Ayat 4: Kita telah diberitahu dengan Sifat-sifat Allah dalam ayat yang sebelum ini. Sepatutnya, selepas kita tahu Sifat-sifat Allah sebegitu, sepatutnya kita taat kepada Dia sahajalah, bukan? Tapi kenapa dalam alam ini, dari dulu sampai sekarang, ramai yang tidak taat? Allah jawap dalam ayat ini.
ما يُجٰدِلُ في ءآيٰتِ اللهِ إِلَّا الَّذينَ كَفَروا فَلا يَغرُركَ تَقَلُّبُهُم فِي البِلٰدِ
No one disputes concerning the signs of Allah except those who disbelieve, so be not deceived by their [uninhibited] movement throughout the land.
Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. Oleh itu janganlah engkau (wahai Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain.
مَا يُجٰدِلُ فِي ءآيٰتِ اللهِ
Tidak ada manusia yang membantah tentang ayat-ayat Allah.
Ayat-ayat Allah adalah dalil-dalil yang dikeluarkan oleh Allah. Tak kira mana-mana ayat pun. ‘Ayat-ayat Allah’ itu luas. Bukan hanya ayat-ayat Al-Qur’an sahaja. Alam yang luas ini juga termasuk dalam ‘ayat-ayat Allah’.
Bagaimanakah cara mereka berdebat tentang ayat-ayat Allah itu? Sebagai contoh, ada yang buat kajian tentang kesilapan-kesilapan yang ada dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka kata contoh-contoh saintifik yang diberikan oleh Al-Qur’an itu salah; kalau ayat yang menceritakan tentang alam, mereka berdebat mengatakan yang alam ini dijadikan dengan cara sendiri, tidak ada Tuhan yang menjadikannya. Mereka pun beri dalil-dalil saintifik yang tidak boleh dipastikan.
Kenapa yang menentang ayat-ayat Al-Qur’an, berdebat tentangnya? Iaitu apabila mereka tidak mahu mengikutinya. Termasuk dalam hal ini adalah orang-orang Islam pun. Mereka mengaku sahaja beragama Islam tapi mereka tidak menjadikan Al-Qur’an itu sebagai pedoman. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an, mereka menolaknya kerana ianya tidak sama dengan apa yang diajar oleh guru-guru mereka.
إِلَّا الَّذِينَ كَفَرُوا
melainkan orang kafir sahaja.
Orang yang kafir sahaja yang membantah dan berdebat tentang ayat Allah. Sudah biasa kita dengar orang melawan ayat Al-Qur’an kalau didakwahkan kepadanya. Termasuk orang Islam pun. Mereka akan kata: “betul dah ayat yang kau baca itu, tetapi….” Itu maknanya mereka menolak ayat Allah. “Tapi….” itu adalah cara menolak yang digunakan oleh masyarakat kita dengan paling lembut sekali.
Tetapi bagaimana pula orang Islam boleh jadi kafir sedangkan mereka itu Muslim? Kekeliruan itu timbul kalau kita terjemah perkataan ‘kufur’ itu hanya merujuk kepada orang bukan Islam. Ianya akan lebih jelas kalau kita terjemah perkataan ‘kufur’ dengan maksud ‘engkar’.
Oleh itu, orang Islam pun boleh jadi engkar dengan ayat-ayat Al-Qur’an juga. Kita pun tahu bagaimana ada manusia yang nampak sahaja pada zahirnya Islam, tapi pada hakikatnya mereka tidak Islam. Allah sahaja yang tahu sama ada mereka kufur atau tidak, tapi tanda-tandanya kita boleh lihat.
Apabila mereka cakap begitu, sebenarnya mereka menolak ayat Al-Qur’an. Cuma mereka tidak terus berkata yang mereka menolak ayat-ayat itu. Mereka berdolak dalih dalam kata-kata mereka. Jadi, kalau kita dengan mereka, kita kena tukar cara dakwah kita. Takut mereka akan jadi semakin kufur lagi kalau apabila kita memberi penerangan dari Al-Qur’an kerana takut mereka melawan lagi. Kerana, sesiapa yang lawan ayat Al-Qur’an, maka mereka akan kufur. Kita kasihan kepada mereka.
