Tafsir Surah Zumar Ayat 8 – 10 (Buat syirik selepas doa)

Ayat 8: Ayat Zajrun. Sekarang Allah memberikan ayat ancaman pula sebagai peringatan kepada kita.

Ingatlah bahawa apabila manusia buat syirik, maka bala akan menyusul. Oleh itu, bala yang kita terima adalah kerana disebabkan dosa yang kita lakukan atau sebagai ujian dari Allah untuk orang yang beriman.

Malangnya sekarang manusia banyak cuba menolak bala dengan doa sambil telungkup tangan seperti yang kadang-kadang dibuat oleh imam-imam di masjid-masjid. Mereka itu doa ‘tolak bala’.

Itu tidak pernah diajar oleh Nabi dan tidak dibuat oleh sahabat. Bala yang Allah beri itu adalah kerana dosa yang dibuat oleh manusia. Maka sepatutnya manusia kena minta ampun dari dosa dia. Bukannya tambah dosa lagi dengan buat amal bidaah.

Telah disebut dalam Qur’an bahawa sahaja musibah yang kena pada kita, yang berbagai-bagai macam musibah, seperti perniagaan jatuh dan sebagainya, adalah kerana hasil kerja tangan manusia. Akan tetapi dosa-dosa kita banyak yang telah diampunkan apabila Allah SWT turunkan musibah kepada kita – apabila kita sabar dengan musibah itu, dosa-dosa kecil yang kita telah lakukan akan diampunkan.

Hanya dosa besar sahaja yang tidak diampunkan lagi. Untuk mendapatkan keampunan dari Allah atas dosa besar itu, kita kena mohon doa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa itu secara khusus. Tak cukup dengan kata: ‘Ya Allah, ampunkanlah dosa aku.’

Antara dosa yang perlu kita minta ampun adalah dosa syirik kepada Allah. Dosa syirik adalah amat berat sekali tapi masih lagi boleh diampunkan, tapi kita kena mohon doa supaya diampunkan dengan ikhlas hati kepada Allah.

۞ وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعا رَبَّهُ مُنيبًا إِلَيهِ ثُمَّ إِذا خَوَّلَهُ نِعمَةً مِّنهُ نَسِيَ ما كانَ يَدعو إِلَيهِ مِن قَبلُ وَجَعَلَ ِللهِ أَندادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبيلِهِ ۚ قُل تَمَتَّع بِكُفرِكَ قَليلًا ۖ إِنَّكَ مِن أَصحٰبِ النّارِ

Sahih International

And when adversity touches man, he calls upon his Lord, turning to Him [alone]; then when He bestows on him a favor from Himself, he forgets Him whom he called upon before, and he attributes to Allah equals to mislead [people] from His way. Say, “Enjoy your disbelief for a little; indeed, you are of the companions of the Fire.”

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu musibah, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala musibah yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.

 

 وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ

Apabila dikenakan kepada insan kufur itu bala musibah, dia berdoa kepada Allah, sifatnya condong menghampiri kepada Allah.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini asalnya merujuk kepada orang Mekah jahiliah. Mereka pun ada juga berdoa kepada Allah. Ini adalah kerana memang mereka kenal Allah pun, bukannya tidak kenal.

Kalau mereka ada musibah, mereka akan berdoa hanya kepada Allah sahaja. Mereka akan meninggalkan sembahan dan doa kepada selain Allah.

Begitu jugalah orang kita pun ada juga berdoa kepada Allah. Apabila seseorang itu telah ditimpa musibah kesusahan, mulalah dia jadi baik sekejap, berkopiah atau berserban.

Dulu masa dia senang, sihat, dia tidak ingat Allah. Dia hanya menghabiskan masa dengan bersuka-sukaan sahaja. Tak ingat nak belajar agama, tak ingat nak solat, tak ingat nak pergi masjid.

Tapi bila dah kena musibah, baru dia tahu langit tinggi rendah. Mulalah dia nak kenal solat. Mulalah dia hendak mendekatkan diri dengan surau dan masjid. Kalau bercakap dengan orang pun, baik-baik sahaja, lembut sahaja.

