Tafsir Surah al-An’am Ayat 68 – 70 (Tidak duduk dengan ahli bid’ah)

An’am Ayat 68: Ayat ini ada persamaan dengan ayat Nisa:140. Ia adalah tentang subahat. Jika kita tahu seseorang itu melanggar undang-undang, tetapi kita terus bersama dengan dia tanpa melakukan apa-apa, itu bermaksud kita telah bersubahat dan boleh dimasukkan bersama dengan dia dalam penjara jika ditangkap polis.

Kita tidak boleh menggunakan alasan yang kita tidak terlibat walaupun kita berada di situ kerana kita tahu apa yang dia buat itu salah, dan kita tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Begitulah juga jika ada kawan kita yang melakukan dosa kepada Allah ‎ﷻ. Tidak boleh kita duduk-duduk bersamanya semasa dia melakukan maksiat itu. Kena tinggalkan dia kalau kita tidak dapat halang dia atau tidak nasihat dia pada waktu itu.

وَإِذا رَأَيتَ الَّذينَ يَخوضونَ في ءآيٰتِنا فَأَعرِض عَنهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ وَإِمّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيطٰنُ فَلا تَقعُد بَعدَ الذِّكرىٰ مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And when you see those who engage in [offensive] discourse concerning Our verses, then turn away from them until they enter into another conversation. And if Satan should cause you to forget, then do not remain after the reminder with the wrongdoing people.

Malay

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

 

وَإِذَا رَأَيْتَ

Dan apabila kamu melihat

Iaitu melihat apa yang dilakukan oleh manusia pada zaman sekarang. Kita kena peka dengan apa yang terjadi. Allah ‎ﷻ suruh kita perhati apa yang dilakukan oleh manusia, sama ada baik atau tidak.

 

الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي ءآيٰتِنَا

orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami,

Kalimah يَخُوضُونَ berasal daripada kata dasar خ و ض menjadi خوض yang asalnya bermaksud ‘terjun ke dalam air’. Apabila seseorang telah masuk ke dalam air, sedang mandi manda, tentunya mereka tidak mahu keluar dari air itu kerana mereka sudah selesa dan suka berada di dalam air itu.

Dan apabila seseorang berada di dalam air kolam contohnya, mereka boleh bergerak ke sana dan ke sini. Jadi kalimah يَخُوضُونَ juga bermaksud mereka yang sedang leka di dalam sesuatu perkara. Mereka melompat daripada satu perkara kepada satu perkara.

Jadi يَخُوضُونَ ialah seseorang yang leka dengan sesuatu dan dalam ayat ini bermaksud mereka leka dengan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Bukankah itu sesuatu yang baik? Akan tetapi dalam ayat ini ianya bermaksud sesuatu yang tidak baik, kerana mereka bukanlah memikirkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ (untuk mencari kebenaran) akan tetapi sebenarnya mereka sedang leka memperolok-olokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ dalam majlis mereka.

Mereka waktu itu sedang mempersendakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka berbincang tentang ayat-ayat Allah ‎ﷻ sambil mencari-cari kesalahan-kesalahan yang ada di dalam Al-Qur’an. Mereka buat begitu untuk suka-suka sahaja.

Sebagai contoh, mereka kata: “Qur’an cakap manusia akan dapat bidadari dalam syurga? Berapa bidadari?” dalam nada cara bertanya hendak memperolok-olok sahaja. Allah ‎ﷻ suruh jangan layan mereka kerana kalau dilayan, mereka lagi suka kerana kita sudah masuk perangkap mereka (bercakap perkara sia-sia). Yang mereka hendak adalah kawan lawan bercakap sahaja.

Kita mungkin sangka dengan kita melayan mereka itu kita dapat memperbetulkan mereka, tetapi mereka bukannya hendak mencari kebenaran, mereka hendak suka-suka sahaja. Mereka jenis orang yang tidak kisah hal agama. Ini boleh terjadi sama ada dalam kalangan orang kafir atau mereka yang mengaku Muslim pun.

Perbuatan memperolok-olokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ itu boleh dilakukan sama ada dalam bentuk perbuatan ataupun perkataan. Sebagai contoh, kita telah tahu bahawa Allah ‎ﷻ telah melarang kita minum arak. Katakanlah seorang manusia lain sedang minum arak. Waktu itu dia sebenarnya sedang mempersendakan ayat Allah ‎ﷻ yang melarang meminum arak.

Kalau kita duduk bersamanya tanpa melarangnya maka itu bermakna kita telah bersubahat dengannya dan kita juga akan mendapat dosa minum arak itu walaupun kita sendiri tidak minum arak. Berapa banyak orang yang tidak faham perkara ini dan mereka mendapat dosa dengan percuma sahaja? Kononnya mereka itu berfikiran terbuka sampai tidak kisah dengan perkara itu.

