Tafsir Surah al-An’am Ayat 65 – 67 (Jenis-jenis azab boleh dikenakan ke atas kita)

An’am Ayat 65: Ayat jenis Takhwif Duniawi (penakutan azab dunia). Apabila kita telah selesai daripada masalah yang kita hadapi, kadang-kadang kita akan rasa bahawa tidak akan ada masalah lagi yang akan timbul. Namun Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa Allah ‎ﷻ boleh saja memberikan masalah lain kepada kita. Allah‎ ﷻ maha berkuasa untuk buat apa sahaja. Maka jangan kita rasa selamat sangat.

قُل هُوَ القادِرُ عَلىٰ أَن يَبعَثَ عَلَيكُم عَذابًا مِّن فَوقِكُم أَو مِن تَحتِ أَرجُلِكُم أَو يَلبِسَكُم شِيَعًا وَيُذيقَ بَعضَكُم بَأسَ بَعضٍ ۗ انظُر كَيفَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَفقَهونَ

Sahih International

Say, “He is the [one] able to send upon you affliction from above you or from beneath your feet or to confuse you [so you become] sects and make you taste the violence of one another.” Look how We diversify the signs that they might understand.

Malay

Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Dia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.

قُلْ هُوَ الْقَادِرُ

Katakanlah: “Dialah yang berkuasa

Allah ‎ﷻ amat berkuasa dan amat mampu untuk memberikan bencana lain kepada kita. Oleh itu kenapa kamu rasa kamu selamat sangat? Maka apabila kita selamat daripada sesuatu bencana, jangan kita sangka bahawa kita akan sentiasa selamat. Jangan bila sudah selamat, kita terus lupa Allah ‎ﷻ.

عَلَىٰ أَن يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا

untuk mengirimkan azab ke atas kamu,

Allah ‎ﷻ boleh mengenakan azab kepada kita semua. Semasa di dunia lagi Allah ‎ﷻ boleh turunkan azab. Azab itu boleh datang dari mana-mana sahaja. Dalam ayat ini disebutkan tiga jenis azab.

Apabila Allah ‎ﷻ memberikan telah senarai, maka ia merupakan sesuatu yang berperingkat dan meningkat naik; iaitu daripada yang susah kepada yang semakin susah., yang  teruk kepada yang paling teruk.

مِّن فَوْقِكُمْ

dari atas kamu

Azab yang pertama adalah dari ‘atas’ kita. Ia bermaksud sama ada bencana dari langit seperti hujan batu, taufan, ribut gempita dan sebagainya. Contohnya hujan yang turun kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام, taufan kepada Kaum Aad, hujan batu kepada Kaum Nabi Luth عليه السلام, hujan darah dan katak kepada Bani Israel dan hujaman batu kepada tentera Abrahah.

Atau ia boleh juga bermaksud yang Allah ‎ﷻ boleh meletakkan pemimpin-pemimpin di atas kita yang akan menindas kita. Ada antara mereka yang tidak adil dan akan berlaku zalim kepada kita. Mungkin mereka itu terdiri daripada ketua-ketua kita di pejabat, ataupun pemimpin-pemimpin masyarakat, ahli-ahli politik, JKKK kampung, ibu bapa kita, suami kita dan sebagainya.

Para pemimpin zalim diberikan kepada kaum yang zalim juga. Kalau kita tidak endahkan agama, maka salah satu musibah yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada kita adalah para pemimpin yang zalim. Seperti pepatah Arab: أعمَالُكم، عُمَّالُكم (amalan kamu, pemimpin kamu).

أَوْ مِن تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ

atau dari bawah kakimu

Yang lebih teruk daripada azab yang di atas kita adalah azab dan bala dari ‘bawah’ kita. Sebagai contoh, gempa bumi sampai runtuh bangunan, bumi yang boleh saja menelan manusia. Contoh yang Allah ‎ﷻ telah kenakan adalah naiknya air kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام (selain air hujan dari atas), Firaun dan pengikutnya yang ditenggelamkan air laut juga Qarun yang ditelan bumi.

Atau tanah yang rapuh sehingga tanah itu boleh runtuh dan meranapkan rumah dan bangunan kita. Banjir juga boleh dikira sebagai bencana dari bawah kita kerana air yang naik dan semakin naik yang akhirnya akan melemaskan kita.

