Tafsir Surah an-Nisa Ayat 137 – 140 (Golongan Murtad)

Ayat 137: Ini pula tentang kafir murtad. Selalunya yang menjadi murtad itu adalah kerana mereka bergaul rapat dengan orang kafir. Orang kafir memang kita boleh berurusan muamalah dengan mereka, tetapi tidaklah sampai berkawan rapat.

Maka jangan sampai kita berkawan rapat dengan mereka sampai berminat dengan cara hidup mereka. Kita kenalah berpada-pada apabila berkawan dengan mereka.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا ثُمَّ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا ثُمَّ ازدادوا كُفرًا لَّم يَكُنِ اللَهُ لِيَغفِرَ لَهُم وَلا لِيَهدِيَهُم سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have believed then disbelieved, then believed then disbelieved, and then increased in disbelief – never will Allāh forgive them, nor will He guide them to a way.

 

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا ثُمَّ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kufur, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi,

Berkali-kali dikatakan orang itu kufur. Sekejap kufur dan sekejap beriman kembali. Mereka itu sebenarnya menjadi kufur sebab bergaul dengan orang kafir dan tertarik dengan cara hidup orang kafir dan fahaman mereka. Apabila duduk bergaul lama sangat dengan mereka, akan timbul minat di dalam hati terhadap cara hidup mereka.

Kalau tidak bergaul sangat dengan orang kafir, tidak akan jadi begitu. Orang yang yang berkawan rapat sangat dengan orang kafir akan merasakan baik sahaja cara dan perbuatan orang kafir itu. Dan ini adalah amat bahaya, kerana apabila redha sahaja dengan cara kufur, itu sudah kufur sebenarnya. Ketahuilah bahawa dengan mengiyakan kekufuran adalah perbuatan kufur.

Apabila dia mulai belajar agama sedikit, dia kembali mengetahui bahawa salah cara-cara dan amalan orang kufur itu, maka dia kembali memeluk Islam.

Kemudian dia kembali berminat dengan cara kufur apabila bergaul kembali dengan orang kafir. Itulah disebut berkali-kali Islam dan kufur dalam ayat ini, kerana ada perubahan di dalam diri manusia yang Allah  ‎ﷻ sedang sebut ini.

Tetapi yang bahayanya, kekufuran kali kedua ini lebih kuat lagi dari kekufuran kali pertama itu kerana kekufurannya akan melebihi dari kekufuran yang asal.

 

ثُمَّ ازدادوا كُفرًا

kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, 

Sampai pada satu tahap, dia lebih berminat cara kufur dibandingkan dengan cara Islam. Apabila sudah sampai ke tahap begitu, dia tidak akan kembali lagi kepada Islam. Dia ini adalah jenis yang sekejap hendak rapat kepada agama dan kemudian tidak pula. Dia membuat pilihan mengikut musim.

Ayat ini boleh juga dikatakan tentang ‘golongan munafik‘. Memang mereka banyak disebutkan dalam Surah an-Nisa’ ini. Golongan munafik itu hanya melihat kepada keuntungan sahaja. Kalau mereka nampak untung memasuki Islam, maka mereka akan masuk.

Sebagai contoh selepas Perang Badr, mereka nampak Islam kuat dan mereka pun masuk Islam. Tetapi apabila Muslim kalah dalam Perang Uhud, mereka kembali kufur semula. Jadi, mereka itu sekejap beriman, sekejap kufur. Itu maknanya mereka bermain-main dengan agama. Mereka hanya melihat keuntungan dalam dunia sahaja.

Ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu adalah golongan Yahudi. Ini adalah kerana mereka dahulu beriman dengan Nabi Musa عليه السلام, kemudian menjadi kufur kerana menyembah patung anak sapi. Kemudian mereka telah bertaubat dan kembali beriman. Kemudian golongan itu tidak mahu mempercayai dengan kenabian Nabi Isa عليه السلام dan akhir sekali apabila mereka tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, mereka telah menambah kekufuran mereka.