Orang Islam dan yang beriman akan terus percaya dan terima ayat-ayat Al-Qur’an. Walaupun mungkin mereka tidak faham lagi ajaran dari ayat-ayat itu. Tapi mereka terus terima ianya sebagai kebenaran. Cuma mereka kena belajar untuk memahami apakah yang dimaksudkan oleh ayat itu dan apakah yang perlu kita lakukan. Allah telah sebut dalam Ahzab:36 –
وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم ۗ وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلالًا مُبينًا
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
Orang Islam tidak ada pilihan lain lagi selain dari terima apa sahaja arahan dari Allah dan Rasulullah.
Oleh itu, yang menentang ayat-ayat Allah adalah orang yang kafir degil. Mereka sengaja menutup kebenaran walaupun mereka sudah tahu manakah yang benar. Itulah mereka yang menolak cara berdoa yang tidak ada dalil. Tidak ada dalil pun mereka nak buat juga. Merekalah jenis yang menggunakan tawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, walaupun cara-cara itu tidak pernah diajar oleh Nabi.
فَلَا يَغْرُرْكَ
Maka jangan kamu berasa tertipu
Seperti yang telah disebut sebelum ini, ramai dari kalangan hamba yang tidak taat kepada Allah. Kenapa? Kerana mereka terpedaya dengan kehidupan dunia sekarang.
Maka, orang Mukmin jangan terpedaya dengan dunia. Jangan terikut-ikut dengan mereka yang terpedaya itu. Jangan kita tertipu dengan mereka, dengan kata-kata mereka, dengan kesenangan yang mereka ada. Selalunya yang menentang ayat-ayat Al-Qur’an itu akan memberikan hujah-hujah yang boleh menyebabkan kita keliru. Kerana mereka selalunya orang-orang terpelajar, saintis dan sebagainya, yang selalunya pandai berkata-kata dan menggunakan fakta-fakta sains untuk menyokong dakwaan mereka.
Tapi Allah mengingatkan kita dalam ayat ini supaya kita jangan tertipu. Mereka sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan, seperti firman Allah dalam Hajj:3
وَمِنَ النّاسِ مَن يُجادِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيطانٍ مَريدٍ
Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan dia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.
Sebagai contoh, mereka hanya memperkatakan perkara luaran sahaja tanpa melihat apakah yang ada di sebalik ayat-ayat Al-Qur’an dan tanda-tanda dalam alam itu.
Atau ada yang mengejek ayat Al-Qur’an dengan mengambil satu ayat dan membandingkan dengan ayat lain dan mengatakan ayat-ayat itu tidak sama dan berlawanan. Mereka berkata begitu kerana mereka jahil dengan Al-Qur’an. Mereka hanya melihat dengan akal yang cetek sahaja.
تَقَلُّبُهُمْ فِي الْبِلَادِ
dengan kamu melihat bebasnya mereka berulang-alik atas muka bumi.
Kadang-kadang kita mungkin terpesona dan terpedaya dengan kelebihan yang ada pada mereka yang menolak ayat-ayat Allah itu. Contohnya, kita boleh lihat bagaimana orang-orang yang kafir itu bebas bergerak ke sana dan ke sini. Kenderaan mereka pun lebih mewah. Macam tiada masalah apa-apa.
Walaupun mereka engkar kepada Allah, tapi Allah bebaskan mereka di dunia. Biasanya orang yang engkar ni, Allah beri rezeki yang banyak. Semakin mereka engkar, semakin mereka diberi rezeki. Allah beri mereka kemewahan dan kesenangan dalam dunia sebab Allah nak azab mereka nanti dalam neraka.
Sepertimana Musyrikin Mekah yang kaya raya itu menentang ayat-ayat Al-Qur’an dan Nabi Muhammad, dan mereka diikut oleh mereka yang terpesona dan terpedaya dengan kekayaan dan kekuasaan yang mereka ada. Mereka itu boleh mengembara merata-rata tempat di dunia kerana mereka kaya.
Jangan kita terpedaya dan tertipu dengan kemewahan yang ada pada mereka itu. Itu hanyalah kesenangan sementara sahaja. Itu bukanlah neraca kejayaan atau benarnya mereka. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Ali Imran:196-197
لا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذينَ كَفَروا فِي البِلادِ
Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).
