Tafsir Surah Zumar Ayat 8 – 10 (Buat syirik selepas doa)

Ayat 8: Ayat Zajrun. Sekarang Allah ﷻ memberikan ayat ancaman pula sebagai peringatan kepada kita.

Ingatlah bahawa apabila manusia buat syirik, maka bala akan menyusul. Oleh itu, bala yang kita terima adalah kerana disebabkan dosa yang kita lakukan atau sebagai ujian dari Allah ﷻ untuk orang yang beriman.

Malangnya sekarang manusia banyak cuba menolak bala dengan doa sambil telungkup tangan seperti yang kadang-kadang dibuat oleh imam-imam di masjid-masjid. Mereka itu doa ‘tolak bala’.

Itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ dan tidak dibuat oleh sahabat. Bala yang Allah ﷻ beri itu adalah kerana dosa yang dibuat oleh manusia. Maka sepatutnya manusia kena minta ampun dari dosa dia. Bukannya tambah dosa lagi dengan buat amal bidaah.

Telah disebut dalam Al-Qur’an bahawa apa sahaja musibah yang kena pada kita, yang berbagai-bagai macam musibah, seperti perniagaan jatuh dan sebagainya, adalah kerana hasil kerja tangan manusia. Akan tetapi dosa-dosa kita banyak yang telah diampunkan apabila Allah ﷻ turunkan musibah kepada kita – apabila kita sabar dengan musibah itu, dosa-dosa kecil yang kita telah lakukan akan diampunkan.

Hanya dosa besar sahaja yang tidak diampunkan lagi. Untuk mendapatkan keampunan dari Allah ﷻ atas dosa besar itu, kita kena mohon doa kepada Allah ﷻ supaya mengampunkan dosa-dosa itu secara khusus. Tidak cukup dengan kata: ‘Ya Allah, ampunkanlah dosa aku.’

Antara dosa yang perlu kita minta ampun adalah dosa syirik kepada Allah ﷻ. Dosa syirik adalah amat berat sekali tetapi masih lagi boleh diampunkan, namun kita kena mohon doa supaya diampunkan dengan ikhlas hati kepada Allah ﷻ.

۞ وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعا رَبَّهُ مُنيبًا إِلَيهِ ثُمَّ إِذا خَوَّلَهُ نِعمَةً مِّنهُ نَسِيَ ما كانَ يَدعو إِلَيهِ مِن قَبلُ وَجَعَلَ ِللهِ أَندادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبيلِهِ ۚ قُل تَمَتَّع بِكُفرِكَ قَليلًا ۖ إِنَّكَ مِن أَصحٰبِ النّارِ

Sahih International

And when adversity touches man, he calls upon his Lord, turning to Him [alone]; then when He bestows on him a favor from Himself, he forgets Him whom he called upon before, and he attributes to Allah equals to mislead [people] from His way. Say, “Enjoy your disbelief for a little; indeed, you are of the companions of the Fire.”

Malay

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu musibah, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah dia akan segala musibah yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.

 

 وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ

Apabila dikenakan kepada insan kufur itu bala musibah, dia berdoa kepada Allah, sifatnya condong menghampiri kepada Allah.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini asalnya merujuk kepada orang Mekah jahiliah. Mereka pun ada juga berdoa kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana memang mereka kenal Allah ﷻ pun, bukannya tidak kenal. Kalau mereka ada musibah, mereka akan berdoa hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Mereka akan meninggalkan sembahan dan doa kepada selain Allah ﷻ.

Begitu jugalah orang kita pun ada juga berdoa kepada Allah ﷻ. Apabila seseorang itu telah ditimpa musibah kesusahan, mulalah dia jadi baik sekejap, berkopiah atau berserban. Dulu masa dia senang, sihat, dia tidak ingat Allah ﷻ. Dia hanya menghabiskan masa dengan bersuka-sukaan sahaja. Tidak ingat hendak belajar agama, tidak ingat hendak solat, tidak ingat hendak pergi masjid.

Tetapi apabila sudah kena musibah, baru dia tahu langit tinggi rendah. Mulalah dia hendak kenal solat. Mulalah dia hendak mendekatkan diri dengan surau dan masjid. Kalau bercakap dengan orang pun, baik-baik sahaja, lembut sahaja.

Selalu juga kita jumpa orang yang macam ini, bukan? Tiba-tiba dia jadi baik apabila ada masalah, jadi warak tiba-tiba. Solat pun khusyuk. Kalau berdoa pun lama. Iaitu berlainan dari dirinya yang dulu.

 

ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ

Kemudian apabila (Allah) berikan kepadanya nikmat yang baru, dia lupa terus apa yang dia pernah doa  kepadaNya sebelum ini,

Allah ﷻ beri kesusahan sekejap sahaja. Selepas beberapa lama, masalah dia akan selesai. Allah ﷻ yang selesaikan masalah dia. Apabila keadaannya sudah berubah kepada baik, dia sudah lupa kepada Allah ﷻ, lupa kepada musibah yang dia kena dulu.

Maksud ‘dia lupa’ itu adalah dia buat syirik kembali. Dia lupa yang dia dulu telah berdoa kepada Allah ﷻ dan masalah yang dia hadapi itu diselesaikan oleh Allah ﷻ. Patutnya dia teruslah ibadat dan doa kepada Allah ﷻ sahaja, bukan? Tetapi tidak begitu. Ini kerana dia lupa dia dulu telah doa terus kepada Allah ﷻ.

Begitulah juga dengan orang kita. Apabila sudah jadi baik balik, dia sudah buang kopiah dan serban yang dipakainya sebelum itu. Sudah balik kepada keadaannya yang asal sebelum kena musibah itu.

Padahal, sebelum itu kepada Allah ﷻlah dia berdoa dengan bersungguh-sungguh. Menitik-nitik air mata dia semasa berdoa waktu itu. Tetapi bila masalah dia sudah selesai, dia terus lupa yang dulu dia telah berdoa kepada Allah ﷻ meminta dan merayu supaya masalah yang sedang dihadapinya itu diselesaikan oleh Allah ﷻ. Dia lupa yang dari doanya itu, masalahnya telah diselesaikan oleh Allah ﷻ.

Perkataan خَوَّلَ bermaksud ‘diselimuti’. Ada banyak selimut yang meliputi kita. Roh kita diselimuti oleh tubuh kita. Tubuh kita diselimuti dengan baju. Kita diselimuti oleh rumah. Rumah kita dengan kawasan perumahan kita. Kemudian diselimuti oleh negara kita. Negara kita diselimuti oleh planet bumi. Planet diselimuti oleh langit pertama, langit kedua dan seterusnya. Berapa banyak nikmat telah Allah ﷻ selimutkan diri kita.

Kadang-kadang apabila kita dalam selimut, kita tidak perasan selimut itu. Pada hari Akhirat nanti, semua yang menyeliputi itu akan dicabut satu persatu dan roh kita akan berdiri di hadapan Allah ﷻ untuk menemuinya.

Begitulah, kita tidak perasan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita selama hari ini, kerana kita dari kecil dapat nikmat. Apabila ditarik sekejap nikmat itu, barulah perasan nikmat sudah tiada.

 

وَجَعَلَ ِللهِ أَنْدَادًا لِّيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ

Kemudian dia jadikan sekutu-sekutu bagi Allah yang memesongkannya  daripada jalan Allah.

Apabila musibah sudah diangkat, dia buat syirik pula kepada Allah ﷻ. Bagaimanakah ini boleh terjadi?