 

لَّم يَكُنِ اللهُ لِيَغفِرَ لَهُم

Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka,

Orang yang sebegini, Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan lagi mereka. Ini adalah kerana mereka main-main dengan agama. Tidak ada pengampunan kepada mereka selepas mereka mati kerana mereka berterusan di dalam kekufuran sampai mereka mati. Bukanlah Allah ‎ﷻ tidak mahu menerima pengampunan mereka, tetapi kalau mereka sendiri yang tidak meminta keampunan di hujung hayat mereka, maka Allah ‎ﷻ tidak akan mengampuni mereka.

Ingatlah yang Allah ‎ﷻ hanya mengambil kira apakah iman kita semasa kita mati. Kalau sepanjang hidup kita mengamalkan Islam, tetapi di penghujung hayat kita pergi kepada kekufuran, maka itu bermakna kita mati kufur.

Ini adalah amat menakutkan sekali, kerana kita tidak tahu hujung hayat kita bagaimana nanti. Sekarang memang kita rasa kita beriman, tetapi bagaimana di hujung hayat kita nanti? Adakah kita tahu? Tentulah tidak.

Maka, moleknya kita sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya menetapkan iman kita supaya kita mati dalam iman. Hendaklah juga kita menjaga iman kita supaya ia tetap teguh dan kuat. Dan caranya adalah dengan meningkatkan pengetahuan agama kita.

 

وَلا لِيَهدِيَهُم سَبيلًا

dan Dia tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.

Tiada jalan dibuka lagi kepada mereka yang telah murtad itu untuk ke syurga. Ini adalah kerana mereka tidak layak untuk memasuki syurga. Maka sekarang lihatlah bahayanya bercampur gaul rapat dengan orang kafir.


 

Ayat 138: Seperti yang telah kita ketahui, perangai yang disebut dalam ayat sebelum ini adalah tentang golongan munafik. Ini dikuatkan lagi di dalam ayat ini. Maknanya, pada luaran mereka kelihatan seperti orang Islam, bercakap tentang Islam, mengaku seorang Muslim dan nama pun nama Muslim, tetapi hakikatnya mereka adalah kafir.

Sekarang Allah menyebut apakah natijah (kesan) kepada orang munafik kalau mereka terus kekal di dalam munafik.

بَشِّرِ المُنٰفِقينَ بِأَنَّ لَهُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Give tidings to the hypocrites that there is for them a painful punishment –

 

MALAY

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

 

بَشِّرِ المُنٰفِقينَ

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik:

Allah ‎ﷻ mengejek mereka dengan berkata berikan ‘berita gembira’ kepada mereka, tetapi ia bukanlah ‘berita gembira’, tetapi berita yang amat buruk sekali. Semua manusia akan tertunggu-tunggu berita baik diberikan kepada mereka. Tapi apakah berita yang akan diterima oleh orang munafik?

 

بِأَنَّ لَهُم عَذابًا أَليمًا

bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

Mereka hanya akan menerima berita yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka akhirnya. Itulah ‘berita gembira’ yang dimaksudkan. Tentulah ia bukan berita gembira, bukan? Itulah pengakhiran kepada golongan munafik itu. Semoga kita diselamatkan dari sifat ini dan pengakhiran ini. Aameen.

Tanda sifat munafik munafiqin
Di Madinah, ramai mengikuti agama Islam dalam masyarakat majmuk sehinggakan secara tidak sedar sifat-sifat munafik ada di kalangan mereka. Allah ‎ﷻ telah menyatakan sifat-sifat tersebut.

 

Ayat 139: Kenapa mereka sekejap kufur, sekejap beriman? Seperti yang telah disebutkan sebelum ini,  kerana mereka mengambil orang kafir sebagai teman rapat mereka. Jadi Allah ‎ﷻ menerangkan sifat-sifat munafik di dalam ayat ini.

Pertamanya, mereka menjadikan orang-orang kafir sebagai teman rapat atau pemimpin.