مَتاعٌ قَليلٌ ثُمَّ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المِهادُ
(Semuanya) itu hanyalah kesenangan sementara yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.
Ayat ini juga memberitahu supaya jangan hairan dengan perbuatan orang kafir itu. Nabi ada mendengar bagaimana Musyrikin Mekah berulang alik sesama mereka, menjalankan mesyuarat bagaimana hendak menjatuhkan baginda dan dakwah baginda.
Baginda juga ada mendengar bagaimana Musyrikin Mekah ada berjumpa dengan puak Yahudi di Yathrib (nama lama untuk Madinah) untuk mendapatkan nasihat dari mereka bagaimana hendak mengalahkan hujah baginda. Allah nak beritahu Nabi dalam ayat ini, supaya jangan hairan dan takut dengan perancangan mereka.
Ayat ini juga mengajar kita supaya jangan hairan dan terkesan dengan kisah-kisah bagaimana musuh-musuh Islam hendak menjatuhkan Islam. Banyak kisah-kisah kita dengar dari conspiracy theory bagaimana mereka merancang bermacam-macam cara. Allah suruh Nabi jangan risau, begitu juga kita. Cuma buat kerja kita, jalankan ibadat kita, teruskan dakwah tentang wahyu ini kepada manusia. Allah akan menjaga kita dari rancangan mereka.
Ayat 5: Allah memberi contoh, kedegilan umat-umat yang terdahulu. Nak beritahu kepada Nabi dan pembawa ajaran tauhid, bukan Musyrikin Mekah sahaja yang menolak Dakwa Tauhid, tapi umat-umat sebelum itu lagi. Allah memberi contoh pada zaman Nabi Nuh a.s. Kaumnya dulu pun menentang ayat-ayat Allah.
كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَالأَحزابُ مِن بَعدِهِم ۖ وَهَمَّت كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسولِهِم لِيَأخُذوهُ ۖ وَجٰدَلوا بِالباطِلِ لِيُدحِضوا بِهِ الحَقَّ فَأَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ عِقابِ
The people of Noah denied before them and the [disbelieving] factions after them, and every nation intended [a plot] for their messenger to seize him, and they disputed by [using] falsehood to [attempt to] invalidate thereby the truth. So I seized them, and how [terrible] was My penalty.
Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung – sesudah kaum Nabi Nuh itu – telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!
كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ
Telah berdusta orang-orang sebelum mereka.
Maknanya bukan Musyrikin Mekah sahaja yang mula berdusta dan menentang ayat Allah. Dulu lagi sudah ramai yang mendustakan ayat-ayat Allah.
Begitu juga, kalau ada yang menentang ayat-ayat Allah zaman sekarang, tidak menghairankan kerana dari dulu lagi sudah ada orang yang menentang. Perkara yang sama sahaja yang berulang zaman berzaman. Maka tidak perlu pelik kalau ajaran dakwah ini sentiasa sahaja ada penentangnya.
قَوْمُ نُوحٍ وَالْأَحْزَابُ مِن بَعْدِهِمْ
dari kalangan Kaum Nabi Nuh dan puak-puak selepas kaum Nabi Nuh.
Allah beri contoh apa yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh. Itulah mula penentangan kepada tauhid dalam sejarah Islam. Dan selepas mereka dimatikan semuanya dan selepas itu hanya tinggal mereka yang beriman sahaja, lama kelamaan lahir lagi golongan yang menentang tauhid. Seperti kaum Aad, Tsamud, Luth dan Madyan dan sebagainya.
Allah hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad dan pendakwah-pendakwah sekarang bahawa bukanlah sekarang baru manusia menentang ayat-ayat Allah tapi dari dahulu lagi.
وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ
Kuat azam setiap umat kepada rasul-rasul mereka
Mereka mempunyai keazaman yang kuat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada rasul-rasul mereka.
لِيَأْخُذُوهُ
untuk tangkap rasul
Kaum-kaum yang menentang ayat-ayat Allah telah merancang untuk menangkap rasul-rasul itu supaya mereka tidak dapat meneruskan dakwah mereka. Ada juga yang telah berjaya membunuh rasul-rasul mereka.