Boleh juga bermaksud masalah-masalah yang ditimbulkan daripada orang-orang bawahan kita. Sebagai contoh, ada pekerja-pekerja yang menipu kita. Atau anak-anak yang degil, tidak mahu mendengar cakap kita dan memalukan kita. Atau isteri kita yang menyusahkan kita.

Jikalau itu semuanya berlaku kepada kita, maka hendaklah kita bertaubat kepada Allah ‎ﷻ kerana semua ini mungkin terjadi disebabkan oleh kesalahan yang kita telah lakukan. Mungkin kerana kita telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ tanpa kita sedari. Jangan kita hanya mencari salah orang sahaja tetapi lupa tentang kesalahan yang kita telah lakukan. Kitan haru kaji balik apakah perbuatan kita selama ini adakah bertepatan dengan Islam atau tidak.

أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا

atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan)

Ini adalah yang paling teruk. Jika sebelum ini menceritakan tentang azab dari atas dan dari bawah, sekarang dari dalam pula.

Kalimah يَلْبِسَكُمْ berasal daripada perkataan لبس yang bermaksud ‘bercampur aduk sampai tidak dikenali antara satu sama lain’. Ini akan menyebabkan kita menjadi keliru.

Kalimah شِيَعًا pula berasal daripada perkataan ش ي ع yang bermaksud kumpulan atau pengikut. Ia adalah jamak bagi kalimah شِيعَةٌ. Ia bermaksud kumpulan manusia yang bersama atas satu sebab dan tujuan.

Ayat ini bermaksud, Allah ‎ﷻ boleh memecahbelahkan kita kepada kumpulan-kumpulan yang bertentangan. Kadang-kadang dalam keluarga kita pun boleh berpecah belah kerana perselisihan pendapat. Sampaikan hendak makan sama-sama pun susah, di masjid hendak salat jama’ah sekali pun susah kerana berlainan pendapat dari segi pegangan mazhab mana yang mahu digunakan. Ada yang sampai tidak balik berhari raya kerana marah sangat kepada ahli keluarga yang lain.

Ini juga adalah satu bentuk hukuman daripada Allah ‎ﷻ. Dari sini tahulah kita bahawa perpecahan adalah satu hukuman atas kesalahan kita. Sebenarnya perpecahan pendapat bukanlah suatu rahmat. Ini kita sebutkan kerana ramai yang kata: ‘Khilaf itu adalah satu rahmat’.

Tidak, khilaf itu bukanlah satu rahmat. Jika mempunyai pendapat yang sama itu adalah lebih baik, maka itulah rahmat kerana kalau kita kata ‘khilaf’ itu rahmat, apa pula harus kita katakan kepada penyatuan pendapat? Adakah kita panggil ia sebagai satu bala pula?

Mungkin ada yang menukilkan sebuah hadith (اختلاف أمتي رحمة) perbezaan ummatku adalah rahmah. Malangnya hadith ini adalah palsu dan ia tidak boleh dijadikan sebagai hujah.

Dan memang kita ditakdirkan akan mengalami banyak perbezaan pendapat dalam kalangan kita. Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim bagaimana Nabi ﷺ telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan tiga perkara:

أنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ أَقْبَلَ ذَاتَ يَومٍ مِنَ العَالِيَةِ، حتَّى إذَا مَرَّ بمَسْجِدِ بَنِي مُعَاوِيَةَ دَخَلَ فَرَكَعَ فيه رَكْعَتَيْنِ، وَصَلَّيْنَا معهُ، وَدَعَا رَبَّهُ طَوِيلًا، ثُمَّ انْصَرَفَ إلَيْنَا، فَقالَ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: سَأَلْتُ رَبِّي ثَلَاثًا، فأعْطَانِي ثِنْتَيْنِ وَمَنَعَنِي وَاحِدَةً، سَأَلْتُ رَبِّي: أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالسَّنَةِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالغَرَقِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يَجْعَلَ بَأْسَهُمْ بيْنَهُمْ فَمَنَعَنِيهَا

“Suatu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu Baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :

“Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah S.W.T hanya memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.