Kadang-kadang kita memang tidak buat dosa itu, tetapi kita tolong orang lain membuatnya. Sebagai contoh, kita tolong bawa mereka ke tempat maksiat itu. Itu pun sudah dikira kita bersubahat dan kita pun dapat dosa juga perbuatan maksiat itu juga. Bukan itu sahaja, kalau kita tolong tunjuk pun kita sudah dapat saham daripada dosa itu.

Sebagai contoh, ada orang yang datang kepada kita dan bertanya di manakah dia boleh beli nombor ekor 4D? Kita memang tidak main nombor ekor, tetapi kita tahu di mana kedai itu. Kalau kita tunjuk sahaja, kita sudah mendapat dosa seperti juga orang itu yang berjudi.

 

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ

maka tinggalkanlah mereka

Sepatutnya apa yang kita lakukan ialah meninggalkan mereka semasa mereka berbuat dosa itu (bukan tinggalkan terus kerana mereka keluarga kita). Tidak kira sama ada mereka itu keluarga kita, kawan kita, ketua kita dan apa-apa sahaja, kita kena tinggalkan mereka. Kerana ini adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak suka kita berada bersama-sama dengan mereka pada waktu itu.

Kita dikira berdosa juga kalau duduk di situ kerana dosa itu boleh jadi kerana kita melakukan sendiri, atau kita lihat orang lain melakukannya.

Ini kerana jika duduk dalam majlis yang sama, Allah ‎ﷻ akan menghubungkan hati mereka yang duduk dalam majlis yang sama. Allah ‎ﷻ akan hubungkan antara yang bercakap dan yang mendengar. Kerana itulah yang mengumpat itu berdosa, dan yang mendengar pun berdosa juga.

Jika tidak mampu meninggalkan kerana ada sebab-sebab lain, maka hendaklah menyibukkan diri dengan hal lain daripada menyertai mereka dan memberi tumpuan kepada mereka. Akan tetapi bagi orang yang menjadi contoh dalam hal agama seperti ustaz dan sebagainya, mereka tidak ada pilihan. Mereka tetap kena tinggalkan kerana ditakuti adalah menjadi ‘dalil bagi orang yang jahil’. Orang awam mungkin nampak ustaz itu di majlis bid’ah dan nanti mereka akan kata: “eh tu ustaz duduk sekali dengan mereka.. maknanya tak salahlah amalan itu….kan?”

 

حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ

sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain.

Tinggalkan mereka sehinggalah apabila mereka tidak lagi melakukan dosa itu. Kalau mereka sudah tidak bercakap tentang perkara yang merendahkan Al-Qur’an, memperolokkan Al-Qur’an, kita sudah boleh campur dengan mereka. Apabila mereka sudah selesai majlis bid’ah mereka seperti Majlis Maulud, kita masih boleh makan dan minum dengan mereka lagi. Asalkan mereka sedang tidak buat majlis bid’ah itu.

Kita hendaklah berlepas diri daripada apa sahaja perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Maksudnya, kalau majlis Thaipusam orang Hindu itu, kita tidak boleh duduk tengok-tengok bersama mereka. Itu adalah majlis syirik kepada Allah ‎ﷻ dan kalau kita ada bersama dengan mereka, kita pun dikira terlibat sama melakukan syirik.

Sama juga kalau orang Islam buat majlis Maulud Nabi. Ini kerana perbuatan bid’ah adalah menentang ayat-ayat Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ sudah melarang buat perkara bid’ah di dalam Al-Qur’an. Jika kita ada bersama mereka atau kita pergi ke majlis mereka, maka kita pun sudah dikira melakukan bid’ah mungkar itu. Sepatutnya kita larang, tetapi kalau kita tidak mampu larang maka kita kena tinggalkan majlis itu.

Sama juga sekarang ini kita boleh lihat selepas salat berjama’ah ramai yang akan ‘salam keliling’. Ini ada bid’ah terbaru yang sebenarnya diperkenalkan oleh Arqam. Kita tidak boleh campur bersama mereka, oleh itu kita kena terus lari keluar daripada bersama dengan mereka.

Apabila mereka hendak buat salam keliling sambil baca selawat Nabi itu, kita kena potong barisan mereka dan tinggalkan mereka. Bid’ah-bid’ah baru yang seperti ini jangan langsung diberi peluang untuk terus bercambah kerana apabila telah lama dilakukan maka ia akan menjadi susah untuk dimatikan nanti.

Kenapakah kita disuruh meninggalkan mereka dan tidak berada di dalam majlis yang memperolok-olokkan ayat-ayat? Bayangkan kalau kita menghormati seseorang dan ada orang yang mengutuk beliau, tentunya kita tidak selesa dan tidak mahu bersama-sama duduk dengan mereka kerana kita hormat orang yang dikutuk itu. Begitu juga kalau orang tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, malah lebih lagi sepatutnya kita marah.