Mengikut satu riwayat, sebanyak lebih kurang 70 ribu nabi-nabi telah dibunuh. Kalau pendakwah, lagi ramai telah dibunuh. Pada mereka yang jahat itu, kalau nak berhujah susah sangat, maka elok bunuh sahaja, habis cerita.
Musyrikin Mekah juga hendak menangkap dan membunuh Nabi Muhammad. Mereka telah membuat perancangan dengan semua puak di tanah Arab. Mereka lakukan begitu supaya Bani Hashim tidak dapat mengambil tindakan balas kerana ramai sangat puak yang bersekongkol membunuh Nabi. Mereka tidak berani nak buat sendirian kerana takut kalau satu puak sahaja yang bunuh Nabi, maka puak Bani Hashim akan serang balas. Tetapi rancangan mereka telah digagalkan oleh Allah.
Zaman sekarang, pembunuhan ulama-ulama yang menegur kesalahan yang dilakukan manusia masih lagi berlaku dan akan terus berlaku.
وَجٰدَلُوا بِالْبَاطِلِ
Dan mereka berhujah dengan menggunakan hujah yang batil.
Musyrikin Mekah menggunakan propaganda yang berbagai-bagai untuk menjatuhkan dakwah Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi penipu, ahli sihir, penyair, belajar dari orang lain dan macam-macam lagi.
Begitulah dalam masyarakat kita banyak sekali hujah-hujah batil. Iaitu hujah yang dikeluarkan tanpa dalil yang sah. Hujah menggunakan akal semata-mata. Itu adalah hujah-hujah palsu sahaja. Perkataan seperti: “Takkanlah begitu…”. “Saya rasa…”. Dan macam-macam hujah lagi dikeluarkan mereka. Mereka menggunakan logik akal untuk mereka perkara baru dalam agama – agak-agaknya ini boleh kah?
Ini juga mengajar kita bagaimana berhujah dengan orang-orang yang menentang Islam. Mereka akan menggunakan hujah-hujah batil. Mereka akan mereka-reka fakta. Maka kita kena periksa apa yang mereka kata. Mereka sanggup untuk mengeluarkan fakta yang tidak benar, hanya untuk memenangi hujah itu.
Begitu juga dengan orang-orang ahli bidaah. Apabila kita berhujah dengan mereka, ada yang menggunakan fakta yang tidak benar. Mereka kata ada dalam kitab sekian-sekian ulama itu kata bidaah itu elok dan sebagainya. Sebagai contoh, pernah ada dalam internet bagaimana ahli bidaah ada mengatakan yang Imam Ibnu Taimiyyah mengatakan dalam kitabnya yang menyambut Maulid Nabi adalah baik. Tapi apabila diperiksa sendiri kitab itu, tidaklah kata-kata beliau begitu tapi sebaliknya.
لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ
kerana dengan hujah batil itu, mereka nak memesong kebenaran
Mereka yang menentang kebenaran hendak memesong kebenaran dengan menggunakan hujah batil. Hujah bathil adalah hujah yang tidak ada asas dari nas yang sahih.
Beginilah yang banyak terjadi dalam zaman sekarang. Ramai yang mengamalkan bidaah dalam amalan mereka. Mereka memberi hujah mengatakan apa yang mereka lakukan itu adalah ‘bidaah hasanah.’ Iaitu mereka kata ianya adalah bidaah yang baik. Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya, semua bidaah adalah sesat.
Berbagai-bagai hujah yang mereka ketengahkan dan hujah-hujah itu tidak datang dari nas, dan kalau datang dari nas, mereka pesongkan maksudnya dari maksud asal. Mereka akan tafsir nas-nas itu ikut fahaman mereka sendiri sedangkan itu bukanlah fahaman salafussoleh. Sedangkan kita kena pakai fahaman nas-nas itu dengan fahaman salafussoleh kerana mereka yang lebih kenal agama dari kita.
فَأَخَذْتُهُمْ
maka Allah azab mereka.