Selalu juga kita jumpa orang yang macam ini, bukan? Tiba-tiba dia jadi baik apabila ada masalah, jadi warak tiba-tiba. Solat pun khusyuk. Kalau berdoa pun lama. Iaitu berlainan dari dirinya yang dulu.

 

ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ

Kemudian apabila (Allah) berikan kepadanya nikmat yang baru, dia lupa terus apa yang dia pernah doa  kepadaNya sebelum ini,

Allah beri kesusahan sekejap sahaja. Selepas beberapa lama, masalah dia akan selesai. Allah yang selesaikan masalah dia.

Apabila keadaannya sudah berubah kepada baik, dia sudah lupa kepada Allah, lupa kepada musibah yang dia kena dulu.

Maksud ‘dia lupa’ itu adalah dia buat syirik kembali. Dia lupa yang dia dulu dia doa kepada Allah dan masalah yang dia hadapi itu diselesaikan oleh Allah. Patutnya dia teruslah ibadat dan doa kepada Allah sahaja, bukan?

Ini kerana dia lupa dia dulu telah dia terus kepada Allah.

Begitulah juga dengan orang kita. Apabila sudah jadi baik balik, dia sudah buang kopiah dan serban yang dipakainya sebelum itu. Sudah balik kepada keadaannya yang asal sebelum kena musibah itu.

Padahal, sebelum itu kepada Allah lah dia berdoa dengan bersungguh-sungguh. Tapi bila masalah dia sudah selesai, dia dah lupa yang dulu dia telah berdoa kepada Allah meminta dan merayu supaya masalah yang sedang dihadapinya itu diselesaikan oleh Allah. Dia lupa yang dari doanya itu, masalahnya telah diselesaikan oleh Allah.

Perkataan خَوَّلَ bermaksud ‘diselimuti’. Ada banyak selimut yang meliputi kita. Roh kita diselimuti oleh tubuh kita. Tubuh kita diselimuti dengan baju. Kita diselimuti oleh rumah. Rumah kita dengan kawasan perumahan kita. Kemudian diselimuti oleh negara kita. Negara kita diselimuti oleh planet bumi. Planet diselimuti oleh langit pertama, langit kedua dan seterusnya. Berapa banyak nikmat telah Allah selimutkan diri kita.

Kadang-kadang apabila kita dalam selimut, kita tidak perasan selimut itu. Pada hari Akhirat nanti, semua yang menyeliputi itu akan dicabut satu persatu dan roh kita akan berdiri di hadapan Allah untuk menemuinya.

Begitulah, kita tidak perasan nikmat yang Allah telah berikan kepada kita selama hari ini, kerana kita dari kecil dapat nikmat. Apabila ditarik sekejap nikmat itu, barulah perasan nikmat sudah tiada.

 

وَجَعَلَ ِللهِ أَنْدَادًا لِّيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ

Kemudian dia jadikan sekutu-sekutu bagi Allah yang memesongkannya  daripada jalan Allah.

Apabila musibah sudah diangkat, dia buat syirik pula kepada Allah. Bagaimanakah ini boleh terjadi?

Contoh: Ketika perniagaannya jatuh dahulu, dia telah jumpa seseorang dan orang itu beritahu dia, kalau nak pulihkan semula perniagaan, kena jumpa tok guru ini, tok guru itu. Dia pun pergilah bertemu tok-tok guru tersebut dan mungkin tok guru itu telah mandikan dia dengan ‘mandi tolak bala’, ‘mandi bunga’ dan sebagainya.

Kebetulan, semenjak dimandikan oleh tok guru tersebut, perniagaan dia kembali pulih, semangat dia pun kembali naik. Kalau dulu dia tak sihat, dah lega dah sekarang.

Apabila terjadi begitu, dia tak kata Allah yang memulihkan dia, tapi dia kata ‘tok guru’ itu yang pulihkan dia. Iaitu tempat yang dia mandi bunga, mandi tolak bala dulu. Ini syirik.

Ramai orang buat begini pada zaman dahulu. Zaman sekarang, mungkin tidak mandi tolak bala lagi, tapi kesyirikan dilakukan dengan cara-cara lain pula. Mereka jumpa tok guru untuk ‘tolak bala’ dengan minta ustaz atau mana-mana orang untuk doakan untuk mereka diangkat bala musibah.