Kita amat sayangkan Allah ‎ﷻ. Maka kerana itu kalau ada yang tidak menghiraukan arahan daripada Allah ‎ﷻ, memperolokkan apa yang Allah ‎ﷻ telah arahkan kita untuk tinggalkan, maka sepatutnya kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu. Ini kerana mereka sedang memperolokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

 

وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطٰنُ

Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini),

Kadang-kadang kita terikut-ikut dengan kawan-kawan ataupun ahli keluarga kita yang menyertai majlis syirik dan bid’ah. Sebagai contoh, ada kawan atau ahli keluarga yang menghadiri Majlis Maulid Nabi ataupun Majlis Tahlil. Kita sebenarnya tahu bahawa majlis itu adalah majlis yang salah tetapi syaitan telah berjaya melupakan kita tentang perkara itu.

Syaitan memang suka menyebabkan kita lupa tentang agama dan tentang arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita terlupa sedikit pun mereka sudah dikira berjaya.

 

فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَىٰ

maka janganlah kamu duduk sesudah teringat (akan larangan itu)

Maka apabila kita terlupa dan tiba-tiba kita teringat tentang kesalahan majlis itu, maka hendaklah kita terus meninggalkan majlis itu. Jangan kita terus duduk bersama dengan mereka. Jangan kita takut dan malu untuk meninggalkan mereka.

Terlupa itu biasa sahaja, seperti orang yang termakan di siang hari dalam Ramadhan. Tapi apabila sudah termakan, janganlah teruskan makan, kenalah berhenti. Janganlah pula fikir: [alang-alang dah makan ni, aku habiskanlah satu pinggan!]

Kita kena terus tinggalkan majlis itu walaupun mungkin kita malu apabila kita telah lama duduk. Kita mungkin bercakap dalam hati kita: “Alang-alang sudah duduk sekali ni, eloklah kita teruskan sahaja“. Allah ‎ﷻ tidak membenarkan kita berbuat begitu. Apabila kita teringat sahaja, kita kena tinggalkan majlis itu. Syaitan sudah menjadikan kita lupa, tetapi kemudian Allah ‎ﷻ telah mengingatkan kita balik, maka kenalah ikut peringatan daripada Allah ‎ﷻ‎ itu.

Perkataan بَعْدَ الذِّكْرَىٰ juga boleh bermaksud ‘selepas memperingatkan mereka’. Iaitu selepas kita beritahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah, maka tinggalkan mereka selepas itu. Ini kerana kita telah menjalankan tugas kita memperingatkan mereka.

Ini bermaksud kalau kita boleh memperingatkan mereka dengan kesalahan mereka itu, maka hendaklah kita melakukan. Kadang-kadang kita rasa kita tidak mampu. Ini bergantung kepada keadaan. Kita kena lihat adakah kita berada pada kedudukan yang mampu memberi peringatan tanpa membahayakan diri kita. Kena berhemah dalam hal ini.

Ayat ini juga menyatakan kepada kita kalau kita terlupa sesuatu perkara dalam agama dan kemudian baru kita teringat, hendaklah kita melakukan perkara yang betul selepas itu. Sebagaimana kalau kita sedang makan tetapi terlupa membaca basmallah. Setelah lama makan, baru teringat kita tidak membaca basmallah, maka kita hendaklah terus membaca basmallah.

Mungkin kita terlupa kerana syaitan telah menyebabkan kita terlupa dan Allah‎ ‎ﷻ telah mengingatkan kita kembali, maka hendaklah kita memperbetulkan perbuatan kita itu. Apabila kita teringat, bermakna Allah ‎ﷻ sayangkan kita dan mengingatkan kita tentang perkara itu.

 

مَعَ الْقَوْمِ الظّٰلِمِينَ

bersama orang-orang yang zalim itu.

Ini bermakna, mereka yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ adalah orang yang zalim. Jangan kita duduk bersama dengan mereka ketika mereka melakukan perbuatan syirik dan bidaah itu.

Hendaklah kita mencari peluang untuk memberitahu kepada mereka tentang kesalahan yang mereka lakukan itu. Mereka mungkin melakukan perkara itu kerana mereka tidak tahu yang ia adalah salah. Maka kita kena cari peluang untuk mengingatkan mereka.


 

An’am Ayat 69: Kesinambungan dari majlis bid’ah dan syirik yang dibuat oleh mereka yang tidak berilmu. Dalam ayat sebelum ini, kita dilarang daripada duduk bersama-sama dengan mereka.

Setelah ayat 68 tadi diberikan kepada para sahabat, mereka pun kerisauan kerana kalau tidak boleh duduk berdekatan orang yang sedang melakukan penghinaan kepada ayat-ayat Allah ‎ﷻ, bagaimana mereka boleh salat di Ka’bah pada waktu itu? Kerana waktu itu puak syirik yang menguasai Masjidil Haram dan ada banyak berhala di situ?