1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya Dia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan.

2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh a.s).

3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam).

(HR. Muslim no. 2890, daripada Sa’ad bin Abi Waqqas رضي الله عنه)

Allah ‎ﷻ tidak memakbulkannya kerana perpecahan itu terjadi disebabkan oleh kesalahan kita. Apabila berbeza pendapat, maka manusia menjadi keliru manakah pendapat yang benar dan manakah yang salah. Jika itu terjadi, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menunjukkan yang manakah kebenaran.

Akan tetapi khilaf pendapat itu biasa sahaja. Cuma jangan dijadikan sebagai punca kepada perpecahan pula. Kena pandai menangani perpecahan. Jika tidak dapat menangani perbezaan pendapatlah yang menyebabkan perkelahian yang akan disebut nanti.

Atau, ayat ini boleh juga bermaksud, Allah ‎ﷻ boleh mencampurkan kita dalam golongan yang jahat. Mereka itu semuanya zalim tetapi kita terperangkap dalam kumpulan itu. Sebagai contoh, kita berada dalam negara yang kafir yang menentang Islam. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita seorang sahaja. Allahu a’lam.

وَيُذِيقَ بَعْضَكُم بَأْسَ بَعْضٍ

dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain.

Apabila manusia berbeza pendapat dan berpecah belah, mereka akan berlaku ganas kepada pihak yang lain. Kadang-kadang keganasan itu di dalam bentuk kata-kata yang kasar. Dan kadang-kadang ia boleh sampai kepada bentuk keganasan fizikal sehingga boleh mengakibatkan peperangan, pertumpahan darah dan sebagainya. Inilah sebenarnya yang memusnahkan umat Islam. Bilangan kita sebenarnya ramai dan kuat, namun oleh kerana asyik berperang sesama sendiri yang akhirnya memusnahkan Muslim itu sendiri dari dalam.

Kadang-kadang berlaku juga perselisihan pendapat dalam agama sampai menyebabkan berbunuhan sesama manusia. Ini selalu juga kita lihat dalam sejarah. Manusia yang jahat akan menggunakan nama agama untuk membunuh dan menindas manusia yang lain. Ini amat malang sekali sampaikan pemimpin negara yang Islam pun begitu juga.

Lihatlah apa yang terjadi kepada ulama-ulama salaf kita seperti Ibn Taimiyyah, Imam Ahmad, Imam Bukhari رحمهم الله dan banyak lagi. Mereka cuba menegakkan Islam yang sebenar, tetapi khalifah itu pula mempunyai penasihat-penasihat agama yang sesat. Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk menindas pendapat yang benar.

Sekarang pun kita semakin hari dapat dengar bagaimana ada usaha-usaha daripada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membendung ajaran Sunnah. Mereka mengatakan yang ajaran Sunnah adalah ajaran Wahabi dan ia adalah bahaya dan boleh memecahbelahkan masyarakat. Maka ada yang sudah ditangkap dan dipenjarakan. Subhanallah! Kita tidak tahu lagi apa yang mereka akan buat.

Yang mampu kita buat adalah berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya dipermudahkan perkembangan ajaran Sunnah ini. Semoga puak Bid’ah tidak menggunakan kedudukan mereka dalam kepemimpinan agama untuk menindas ajaran agama yang benar. Inilah yang dimaksudkan perpecahan yang boleh terjadi.

Mereka cuba memburukkan ajaran sunnah dengan memberikan gelaran-gelaran jelek kepada kita. Apabila itu tidak berjaya, dan ajaran sunnah semakin berkembang, tidak mustahil mereka akan menggunakan kedudukan mereka dalam negara untuk menindas kita.

Jika sesebuah negara itu membiarkan perbuatan syirik tanpa sekatan, tanpa teguran, maka tunggulah perpecahan yang bakal tiba. Sebagai contoh, lihatlah apa yang terjadi kepada negara Iraq. Mereka sampai sudah buat ‘berhala’ untuk Saddam Hussein dan gambar Saddam Hussein ada merata-rata tempat dan tidak ada yang menegur.

Maka, oleh kerana mereka telah membuat syirik secara terang-terangan, Allah ‎ﷻ telah menurunkan bala kepada mereka. Lihatlah bagaimana Amerika telah memusnahkan negara mereka.