Contoh: Ketika perniagaannya jatuh dahulu, dia telah jumpa seseorang dan orang itu beritahu dia, kalau hendak pulihkan semula perniagaan, kena jumpa tok guru ini, tok guru itu. Dia pun pergilah bertemu tok-tok guru tersebut dan mungkin tok guru itu telah mandikan dia dengan ‘mandi tolak bala’, ‘mandi bunga’ dan sebagainya.

Kebetulan, semenjak dimandikan oleh tok guru tersebut, perniagaan dia kembali pulih, semangat dia pun kembali naik. Kalau dulu dia tidak sihat, sudah lega sekarang. Apabila terjadi begitu, dia tidak kata Allah ﷻ yang memulihkan dia, tetapi dia kata ‘tok guru’ itu yang pulihkan dia. Iaitu tempat yang dia mandi bunga, mandi tolak bala dulu. Inilah syirik kerana menduakan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang selesaikan musibah dia tetapi dia kata orang lain pula seolah-olah orang itu adalah Allah ﷻ.

Ramai orang buat begini pada zaman dahulu. Zaman sekarang, mungkin tidak mandi tolak bala lagi, tetapi kesyirikan dilakukan dengan cara-cara lain pula. Mereka jumpa tok guru untuk ‘tolak bala’ dengan minta ustaz atau mana-mana orang untuk doakan mereka supaya diangkat bala musibah.

Yang mereka tidak cakap adalah berapa banyak upah yang mereka telah beri kepada guru itu. Kerana guru atau ‘ustaz’ yang sebegitu, mereka memang buat duit dengan cara mendoakan orang lain.

Dalam masyarakat kita, sampai ada yang beri kereta mereka yang baru dibeli untuk dimandikan oleh tok guru dan melakukan berbagai-bagai perkara yang mengarut-ngarut. Pada mereka, dengan dimandikan kereta itu dengan air jampi guru itu, atau guru itu memakai dahulu kereta itu, maka kereta itu akan terselamat dari musibah.

Inilah yang dinamakan ‘andada,’ iaitu sekutu-sekutu kepada Tuhan. Kerana Allah ﷻlah yang mengangkat musibah itu dari mereka, tetapi mereka kata guru/ustaz/bomoh yang telah menyelamatkan mereka. Allah ﷻ terpaksa ‘bertanding’ pula dengan makhluk untuk mendapat pujian dari manusia. Ini tidak patut sama sekali. Ini adalah fahaman syirik.

Malangnya banyak perkara sebegini diajar oleh tok guru dan ustaz. Tok guru itu sendiri pun sebenarnya tidak tahu dia telah buat syirik kepada Tuhan. Dia pula yang jadi penganjur kepada perbuatan itu, padahal sepatutnya dialah yang  sepatutnya mengajar perkara-perkara yang benar.

Sepatutnya dialah yang cakap yang perbuatan itu adalah salah. Sepatutnya dialah yang ajar kepada mereka yang datang minta doa itu supaya doa sendiri sahaja kepada Allah ﷻ, tidak payah minta orang lain doakan. Kerana kalau buat juga, samalah seperti apa yang dibuat oleh agama-agama lain yang melakukan sesuatu amalan untuk tolak bala, tolak sial dan sebagainya.

Sebagai contoh, penganut Hindu akan pergi jumpa sami mereka untuk minta sami itu doakan untuk mereka. Malangnya, kita pun begitu juga. Akhirnya, sama sahaja akidah kita dengan agama kufur yang lain. Mereka ada tolak bala, kita pun nak ada tolak bala juga. Tok guru dan ustaz pula yang ganti jadi tok sami.

Atau ada yang kata cincin atau tangkal yang dia pakailah yang telah menghilangkan musibah yang jatuh kepada mereka. Kalaulah kebetulan nasibnya berubah selepas dia pakai cincin atau tangkal itu, tidaklah ia membuktikan kebenaran atas apa yang telah dilakukannya itu. Macam mereka yang pakai Kavadi masa Thaipusam, cucuk sana sini, tetapi selamat, tidak luka sedikitpun. Atau penyembah berhala pada zaman jahiliah dulu yang tidak dikenakan bala kepada mereka.

Maka, jika perbuatan salah yang dilakukan oleh seseorang tidak dijatuhkan bala oleh Allah ﷻ sebaik sahaja mereka lakukan, malah ‘menjadi’ pula apa yang mereka kehendaki, tidaklah itu memberi tanda bahawa tidak salah perbuatan itu.

Allah ﷻ hanya membiarkan sahaja mereka di dalam kesesatan tanpa menurunkan bala terus. Allah ﷻ benarkan ia terjadi tetapi Allah ﷻ tidak redha. Allah ﷻ sanggup tunggu mereka mati dan kemudian baru mereka akan diazab di akhirat kelak.

Banyak lagi amalan syirik dan khurafat diamalkan oleh masyarakat Islam kita. Antaranya mereka ada barang-barang hikmat. Seperti cincin atau alat-alat keramat yang mereka simpan dalam kain kuning. Bukan dalam simpanan yang biasa. Kerana pada mereka, benda-benda keramat itu kena simpan dalam kain kuning.

Kadang-kadang mereka akan perasap pada malam-malam tertentu. Bermakna, mereka ada memuja benda-benda itu. Itu adalah amalan khurafat dan amalan syirik. Tetapi kenapakah guru-guru agama di negara kita tidak berani hendak tegur perkara ini secara berdepan? Ke mana perginya mufti-mufti di negara ini? Susah hendak tegur kerana kalau ditegur, masyarakat akan melenting kerana lebih ramai yang jahil dari yang pandai.

Dan kenapa ayat ini mengatakan mereka juga memesongkan orang lain? Kerana orang-orang sebegini bukan sahaja telah terpesong, tetapi mereka juga memesongkan orang lain yang melihat mereka. Kerana kalau mereka nampak berjaya, orang lain pun hendak jadi macam dia juga.

Orang lain akan bertanya, siapa yang kau jumpa sampai kau boleh dapat begini, begitu? Mereka pun cakaplah mereka berjaya pulih kerana orang ini, orang itu. Yang bertanya itu pun akan pergi kepada ustaz yang sama, bomoh yang sama dan sebagainya. Akhirnya, semakin ramai yang akan sesat.

Manusia memang suka hendak ikut orang lain tanpa usul periksa. Ini adalah kerana kejahilan yang berleluasa dalam masyarakat kita. Ramai yang pakai ikut sahaja amalan orang lain.

 

قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحٰبِ النَّارِ

Kata kepada mereka: bersenang-senanglah dengan kekafiran kamu untuk sementara. Sesungguhnya kamu adalah penghuni tetap neraka.

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan kufur. Dan Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ sampaikan kepada mereka untuk bersenang-senang buat sementara waktu sementara masih hidup. Berseronoklah dalam kehidupan dunia ini selagi mereka boleh.

Sebab itu kalau kita tengok orang yang mengamalkan syirik, selalunya hidup mereka akan senang sahaja. Hidup mereka nampak macam senang lenang sahaja. Ini kerana memang Allah ﷻ beri kesenangan kepada mereka selama mereka di dunia.

Tetapi di akhirat nanti, mereka akan mendapat azab yang kekal. Maka jangan kita tertipu melihat kesenangan mereka. Jangan kita ikut mereka pula. Jangan pula sangka yang Allah ﷻ beri rahmat kepada mereka.