Yang mereka tak cakap adalah berapa banyak upah yang mereka telah beri kepada guru itu. Kerana guru atau ‘ustaz’ yang sebegitu, mereka memang buat duit dengan cara mendoakan orang lain.

Dalam masyarakat kita, sampai ada yang beri kereta mereka yang baru dibeli untuk dimandikan oleh tok guru dan melakukan berbagai-bagai perkara yang mengarut-ngarut. Pada mereka, dengan dimandikan kereta itu dengan air jampi guru itu, atau guru itu memakai dahulu kereta itu, maka kereta itu akan terselamat dari musibah.

Inilah yang dinamakan ‘andada,’ iaitu sekutu-sekutu kepada Tuhan. Kerana Allah lah yang mengangkat musibah itu dari mereka, tapi mereka kata guru/ustaz/bomoh yang telah menyelamatkan mereka. Allah terpaksa bertanding pula dengan makhluk untuk mendapat pujian dari manusia. Ini tidak patut sama sekali. Ini adalah fahaman syirik.

Itu sebenarnya adalah perbuatan syirik. Tok guru itu sendiri pun sebenarnya tak tahu dia telah buat syirik kepada Tuhan. Dia pula yang jadi penganjur kepada perbuatan itu, padahal sepatutnya dialah yang  mengajar perkara-perkara yang benar.

Sepatutnya dialah yang cakap yang perbuatan itu adalah salah. Sepatutnya dialah yang ajar kepada mereka yang datang minta doa itu supaya doa sendiri sahaja kepada Allah, tak payah minta orang lain doakan.

Kerana kalau buat juga, samalah seperti apa yang dibuat oleh agama-agama lain yang melakukan sesuatu amalan untuk tolak bala, tolak sial dan sebagainya.

Sebagai contoh, penganut Hindu akan pergi jumpa sami mereka untuk minta sami itu doakan untuk mereka.

Malangnya, kita pun begitu juga. Akhirnya, sama sahaja akidah kita dengan agama kufur yang lain. Mereka ada tolak bala, kita pun nak ada tolak bala juga.

Atau ada yang kata cincin atau tangkal yang dia pakailah yang telah menghilangkan musibah yang jatuh kepada mereka.

Kalaulah kebetulan nasibnya berubah selepas dia pakai cincin atau tangkal itu, tidaklah ia membuktikan kebenaran atas apa yang telah dilakukannya itu. Macam mereka yang pakai Kavadi masa Thaipusam, cucuk sana sini, tapi selamat, tidak luka sedikitpun.

Atau penyembah berhala pada zaman jahiliah dulu yang tidak dikenakan bala kepada mereka.

Maka, jika perbuatan salah yang dilakukan oleh seseorang tidak dijatuhkan bala oleh Allah sebaik sahaja mereka lakukan, malah ‘menjadi’ pula apa yang mereka kehendaki, tidaklah itu memberi tanda bahawa tidak salah perbuatan itu.

Allah hanya membiarkan sahaja mereka di dalam kesesatan tanpa menurunkan bala terus. Allah benarkan ia terjadi tetapi Allah tidak redha. Allah sanggup tunggu mereka mati dan kemudian baru mereka akan diazab di akhirat kelak.

Dan cincin atau alat-alat keramat itu mereka simpan dalam kain kuning. Bukan dalam simpanan yang biasa. Kerana pada mereka, benda-benda keramat itu kena simpan dalam kain kuning.

Kadang-kadang mereka akan perasap pada malam-malam tertentu. Bermakna, mereka ada memuja benda-benda itu. Itu adalah amalan khurafat dan amalan syirik.

Tapi kenapakah guru-guru agama di negara kita tidak berani nak tegur perkara ini secara berdepan? Ke mana perginya mufti-mufti di negara ini?

Dan kenapa ayat ini mengatakan mereka juga memesongkan orang lain? Kerana orang-orang sebegini bukan sahaja telah terpesong, tapi mereka juga memesongkan orang lain yang melihat mereka. Kerana kalau mereka nampak berjaya, orang lain pun nak jadi macam dia juga.