Maka Allah‎ ﷻ jawab kerisauan mereka dalam ayat 69 ini.

وَما عَلَى الَّذينَ يَتَّقونَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَلٰكِن ذِكرىٰ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Sahih International

And those who fear Allah are not held accountable for the disbelievers at all, but [only for] a reminder – that perhaps they will fear Him.

Malay

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.

 

وَمَا عَلَى الَّذِينَ يَتَّقُونَ

Dan tidak atas orang-orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah orang yang menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Mereka tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah ‎ﷻ. Mereka akan berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Mereka tidak campur dengan majlis-majlis yang syirik, bid’ah dan yang memperolok-olokkan hukum Allah ‎ﷻ. Mereka akan meninggalkan majlis-majlis yang sebegitu. Itulah maksud taqwa, iaitu berhati-hati dengan segala perbuatan kita.

 

مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ

ada pertanggungjawaban sedikit pun terhadap dosa mereka;

Orang yang bertaqwa tidak bertanggungjawab di atas dosa mereka yang memperolokkan ayat-ayat Allah‎ ﷻ itu. Namun begitu, mereka kena keluar dari majlis itu dan tidak boleh duduk bersama dengan mereka.

Sebelum ini disebut Nabi ﷺ tidak bertanggungjawab di atas amalan manusia, dan manusia juga tidak bertanggungjawab di atas amalan Nabi ﷺ. Sekarang diberitahu dalam ayat ini yang manusia juga tidak bertanggungjawab di atas amalan manusia yang lain. Sedikit pun tidak. Masing-masing akan dihisab atas amalan sendiri.

Jadi kalau para sahabat pergi ke Masjidil Haram atas sebab yang benar, maka mereka tidak bertanggungjawab atas kesalahan mereka yang buat salah kerana mereka pergi atas tujuan yang benar. Mereka tidak sertai pun perbuatan syirik golongan itu.

Maka ini menjawab persoalan golongan Sunnah yang risau untuk pergi ke masjid-masjid yang ada membuat amalan syirik dan bid’ah. Kita boleh sahaja pergi ke sana untuk salat jama’ah dan amalan-amalan soleh yang lain. Kerana kita pergi atas tujuan yang benar. Cuma jangan sertai sahaja amalan salah mereka itu.

 

وَلَٰكِن ذِكْرَىٰ

akan tetapi (kewajipan mereka ialah) mengingatkan

Cuma, mereka yang bertaqwa itu hendaklah memberikan peringatan kepada mereka yang telah berbuat salah dalam agama. Mudah-mudahan mereka yang mendengar nasihat itu akan menjadi takut.

Jadi, ada dua perkara yang perlu dilakukan oleh orang yang bertaqwa:

1. Tinggalkan majlis yang memperolokkan ayat Allah ‎ﷻ.

2. Beri peringatan dan tazkirah kepada mereka yang telah membuat salah itu.

Inilah yang berat, kerana manusia memang tidak suka jika ditegur. Mereka tetap mahu kekal dalam angan-angan yang amalan mereka itu benar belaka. Jadi kalau ada yang menegur, mereka tidak boleh terima dan mungkin akan marahkan kita pula.

Jadi kena pandai untuk memberi peringatan. Bukan dalam suasana mereka sedang bercakap-cakap sambil menentang ayat Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, katakanlah mereka sedang mempertikaikan ayat Al-Qur’an dan hadith Nabi dalam satu majlis. Kita jangan terus beri peringatan kepada mereka di situ.

Waktu itu mungkin tidak sesuai. Dia mungkin ada kawan yang akan menyokongnya, orang pun ramai waktu itu dan kita pun tidak bersedia untuk memberikan hujah yang kemas pada waktu itu. Oleh itu, kena cari masa yang lain. Persiapkanlah apa yang kita hendak cakap dan kita cari dia untuk sampaikan peringatan.

Begitu juga kalau dengan majlis syirik dan majlis bid’ah. Jika kita tegur mereka waktu mereka sedang melakukan majlis itu, mungkin mereka tidak dapat terima. Maka, carilah masa yang sesuai dan tabligh kepada mereka kenapa kita tinggalkan majlis itu dan kenapa kita tidak boleh bersama dengan mereka pada waktu itu.

Ayat ini memberitahu kepada kita, kita hanya tinggalkan mereka sekejap sahaja. Semasa mereka sedang melakukan kesalahan itu. Selepas itu ada kewajipan kepada kita untuk memberi peringatan kepada mereka. Maknanya, bukan kita boikot terus mereka.

 

لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

agar mereka bertaqwa.

Semoga mereka mendengar apa yang kita nasihatkan kepada mereka dan sedar tentang kesalahan yang mereka telah lakukan itu dan menjadi orang yang bertaqwa. Kita hanya boleh sampaikan sahaja peringatan, tetapi selebihnya kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.