Biarlah dia seronok kerana dia tetap akan masuk neraka, maka dia dibiarkan Allah ﷻ dalam kesesatan. Biar dia terus mengumpul dosa selama dia hidup. Supaya apabila mereka masuk ke alam akhirat nanti, mereka tidak ada hujah lagi hendak menyatakan mereka tidak bersalah.

Allah ﷻ kata apa sahaja yang mereka lakukan dan dapat, itu hanya ‘sedikit’ sahaja. Mereka sahaja sangka mereka dapat banyak kelebihan, tetapi Allah ﷻ beritahu itu sedikit sahaja. Tidak berbaloi kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan terima. Kesenangan yang sedikit, tetapi azab yang berterusan selama-lamanya.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal dalam neraka selama-lamanya. Adakah berbaloi? Tentu tidak, bukan?


 

Ayat 9: Ayat Tabshir. Allah ﷻ hendak bandingkan dua jenis kumpulan manusia. Orang syirik ada cara hidup dia dan orang tauhid ada cara hidup dia pula. Tidak sama antara kehidupan mereka.

Allah ﷻ beri berita baik kepada mereka yang berbuat baik. Allah ﷻ beri semangat itu kepada kita supaya kita amalkan cara hidup tauhid itu.

أَمَّن هُوَ قٰنِتٌ ءآناءَ اللَّيلِ ساجِدًا وَقائِمًا يَحذَرُ الآخِرَةَ وَيَرجو رَحمَةَ رَبِّهِ ۗ قُل هَل يَستَوِي الَّذينَ يَعلَمونَ وَالَّذينَ لا يَعلَمونَ ۗ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

Sahih International

Is one who is devoutly obedient during periods of the night, prostrating and standing [in prayer], fearing the Hereafter and hoping for the mercy of his Lord, [like one who does not]? Say, “Are those who know equal to those who do not know?” Only they will remember [who are] people of understanding.

Malay

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Soalan Tuhan kepada kita semua:

أَمَّنْ هُوَ قٰنِتٌ ءآنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ

Apakah satu orang yang bangun berdiri teguh waktu malam, kadang-kadang sujud, kadang-kadang berdiri, kerana takut dia akan akhirat

Stail surah ini adalah Allah ﷻ akan bertanya kepada kita, tetapi Allah ﷻ tidak memberikan jawapannya kepada kita supaya kita boleh mencari jawapan itu sendiri. Kita kena fikirkan dalam-dalam.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ membandingkan seorang yang beribadat pada malam hari dengan orang yang sifatnya telah diterangkan sebelum ini – tidak ingat Allah ﷻ apabila dalam keadaan senang, tetapi apabila susah, barulah kelam kabut hendak buat ibadat.

Kalimah قانت dalam ayat ini kalau dibandingkan dengan ayat Baqarah:238 bermaksud seorang yang khusyuk di dalam solatnya. Dia pandang satu tempat sahaja dan tidak melihat ke kiri kanan. Fikirannya tertumpu kepada Allah ﷻ dan solatnya.

Kalimat ءاناء اليل bermaksud sebahagian dari malam sama ada awal, pertengahan atau hujungnya.

Allah ﷻ bandingkan dengan sifat seorang mukmin yang sentiasa ingat dan beribadat kepada Allah ﷻ, sama ada dalam keadaan senang atau susah. Dia bermunajat kepada Allah ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini telah ejek golongan kuffar untuk bergembiralah selagi mereka boleh. Maka sekarang Allah ﷻ hendak tanya kepada mereka, kamu baikkah atau kamu orang-orang yang akan disebut nanti?

Kenapa Allah ﷻ sebut ‘sujud’ dahulu sebelum qiyamullail dalam ayat ini? Kerana hamba paling hampir dengan Allah ﷻ dalam solat adalah semasa sujud. Maka didahulukan yang utama dahulu.

Allah ﷻ juga tidak sebut apakah kesan dari amalan orang itu. Ini kena diisikan oleh pembaca Al-Qur’an. Ulama tafsir mengatakan maksud Allah ﷻ adalah: mereka yang berdiri mendirikan solat pada malam hari itu akan masuk syurga.

Cuma tidak disebutkan dalam ayat ini. Kita kena faham sendiri berdasarkan pemahaman dari ayat-ayat yang lain.

Dia beribadat itu kerana dia takut. Kenapakah orang yang mendirikan solat pada malam hari itu takut? Apakah yang dia takut?

Dia takut azab dari Allah ﷻ sekiranya dosa dia tidak diampunkan. Kerana kita sendiri tidak pasti sama ada dosa yang kita lakukan itu Allah ﷻ akan ampunkan atau tidak. Memang kita sudah minta ampun, tetapi adakah Allah ﷻ akan terima taubat kita itu?

Kita tidak pasti kerana itu adalah perkara ghaib dan kita tidak tahu perkara ghaib. Kerana kalau Allah ﷻ tidak terima, alangkah malangnya kita nanti kerana akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu  – tidak tahu berapa lama.

Perumpamaannya kalau kita bawa kereta di kawasan yang kita tahu ada kamera yang akan ambil gambar kereta yang laju. Maka dalam keadaan begitu, tentulah kita akan memandu dengan berhati-hati dan tidak bawa dengan laju, bukan? Maka begitulah kalau kita sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita – kita tentu tidak berani hendak buat dosa dan buat salah.

Oleh itu, ayat ini mengajar kita bahawa dalam kehidupan kita, hendaklah kita ada rasa takut kepada akhirat. Sentiasa kita ingat bahawa kita akan mati dan akan dibangkitkan kelak. Kalau kita rasa senang hati sahaja, tentu kita tidak bersungguh dalam beramal ibadat dan menjaga agama kita.

 

وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ

dan dia mengharap rahmat Tuhan

Dalam masa yang sama, dia berharap semoga dia dapat masuk syurga. Kerana kita tidak dapat masuk syurga dengan amalan ibadat kita tetapi dengan rahmat Allah ﷻ sahaja. Alamat orang yang hampir dengan Allah ﷻ adalah dia akan berharap kepada Allah ﷻ.

Jadi ada dua sifat yang telah disebut: takut dan harap (khauf dan raja’). Dua sifat ini selalu disebut berulang-ulang dalam Al-Qur’an kerana ianya amat penting. Dua-dua perkara ini kena ada dalam jiwa kita. Jangan salah satu terlebih dan terkurang. Kena seimbang.

Dalam ayat ini ada soalan yang dihazafkan: adakah sama orang yang buat begitu dengan orang yang tidak buat begitu? Tentulah tidak sama.

 

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Katakanlah: adakah sama seorang yang mengetahui dengan seorang yang tak tahu?

Ini adalah satu lagi soalan yang Allah ﷻ tanya tetapi Allah ﷻ tidak jawab, maka kita kena jawab sendiri. Adakah sama orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu? Tahu apa?

Dalam tafsir, disebut ‘tahu’ yang dimaksudkan adalah ‘tahu tentang Allah ﷻ’. Kerana tahu tentang Allah ﷻlah yang menyebabkan manusia boleh buat amal dan dalam hati dia ada takut dan harap.

Dan tahu tentang wahyu. Mereka tahu kerana mereka belajar, bukannya buat-buat tidak tahu sahaja. Tentulah tidak sama orang yang belajar Al-Qur’an dan hadis dan orang yang tidak belajar.