Orang lain akan bertanya, siapa yang kau jumpa sampai kau boleh dapat begini, begitu? Mereka pun cakaplah mereka berjaya pulih kerana orang ini, orang itu.

Yang bertanya itu pun akan pergi kepada ustaz yang sama, bomoh yang sama dan sebagainya. Akhirnya, semakin ramai yang akan sesat.

Manusia memang suka nak ikut orang lain tanpa usul periksa. Ini adalah kerana kejahilan yang berleluasa dalam masyarakat kita.

 

قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحٰبِ النَّارِ

Kata kepada mereka: bersenang-senanglah dengan kekafiran kamu untuk sementara. Sesungguhnya kamu adalah penghuni tetap neraka.

Ini takhwif ukhrawi. Allah beritahu dalam ayat ini bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan kufur.

Dan Allah suruh Nabi Muhammad sampaikan kepada mereka untuk bersenang-senang buat sementara waktu sementara hidup. Berseronoklah dalam kehidupan dunia ini selagi mereka boleh.

Sebab itu kalau kita tengok orang yang mengamalkan syirik, selalunya hidup mereka akan senang sahaja. Hidup mereka nampak macam senang lenang sahaja. Ini kerana memang Allah beri kesenangan kepada mereka selama mereka di dunia.

Tapi di akhirat nanti, mereka akan mendapat azab yang kekal. Maka jangan kita tertipu melihat kesenangan mereka. Jangan kita ikut mereka pula. Jangan pula sangka yang Allah beri rahmat kepada mereka.

Biarlah dia seronok kerana dia tetap akan masuk neraka, maka dia dibiarkan Allah dalam kesesatan. Biar dia terus mengumpul dosa selama dia hidup. Supaya apabila mereka masuk ke alam akhirat nanti, mereka tidak ada hujah lagi hendak menyatakan mereka tidak bersalah.

Allah kata apa sahaja yang mereka lakukan dan dapat, itu hanya ‘sedikit’ sahaja. Mereka sahaja sangka mereka dapat banyak kelebihan, tapi Allah beritahu itu sedikit sahaja.

Tidak berbaloi kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan terima. Kesenangan yang sedikit, tapi azab yang berterusan selama-lamanya.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal dalam neraka selama-lamanya.


 

Ayat 9: Ayat Tabshir. Allah nak bandingkan dua jenis kumpulan manusia. Orang syirik ada cara hidup dia dan orang tauhid ada cara hidup dia pula. Tidak sama antara kehidupan mereka.

Allah beri berita baik kepada mereka yang berbuat baik. Allah beri semangat itu kepada kita supaya kita amalkan cara hidup tauhid itu.

أَمَّن هُوَ قٰنِتٌ ءآناءَ اللَّيلِ ساجِدًا وَقائِمًا يَحذَرُ الآخِرَةَ وَيَرجو رَحمَةَ رَبِّهِ ۗ قُل هَل يَستَوِي الَّذينَ يَعلَمونَ وَالَّذينَ لا يَعلَمونَ ۗ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

Sahih International

Is one who is devoutly obedient during periods of the night, prostrating and standing [in prayer], fearing the Hereafter and hoping for the mercy of his Lord, [like one who does not]? Say, “Are those who know equal to those who do not know?” Only they will remember [who are] people of understanding.

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Soalan Tuhan kepada kita semua:

 

أَمَّنْ هُوَ قٰنِتٌ ءآنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ

Apakah satu orang yang bangun berdiri teguh waktu malam, kadang-kadang sujud, kadang-kadang berdiri, kerana takut dia akan akhirat

Stail surah ini adalah Allah akan bertanya kepada kita, tapi Allah tidak memberikan jawapannya kepada kita supaya kita boleh mencari jawapan itu sendiri. Kita kena fikirkan dalam-dalam.

Dalam ayat ini, Allah membandingkan seorang yang beribadat pada malam hari dengan orang yang sifatnya telah diterangkan sebelum ini – tidak ingat Allah apabila dalam keadaan senang, tapi apabila susah, barulah kelam kabut nak buat ibadat.