الَّذينَ يَتَّخِذونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۚ أَيَبتَغونَ عِندَهُمُ العِزَّةَ فَإِنَّ العِزَّةَ ِللهِ جَميعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who take disbelievers as allies instead of the believers. Do they seek with them honor [through power]? But indeed, honor belongs to Allāh entirely.¹

  • Being the source of all power and honor, Allāh grants them to whom He wills.

 

MALAY

(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).

 

الَّذينَ يَتَّخِذونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.

Mereka berminat untuk berkawan dengan orang kafir. Hati mereka telah cenderung kepada orang kafir itu dan lama kelamaan dengan cara kehidupan orang kafir. Mereka duduk pula dalam kawasan penempatan orang kafir sampai tidak mahu berhijrah ke kawasan orang Islam. Ini kerana mereka selesa di situ dan cara kehidupan di situ.

 

 أَيَبتَغونَ عِندَهُمُ العِزَّةَ

Adakah mereka (orang-orang munafik) mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu,

Kenapa jadi begitu? Mereka jadi begitu kerana mereka mencari kemuliaan dan kekuatan dengan berkawan dengan orang kafir kerana mungkin banyak perkara yang mereka boleh dapat dari orang kafir itu.

Seperti kita telah belajar dalam ayat-ayat yang lain, orang-orang kafir itu selalunya kaya raya dan berkuasa kerana mereka memang melebihkan kehidupan dunia sahaja, tanpa melihat kepada akhirat. Jadi kerana usaha mereka untuk dunia sahaja, maka tentulah mereka  mendapat banyak habuan keduniaan.

Oleh kerana mereka kaya, maka orang-orang munafik itu pun sangat rapat dan bertempeklah dengan orang-orang kafir itu kerana ada kebaikan yang boleh didapati daripada mereka. Ini kerana orang munafik pun memang mementingkan habuan keduniaan sahaja.

 

فَإِنَّ العِزَّةَ ِللهِ جَميعًا

sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah. 

Allah ‎ﷻ menempelak mereka yang mencari kemulian dan kekuatan dari orang kafir itu. Adakah patut mereka hendak mendapatkan kemulian dari orang kafir yang sememangnya tidak mempunyai kemuliaan langsung? Sedangkan kemuliaan dan kehebatan itu milik Allah ‎ﷻ semuanya sekali. Orang munafik telah tersalah tempat untuk mencari kemuliaan.

Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberikan kemuliaan dan kekuatan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menarik dari sesiapa yang dikehendakiNya. Jadi kalau ingin mendapatkan kemuliaan, kenalah hanya meminta dari Allah ‎ﷻ sahaja, mengharap dari Allah ‎ﷻ sahaja. Kemuliaan dari Allah ‎ﷻlah yang lebih baik dari apa yang kita dapat dari orang-orang kafir itu. Allah berfirman dalam Fathir:10

مَن كانَ يُريدُ العِزَّةَ فَلِلَّهِ العِزَّةُ جَميعًا ۚ
 
Sesiapa yang mahukan kemuliaan, bagi Allah jualah segala kemuliaan. 
 

Dan Allah ‎ﷻjuga berfirman dalam Munafiqun:8

وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلكِنَّ الْمُنافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.


 

Ayat 140: Allah ‎ﷻ telah melarang kita bergaul rapat dengan orang kafir. Terutama kalau mereka berkata tidak baik tentang agama Islam.

وَقَد نَزَّلَ عَلَيكُم فِي الكِتٰبِ أَن إِذا سَمِعتُم ءآيٰتِ اللهِ يُكفَرُ بِها وَيُستَهزَأُ بِها فَلا تَقعُدوا مَعَهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ إِنَّكُم إِذًا مِّثلُهُم ۗ إِنَّ اللَّهَ جامِعُ المُنٰفِقينَ وَالكٰفِرينَ في جَهَنَّمَ جَميعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it has already come down to you in the Book [i.e., the Qur’ān] that when you hear the verses of Allāh [recited], they are denied [by them] and ridiculed; so do not sit with them until they enter into another conversation. Indeed, you would then be like them.¹ Indeed, Allāh will gather the hypocrites and disbelievers in Hell all together –

  • In this world, by participation in their blasphemy, and in the next, where you will share their punishment.