Kerana orang yang tahu wahyu akan tahu tentang Hari Akhirat. Dan orang yang tahu tentang Hari Akhirat tidak sama dengan orang yang tidak tahu. Kerana apabila kita tahu sesuatu perkara itu benar dan besar, tentulah kita akan mengambil tindakan. Tentulah orang yang tahu dan yakin tentang akhirat akan buat persediaan kepada akhirat itu.

Sebagai contoh, kalau kita dapat tahu dari media bahawa kawasan tempat kita akan banjir, tentulah kita akan ambil tindakan – mungkin kita akan pindah. Begitu juga dengan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat. Mereka akan mengambil tindakan untuk menjalani kehidupan di dunia ini mengikut lunas-lunas Islam.

Kepada mereka yang tidak tahu, atau hanya tahu sedikit sahaja, mereka tidak buat apa-apa, macam Hari Kiamat itu tidak akan terjadi sahaja. Atau mereka rasa mereka akan selamat sahaja, padahal belum tentu lagi.

Jadi, secara lebih khususnya, ayat ini adalah berkenaan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat dan mengambil tindakan untuk menyelamatkan diri mereka. Tidak sama antara mereka yang tahu dan mereka yang tidak tahu.

 

إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Yang hanya akan menerima peringatan ini hanyalah orang yang otak waras sahaja.

Orang yang mempunyai akal yang waras dan cerdik sahaja yang boleh terima peringatan dari Allah ﷻ.

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang tidak pakai Al-Qur’an dan hadis dalam menjalani kehidupan mereka adalah orang yang tidak berakal waras. Kerana mereka tidak menggunakan akal mereka untuk mencapai satu keputusan yang benar dan akan menyelamatkan diri mereka.

Habis Ruku’ 1 dari 8 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 10: Ayat Tabshir. Setelah tahu kelebihan beramal ibadat, maka buatlah sesuatu. Kena ikhtiar kerana kejayaan tidak datang dengan mudah, dengan begitu sahaja.

قُل يٰعِبادِ الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقوا رَبَّكُم ۚ لِلَّذينَ أَحسَنوا في هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرضُ اللهِ وٰسِعَةٌ ۗ إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ

Sahih International

Say, “O My servants who have believed, fear your Lord. For those who do good in this world is good, and the earth of Allah is spacious. Indeed, the patient will be given their reward without account.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.

 

 

قُلْ يٰعِبَادِ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang beriman,

Ini adalah perintah Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada orang-orang yang beriman. Dan kepada mereka yang telah beriman atas akidah tauhid.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Kalau hazf, ia membawa maksud ‘berterusan’:

Dalam kalimat عِبَادِ itu sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) tapi ي itu dihazafkan (dihilangkan). ي jenis ini dinamakan ya’ mutakallim (ya orang bercakap).

Dalam ilmu balaghah, ي ini dihazafkan adalah kerana hamba yang dimaksudkan adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia teruskan meningkatkan ketaqwaannya. Mereka ini jenis hamba yang sudah istiqamah dalam iman dan ibadah mereka. Kemudian ini akan terus disebut ganjaran mereka.

Syaratnya kena istiqamah dalam jaga iman. Bukan sekejap-sekejap sahaja, sekejap beriman dan sekejap tidak. Sampaikan mereka disuruh berhijrah kalau mereka tidak dapat menjaga iman mereka di tempat mereka tinggal.

Lagi satu, dihazafkan ya mutakallim  kerana jumlah mereka lebih kurang. Tidak ramai yang beriman kalau dibandingkan dengan mereka yang tidak beriman. Boleh bandingkan dengan ayat 53 surah ini juga. Dalam ayat ke 53, kalimah yang digunakan adalah عِبَادِي dan bukan عِبَادِ seperti dalam ayat ini.

Ada empat tempat dalam Al-Qur’an dimana ada hazaf pada kalimah عِبَادِ:

  1. Zumar:10 ini
  2. Zumar:16
  3. Zumar:17
  4. Zukhruf:68

Lebih banyak kalimah yang digunakan adalah عِبَادِي, sebagai contoh, boleh lihat ayat ke 53, surah Zumar ini.

 

اتَّقُوا رَبَّكُمْ

bertaqwalah kamu semua kepada Tuhan kamu semua,

Orang-orang yang telah beriman disuruh pula untuk bertaqwa. Ini menunjukkan bahawa iman dan taqwa itu tidak sama. Kalau seseorang itu beriman, belum tentu dia juga seorang yang bertaqwa. Tetapi gunakanlah asas iman yang dia telah ada itu untuk naik lagi ke tahap taqwa.

Maksud bertaqwa itu adalah ‘jaga hukum Tuhan’. Ikut apakah suruhanNya dan meninggalkan laranganNya dalam setiap masa. Termasuk dalam taqwa ini adalah takut kepada Allah ﷻ. Tetapi bukanlah bertaqwa itu hanya ‘takut’ sahaja. Malah lebih lagi kerana kalau ‘takut’ sahaja, perkataan ‘khauf’ lebih tepat.

Oleh itu, bertaqwa itu adalah sedar bahawa Allah ﷻ sentiasa melihat kita. Maka kerana kita yakin Allah ﷻ sedang melihat kita, maka kita akan berhati-hati dalam tindakan kita setiap hari. Kita akan jaga hukum dengan baik kalau tahu yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan kita.

Hendak buat apa-apa pun, kita akan tanya kepada diri kita: apa hukum perbuatan ini? Maknanya, dia jaga sungguh syariat yang Allah ﷻ telah sampaikan. Sama ada berkenaan hubungan dengan Allah ﷻ dan juga hubungan dengan manusia lain.

 

لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا

bagi orang-orang yang berbuat baik,

Tanda seseorang itu bertaqwa adalah mereka juga akan menjalankan amal kebaikan yang disuruh dilakukan oleh Allah ﷻ. Mereka akan mengisi hidup mereka dengan amal ibadat.

Mereka mengelokkan amal mereka supaya jadi betul balik. Mana-mana kesilapan yang mereka telah lakukan dahulu, mereka buang dan mereka mengaku bahawa apa yang mereka lakukan dulu adalah salah berdasarkan Al-Qur’an dan hadis. Dan apa yang kebaikan yang mereka buat, mereka akan tambahbaik lagi ke arah kesempurnaan.

Jangan kita degil dengan Tuhan. Kalau sudah tahu bahawa sesuatu amalan dan fahaman itu salah, maka tinggalkan sahaja. Malangnya, ada yang masih berdegil walaupun mereka sudah tahu kesilapan mereka akan mengundang malapetaka di akhirat.

Perkataan ‘ihsan’ juga ditafsirkan sebagai maksud ‘ikhlas’ dalam ertikata, kita melakukan sesuatu amal ibadat itu kerana Allah ﷻ sahaja – kerana mengharapkan balasan dan kerana suruhan dari Allah ﷻ sahaja, dan bukan sebab lain.

 

فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ

dalam kehidupan dunia ini, dia akan dapat kebaikan

Apabila seseorang Muslim itu berbuat kebaikan di dunia ini, dia akan mendapat kebaikan di akhirat nanti. Dan akan ada juga kebaikan untuknya di dunia. Di dunia lagi sudah mendapat kebaikan.

Allah ﷻ akan melapangkan dadanya dan memberikan ketenangan dalam dirinya. Dia akan tenang sahaja menjalani kehidupan dunia ini. Kebaikan di dunia ini bukanlah bermaksud kekayaan sahaja. Kerana kalau kaya harta tetapi tidak beriman, itu tidak baik sama sekali.