Kalimah قانت dalam ayat ini kalau dibandingkan dengan ayat Baqarah:238 bermaksud seorang yang khusyuk di dalam solatnya. Dia pandang satu tempat sahaja dan melihat ke kiri kanan. Fikirannya tertumpu kepada Allah dan solatnya.

Kalimat ءاناء اليل bermaksud sebahagian dari malam samada awal, pertengahan atau hujungnya.

Allah bandingkan dengan sifat seorang mukmin yang sentiasa ingat dan beribadat kepada Allah, samada dalam keadaan senang atau susah. Dia bermunajat kepada Allah.

Dalam ayat sebelum ini telah ejek golongan kuffar untuk bergembiralah selagi mereka boleh. Maka sekarang Allah nak tanya kepada mereka, kamu baikkah atau orang-orang yang akan disebut nanti?

Kenapa Allah sebut ‘sujud’ dahulu sebelum qiyamullail dalam ayat ini? Kerana hamba paling hampir dengan Allah dalam solat adalah semasa sujud. Maka didahulukan yang utama dahulu.

Allah juga tidak sebut apakah kesan dari amalan orang itu. Ini kena diisikan oleh pembaca Qur’an. Ulama tafsir mengatakan maksud Allah adalah: mereka yang berdiri mendirikan solat pada malam hari itu akan masuk syurga.

Cuma tidak disebutkan dalam ayat ini. Kita kena faham sendiri berdasarkan pemahaman dari ayat-ayat yang lain.

Dia beribadat itu kerana dia takut. Kenapakah orang yang mendirikan solat pada malam hari itu takut? Apakah yang dia takut?

Dia takut azab dari Allah sekiranya dosa dia tidak diampun. Kerana kita sendiri tidak pasti samada dosa yang kita lakukan itu Allah akan ampunkan atau tidak. Memang kita sudah minta ampun, tapi adakah Allah akan terima taubat kita itu?

Kita tidak pasti kerana itu adalah perkara ghaib dan kita tidak tahu perkara ghaib. Kerana kalau Allah tidak terima, alangkah malangnya kita nanti kerana akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu  – tidak tahu berapa lama.

Perumpamaannya kalau kita bawa kereta di kawasan yang kita tahu ada kamera yang akan ambil gambar kereta yang laju. Maka dalam keadaan begitu, tentulah kita akan memandu dengan berhati-hati dan tidak bawa dengan laju, bukan?

Maka begitulah kalau kita sedar yang Allah sedang memerhatikan kita – kita tentu tidak berani nak buat dosa dan buat salah.

Oleh itu, ayat ini mengajar kita bahawa dalam kehidupan kita, hendaklah kita ada rasa takut kepada akhirat. Sentiasa kita ingat bahawa kita akan mati dan akan dibangkitkan kelak. Kalau kita rasa senang hati sahaja, tentu kita tidak bersungguh dalam beramal ibadat dan menjaga agama kita.

 

وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ

dan dia mengharap rahmat Tuhan

Dalam masa yang sama, dia berharap semoga dia dapat masuk syurga. Kerana kita tidak dapat masuk syurga dengan amalan ibadat kita tapi dengan rahmat Allah sahaja. Alamat orang yang hampir dengan Allah adalah dia akan berharap kepada Allah.

Jadi ada dua sifat yang telah disebut: takut dan harap (khauf dan raja’). Dua sifat ini selalu disebut berulang-ulang dalam Qur’an kerana ianya amat penting. Dua-dua perkara ini kena ada dalam jiwa kita. Jangan salah satu terlebih dan terkurang. Kena seimbang.

Dalam ayat ini ada soalan yang dihazafkan: adakah sama orang yang buat begitu dengan orang yang tidak buat begitu? Tentulah tidak sama.

 

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Katakanlah: adakah sama seorang yang mengetahui dengan seorang yang tak tahu?

Ini adalah satu lagi soalan yang Allah tanya tapi Allah tak jawap, maka kita kena jawap sendiri. Adakah sama orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu? Tahu apa?

Dalam tafsir, disebut ‘tahu’ yang dimaksudkan adalah ‘tahu tentang Allah’. Kerana tahu tentang Allah lah yang menyebabkan manusia boleh buat amal dan dalam hati dia ada takut dan harap.