 

An’am Ayat 70:

وَذَرِ الَّذينَ اتَّخَذوا دينَهُم لَعِبًا وَلَهوًا وَغَرَّتهُمُ الحَيَو‌‌ٰةُ الدُّنيا ۚ وَذَكِّر بِهِ أَن تُبسَلَ نَفسٌ بِما كَسَبَت لَيسَ لَها مِن دونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلا شَفيعٌ وَإِن تَعدِل كُلَّ عَدلٍ لّا يُؤخَذ مِنها ۗ أُولٰئِكَ الَّذينَ أُبسِلوا بِما كَسَبوا ۖ لَهُم شَرابٌ مِّن حَميمٍ وَعَذابٌ أَليمٌ بِما كانوا يَكفُرونَ

Sahih International

And leave those who take their religion as amusement and diversion and whom the worldly life has deluded them. But remind with the Qur’an, lest a soul be given up to destruction for what it earned; it will have other than Allah no protector and no intercessor. And if it should offer every compensation, it would not be taken from it. Those are the ones who are given to destruction for what they have earned. For them will be a drink of scalding water and a painful punishment because they used to disbelieve.

Malay

Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Qur’an itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang dia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

 

وَذَرِ الَّذِينَ

Dan tinggalkanlah mereka

Ada masanya kita kena menjauhkan diri kita daripada orang lain. Ini kerana jika kita tidak tinggalkan mereka, kita mungkin akan terpengaruh dan jadi seperti mereka pula. Memang ada kemungkinan kita akan terpengaruh dengan perangai dan cara fikir mereka. Takut kita pula akan ambil mudah tentang agama seperti mereka. Takut kita rasa tidak kisah kalau main-main dengan agama, buat lawak tentang agama.

Takut kita akan jadi seperti penceramah yang bercakap tentang agama, tetapi buat cerita lawak dan jenaka sepanjang ceramah. Padahal perkara agama ini adalah hal yang serius, kerana kita sedang memperkatakan tentang syurga neraka, tentang syirik, dan semua itu bukan barang permainan dan senda gurau.

Daripada siapakah yang kita kena jauhkan diri kita? Siapakah yang kita harus tinggalkan?

 

اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا

yang mengambil agama mereka sebagai main-main dan senda gurau,

Iaitu menjauhkan diri daripada mereka yang mempermainkan hal agama. Ramai yang buat begini kerana mereka tidak mementingkan agama. Namun, yang menyedihkan, ramai sangat ustaz-ustaz yang mengajar sekarang buat lawak sahaja tentang hal agama ini. Kalau berceramah, mereka akan selitkan kisah-kisah lawak. Alasannya adalah untuk menarik minat manusia.

Itu belum masuk mereka yang menyanyi sambil berceramah. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita biarkanlah sahaja mereka. Kalau sikit-sikit kita boleh faham, tetapi kalau banyak sangat kita pun risau adakah mereka hendak mengajar agama atau mereka ingin menyertai program ‘Maharaja Lawak’ pula?

Perkataan دِينَهُمْ bermaksud ‘agama mereka’. Kalau mereka agama kafir, seperti Kristian, Yahudi, Hindu, bermaksud mereka memang menjadikan agama mereka sebagai bahan jenaka. Lihatlah apa orang Kristian buat dengan agama mereka. Mereka boleh kutuk-kutuk paderi mereka, mereka boleh buat kartun pasal syurga, pasal neraka dan sebagainya.

Kalau دِينَهُمْ itu bermaksud agama mereka yang beragama Islam, itu pun ramai juga. Seperti kita telah sebut sebelum ini ramai yang tidak kisah buat lawak dalam hal agama. Betapa sedihnya kita lihat sekarang asalkan berceramah sahaja, mesti mereka akan selitkan lawak jenaka. Mereka rasa mereka kena buat lelucon barulah orang ramai akan dengar apa yang mereka sampaikan.

Sekarang sudah menjadi ‘trend’ pula di mana ada pihak tertentu berlumba-lumba mengadakan pertandingan penceramah dakwah berformatkan program hiburan Akademi Fantasia. Dalam rancangan itu, penceramah agama mesti pandai membuat lawak, pandai bersajak, pandai menyanyi. Penceramah yang mendapat markah terendah akan disingkirkan daripada rancangan tersebut. Maka berlakulah drama tangisan air mata yang menyentuh hati penonton. Sedih sungguh kita menyaksikan fenomena sebegini bagaimana agama Islam ini telah dimain-mainkan sampai sebegitu rupa. Dakwah telah dijadikan sebagai rancangan hiburan sekadar untuk menghiburkan masyarakat di mana terdapat pihak tertentu sanggup berlumba-lumba untuk menaikkan ‘rating’ demi mengaut keuntungan wang ringgit.