Apabila ini terjadi, maka hendaklah kita ingat kembali kepada Allah ‎ﷻ dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ di atas segala nikmat yang telah diberikan oleh-Nya kepada kita. Semoga kita tidak jadi seperti mereka.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ boleh memberi bala kepada kita melalui alam ini ataupun Allah ‎ﷻ menggunakan manusia yang lain untuk menjatuhkan kita. Semua itu dalam genggaman Allah ‎ﷻ, dalam kuasa Allah ‎ﷻ.

انظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيٰتِ

Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti

Allah ‎ﷻ sentiasa mengulang-ulang topik yang sama dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia adalah amat penting sekali. Pengulangan ayat yang lebih kurang sama sahaja bunyinya, dengan menyentuh topik yang sama, tetapi dengan berbagai-bagai cara. Ini kerana kalau ayat yang sama sahaja, tentu manusia yang membacanya akan bosan. Oleh itu, Allah ‎ﷻ akan mengulang topik yang sama tetapi dalam berbagai-bagai bentuk.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ mengulang-ulang larangan bertawasul dalam banyak ayat. Begitu juga Allah ‎ﷻ menerangkan tentang syafaat dalam berbagai-bagai ayat dan berbagai-bagai cara. Begitu juga tentang doa kepada-Nya. Begitu juga tentang bid’ah. Berulang kali peringatan diberikan kepada manusia yang mahu membaca dan memahami Al-Qur’an.

Pengulangan itu diberikan kerana topik tersebut adalah perkara-perkara yang penting dan manusia selalu keliru. Maka, Allah ‎ﷻ ulang berkali-kali kerana kalau sudah banyak kali dengar, maka patutnya bolehlah faham.

لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ

agar mereka memahami(nya)”.

Supaya manusia memahami bahawa perbuatan syirik itu adalah perbuatan yang ditolak dan dimurkai oleh Allah ‎ﷻ.

Malangnya kebanyakan daripada masyarakat kita tidak tahu bahawa kesusahan yang kita alami itu dan perpecahan yang kita hadapi sekarang adalah kerana kita tidak bersyukur kepada Allah ‎ﷻ dan kerana kita telah mengamalkan amalan syirik dalam masyarakat.


An’am Ayat 66: Ini adalah nasihat kepada Nabi ﷺ dan kepada penyeru-penyeru tauhid.

وَكَذَّبَ بِهِ قَومُكَ وَهُوَ الحَقُّ ۚ قُل لَّستُ عَلَيكُم بِوَكيلٍ

Sahih International

But your people have denied it while it is the truth. Say, “I am not over you a manager.”

Malay

Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Qur’an), padahal ia adalah benar. Katakanlah: “Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)”.

وَكَذَّبَ بِهِ قَوْمُكَ

Dan kaummu mendustakannya

Mendustakan apa? Maksud dusta di sini adalah mendustakan Al-Qur’an. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an, Musyrikin Mekah tidak mahu terima. Mereka kata itu hanyalah dusta daripada Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Iaitu mereka antara lain mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ reka sahaja perkara itu.

Begitu juga yang terjadi kepada masyarakat kita. Apabila diberikan dalil-dalil Al-Qur’an, ramai yang tidak mahu terima. Mereka bagaikan tidak pernah membaca Al-Qur’an. Mereka tolak ayat-ayat Al-Qur’an itu seolah-olah mereka itu bukan orang Islam. Mereka mahu juga menggunakan pendapat yang ada dalam kitab, pendapat guru mereka dan pendapat akal mereka.

Benarlah apa yang Allah ‎ﷻ firmankan ini. Memang benar akan ada dalam kalangan kaum kita yang akan menolak ayat-ayat Al-Qur’an itu. Kalau tidak tolak ayat Al-Qur’an pun, mereka tolak tafsiran ayat-ayat itu. Mereka memang baca Al-Qur’an, tetapi mereka tidak mahu belajar tafsir.

وَهُوَ الْحَقُّ

padahal ia (Al-Qur’an) itu benar.