Dan tahu tentang wahyu. Mereka tahu kerana mereka belajar, bukannya buat-buat tidak tahu sahaja. Tentulah tidak sama orang yang belajar Qur’an dan hadis dan orang yang tidak belajar.

Kerana orang yang tahu wahyu akan tahu tentang Hari Akhirat. Dan orang yang tahu tentang Hari Akhirat tidak sama dengan orang yang tidak tahu. Kerana apabila kita tahu sesuatu perkara itu benar dan besar, tentulah kita akan mengambil tindakan. Tentulah orang yang tahu dan yakin tentang akhirat akan buat persediaan kepada akhirat itu.

Sebagai contoh, kalau kita dapat tahu dari media bahawa kawasan tempat kita akan banjir, tentulah kita akan ambil tindakan – mungkin kita akan pindah. Begitu juga dengan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat. Mereka akan mengambil tindakan untuk menjalani kehidupan di dunia ini mengikut lunas-lunas Islam.

Kepada mereka yang tidak tahu, atau hanya tahu sedikit sahaja, mereka tidak buat apa-apa, macam Hari Kiamat itu tidak akan terjadi sahaja. Atau mereka rasa mereka akan selamat sahaja, padahal belum tentu lagi.

Jadi, secara lebih khususnya, ayat ini adalah berkenaan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat dan mengambil tindakan untuk menyelamatkan diri mereka. Tidak sama antara mereka yang tahu dan mereka yang tidak tahu.

 

إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Yang hanya akan menerima peringatan ini hanyalah orang yang otak waras sahaja.

Orang yang mempunyai akal yang waras dan cerdik sahaja yang boleh terima peringatan dari Allah.

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang tak pakai Qur’an dan hadis dalam menjalani kehidupan mereka adalah orang yang tidak berakal waras. Kerana mereka tidak menggunakan akal mereka untuk mencapai satu keputusan yang benar dan akan menyelamatkan diri mereka.

Habis Ruku’ 1 dari 8 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 10: Ayat Tabshir. Setelah tahu kelebihan beramal ibadat, maka buatlah sesuatu. Kena ikhtiar kerana kejayaan tidak datang dengan mudah, dengan begitu sahaja.

قُل يٰعِبادِ الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقوا رَبَّكُم ۚ لِلَّذينَ أَحسَنوا في هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرضُ اللهِ وٰسِعَةٌ ۗ إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ

Sahih International

Say, “O My servants who have believed, fear your Lord. For those who do good in this world is good, and the earth of Allah is spacious. Indeed, the patient will be given their reward without account.”

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.

 

 

قُلْ يٰعِبَادِ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman,

Ini adalah perintah Allah kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada orang-orang yang beriman. Dan kepada mereka yang telah beriman atas akidah tauhid.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Kalau hazf, ia membawa maksud ‘berterusan’:

Dalam kalimat عِبَادِ itu sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) tapi ي itu dihazafkan (dihilangkan). ي jenis ini dinamakan ya’ mutakallim (ya orang bercakap).

Dalam ilmu balaghah, ini ي ini dihazafkan adalah kerana hamba yang dimaksudkan adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia teruskan meningkatkan ketaqwaannya.

Mereka ini jenis hamba yang sudah istiqamah dalam iman dan ibadah mereka. Kemudian ini akan terus disebut ganjaran mereka.

Syaratnya kena istiqamah dalam jaga iman. Bukan sekejap-sekejap sahaja, sekejap beriman dan sekejap tidak. Sampaikan mereka disuruh berhijrah kalau mereka tidak dapat menjaga iman mereka di tempat mereka tinggal.

Lagi satu, dihazafkan ya mutakallim  kerana jumlah mereka lebih kurang. Tak ramai yang beriman kalau dibandingkan dengan mereka yang tidak beriman. Boleh bandingkan dengan ayat 53 surah ini juga. Dalam ayat ke 53, kalimah yang digunakan adalah عِبَادِي dan bukan عِبَادِ seperti dalam ayat ini.