 

MALAY

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

 

وَقَد نَزَّلَ عَلَيكُم فِي الكِتٰبِ أَن إِذا سَمِعتُم ءآيٰتِ اللَّهِ يُكفَرُ بِها وَيُستَهزَأُ بِها

Dan sesungguhnya telah diturunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek

Yang dimaksudkan telah diturunkan dalam kitab adalah dalam surah An’am ayat 68. Surah An’am telah diturunkan di Mekah. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ berkata yang perkara ini telah diberitahu sebelum ini.

Termasuk dalam perkara ini adalah mendengar seseorang yang menafsir ayat Qur’an dengan akalnya sendiri. Ramai yang membaca ayat Qur’an tetapi memandai-mandai sahaja menafsir mengikut akal logiknya dan tidak melihat penilaian dan tafsiran dari ulama terdahulu. Maknanya mereka tidak mengikuti disiplin tafsir.

 

فَلا تَقعُدوا مَعَهُم

maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka

Maka jangan duduk bersama mereka ketika mereka bercakap sambil mengutuk Qur’an atau agama Islam. Contohnya, mereka mungkin berkata Hukum Hudud tidak betul. Mereka berkata begitu kerana mereka tidak belajar dan mereka hanya menggunakan akal sahaja. Malangnya, kalau kita pun duduk bersama mereka dan berkata ‘ya’ juga. Ini kerana ada yang jahil dan tidak belajar, dan apabila orang kafir berkata begitu, mereka pun termakan juga dengan hujah orang kafir itu.

Bagaimana pula kalau kita bersama dalam majlis bidaah? Katakanlah ada majlis bersanding, majlis Mawlid Nabi, majlis kenduri Doa Selamat, dan sebagainya? Hukum yang sama juga terpakai dalam hal ini.

Ini adalah kerana semasa mereka melakukan amal-amal bidaah mereka itu, mereka sedang mengingkari dan memperlekehkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ yang melarang melakukan perkara syirik dan bidaah. Kita pun tidak boleh duduk bersama mereka di dalam majlis tersebut.

Ini memang susah untuk dilakukan kerana kita  mementingkan pandangan masyarakat kepada kita. Kita akan berasa segan kalau kita dikatakan anti-sosial, tidak menghormati keluarga, ataupun dituduh memecah belahkan masyarakat dan sebagainya. Maka terdapat juga golongan Sunnah yang pergi ke majlis-majlis bidaah. Tapi kalau kita yang sudah mengetahui yang majlis itu salah, maka kenapa kita masih ingin duduk di dalamnya lagi?

Inilah masalahnya kalau takutkan orang yang jahil. Kenapa mesti takutkan mereka? Amat bahaya kalau ada perasaan takut ini. Ayat ini memberitahu kita bahawa kalau kita duduk dalam majlis yang sama, ia bermaksud kita pun sama seperti mereka juga.

Suruhan meninggalkan mereka juga termasuk menonton atau membaca sumber dari media massa. Pada zaman sekarang, banyak rancangan dan penulisan di buku dan Internet yang menghina Islam. Kita kenalah mempunyai sikap yang sama. Kalau terdapat rancangan atau penulisan yang menghina Islam, kita haruslah terus meninggalkannya.

Amatlah bahaya apa yang dilihat dan dibaca itu. Apa yang kita lihat dan baca sebenarnya akan berada lama di dalam otak kita. Kita sahaja menyangkakan ia tidak memberi kesan tetapi sebenarnya kesannya akan keluar lama-kelamaan nanti. Nanti ia akan mempengaruhi pemikiran kita kalau kita sudah melihat atau membaca pandangan-pandangan yang sebegitu.