Mereka berani menolak Al-Qur’an sedangkan ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ adalah benar. Allah ‎ﷻ, Al-Qur’an dan tauhid adalah benar. Sesiapa yang ingkar, azab Allah ‎ﷻ ke atas mereka itu juga benar.

Mereka pun dengan mulut mereka sendiri kata bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ‎ﷻ dan mereka sendiri selalu berkata: “Marilah kita kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan hadith.” Mereka siap tulis pada kain rentang dan letak merata-rata. Mereka juga suka dengan Al-Qur’an. Sebab itu mereka akan baca Al-Qur’an hari-hari, malah sedap juga bacaan mereka. Tajwid yang mereka lagukan mendayu-dayu sekali.

Namun begitu, kalau kita tanya apakah makna ayat yang mereka baca itu, mereka pun tidak tahu. Mereka kata mereka hanya baca sahaja. Atau kalau mereka pandai sedikit, mereka akan bacakan ‘terjemahan’ ayat yang mereka baca itu. Tetapi apa yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ, mereka tidak tahu pun apa yang mereka baca itu. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Atau mereka hanya tahu sikit-sikit sahaja (tidak belajar secara menyeluruh).

Dan apabila kita beritahu mereka makna ayat-ayat yang mereka telah baca itu, mereka pula kata kita salah tafsir. Padahal, mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Tetapi, kerana apa yang kita sampaikan itu berlainan dengan apa yang mereka faham, lain dengan apa yang tok nenek dan guru mereka ajar, mereka tolak kita mentah-mentah. Itulah yang disebut dalam ayat ini – mereka menolak Al-Qur’an.

Mereka bukan tolak kita, tetapi tolak ayat Al-Qur’an itu sendiri. Dan apabila tolak ayat Al-Qur’an, mereka tolak Allah ‎ﷻ sebenarnya.

قُل لَّسْتُ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ

Katakanlah: “Aku ini bukanlah orang yang diserahi mengurus urusanmu”.

Perkataan وكل bermaksud ‘penjaga’. Orang yang kita serahkan urusan kita kepada mereka untuk diselesaikan. Sebagaimana perkataan ‘tawakal’ yang bermaksud kita ‘menyerahkan urusan kita kepada Allah ‎ﷻ’  untuk Allah‎ ﷻ selesaikan. Iaitu orang yang bertanggungjawab dalam hal orang lain.

Ayat ini bermaksud bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh memaksa umatnya untuk beriman kepada Allah ‎ﷻ. Baginda hanya boleh menyampaikan ajakan tauhid sahaja kepada mereka.

Juga bermaksud bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak ada kuasa untuk memberi hidayat atau berkat. Tidak ada kuasa untuk menjadi perantaraan antara mereka kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengajar kita bahawa pendakwah hanya mampu menyampaikan sahaja. Mereka hanya boleh menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyampaikan dan selepas itu menyerahkan kepada Allah ‎ﷻ untuk beri hidayah kepada manusia. Kita tidak akan bertanggungjawab jikalau mereka tidak menerima hidayah.


An’am Ayat 67:

لِّكُلِّ نَبَإٍ مُّستَقَرٌّ ۚ وَسَوفَ تَعلَمونَ

Sahih International

For every happening is a finality; and you are going to know.

Malay

Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.

لِّكُلِّ نَبَإٍ

Untuk setiap berita (yang dibawa oleh rasul-rasul)

Kalimah نَبَإٍ adalah berita-berita penting yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. ataupun melalui Nabi kita. Ia adalah tentang perkara-perkara agama, perkara yang kita tidak nampak, atau perkara yang hanya akan berlaku di masa hadapan.

Sebagai contoh, tentang syurga, tentang neraka, tentang azab kubur, tentang Mahsyar, Titian Sirat dan sebagainya. Semua perkara-perkara itu tidak akan dapat diketahui melainkan melalui berita-berita yang disampaikan oleh Nabi ﷺ sahaja.

مُّسْتَقَرٌّ

ada (waktu) terjadinya

Kalimah مُّسْتَقَرٌّ daripada kata dasar ق ر ر yang bermaksud ‘stabil’. Kalimah مُّسْتَقَرٌّ bermaksud tempat dan masa yang tetap. Iaitu ia adalah sesuatu yang telah ditetapkan.