Mereka diazab kerana melawan Rasul dengan hujah akal. Allah tidak akan biarkan mereka begitu sahaja. Kalau menentang ayat-ayat Allah, Allah akan mengazab mereka dengan azab yang teruk.
فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ
Alangkah dahsyatnya azab
Alangkah berat azab Allah itu. Tidak terperi beratnya. Maka kena baca balik apakah kisah kaum-kaum terdahulu yang telah dimusnahkan kerana menentang kebenaran, menentang wahyu dan menentang tauhid.
Ayat 6:
وَكَذٰلِكَ حَقَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا أَنَّهُم أَصحٰبُ النّارِ
And thus has the word of your Lord come into effect upon those who disbelieved that they are companions of the Fire.
Dan demikianlah juga tetapnya hukuman Tuhanmu terhadap orang-orang yang kafir, kerana sesungguhnya mereka ialah ahli neraka.
وَكَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا
Dan kerana itu, sudah tetap keputusan Tuhan kamu kepada orang-orang yang engkar, kafir itu
Perkataan كَذَٰلِكَ dalam ayat ini, bermaksud ‘kerana itu’. Kerana degil dan membantah itulah yang tsabit mereka kena masuk neraka. Telah tetap keputusan Allah ke atas mereka yang tidak menerima ayat-ayat Allah itu. Tidak akan berubah ketetapan Allah itu.
Ada dalam hadis, bagaimana 999 dari 1,000 orang manusia akan dimasukkan ke dalam neraka.
أَنَّهُمْ أَصْحٰبُ النَّارِ
Sesungguhnya mereka itu adalah pemilik geran neraka yang sebenar.
Mungkin ada orang Islam yang akan masuk neraka, iaitu mereka yang mempunyai banyak dosa. Tapi mereka bukan ‘ashab neraka’ ataupun pemegang geran kekal neraka. Mereka dikenali sebagai golongan Jahannamiyyun – orang yang pernah tinggal dalam neraka. Dosa mereka sahaja yang banyak yang menyebabkan mereka akan masuk neraka untuk dicuci dosa mereka.
Jadi kalau ibu bapa tak solat macam mana? Macam mana kita nak buat untuk tolong mereka? Doa sahaja boleh kita lakukan. Tidak ada Solat Iring, tolong qada solat mereka atau sebagainya. Perbuatan kirim pahala tidak sampai pahala itu kepada mereka. Tidak dapat tolong mereka di akhirat kelak.
Kalau dia minum arak, macam mana pula? Doa juga. Sama juga kalau dia berzina atau dosa-dosa lain. Doa sahaja yang boleh tolong. Kecuali kalau dia berbuat syirik. Kalau dia melakukan syirik, kita pun tidak boleh berdoa untuknya. Malah, salah untuk kita berdoa untuk mereka.
Contohnya kalau mereka melakukan majlis tepung tawar semasa kenduri kahwin. Itu adalah perbuatan syirik. Maka jangan buat perkara itu. Pulut kuning pemujaan yang dibuat oleh orang kita semasa kenduri kahwin itu adalah haram untuk dimakan. Lagi haram lagi dari makan babi.
Bertaubatlah kalau kita pernah melakukan perkara itu dulu. Jangan degil dengan kebenaran yang Allah telah tunjukkan. Tolonglah beritahu kepada mereka yang melakukannya. Kalau kita boleh basmi satu perkara bidaah sahaja, pahalanya adalah jihad seratus kali mati.
Macam-macam perkara syirik yang masyarakat kita lakukan. Contohnya, ada satu majlis selepas mengandung, iaitu majlis ‘golek perut’. Gunanya adalah untuk tahu anak yang akan dilahirkan adalah anak lelaki atau anak perempuan. Ini adalah syirik, kerana Allah sahaja yang tahu apakah anak yang akan lahir. Kalau pakai scan di hospital pun, mereka boleh agak-agak sahaja, tapi tidak semestinya tepat.
Selepas bersalin, jangan kita mengamalkan pantang-pantang. Ada istilah Melayu yang mengatakan perempuan selepas bersalin itu ‘dalam pantang’. Itu dalam syirik kepada Allah. Kita kata mereka tak boleh makan sesetengah makanan. Contohnya, perempuan Melayu yang baru bersalin tak boleh makan ayam.