Kalimah لَعِبًا merujuk kepada ‘permainan’ yang berbentuk fizikal. Mereka melakukan perkara yang mereka suka yang melibatkan perbuatan fizikal. Ada yang pergi ke masjid hanya kalau ada majlis yang mereka suka: iaitu apabila ada makanan, nyanyian, permainan dan sebagainya.

Kalimah وَلَهْوًا pula merujuk kepada permainan yang di dalam hati. Iaitu perkara-perkara yang melibatkan emosi. Sebagai contoh, mereka buat lawak apabila memperkatakan tentang agama.

Selain daripada itu, kita boleh lihat bagaimana ramai sangat sekarang yang tidak mengambil serius tentang agama mereka. Mereka tidak merasa ralat pun kalau tidak tahu tentang agama. Bila ajak pergi kelas tafsir pun mereka tidak mahu ikut. Kalau menonton wayang tiga jam pula tidak mengapa. Tetapi kalau kelas tafsir setengah jam pun sudah panas punggung.

Allah ‎ﷻ beritahu kita supaya jangan campur sangat dengan orang yang sebegini. Takut-takut kita pula yang terpengaruh dengan mereka. Mereka hanya memikirkan hal dan kesenangan dunia sahaja. Mereka hanya memikirkan kejayaan di dunia sahaja, langsung tidak memikirkan tentang kejayaan di akhirat. Atau, kalau mereka fikirkan pun hanya sekejap sahaja. Takut kalau kita berkawan rapat dengan mereka, kita akan terpengaruh dengan sikap mereka ini.

 

وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا

dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia.

Mereka menjadi begitu kerana tertipu dengan kehidupan dan kesenangan dunia yang sementara. Mereka rasa akhirat itu jauh sahaja. Inilah masalah besar bagi orang yang ingkar, sejak zaman berzaman. Mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia yang melalaikan mereka.

Ada ramai yang kata mereka suka dengar ceramah agama yang ada jenaka di dalamnya. Masalahnya, yang hadir ke majlis ceramah bukan hendak belajar tetapi sekadar hanya mahu mendengar lawak jenaka sahaja. Dua jam mengajar, namun lima minit sahaja ilmu yang disampaikan. Allah ‎ﷻ melarang kita ambil peduli dengan mereka. Perkara agama ini adalah hal serius, bukan boleh dibuat lawak jenaka.

Mereka ‘tertipu’ kerana mereka sangka dengan buat lawak itu akan menarik budak-budak muda datang belajar. Begitu juga mereka buat konsert nyanyian untuk menarik minat anak-anak muda, sampai kadang kala mereka buat sekali nasyid dengan kumpulan rock. Itu dilakukan dengan tujuan amal dan kerana itu mereka sangka mereka buat perkara baik. Mereka tertipu sebenarnya. Mereka sangka anak-anak muda itu hendak belajar agama, tetapi sebenarnya mereka hendak bergembira sahaja.

Mereka juga tertipu dengan dunia kerana dunia ini begitu indah dan menarik kepada mereka yang lupa tentang agama dan tentang Hari Akhirat. Mereka sangka dunia ini tempat bergembira sahaja. Sampai dalam agama pun mereka buat mudah sahaja. Mereka sangka  apa yang mereka belajar semasa di sekolah rendah itu berguna  sampai bila-bila.

Mereka langsung tidak terfikir untuk belajar agama dengan lebih mendalam. Yang mereka sibuk adalah tentang hal-hal dunia. Hal bergembira, hal bekerja, hal keluarga dan sebagainya yang sentiasa bermain di fikiran mereka. Mereka suka banyak perkara, asalkan bukan hal agama kerana hal agama amat membosankan kepada mereka.

 

وَذَكِّرْ بِهِ

Peringatkanlah (mereka) dengannya (Al-Qur’an) itu

Ayat ini memerlukan penerangan kerana dalam satu bahagian ayat, Allah ‎ﷻ suruh tinggalkan mereka. Tetapi dalam bahagian ini, Allah ‎ﷻ suruh kita mengingatkan mereka pula. Kalau hendak mengingatkan mereka, tentulah kena duduk bersama dengan mereka, bukan? Bagaimana pula ada suruhan yang berbeza begini?

Ini bermakna, walaupun kita disuruh tinggalkan mereka, tetapi tidaklah sampai boikot mereka terus. Kalau kita tinggalkan mereka, mereka akan terus hanyut dengan dunia.

Maknanya, jangan sentiasa sahaja bersama mereka pagi dan petang. Sekali sekala boleh duduk dengan mereka kerana kita hendak mencari peluang untuk berdakwah kepada mereka.  Jika kita tidak ingatkan mereka, mereka akan diheretkan ke neraka.

Dan kita kena gunakan Al-Qur’an untuk memberi peringatan kepada mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan بِهِ (dengannya) dalam ayat ini. ‘Nya’ yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Usaha dakwah perlu dijalankan dengan menyampaikan ajaran daripada Al-Qur’an. Banyak sekali ayat-ayat Al-Qur’an yang mengingatkan kita untuk memperingatkan manusia dengan Al-Qur’an. Bukannya dengan nyanyian, sajak, lawak jenaka dan sebagainya.