Ayat ini bermaksud segala berita yang telah disampaikan oleh Nabi ﷺ itu pasti akan berlaku pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Contohnya, berita-berita seperti berita Mahsyar, berita masuk syurga, berita masuk neraka dan sebagainya. Apabila sampai waktunya, iaitu apabila manusia telah mati, maka semua perkara-perkara yang dijanjikan itu akan berlaku.

Ada Musyrikin Makkah yang kata, kalau betul berita itu benar, maka bawalah ia dengan segera. Mereka mengejek Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka tidak percaya. Maka, Allah‎ ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa ia pasti akan berlaku, tetapi pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan oleh-Nya. Bukanlah Nabi Muhammad ﷺ boleh menentukan bilakah terjadinya kejadian-kejadian itu.

Maknanya Allah ‎ﷻ bukan memberi amaran yang kosong. Allah ‎ﷻ tekankan yang semua yang telah disampaikan itu pasti akan berlaku. Janganlah mereka sangka apabila mereka mencabar Nabi ﷺ untuk mempercepatkan kejadian berita-berita itu, dan Nabi ﷺ tidak bawakan, bukanlah itu bermakna ia tidak akan terjadi.

وَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

dan kelak kamu akan mengetahui.

Bilakah semua yang dijanjikan itu akan berlaku? Sebaik sahaja seseorang manusia itu mati. Waktu itu semua manusia akan nampak dan akan mengetahui dengan pasti.

Pertama sekali mereka akan bertemu dengan alam kubur. Waktu itu awal-awal lagi mereka akan dikejutkan dengan kedatangan Munkar dan Nakir yang akan bertanya beberapa soalan kepada mereka.

Bukan berita-berita besar itu sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ tetapi semua perkara telah ditetapkan masanya oleh Allah ‎ﷻ. Sama ada lahirnya manusia, atau pun bila matinya, ataupun bila dia akan mendapat rezeki. Jika kita kelam kabut untuk mendapatkan sesuatu, tidaklah ia akan dapat mempercepatkan rezeki itu.

Selalunya kita mahukan sesuatu itu berlaku dengan segera tetapi ia tidak akan berlaku kerana masanya telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Ia hanya akan menyebabkan kita berasa kelam kabut saja. Akan menyebabkan kita jadi gundah gulana sahaja.

Dan akan menyebabkan kita rasa tidak bersyukur kerana benda yang kita tunggu itu tidak jadi-jadi lagi. Selagi apa yang kita harapkan berlaku, tidak terjadi, maka kita seharusnya bersabar dan menumpukan perhatian kepada perkara yang kita boleh lakukan.

Sebagai contoh, ada perempuan yang hamil yang tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan anaknya sampaikan mereka jadi resah gelisah. Tetapi tentulah dia tidak dapat mempercepatkan kelahiran bayinya itu kerana ia telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini Musyrikin Mekah meminta-minta supaya dipercepatkan azab ke atas mereka, Itu adalah kerana mereka tidak tahu apa yang mereka minta itu. Mereka mengejek-ngejek Nabi ﷺ sebenarnya dalam permintaan mereka itu. Mereka tidak percaya yang apa yang diberitahu oleh Nabi ﷺ itu perkara yang benar. Mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ menipu sahaja.

Selepas ia terjadi nanti kepada mereka, barulah mereka akan akan tahu dan akan rasa menyesal yang amat sangat. Segala apa yang mereka ejek itu akan terjadi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah al-An’am Ayat 65 – 67 (Jenis-jenis azab boleh dikenakan ke atas kita)”

  1. Subahanallah. ..alhamdulillah syukur ada blog yg sgt sgt bagus ini..boleh ke email dkt saya setiap taksiran yg anda buat…tkasih semoga Allah permudahkan urusan semuanya insyallah

    Like

    1. Terima kasih saudari Sulya. alhamdulillah anda salah seorang yang beriman mendalami ayat=-ayat Allah. Anda boleh register untuk menerima makluman setiap kali ada post yang baru.

      Like

  2. Bolehkah kita share tafsir dari kitab terjemahan ke dalam WhatsApp group? Apa hukum?

    Contohnya dari Shahih Tafsir Ibnu Katsir terjemahan Indonesia.

    TQ

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s