Ada empat tempat dalam Qur’an dimana ada hazaf pada kalimah عِبَادِ:

  1. Zumar:10 ini
  2. Zumar:16
  3. Zumar:17
  4. Zukhruf:68

Lebih banyak kalimah yang digunakan adalah عِبَادِي, sebagai contoh, boleh lihat ayat ke 53, surah Zumar ini.

 

اتَّقُوا رَبَّكُمْ

bertaqwalah kamu semua kepada Tuhan kamu semua,

Orang-orang yang telah beriman disuruh pula untuk bertaqwa. Ini menunjukkan bahawa iman dan taqwa itu tidak sama. Kalau seseorang itu beriman, belum tentu dia juga seorang yang bertaqwa. Tapi gunakanlah asas iman yang dia telah ada itu untuk naik lagi ke tahap taqwa.

Maksud bertaqwa itu adalah ‘jaga hukum Tuhan’. Ikut apakah suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Termasuk dalam taqwa ini adalah takut kepada Allah. Tapi bukanlah bertaqwa itu hanya ‘takut’ sahaja. Malah lebih lagi kerana kalau ‘takut’ sahaja, perkataan ‘khauf’ lebih tepat.

Oleh itu, bertaqwa itu adalah sedar bahawa Allah sentiasa melihat kita. Maka kerana kita yakin Allah sedang melihat kita, maka kita akan berhati-hati dalam tindakan kita setiap hari. Kita akan jaga hukum dengan baik kalau tahu yang Allah sentiasa memerhatikan kita.

Nak buat apa-apa pun, kita akan tanya kepada diri kita: apa hukum perbuatan ini? Maknanya, dia jaga sungguh syariat yang Allah telah sampaikan. Samada berkenaan hubungan dengan Allah dan juga hubungan dengan manusia lain.

 

لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا

bagi orang-orang yang berbuat baik,

Tanda seseorang itu bertaqwa adalah mereka juga akan menjalankan amal kebaikan yang disuruh dilakukan oleh Allah. Mereka akan mengisi hidup mereka dengan amal ibadat.

Mereka mengelokkan amal mereka supaya jadi betul balik. Mana-mana kesilapan yang mereka telah lakukan dahulu, mereka buang dan mereka mengaku bahawa apa yang mereka lakukan dulu adalah salah berdasarkan Qur’an dan hadis. Dan apa yang kebaikan yang mereka buat, mereka akan tambahbaik lagi ke arah kesempurnaan.

Jangan kita degil dengan Tuhan. Kalau dah tahu bahawa sesuatu amalan dan fahaman itu salah, maka tinggalkan sahaja. Malangnya, ada yang masih berdegil walaupun mereka sudah tahu kesilapan mereka akan mengundang malapetaka di akhirat.

Perkataan ‘ihsan’ juga ditafsirkan sebagai maksud ‘ikhlas’ dalam ertikata, kita melakukan sesuatu amal ibadat itu kerana Allah sahaja – kerana mengharapkan balasan dan kerana suruhan dari Allah sahaja, dan bukan sebab lain.

 

فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ

Dalam kehidupan dunia ini, dia akan dapat kebaikan

Apabila seseorang Muslim itu berbuat kebaikan di dunia ini, dia akan mendapat kebaikan di akhirat nanti. Dan akan ada juga kebaikan untuknya di dunia juga. Di dunia lagi sudah mendapat kebaikan.

Allah akan melapangkan dadanya dan memberikan ketenangan dalam dirinya. Dia akan tenang sahaja menjalani kehidupan dunia ini. Kebaikan di dunia ini bukanlah bermaksud kekayaan sahaja. Kerana kalau kaya harta tapi tak beriman, itu tidak baik sama sekali.

 

 

وَأَرْضُ اللهِ وٰسِعَةٌ

Dan bumi Allah itu luas,

Ayat ini merujuk kepada sahabat Nabi yang tak mahu berhijrah walaupun mereka telah ditindas di Mekah.

Dan juga merujuk kepada muslim yang duduk dalam kawasan orang kafir, tapi tak mahu nak pindah.

Kenapa Allah sebut bumiNya luas? Kalau kita rasa dah tak boleh nak buat amal ibadat, maka eloklah kita pindah ke tempat lain yang lebih sesuai. Janganlah kita terpedaya dengan harta sampai menyebabkan tidak mahu pindah.

Janganlah kita terkenang sangat kepada kampung halaman sampai tak mahu tinggalkannya untuk mencari kebaikan. Kadangkala tempat tinggal kita tak kondusif untuk mengamalkan Islam dengan sempurna. Maka kenalah berpindah.

Ini penting kerana ada orang yang kalah dengan suasana sekeliling sampai tidak boleh beramal ibadat. Jangan jadikan suasana sebagai alasan tidak dapat beramal. Kalau guna alasan itu, tidak akan diterima.

Ayat ini sudah memberi isyarat kepada muslim di Mekah bahawa mereka akan berhijrah ke tempat lain. Ayat ini adalah isyarat kepada kebenaran untuk hijrah ke Habashah. Kerana kalau duduk di Mekah, tidak dapat mengamalkan agama dengan bebas.

Memang tidak ada ayat jelas suruhan dari Allah untuk berhijrah, tapi diberikan dengan isyarat sahaja. Oleh itu, beberapa sahabat telah berhijrah ke Habashah diketuai oleh Saidina Uthman.

Jadi, kalau kita duduk dalam kawasan yang tidak mengizinkan kita mengamalkan Islam dengan sempurna, maka kita kena tinggalkan tempat itu dan cari tempat lain.

Dan kalau sudah duduk dalam kawasan orang Islam, kena hidupkan suasana Islam. Kena mulakan pengajian tafsir Qur’an di tempat itu kerana umat Islam kena faham apakah yang disampaikan dalam Qur’an.

Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana kalau kita tidak dapat mengamalkan agama kerana tempat kita tinggal itu tidak membenarkan, kita akan dipersalahkan dan tidak boleh menggunakan alasan itu untuk melepaskan diri. Begitulah firman-Nya:

Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu. (An-Nisa: 97)

Bagaimana pula dengan kita sekarang yang tinggal di Malaysia ini – nak hijrah ke mana pula? Hijrah

ke masjid. Kerana keburukan yang banyak terjadi itu adalah di luar rumah dan luar masjid. Maknanya, tempat yang terkawal adalah di rumah kita dan di masjid. Kalau di luar ada banyak sangat masalah, maka duduk di rumah sahaja, jangan duduk lepak di luar sangat.

Kalau di rumah pun tidak selamat dan di masjid juga tidak selamat, maka kenalah cari tempat lain pula – sepertimana juga orang Mekah kena hijrah ke Habashah dan juga ke Madinah kerana hendak menjaga agama mereka. Carilah kawasan banyak orang-orang baik yang dapat beri semangat kepada kita untuk beramal dengan sempurna.

 

إِنَّمَا يُوَفَّى الصّٰبِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Sesungguhnya akan dibalas orang-orang yang sabar dalam amal ibadat mereka tanpa hisab.

Kalau kita sabar, susah letih dalam amalkan agama itu, terutama dalam hijrah itu, akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah.

Dan memang kalau kita hendak mengamalkan Islam dengan sebenarnya, memang akan terima tentangan dari mereka yang tidak sedia menerimanya. Allah memberitahu kita dalam ayat ini bahawa perjuangan dalam Islam adalah berat – memerlukan kesabaran yang tinggi dan ketabahan yang tidak kurang. Tapi kesabaran mereka itu amat berbaloi.

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tak boleh nak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadis yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Jadi kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan dari Allah yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Tapi balasan kesabaran tidak ada kadar dan kerana itu dibalas dengan mengalir terus balasannya tanpa kiraan. Riwayat itu dari Anas bin Malik:

“Sehingga berkeinginanlah orang-orang yang sihat-sihat sahaja di dunia kalau kiranya dulu badannya digergaji dipotong-potong, setelah mereka lihat bagaimana kelebihan dan keistimewaan yang akan diterima oleh orang-orang yang sabar menderita itu.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Jun 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

5 thoughts on “Tafsir Surah Zumar Ayat 8 – 10 (Buat syirik selepas doa)”

  1. assalamu’alaikum wbt
    kami mohon izin guna tafsir utk murid krn belum cukup ilmu dlm tafsir ayat
    syukran jazakallhu khairal jazak

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s