 

أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ

agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka,

Kalimah تُبْسَلَ berasal daripada kata dasar ب س ل yang antara lain bermaksud ‘menangkap seseorang dengan paksa’. Sebagai contoh, apabila seseorang ditangkap untuk dimasukkan ke dalam penjara. Tentunya orang yang dimasukkan itu tidak rela dimasukkan ke dalam penjara.

Ia juga bermaksud meletakkan seseorang sebagai tebusan. Sebagai contoh, meletakkan anak kita dengan seseorang apabila meminjam wang. Selagi kita tidak membayar hutang kita, kita tidak boleh ambil anak itu. Anak itu dijadikan seperti hamba sepanjang tempoh itu. Ini masih lagi diamalkan di sesetengah tempat di dunia yang mundur lagi. Ada yang terpaksa menjadi hamba sampai mereka telah dewasa baru ibubapa mereka boleh kumpul wang untuk membayar tebusan itu.

Dalam ayat ini, kita diingatkan untuk memberi peringatan kepada manusia agar mereka tidak dimasukkan secara paksa ke dalam neraka. Tidak ada yang akan menebus mereka nanti kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka.

 

بِمَا كَسَبَتْ

kerana perbuatannya sendiri.

Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana kesalahan mereka sendiri dan bukan sebab lain. Mereka akan kekal di dalamnya selagi mana dosa mereka tidak dibersihkan. Seperti juga duduk dalam penjara, kena tunggu sudah habis tempoh hukuman barulah boleh keluar.

Maka kita beri peringatan kepada manusia supaya mudah-mudahan mereka tidak diseret ke dalam neraka kerana kesalahan dosa yang mereka lakukan semasa di dunia.

Selepas ini akan disebut tiga perkara yang selalunya manusia gunakan untuk menyelamatkan diri mereka semasa di dunia: Pertama, mereka akan menggunakan penolong-penolong mereka; kalau itu tidak menjadi, mereka akan menggunakan rekomendasi daripada orang lain; kalau itu juga tidak berjaya, mereka akan menggunakan rasuah. Semua ini Allah ‎ﷻ jelaskan tidak akan berjaya di akhirat.

 

لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ

Tidak akan ada baginya selain daripada Allah, sebarang pelindung

Apabila sudah dimasukkan ke dalam neraka, tidak ada sesiapa yang dapat menolong. ‘Wali’ adalah sesiapa yang mahu menghilangkan kesusahan. Kalau dalam dunia, kita ada wali-wali yang boleh membantu kita. Wali itu adalah orang yang rapat dengan kita.

Sebagaimana juga seorang wali untuk wanita adalah bapanya, pakciknya, abangnya atau datuknya – iaitu orang yang rapat dengannya. Mereka itu kerana rapatnya dengan seseorang, akan menolong apabila ada masalah. Namun Allah ‎ﷻ mengingatkan di sini yang di akhirat kelak, tidak ada wali yang dapat menolong selain daripada Dia.

 

وَلَا شَفِيعٌ

dan tidak pula pemberi syafa’at .

Pemberi syafaat adalah mereka yang menolong kita dengan meminta supaya dibuangkan kesusahan. Kalau wali, dia boleh buangkan kesusahan itu dengan tangannya sendiri. Tetapi pemberi syafaat itu kena meminta tolong orang lain.

Sebagai contoh, kalau ada anak saudara kita yang dimasukkan lokap, maka kita akan meminta tolong daripada ketua balai polis untuk memberikan kelonggaran untuk mengeluarkannya.

Sedangkan orang yang sudah masuk neraka, tidak ada wali dan tidak ada pemberi syafaat. Bab Syafaat ini memang ada banyak kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita. Mereka terlalu berharap kepada syafaat anak-anak, orang alim, wali, Nabi dan lain-lain lagi. Sebenarnya pemberi syafaat yang sebenar adalah Allah ‎ﷻ dan disebut dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an.

 

وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ

Dan jika dia ingin menebus dengan segala macam tebusan pun,

Jikalau dia cuba hendak memberi tebusan pun tidak diterima. Walau dengan apa sahaja yang dia ada. Waktu di akhirat kelak, seseorang yang sudah hendak dimasukkan ke dalam neraka, mereka sudah tidak kisah lagi berapa banyak mereka akan belanjakan untuk menebus diri mereka.

Kalau mereka di dunia, mereka amat sayangkan harta mereka, sampaikan hendak beri sedekah pun liat, namun di akhirat kelak, mereka sanggup berhabis kalau mereka ada, untuk menyelamatkan diri mereka.