Padahal, orang Cina pula digalakkan untuk makan ayam. Berpantang adalah perbuatan syirik kepada Allah kerana kita mengharamkan benda yang halal dimakan. Kalau doktor beritahu tidak boleh makan, tidak mengapa. Kerana mereka telah melakukan kajian tentang buruk baiknya sesuatu makanan itu. Tapi kalau ikut kata orang lain, tidak boleh. Orang yang tak layak, kita tak boleh nak ikut.
Contoh lagi satu, budak bersunat tak boleh makan telur dan sebagainya. Kalau dimakan jadi bentan. Tak boleh nak beritahu dan larang kepada anak kita untuk makan. Tidak semestinya anak kita akan mewarisi alergi kita itu. Satu lagi contoh di Kelantan, semua keturunan Wan tidak boleh makan ikan kacang (barracuda).
Dan kalau belajar silat pula, tak boleh makan sesuatu makanan tertentu. Kerana mereka nak ilmu mereka menjadi. Ini pun syirik juga. Sudahlah amalkan amalan yang salah dan panggil jin. Jadi bertimpa-timpa kesalahan yang mereka lakukan.
Jadi ingatlah, kalau nak larang makan sesuatu benda, kena dapatkan pengesahan dari doktor. Dan kena dapat dari doktor yang pakar tentang sesuatu perkara itu. Kerana mereka berdasarkan kepada ilmu sains yang berdasarkan kajian.
Sekiranya kita ada syak wasangka tentang ayat Al-Qur’an, maka hendaklah tanya kepada ustaz yang mengajar tafsir Al-Qur’an. Jadi kena tanya kepada ahli yang mengetahui.
Majlis tahnik (belah mulut) pun ada syirik juga. Tahnik memang sunnah dari Nabi. Nabi ambil buah kurma, Nabi gigit dengan giginya, dan masukkan dalam mulut bayi dan sentuh di lelangit. Biarkan budak itu hisap manisan. Itu yang sunnah. Menggunakan air zam-zam adalah sunat kalau ada. Ada masanya Nabi tidak menggunakan air zam-zam sebab kalau di Madinah, tiada air zam-zam. Boleh juga gunakan apa sahaja buah yang manis.
Yang tak boleh nak tambah dalam perbuatan ini adalah menggunakan cincin. Masyarakat kita menambah penggunaan cincin emas atau perak dalam majlis tahnik ini. Kalau perempuan, mereka kata kalau guna cincin emas, besar nanti akan jadi kaya. Fahaman itu adalah fahaman syirik.
Untuk yang lelaki, sebab lelaki tak boleh pakai emas, mereka bertahnik dengan cincin perak. Kemudian, ada pula yang pakai garam. Untuk menjadikan masin mulut supaya besar nanti boleh jadi tok guru. Dan ada pula yang guna gula batu untuk maniskan mulut. Ini adalah fahaman yang syirik kepada Allah dalam upacara ibadat. Sebab tahnik itu ibadat tapi dicampurkan dengan perkara yang salah. Maka nasihatlah kepada mereka yang tidak tahu.
Yang kita patut buat adalah sembelih akikah. Sembelihlah kambing atau biri-biri. Dua ekor kalau lelaki dan seekor kalau perempuan. Nabi pernah buat aqiqah untuk Saidina Husain seekor untuknya dan seekor untuk Saidina Hassan.
Ayat 7: Ini adalah tentang orang yang sanggup menerima tauhid dalam setiap keadaan. Ini sebenarnya bukanlah mudah kerana tentu ada ujian dan tentangan dari manusia. Menjadi ‘orang pelik’ kerana tegar di jalan sunnah dalam masyarakat yang mengamalkan budaya tok nenek memang mencabar.
Mereka yang menerima ujian itu adalah mereka yang menjalankan kerja menyampaikan wahyu Allah kepada manusia yang lain. Kalau duduk senyap tak buat kerja, memang tidak akan kena ganggu, kena keji dan sebagainya. Tapi, kalau buat seperti yang sepatutnya, memang akan kena ujian.
