nabi Muhammad ﷺ ini sebenarnya kecil sahaja dan dalam kehidupan seharian manusia ada benda yang lebih besar lagi yang berlaku dan tidak dimasukkan di dalam Al-Qur’an pun. Akan tetapi oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ ini membawa tugas yang besar, maka titah baginda dan perbuatan baginda ini dijadikan sebagai teladan dan mengajar kepada kita bahawa untuk kita mencapai cita-cita kita yang penting di dalam agama, maka keluarga kita hendaklah dalam keadaan baik dan harmoni.
Oleh itu kita kena ingat tujuan utama kita di atas muka bumi ini adalah untuk menegakkan agama Allah ﷻ supaya kita boleh masuk ke dalam syurga. Dalam masa yang sama, kita juga mempunyai keluarga dan kita mahu keluarga itu baik dan dalam keadaan harmoni. Walau bagaimanapun itu bukanlah tujuan asal kerana tujuan asal kita adalah agama dan kita kena gunakan keluarga kita untuk mencapai tujuan agama kita. Maka jangan lebihkan keluarga atas perjuangan.
Di dalam ayat ini Allah ﷻ menegur Nabi Muhammad ﷺ kerana telah mengharamkan untuk dirinya apa yang Allah ﷻ telah halalkan iaitu madu, hanya kerana hendak puaskan hati isteri baginda.
تَبتَغي مَرضاتَ أَزوٰجِكَ
kerana kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu?
Allah ﷻ menegur perbuatan Nabi Muhammad ﷺ: adakah baginda mengharamkan madu itu kerana hendak mencari redha isterinya? Baginda ﷺ bukannya tidak suka madu itu tetapi hanya kerana hendak puaskan hati isterinya sahaja.
Perbuatan Nabi ﷺ itu adalah kerana hendak mencari redha isterinya yang tidak suka dengan madu itu (kerana baginda luangkan masa dengan isteri yang lain semasa memakannya). Kadang-kadang para isteri kita bukan fikir halal dan haram tetapi mereka mahu apa yang mereka hendak sahaja tanpa memikirkan kesannya terhadap jangka masa panjang. Maka jangan terkesan sangat dengan kehendak mereka. Kena nilaikan apa yang mereka kata. Bukanlah perlu mengikut semua kehendak mereka.
Sekiranya hendak menegur Nabi ﷺ kerana mengharamkan sesuatu sudah cukup dengan potongan awal ayat ini. Namun kenapakah perlu disebut tentang sebab kejadian pengharaman itu?
Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menegur para isteri baginda yang menyebabkan kejadian ini berlaku. Mereka sebagai isteri Nabi ﷺ sepatutnya janganlah melakukan perkara yang sampai terjadinya pengharaman ini. Puncanya mereka membuat rancangan kononnya madu itu bau busuklah yang sampai menyebabkan baginda ﷺ mengharamkannya ke atas diri baginda.
وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
Apabila Nabi Muhammad ﷺ ditegur sebegini maka baginda amat takut tetapi Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ Maha pengampun dan Maha mengasihani. Ini memberi isyarat yang Allah ﷻ telah ampunkan kesilapan Nabi ﷺ. Perbuatan baginda bersumpah tidak mahu memakan sesuatu makanan kerana hendak menggembirakan hati itu tidaklah berdosa, cuma tidak sesuai bagi kedudukan Nabi ﷺ sahaja. Maka Allah ﷻ boleh ampunkan.
Ini penting supaya jangan ada anggapan dalam fikiran kita yang Nabi ﷺ ada melakukan dosa pula. Kita pun tahu yang para Nabi adalah maksum (tidak berdosa) maka yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah dosa, tetapi kesilapan sahaja.
Walaupun di dalam ayat ini ada teguran tetapi sebenarnya ia ada juga mengandungi pujian kepada baginda ﷺ. Ini adalah kerana baginda hendak menjaga hati isterinya maka baginda sampai sanggup untuk meninggalkan sesuatu yang baginda suka. Maksudnya baginda ﷺ sanggup berkorban kerana isteri.
Bayangkan kalau isteri kita tidak suka kita makan makanan yang kita suka makan, tentulah kita sukar untuk meninggalkannya, bukan? Namun lihatlah baginda ﷺ sanggup tinggalkan. Maka kadangkala sebagai suami, kena ada pengorbanan sedikit. Kalau isteri tidak suka bau petai contohnya, janganlah makan lagi petai itu.
Maka apakah hukum mengharamkan sesuatu ke atas diri sendiri? Ada tiga jenis hukum di sini:
1. Jikalau seseorang mengharamkan sesuatu yang halal, ini adalah perbuatan kufur dan berdosa besar.
2. Jikalau seseorang itu tahu yang perkara itu tidak haram dalam agama, tetapi dia mengharamkan juga ke atas dirinya tanpa ada sebab, maka ini berdosa. Dia perlu melakukan kafarah sumpah. Akan tetapi sekiranya ia bersebab, mungkin kerana menjaga kesihatan, maka ini dibenarkan.
3. Jikalau seseorang hanya tidak mahu makan sesuatu, tidak bersumpah, ia bergantung kepada keadaan. Sekiranya dia mengharamkan pahala di atas perbuatannya itu, maka ini adalah bid’ah. Namun sekiranya ada sebab, maka ini dibenarkan.
Tahreem Ayat 2:
قَد فَرَضَ اللَّهُ لَكُم تَحِلَّةَ أَيمٰنِكُم ۚ وَاللَّهُ مَولٰكُم ۖ وَهُوَ العَليمُ الحَكيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has already ordained for you [Muslims] the dissolution of your oaths.¹ And Allāh is your protector, and He is the Knowing, the Wise.