 

حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ

sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain;

Maka, jangan lagi duduk dengan mereka kecuali mereka mengubah topik kepada perkara yang lain. Mungkin mereka menukar topik kepada pekerjaan, kehidupan keluarga mereka dan benda-benda yang lain. Tidak patut kalau kita terus duduk bersama mereka semasa mereka mengutuk Allah ‎ﷻ dan agama kita. Bayangkan kalau ramai-ramai bersembang tentang ibu kita dan mengutuk ibu kita, tidak mungkin kita akan terus duduk situ lagi. Apatah lagi  kalau mereka mengutuk agama kita, bukan?

Maka begitu juga dengan ahli bidaah di negara kita. Bila mereka tidak membuat amalan bidaah lagi, boleh sahaja duduk-duduk dengan mereka, berbincang minum kopi dan sebagainya kerana mereka masih lagi kawan, kenalan dan keluarga kita. Cuma kita tidak mahu bersekongkol dengan mereka semasa mereka melakukan perkara yang salah.

Kita kenalah menunjukkan kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu dengan tidak menyertainya. Tapi tidaklah kita terus memboikot mereka sampai bila-bila. Mana boleh kita memboikot mereka, sedangkan kita masih lagi bertanggungjawab untuk berdakwah kepada mereka?

Ada satu lagi pendapat yang mengatakan, tidak boleh langsung duduk dengan mereka walaupun mereka itu telah berhenti dari menghina Qur’an. Ini adalah kerana mereka itu akan memberi teladan yang buruk untuk kita. Hanya kalau ada keperluan barulah boleh duduk bersama mereka. Kalau tidak ada keperluan, maka jauhkan diri dari mereka. Selamatkan diri kita dari mereka kerana bimbang kita terikut-ikut dengan mereka pula nanti kalau duduk bersama mereka.

Contoh keperluan itu adalah seperti apabila kita datang ke masjid kerana hendak menunaikan solat berjemaah. Mungkin pada waktu itu mereka sedang melakukan perkara bidaah. Kita boleh duduk di situ kerana ada keperluan kerana ingin solat berjemaah. Tidaklah boleh meninggalkan mereka kerana ada kewajipan solat berjemaah untuk lelaki.

 

إِنَّكُم إِذًا مِّثلُهُم

kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. 

Ini yang bahaya kalau kita terus duduk bersama mereka pada waktu mereka menghina agama. Kalau masih duduk juga, kita dikira sama sahaja dengan mereka.

Kalau sudah biasa mendengar mereka mengutuk tentang Islam, kemungkinan kita sudah berasa biasa dan kita pun menjadi lali dan tidak menghormati agama sendiri pula. Begitulah manusia, kalau benda yang pelik pun lama-lama kalau sudah biasa dilihat dan mendengarnya, akan menjadi kebiasaan pula. Kerana itulah kita lihat ramai yang sampai sudah mula berani untuk mempersoalkan agama.

Akhirnya kita mungkin akan menjadi seperti mereka juga. Bahayanya, kita mungkin akan dikenakan azab sekali dengan mereka nanti. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah berkata kita ‘sama’ seperti mereka. Apabila mereka dikenakan azab, maka kita pun terpalit sekali dengan azab tersebut.

Ayat ini juga mengajar kita dalam mencari kawan sebenarnya. Sepatutnya kita mencari kawan yang boleh memberi perangsang untuk mengerjakan amalan yang soleh, bukannya yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kehinaan. Sedikit sebanyak, kita terkesan juga dengan kawan-kawan kita. Mula-mula mungkin kita tidak mengikuti apa yang mereka lakukan, tetapi lama kelamaan kita akan terikut-ikut juga. Maka, dari awal lagi kenalah berhati-hati dalam memilih kawan.

 

إِنَّ اللَّهَ جامِعُ المُنٰفِقينَ وَالكٰفِرينَ في جَهَنَّمَ جَميعًا

Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

Allah ‎ﷻ akan menggabungkan sekali orang munafik dan kafir di neraka. Kalau kita pun duduk-duduk bersama mereka, maka kita pun akan masuk dengan mereka sekali.

Ayat ini mengajar kita, kalau ketika mereka sedang mengutuk agama Islam, itu bukanlah masa yang sesuai untuk berdakwah  atau memperbetulkan mereka. Sudah pasti mereka akan menolaknya kalau kita berdakwah kepada mereka pada ketika itu. Oleh sebab itu kenalah tinggalkan mereka dan cari masa yang sesuai untuk berdakwah kepada mereka kemudian nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah an-Nisa Ayat 137 – 140 (Golongan Murtad)”

  1. Saya sudah tidak bersama mereka selepas solat fardhu berjemaah ketika bermulanya imam membaca doa dan makmum mengaminkan doa tersebut kerana ia adalah perkara yg jelas mengingkari ayat2 Allah ( Al Quran). Tetapi perbuatan meninggal majlis bidaah itu saya lakukan selepas saya berzikir iaitu saya masih dlm majlis berkenaan. Saya mula terfikir juga, imam baca zikir dgn suara kuat, juga bidaah. Sepatutnya saya tinggalkan juga sejurus solat fardhu jemaah demikian dan berzikir sendiri di tempat lain dlm masjid tersebut. Betul ke ?

    Like

    1. Selalu kalau yang sunnah tu, dia akan bangun dan buat urusan sendiri di tempat lain. cari tiang lain dan solat sunat, kemudian zikir sendiri. Sudah tidak join zikir jam’i dan doa jam’i imam dan jemaah lain. Yang tidak faham akan kata kita sombong, tapi kita tidak mahu terlibat dengan perbuatan bid’ah sebenarnya.

      Like

  2. Assalamuálaikum,
    Soalan: Bagaimana pula ketika bulan Ramadhan. Banyak masjid2 akan mengadakan tahlilan sebelum isyá dan imam masjid mengetuainya. Selalunya mereka buat antara maghrib dan isyá.
    Dan orang yg sama jadi imam utk solat isyá dan terawikh. Bolehkah kita ikut jadi makmum selepas kita tahu yg dia baru selesai buat tahlilan?

    Like

    1. Apa yang imam itu lakukan tetap bid’ah.
      Akan tetapi boleh sahaja kita jadi makmum dia semasa dia jadi imam. Kerana semasa dia jadi imam solat itu, dia tidak melakukan bid’ah. Benda bid’ah yang dia buat, kita tidak sertai.

      Tentu yang terbaik adalah kalau dapat Imam yang Sunnah. Lega hati dan tentang sahaja sepanjang masa. Tapi malangnya tidaklah banyak imam-imam sebegini. Agak susah nak cari. Jadi terpaksalah kita berimamkan mereka yang tidak kenal dengan Sunnah.

      Like

      1. Jawapan daripada kawan ( yg tak boleh logged in )

        Masaalah yg timbul disini ialah Pak Imam yg buat tahlilan terus mengimamkan solat terawih. Memang sedia maklum bila memulakan tahlilan Pak Imam akan memulakan dengan tawassul Syirik iaitu iLahadratin Nabiyii…. saiun lillah hummul Fatihah… Diikuti dgn hadiah pahala bacaan fatihah. Ini pula terang2 melanggar banyak ayat. An Najmi ayat 39 , Yasiin ayat 54 dan lain2 lagi. Akibatnya tentulah aqidahnya telah hancur sebab amal2an tersebut… bila tauhid hancur bagaimana kita boleh menjadi makmum kpd sesaorang yg tidak bertaubat dari Syirik. Tentulah Allah tidak mengampuninya… Segala amal yg lepas pun ikut hangus…amal ibadat masih tergantung sebab iman nya hancur…itulah masaalah kita…

        Like

      2. akan tetapi semasa dia solat, dia tidak melakukan syirik. kalau kita keras sangat bab ini, tak solat jemaahlah kita. sebab solat yang imam sunnah tidak banyak.

        Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s