Tetapi tentunya di akhirat kelak tidak ada apa yang mereka boleh gunakan sebagai tebusan. Jadi di sini Allah ‎ﷻ hendak beri perumpamaan sahaja, kalaulah mereka ada apa-apa pun yang boleh diberi, ia tidak akan diterima.

Namun begitu, golongan yang malang itu tetap akan cuba merasuah Allah ‎ﷻ juga. Mereka sanggup menebus diri mereka dengan beri anak, isteri atau sesiapa sahaja asalkan mereka selamat. Mereka akan kata: “Jangan hukum aku! Tapi hukum isteri aku… dia ada buat kesalahan begini dan begitu!” Tetapi itu pun tidak akan diterima.

 

لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا

tidak akan diterima itu daripadanya.

Biarlah apa sahaja yang mereka hendak jadikan tebusan, tidak akan diterima. Oleh kerana mereka tidak ada harta di akhirat kelak, mereka akan jadikan orang-orang yang rapat dengan mereka sebagai tebusan.

Seorang suami akan menyerahkan isterinya sebagai tebusan, seorang bapa akan memberikan anaknya sebagai tebusan. Begitulah mereka sanggup beri apa sahaja sebagai tebusan, namun tidak akan diterima. Maka kita sebenarnya kena bergantung kepada iman dan amal kita. Maka kena jaga iman dan amal semasa kita masih di dunia ini.

 

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا

Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan dengan sebab perbuatan mereka

Mereka dijerumuskan ke dalam neraka itu adalah disebabkan kesalahan yang mereka buat. Antaranya buat lawak jenaka dalam hal agama, memperolokkan hal-hal agama, tidak belajar agama sampaikan mereka buat dosa amalan bid’ah dan amalan syirik dan macam-macam lagi.

Maknanya, bukanlah Allah ‎ﷻ zalim untuk memasukkan mereka ke dalam neraka tanpa salah apa-apa. Semuanya bersebab dan mereka memang layak masuk dalam neraka.

 

لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ

Bagi mereka (disediakan) minuman daripada air yang sedang mendidih

Mereka akan berasa amat dahaga di dalam neraka. Penghuni neraka akan berasa dahaga yang amat sangat dari saat mereka masuk ke dalam neraka sampailah bila-bila, selagi mana mereka berada dalam neraka. Dan apabila mereka meminta untuk minum, mereka akan diberikan dengan air yang mendidih.

Air itu amat panas sampaikan akan merosakkan muka mereka. Apabila diberikan air itu kepada mereka, tentulah mereka tidak mahu minum air itu (yang mereka mahu adalah air untuk menghilangkan dahaga), tetapi air panas itu akan dimasukkan secara paksa ke dalam mulut mereka. Apabila air itu turun ke perut mereka, perut mereka akan pecah kerana kepanasan air itu.

 

وَعَذَابٌ أَلِيمٌ

dan azab yang pedih

Dan bermacam-macam lagi azab yang mereka akan terima. Azab itu semuanya amat pedih. Apabila digunakan perkataan أَلِيمٌ, ia bermaksud azab itu amat pedih sampai bila-bila, tidak berkurangan. Kalau selalu kena pukul, lama kelamaan, sakit tidak dirasakan lagi sama seperti pertama kali dipukul – sebab sudah menjadi lali.

Tetapi ia berbeza di dalam neraka, kesakitan itu sama sahaja dirasai semenjak kali pertama dikenakan azab itu. Kesakitan itu tidak pernah berkurang sedikit pun malah ia akan bertambah. Mereka tidak akan rasa lali dengan azab neraka itu.

 

بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

disebabkan kekafiran mereka dahulu.

Mereka dikenakan dengan azab yang bermacam-macam itu adalah kerana mereka kufur.

Jangan kita sangka kufur ini hanya dikenakan kepada orang yang kafir sahaja. Ini kerana kalau kita pun kufur dengan perintah Allah ‎ﷻ, walaupun kita mengaku Muslim, kita pun dikira sebagai kafir juga di mata Allah ‎ﷻ. Kita pun boleh dikenakan azab yang sama dikenakan kepada orang kafir yang tidak pernah mengaku Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan mereka.

Alangkah malangnya, kita mengaku Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan, tetapi kita tidak mengikut peringatan-Nya, kita ingkar perintah-Nya. Maka, kita pun sama seperti orang-orang kafir juga.

 

Habis Ruku’ 8 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya. 

Kemaskini: 25 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-An’am Ayat 68 – 70 (Tidak duduk dengan ahli bid’ah)”

  1. Assalamualaikum waramatulahi wabarakatuh ustaz..terima ksh kerana menyediakan blog tafsir Al Quran ini.. Alhamdulillah sgt2 bermanfaat..saya ambil nota tafsir 30 juzuk dari blog ini..diharap ustaz jangan padam yaa..halalkan ilmu2 yg dikongsi..terima kasih ustaz.. jazakallahu khoiran kathiran..

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s