- By means of a kaffārah (expiation). This is required when one is unable to fulfill an oath or when one has taken an oath which would not be pleasing to Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).
(MELAYU)
Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan diri dari sumpahmu dan Allah adalah Pelindungmu dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
قَد فَرَضَ اللَّهُ لَكُم تَحِلَّةَ أَيمٰنِكُم
Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan diri daripada sumpahmu
Kalimah تحلة berasal daripada katadasar ح ل ل yang bermaksud ‘merungkai ikatan tali’ (kalimah halal diambil juga daripada katadasar ini). Dalam ibadah Haji, ada perbuatan ‘tahallul’ yang bermaksud setelah itu, dihalalkan untuk melakukan perkara yang diharamkan semasa di dalam Ihram. Maksud Allah ﷻ di dalam ayat ini telah mewajibkan kepada baginda ﷺ untuk melepaskan sumpah baginda itu. Jangan terus mengharamkan madu itu ke atas baginda.
Selalunya untuk merungkai sumpah seseorang itu dikenakan kaffarah (seperti yang diajar dalam Maidah: 89) tetapi dalam hal ini tidak perlu kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Namun ada juga pendapat yang mengatakan baginda ﷺ telah membayar kaffarah juga iaitu dengan memerdekakan seorang hamba. Kaffarah sumpah ada banyak jenis, tetapi baginda pilih yang paling tinggi iaitu membebaskan hamba.
Oleh itu, ini juga adalah tanda cinta Allah ﷻ kepada semua manusia yang jikalau mereka bersumpah yang tidak kena caranya, mereka boleh batalkan. Tidaklah mereka kena teruskan juga kerana terpaksa. Allah ﷻ beri jalan keluar untuk melepaskan diri.
Allah ﷻ telah berikan syariat yang cukup sempurna maka kita kenalah ikut. Maka jangan kita suka-suka mengharamkan perkara yang Allah ﷻ telah halalkan. Oleh sebab itu dalam kes ini Allah ﷻ ajar, kena batalkan sumpah itu.
Walaupun asal surah ini adalah ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi dhomir ayat ini adalah kepada umum (لكم); bermaksud pengajaran ayat ini kepada semua orang di mana kita dinasihatkan supaya jangan berjanji atas sesuatu perkara yang menyusahkan diri kita hanya kerana hendak memuaskan hati orang lain.
Jikalau kita berjanji ataupun bersumpah untuk buat tetapi kita tidak mampu untuk melakukannya maka bukankah perbuatan itu akan menyusahkan diri kita sendiri? Malah selepas itu kena bayar kaffarah sumpah pula.
Ini termasuk juga dengan perbuatan bernazar yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Nazar itu tidaklah bagus (kerana ia dikira kedekut dengan Allah ﷻ), tetapi apabila sudah bernazar, wajib ditunaikan. Namun banyak yang terjadi, orang menyesal setelah bernazar kerana mereka tidak sanggup menunaikannya. Maknanya, mereka telah menyusahkan diri mereka sendiri.
وَاللَّهُ مَولٰكُم
dan Allah adalah Pelindungmu
Allah ﷻ pasti menjadi pelindung kita jika kita beriman kepada-Nya. Allah ﷻ tahu apa yang baik untuk kita, maka kalau Allah ﷻ sudah halalkan sesuatu perkara, sudah tentu ia baik untuk kita.
Apabila kita terima Allah ﷻ sebagai Pelindung kita, maka kita mesti terima syariat daripada Allah ﷻ. Mana yang Allah ﷻ halalkan, maka gunakanlah; mana yang Allah ﷻ haramkan, maka tinggalkanlah.
Apakah beza antara mawla dan wali? Wali adalah orang yang hendak bantu dan lindung seseorang. Dia mungkin hendak melakukannya, tetapi mungkin dia tidak berjaya. Akan tetapi hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menjadi mawla. Ini kerana mawla lebih tinggi daripada wali. Mawla mampu untuk membantu dan melindungi.
وَهُوَ العَليمُ الحَكيمُ
dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ mengetahui segala perkara. Hukum yang Allah ﷻ berikan kepada kita adalah atas kebijaksanaan-Nya. Memang ia pasti ada kebaikan bagi kita.
Maknanya hukum dalam syariat itu adalah untuk kebaikan kita. Allah ﷻ mengharamkan yang buruk untuk kita dan menghalalkan yang baik untuk kita. Semua hukum adalah berdasarkan kebijaksanaan Allah ﷻ, maka kita kena yakin dengan hukum Allah ﷻ. Kita mestilah percaya yang tentu ada kebaikan dalam syariat Allah ﷻ.
Dari sini kita dapat tahu yang Nabi ﷺ pun ada melakukan kesilapan (bukan dosa). Akan tetapi pintu taubat sentiasa terbuka kepada baginda dan umat baginda. Maka ini adalah berita baik bagi kita. Allah ﷻ suka menerima taubat hamba-Nya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 27 Julai 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an
Maulana Asri

Assalamualaikum,
Amat mudah menghafal bila sudah baca penerangan ayat nya, syukran ya Ustaz..
Cuma memang maksudnya, ada dua asbab unnuzul kah… ustaz.
LikeLike
Asbabun Nuzul adalah ‘tafsiran kedua’. Level kedua. Ia bukanlah tafsiran yang utama.
Ia seperti hadis, kena sahih baru boleh dipakai. Maka kadang-kadang seperti juga hadis, ada asbabun nuzul yang tidak pasti mana satu yang lebih sahih. Allahu a’lam.
LikeLike
Assalamualaikum blh ana tahu rujukan ustaz? kitab tafsir Jazakallahukhair
LikeLike
di bawah setiap posting sudah ada disenaraikan rujukan saya dan juga guru kelas saya.
LikeLike