 

 

وَأَرْضُ اللهِ وٰسِعَةٌ

Dan bumi Allah itu luas,

Ayat ini merujuk kepada sahabat Nabi ﷺ yang tidak mahu berhijrah walaupun mereka telah ditindas di Mekah. Dan juga merujuk kepada Muslimin yang duduk dalam kawasan orang kafir, tetapi tidak mahu nak pindah.

Kenapa Allah ﷻ sebut bumiNya luas? Kalau kita rasa sudah tidak boleh hendak buat amal ibadat, maka eloklah kita pindah ke tempat lain yang lebih sesuai. Janganlah kita terpedaya dan terikat hati kita dengan harta sampai menyebabkan tidak mahu pindah.

Janganlah kita terkenang sangat kepada kampung halaman sampai tidak mahu tinggalkannya untuk mencari kebaikan. Kadangkala tempat tinggal kita tidak kondusif untuk mengamalkan Islam dengan sempurna. Maka kenalah berpindah.

Ini penting kerana ada orang yang kalah dengan suasana sekeliling sampai tidak boleh beramal ibadat. Jangan jadikan suasana sebagai alasan tidak dapat beramal. Kalau guna alasan itu, tidak akan diterima.

Ayat ini sudah memberi isyarat kepada para sahabaat di Mekah bahawa mereka akan berhijrah ke tempat lain. Ayat ini adalah isyarat kepada kebenaran untuk hijrah ke Habashah. Kerana kalau duduk di Mekah, tidak dapat mengamalkan agama dengan bebas.

Memang tidak ada ayat jelas suruhan dari Allah ﷻ untuk berhijrah, tetapi diberikan dengan isyarat sahaja. Oleh itu, beberapa sahabat telah berhijrah ke Habashah diketuai oleh Saidina Uthman رضي الله عنه.

Jadi, kalau kita duduk dalam kawasan yang tidak mengizinkan kita mengamalkan Islam dengan sempurna, maka kita kena tinggalkan tempat itu dan cari tempat lain.

Dan kalau sudah duduk dalam kawasan orang Islam, kena hidupkan suasana Islam. Kena mulakan pengajian tafsir Al-Qur’an di tempat itu kerana umat Islam kena faham apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana kalau kita tidak dapat mengamalkan agama kerana tempat kita tinggal itu tidak membenarkan, kita akan dipersalahkan dan tidak boleh menggunakan alasan itu untuk melepaskan diri. Begitulah firman-Nya:

Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu. (An-Nisa: 97)

Bagaimana pula dengan kita sekarang yang tinggal di Malaysia ini – nak hijrah ke mana pula? Hijrah ke masjid. Kerana keburukan yang banyak terjadi itu adalah di luar rumah dan luar masjid. Maknanya, tempat yang terkawal adalah di rumah kita dan di masjid. Kalau di luar ada banyak sangat masalah, maka duduk di rumah sahaja, jangan duduk lepak di luar sangat.

Kalau di rumah pun tidak selamat dan di masjid juga tidak selamat, maka kenalah cari tempat lain pula – sepertimana juga orang Mekah kena hijrah ke Habashah dan juga ke Madinah kerana hendak menjaga agama mereka. Carilah kawasan banyak orang-orang baik yang dapat beri semangat kepada kita untuk beramal dengan sempurna.

 

إِنَّمَا يُوَفَّى الصّٰبِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Sesungguhnya akan dibalas orang-orang yang sabar dalam amal ibadat mereka tanpa hisab.

Kalau kita sabar, susah letih dalam amalkan agama itu, terutama dalam hijrah itu, akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah ﷻ.

Dan memang kalau kita hendak mengamalkan Islam dengan sebenarnya, memang akan terima tentangan dari mereka yang tidak sedia menerimanya. Allah ﷻ memberitahu kita dalam ayat ini bahawa perjuangan dalam Islam adalah berat – memerlukan kesabaran yang tinggi dan ketabahan yang tidak kurang. Tetapi kesabaran mereka itu amat berbaloi.

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadis yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Jadi kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan dari Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Tetapi balasan kesabaran tidak ada kadar dan kerana itu dibalas dengan mengalir terus balasannya tanpa kiraan. Riwayat itu dari Anas bin Malik رضي الله عنه:

“Sehingga berkeinginanlah orang-orang yang sihat-sihat sahaja di dunia kalau kiranya dulu badannya digergaji dipotong-potong, setelah mereka lihat bagaimana kelebihan dan keistimewaan yang akan diterima oleh orang-orang yang sabar menderita itu.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar ayat 1 – 2 (Tauhid dalam ibadat)

PENGENALAN

Surah Zumar ini adalah tentang bagaimanakah cara untuk mempraktikkan tauhid. Apabila kita sudah faham tauhid, maka kita perlu menjalankan ibadah kepada Allah ﷻ dengan pemahaman tauhid. Janganlah kata faham tauhid, tetapi bila membuat amalan, hanya pakai ambil dari mana-mana sahaja. Kenalah amalan itu ikut sunnah dan kena ada dalil yang sahih.

Surah ini adalah penjelasan kepada ayat إِيّاكَ نَعبُدُ dalam Surah Fatihah. Dalam Fatihah, kita telah berjanji dengan Allah ﷻ yang kita hanya sembah Dia sahaja. Namun, adakah kita amalkan dengan cara begitu dalam kehidupan kita? Mari kita lihat dalam perbincangan surah ini.

Jadi, surah ini adalah amat penting sekali untuk kita memahaminya, kerana ia menjelaskan maksud ayat إِيّاكَ نَعبُدُ yang kita baca setiap hari dalam solat kita. Kalau setiap hari kita baca ayat itu, tetapi kita tidak faham apakah yang dimaksudkan, maka itu adalah salah sama sekali.

Surah ini diturunkan di Mekah dan seperti kebanyakan surah-surah Makkiah yang lain, ia banyak memperkatakan tentang tauhid. Kadang-kadang kita ada melakukan amalan-amalan ibadat, tetapi sebenarnya kita tidak mengamalkan ajaran tauhid dalam segenap kehidupan kita. Ayat ini mengajar kita bagaimana kita sepatutnya hidup dalam tauhid. 

Dalam surah ini, ada tiga bandingan yang diberikan untuk membezakan antara ahli tauhid dan tidak. Kita kena tengok sama ada kita termasuk dalam golongan tauhid atau tidak.

Dakwa Surah ini terdapat pada ayat ke 2: Ayat itu hendak memberitahu kita – hendaklah ibadat dan seru akan Allah ﷻ sahaja dalam tauhid. Tidak boleh campur aduk dengan sembah dan seru selain Allah ﷻ kerana itu adalah syirik dan amalan tawassul yang dilarang.


 

Ayat 1: Pembukaan surah dan galakan kepada Al-Qur’an. Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi dalil bahawa Al-Qur’an ini adalah daripada Allah ﷻ.

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Turunnya Kitab Al-Qur’an ini dari Allah, Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

 

تَنْزِيلُ الْكِتٰبِ

Turunnnya Kitab Al-Qur’an ini,

Permulaan Surah Zumar ini terus mengambil jalan cerita dari surah sebelumnya, Surah Shaad. Di akhir surah itu memperingatkan kepada manusia bahawa Al-Qur’an itu adalah peringatan bagi seluruh alam.

Sekarang dalam ayat ini, diteruskan dengan memperingatkan kita bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah ﷻ. Umumnya adalah bermaksud seluruh Al-Qur’an ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini – Surah az-Zumar;

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ  ini menunjukkan bahawa penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya.

Al-Qur’an ini tidak ada campur aduk dengan kalam yang lain. Dari manakah ia datang?

 

مِنَ اللهِ

adalah daripada Allah,

Bukan daripada Nabi ﷺ, malaikat atau wali-wali, atau dari entiti lain. Hanya daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Al-Qur’an ini kepada kita, oleh itu Al-Qur’an itu bukanlah dari kata-katanya. Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah ﷻ semata-mata – menurut arahan Allah ﷻ. Manusia pun bersifat hamba. Begitu juga Malaikat.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita: dengar baik-baik, Al-Qur’an ini daripada Allah ﷻ, bukan daripada orang lain. Oleh itu, jangan kita mempermainkannya dan jangan kita buat tidak endah kepadanya. Kenalah kita belajar Al-Qur’an itu dan tafsirnya. Bukan setakat membaca sahaja, tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Sangat sedih, masyarakat kita kalau surat daripada orang lain, kawan-kawan, kerajaan, majikan, malah surat dalam bentuk iklan pun mereka akan baca. Ini kerana nilai surat ini mengikut kedudukan pengirimnya. Kalau pengirimnya orang besar, orang penting, lagi kita pentingkan, bukan?

Namun, dengan Al-Qur’an, mereka buat tidak endah sahaja. Padahal ‘surat’ Al-Qur’an itu bukan dari sesiapa melainkan Allah ﷻ. Tidakkah kita malu dengan Allah ﷻ? Sedangkan kalau surat dari kekasih kita, berkali-kali kita tenung dan baca, tetapi apabila ‘surat’ dari Allah ﷻ, kita buat biasa sahaja.

Ingatlah, Al-Qur’an itu dari Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ terangkan sifat-Nya. Ini kerana untuk mengenal Allah ﷻ , Allah ﷻ telah terangkan dalam Al-Qur’an ini satu persatu tentang siapakah Diri-Nya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri sendiri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan dirinya sendiri. Kalau orang tidak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri saya, bukan? Bagaimana pula dengan Allah ﷻ? Tentulah Allah ﷻ paling layak mengenalkan diri-Nya, sifat-Nya, kemahuan-Nya dan kebencian-Nya.

Dan Allah ﷻ memang telah terangkan siapa Diri-Nya dalam Al-Qur’an ini dan ditambah lagi dengan pemberitahuan dari Nabi-Nya Muhammad ﷺ yang paling kenal Allah ﷻ. Jadi, untuk kenal Allah ﷻ, kenalah kita dapatkan maklumat dari sumber yang sahih, bukannya kita agak-agak sendiri.

Maka, hendak kenal Allah ﷻ kenalah belajar Al-Qur’an. Bukannya belajar tarekat untuk mengenal Allah ﷻ dengan cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah ﷻ – kononnya mereka panggil ilmu Makrifat. Mereka banyak beramal dengan cara yang bidaah malah dengan cara yang syirik pun ada.

Cara amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ kerana yang mencipta cara yang mereka buat itu adalah mereka sendiri. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasawuf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia. Belajarlah Al-Qur’an dan hadis dahulu, supaya kita faham dua sumber agama yang utama, sebelum kita hendak mengambil dari sumber-sumber yang lain.

Kemudian, Allah ﷻ terangkan Sifat-sifat-Nya:

 

الْعَزِيزِ

Aziz: Maha Perkasa.

Kalau kamu hendak melawan Allah ﷻ, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadap-Nya. Dia Maha Perkasa dari segala-galanya. Kebal daripada segala ancaman musuh dan tidak terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan kita.

Allah ﷻ tidak pun akan terkesan daripada apa perkara sekalipun. Kerajaan-Nya tetap seperti biasa. Tiada siapa boleh menentang-Nya. Sama ada kita hendak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah ﷻ jadi kurang martabat-Nya.

Tidaklah Allah ﷻ seperti manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa. Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau ditentang, lemahlah dia. Jika tiada sokongan, rebahlah seseorang ketua atau pemimpin itu.

Akan tetapi, Allah ﷻ tidak begitu sifat-Nya. Walaupun seluruh makhluk menentang-Nya, kuasa Allah ﷻ tidak akan sedikit pun berkurangan. Jika  kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan pun, tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan dan kepatuhan kita. Bukan dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah ﷻ Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Al-Qur’an kerana Allah ﷻ menegaskan bahawa turunnya Al-Qur’an adalah daripada Allah ﷻ yang bersifat Al-Aziz. Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa. Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah ﷻ, tidakkah layak untuk kita patuh kepada-Nya? Ada lagikah yang lagi perkasa dari Allah ﷻ?

Disebabkan sifat-Nya yang tiada tandingan, Allah ﷻ boleh membuat apa-apa sahaja, kepada siapa-siapa sahaja, mengikut kehendak-Nya. Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang. Polis, askar mahupun ulama, semuanya takut kepada dia.

Maka disebabkan semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu. Perkara sebegini sebenarnya, tidak berlaku pada manusia. Sekuat mana pun seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah ﷻ .

Kuasa Allah ﷻ itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa mereka itu. Mereka akan tindas orang, buat sesuka hati mereka. Allah ﷻ memang Maha Perkasa, tetapi Allah ﷻ sertakan sifat kedua, iaitu:-

 

الْحَكِيمِ

Hakim: Allah Maha Bijaksana,

Allah ﷻ Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan tetapi sifat itu diimbangi dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimiliki-Nya itu.

Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah ﷻ  tetapkan, pada kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah ﷻ tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru. Allah ﷻ yang tetapkan manusia ada yang kaya dan ada yang miskin. Namun, ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah ﷻ. Ada yang ibu bapanya musyrik, tetapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah ﷻ sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkan-Nya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan yang tidak betul. Allah ﷻ mencipta manusia sebaik-baiknya untuk layak terima Al-Qur’an. Jangan kata seseorang itu bebal tidak boleh belajar maksud Al-Qur’an. Ini kerana Allah ﷻ telah jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian, dan dia pasti boleh terima pengajaran Al-Qur’an – kalau dia membuka pintu hatinya.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilan-Nya. Mengikut hukum yang Dia telah tetapkan. Siapa kufur, masuk neraka. Siapa beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum, Allah ﷻ telah tentukan. Hanya Allah ﷻ  sahaja yang boleh buat hukum. Manusia mengikut hukum, bukan membuat hukum. Hendak membuat hukum, mestilah satu entiti yang bersifat Al Hakim. Ini kerana Allah ﷻ Maha Bijaksana. Sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu hakim – yang bijaksana.

Allah ﷻ sememangnya Maha Bijaksana, sebagai contoh, Allah ﷻ akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubat. Walaupun Allah ﷻ bersifat al-Aziz – Maha Gagah Perkasa, jadi Allah ﷻ boleh buat apa sahaja, sebenarnya. Namun, Allah ﷻ tidak terus beri hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, terus mati dan sebagainya.

Tidaklah orang yang sembah patung Hindu itu jadi apa-apa, sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah ﷻ membiarkan sahaja. Supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah yang menentang Nabi ﷺ itu, mereka ramai yang selamat sahaja, tidak terus Allah ﷻ berikan azab kepada mereka walaupun mereka kata macam-macam perkara buruk tentang Nabi ﷺ. Cuma apabila mereka mati dan tidak bertaubat, maka siaplah tempat mereka di neraka.

Oleh itu, secara ringkasnya, maksud al-Hakim ada dua: [Yang Maha Bijaksana] dan [yang menetapkan hukum].

    1. Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Al-Qur’an itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Oleh itu, hendaklah kita mengikutinya. Kalau kita mengikuti ajaran dalam Al-Qur’an itu, kita adalah orang yang bijak.
    2. Dalam Al-Qur’an itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

 

Ayat 2: Ayat ini adalah Dalil Wahyi. Titah khusus kepada penerima, yang pertama sekali adalah Nabi Muhammad ﷺ. Tujuannya adalah mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadat.

إِنّا أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ فَاعبُدِ اللهَ مُخلِصًا لَّهُ الدّينَ

Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur’an ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat

 

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (Muhammad) Al-Qur’an yang mengandungi kebenaran.

Al-Qur’an mengandungi kebenaran. Oleh itu, jika kita hendak mencari kebenaran, ia ada di dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an itu diturunkan dengan tujuan yang besar – membawa kebenaran. Kebenaran tentang Allah ﷻ, tentang tauhid dan cara kita mengamalkan kehidupan kita. Bukan perkara main-main yang disebut dalam Al-Qur’an ini.

Ia juga bermaksud semua yang ada dalam Al-Qur’an ini adalah benar. Tidak ada kesalahan dari awal hingga akhir.

Ayat ini juga menolak kata-kata orang kafir yang mengatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah hasil karangan dari Nabi Muhammad ﷺ. Dari dahulu sampai sekarang ada sahaja yang mengatakan sedemikian. Kehebatan yang tertera dalam Al-Qur’an itu sendiri telah menolak kemungkinan yang ia adalah tulisan tangan manusia. Takkan manusia mampu untuk menulis satu kitab yang seperti Al-Qur’an ini – tidak masuk akal. Mereka yang berkata itu adalah kerana degil sahaja untuk menerima yang Al-Qur’an ini dari Allah ﷻ.

 

فَاعْبُدِ اللهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ

Maka oleh itu, hendaklah kamu puja, sembah Allah Dengan tulus ikhlasnya kepada Allah sahaja.

Maka, setelah kita pasti bahawa Al-Qur’an itu adalah Kalam Allah ﷻ, ia pula benar, maka hendaklah kita menyembah-Nya seperti yang telah disuruh oleh-Nya dalam Al-Qur’an itu. Hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Ibadat itu ada banyak jenis:

    • Dengan perasaan
    • Dengan anggota zahir
    • Dengan lafaz perkataan
    • Ada yang dilakukan dengan tetap duduk di satu-satu tempat (iktikaf)
    • Ada yang dilakukan dengan menahan (puasa)
    • Ada yang dilakukan dengan meninggalkan sesuatu (seperti Haji)

Apabila perkara-perkara di atas dilakukan untuk selain dari Allah ﷻ, itu adalah syirik dalam ibadah.

Perkara paling penting yang disebut dalam keseluruhan Al-Qur’an adalah tentang mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadah dan doa. Kena ingat, lafaz ‘deen’ dalam Al-Qur’an sekurang-kurangnya ada dua makna dan untuk mentafsirkan deen, kena sebut dua makna tersebut. Ia boleh membawa maksud [ibadah] dan juga [doa]. Maknanya adalah: mentauhidkan Allah ﷻ dalam segala perbuatan ibadah dan doa kita.

Oleh itu, bukan sahaja dalam ibadat, tetapi dalam berdoa pun, kita hendaklah mentauhidkan Allah ﷻ. Dalilnya seperti di dalam surah al-Fatihah, iaitu pada ayat iyyaka na’budu waiyaaka nastain; iaitu kepada Kamu kami beribadah dan kepada Kamu kami minta bantuan.

Di sini ibadah mempunyai dua tafsiran iaitu ibadah dan juga doa. Hendaklah kamu mentauhidkan ibadah kamu kepada Allah ﷻ semata-mata. Ibadah kita wajib bebas daripada syirik. Hendaklah kita sucikan ibadah dan doa kita daripada syirik. Dalam hadith, Nabi ﷺ pernah berkata bahawa ‘Doa adalah tunjang ibadah’.

Oleh itu, apa sahaja perkataan ‘ibadah’ dalam Al-Qur’an kena tafsirkan dua-dua maksud ibadah ini – doa dan ibadah dan ini adalah dakwa atau maksud surah ini. Maksud surah ini adalah hendaklah mentuluskan ibadah hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Semua ayat dalam surah ini adalah untuk mentauhidkan Allah ﷻ. SEMATA-MATA HANYA KEPADA ALLAH ﷻ. Tentang ibadah doa akan diceritakan di dalam surah yang lain iaitu dalam Surah Ghafir.

Jadi apabila kita kata solat kena tulus ikhlas, makna sebenar tulus ikhlas itu adalah tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Selain dari tidak melakukan syirik, kita juga dilarang dari buat amalan bidaah dalam solat itu. Oleh itu, dalam amalan ibadat seharian kita, kena ikut apa yang diajar agama melalui Al-Qur’an dan Sunnah.

Kita disuruh untuk mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah ﷻ. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ikhlas’?

Kita dikatakan ikhlas jikalau kita buat sesuatu ibadat itu atas kehendak sendiri tanpa perlu ada orang suruh. Kita buat ibadat itu kerana Allah ﷻ semata-mata, bukan kerana orang lain suruh. Bukan kerana kita mengharapkan bayaran dari orang lain atau bukan kerana kita buat ibadat itu kerana kita malu kepada orang lain yang tengok kita. Itulah makna ikhlas yang kita selalu faham.

Kalau buat juga, itu adalah syirik khafi (syirik tersembunyi). Ini bahaya kerana itu maksudnya buat ibadat, tetapi terkesan dengan orang. Contoh kalau dia solat sendiri, solat dia biasa sahaja, tetapi kalau ada orang yang tengok, solat dia lebih baik. Maknanya, dia terkesan dengan orang, dia hendak menunjuk solat dia bagus. Dia mengharap dipuji atau dia takut dia dikeji kalau dia buat sambil lewa sahaja. Kalau suka dipuji, ini digelar: sum’ah. Ini boleh menyebabkan amal ibadatnya tidak diterima oleh Allah ﷻ.

Namun, adakah itu sahaja maksud ‘ikhlas’? Adakah sama ikhlas kita dengan ikhlas agama lain? Mari kita bincangkan.

Ikhlas yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah ikhlas dalam hati tetapi bagaimana pula dengan ikhlas dalam perbuatan? Satu lagi konsep ikhlas adalah: melakukan sesuatu ibadat mengikut cara yang Allah ﷻ mahukan, iaitu melalui apa yang Dia ajar melalui Al-Qur’an dan Hadith.

Kita ambil contoh penyembelihan binatang. Ia adalah satu ibadat. Contohnya, kita sembelih binatang korban pada perayaan Hari Raya Haji. Namun, ada juga golongan masyarakat kita yang sembelih binatang atas suruhan tok bomoh sebab hendak memberi makan kepada jin. Ini kerana bomoh itu kata, kalau hendak sihat dari gangguan jin hantu, kena sembelih seekor kambing, contohnya.

Sembelihan itu, walaupun dibaca Bismillah semasa menyembelihnya, haram dimakan dagingnya. Ia lebih haram daripada makan daging babi kerana ia tidak ikhlas. Sembelihan itu bukan kerana Allah ﷻ tetapi kerana hendak memberi makan kepada jin, dan kerana atas suruhan bomoh.