Kepada mereka yang berjaya melepasi ujian itu, mereka akan dapat doa malaikat. Allah memberi doa para malaikat ini sebagai penawar hati dan penyejuk hati kepada penyebar tauhid. Maknanya, tidak mengapalah kalau menerima ujian itu, kerana mendapat doa dari para malaikat itu.
Malaikat itu mendoakan kepada manusia yang beriman sempurna kerana apabila Allah sayang kepada hambaNya, maka malaikat pun kena sayang juga kepada hamba itu. Ini adalah doa malaikat untuk orang-orang mukmin:
الَّذينَ يَحمِلونَ العَرشَ وَمَن حَولَهُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيُؤمِنونَ بِهِ وَيَستَغفِرونَ لِلَّذينَ ءآمَنوا رَبَّنا وَسِعتَ كُلَّ شَيءٍ رَّحمَةً وَعِلمًا فَاغفِر لِلَّذينَ تابوا وَاتَّبَعوا سَبيلَكَ وَقِهِم عَذابَ الجَحيمِ
Those [angels] who carry the Throne and those around it exalt [ Allah ] with praise of their Lord and believe in Him and ask forgiveness for those who have believed, [saying], “Our Lord, You have encompassed all things in mercy and knowledge, so forgive those who have repented and followed Your way and protect them from the punishment of Hellfire.
Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.
الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ
Malaikat-malaikat yang memikul Arasy
Arasy Allah adalah ciptaan yang paling hebat dan paling besar. Tidak ada sesiapa yang tahu apakah hakikat Arash itu kecuali Allah taala. Yang kita dapat tahu daripada ayat ini, ada malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arash itu. Mereka dikenali sebagai Hamalatul Arsh. Ada lapan malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arasy itu. Dalam al-Haqqah:17, Allah berfirman,
وَالمَلَكُ عَلىٰ أَرجائِها ۚ وَيَحمِلُ عَرشَ رَبِّكَ فَوقَهُم يَومَئِذٍ ثَمانِيَةٌ
Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.
Dalam ayat ini, disebut bagaimana pada Hari Mahsyar, ada lapan malaikat yang memikul Arasy itu. Arasy itu adalah ciptaan Allah yang paling dekat dengan Allah. Jadi, malaikat-malaikat yang memikulnya tentulah malaikat-malaikat yang hebat-hebat kerana diberikan dengan kelebihan itu. Dan tentunya mereka dengan Allah.
وَمَنْ حَوْلَهُ
Dan malaikat-malaikat yang di sekeliling Arasy
Allah memperkatakan bukan sahaja tentang malaikat-malaikat yang memikul Arasy tapi malaikat-malaikat yang di sekeliling Arasy itu. Ada malaikat-malaikat yang berada berdekatan dengan Arasy.
Jadi, ini semua adalah malaikat-malaikat yang terpilih. Apakah yang mereka lakukan?
يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ
mereka senantiasa bertasbih memuji Tuhan mereka
Mereka berterusan bertasbih dan membersihkan Allah dari kata-kata makhluk yang tidak patut tentang Allah. Maknanya, mereka pun berfahaman tauhid juga. Kerana mereka menidakkan segala fahaman-fahaman syirik yang dikatakan oleh makhluk yang musyrik. Mereka terus-menerus mengatakan yang Allah tidak begitu. Allah tidak seperti yang disyirikkan oleh makhlukNya.
وَيُؤْمِنُونَ بِهِ
dan mereka itu beriman dengan Allah Taala
Mereka beriman benar-benar dengan Allah. Mereka juga mengamalkan tauhid. Jadi, kalau makhlukNya yang lain tidak beriman, ada Allah kisah? Tidak langsung. Kerana Allah tidak memerlukan keimanan manusia. Tidak berkurang kehebatan Allah kalau manusia dan jin tidak beriman. Terdapat malaikat-malaikat yang bertugas dan beribadat dan beriman kepada Allah dengan tidak ada rasa lemah dan bosan.
Kalau kita pun mengamalkan tauhid, kita pun akan termasuk dalam kalangan mereka.
وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ ءآمَنُوا
Dan sentiasa meminta ampun bagi orang-orang yang beriman
Inilah kelebihan mereka yang beriman sempurna kepada Allah. Malaikat-malaikat itu meminta ampun bagi pihak mereka yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Mereka itu adalah malaikat-malaikat yang rapat dengan Allah dan mereka meminta ampun untuk pihak orang yang beriman! Alangkah hebatnya kedudukan mereka yang beriman.
Apakah kata-kata mereka?
رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا
Mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, rahmatMu dan ilmuMu meliputi segala sesuatu”
Tidak ada yang di luar dari rahmat dan ilmu Allah. Apakah maksud ini? Sebagai contoh, kerana rahmat Allahlah orang yang kufur dapat makan, dapat harta, boleh buat macam-macam. Kalau tidak kerana rahmat Allah, mereka tidak akan dapat apa-apa dari dunia ini. Allah maha berkuasa untuk melakukan sesuatu apa pun, sampaikan kalau Allah mahu memberikan RahmatNya kepada sesiapa, tidak ada sesiapa yang boleh halang.
Tidak ada apa yang di luar dari ilmu Allah. Tidak ada apa-apa perkara pun yang Allah tidak tahu. Malaikat mengaku yang hanya Allah sahaja yang tahu segala-galanya. Allah sahaja yang tahu siapakah yang layak mendapat rahmat atau tidak, kerana ilmu Allah itu luas. Mereka mengaku mereka tidak tahu sebagaimana Allah.
فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا
“Maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat”
Mereka memohon kepada Allah supaya memberi ampun kepada mereka yang bertaubat. Walaupun Allah Maha Tahu apakah perbuatan dan kesalahan manusia, malaikat-malaikat itu masih lagi meminta ampun untuk pihak mereka yang bertaubat.
Taubat apakah yang dimaksudkan? Oleh kerana surah ini adalah tentang Tauhid dalam doa, maka taubat yang dimaksudkan adalah taubat dari melakukan kesalahan dalam berdoa – sebelum itu mungkin mereka tidak terus berdoa kepada Allah, tapi menggunakan perantaraan dalam berdoa.
Mereka sudah tahu bahawa itu adalah salah, setelah mempelajari wahyu Allah, baru mereka tahu dan mereka telah bertaubat dari kesilapan itu. Kalau tidak belajar wahyu, bagaimanalah agaknya manusia nak tahu bahawa salah kalau mengamalkan tawasul dalam doa?
وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ
“Dan orang-orang yang mengikuti jalanMu”
Setelah mereka bertaubat, mereka menerima tauhid dan mempunyai fahaman tauhid. Mereka sudah mula ikut jalan syariat seperti yang dikehendaki oleh Allah sebagaimana yang disampaikan di dalam wahyuNya.
Ini juga memerlukan pembelajaran tafsir dan sunnah untuk mengetahui apakah yang perlu dilakukan dan apakah yang perlu ditinggalkan. Maka, mereka telah mula belajar dan mengamalkan syariat seperti yang sepatutnya.
وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ
“Dan jauhilah mereka dari azab neraka jahanam”
Mereka juga berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan orang-orang mukmin itu dari neraka. Oleh kerana malaikat-malaikat itu adalah malaikat yang rapat dengan Allah, maka tentunya doa mereka makbul.
Sebenarnya Allah hendak beritahu bahawa mereka yang ikut jalan tauhid adalah selamat. Doa malaikat sebagai isyarat sahaja. Kalau para malaikat itu tidak berdoa untuk mereka pun, mereka akan selamat.
Kenapa agaknya para malaikat itu mendoakan untuk orang yang beriman itu? Apakah yang mereka akan dapat? Tidak ada apa. Tapi mereka ikhlas berdoa kepada mereka yang beriman, bertaubat, ikut jalan Allah. Ini juga menunjukkan kelebihan mereka yang melakukan ketiga-tiga perkara itu. Apabila manusia dan jin melakukan ketiga-tiga perkara itu, makhluk-makhluk lain pun sayang kepada mereka. Iman yang ada dalam hati adalah penaut kasih antara makhluk.
Ini juga mengajar kita supaya mendoakan juga kepada orang-orang lain yang beriman. Kerana tautan kasih antara yang beriman itu memang telah ada.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 17 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair