Tafsir Surah al-An’am Ayat 64 – 68 (Perpecahan sebagai azab)

Ayat 64:

قُلِ اللهُ يُنَجّيكُم مِّنها وَمِن كُلِّ كَربٍ ثُمَّ أَنتُم تُشرِكونَ

Sahih International

Say, “It is Allah who saves you from it and from every distress; then you [still] associate others with Him.”

Malay

Katakanlah: “Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)”.

قُلِ اللهُ يُنَجِّيكُم مِّنْهَا

Katakanlah: “Allah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu

Ingatlah bahawa Allah sahaja yang dapat menyelamatkan kamu. Tidak ada entiti lain yang dapat menyelamatkan kita. Apabila kamu berdoa kepada Allah supaya menyelamatkan kamu dari kegelapan darat dan lautan, dari kesusahan darat dan lautan, Allah lah yang menyelamatkan kamu.

وَمِن كُلِّ كَرْبٍ

dan dari segala macam kesusahan,

Kalimah كَرْبٍ bermaksud kesusahan yang amat sangat yang dihadapi oleh manusia. Kesusahan yang amat sangat sampai mereka merasakan nak bernafas pun susah. Sampai rasa sesak nafas. Sampaikan kita kena duduk sekejap dah bernafas dengan baik semula. Kena tenangkan diri semula.

Allah boleh bebaskan kita dari mana-mana kesukaran pun. Sama ada kesusahan yang kita alami itu kecil ataupun besar, hanya Allah sahaja yang menyelamatkan kita.

ثُمَّ أَنتُمْ تُشْرِكُونَ

kemudian kamu kembali mensyirikkan-Nya”.

Walaupun dulu mereka berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan mereka, tapi selepas mereka diselamatkan dari kesusahan itu, mereka buat syirik pula. Ini seperti yang disebut juga dalam ayat Az-Zumar:8.

۞ وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَنْدَادًا لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ
Dan apabila manusia itu ditimpa kemudharatan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengada-adakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah: “Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka”.

Apakah yang dimaksudkan mereka menjadi syirik selepas itu? Selepas mereka selamat daripada kesusahan yang mereka minta doa kepada Allah itu, dan mereka diselamatkan, mereka kata mereka selamat sebab pertolongan dari orang lain. Itulah syiriknya.

Allah kata dalam ayat ini bahawa Allah lah yang menyelamatkan mereka dan menyelesaikan masalah mereka tapi mereka kata sebab itu dan ini pula yang selamatkan mereka.

Sebagai contoh, semasa tsunami dahulu, apabila ditemuramah mereka yang selamat, ada yang berkata: “sebab pelampung inilah saya selamat”. Apa yang mereka cakap itu nampak mudah sahaja, tapi perkataan mereka itu ada masalah akidah.

Syirik bukan sahaja menyembah selain dari Allah. Syirik juga menyamakan kedudukan makhluk lain dengan Allah. Apabila kita kata ada entiti lain yang menyelamatkan kita, bermakna kita telah menyamakan kedudukan entiti itu dengan Allah. Seperti kita mengatakan entiti itu yang menyelamatkan kita. Padahal, hanya Allah sahaja yang dapat menyelamatkan kita.

Sebagai contoh, kita sudah kesusahan. Perniagaan kita jatuh sampai kita muflis. Kita dalam kepayahan sangat. Tak tahu nak buat apa dah. Kita pun berdoa dan mengharap kepada Allah. Mengharap sangat-sangat. Dah jadi baik, dah mula pergi ke surau dan masjid untuk berjemaah.

Kemudian, kita berjumpalah dengan seseorang yang mendengar masalah kita. Dia pun beri cadangan jumpa ‘ustaz’ untuk mendoakan kita. ‘Ustaz’ itu pun buatlah air mandi buang sial kepada kita. Selepas tujuh hari, semangat kita pun pulih. Perniagaan kita kembali bangkit. (Kita kata orang itu jumpa ‘ustaz’, tapi sebenarnya dia jumpa bomoh.

Masalah dunia kita sekarang, bomoh dah tak pakai nama bomoh lagi, tapi dah pakai gelaran ‘ustaz’, untuk menipu masyarakat yang jahil).

Semasa dia mula-mula jatuh muflis, dia telah berdoa kepada Allah. Maka Allah telah mengubah nasibnya. Tapi kerana dia ada mandi buang sial dengan seorang ‘ustaz/bomoh’ itu, dia pun kata kepada orang lain: “Nasib baik aku jumpa ustaz tu. Dialah yang telah mandikan buang sial aku. Kalau bukan dia, tak tahu lah apa jadi aku sekarang.” Itulah maksudnya dia telah melakukan syirik kepada Allah.

Kenapa semasa kita susah, kita minta tolong kepada Allah tetapi apabila kita selamat daripada kesusahan itu kita kata entiti lain yang tolong kita? Kita memang boleh berterima kasih kepada mereka yang telah menolong kita tetapi janganlah kita lupa bahawa Allah lah yang sebenarnya yang telah menyelamatkan kita.

Allah lah yang telah mengajar mereka untuk menyelamatkan kita. Allah lah yang telah menggerakkan mereka untuk membantu kita. Hakikatnya Allah lah yang membantu kita. Maka, jangan lupa kepada Allah. Jangan lupa mengucapkan syukur kepada Allah.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa apabila kita telah selamat daripada kesusahan, maka hendaklah kita berterima kasih dan bersyukur kepada Allah. Tetapi selalunya bila masalah kita telah selesai dan kita telah gembira kerana masalah kita selesai, kita terlupa langsung untuk mengucapkan Alhamdulillah. Jangan begitu.

Ayat ini juga mengajar kepada kita, apabila kita telah selesai daripada masalah kita, maka hendaklah kita menunaikan apa saja nazar yang kita telah lakukan semasa kita berdoa kepada Allah sebelum itu. Kerana, dalam ayat sebelum ini, orang yang berdoa itu telah berjanji untuk menjadi ‘orang yang bersyukur’.

Bermakna, dia ada bernazar/berjanji dengan Allah. Sebagai contoh, ada berdoa kalau selesai daripada masalah, mereka akan beri sedekah kepada anak yatim dan sebagainya. Jangan kita lupa akan nazar kita itu. Kerana Allah tahu apa yang kita telah nazar kan.


Ayat 65: Takhwif Duniawi. Apabila kita telah selesai daripada masalah yang kita hadapi, kadang-kadang kita akan rasa bahawa tidak akan ada masalah lagi yang akan timbul. Tapi Allah ingat kan kita dalam ayat ini bahawa Allah boleh saja memberikan masalah lain kepada kita. Maka jangan kita rasa selamat sangat.

قُل هُوَ القادِرُ عَلىٰ أَن يَبعَثَ عَلَيكُم عَذابًا مِّن فَوقِكُم أَو مِن تَحتِ أَرجُلِكُم أَو يَلبِسَكُم شِيَعًا وَيُذيقَ بَعضَكُم بَأسَ بَعضٍ ۗ انظُر كَيفَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَفقَهونَ

Sahih International

Say, “He is the [one] able to send upon you affliction from above you or from beneath your feet or to confuse you [so you become] sects and make you taste the violence of one another.” Look how We diversify the signs that they might understand.

Malay

Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.

قُلْ هُوَ الْقَادِرُ

Katakanlah: “Dialah yang berkuasa

Allah amat berkuasa dan amat mampu untuk memberikan bencana lain kepada kita. Oleh itu kenapa kamu rasa kamu selamat sangat?

Maka apabila kita selamat daripada sesuatu bencana, jangan kita ingat bawa kita akan selamat sentiasa. Jangan bila dah selamat, kita terus lupa Allah.

عَلَىٰ أَن يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا

untuk mengirimkan azab ke atas kamu,

Allah boleh mengenakan azab kepada kita semua. Semasa di dunia lagi Allah boleh tu turunkan azab. Azab itu boleh datang dari mana-mana sahaja. Dalam ayat ini disebutkan tiga jenis. Apabila Allah memberikan senarai, senarai itu adalah sesuatu yang meningkat naik. Iaitu dari yang susah kepada yang semakin susah. Dari yang teruk kepada yang paling teruk.

مِّن فَوْقِكُمْ

dari atas kamu

Azab yang pertama adalah dari ‘atas’ kita. Ia bermaksud samada bencana daripada langit seperti hujan batu, taufan, ribut gempita dan sebagainya.

Atau ia boleh juga bermaksud yang Allah boleh meletakkan pemimpin-pemimpin di atas kita yang akan menindas kita. Ada antara mereka yang tidak adil dan akan berlaku zalim kepada kita. Mereka itu boleh jadi ketua-ketua kita di pejabat, ataupun pemimpin-pemimpin masyarakat, ahli-ahli politik, JKKK kampung, ibu bapa kita, suami kita dan sebagainya.

أَوْ مِن تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ

atau dari bawah kakimu

Yang lebih teruk daripada azab yang di atas kita adalah azab dan bala dari ‘bawah’ kita. Sebagai contoh, gempa bumi sampai runtuh bangunan, bumi yang boleh saja menelan manusia.

Atau tanah yang lemah sampai tanah itu boleh jadi runtuh dan meruntuhkan rumah dan bangunan kita. Banjir juga boleh dikira sebagai bencana daripada bawah kita kerana air yang naik dan naik yang akhirnya akan melemaskan kita.

Boleh juga bermaksud masalah-masalah yang ditimbulkan daripada orang-orang dibawah kita. Sebagai contoh, ada pekerja-pekerja yang menipu kita. Atau anak-anak yang tidak pun dengar cakap kita dan memalukan kita. Atau isteri kita yang menyusahkan kita.

Jikalau itu semuanya berlaku kepada kita, maka hendaklah kita bertaubat kepada Allah. Kerana semua ini mungkin terjadi disebabkan oleh kesalahan yang kita telah lakukan. Iaitu kerana kita telah malakukan syirik kepada Allah tanpa kita sedari.

Jangan kita hanya mencari salah orang sahaja tetapi lupa tentang kesalahan yang kita telah lakukan. Kaji balik apakah perbuatan kita selama ini adakah bertepatan dengan Islam atau tidak.

أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا

atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan)

Ini yang paling teruk.

Kalimah يَلْبِسَكُمْ dari perkataan لبس yang bermaksud ‘bercampur aduk sampai tidak dikenali antara satu sama lain’. Ini akan menyebabkan kita jadi keliru.

Kalimah شِيَعًا dari perkataan ش ي ع yang bermaksud satu kumpulan.

Ayat ini bermaksud, Allah boleh memecahbelahkan kita kepada kumpulan-kumpulan yang bertentangan. Kadang-kadang dalam keluarga kita pun boleh berpecah belah kerana perbezaan pendapat. Nak makan sama-sama pun susah. Sampai nak solat jemaah sekali pun susah kerana berlainan pendapat dari segi pegangan mazhab mana nak pakai.

Ini juga adalah satu bentuk hukuman dari Allah. Dari sini tahu lah kita bahawa perpecahan adalah satu hukuman atas kesalahan kita. Perpecahan pendapat bukanlah suatu rahmat. Ini kita sebutkan kerana ramai yang kata: ‘Khilaf itu adalah satu rahmat’.

Tidak, khilaf itu bukanlah satu rahmat. Kalau mempunyai pendapat yang sama, itu lebih baik, itulah rahmat. Kerana kalau kita kata ‘khilaf’ itu rahmat, apa pula kita nak kata kepada persatuan pendapat? Takkan kita nak panggil ianya sebagai satu bala pula?

Ada satu hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim bagaimana Nabi telah berdoa kepada Allah untuk mendapatkan tiga perkara:

“Suatu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu Baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :

“Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah S.W.T hanya memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.

1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya Dia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan.

2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh a.s).

3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam).

Allah tidak memakbulkannya kerana perpecahan itu terjadi disebabkan oleh kesalahan kita. Apabila berbeza pendapat, maka manusia menjadi keliru manakah pendapat yang benar dan manakah yang salah. Kalau itu terjadi, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah untuk menunjukkan manakah kebenaran.

Atau, ayat ini boleh juga bermaksud, Allah boleh campurkan kita dalam golongan yang jahat. Mereka itu semuanya zalim tapi kita terperangkap dalam kumpulan itu. Sebagai contoh, kita berada dalam negara yang kafir yang menentang Islam. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita seorang sahaja. Allahu a’lam.

وَيُذِيقَ بَعْضَكُم بَأْسَ بَعْضٍ

dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain.

Apabila manusia berbeza pendapat dan berpecah belah, mereka akan berlaku ganas kepada pihak yang lain. Kadang-kadang keganasan itu di dalam bentuk kata-kata yang kasar. Dan kadang-kadang ianya boleh sampai kepada bentuk keganasan fizikal. Sampaikan boleh berperang dan sebagainya.

Kadang-kadang perbezaan pendapat dalam agama sampai menyebabkan berbunuhan sesama kita. Ini amat selalu kita lihat dalam sejarah. Manusia yang jahat akan menggunakan nama agama untuk membunuh dan menindas manusia yang lain. Ini amat malang sekali sampaikan pemimpin negara yang Islam pun begitu juga.

Lihatlah apa yang terjadi kepada ulama-ulama salaf kita seperti Ibn Taimiyyah, Imam Ahmad, Imam Bukhari dan banyak lagi. Mereka cuba menegakkan Islam yang sebenar, tapi khalifah ada penasihat-penasihat agama yang sesat. Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk menindas pendapat yang benar.

Sekarang pun kita semakin dengar bagaimana ada usaha-usaha dari pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membendung ajaran Sunnah. Mereka mengatakan yang ajaran Sunnah adalah ajaran Wahabi dan ianya adalah bahaya dan boleh memecahbelahkan masyarakat. Ma sha Allah! Kita tak tahu lagi apa yang mereka akan buat.

Tapi kita berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan perkembangan ajaran Sunnah ini. Semoga puak Bidaah tidak menggunakan kedudukan mereka dalam kepemimpinan agama untuk menindas ajaran agama yang benar. Inilah yang dimaksudkan perpecahan yang boleh terjadi.

Mereka cuba memburukkan ajaran sunnah dengan memberikan gelaran-gelaran jelek kepada kita. Apabila itu tidak berjaya, dan ajaran sunnah semakin berkembang, tidak mustahil mereka akan menggunakan kedudukan mereka dalam negara untuk menindas kita.

Kalau satu-satu negara itu membiarkan perbuatan syirik tanpa sekatan, tanpa teguran, maka tunggulah perpecahan yang bakal tiba. Sebagai contoh, lihatlah apa yang terjadi kepada negara Iraq. Mereka sampai dah buat berhala untuk Saddam Hussein dan gambar Saddam Hussein ada merata rata tempat dan tidak ada guru yang tegur.

Maka oleh kerana mereka telah buat syirik terang-terangan, Allah telah turunkan bala kepada mereka. Lihatlah bagaimana Amerika sedang memusnahkan negara mereka sekarang.

Apabila ini terjadi, maka hendaklah kita ingat kembali kepada Allah dan berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat yang telah diberi Nya kepada kita.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa Allah boleh memberi bala kepada kita melalui alam ini ataupun Allah menggunakan manusia yang lain. Semua itu dalam genggaman Allah, dalam kuasa Allah.

انظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيٰتِ

Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti

Allah sentiasa mengulang-ulang topik yang sama dalam Qur’an. Ini adalah kerana ianya amat penting sekali. Berulang-ulang ayat dengan topik yang sama, tapi dengan berbagai-bagai cara. Kerana kalau ayat yang sama sahaja, tentu manusia yang membaca akan bosan. Oleh itu, Allah akan ulang topik yang sama tapi dalam berbagai-bagai cara.

Lihatlah bagaimana Allah mengulang-ulang larangan bertawasul dalam banyak ayat. Begitu juga Allah menerangkan tentang syafaat dalam berbagai-bagai ayat dan berbagai-bagai cara. Begitu juga tentang doa kepadaNya. Begitu juga tentang bidaah. Berulang-ulang peringatan diberikan kepada manusia yang mahu membaca dan memahami Qur’an.

Pengulangan itu diberi kepada ianya adalah perkara-perkara yang penting dan manusia selalu keliru. Maka, Allah ulang berkali-kali.

لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ

agar mereka memahami(nya)”.

Memahami bahawa perbuatan syirik itu adalah perbuatan yang ditolak dan dimurkai oleh Allah.

Malangnya kebanyakan daripada kita tidak tahu bahawa kesusahan yang kita alami itu dan perpecahan yang kita hadapi adalah kerana kita tidak bersyukur kepada Allah.


Ayat 66: Ini adalah nasihat kepada Nabi dan kepada penyeru-penyeru tauhid.

وَكَذَّبَ بِهِ قَومُكَ وَهُوَ الحَقُّ ۚ قُل لَّستُ عَلَيكُم بِوَكيلٍ

Sahih International

But your people have denied it while it is the truth. Say, “I am not over you a manager.”

Malay

Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Qur’an), padahal ia adalah benar. Katakanlah: “Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)”.

وَكَذَّبَ بِهِ قَوْمُكَ

Dan kaummu mendustakannya

Mendustakan apa? Mendustakan Qur’an. Apabila dibacakan ayat-ayat Qur’an, musyrikin Mekah tidak mahu terima.

Begitu juga yang terjadi kepada masyarakat kita. Apabila diberikan dalil-dalil dari Qur’an, mereka tidak mahu terima. Mereka macam tak pernah baca Qur’an. Mereka tolak ayat-ayat Qur’an itu macam mereka itu bukan orang Islam. Mereka nak juga pakai pendapat yang ada dalam kitab, pendapat guru mereka dan pendapat akal mereka.

Benarlah apa yang Allah firmankan ini. Kaum kita akan menolak ayat-ayat Qur’an itu.

وَهُوَ الْحَقُّ

padahal Qur’an itu benar.

Sedangkan ayat-ayat dari Allah adalah benar. Allah, Qur’an dan tauhid adalah benar. Sesiapa yang engkar, azab Allah ke atas mereka itu juga benar.

Mereka pun dengan mulut mereka sendiri kata bahawa Qur’an itu dari Allah. Dan mereka sendiri selalu berkata: “Marilah kita kembali kepada ajaran Qur’an dan hadis.” Mereka siap tulis pada kain rentang dan letak merata-rata. Mereka juga suka dengan Qur’an. Mereka akan baca Qur’an hari-hari. Sedap juga bacaan mereka. Tajwid yang mereka lagukan mendayu-dayu.

Tapi, kalau kita tanya apakah makna ayat yang mereka baca itu, mereka pun tidak tahu. Mereka kata mereka hanya baca sahaja. Atau kalau mereka pandai sikit, mereka akan bacakan ‘terjemahan’ ayat yang mereka baca itu. Tapi apa yang hendak disampaikan oleh Allah, mereka tak tahu. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an.

Dan apabila kita beritahu mereka makna ayat-ayat yang mereka telah baca itu, mereka pula kata kita salah tafsir. Padahal, mereka sendiri tidak belajar tafsir Qur’an. Tapi, kerana berlainan dengan apa yang mereka faham, lain dengan apa yang tok nenek dan guru mereka ajar, mereka tolak kita mentah-mentah. Itulah yang disebut dalam ayat ini – mereka menolak Qur’an.

Mereka bukan tolak kita, tapi tolak ayat Qur’an itu sendiri. Dan apabila tolak ayat Qur’an, mereka tolak Allah sebenarnya.

قُل لَّسْتُ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ

Katakanlah: “Aku ini bukanlah orang yang diserahi mengurus urusanmu”.

Perkataan وكل bermaksud ‘penjaga’. Orang yang kita serahkan urusan kita kepada mereka untuk diselesaikan. Sebagaimana perkataan ‘tawakal’ yang bermaksud kita ‘menyerahkan urusan kita kepada Allah’. Iaitu orang yang bertanggungjawab dalam hal orang lain.

Ayat ini bermaksud bahawa Nabi Muhammad tidak boleh memaksa umatnya untuk beriman kepada Allah. Baginda hanya boleh menyampaikan ajakan tauhid sahaja kepada mereka.

Juga bermaksud bahawa Nabi Muhammad tidak ada kuasa untuk memberi hidayat atau berkat. Tidak ada kuasa untuk menjadi perantaraan antara mereka kepada Allah.

Ayat ini mengajar kita bahawa pendakwah hanya mampu menyampaikan sahaja. Mereka hanya boleh menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyampaikan dan selepas itu menyerahkan kepada Allah untuk beri hidayah kepada manusia. Kita tidak akan bertanggungjawab jikalau mereka tidak menerima hidayah.


Ayat 67:

لِّكُلِّ نَبَإٍ مُّستَقَرٌّ ۚ وَسَوفَ تَعلَمونَ

Sahih International

For every happening is a finality; and you are going to know.

Malay

Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.

لِّكُلِّ نَبَإٍ

Untuk setiap berita (yang dibawa oleh rasul-rasul)

Kalimah نَبَإٍ adalah berita-berita penting yang disampaikan di dalam Qur’an. Ataupun melalui Nabi kita. Ianya adalah tentang perkara-perkara agama.

Sebagai contoh, tentang syurga, tentang neraka, tentang azab kubur, tentang Mahsyar, Titian Sirat dan sebagainya. Semua perkara-perkara itu tidak akan dapat diketahui melainkan melalui berita-berita yang disampaikan oleh Nabi sahaja.

مُّسْتَقَرٌّ

ada (waktu) terjadinya

Kalimah مُّسْتَقَرٌّ dari katadasar قرر yang bermaksud ‘telah stabil’. مُّسْتَقَرٌّ bermaksud tempat dan masa yang tetap. Yang telah ditetapkan.

Ayat ini bermaksud segala berita yang telah disampaikan oleh Nabi itu pasti akan berlaku pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan. Contohnya, berita-berita seperti berita Mahsyar, berita masuk syurga, berita masuk neraka dan sebagainya. Apabila sampai waktunya, iaitu apabila manusia telah mati, maka semua perkara-perkara yang dijanjikan itu akan berlaku.

Ada Musyrikin Makkah yang kata kalau betul berita itu benar, maka bawalah ia dengan segera. Mereka mengejek Nabi Muhammad kerana mereka tidak percaya. Maka, Allah beritahu dalam ayat ini bahawa ianya pasti akan berlaku, tetapi pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan olehNya. Bukanlah Nabi Muhammad boleh menentukan bilakah terjadinya kejadian-kejadian itu.

Maknanya Allah bukan beri amaran yang kosong. Ianya pasti akan berlaku. Janganlah mereka ingat apabila mereka cabar Nabi untuk mempercepatkan kejadian berita-berita itu, dan Nabi tidak bawakan, bukanlah itu bermakna ianya tidak akan terjadi.

وَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

dan kelak kamu akan mengetahui.

Bilakah semua yang dijanjikan itu akan berlaku? Sebaik sahaja seseorang manusia itu mati. Waktu itu semua manusia akan nampak dan akan mengetahui dengan pasti.

Pertama sekali mereka akan bertemu dengan alam kubur. Waktu itu awal-awal lagi dah mereka akan dikejutkan dengan kedatangan Munkar dan Nakir yang akan bertanya beberapa soalan kepada mereka.

Bukan berita-berita besar itu sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah. Tapi semua perkara telah ditetapkan masanya oleh Allah. Sama ada lahirnya manusia, atau pun bila matinya ataupun bila dia akan mendapat rezeki. Kalau kita kelam kabut untuk mendapatkan sesuatu, tidaklah ia akan mempercepatkan.

Selalunya kita mahukan sesuatu itu berlaku dengan segera tetapi ianya tidak akan berlaku kerana masanya telah ditetapkan oleh Allah. Ianya hanya akan menyebabkan kita berasa kelam kabut saja. Akan menyebabkan kita jadi gundah gulana sahaja.

Dan akan menyebabkan kita rasa tidak bersyukur kerana benda yang kita tunggu itu tidak jadi-jadi lagi. Selagi apa yang kita harapkan berlaku, tidak terjadi, maka kita seharusnya bersabar dan menumpukan perhatian kepada perkara yang kita boleh lakukan.

Sebagai contoh, ada perempuan yang hamil yang tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan anaknya sampaikan mereka jadi resah gelisah. Tapi tentulah dia tidak dapat mempercepatkan kelahiran bayinya itu kerana ianya telah ditetapkan oleh Allah.

Dalam ayat ini musyrikin Mekah meminta-minta supaya dipercepatkan azab keatas mereka, Itu adalah kerana mereka tidak tahu apa yang mereka minta itu. Mereka mengejek-ngejek Nabi. Mereka tak sangka yang apa yang diberitahu oleh Nabi itu perkara yang benar. Mereka ingat Nabi Muhammad tipu sahaja.

Selepas ia terjadi nanti kepada mereka, barulah mereka akan akan tahu dan akan rasa menyesal yang amat sangat. Segala apa yang mereka ejekkan itu akan terjadi.


Ayat 68: Ayat ini ada persamaan dengan ayat Nisa:140. Ini adalah tentang subahat. Kalau kita tahu seseorang itu melanggar undang-undang, tapi kita terus bersama dengan dia tanpa melakukan apa-apa, itu bermaksud kita telah bersubahat dan boleh dimasukkan bersama dengan dia dalam penjara kalau polis tangkap dia.

Kita tidak boleh gunakan alasan yang kita tidak terlibat. Kerana kita tahu apa yang dia buat, dan kita tidak laporkan kepada pihak berkuasa. Begitulah juga kalau ada kawan kita yang melakukan dosa kepada Allah.

وَإِذا رَأَيتَ الَّذينَ يَخوضونَ في ءآيٰتِنا فَأَعرِض عَنهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ وَإِمّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيطٰنُ فَلا تَقعُد بَعدَ الذِّكرىٰ مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And when you see those who engage in [offensive] discourse concerning Our verses, then turn away from them until they enter into another conversation. And if Satan should cause you to forget, then do not remain after the reminder with the wrongdoing people.

Malay

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

وَإِذَا رَأَيْتَ

Dan apabila kamu melihat

Melihat apa yang dilakukan oleh manusia pada zaman sekarang. Kita kena peka dengan apa yang terjadi.

الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي ءآيٰتِنَا

orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami,

Kalimah يَخُوضُونَ dari katadasar خ و ض yang asalnya bermaksud ‘terjun kedalam air’. Apabila seseorang telah masuk kedalam air, sedang mandi manda, tentunya mereka tidak mahu keluar dari air itu. Kerana mereka sudah releks dan suka berada di dalam air itu.

Dan apabila seseorang berada di dalam air kolam contohnya, mereka boleh bergerak ke sana dan ke sini. Jadi يَخُوضُونَ bermaksud mereka yang sedang leka di dalam sesuatu perkara. Mereka melompat dari satu perkara kepada satu perkara.

Jadi يَخُوضُونَ ialah seseorang yang leka dengan sesuatu dan dalam ayat ini bermaksud mereka leka dengan ayat-ayat Allah. Bukankah itu sesuatu yang baik? Dalam ayat ini ianya bermaksud sesuatu yang tidak baik, kerana mereka bukanlah memikirkan ayat-ayat Allah tetapi sebenarnya mereka sedang leka memperolok-olokkan ayat-ayat Allah dalam majlis.

Mereka mempersendakan ayat-ayat Allah. Mereka berbincang tentang ayat-ayat Allah sambil mencari kesalahan-kesalahan yang ada di dalam Qur’an. Mereka buat begitu untuk suka-suka sahaja.

Sebagai contoh, mereka kata: “Qur’an cakap manusia akan dapat bidadari dalam syurga? Berapa bidadari?” dalam cara tanya hendak memperolok-olok sahaja. Allah suruh jangan layan mereka. Kerana kalau layan mereka, mereka lagi suka kerana kita dah masuk perangkap mereka. Yang mereka hendak adalah kawan lawan bercakap sahaja.

Kita ingat kita nak memperbetulkan mereka, tapi mereka bukannya hendak mencari kebenaran, tapi mereka nak suka-suka sahaja. Mereka jenis orang yang tak kisah hal agama. Samada dari kalangan orang kafir atau mereka yang mengaku Islam pun.

Perbuatan memperolok-olokkan ayat-ayat Allah itu boleh dilakukan sama ada dalam bentuk perbuatan ataupun perkataan. Sebagai contoh, kita telah tahu bahawa Allah telah melarang kita minum arak. Katakanlah seorang manusia lain sedang minum arak. Dia sebenarnya sedang mempersendakan ayat Allah yang melarang meminum arak.

Kalau kita duduk bersamanya tanpa melarangnya maka itu bermakna kita telah bersubahat dengannya dan kita juga akan mendapat dosa minum arak itu walaupun kita sendiri tidak minum arak. Berapa banyak orang yang tidak faham perkara ini dan mereka mendapat dosa dengan percuma sahaja?

Kadang-kadang kita memang tidak buat dosa itu. Tapi kita tolong orang lain. Sebagai contoh, kita tolong bawa mereka ke tempat maksiat itu. Itu pun sudah dikira kita bersubahat dah. Jangan itu sahaja, kalau kita tolong tunjuk pun kita dah dapat saham dari dosa itu.

Sebagai contoh, ada orang yang datang kepada kita dah tanya dimanakah dia boleh beli nombor ekor 4D? Kita tidak main nombor ekor, tapi kita tahu di mana kedai itu. Kalau kita tunjuk sahaja, kita dah dapat dosa seperti juga orang itu yang berjudi.

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ

maka tinggalkanlah mereka

Sepatutnya apa yang kita boleh buat ialah meninggalkan mereka semasa mereka berbuat dosa itu. Tidak kira samada mereka itu keluarga kita, kawan kita, ketua kita dan apa-apa sahaja, kita kena tinggalkan mereka. Kerana ini adalah arahan dari Allah. Allah tidak suka kita berada bersama-sama dengan mereka.

Kerana kalau duduk dalam majlis yang sama, Allah akan hubungkan hati mereka yang duduk dalam majlis yang sama. Allah akan hubungkan antara yang bercakap dan yang mendengar. Kerana itu yang mengumpat itu berdosa, dan yang mendengar pun berdosa juga.

حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ

sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain.

Sehinggalah apabila mereka tidak lagi melakukan dosa itu. Kalau mereka dah tak cakap tentang perkara yang merendahkan Qur’an, memperolokkan Qur’an, kita dah boleh campur dengan mereka. Apabila mereka dah selesai majlis bidaah mereka seperti Majlis Maulud, kita masih boleh makan dan minum dengan mereka lagi. Asalkan mereka sedang tak buat majlis bidaah itu.

Kita hendaklah berlepas diri daripada apa sahaja perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Maksudnya, kalau majlis Thaipusam orang Hindu itu, kita tidak boleh duduk tengok-tengok bersama mereka. Itu adalah majlis syirik kepada Allah dan kalau kita ada bersama dengan mereka, kita pun dikira terlibat sama melakukan syirik.

Sama juga kalau orang Islam buat majlis Maulud Nabi. Kerana kalau kita ada bersama mereka atau kita pergi ke majlis mereka, maka kita pun sudah dikira melakukan bidaah mungkar itu. Sepatutnya kita larang, tetapi kalau kita tidak mampu larang maka kita kena tinggalkan majlis itu.

Sama juga sekarang ini kita boleh tengok selepas solat berjemaah ramai yang akan ‘salam keliling’. Ini ada bidaah terbaru yang sebenarnya diperkenalkan oleh Arqam. Kita tidak boleh campur bersama mereka, oleh itu kita kena terus lari keluar daripada bersama dengan mereka.

Apabila mereka nak buat salam keliling sambil baca selawat Nabi itu, kita kena potong barisan mereka dan tinggalkan mereka. Bidaah-bidaah baru yang seperti ini jangan langsung diberi peluang untuk terus bercambah. Kerana apabila telah lama dilakukan maka ianya akan susah untuk dimatikan nanti.

Kenapakah kita disuruh meninggalkan mereka dan tidak berada di dalam majlis yang memperolok-olokkan ayat-ayat? Bayangkan kalau kita hormat seseorang dan ada orang yang mengutuk beliau, tentunya kita tidak selesa dan tidak mahu bersama-sama duduk dengan mereka kerana kita hormat orang yang dikututk itu. Begitu juga dengan Allah, malah lebih lagi sepatutnya kita marah.

Kita amat sayang Allah. Kalau ada yang tidak menghiraukan arahan dari Allah, memperolokkan apa yang Allah telah arahkan kita untuk tinggalkan, maka sepatutnya kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu. Kerana mereka sedang memperolokkan ayat-ayat Allah.

وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطٰنُ

Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini),

Kadang-kadang kita terikut-ikut dengan kawan-kawan ataupun ahli keluarga kita yang menyertai majlis syirik dan bidaah. Sebagai contoh, ada kawan atau ahli keluarga yang menghadiri Majlis Maulid Nabi ataupun Majlis Tahlil. Kita sebenarnya tahu bahawa majlis itu adalah majlis yang salah. Tapi syaitan telah berjaya melupakan kita tentang perkara itu.

Syaitan memang suka untuk menyebabkan kita lupa tentang agama dan tentang arahan dari Allah. Kalau kita terlupa sikit pun mereka dah suka dah.

فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَىٰ

maka janganlah kamu duduk sesudah teringat (akan larangan itu)

Maka apabila kita terlupa dan tiba-tiba kita teringat tentang kesalahan majlis itu, maka hendaklah kita terus meninggalkan majlis itu. Jangan kita terus duduk bersama dengan mereka. Jangan kita takut dan malu untuk meninggalkan mereka.

Terlupa itu biasa sahaja, seperti orang yang termakan di siang hari dalam Ramadhan. Tapi apabila dah termakan, janganlah teruskan makan, kenalah berhenti.

Kita kena terus tinggalkan majlis itu walaupun mungkin kita malu apabila kita telah lama duduk. Kita mungkin bercakap dalam hati kita: “alang-alang sudah duduk sekali ni, eloklah kita teruskan sahaja”. Allah tidak benarkan kita berbuat begitu. Apabila kita ingat sahaja, kita kena tinggalkan majlis itu.

Perkataan بَعْدَ الذِّكْرَىٰ juga boleh bermaksud ‘selepas memperingatkan mereka’. Iaitu selepas kita beritahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah, maka tinggalkan mereka selepas itu. Ini kerana kita telah menjalankan tugas kita memperingatkan mereka.

Ini bermaksud kalau kita boleh memperingatkan mereka dengan kesalahan mereka itu, maka hendaklah kita melakukan. Kadang-kadang kita rasa kita tidak mampu. Ini bergantung kepada keadaan.

Ayat ini juga menyatakan kepada kita kalau kita terlupa sesuatu perkara dalam agama dan kita teringat, hendaklah kita melakukan perkara yang betul selepas itu. Sebagaimana kalau kita sedang makan tapi terlupa baca basmallah. Setelah lama makan, baru teringat kita tak baca basmillah, maka kita hendaklah terus membaca basmalah.

Kerana mungkin kita terlupa kerana syaitan telah menyebabkan kita terlupa dan Allah telah mengingatkan kita kembali, maka hendaklah kita memperbetulkan perbuatan kita itu. Apabila kita teringat, bermakna Allah sayang kepada kita dan mengingatkan kita tentang perkara itu.

مَعَ الْقَوْمِ الظّٰلِمِينَ

bersama orang-orang yang zalim itu.

Ini bermakna, mereka yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah adalah orang yang zalim. Jangan kita duduk bersama dengan mereka ketika mereka melakukan perbuatan syirik dan bidaah itu.

Hendaklah kita mencari peluang untuk memberitahu kepada mereka tentang kesalahan yang mereka lakukan itu. Mereka mungkin melakukan perkara itu kerana mereka tidak tahu yang ianya salah.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 April 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s