Satu lagi contoh adalah puasa. Bukan agama Islam sahaja yang ada ibadat berpuasa, tetapi agama lain juga ada ibadat puasa. Cuma cara agama lain berpuasa berbeza daripada cara yang disyariatkan dalam Islam. Persoalannya, adakah ibadah puasa mereka diterima? Tentu tidak, kerana ikhlas mereka itu tidak mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh agama.

Selain itu, iktikaf juga adalah satu bentuk ibadat. Agama lain pun ada iktikaf juga di rumah ibadat mereka – di gereja, sinagog, kuil dan sebagainya. Adakah semua iktikaf itu  diterima oleh Allah ﷻ? Tidak sekali-kali. Hanya iktikaf yang mengikut cara yang Allah  ﷻ  syariatkan sahaja akan diterima. Begitu juga dengan ibadat-ibadat di atas tadi. Walau bagaimana ikhlas pun mereka buat ibadat mereka, tetapi kalau mereka buat tanpa mengikut syariat Islam, maka ibadat itu tidak diterima.

Kita juga selalu sebut yang Nabi ﷺ itu adalah contoh tauladan yang patut diikuti. Amal ibadat yang kita buat mesti ikut sunnah Nabi ﷺ, baru boleh ia dipanggil ‘amal soleh’. Kalau ibadat selain dari itu, tidak diterima. Jangan buat sesuatu amal ibadat kalau tiada dalil. Perbuatan yang ikhlas bukanlah satu dalil yang boleh dipakai kerana ada juga yang beri hujah: “kalau kita buat ikhlas, tentu Allah ﷻ akan terima.” Ini tidak benar, kerana Allah ﷻ bukan sahaja menetapkan kita buat kerana kita ikhlas dalam hati, tetapi kita kena ikhlas dalam perbuatan juga.

Contoh: Katakanlah kita iktikaf di masjid. Orang Kristian turut iktikaf juga, tetapi di gereja. Orang Hindu pula iktikaf di kuil dia. Agaknya ikhlas tidak perbuatan mereka itu? Tentulah mereka ikhlas melakukan ibadat mereka itu. Kalau tidak ikhlas, tentu mereka tidak akan buat. Bukan ada sesiapa upah mereka untuk buat ibadat mereka itu. Tiada siapa yang bayar.

Macam kita juga, kalau iktikaf, tidak ada siapa yang bayar. Bayangkan paderi tu, rela mereka tidak kahwin sampai bila-bila, sampai tiada zuriat dan tiada rumah, hanya tinggal di gereja itu sahaja. Kalau kita bandingkan dengan imam kita yang tinggal berdekatan masjid, mereka boleh lagi kahwin. Boleh menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Jadi kalau hendak dibandingkan tahap ikhlas, mungkin orang kafir itu lebih ikhlas daripada kita.

Sami Buddha itu pula, sanggup pakai kain dua lapis itu sahaja, jalan pula tidak pakai kasut pun. Duduk sampai mati di tempat ibadat mereka. Adakah iktikaf mereka diterima oleh Allah ﷻ ? Tentu sekali tidak diterima ibadat mereka itu sebab ibadat tersebut tidak mengikut sunnah yang dibawa Nabi ﷺ atau tidak ikut undang-undang Islam seperti apa yang Allah ﷻ hendak.

Jadi ‘ikhlas’ itu mesti mengikut sunnah. Mesti ikhlas sepertimana yang Allah ﷻ hendak. Kalau buat ibadat, tetapi tidak ikut seperti yang Nabi ﷺ suruh, maka tidak diterima. Saidina Umar رضي الله عنه pernah berkata yang mafhumnya: “kalau tidak tahu apa perbuatan Arab Jahiliyyah, belum tentu iman seseorang itu betul.” Agaknya agama apa sebenarnya Orang Arab Musyirikin itu?

Memang kita tahu mereka sembah berhala dan ilah-ilah yang lain tetapi mereka juga buat ibadat Haji kerana mereka duduk dekat dengan Kaabah. Sahabat pernah kata yang pada zaman Jahiliah, mereka wukuf juga di Muzdalifah pada musim Haji. Mereka lakukan itu pun pada 9 Zulhijah juga. Mereka juga melontar di tiga-tiga Jamrah. Tawaf pun sama sahaja dengan tawaf yang kita lakukan. Cuma mereka buat dalam keadaan bertelanjang. Mereka ada ubah dari ajaran Nabi Ibrahim  عليه السلام yang asal.

Sahabat juga kata mereka ambil wuduk dulu sebelum sembahyang. Maknanya, mereka pun wuduk dan sembahyang juga, cuma mereka sembahyang dua rakaat sahaja. Lain sikit cara sembahyang mereka. Nabi ﷺ pernah melakukan solat waktu pagi iaitu waktu Dhuha. Ini sebelum baginda menjadi Nabi. Sahabat kata mereka dulu sudah buat pun solat sunat Dhuha itu.

Mereka juga dibenarkan untuk tunaikan nazar yang mereka buat semasa zaman Jahiliyyah iaitu pernah Saidina Umar رضي الله عنه bernazar untuk melakukan iktikaf di Masjidil Haram. Maka, apabila dia sudah masuk Islam, dia bertanya kepada Nabi ﷺ adakah dia kena penuhi nazarnya itu? Nabi ﷺ katakan dia kena tunaikan. Maknanya, amalan bernazar itu sendiri sudah ada. Hukum kahwin cerai dulu pun ada juga. Cuma boleh rujuk walaupun selepas tiga kali cerai.

Jadi terdapat persamaan antara ibadat mereka dan kita. Jadi apa ugama mereka? Dalam Al-Qur’an, apabila ditanyakan kepada mereka, siapakah pencipta langit dan bumi? Mereka akan jawab: Allah ﷻ! Mereka juga tahu siapa yang beri rezeki iaitu Allah ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka.

Dan rasul mereka adalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام  tetapi mereka dipanggil kaum Musyrik sebab mereka juga sembah berhala. Mereka mempunyai ilah selain dari Allah ﷻ. Untuk memahami perkara ini, kita kena faham apakah akidah mereka sampai mereka dipanggil ‘Musyrikin Mekah’.

Selain dari itu, lafaz فَاعْبُدِ juga menyuruh kita untuk ‘menghambakan’ diri hanya kepada Allah ﷻ. Selalunya disebut ‘ubudiyyah’. Kehidupan kita mestilah untuk menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan kita buat ibadat tidak tinggal kepada Allah ﷻ, tetapi dalam perkara lain kita tidak ikut – sebagai contoh, berbuat zalim kepada orang lain, bercakap baik kepada orang lain dan sebagainya.

Perkataan الدِّينَ itu juga bermaksud ‘cara hidup’. Allah ﷻ telah memberi banyak suruhan dalam Al-Qur’an dan melalui ajaran Nabi-Nya Muhammad ﷺ. Pengajaran itu bukan hanya dalam ibadat seperti Solat, Puasa dan Haji sahaja, tetapi dalam segenap kehidupan kita. Adakah kita hanya ikut suruhan Allah ﷻ dalam ibadat khusus sahaja namun, tidak mengikut Allah ﷻ dalam perkara lain?

Oleh kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ada orang yang tidak tinggal sembahyang, tetapi mereka tidak ada masalah untuk memakan harta riba.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani