Tafsir Surah Zumar Ayat 41 – 43 (Nabi tiada kuasa tentukan syafaat)

Ayat 41: Dalil Wahyi – Titah Khas dari Allah ‎ﷻ.

إِنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ لِلنّاسِ بِالحَقِّ ۖ فَمَنِ اهتَدىٰ فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّما يَضِلُّ عَلَيها ۖ وَما أَنتَ عَلَيهِم بِوَكيلٍ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal menurutnya), maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (tidak berpandu kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri; dan engkau (wahai Muhammad – hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai (keadaan dan bawaan) mereka.

إِنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتٰبَ لِلنَّاسِ بِالْحَقِّ

Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan Kitab (Al-Qur’an) kepada kamu (Muhammad) kepada semua manusia untuk menunjukkan kebenaran.

Allah ﷻ ingatkan sekali lagi yang Dialah yang menurunkan Al-Qur’an ini. Dalam Al-Qur’an itu ada kebenaran kepada siapa yang ingin mencari kebenaran. Tentang apakah yang perlu diamalkan dan apakah yang perlu ditinggalkan.

Dan kandungan kitab ini semuanya benar. Perkataan بِالْحَقِّ bermaksud, Al-Qur’an itu diturunkan dengan tujuan. Bukan turunnya suka-suka sahaja.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada seluruh manusia, bukan hanya untuk baginda sahaja. Inilah Dalil Wahyi dari Allah ‎ﷻ, sebagai satu perintah kepada Nabi ﷺ untuk sampaikan. Dan kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ sampaikan kepada umatnya.

Inilah yang menyebabkan Musyrikin Mekah marah benar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kalau baginda amalkan sendiri sahaja, mereka pun tidaklah hairan sangat, tetapi mereka marah kerana Nabi ﷺ sampaikan kepada orang lain. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ memang kena sampaikan seperti yang tertulis dalam ayat ini, kerana itu adalah tugas baginda.

Dan dari ayat ini juga, kita tahu bahawa Al-Qur’an ini untuk seluruh manusia, bukan kepada orang dan bangsa tertentu sahaja. Maka, kita yang sedang memikul tugas dakwah Nabi Muhammad ﷺ juga kenalah berusaha untuk menyampaikan kepada manusia seluruhnya. Adakah kita sudah menjalankan tugas kita itu?

فَمَنِ اهْتَدَىٰ فَلِنَفْسِهِ

Sesiapa yang terpimpin mendapat hidayat, maka milik dialah hidayat itu.

Sesiapa yang mendapat dan menerima hidayah itu, kebaikan itu untuk dirinya sendiri sahaja. Tidak boleh dia hendak beri hidayah itu kepada orang lain. Tidak boleh dia hendak berikan keimanan kepada sesiapa sahaja, walaupun kepada anak isterinya sendiri. Jadi anak ulama’ dan anak ustaz belum tentu selamat. Anak Nabi pun ada yang tidak selamat, apatah lagi kalau anak manusia biasa.

وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا

Sesiapa yang sesat, maka sesat itu hanyalah untuk diri dia sendiri.

Sesiapa yang degil dan memilih jalan kesesatan, dia sendiri yang menanggung kesesatan itu.

Tidak boleh memberi kesesatan itu kepada sesiapa termasuk anaknya sendiri. Anaknya tidak boleh menanggung kesesatan yang telah dilakukan itu. Anaknya juga tidak boleh menanggung dosa seorang ayah yang dalam kesesatan itu. Kena tanggung sendiri-sendiri.

Walau bagaimanapun, seorang ayah boleh mengajar kesesatan itu kepada anaknya. Sebab anak-anaknya akan melihat apakah yang ayahnya lakukan. Anaknya mungkin merasakan bahawa itu adalah perbuatan yang benar dan tidak salah kerana ayah dia sendiri yang buat. Maka, apabila dia dewasa, dia mungkin akan mengamalkan apa yang ayahnya amalkan jikalau dia sendiri tidak belajar agama dengan betul.

Contohnya, kalau kalau seorang ayah itu mengamalkan ‘perasap keris keramat’ pada malam Jumaat dan amalan-amalan syirik yang lain, anaknya mungkin akan membuatnya juga. Tetapi tidak semestinya anaknya akan pasti mengikutinya sebab kita boleh lihat bagaimana ramai orang yang sesat, namun anak mereka tidaklah sesat pula.

Begitu jugalah kebanyakan dari masyarakat Islam kita sekarang, ramai yang mengikut amalan ibubapa dan tok nenek mereka. Sebagai contoh, ramai yang mengamalkan Majlis Tahlil dan Doa Selamat dan selalunya, majlis itu dimulakan oleh tekong dengan bacaan: “ila hadratin nabi…” Itu adalah lafaz tawassul yang salah dan tidak boleh diamalkan. Namun begitu ia banyak sekali diamalkan oleh mereka yang tidak belajar apakah tauhid dan apakah bidaah.

وَمَا أَنْتَ عَلَيْهِمْ بِوَكِيلٍ

Tidaklah engkau menjadi wakil ke atas mereka.

Maksud ‘wakil’ adalah ‘bertanggungjawab’. Nabi Muhammad ﷺ tidak bertanggungjawab ke atas akidah dan amalan umat baginda. Tugas Nabi Muhammad  ﷺ hanya untuk memberitahu sahaja ajaran tauhid itu kepada umatnya. Tetapi Nabi ﷺ tidak boleh memaksa mereka untuk beriman dengan akidah tauhid. Nabi tidak bersalah kalau mereka tidak ikut.

Nabi ﷺ juga tidak boleh menyekat mereka daripada membuat amalan yang salah. Sebagai contoh, walaupun baginda sayangkan bapa saudaranya Abu Talib tetapi baginda tidak boleh membantu bapa saudaranya itu untuk beriman. Ini amat mengecewakan Nabi ﷺ tetapi baginda tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Begitu juga dengan kita, cuma boleh memberikan nasihat sahaja kepada manusia yang kita dakwah. Kita tidak ditanya sama ada mereka terima ataupun tidak. Pahala dakwah sudah diberikan kepada kita, apabila kita dakwah kepada mereka. Pahala bukan hanya diberi kalau mereka ikut, kerana sama ada mereka ikut ataupun tidak, itu bukan dalam kuasa kita.

Yang boleh beri hidayah hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Nabi ﷺ pun diberitahu tentang hal ini. Kerana baginda sendiri pun tidak boleh memberikan hidayah kepada sesiapa pun. Baginda pun hanya boleh menyampaikan sahaja.

Habis Ruku’ ke 4 dari 8 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 42: Ayat 42 – 52 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menceritakan sikap golongan musyrikin. Mereka mengambil selain Allah ﷻ sebagai pemberi syafaat. Oleh kerana mereka itu musyrik, hati mereka jadi liar tidak keruan bila mendengar nama Allah ﷻ. Mereka menyeru dan ingat Allah ﷻ ketika terdesak tetapi sombong bila diberi nikmat kesenangan.

Ayat 42 ini adalah Dalil Aqli. Ia berkenaan tidur kita. Dan setiap hari kita tidur, dan Allah ‎ﷻ suruh kita mengambil pengajaran dari tidur itu untuk kenal akhirat.

اللَهُ يَتَوَفَّى الأَنفُسَ حينَ مَوتِها وَالَّتي لَم تَمُت في مَنامِها ۖ فَيُمسِكُ الَّتي قَضىٰ عَلَيهَا المَوتَ وَيُرسِلُ الأُخرىٰ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Allah mengambil satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

اللَهُ يَتَوَفَّى الْأَنْفُسَ حِينَ مَوْتِهَا

Allah yang mengambil jiwa-jiwa ketika matinya seseorang itu.

Sekarang Allah ‎ﷻ bercerita tentang roh pula. Allah  ‎ﷻ memberikan isyarat dalam ayat ini yang roh-roh manusia itu di dalam tangan-Nya, di dalam urusan-Nya. Dia boleh beri dan ambil mana-mana roh yang Dia kehendaki.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan الْأَنْفُسَ dan bukan nufuus. Kerana nufuss bermakna lagi banyak (super plural). Kalau nufuss digunakan, bermakna setiap hari akan ramai lagi manusia yang akan mati.

Perkataan نْفُسَ bermaksud ‘nafas’. Jasad kita bernafas, dan roh kita bernafas dengan caranya. Itu isyarat kepada hidup.

Ayat ini bercerita pasal roh. Roh kita ada dua jenis: satu adalah roh yang diberi balasan nikmat atau azab kepadanya di akhirat nanti. Itu adalah roh yang mempunyai akal. Ia ada juga dinamakan Roh Natiqah.

Untuk lebih faham, bayangkan roh itu sebagai memory chip. Yang penting di dalam komputer itu adalah memory chip itu. Di dalamnya tersimpan segala maklumat tentang komputer itu. Kalau memory chip itu tiada, maka komputer itu tidak berfungsi. Samalah dengan roh yang mempunyai akal ini.

Apabila badan sudah rosak nanti, badan akan dibuang dan roh kita sekarang ini akan diletakkan dalam badan yang baru. Apabila kita dibangkitkan di akhirat kelak, kita bukan dibangkitkan dalam tubuh kita sekarang, tetapi kita akan diberikan tubuh yang baru – yang mampu untuk menerima azab neraka atau menerima nikmat di syurga. Kerana hebat sekali azab di neraka dan nikmat di syurga itu, sampaikan badan kita yang di dunia ini tidak akan mampu menerimanya.

Roh yang satu lagi, ialah yang menjaga badan kita, yang meneruskan tubuh kita hidup dan bernyawa – dinamakan Roh Hayat. Apabila kita tidur, roh yang berakal itu akan keluar, jalan merata-rata. Itulah yang terjadi semasa kita bermimpi. Sebab itu dalam mimpi kita, macam-macam tempat kita pergi.

Tetapi roh yang satu lagi tinggal di badan kita. Kalau tiada roh itu, badan kita akan rosak dan busuk. Itulah yang terjadi apabila kita mati nanti. Dua-dua jenis roh itu akan keluar dan badan kita tidak berfungsi lagi dan badan kita akan menjadi mayat. Ringkasnya, apabila seseorang itu ditakdirkan sudah sampai ajalnya, sudah ditakdirkan dia mati, kedua-dua jenis roh itu akan diangkat oleh Allah ‎ﷻ.

Satu lagi pendapat: oleh kerana kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah يَتَوَفَّى, dari segi bahasa ia bermaksud ‘menarik semua sekali’. Oleh itu, satu pendapat yang dinisbahkan kepada Saidina Ali رضي الله عنه, beliau berkata semua roh manusia diangkat, tetapi ada ‘talian’ antara roh itu dan badan itu dan kerana itulah badan itu masih hidup lagi. Allahu a’lam. Kerana ia adalah hal tentang roh jadi kita tidak ada maklumat tepat berkenaannya. Kita bukan boleh periksa roh dalam banda kita pun.

وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا

Dan roh yang belum mati, semasa dalam tidurnya.

Kalau orang itu tidur, Roh Akal sahaja yang diangkat, Roh Hayat dibiarkan di badan. Bermakna, dalam tidur pun Allah ‎ﷻ akan mencabut juga roh orang itu, tetapi hanya roh yang berakal sahaja. Ini terjadi apabila setiap hari kita tidur, ataupun ketika seseorang itu dalam keadaan koma.

Sebab itulah kita boleh dapat mimpi, kerana roh kita telah pergi ke merata tempat. Itulah sebabnya ada antara kita yang boleh dapat ‘mimpi yang benar’, kerana roh itu dibawa ke tempat yang baik.

Kejadian ini berlaku setiap hari kepada setiap orang. Kerana setiap orang dan setiap hari akan ada orang yang tidur. Jadi kita semua ada peluang untuk memikirkan perkara ini setiap hari. Allah ‎ﷻ memberikan pengajaran ini kepada kita setiap hari. Tetapi selalunya kita tidur biasa sahaja dan tidak fikirkan pun hal ini, bukan?

Maka eloklah kita mula berfikir tentang perkara ini. Supaya kita dapat ingat tentang mati setiap hari sekurang-kurangnya semasa hendak tidur dan semasa bangun tidur.

فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ

Dia akan memegang roh yang Dia telah tetapkan mati ke atasnya.

Apabila seseorang itu tidur, Allah ‎ﷻ mengangkat Roh Akal itu dan apabila sudah sampai masa untuk jaga dari tidur, roh akal itu akan dikembalikan. Tetapi, apabila sudah ditakdirkan dia akan mati, Allah ‎ﷻ akan menahan roh orang itu dari dikembalikan ke dalam tubuh orang itu dan Dia akan tarik juga roh yang menjaga tubuh manusia itu.

Sebab itu ada juga ada orang yang mati semasa tidur. Setiap malam, malaikat akan bertanya kepada Allah ‎ﷻ adakah roh itu akan dipulangkan balik ke jasad manusia itu atau tidak. Kalau Allah ‎ﷻ suruh tahan, maka orang itu akan mati. Ia berlaku setiap malam kepada kita.

Sebab itu ada doa yang dibacakan apabila kita bangun dari tidur.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya : “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami kembali setelah mematikan kami dan kepada-Nya (kami) akan dibangkitkan.”

Kita berterima kasih kerana Allah ‎ﷻ kerana telah mengembalikan roh kita kembali. Kerana kalau tidak pulangkan, kita akan mati. Lihatlah bagaimana dalam doa itu, kita sebut kita telah ‘mati’ sebelum kita bangun dari tidur itu. Itu dinamakan ‘Kematian Kecil’.

Ada doa sebelum tidur yang disebut di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim disebutkan melalui hadis Ubaidillah ibnu Umar, dari Sa’id ibnu Abu Sa’id, dari ayahnya, dari Abu Hurairah رضي الله عنه yang telah mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فلْينْفُضْه بِدَاخِلَةِ إِزَارِهِ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي مَا خَلَفَهُ عَلَيْهِ، ثُمَّ لِيَقُلْ: بِاسْمِكَ رَبِّي وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ”

Apabila seseorang di antara kalian menempati peraduannya, hendaklah terlebih dahulu menyapu tempat tidurnya dengan bahagian dalam kainnya, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui kotoran apa yang telah ditinggalkannya pada peraduannya itu. Kemudian hendaklah dia mengucapkan doa, “Dengan menyebut nama Engkau, ya Tuhanku, aku letakkan lambungku dan dengan menyebut nama Engkau aku mengangkat (membangunkan)nyaJika Engkau memegang jiwaku, maka kasihanilah dia; dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah dia sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.

وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

Dan Dia akan melepaskan jiwa yang lain itu hingga sampai waktu yang ditetapkan.

Dan kepada mereka yang tidak ditakdirkan mati semasa tidur malam itu, Allah ‎ﷻ akan mengembalikan roh itu supaya orang itu meneruskan kehidupannya. Tetapi tidak terus, ia hanya sehingga sampai qadha Tuhan bahawa orang itu akan mati. Itulah maksudnya ajal orang itu sudah habis.

Dari ayat ini, dapatlah kita tahu bahawa setiap malam apabila kita tidur, kita sebenarnya ‘mati’. Memang mati benar-benar, bukan main-main. Inilah ‘mati sebelum mati yang penamat’. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa begitulah nanti mudahnya Allah ‎ﷻ mematikan kita nanti. Dari jaga, tiba-tiba sudah mati.

Dari sedar di katil, tiba-tiba sudah sedar di tempat yang lain. Jadi, orang yang pandai, akan mengambil iktibar ini untuk mengingati mati yang  pasti akan datang, di mana dia tidak akan pulang balik ke dunia dan alam nyata. Maka, beringatlah dan bersedialah untuk mati itu. Kerana apabila sudah mati, amal sudah tidak ada, kesalahan tidak dapat diperbetulkan, taubat sudah tidak diterima lagi.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Itu adalah tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Mereka yang faham tentang ayat ini akan memikirkan sama ada malam itu adalah malam terakhir untuk diri kita. Adakah Allah ‎ﷻ akan pulangkan kembali roh kita? Sudahkah cukup amalan kita?

Sesiapa yang berfikir, mereka akan memikirkan tentang perkara ini setiap malam. Mereka akan memikirkan sama ada mereka telah cukup amalan mereka. Kerana kalau mati, roh tidak kembali lagi ke dalam tubuh kita dan pergi untuk selama-lamanya. Dan semoga kita bersedia buat persiapan untuk mati.


 

Ayat 43: Ayat Zajrun berkenaan syafaat. Ini adalah ayat ancaman. Berkenaan kesalahan mereka yang selalu minta syafaat kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu masalah yang besar dalam negara kita. Iaitu tentang syafaat dan ini adalah kerana salah faham tentang syafaat.

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ شُفَعاءَ ۚ قُل أَوَلَو كانوا لا يَملِكونَ شَيئًا وَلا يَعقِلونَ

Patutkah mereka mengambil yang lain dari Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain dari Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mempunyai apa-apa, dan tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?”

 

أَمِ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللهِ شُفَعَاءَ

Patutkah mereka mengambil selain dari Allah sebagai pemberi syafaat?

Musyrikin Mekah telah ditegur kerana mereka puja roh-roh yang tidak ada kuasa, tidak dapat membantu apa-apa dan tidak boleh beri mudharat. Maka bila ditegur begitu, mereka pun menukar cerita. Musyrikin Mekah berkata mereka bukan puja selain Allah ‎ﷻ sebagai tuhan. Mereka cuma ambil mereka sebagai pemberi syafaat sahaja.

Mereka berkata mereka tahu yang roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada kuasa, jadi mereka sebagai pemberi syafaat sahaja. Itu adalah dalihan mereka.

Kebanyakan orang sekarang pun seperti itu juga. Banyak manusia yang rasa selamat kerana mereka berasa mereka akan diselamatkan oleh pemberi-pemberi syafaat. Mereka sangka sembahan-sembahan mereka akan datang pada Hari Kiamat dan membantu mereka berurusan dengan Tuhan bagi pihak mereka.

Antaranya, orang Buddha sangka Gautama Buddha itu sendiri akan datang menolong mereka dan berhujah dengan Allah ‎ﷻ bagi pihak mereka. Begitu juga dengan agama-agama yang lain. Tetapi bagaimana pula dengan masyarakat Islam kita?

Masyarakat kita pula, sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat kepada mereka kerana mereka selalu bertawassul dengan baginda, mereka selalu selawat kepada baginda beribu kali dalam sehari, termasuklah mereka telah ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ tanpa sedar (mereka sangka mereka memuji, tetapi apabila ia sudah berlebihan, itu sudah sampai kepada tahap ‘memuja’). Ada pula yang reka amalan, sedekah Fatihah kepada baginda. Tidak tahu datang dari mana amalan sesat ini.

Mereka sangka mereka buat perkara yang baik, namun sebaliknya ia adalah perkara yang buruk sekali. Mereka sangka, apabila mereka membaca selawat yang direka oleh manusia (seperti Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyyah) itu, mereka akan selamat.

Mereka sangka, dengan mereka sambut Maulidur Rasul setiap tahun itu akan menyebabkan mereka selamat kerana mereka sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan suka dengan perbuatan mereka itu dan sebagai balasan, memberi syafaat kepada mereka.

Tidak, kerana perbuatan mereka itu adalah perbuatan bidaah. Dan lebih malang lagi, Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu mengadungi elemen syirik di dalamnya. Kalau ada amalkan, berhentilah dan jangan beri alasan lagi.

قُلْ أَوَلَوْ كَانُوا لَا يَمْلِكُونَ شَيْئًا وَلَا يَعْقِلُونَ

Katakan kepada mereka: padahal mereka tidak memiliki kekuasaan apapun dan tidak faham apa-apapun?

Mereka yang meminta syafaat kepada selain Allah ‎ﷻ itu menyangka yang ilah yang mereka puja dan sembah itu mempunyai kuasa untuk menolong mereka. Contohnya Hindu yang menyembah berhala. Mereka sangkakan berhala itu boleh memberikan syafaat (pertolongan) kepada mereka.

Ini adalah pemahaman yang bahaya. Kerana dengan salah faham ini, mereka yang melakukan syirik dan dosa itu berani berbuat dosa sebab mereka merasakan ada yang akan memberikan syafaat kepada mereka dan menyelamatkan mereka.

Ini sebenarnya menanam fahaman yang boleh menjuruskan kepada derhaka. Mereka seolah-olah tidak takut dan mengambil mudah sahaja dengan hukum Allah ‎ﷻ. Seperti orang kaya yang berani bawa kereta dengan laju, kerana mereka tahu yang mereka ada wang untuk membayar saman, atau mereka ada orang yang mereka kenal di balai polis atau mahkamah yang akan menyelamatkan mereka dari memasuki lokap atau dikenakan saman naik mahkamah.

Selain dari jenis berhala, orang-orang musyrik itu juga meminta syafaat dari entiti yang hidup. Tetapi patutkah kita melakukan sedemikian, padahal roh-roh itu tidak memiliki kuasa apa pun dan tidak memahami apa-apa melainkan apa yang diberitahu oleh Allah ‎ﷻ. Contohnya, Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Semasa Nabi ﷺ hidup, adakah Nabi ﷺ mempunyai kuasa sendiri? Adakah Nabi ﷺ tahu selain dari apa yang diajar oleh Allah ‎ﷻ?

Kalau semasa mereka hidup pun, usaha mereka terhad kerana keterbatasan yang ada pada mereka, apatah lagi kalau mereka sudah mati? Tentu mereka lebih lagi tidak dapat memberikan pertolongan, kerana mereka bukan lagi di alam ini lagi.

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita dalam ayat ini, selain dari Allah ‎ﷻ, tiada sesiapa pun yang mempunyai kuasa untuk memberikan syafaat kerana mereka yang diminta itu pun tidak ada kuasa. Dan mereka tidak tahu menahu pun yang kita ada meminta syafaat kepada mereka kerana mereka di alam yang lain. Mereka yang sibuk meminta syafaat itu hanyalah membuang masa sahaja kerana mereka seumpama bertepuk sebelah tangan sahaja.

Kita kena faham apakah tugas pemberi syafaat itu. Mari kita buat perbandingan tentang Malaikat Maut. Kita tahu bahawa dialah yang ditugaskan oleh Allah ‎ﷻ untuk mengambil nyawa. Tetapi adakah kita bermohon untuk dipanjangkan umur dengan Malaikat Maut?

Tentulah tidak, sebab kita tahu bahawa dia bukanlah bertanggungjawab menentukan siapakah yang panjang umur ataupun tidak; begitu juga, kita tahu bahawa Malaikat Mikail ditugaskan menurunkan rezeki. Tetapi adakah kita memohon rezeki kepadanya? Tentu tidak kerana kita tahu Allah ‎ﷻlah yang menentukan rezeki.

Maka begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Baginda ditugaskan untuk memberi syafaat. Tetapi bukanlah baginda yang menentukan siapakah yang layak menerima syafaat ataupun tidak. Baginda hanya ‘menyampaikan’ syafaat kepada mereka yang telah ditentukan layak menerima syafaat. Baginda diberikan tugas menyampaikan syafaat sebagai penghormatan kepada baginda.

Sebagai contoh, katakanlah Pejabat Tanah sesebuah daerah memberikan tanah kepada penduduk satu kampung. Dalam majlis pemberian geran tanah itu, Pejabat Tanah menjemput DO (District Officer — Pegawai Daerah) untuk memberikan geran tanah itu. Tetapi, adakah tuan DO itu yang menentukan siapa yang mendapat geran tanah itu?

Tentu bukan, beliau hanya menyampaikan sahaja geran tanah itu sebagai penghormatan kepada beliau sebagai DO kawasan itu. Begitu jugalah dengan Nabi Muhammad  ﷺ – baginda memang menyampaikan syafaat, tetapi pemberian syafaat itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ sendiri, bukan Nabi Muhammad ﷺ. Maka, kenapa minta kepada baginda?

Bukan sahaja roh-roh itu tidak ada kuasa memberikan syafaat, mereka وَلَا يَعْقِلُونَ tidak tahu menahu seruan orang yang menyeru kepada mereka. Kerana mereka duduk di alam yang lain: alam barzakh. Mereka yang menyeru itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 32 – 36 (Menakutkan orang lain dengan sembahan mereka)

Ayat 32: Zajrun.

۞ فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَبَ عَلَى اللهِ وَكَذَّبَ بِالصِّدقِ إِذ جاءَهُ ۚ أَلَيسَ في جَهَنَّمَ مَثوًى لِّلكٰفِرينَ

Sahih International

So who is more unjust than one who lies about Allah and denies the truth when it has come to him? Is there not in Hell a residence for the disbelievers?

Malay

Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?

 

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَذَبَ عَلَى اللهِ

Siapakah yang lebih zalim dari seorang yang yang mengada-ngadakan bohongan terhadap Allah?

Apakah yang dimaksudkan dengan makna أَظْلَمُ?: Maksudnya, paling zalim. Tidak ada yang lagi zalim dari orang itu. Jadi ini bukan perkara yang ringan kerana Allah ‎ﷻ berkata mereka itu ‘zalim’. Siapakah jenis orang yang dimaksudkan?

Ia adalah tentang orang yang berdusta atas nama Allah ‎ﷻ. Ada yang mengajar tentang tawassul dalam berdoa, iaitu menyeru roh-roh Nabi, wali dan malaikat dalam doa mereka, kemudian mereka kata ia ada dalam agama. Padahal tawassul sebegitu tidak ada dalam agama.

Orang yang tidak belajar dengan mereka, kebanyakan mereka mengikut sahaja kata-kata guru yang mengatakan tawassul sebegitu ada dalam agama. Sebab itu mereka tidak tinggalkan. Kerana mereka sangka ia sebahagian dari agama. Sedangkan ia adalah bohongan atas nama Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ berkata tidak ada yang lebih zalim daripada mereka yang sebegitu. Ini sama seperti Musyrikin Mekah berkata malaikat-malaikat itu adalah anak perempuan Allah ‎ﷻ; mereka kata ada lagi ilah-ilah lain selain Allah ‎ﷻ, bukan Allah ‎ﷻ seorang sahaja. Maka kerana itu mereka bertawassul dengan para malaikat itu.

Begitu juga dengan mereka yang reka dan mengajar amalan bidaah. Sebab mereka kata Allah ‎ﷻ hendak berikan pahala atas sesuatu ibadat, tetapi tidak pun pernah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ atau Nabi ﷺ. Mereka sahaja yang pandai-pandai cakap. Contohnya, masyarakat Islam di nusantara ini amat suka mengadakan Majlis Tahlil. Mereka kata ia adalah baik dari segi agama.

Mereka kata itu adalah amalan dalam agama Islam padahal ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ dan sahabat. Namun mereka melakukannya juga tanpa dibawakan dalil yang sah. Sepatutnya perbuatan itu adalah haram dilakukan kerana tidak pernah dibuat oleh Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم, tetapi mereka mengatakannya adalah sunat pula.

Satu lagi perkara dusta yang mereka selalu katakan adalah tentang ‘berkat’. Mereka kata boleh mengambil berkat dari Nabi ﷺ. Mereka juga kata boleh ambil berkat dengan tok guru, dengan orang yang baru balik dari Mekah dan macam-macam lagi. Semua itu adalah kerana mereka keliru dengan hal ‘berkat’. Hal berkat ini ada disebutkan dalam Surah al-Mulk.

Kalau berdusta sesama kita pun, kita sudah marah. Contohnya kita kata si A cakap begini, begitu, tetapi A tidak pernah cakap begitu pun. Kalau A dapat tahu kita mengatakan sesuatu yang dia tidak pernah cakap pun dia akan marah. Orang kafir sendiri pun tidak suka kalau mereka berdusta sesama sendiri. Inikan pula berdusta kepada Tuhan sendiri.

Maksud berdusta di sini adalah ‘berdusta atas nama Allah ‎ﷻ’. Antaranya mereka berkata sesuatu itu dari Al-Qur’an padahal bukan dari Al-Qur’an. Atau mereka berkata perkara sunat sebagai wajib. Atau mereka berkata satu-satu amalan itu boleh dapat pahala tetapi Allah ‎ﷻ atau Nabi ﷺ tidak pernah cakap pun.

Atau mereka mencipta selawat yang tidak pernah diajar dalam Sunnah. Atau mereka mengamalkan amalan yang tidak ada dalil. Apabila kita tegur dan kata tidak boleh membuat perkara itu, mereka kata tidak pernah pula Nabi ﷺ larang. Padahal sepatutnya, kalau mahu membuat sebarang amalan, mestilah ada dalil dari Al-Qur’an atau hadis.

Itu bermakna, mereka yang bercakap begitu tidak faham tentang hukum sesuatu amalan itu. Mereka juga kata tentulah Allah ‎ﷻ akan berikan pahala kerana mereka buat amalan itu ‘ikhlas’. Ini bermakna, mereka tidak faham apakah maksud ‘ikhlas itu.

Banyak amalan yang selalu diamalkan oleh masyarakat kita sebenarnya bukan dari agama. Sebagai contoh, selepas iqamah tidak ada doa. Yang ada hanyalah doa selepas azan. Tetapi tidak ada dalil yang sahih mengatakan ada doa selepas iqamah. Kalau ada yang kata ada doa selepas iqamah, maka mereka telah ‘berdusta’. Kalau ada imam yang membaca doa selepas iqamah, maka kita boleh tahu bahawa mereka jahil tentang hadis.

Amat malang sekali apabila sesuatu amalan yang bukan dari agama itu dibuat atau dipelopori oleh mereka yang dianggap oleh masyarakat sebagai ‘ahli agama’. Mereka itulah imam, ustaz, tok bilal dan tok siak masjid. Maka, apabila mereka membuat amalan tersebut, masyarakat yang jahil sangka itulah agama. Padahal, ia bukan dari agama.

Selepas iqamah juga tidak ada bacaan apa-apapun sampailah takbir imam. Tetapi ada yang membaca doa-doa tertentu, baca surah an-Nas dan sebagainya. Itu semua tidak ada ajaran dari Nabi ﷺ ‎dan para sahabat. Berhentilah dari buat sebegitu lagi. Janganlah kita buat amalan yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Jangan kita sangka yang baca doa itu baik, maka baik untuk baca doa atau ayat Al-Qur’an di situ. Sesuatu amalan itu perlu dilakukan sesuatu dengan keadaan dan tempat, bukan pakai buat sahaja.

Selain itu, ada juga wirid-wirid atau zikir yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ yang diamalkan oleh ramai orang dalam masyarakat kita. Mereka mengatakan kalau mengamalkan zikir-zikir itu dapat pahala, padahal zikir-zikir itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Ini adalah amat bahaya kerana ada wirid-wirid itu yang salah dan menyebabkan boleh terjadi syirik kalau diamalkan.

Antara zikir yang biasa kita dengar dibaca adalah: “La ilaha illallah, Muhammadur Rasululllah”. Itu selalu sangat kita dengar. Tetapi ia adalah salah kerana tidak boleh kita berzikir kepada Nabi ﷺ *bersama* dengan Allah ‎ﷻ. Amalan zikir hanya boleh dilakukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Tetapi dalam zikir yang kita sebut ini, ia adalah zikir kepada Allah ‎ﷻ *dan* kepada Nabi Muhammad ﷺ juga. Itu adalah satu kesalahan kerana tidak boleh berzikir kepada Nabi ﷺ.

وَكَذَّبَ بِالصِّدْقِ إِذْ جَاءَهُ

dan berdusta tentang kebenaran, tatkala didatangkan kepada mereka.

Mungkin mereka yang mengamalkan amalan yang salah seperti tawassul itu adalah kerana mereka jahil dalam agama. Mereka pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak berguru dengan guru dan ustaz yang sunnah. Maka kerana itu mereka senang ditipu oleh syaitan. Namun apabila ada yang menegur mereka, mereka tidak mahu menerima kebenaran apabila disampaikan kepada mereka, sebab tidak sama dengan amalan-amalan mereka yang selama ini mereka lakukan.

Kebenaran yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: Al-Qur’an. Apabila maksud ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka tidak terima ia sebagai kebenaran. Mereka berkata ajaran Al-Qur’an yang kita bawa ini bukan ajaran sebenar. Mereka berkata kita salah tafsir pula. Padahal mereka yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an secara benar. Tetapi oleh sebab tidak sama dengan pemahaman mereka, maka mereka kata kita yang salah tafsir pula.

Walaupun kita sudah membawakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai dalil dan mereka pun tahu Al-Qur’an itu adalah kebenaran dari Allah ‎ﷻ, mereka masih tidak mahu terima. Ini adalah satu kesalahan yang amat-amat berat. Tidak sama kalau kita menidakkan kata manusia dengan kita menidakkan kata Allah ‎ﷻ. Dengan kita menidakkan Al-Qur’an, kita telah menidakkan Allah ‎ﷻ. Dan mereka yang buat begini selalunya adalah orang kafir sahaja.

 

أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْكٰفِرِينَ

Tidakkah neraka jahanam itu tempat tinggal yang sesuai kepada orang kafir seperti ini?

Dalam ayat ini, kita boleh lihat bahawa Allah ‎ﷻ mengatakan orang-orang sebegini adalah orang-orang ‘kafir’. Bukan kita yang cakap, tetapi Allah ‎ﷻ sendiri yang berkata sedemikian.

Perkataan مَثْوًى adalah bermaksud ‘generasi demi generasi’ yang akan duduk dalam neraka jahannam itu. Mereka akan tinggal beramai-ramai di dalamnya. Maknanya, tinggal lama sungguh dalam neraka itu.

Perkara yang tidak ada dalam ajaran Islam tetapi diada-adakan, dinamakan bidaah. Membuat amalan yang baru itu sudah seperti menggantikan kerja Nabi ﷺ. Sebab Nabi ﷺlah yang memberitahu kita apakah ibadah yang boleh dilakukan. Bila kita kata sesuatu ibadah itu adalah syariah, maknanya kita sudah mengambil alih kerja Allah ‎ﷻ dan kerja Nabi ﷺ.

Itu adalah satu kesalahan yang amat berat. Dan tempat untuk mereka yang sebegini adalah di neraka jahannam. Maka, berhati-hatilah dengan amalan yang kita buat.

Begitu juga, kalau kita tidak reka, kita janganlah pula amalkan amalan-amalan itu. Jangan kita panjangkan lagi amalan itu. Cukuplah sudah orang dahulu sebelum kita amalkan, jangan kita pula mengamalkannya.


 

Ayat 33: Ayat ini pula tentang orang yang berlawanan dengan orang yang disebut dalam ayat sebelum ini. Ayat ini ditujukan kepada orang yang sebar agama, sebagai pujukan dan syabas kepada mereka, di mana mereka dijanjikan akan mendapat pahala yang berterusan.

وَالَّذي جاءَ بِالصِّدقِ وَصَدَّقَ بِهِ ۙ أُولٰئِكَ هُمُ المُتَّقونَ

Sahih International

And the one who has brought the truth and [they who] believed in it – those are the righteous.

Malay

Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran (tauhid dan hukum agama) serta ia (dan pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum itu), mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.

 

وَالَّذِي جَاءَ بِالصِّدْقِ

Dan yang datang dengan kebenaran

Iaitu mereka datang dengan bawa ajaran wahyu, Kalimah la ilaaha illallah, mereka menyampaikan ajaran apakah yang hendak disampaikan oleh wahyu itu. Yang pertama sekali adalah para Nabi عليهم السلام kerana mereka membawa wahyu yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ kepada umat mereka.

Begitu juga dengan mereka yang apabila mereka berdakwah kepada manusia, mereka dakwah menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila mereka mengajar, mereka ajar ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila mereka bercakap tentang agama sahaja, mereka akan berikan dalil dari Al-Qur’an. Kalau tidak ada dalam Al-Qur’an, barulah mereka akan berikan hujah dari hadis yang sahih.

وَصَدَّقَ بِهِ

dan dia membenarkan kandungan dalam Al-Qur’an itu.

Apabila kebenaran telah datang kepadanya, dia menerima kebenaran itu. Ini adalah dua sifat Nabi Muhammad ﷺ: Dia bukan sahaja membawa kebenaran itu, tetapi baginda juga telah membenarkan kebenaran itu apabila datang kepadanya. Dan kemudian sahabat Nabi ﷺ pula menerima kebenaran Al-Qur’an itu. Kemudian berterusan sampailah kepada kita.

Orang Islam pun ada yang sebegini. Apabila ada pendakwah yang datang kepada mereka dengan membawa dalil dan hujah dari Al-Qur’an, mereka tidak melawan dan mereka terima. Walaupun mungkin mereka tidak pernah dengar hujah dan dalil itu sebelum ini. Tetapi, kerana dalil yang datang itu adalah dalil Al-Qur’an, maka mereka terima. Takkan mereka hendak melawan Al-Qur’an pula, bukan?

Ini adalah satu kualiti yang sepatutnya ada dalam seorang Muslim. Namun begitu, amat malang sekali. Ada juga orang yang menggelarkan diri mereka Muslim, tetapi apabila dibawakan dalil dari Al-Qur’an, mereka tidak terima. Mereka boleh menolaknya mentah-mentah. Mereka boleh berkata: “Itu pendapat awak, saya nak pegang pendapat guru saya juga”. Ma sha Allah!

أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Orang – orang itu adalah orang-orang yang betul-betul bertakwa.

Orang yang mempunyai kualiti sebeginilah yang dinamakan orang yang bertaqwa. Orang-orang yang bertakwa adalah orang-orang yang menjaga hukum. Dalam setiap perbuatan dan amalan mereka, mereka akan lihat apakah hukum Allah ‎ﷻ dalam perkara itu.

Mereka akan sentiasa sedar dan rasa yang Allah ‎ﷻ sedang memandang mereka. Kerana mereka takut dengan Allah ‎ﷻ dan mereka sedar yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan mereka setiap saat dan setiap masa. Jadi, mereka tidak akan suka-suka buat sesuatu perkara itu kerana mereka tahu yang Allah ‎ﷻ sedang melihat apa sahaja yang dia sedang lakukan.


 

Ayat 34: Natijah kepada taqwa; balasan yang akan didapati kalau bertaqwa.

لَهُم مّا يَشاءونَ عِندَ رَبِّهِم ۚ ذٰلِكَ جَزاءُ المُحسِنينَ

Sahih International

They will have whatever they desire with their Lord. That is the reward of the doers of good –

Malay

Untuk mereka apa sahaja yang mereka mahu, di sisi Tuhan mereka; demikianlah balasan orang-orang yang berusaha memperbaiki amal perbuatannya.

لَهُمْ مَّا يَشَاءُونَ عِنْدَ رَبِّهِمْ

Bagi mereka apa sahaja yang mereka mahu dari sisi Tuhan mereka.

Mereka akan dapat apa sahaja yang mereka mahu di akhirat kelak. Tidak kisah apa sahaja yang mereka inginkan di syurga nanti, mereka akan dapat. Ada benda yang manusia tidak mampu untuk mendapatkannya ketika di dunia ini. Pelbagai hajat yang manusia mahukan, tetapi mereka tidak boleh mendapatkannya mungkin kerana tidak mempunyai wang, benda itu memang tidak ada atau sebagainya.

Namun di akhirat kelak, mereka akan dapat apa sahaja yang mereka inginkan. Jadi, apabila ada perkara yang kita tidak dapat di dunia ini, maka kenalah bersabar, kerana memang dunia ini tempat ujian, dan bukanlah tempat untuk menikmati segala nikmat. Di syurga nantilah tempat untuk menikmati nikmat. Maka kenalah berusaha untuk mendapatkan syurga.

ذَٰلِكَ جَزَاءُ الْمُحْسِنِينَ

Demikianlah balasan bagi orang yang telah melakukan yang terbaik.

Ini adalah satu pemberian yang amat besar sekali. Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita inginkan. Allah ‎ﷻ berikan semua sekali kehendak dan kemahuan kita.

Perkataan الْمُحْسِنِينَ bermaksud mereka telah memperbaiki amalan mereka sebaik mungkin. Mereka juga buat amalan-amalan yang soleh sahaja. Iaitu amalan ibadat yang telah disampaikan dari nas yang sahih. Bukan amalan-amalan bidaah yang dimulakan selepas kewafatan Nabi Muhammad ﷺ.

Amalan bidaah bukanlah amalan untuk masuk ke dalam syurga. Ia adalah amalan yang sia-sia sahaja, maka tinggalkanlah segala amalan itu. Mereka yang ada ihsan dalam diri mereka, akan melakukan amalan terbaik mengikut kehendak Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 35: Apa lagi yang mereka akan dapat.

لِيُكَفِّرَ اللَهُ عَنهُم أَسوَأَ الَّذي عَمِلوا وَيَجزِيَهُم أَجرَهُم بِأَحسَنِ الَّذي كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

That Allah may remove from them the worst of what they did and reward them their due for the best of what they used to do.

Malay

(Limpah kurnia yang demikian, diberikan kepada orang-orang yang bertaqwa) kerana Allah hendak menghapuskan dari mereka (kalaulah ada) seburuk-buruk amal perbuatan yang mereka telah lakukan, serta membalas mereka, akan pahala mereka, dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

لِيُكَفِّرَ اللَهُ عَنْهُمْ أَسْوَأَ الَّذِي عَمِلُوا

Supaya ditutup oleh Allah segala kejahatan-kejahatan dosa yang paling teruk yang pernah mereka buat.

Apabila Allah ‎ﷻ kata akan menutup dosa mereka, bermaksud Allah ‎ﷻ akan mengampuni dosa mereka seluruhnya. Allah ‎ﷻ akan menutup dosa-dosa mereka sampai tidak akan ada sesiapa pun yang tahu mereka telah melakukan dosa itu. Kerana kalau dosa itu dibentangkan di Mahsyar, tentunya ia akan memalukan kita. Tetapi apabila Allah ‎ﷻ sudah menutupinya, tidak akan ada sesiapa pun yang akan tahu.

Kita adalah makhluk yang banyak dosa. Tidak kira sama ada kita orang mukmin ataupun tidak. Kerana orang yang mukmin pun ada berbuat dosa juga. Kita amat memerlukan Allah ‎ﷻ untuk mengampunkan dosa kita. Maka, hendaklah kita meminta ampun di atas segala dosa kita – semuanya sekali, tidak kira dosa yang terdahulu, yang kita tahu dan yang kita tidak tahu.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apakah yang kita telah lakukan. Kita minta supaya hilang semua dosa itu, dan kita tidak ingin untuk melihatnya lagi. Sebagai satu peringatan, semasa kita hendak tidur malam hari, mintalah keampunan dari Allah ‎ﷻ di atas segala dosa kita.

وَيَجْزِيَهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan Allah akan balas dengan balasan yang lebih baik dari amal yang mereka perbuat dahulu.

Untuk satu amalan yang baik, Allah ‎ﷻ akan membalasnya sepuluh, seratus atau berkali-kali ganda dari amalan yang mereka berbuat dahulu. Asalkan amalan mereka itu adalah amalan yang soleh dan berdasarkan dari sumber dalil yang sahih. Dan akan diberikan kepada mereka tempat tinggal dalam Syurga.

Oleh itu, bila kita berdoa dan minta dimasukkan ke dalam syurga, mintalah Syurga Firdaus, jangan minta yang kurang – jangan rasa yang kita tidak layak. Terus minta syurga Firdaus, iaitu syurga yang paling tinggi sekali. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi ﷺ yang menyuruh sahabat meminta sebegitu.

Malangnya, dalam kalangan masyarakat kita, ada yang segan untuk meminta syurga Firdaus, kerana mereka berasa mereka tidak layak untuk memasuki syurga Firdaus. Itu sudah berlawanan dengan hadis Nabi ﷺ. Jangan malu untuk minta. Kalau kita tidak layak, maka bila kita minta Syurga Firdaus, sebenarnya kita minta Allah ‎ﷻ jadikan kita orang yang layak, bentuk dan didik diri kita sampai kita layak. Maka memang tidak salah kalau minta begitu.

Bagaimanakah Allah ‎ﷻ akan membalas perbuatan baik kita? Allah ‎ﷻ akan berikan yang lebih baik lagi dari amalan yang kita buat itu. Kerana kita beramal sedikit sahaja sebenarnya; tetapi Allah ‎ﷻ akan membalas dengan syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kekal di dalam syurga selama-lamanya.

Tafsir kedua: Allah ‎ﷻ akan balas mengikut amalan kita yang ‘paling baik’. Sebagai contoh, katakanlah kita ada buat sepuluh kebaikan. Solat contohnya. Dalam banyak-banyak kali kita solat itu, ada yang baik dan ada yang kurang baik – kurang khusyuk contohnya. Ada markah tinggi dan ada markah yang kurang. Allah ‎ﷻ akan balas semua solat kita mengikut markah yang paling tinggi dalam sepuluh solat itu.

Jadi, walaupun dalam sepuluh solat itu ada yang markah kurang dan lebih, tetapi Allah ‎ﷻ akan membalas semuanya mengikut markah solat kita yang paling baik. Ma shaa Allah, alangkah pemurahnya Allah ‎ﷻ!


 

Ayat 36: Peringatan kepada kuffar.

أَلَيسَ اللَهُ بِكافٍ عَبدَهُ ۖ وَيُخَوِّفونَكَ بِالَّذينَ مِن دونِهِ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللَهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Sahih International

Is not Allah sufficient for His Servant [Prophet Muhammad]? And [yet], they threaten you with those [they worship] other than Him. And whoever Allah leaves astray – for him there is no guide.

Malay

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

 

أَلَيْسَ اللَهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ

Tidakkah Allah mencukupi bagi hambaNya?

Tidakkah cukup Allah ‎ﷻ sebagai tempat kita bertawakal? Tidakkah Allah ‎ﷻ cukup sebagai wali tempat bergantung dan berlindung? Ataukah kamu hendak bertawakkal pada yang lain? Tidak cukupkah kalau hanya berharap dengan Allah ‎ﷻ sahaja? Kenapa perlu untuk mencari ilah-ilah yang lain? Kenapa kita ingin berharap kepada selain dari Allah ‎ﷻ? Kenapa ada yang meminta kepada Nabi, kepada tok wali dan kepada malaikat dalam doa-doa mereka?

Atau apabila ada yang diganggu dan dirasuk oleh jin,  ditarik kakinya pada malam-malam hari oleh jin yang nakal, kenapa mereka hendak pergi berjumpa bomoh, jumpa ustaz, jumpa pawang, jumpa Darul Syifa’ dan sebagainya? Kenapa mereka tidak memohon sahaja kepada Allah ‎ﷻ dan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ?

Ada satu hadis dalam Sunan Tirmidhi yang menyebut: “Barangsiapa yang membakar kulit dengan besi panas atau meminta diruqyah, maka sesungguhnya dia telah lepas dari tawakal”.

 

وَيُخَوِّفُونَكَ بِالَّذِينَ مِنْ دُونِهِ

Dan mereka menakut-nakutkan kamu dengan selain dari Allah.

Musyrikin Mekah hendak menakutkan Nabi ﷺ dengan berhala dan pujaan mereka. Mereka berkata yang Nabi ﷺ dan para sahabat akan dikenakan bala kalau cakap perbuatan mereka salah.

Ini seperti orang kita yang takut untuk lalu berdekatan kuil, takut terkena bala dan sebagainya. Nabi ﷺ pun mereka hendak takutkan. Mereka berkata kalau Nabi ﷺ menentang berhala-berhala itu, Nabi ﷺ akan dikenakan sumpahan. Nabi Ibrahim عليه السلام pun pernah dikenakan ancaman sebegitu juga.

Maka Allah ‎ﷻ jawab: tidakkah cukup dengan Allah ‎ﷻ sahaja kamu jadikan tempat berlindung? Segala sembahan dan pujaan mereka itu tidak dapat melakukan apa-apa pun.

Kalau di zaman sekarang, mereka berkata kalau kita mengatakan perkara yang tidak baik tentang tuhan mereka, tuhan mereka itu akan menurunkan bala ke atas kita. Sebagai contoh, kita boleh baca tentang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dan bagaimana baginda telah ditakutkan dengan bala yang akan diberikan oleh tuhan-tuhan berhala kaumnya. Zaman sekarang pun ada lagi seperti itu.

Ayat ini tidak hanya menyatakan ‘berhala’ sahaja. Tetapi apa sahaja yang dipuja oleh mereka itu. Termasuklah roh yang sudah mati. Ada yang berkata kalau kita mengatakan tidak baik tentang ‘wali-wali’ yang sudah mati itu, kita akan mendapat bala. Itu adalah fahaman yang khurafat.

Begitulah, kadang-kadang ada yang ugut orang yang hendak menghancurkan kubur wali sembahan, mereka berkata kalau buat juga, nanti akan terkena bala. Dan kadang-kadang memang terjadi sesuatu seperti sakit perut dan sebagainya. Itu adalah ujian dari Allah ‎ﷻ sahaja. Bukanlah itu tanda yang sembahan dan pujaan selain Allah ‎ﷻ itu benar.

Dan ayat ini boleh juga ditafsirkan dalam bentuk umum. Ia boleh terpakai dalam segenap kehidupan kita. Kadangkala kita hendak taat kepada hukum Allah ‎ﷻ tetapi ada yang mahukan kita melanggar hukum Allah  ‎ﷻ itu. Dan mereka menakutkan kita dengan pelbagai ancaman.

Sebagai contoh, mungkin kita disuruh untuk melakukan rasuah oleh ketua kita dalam pejabat. Dia kata kalau tidak ikut, maka kita akan dibuang kerja. Ini adalah ancaman menggunakan sesuatu yang selain dari Allah ‎ﷻ. Maka kenalah ingat ayat ini sentiasa. Kita haruslah takut dengan Allah ‎ﷻ dan tidak takut dengan ancaman dunia. Biarlah mereka hendak kata dan ancam kita dengan apa pun, hendaklah kita ingat yang Allah ‎ﷻ sentiasa akan memelihara kita.

وَمَنْ يُضْلِلِ اللَهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, tidak ada lagi baginya, satu kuasa yang boleh beri hidayat kepadanya .

Yang disesatkan oleh Allah ‎ﷻ itu maksudnya mereka yang telah sampai peringkat keempat kesesatan mereka – Khatmul Qalbi (Penutupan Hati). Orang-orang sebegini, kerana terlalu banyak sangat menentang wahyu, maka Allah ‎ﷻ mengunci mati hati mereka dari menerima hidayah. Walaupun mereka tinggal di Mekah, atau mereka duduk dengan guru yang paling pandai sekalipun, mereka tidak akan mendapat hidayah.

Ingatlah bagaimana Musyrikin Mekah itu didakwah oleh Nabi ﷺ ‎sendiri dan mereka tinggal di Mekah berdekatan Kaabah. Namun mereka langsung tidak dapat menerima kebenaran kerana hati mereka tidak mahukan kebenaran. Bayangkan, Abu Jahal tentu lebih faham bahasa Arab dari kita, tetapi dia tidak mendapat hidayah juga dan tidak menerima Al-Qur’an yang dibacakan oleh Nabi ﷺ.

Begitu juga dengan orang-orang Munafik di Madinah. Mereka duduk dan berinteraksi dengan Nabi ﷺ tetapi mereka masih tidak beriman. Kita berharap semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka itu. Ini kerana setiap zaman akan ada sahaja mereka yang sebegini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 22 – 24 (Kulit bergetar)

Ayat 22: Kita masuk ke Ruku’ ke 3 dalam surah ini. Ini adalah perbandingan yang ketiga.

Ini pula adalah tentang orang yang mudah faham agama. Kemudian ada pula yang tidak boleh menerima langsung dakwah tauhid walaupun telah diberikan pelbagai dakwah dan dalil kepada mereka. Sememangnya manusia tidak sama.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini yang ahli syurga senang untuk menerima wahyu yang disampaikan kepada mereka. Namun ada yang telah dengar pun, tetapi masih tidak faham-faham atau berpura-pura tidak faham. Mereka tidak ada minat untuk mendekati dan memahami wahyu ilahi dan kerana itu mereka tidak dapat hendak faham. Ini kerana mereka menutup hati mereka dari mencari kebenaran.

أَفَمَن شَرَحَ اللَهُ صَدرَهُ لِلإِسلٰمِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sahih International

So is one whose breast Allah has expanded to [accept] Islam and he is upon a light from his Lord [like one whose heart rejects it]? Then woe to those whose hearts are hardened against the remembrance of Allah . Those are in manifest error.

Malay

Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

 

أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلٰمِ

Apakah sama satu orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk memahami Islam?

Ada muqaddar dalam ayat ini: Apakah sama orang itu berbanding dengan orang yang tidak dilapangkan dadanya? Tentulah tidak sama.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang apabila diajar tentang agama, dia boleh faham. Dan bukan sahaja dia boleh faham, tetapi dia boleh ‘terima’ apakah yang disampaikan. Allah ‎ﷻ telah melapangkan dadanya untuk ‘selesa’ dengan apa yang disampaikan.

Apa-apa sahaja suruhan Allah ‎ﷻ dalam wahyu itu, dia boleh amalkan dan tidak ada masalah untuk dirinya. Kerana ada orang yang apabila telah disampaikan ajaran dari Al-Qur’an, tetapi mereka berasa tidak selesa. Mereka tidak dapat untuk menerima arahan yang Allah ‎ﷻ berikan. Mereka ingin menggunakan akal juga sampai mereka mempersoalkan wahyu pula, sedangkan wahyu itu dari Allah ‎ﷻ.

Apakah maksud إِسْلَامِ? Islam adalah penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Ia bukannya pada nama sahaja, tetapi lebih kepada sifat. Kalau nama sahaja orang Islam, tetapi tidak serah diri, bukanlah dia Muslim sejati. Maknanya terima bulat-bulat apa yang disampaikan tanpa meninggalkan satu pun.

Adakah kita serahkan hati kita kepada Allah ‎ﷻ segala-galanya? Ada yang tidak terima semua. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ telah berikan pembahagian harta pusaka dalam Al-Qur’an. Tetapi ada yang tidak terima, mereka kata lebih molek kalau dibahagikan sama rata antara lelaki dan perempuan. Ini jenis mereka yang Allah ‎ﷻ tidak lapangkan dada mereka. Ada sahaja alasan untuk menolak ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

Memang ada tempat yang menyebabkan kita tidak selesa. Dan ada tempat yang menyebabkan kita rasa selesa sangat, seperti rumah kita. Apabila kita berada di rumah kita, kita rasa lega dan kita rasa aman, bukan? Kalau duduk dalam rumah orang lain, walaupun tuan rumah itu kata: “Buatlah macam rumah sendiri”, tetapi kita tidak dapat rasa ia seperti rumah kita. Inilah perbandingan yang boleh kita gunakan.

Orang-orang yang rasa selesa dengan Islam akan mudah untuk beramal seperti yang Allah ‎ﷻ suruh, seperti solat. Mereka suka untuk solat, dan ringan badan untuk solat, tidak solat dengan malas atau dengan perasaan terpaksa. Dan kalau mereka tertinggal solat, mereka akan gelabah. Itu adalah penilaian yang kita boleh lihat dan bandingkan dengan diri kita, kita jenis yang mana? Begitu juga dalam ibadat-ibadat lain.

Ayat ini memberi penjelasan kepada kita, kenapa apabila belajar tafsir Al-Qur’an, ada orang yang boleh faham dan terima, tetapi ada orang yang tidak faham dan tidak selesa untuk terima. Yang tidak dapat terima itu adalah kerana hati mereka tidak terbuka. Cara untuk faham dan terima Al-Qur’an adalah kena ada niat hendak mencari kebenaran, baru boleh senang untuk faham.

Kalau hanya masuk ke kelas pengajian hanya untuk dengar-dengar sahaja, ingin tengok-tengok sahaja, seseorang itu tidak akan faham. Oleh itu, kenalah datang belajar dengan niat untuk tahu wahyu Allah ‎ﷻ dan hendak tahu kebenaran.

Kalimah شَرَحَ bermaksud ‘buka’, ‘kembangkan’, ‘besarkan’. Ini bermaksud Allah ‎ﷻ boleh besarkan hati manusia untuk menerima ajaran dari wahyu. Bukannya susah untuk terima dan faham. Dengan melihat tanda-tanda pada alam dan pada ayat-ayat Al-Qur’an dan kemudian memikirkan tentang tanda-tanda itu, manusia mampu untuk memahaminya.

فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّنْ رَّبِّهِ

maka dia berada di atas cahaya iman daripada Tuhannya.

Orang yang dibukakan hatinya akan mendapat ‘nur’ dari Allah ‎ﷻ. ‘Nur’ di dalam ayat ini bermaksud: Al-Qur’an. Iaitu dia berada di atas landasan Al-Qur’an yang datangnya daripada Allah ‎ﷻ. Iaitu dia belajar dan mendapat hidayah daripada Al-Qur’an.

Perumpamaan ayat ini adalah: cahaya Islam masuk ke dalam dada seseorang itu. Sudahlah dadanya dikembangkan, dimasukkan cahaya pula. Cahaya itu adalah cahaya hidayah.

Sepertimana kita memerlukan cahaya dalam alam ini untuk melihat, kita juga memerlukan cahaya hidayah untuk melihat kebenaran. Tetapi kalau hati telah keras, cahaya itu tidak dapat masuk. Ini disebut selepas ini jenis orang yang keras hatinya.

فَوَيْلٌ لِّلْقٰسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِّنْ ذِكْرِ اللهِ

Maka celakalah barangsiapa yang keras hati dia dari memahami peringatan Allah.

Ada dua terjemahan kepada kalimat ذِكْرِ اللهِ. Terjemah biasa: zikir kepada Allah ‎ﷻ. Namun sebenarnya, apabila ingat kepada Allah ‎ﷻ adalah ingat kepada pengajaran dalam Al-Qur’an. Iaitu zikir dalam tauhid. Kalau zikir biasa sahaja, tetapi dalam masa yang sama dia masih buat perkara syirik, itu adalah zikir yang sia-sia.

Dan terjemahan kedua bagi ذِكْرِ اللهِ atau ‘Kitab Allah’ iaitu Al-Qur’an. Celakalah orang yang tidak memahami Al-Qur’an. Iaitu celaka di akhirat kelak. Iaitu orang yang apabila diajak belajar tafsir Al-Qur’an, dia tidak mahu.

Atau, bila dia belajar isi kandung Al-Qur’an, dia tidak faham. Dia tidak faham itu kerana hatinya keras untuk memahami Al-Qur’an. Itu terjadi kerana hati dia tidak mahu mendengar isi kandung Al-Qur’an.

Ataupun dia malas untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Dan ingatlah, zikir yang paling bagus adalah dengan baca Al-Qur’an. Memang ada zikir yang diajar oleh Nabi ﷺ, tetapi baginda sendiri paling banyak berzikir dengan membaca ayat Al-Qur’an. Mungkin ramai yang tidak tahu perkara ini. Baca Al-Qur’an itu lebih banyak pahala dari berzikir menggunakan lafaz-lafaz lain.

Maka, membaca ayat Al-Qur’an itu jauhlah lebih baik dari mengamalkan zikir-zikir yang diajar oleh guru-guru tarekat dan para Habib. Sudahlah amalan zikir mereka itu direka, ditambah pula dengan khaifiat dan khasiat yang entah datang dari mana. Itu bukannya akan dapat pahala, malah mendapat dosa pula.

Kita kena faham bahawa Al-Qur’an itu adalah mukjizat. Ia boleh membuka hati manusia yang gelap kepada cahaya terang. Ia bukan seperti kitab yang lain. Kalau kitab sehebat Al-Qur’an pun tidak boleh diterima, maka itu menunjukkan yang hatinya telah keras dan tidak ada harapan lagi. Kerana mukjizat yang ada dalam dunia sekarang hanya Al-Qur’an sahaja. Hendak cari mukjizat mana lagi?

Maka celakalah dia yang tidak dapat menerima wahyu Al-Qur’an. Sedangkan Sayidina Umar رضي الله عنه yang keras kepala pun boleh terima Al-Qur’an apabila dibacakan kepadanya. Bayangkan betapa kerasnya dia, dia seorang sahaja yang berani untuk bunuh Nabi Muhammad ﷺ secara terus. Musyrikin Mekah yang lain bising-bising tidak suka kepada baginda, Umar رضي الله عنه sahaja yang berkata: “Elok bunuh sahaja Muhammad itu, selesai masalah.” Dan beliau telah pergi pun untuk membunuh baginda! Kisah ini terdapat dalam sirah.

أُولَٰئِكَ فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

Orang-orang itu duduk dalam sesat yang nyata.

Kerana bila dia tidak mahu belajar, dia tidak akan tahu yang mana yang dituntut untuk diikuti dan yang mana yang dilarang, maka dia jadi sesat. Lebih-lebih lagi yang dilarang itu adalah tentang perkara syirik kepada Allah ‎ﷻ. Contohnya, kerana tidak tahu, maka dia mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah ‎ﷻ dan menghalalkan mana yang diharamkan.

Contohnya, dalam perkara pantang memantang. Selalunya, dalam masyarakat Melayu, apabila seseorang ibu sudah bersalin, mereka akan diberikan pantang larang dalam makanan. Makanan itu ini tidak boleh dimakan. Itu sebenarnya adalah ‘mengharamkan yang telah dihalalkan oleh Allah ‎ﷻ’.

Dia tidak tahu yang perbuatan itu adalah kufur kepada Allah ‎ﷻ. Dan ada banyak lagi perkara tentang tauhid yang mereka tidak tahu. Mereka merasakan mereka dalam keadaan beriman, tetapi sebenarnya mereka di dalam kesesatan. Mereka sangka apabila mereka telah mengucap, mereka solat, puasa, tidak berzina dan lain-lain ibadat yang mereka lakukan, mereka telah selamat. Belum tentu lagi.

Kita hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an ini supaya kita boleh faham apakah kehendak Allah ‎ﷻ kepada kita dan kita boleh menurut kehendak Allah ‎ﷻ itu.


 

Ayat 23: Ini adalah i’adah (pengulangan) kepada dalil wahyu. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita yang Dialah yang turunkan Al-Qur’an.

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ هُدَى اللهِ يَهدي بِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللَهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Sahih International

Allah has sent down the best statement: a consistent Book wherein is reiteration. The skins shiver therefrom of those who fear their Lord; then their skins and their hearts relax at the remembrance of Allah . That is the guidance of Allah by which He guides whom He wills. And one whom Allah leaves astray – for him there is no guide.

Malay

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Qur’an itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

 

اللَهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ

Allahlah Dzat yang menurunkan kepada kita sebaik-baik perkataan;

Lafaz ‘sebaik-baik perkataan’ itu adalah Al-Qur’an. Iaitu firman Allah ‎ﷻ. Ini dibandingkan dengan hadis, lebih-lebih lagi kalau dibandingkan dengan kata-kata makhluk yang lain.

Sebelum ini dalam ayat 18 telah diberitahu bahawa berita gembira diberikan kepada mereka mendengar kata-kata dan memilih yang terbaik darinya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa kata-kata terbaik itu adalah Al-Qur’an.

Kalimah حديث bermaksud kata-kata atau kejadian yang disebut. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam banyak-banyak perkataan dan kejadian yang disebut-sebut, Al-Qur’anlah yang terbaik sekali. Selepas ini Allah ‎ﷻ sambung dengan menyebut beberapa sifat Al-Qur’an.

كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا

Sebuah kitab yang serupa kalimah-kalimatNya;

Iaitu perkataan jenis ‘kitab’ – Al-Qur’an. Jadi yang dimaksudkan ‘kitab’ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an.

Kalimah متشبه bermaksud sama satu sama lain. Maksudnya: sama sahaja risalah yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Sama sahaja perkara yang dibawa oleh Al-Qur’an itu.

Perkara utama yang disentuh adalah tentang tauhid, risalah kenabian dan akhirat selain dari perkara-perkara lain-lain. Sentiasa sahaja ada tiga perkara ini dari awal sampai akhir. Kerana inilah tiga perkara utama dalam Al-Qur’an. Jadi ada persamaan antara topik-topik yang disentuh dalam Al-Qur’an dan saling menguatkan di antara satu sama lain.

Dan maklumat yang disampaikan dalam Al-Qur’an sama sahaja dari mula sampai akhir. Tidaklah satu bahagian kata kena amalkan tauhid, tetapi di tengah atau di hujungnya kata boleh berbuat syirik pula. Itulah maksud ‘serupa’. Tidak berlawanan antara ayat-ayat itu.

Sama sahaja perkara yang dibincangkan tetapi dengan cara-cara yang berbeza. Ada dalam bentuk soalan, ada dalam bentuk pemberitahuan dan ada dalam bentuk cerita dan lain-lain lagi. Allah ‎ﷻ berikan berbagai-bagai cara supaya tiada alasan manusia tidak faham lagi kerana sudah bermacam cara telah Allah ‎ﷻ sampaikan.

Begitulah banyak surah yang ada ayat yang hampir serupa dalam surah-surah lain. Satu ayat memperkuatkan ayat yang lain. Ada ayat Al-Qur’an yang memperjelaskan maksud ayat-ayat yang lain.

مَّثَانِيَ

yang berulang-ulang;

Sudahlah perkara yang sama ada di tempat lain, dan ia berulang-ulang pula. Juga berulang-ulang pengajaran yang dibawa. Diulang-ulang pengajaran yang sama kerana ia penting.

Perkara yang sama tetapi disebutkan dalam cara yang berbeza-beza. Supaya meneguhkan hati-hati manusia. Supaya kemas pemahaman kita dan tidak ada alasan lagi untuk kata kita tidak faham. Dan supaya lekat di hati. Bila selalu dibaca maka akan terpahat di minda.

تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ

Akan gementar kulit-kulit orang-orang yang takut dengan Tuhan mereka.

Ini adalah kesan kepada pembaca Al-Qur’an. Mereka merasa gementar apabila ayat-ayat itu dibacakan kepada mereka atau apabila mereka membacanya sendiri. Mereka jadi gementar kerana mereka takut kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka sudah kenal Allah ‎ﷻ. Mereka sudah faham siapakah Allah ‎ﷻ.

Mereka dapat merasai bahawa bacaan Al-Qur’an itu adalah Allah ‎ﷻ berkata-kata terus dengan mereka. Kalau hendak bayangkan, ingatkah kalau kita berjumpa orang yang kita takut? Kita akan berasa lain macam apabila berhadapan dengan orang itu. Kadang-kadang muka kita sampai pucat. Itu baru dengan manusia, bagaimana pula dengan Allah ‎ﷻ?

Apabila mereka takut, maka mereka tentulah akan baiki amalan dan perbuatan mereka. Inilah yang kita hendak. Bukan kita hendak takut gementar sahaja, tetapi kita mahu ada perubahan dalam diri.

Namun, perasaan itu hanya akan dapat apabila kita faham apa yang kita baca selepas kita belajar tafsir. Kalau tidak belajar tafsir, maka akan baca ‘kosong’ sahaja.

Orang yang tidak faham apa yang mereka baca, mereka akan sibuk dengan menjaga tajwid dan lagu sahaja, tetapi pengajaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu tidak diambil peduli.

Oleh sebab itulah, sama sahaja intonasi mereka yang sebegitu semasa mereka membaca Al-Qur’an. Ada orang yang mungkin tidak pandai tajwid, tidak pandai lagu bacaan Al-Qur’an, tetapi kerana mereka faham apa yang mereka baca, maka kita yang mendengar bacaannya pun, akan terkesan.

Kita sepatutnya sedar yang apabila kita baca Al-Qur’an, sebenarnya Allah ‎ﷻ sedang mendengar apa yang kita baca itu. Jadi, kalau kita dapat sematkan dalam hati kita yang kita sedang membaca *kepada* Allah ‎ﷻ, pembacaan itu akan jadi lebih mengesankan.

Untuk kenal Allah ‎ﷻ adalah dengan belajar kitab Allah ‎ﷻ iaitu Al-Qur’an. 80% daripada ayat-ayat dalam Al-Qur’an adalah untuk mengenali / mentauhidkan Allah ‎ﷻ dan 20% lagi adalah untuk kenal hukum-hakam.

Untuk kenal Tuhan, kitab Allah ‎ﷻlah yang paling mudah sekali untuk kita mengenali-Nya. Akal kita tidak akan dapat sampai ke tahap mengenali Allah ‎ﷻ tanpa bantuan dari Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beritahu dalam Al-Qur’an, kita tidak akan tahu.

ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللهِ

Kemudian akan jadi tenang kulit-kulit mereka dan hati mereka kepada mengingati Allah.

Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an yang berbentuk nikmat dan rahmah Allah ‎ﷻ kepada mereka, mereka akan menjadi tenang pula. Masa ayat-ayat takhwif mereka jadi takut, dan semasa baca ayat-ayat tabshir, mereka jadi tenang pula.

Orang yang belajar tafsir sahaja yang boleh dapat menghayati ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayah Allah ‎ﷻ.

Ayat-ayat ‘tabshir’ (berita gembira) adalah ayat-ayat tentang syurga, ayat-ayat yang memberi harapan kepada kita, tentang sifat Allah ‎ﷻ yang pemurah, pemaaf dan sebagainya. Iaitu ayat-ayat yang menggembirakan kita dan memberi ketenangan kepada kita.

ذَٰلِكَ هُدَى اللهِ

itulah hidayah dari Allah.

Kalau ada perasaan mahu taat kepada Allah ‎ﷻ, itulah hidayah dari Allah ‎ﷻ. Dan untuk tahu apakah yang perlu ditaati, kenalah belajar wahyu terutama sekali Al-Qur’an itu.

Al-Qur’an itulah hidayah dari Allah ‎ﷻ untuk memandu kita. Kita setiap hari akan meminta hidayah dari Allah ‎ﷻ dalam bacaan Fatihah dalam solat. Dan Allah ‎ﷻ telah beritahu yang hidayah yang kamu minta itu ada dalam Al-Qur’an, maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an.

Kita selalu ingatkan belajar tafsir Al-Qur’an dalam penulisan ini kerana belajar tafsir tidak sama dengan belajar baca Al-Qur’an. Baca Al-Qur’an semua orang boleh buat dari kanak-kanak lagi. Tetapi itu belum bermaksud kita telah melakukan kewajipan untuk belajar Al-Qur’an. Kita kena belajar sampai kita faham apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

 

يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ

Allah akan memimpin dengan Al-Qur’an itu sesiapa yang Dia kehendaki.

Allah ‎ﷻ akan memimpin manusia kepada kebenaran dan kepada syurga dengan Al-Qur’an itu. Dengan belajar tafsir Qur’an 30 juzuk ini akan mendorong mereka untuk belajar 6 kitab besar hadis (kutubus sittah).

Dengan belajar Al-Qur’an dan kitab-kitab hadis ini, mereka sudah belajar kebanyakan daripada agama Islam. Mereka akan faham 99% daripada agama Islam.

Adapun orang-orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan hanya belajar hadis sikit-sikit, maka mereka ini apabila menjadi ustaz, hanyalah tazkirah dan motivasi sahaja yang mereka boleh beri. Dan akan banyak pula buat silap dalam memberi tazkirah dan penyampaian ilmu.

Dan kesilapan yang dilakukan oleh anak murid mereka, mereka sendiri pun tidak tahu. Sepatutnya, merekalah yang memberitahu kesilapan yang telah dilakukan oleh anak-anak murid, tetapi kerana mereka tidak tahu, maka mereka tidak dapat memberitahu kepada jemaahnya.

Jadi bagaimana seorang ustaz itu hendak mengajar kalau dia sendiri pun tidak habis belajar tafsir Al-Qur’an? Tidak belajar tafsir 30 juzuk dan Sunnah? Kebanyakan mereka hanya belajar Al-Qur’an sikit-sikit dari pembacaan sahaja dan sikit-sikit hadis Nabi ﷺ yang kebanyakannya mereka tafsir sendiri sahaja.

Mereka tidak bersungguh dalam belajar agama, iaitu belajar yang mana yang mereka berkenan sahaja. Jadi mereka hanya boleh memberi tazkirah ataupun motivasi sahaja.

 

وَمَنْ يُضْلِلِ اللَهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada lagi kuasa lain lagi yang boleh beri hidayah kepada orang itu.

Ini adalah peringkat ‘Khatmul Qalbi’ – penutupan hati. Iaitu apabila sudah sampai kepada peringkat Allah ‎ﷻ mengunci mati hati mereka dari menerima hidayah.

Apabila sudah sampai ke peringkat keempat ini, maka tidak ada sesiapa pun yang boleh mengembalikannya kepada kebenaran. Tidak kira sama ada orang itu adalah tok guru atau tok wali atau sesiapa pun mahupun apa-apa kuasa lain yang boleh memberi hidayah kepada mereka, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja.


 

Ayat 24: Ini adalah bandingan ketiga yang Allah ‎ﷻ sampaikan dalam surah ini. Ia juga adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

أَفَمَن يَتَّقي بِوَجهِهِ سوءَ العَذابِ يَومَ القِيٰمَةِ ۚ وَقيلَ لِلظّٰلِمينَ ذوقوا ما كُنتُم تَكسِبونَ

Sahih International

Then is he who will shield with his face the worst of the punishment on the Day of Resurrection [like one secure from it]? And it will be said to the wrongdoers, “Taste what you used to earn.”

Malay

Maka adakah orang yang menahan dengan mukanya akan (selaran) azab yang buruk pada hari kiamat (sama seperti orang yang terselamat)? Dan (pada saat itu) dikatakan kepada orang-orang yang zalim itu: “Rasalah (balasan) apa yang kamu usahakan dahulu”.

أَفَمَنْ يَتَّقِي بِوَجْهِهِ سُوءَ الْعَذَابِ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Apakah sama, satu orang yang menyanggah azab yang amat buruk dengan mukanya sendiri pada Hari Kiamat?

Ada muqaddar dalam ayat ini: ‘Adakah orang itu sama dengan orang yang terselamat dan masuk syurga?’ Tentulah tidak. Orang mukmin akan diselamatkan dari neraka dan dari azab. Tentulah tidak sama, dari segi fahaman dan dari segi amalan.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘menyanggah azab dengan mukanya sendiri?’ Kita kena faham keadaan mereka yang diazab. Bila mereka dimasukkan ke neraka, rantai sepanjang 40 hasta akan diikat di tangan dan leher mereka. Kemudian ditarik kepala dan kaki mereka ke belakang.

Dan mereka akan dipanggang dengan api neraka. Selalunya, kalau ada orang hendak pukul kita, kita akan tahan dengan tangan, bukan? Tetapi ahli neraka telah diikat tangan mereka. Jadi pada masa itu, bagaimana untuk sanggah kepanasan itu? Dengan muka sahaja yang mampu mereka lakukan. Padahal, muka itulah yang selalunya kita akan pelihara dengan tangan kita.

Tetapi kali ini mereka hanya tahan dengan muka sahaja kepanasan api neraka itu kerana tangan mereka telah diikat. Alangkah menakutkan sekali bayangan neraka ini. Nauzubillah, selamatkanlah kami darinya! Ameen.

وَقِيلَ لِلظّٰلِمِينَ

Dan dikatakan kepada orang yang zalim itu,

Ini adalah dalam bentuk azab emosi, iaitu mereka diberi dengan penghinaan. Orang-orang yang zalim itu adalah orang-orang berbuat syirik ketika di bumi. Dan yang berkata kepada mereka adalah berkemungkinan adalah malaikat penjaga neraka.

Mereka waktu itu sedang diazab tubuh mereka, tetapi diazab lagi perasaan mereka dengan kata-kata yang menyakitkan jiwa. Ini dinamakan ‘takzib rohani’ – azab jiwa. Kadang-kadang azab jiwa itu lebih menyakitkan dari azab fizikal. Allah ‎ﷻ sengaja menambah azab kepada mereka. Neraka bukanlah tempat untuk belas kasihan, tetapi tempat azab. Maka Allah ‎ﷻ akan azab dengan berbagai-bagai cara.

ذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْسِبُونَ

“rasalah balasan dari apa yang kamu lakukan”.

Rasailah balasan kesyirikan yang kamu lakukan di dunia dahulu. Dulu semasa di dunia, kamu degil untuk terima dakwah tauhid, kamu enggan untuk pergi belajar – ada orang ajak pergi kelas tafsir, kamu tidak mahu ikut.

Ada orang yang nasihat kamu tentang amalan kamu yang salah, kamu tidak mahu dengar. Dan kerana itu, kamu terus melakukan amalan yang salah, amalan yang syirik, amalan yang bidaah. Maka, sekarang rasakanlah.

Kalau cikgu sekolah merotan anak muridnya, anak murid itu akan berasa sakit. Namun kesakitan itu akan hilang selepas sehari dua. Tetapi kalau semasa merotan itu, guru itu menghina budak itu, mengatakan dia ‘bodoh’, ‘anak tak guna’ dan sebagainya, tentulah ia memberi kesan yang mendalam dan kekal kepada anak murid itu. Sampai pencen budak itu akan ingat kata-kata guru disiplin itu.

Memang kata-kata akan menyebabkan sakit yang berpanjangan. Begitulah kesan kepada orang yang diazab di neraka nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Noumana Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 8 – 10 (Buat syirik selepas doa)

Ayat 8: Ayat Zajrun. Sekarang Allah ﷻ memberikan ayat ancaman pula sebagai peringatan kepada kita.

Ingatlah bahawa apabila manusia buat syirik, maka bala akan menyusul. Oleh itu, bala yang kita terima adalah kerana disebabkan dosa yang kita lakukan atau sebagai ujian dari Allah ﷻ untuk orang yang beriman.

Malangnya sekarang manusia banyak cuba menolak bala dengan doa sambil telungkup tangan seperti yang kadang-kadang dibuat oleh imam-imam di masjid-masjid. Mereka itu doa ‘tolak bala’.

Itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ dan tidak dibuat oleh sahabat. Bala yang Allah ﷻ beri itu adalah kerana dosa yang dibuat oleh manusia. Maka sepatutnya manusia kena minta ampun dari dosa dia. Bukannya tambah dosa lagi dengan buat amal bidaah.

Telah disebut dalam Al-Qur’an bahawa apa sahaja musibah yang kena pada kita, yang berbagai-bagai macam musibah, seperti perniagaan jatuh dan sebagainya, adalah kerana hasil kerja tangan manusia. Akan tetapi dosa-dosa kita banyak yang telah diampunkan apabila Allah ﷻ turunkan musibah kepada kita – apabila kita sabar dengan musibah itu, dosa-dosa kecil yang kita telah lakukan akan diampunkan.

Hanya dosa besar sahaja yang tidak diampunkan lagi. Untuk mendapatkan keampunan dari Allah ﷻ atas dosa besar itu, kita kena mohon doa kepada Allah ﷻ supaya mengampunkan dosa-dosa itu secara khusus. Tidak cukup dengan kata: ‘Ya Allah, ampunkanlah dosa aku.’

Antara dosa yang perlu kita minta ampun adalah dosa syirik kepada Allah ﷻ. Dosa syirik adalah amat berat sekali tetapi masih lagi boleh diampunkan, namun kita kena mohon doa supaya diampunkan dengan ikhlas hati kepada Allah ﷻ.

۞ وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعا رَبَّهُ مُنيبًا إِلَيهِ ثُمَّ إِذا خَوَّلَهُ نِعمَةً مِّنهُ نَسِيَ ما كانَ يَدعو إِلَيهِ مِن قَبلُ وَجَعَلَ ِللهِ أَندادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبيلِهِ ۚ قُل تَمَتَّع بِكُفرِكَ قَليلًا ۖ إِنَّكَ مِن أَصحٰبِ النّارِ

Sahih International

And when adversity touches man, he calls upon his Lord, turning to Him [alone]; then when He bestows on him a favor from Himself, he forgets Him whom he called upon before, and he attributes to Allah equals to mislead [people] from His way. Say, “Enjoy your disbelief for a little; indeed, you are of the companions of the Fire.”

Malay

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu musibah, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah dia akan segala musibah yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.

 

 وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ

Apabila dikenakan kepada insan kufur itu bala musibah, dia berdoa kepada Allah, sifatnya condong menghampiri kepada Allah.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini asalnya merujuk kepada orang Mekah jahiliah. Mereka pun ada juga berdoa kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana memang mereka kenal Allah ﷻ pun, bukannya tidak kenal. Kalau mereka ada musibah, mereka akan berdoa hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Mereka akan meninggalkan sembahan dan doa kepada selain Allah ﷻ.

Begitu jugalah orang kita pun ada juga berdoa kepada Allah ﷻ. Apabila seseorang itu telah ditimpa musibah kesusahan, mulalah dia jadi baik sekejap, berkopiah atau berserban. Dulu masa dia senang, sihat, dia tidak ingat Allah ﷻ. Dia hanya menghabiskan masa dengan bersuka-sukaan sahaja. Tidak ingat hendak belajar agama, tidak ingat hendak solat, tidak ingat hendak pergi masjid.

Tetapi apabila sudah kena musibah, baru dia tahu langit tinggi rendah. Mulalah dia hendak kenal solat. Mulalah dia hendak mendekatkan diri dengan surau dan masjid. Kalau bercakap dengan orang pun, baik-baik sahaja, lembut sahaja.

Selalu juga kita jumpa orang yang macam ini, bukan? Tiba-tiba dia jadi baik apabila ada masalah, jadi warak tiba-tiba. Solat pun khusyuk. Kalau berdoa pun lama. Iaitu berlainan dari dirinya yang dulu.

 

ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ

Kemudian apabila (Allah) berikan kepadanya nikmat yang baru, dia lupa terus apa yang dia pernah doa  kepadaNya sebelum ini,

Allah ﷻ beri kesusahan sekejap sahaja. Selepas beberapa lama, masalah dia akan selesai. Allah ﷻ yang selesaikan masalah dia. Apabila keadaannya sudah berubah kepada baik, dia sudah lupa kepada Allah ﷻ, lupa kepada musibah yang dia kena dulu.

Maksud ‘dia lupa’ itu adalah dia buat syirik kembali. Dia lupa yang dia dulu telah berdoa kepada Allah ﷻ dan masalah yang dia hadapi itu diselesaikan oleh Allah ﷻ. Patutnya dia teruslah ibadat dan doa kepada Allah ﷻ sahaja, bukan? Tetapi tidak begitu. Ini kerana dia lupa dia dulu telah doa terus kepada Allah ﷻ.

Begitulah juga dengan orang kita. Apabila sudah jadi baik balik, dia sudah buang kopiah dan serban yang dipakainya sebelum itu. Sudah balik kepada keadaannya yang asal sebelum kena musibah itu.

Padahal, sebelum itu kepada Allah ﷻlah dia berdoa dengan bersungguh-sungguh. Menitik-nitik air mata dia semasa berdoa waktu itu. Tetapi bila masalah dia sudah selesai, dia terus lupa yang dulu dia telah berdoa kepada Allah ﷻ meminta dan merayu supaya masalah yang sedang dihadapinya itu diselesaikan oleh Allah ﷻ. Dia lupa yang dari doanya itu, masalahnya telah diselesaikan oleh Allah ﷻ.

Perkataan خَوَّلَ bermaksud ‘diselimuti’. Ada banyak selimut yang meliputi kita. Roh kita diselimuti oleh tubuh kita. Tubuh kita diselimuti dengan baju. Kita diselimuti oleh rumah. Rumah kita dengan kawasan perumahan kita. Kemudian diselimuti oleh negara kita. Negara kita diselimuti oleh planet bumi. Planet diselimuti oleh langit pertama, langit kedua dan seterusnya. Berapa banyak nikmat telah Allah ﷻ selimutkan diri kita.

Kadang-kadang apabila kita dalam selimut, kita tidak perasan selimut itu. Pada hari Akhirat nanti, semua yang menyeliputi itu akan dicabut satu persatu dan roh kita akan berdiri di hadapan Allah ﷻ untuk menemuinya.

Begitulah, kita tidak perasan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita selama hari ini, kerana kita dari kecil dapat nikmat. Apabila ditarik sekejap nikmat itu, barulah perasan nikmat sudah tiada.

 

وَجَعَلَ ِللهِ أَنْدَادًا لِّيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ

Kemudian dia jadikan sekutu-sekutu bagi Allah yang memesongkannya  daripada jalan Allah.

Apabila musibah sudah diangkat, dia buat syirik pula kepada Allah ﷻ. Bagaimanakah ini boleh terjadi?

Contoh: Ketika perniagaannya jatuh dahulu, dia telah jumpa seseorang dan orang itu beritahu dia, kalau hendak pulihkan semula perniagaan, kena jumpa tok guru ini, tok guru itu. Dia pun pergilah bertemu tok-tok guru tersebut dan mungkin tok guru itu telah mandikan dia dengan ‘mandi tolak bala’, ‘mandi bunga’ dan sebagainya.

Kebetulan, semenjak dimandikan oleh tok guru tersebut, perniagaan dia kembali pulih, semangat dia pun kembali naik. Kalau dulu dia tidak sihat, sudah lega sekarang. Apabila terjadi begitu, dia tidak kata Allah ﷻ yang memulihkan dia, tetapi dia kata ‘tok guru’ itu yang pulihkan dia. Iaitu tempat yang dia mandi bunga, mandi tolak bala dulu. Inilah syirik kerana menduakan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang selesaikan musibah dia tetapi dia kata orang lain pula seolah-olah orang itu adalah Allah ﷻ.

Ramai orang buat begini pada zaman dahulu. Zaman sekarang, mungkin tidak mandi tolak bala lagi, tetapi kesyirikan dilakukan dengan cara-cara lain pula. Mereka jumpa tok guru untuk ‘tolak bala’ dengan minta ustaz atau mana-mana orang untuk doakan mereka supaya diangkat bala musibah.

Yang mereka tidak cakap adalah berapa banyak upah yang mereka telah beri kepada guru itu. Kerana guru atau ‘ustaz’ yang sebegitu, mereka memang buat duit dengan cara mendoakan orang lain.

Dalam masyarakat kita, sampai ada yang beri kereta mereka yang baru dibeli untuk dimandikan oleh tok guru dan melakukan berbagai-bagai perkara yang mengarut-ngarut. Pada mereka, dengan dimandikan kereta itu dengan air jampi guru itu, atau guru itu memakai dahulu kereta itu, maka kereta itu akan terselamat dari musibah.

Inilah yang dinamakan ‘andada,’ iaitu sekutu-sekutu kepada Tuhan. Kerana Allah ﷻlah yang mengangkat musibah itu dari mereka, tetapi mereka kata guru/ustaz/bomoh yang telah menyelamatkan mereka. Allah ﷻ terpaksa ‘bertanding’ pula dengan makhluk untuk mendapat pujian dari manusia. Ini tidak patut sama sekali. Ini adalah fahaman syirik.

Malangnya banyak perkara sebegini diajar oleh tok guru dan ustaz. Tok guru itu sendiri pun sebenarnya tidak tahu dia telah buat syirik kepada Tuhan. Dia pula yang jadi penganjur kepada perbuatan itu, padahal sepatutnya dialah yang  sepatutnya mengajar perkara-perkara yang benar.

Sepatutnya dialah yang cakap yang perbuatan itu adalah salah. Sepatutnya dialah yang ajar kepada mereka yang datang minta doa itu supaya doa sendiri sahaja kepada Allah ﷻ, tidak payah minta orang lain doakan. Kerana kalau buat juga, samalah seperti apa yang dibuat oleh agama-agama lain yang melakukan sesuatu amalan untuk tolak bala, tolak sial dan sebagainya.

Sebagai contoh, penganut Hindu akan pergi jumpa sami mereka untuk minta sami itu doakan untuk mereka. Malangnya, kita pun begitu juga. Akhirnya, sama sahaja akidah kita dengan agama kufur yang lain. Mereka ada tolak bala, kita pun nak ada tolak bala juga. Tok guru dan ustaz pula yang ganti jadi tok sami.

Atau ada yang kata cincin atau tangkal yang dia pakailah yang telah menghilangkan musibah yang jatuh kepada mereka. Kalaulah kebetulan nasibnya berubah selepas dia pakai cincin atau tangkal itu, tidaklah ia membuktikan kebenaran atas apa yang telah dilakukannya itu. Macam mereka yang pakai Kavadi masa Thaipusam, cucuk sana sini, tetapi selamat, tidak luka sedikitpun. Atau penyembah berhala pada zaman jahiliah dulu yang tidak dikenakan bala kepada mereka.

Maka, jika perbuatan salah yang dilakukan oleh seseorang tidak dijatuhkan bala oleh Allah ﷻ sebaik sahaja mereka lakukan, malah ‘menjadi’ pula apa yang mereka kehendaki, tidaklah itu memberi tanda bahawa tidak salah perbuatan itu.

Allah ﷻ hanya membiarkan sahaja mereka di dalam kesesatan tanpa menurunkan bala terus. Allah ﷻ benarkan ia terjadi tetapi Allah ﷻ tidak redha. Allah ﷻ sanggup tunggu mereka mati dan kemudian baru mereka akan diazab di akhirat kelak.

Banyak lagi amalan syirik dan khurafat diamalkan oleh masyarakat Islam kita. Antaranya mereka ada barang-barang hikmat. Seperti cincin atau alat-alat keramat yang mereka simpan dalam kain kuning. Bukan dalam simpanan yang biasa. Kerana pada mereka, benda-benda keramat itu kena simpan dalam kain kuning.

Kadang-kadang mereka akan perasap pada malam-malam tertentu. Bermakna, mereka ada memuja benda-benda itu. Itu adalah amalan khurafat dan amalan syirik. Tetapi kenapakah guru-guru agama di negara kita tidak berani hendak tegur perkara ini secara berdepan? Ke mana perginya mufti-mufti di negara ini? Susah hendak tegur kerana kalau ditegur, masyarakat akan melenting kerana lebih ramai yang jahil dari yang pandai.

Dan kenapa ayat ini mengatakan mereka juga memesongkan orang lain? Kerana orang-orang sebegini bukan sahaja telah terpesong, tetapi mereka juga memesongkan orang lain yang melihat mereka. Kerana kalau mereka nampak berjaya, orang lain pun hendak jadi macam dia juga.

Orang lain akan bertanya, siapa yang kau jumpa sampai kau boleh dapat begini, begitu? Mereka pun cakaplah mereka berjaya pulih kerana orang ini, orang itu. Yang bertanya itu pun akan pergi kepada ustaz yang sama, bomoh yang sama dan sebagainya. Akhirnya, semakin ramai yang akan sesat.

Manusia memang suka hendak ikut orang lain tanpa usul periksa. Ini adalah kerana kejahilan yang berleluasa dalam masyarakat kita. Ramai yang pakai ikut sahaja amalan orang lain.

 

قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحٰبِ النَّارِ

Kata kepada mereka: bersenang-senanglah dengan kekafiran kamu untuk sementara. Sesungguhnya kamu adalah penghuni tetap neraka.

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan kufur. Dan Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ sampaikan kepada mereka untuk bersenang-senang buat sementara waktu sementara masih hidup. Berseronoklah dalam kehidupan dunia ini selagi mereka boleh.

Sebab itu kalau kita tengok orang yang mengamalkan syirik, selalunya hidup mereka akan senang sahaja. Hidup mereka nampak macam senang lenang sahaja. Ini kerana memang Allah ﷻ beri kesenangan kepada mereka selama mereka di dunia.

Tetapi di akhirat nanti, mereka akan mendapat azab yang kekal. Maka jangan kita tertipu melihat kesenangan mereka. Jangan kita ikut mereka pula. Jangan pula sangka yang Allah ﷻ beri rahmat kepada mereka.

Biarlah dia seronok kerana dia tetap akan masuk neraka, maka dia dibiarkan Allah ﷻ dalam kesesatan. Biar dia terus mengumpul dosa selama dia hidup. Supaya apabila mereka masuk ke alam akhirat nanti, mereka tidak ada hujah lagi hendak menyatakan mereka tidak bersalah.

Allah ﷻ kata apa sahaja yang mereka lakukan dan dapat, itu hanya ‘sedikit’ sahaja. Mereka sahaja sangka mereka dapat banyak kelebihan, tetapi Allah ﷻ beritahu itu sedikit sahaja. Tidak berbaloi kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan terima. Kesenangan yang sedikit, tetapi azab yang berterusan selama-lamanya.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal dalam neraka selama-lamanya. Adakah berbaloi? Tentu tidak, bukan?


 

Ayat 9: Ayat Tabshir. Allah ﷻ hendak bandingkan dua jenis kumpulan manusia. Orang syirik ada cara hidup dia dan orang tauhid ada cara hidup dia pula. Tidak sama antara kehidupan mereka.

Allah ﷻ beri berita baik kepada mereka yang berbuat baik. Allah ﷻ beri semangat itu kepada kita supaya kita amalkan cara hidup tauhid itu.

أَمَّن هُوَ قٰنِتٌ ءآناءَ اللَّيلِ ساجِدًا وَقائِمًا يَحذَرُ الآخِرَةَ وَيَرجو رَحمَةَ رَبِّهِ ۗ قُل هَل يَستَوِي الَّذينَ يَعلَمونَ وَالَّذينَ لا يَعلَمونَ ۗ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

Sahih International

Is one who is devoutly obedient during periods of the night, prostrating and standing [in prayer], fearing the Hereafter and hoping for the mercy of his Lord, [like one who does not]? Say, “Are those who know equal to those who do not know?” Only they will remember [who are] people of understanding.

Malay

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Soalan Tuhan kepada kita semua:

أَمَّنْ هُوَ قٰنِتٌ ءآنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ

Apakah satu orang yang bangun berdiri teguh waktu malam, kadang-kadang sujud, kadang-kadang berdiri, kerana takut dia akan akhirat

Stail surah ini adalah Allah ﷻ akan bertanya kepada kita, tetapi Allah ﷻ tidak memberikan jawapannya kepada kita supaya kita boleh mencari jawapan itu sendiri. Kita kena fikirkan dalam-dalam.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ membandingkan seorang yang beribadat pada malam hari dengan orang yang sifatnya telah diterangkan sebelum ini – tidak ingat Allah ﷻ apabila dalam keadaan senang, tetapi apabila susah, barulah kelam kabut hendak buat ibadat.

Kalimah قانت dalam ayat ini kalau dibandingkan dengan ayat Baqarah:238 bermaksud seorang yang khusyuk di dalam solatnya. Dia pandang satu tempat sahaja dan tidak melihat ke kiri kanan. Fikirannya tertumpu kepada Allah ﷻ dan solatnya.

Kalimat ءاناء اليل bermaksud sebahagian dari malam sama ada awal, pertengahan atau hujungnya.

Allah ﷻ bandingkan dengan sifat seorang mukmin yang sentiasa ingat dan beribadat kepada Allah ﷻ, sama ada dalam keadaan senang atau susah. Dia bermunajat kepada Allah ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini telah ejek golongan kuffar untuk bergembiralah selagi mereka boleh. Maka sekarang Allah ﷻ hendak tanya kepada mereka, kamu baikkah atau kamu orang-orang yang akan disebut nanti?

Kenapa Allah ﷻ sebut ‘sujud’ dahulu sebelum qiyamullail dalam ayat ini? Kerana hamba paling hampir dengan Allah ﷻ dalam solat adalah semasa sujud. Maka didahulukan yang utama dahulu.

Allah ﷻ juga tidak sebut apakah kesan dari amalan orang itu. Ini kena diisikan oleh pembaca Al-Qur’an. Ulama tafsir mengatakan maksud Allah ﷻ adalah: mereka yang berdiri mendirikan solat pada malam hari itu akan masuk syurga.

Cuma tidak disebutkan dalam ayat ini. Kita kena faham sendiri berdasarkan pemahaman dari ayat-ayat yang lain.

Dia beribadat itu kerana dia takut. Kenapakah orang yang mendirikan solat pada malam hari itu takut? Apakah yang dia takut?

Dia takut azab dari Allah ﷻ sekiranya dosa dia tidak diampunkan. Kerana kita sendiri tidak pasti sama ada dosa yang kita lakukan itu Allah ﷻ akan ampunkan atau tidak. Memang kita sudah minta ampun, tetapi adakah Allah ﷻ akan terima taubat kita itu?

Kita tidak pasti kerana itu adalah perkara ghaib dan kita tidak tahu perkara ghaib. Kerana kalau Allah ﷻ tidak terima, alangkah malangnya kita nanti kerana akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu  – tidak tahu berapa lama.

Perumpamaannya kalau kita bawa kereta di kawasan yang kita tahu ada kamera yang akan ambil gambar kereta yang laju. Maka dalam keadaan begitu, tentulah kita akan memandu dengan berhati-hati dan tidak bawa dengan laju, bukan? Maka begitulah kalau kita sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita – kita tentu tidak berani hendak buat dosa dan buat salah.

Oleh itu, ayat ini mengajar kita bahawa dalam kehidupan kita, hendaklah kita ada rasa takut kepada akhirat. Sentiasa kita ingat bahawa kita akan mati dan akan dibangkitkan kelak. Kalau kita rasa senang hati sahaja, tentu kita tidak bersungguh dalam beramal ibadat dan menjaga agama kita.

 

وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ

dan dia mengharap rahmat Tuhan

Dalam masa yang sama, dia berharap semoga dia dapat masuk syurga. Kerana kita tidak dapat masuk syurga dengan amalan ibadat kita tetapi dengan rahmat Allah ﷻ sahaja. Alamat orang yang hampir dengan Allah ﷻ adalah dia akan berharap kepada Allah ﷻ.

Jadi ada dua sifat yang telah disebut: takut dan harap (khauf dan raja’). Dua sifat ini selalu disebut berulang-ulang dalam Al-Qur’an kerana ianya amat penting. Dua-dua perkara ini kena ada dalam jiwa kita. Jangan salah satu terlebih dan terkurang. Kena seimbang.

Dalam ayat ini ada soalan yang dihazafkan: adakah sama orang yang buat begitu dengan orang yang tidak buat begitu? Tentulah tidak sama.

 

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Katakanlah: adakah sama seorang yang mengetahui dengan seorang yang tak tahu?

Ini adalah satu lagi soalan yang Allah ﷻ tanya tetapi Allah ﷻ tidak jawab, maka kita kena jawab sendiri. Adakah sama orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu? Tahu apa?

Dalam tafsir, disebut ‘tahu’ yang dimaksudkan adalah ‘tahu tentang Allah ﷻ’. Kerana tahu tentang Allah ﷻlah yang menyebabkan manusia boleh buat amal dan dalam hati dia ada takut dan harap.

Dan tahu tentang wahyu. Mereka tahu kerana mereka belajar, bukannya buat-buat tidak tahu sahaja. Tentulah tidak sama orang yang belajar Al-Qur’an dan hadis dan orang yang tidak belajar.

Kerana orang yang tahu wahyu akan tahu tentang Hari Akhirat. Dan orang yang tahu tentang Hari Akhirat tidak sama dengan orang yang tidak tahu. Kerana apabila kita tahu sesuatu perkara itu benar dan besar, tentulah kita akan mengambil tindakan. Tentulah orang yang tahu dan yakin tentang akhirat akan buat persediaan kepada akhirat itu.

Sebagai contoh, kalau kita dapat tahu dari media bahawa kawasan tempat kita akan banjir, tentulah kita akan ambil tindakan – mungkin kita akan pindah. Begitu juga dengan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat. Mereka akan mengambil tindakan untuk menjalani kehidupan di dunia ini mengikut lunas-lunas Islam.

Kepada mereka yang tidak tahu, atau hanya tahu sedikit sahaja, mereka tidak buat apa-apa, macam Hari Kiamat itu tidak akan terjadi sahaja. Atau mereka rasa mereka akan selamat sahaja, padahal belum tentu lagi.

Jadi, secara lebih khususnya, ayat ini adalah berkenaan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat dan mengambil tindakan untuk menyelamatkan diri mereka. Tidak sama antara mereka yang tahu dan mereka yang tidak tahu.

 

إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Yang hanya akan menerima peringatan ini hanyalah orang yang otak waras sahaja.

Orang yang mempunyai akal yang waras dan cerdik sahaja yang boleh terima peringatan dari Allah ﷻ.

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang tidak pakai Al-Qur’an dan hadis dalam menjalani kehidupan mereka adalah orang yang tidak berakal waras. Kerana mereka tidak menggunakan akal mereka untuk mencapai satu keputusan yang benar dan akan menyelamatkan diri mereka.

Habis Ruku’ 1 dari 8 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 10: Ayat Tabshir. Setelah tahu kelebihan beramal ibadat, maka buatlah sesuatu. Kena ikhtiar kerana kejayaan tidak datang dengan mudah, dengan begitu sahaja.

قُل يٰعِبادِ الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقوا رَبَّكُم ۚ لِلَّذينَ أَحسَنوا في هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرضُ اللهِ وٰسِعَةٌ ۗ إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ

Sahih International

Say, “O My servants who have believed, fear your Lord. For those who do good in this world is good, and the earth of Allah is spacious. Indeed, the patient will be given their reward without account.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.

 

 

قُلْ يٰعِبَادِ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang beriman,

Ini adalah perintah Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada orang-orang yang beriman. Dan kepada mereka yang telah beriman atas akidah tauhid.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Kalau hazf, ia membawa maksud ‘berterusan’:

Dalam kalimat عِبَادِ itu sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) tapi ي itu dihazafkan (dihilangkan). ي jenis ini dinamakan ya’ mutakallim (ya orang bercakap).

Dalam ilmu balaghah, ي ini dihazafkan adalah kerana hamba yang dimaksudkan adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia teruskan meningkatkan ketaqwaannya. Mereka ini jenis hamba yang sudah istiqamah dalam iman dan ibadah mereka. Kemudian ini akan terus disebut ganjaran mereka.

Syaratnya kena istiqamah dalam jaga iman. Bukan sekejap-sekejap sahaja, sekejap beriman dan sekejap tidak. Sampaikan mereka disuruh berhijrah kalau mereka tidak dapat menjaga iman mereka di tempat mereka tinggal.

Lagi satu, dihazafkan ya mutakallim  kerana jumlah mereka lebih kurang. Tidak ramai yang beriman kalau dibandingkan dengan mereka yang tidak beriman. Boleh bandingkan dengan ayat 53 surah ini juga. Dalam ayat ke 53, kalimah yang digunakan adalah عِبَادِي dan bukan عِبَادِ seperti dalam ayat ini.

Ada empat tempat dalam Al-Qur’an dimana ada hazaf pada kalimah عِبَادِ:

  1. Zumar:10 ini
  2. Zumar:16
  3. Zumar:17
  4. Zukhruf:68

Lebih banyak kalimah yang digunakan adalah عِبَادِي, sebagai contoh, boleh lihat ayat ke 53, surah Zumar ini.

 

اتَّقُوا رَبَّكُمْ

bertaqwalah kamu semua kepada Tuhan kamu semua,

Orang-orang yang telah beriman disuruh pula untuk bertaqwa. Ini menunjukkan bahawa iman dan taqwa itu tidak sama. Kalau seseorang itu beriman, belum tentu dia juga seorang yang bertaqwa. Tetapi gunakanlah asas iman yang dia telah ada itu untuk naik lagi ke tahap taqwa.

Maksud bertaqwa itu adalah ‘jaga hukum Tuhan’. Ikut apakah suruhanNya dan meninggalkan laranganNya dalam setiap masa. Termasuk dalam taqwa ini adalah takut kepada Allah ﷻ. Tetapi bukanlah bertaqwa itu hanya ‘takut’ sahaja. Malah lebih lagi kerana kalau ‘takut’ sahaja, perkataan ‘khauf’ lebih tepat.

Oleh itu, bertaqwa itu adalah sedar bahawa Allah ﷻ sentiasa melihat kita. Maka kerana kita yakin Allah ﷻ sedang melihat kita, maka kita akan berhati-hati dalam tindakan kita setiap hari. Kita akan jaga hukum dengan baik kalau tahu yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan kita.

Hendak buat apa-apa pun, kita akan tanya kepada diri kita: apa hukum perbuatan ini? Maknanya, dia jaga sungguh syariat yang Allah ﷻ telah sampaikan. Sama ada berkenaan hubungan dengan Allah ﷻ dan juga hubungan dengan manusia lain.

 

لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا

bagi orang-orang yang berbuat baik,

Tanda seseorang itu bertaqwa adalah mereka juga akan menjalankan amal kebaikan yang disuruh dilakukan oleh Allah ﷻ. Mereka akan mengisi hidup mereka dengan amal ibadat.

Mereka mengelokkan amal mereka supaya jadi betul balik. Mana-mana kesilapan yang mereka telah lakukan dahulu, mereka buang dan mereka mengaku bahawa apa yang mereka lakukan dulu adalah salah berdasarkan Al-Qur’an dan hadis. Dan apa yang kebaikan yang mereka buat, mereka akan tambahbaik lagi ke arah kesempurnaan.

Jangan kita degil dengan Tuhan. Kalau sudah tahu bahawa sesuatu amalan dan fahaman itu salah, maka tinggalkan sahaja. Malangnya, ada yang masih berdegil walaupun mereka sudah tahu kesilapan mereka akan mengundang malapetaka di akhirat.

Perkataan ‘ihsan’ juga ditafsirkan sebagai maksud ‘ikhlas’ dalam ertikata, kita melakukan sesuatu amal ibadat itu kerana Allah ﷻ sahaja – kerana mengharapkan balasan dan kerana suruhan dari Allah ﷻ sahaja, dan bukan sebab lain.

 

فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ

dalam kehidupan dunia ini, dia akan dapat kebaikan

Apabila seseorang Muslim itu berbuat kebaikan di dunia ini, dia akan mendapat kebaikan di akhirat nanti. Dan akan ada juga kebaikan untuknya di dunia. Di dunia lagi sudah mendapat kebaikan.

Allah ﷻ akan melapangkan dadanya dan memberikan ketenangan dalam dirinya. Dia akan tenang sahaja menjalani kehidupan dunia ini. Kebaikan di dunia ini bukanlah bermaksud kekayaan sahaja. Kerana kalau kaya harta tetapi tidak beriman, itu tidak baik sama sekali.

 

 

وَأَرْضُ اللهِ وٰسِعَةٌ

Dan bumi Allah itu luas,

Ayat ini merujuk kepada sahabat Nabi ﷺ yang tidak mahu berhijrah walaupun mereka telah ditindas di Mekah. Dan juga merujuk kepada Muslimin yang duduk dalam kawasan orang kafir, tetapi tidak mahu nak pindah.

Kenapa Allah ﷻ sebut bumiNya luas? Kalau kita rasa sudah tidak boleh hendak buat amal ibadat, maka eloklah kita pindah ke tempat lain yang lebih sesuai. Janganlah kita terpedaya dan terikat hati kita dengan harta sampai menyebabkan tidak mahu pindah.

Janganlah kita terkenang sangat kepada kampung halaman sampai tidak mahu tinggalkannya untuk mencari kebaikan. Kadangkala tempat tinggal kita tidak kondusif untuk mengamalkan Islam dengan sempurna. Maka kenalah berpindah.

Ini penting kerana ada orang yang kalah dengan suasana sekeliling sampai tidak boleh beramal ibadat. Jangan jadikan suasana sebagai alasan tidak dapat beramal. Kalau guna alasan itu, tidak akan diterima.

Ayat ini sudah memberi isyarat kepada para sahabaat di Mekah bahawa mereka akan berhijrah ke tempat lain. Ayat ini adalah isyarat kepada kebenaran untuk hijrah ke Habashah. Kerana kalau duduk di Mekah, tidak dapat mengamalkan agama dengan bebas.

Memang tidak ada ayat jelas suruhan dari Allah ﷻ untuk berhijrah, tetapi diberikan dengan isyarat sahaja. Oleh itu, beberapa sahabat telah berhijrah ke Habashah diketuai oleh Saidina Uthman رضي الله عنه.

Jadi, kalau kita duduk dalam kawasan yang tidak mengizinkan kita mengamalkan Islam dengan sempurna, maka kita kena tinggalkan tempat itu dan cari tempat lain.

Dan kalau sudah duduk dalam kawasan orang Islam, kena hidupkan suasana Islam. Kena mulakan pengajian tafsir Al-Qur’an di tempat itu kerana umat Islam kena faham apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana kalau kita tidak dapat mengamalkan agama kerana tempat kita tinggal itu tidak membenarkan, kita akan dipersalahkan dan tidak boleh menggunakan alasan itu untuk melepaskan diri. Begitulah firman-Nya:

Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu. (An-Nisa: 97)

Bagaimana pula dengan kita sekarang yang tinggal di Malaysia ini – nak hijrah ke mana pula? Hijrah ke masjid. Kerana keburukan yang banyak terjadi itu adalah di luar rumah dan luar masjid. Maknanya, tempat yang terkawal adalah di rumah kita dan di masjid. Kalau di luar ada banyak sangat masalah, maka duduk di rumah sahaja, jangan duduk lepak di luar sangat.

Kalau di rumah pun tidak selamat dan di masjid juga tidak selamat, maka kenalah cari tempat lain pula – sepertimana juga orang Mekah kena hijrah ke Habashah dan juga ke Madinah kerana hendak menjaga agama mereka. Carilah kawasan banyak orang-orang baik yang dapat beri semangat kepada kita untuk beramal dengan sempurna.

 

إِنَّمَا يُوَفَّى الصّٰبِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Sesungguhnya akan dibalas orang-orang yang sabar dalam amal ibadat mereka tanpa hisab.

Kalau kita sabar, susah letih dalam amalkan agama itu, terutama dalam hijrah itu, akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah ﷻ.

Dan memang kalau kita hendak mengamalkan Islam dengan sebenarnya, memang akan terima tentangan dari mereka yang tidak sedia menerimanya. Allah ﷻ memberitahu kita dalam ayat ini bahawa perjuangan dalam Islam adalah berat – memerlukan kesabaran yang tinggi dan ketabahan yang tidak kurang. Tetapi kesabaran mereka itu amat berbaloi.

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadis yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Jadi kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan dari Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Tetapi balasan kesabaran tidak ada kadar dan kerana itu dibalas dengan mengalir terus balasannya tanpa kiraan. Riwayat itu dari Anas bin Malik رضي الله عنه:

“Sehingga berkeinginanlah orang-orang yang sihat-sihat sahaja di dunia kalau kiranya dulu badannya digergaji dipotong-potong, setelah mereka lihat bagaimana kelebihan dan keistimewaan yang akan diterima oleh orang-orang yang sabar menderita itu.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar ayat 1 – 2 (Tauhid dalam ibadat)

PENGENALAN

Surah Zumar ini adalah tentang bagaimanakah cara untuk mempraktikkan tauhid. Apabila kita sudah faham tauhid, maka kita perlu menjalankan ibadah kepada Allah ﷻ dengan pemahaman tauhid. Janganlah kata faham tauhid, tetapi bila membuat amalan, hanya pakai ambil dari mana-mana sahaja. Kenalah amalan itu ikut sunnah dan kena ada dalil yang sahih.

Surah ini adalah penjelasan kepada ayat إِيّاكَ نَعبُدُ dalam Surah Fatihah. Dalam Fatihah, kita telah berjanji dengan Allah ﷻ yang kita hanya sembah Dia sahaja. Namun, adakah kita amalkan dengan cara begitu dalam kehidupan kita? Mari kita lihat dalam perbincangan surah ini.

Jadi, surah ini adalah amat penting sekali untuk kita memahaminya, kerana ia menjelaskan maksud ayat إِيّاكَ نَعبُدُ yang kita baca setiap hari dalam solat kita. Kalau setiap hari kita baca ayat itu, tetapi kita tidak faham apakah yang dimaksudkan, maka itu adalah salah sama sekali.

Surah ini diturunkan di Mekah dan seperti kebanyakan surah-surah Makkiah yang lain, ia banyak memperkatakan tentang tauhid. Kadang-kadang kita ada melakukan amalan-amalan ibadat, tetapi sebenarnya kita tidak mengamalkan ajaran tauhid dalam segenap kehidupan kita. Ayat ini mengajar kita bagaimana kita sepatutnya hidup dalam tauhid. 

Dalam surah ini, ada tiga bandingan yang diberikan untuk membezakan antara ahli tauhid dan tidak. Kita kena tengok sama ada kita termasuk dalam golongan tauhid atau tidak.

Dakwa Surah ini terdapat pada ayat ke 2: Ayat itu hendak memberitahu kita – hendaklah ibadat dan seru akan Allah ﷻ sahaja dalam tauhid. Tidak boleh campur aduk dengan sembah dan seru selain Allah ﷻ kerana itu adalah syirik dan amalan tawassul yang dilarang.


 

Ayat 1: Pembukaan surah dan galakan kepada Al-Qur’an. Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi dalil bahawa Al-Qur’an ini adalah daripada Allah ﷻ.

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Turunnya Kitab Al-Qur’an ini dari Allah, Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

 

تَنْزِيلُ الْكِتٰبِ

Turunnnya Kitab Al-Qur’an ini,

Permulaan Surah Zumar ini terus mengambil jalan cerita dari surah sebelumnya, Surah Shaad. Di akhir surah itu memperingatkan kepada manusia bahawa Al-Qur’an itu adalah peringatan bagi seluruh alam.

Sekarang dalam ayat ini, diteruskan dengan memperingatkan kita bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah ﷻ. Umumnya adalah bermaksud seluruh Al-Qur’an ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini – Surah az-Zumar;

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ  ini menunjukkan bahawa penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya.

Al-Qur’an ini tidak ada campur aduk dengan kalam yang lain. Dari manakah ia datang?

 

مِنَ اللهِ

adalah daripada Allah,

Bukan daripada Nabi ﷺ, malaikat atau wali-wali, atau dari entiti lain. Hanya daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Al-Qur’an ini kepada kita, oleh itu Al-Qur’an itu bukanlah dari kata-katanya. Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah ﷻ semata-mata – menurut arahan Allah ﷻ. Manusia pun bersifat hamba. Begitu juga Malaikat.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita: dengar baik-baik, Al-Qur’an ini daripada Allah ﷻ, bukan daripada orang lain. Oleh itu, jangan kita mempermainkannya dan jangan kita buat tidak endah kepadanya. Kenalah kita belajar Al-Qur’an itu dan tafsirnya. Bukan setakat membaca sahaja, tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Sangat sedih, masyarakat kita kalau surat daripada orang lain, kawan-kawan, kerajaan, majikan, malah surat dalam bentuk iklan pun mereka akan baca. Ini kerana nilai surat ini mengikut kedudukan pengirimnya. Kalau pengirimnya orang besar, orang penting, lagi kita pentingkan, bukan?

Namun, dengan Al-Qur’an, mereka buat tidak endah sahaja. Padahal ‘surat’ Al-Qur’an itu bukan dari sesiapa melainkan Allah ﷻ. Tidakkah kita malu dengan Allah ﷻ? Sedangkan kalau surat dari kekasih kita, berkali-kali kita tenung dan baca, tetapi apabila ‘surat’ dari Allah ﷻ, kita buat biasa sahaja.

Ingatlah, Al-Qur’an itu dari Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ terangkan sifat-Nya. Ini kerana untuk mengenal Allah ﷻ , Allah ﷻ telah terangkan dalam Al-Qur’an ini satu persatu tentang siapakah Diri-Nya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri sendiri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan dirinya sendiri. Kalau orang tidak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri saya, bukan? Bagaimana pula dengan Allah ﷻ? Tentulah Allah ﷻ paling layak mengenalkan diri-Nya, sifat-Nya, kemahuan-Nya dan kebencian-Nya.

Dan Allah ﷻ memang telah terangkan siapa Diri-Nya dalam Al-Qur’an ini dan ditambah lagi dengan pemberitahuan dari Nabi-Nya Muhammad ﷺ yang paling kenal Allah ﷻ. Jadi, untuk kenal Allah ﷻ, kenalah kita dapatkan maklumat dari sumber yang sahih, bukannya kita agak-agak sendiri.

Maka, hendak kenal Allah ﷻ kenalah belajar Al-Qur’an. Bukannya belajar tarekat untuk mengenal Allah ﷻ dengan cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah ﷻ – kononnya mereka panggil ilmu Makrifat. Mereka banyak beramal dengan cara yang bidaah malah dengan cara yang syirik pun ada.

Cara amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ kerana yang mencipta cara yang mereka buat itu adalah mereka sendiri. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasawuf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia. Belajarlah Al-Qur’an dan hadis dahulu, supaya kita faham dua sumber agama yang utama, sebelum kita hendak mengambil dari sumber-sumber yang lain.

Kemudian, Allah ﷻ terangkan Sifat-sifat-Nya:

 

الْعَزِيزِ

Aziz: Maha Perkasa.

Kalau kamu hendak melawan Allah ﷻ, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadap-Nya. Dia Maha Perkasa dari segala-galanya. Kebal daripada segala ancaman musuh dan tidak terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan kita.

Allah ﷻ tidak pun akan terkesan daripada apa perkara sekalipun. Kerajaan-Nya tetap seperti biasa. Tiada siapa boleh menentang-Nya. Sama ada kita hendak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah ﷻ jadi kurang martabat-Nya.

Tidaklah Allah ﷻ seperti manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa. Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau ditentang, lemahlah dia. Jika tiada sokongan, rebahlah seseorang ketua atau pemimpin itu.

Akan tetapi, Allah ﷻ tidak begitu sifat-Nya. Walaupun seluruh makhluk menentang-Nya, kuasa Allah ﷻ tidak akan sedikit pun berkurangan. Jika  kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan pun, tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan dan kepatuhan kita. Bukan dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah ﷻ Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Al-Qur’an kerana Allah ﷻ menegaskan bahawa turunnya Al-Qur’an adalah daripada Allah ﷻ yang bersifat Al-Aziz. Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa. Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah ﷻ, tidakkah layak untuk kita patuh kepada-Nya? Ada lagikah yang lagi perkasa dari Allah ﷻ?

Disebabkan sifat-Nya yang tiada tandingan, Allah ﷻ boleh membuat apa-apa sahaja, kepada siapa-siapa sahaja, mengikut kehendak-Nya. Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang. Polis, askar mahupun ulama, semuanya takut kepada dia.

Maka disebabkan semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu. Perkara sebegini sebenarnya, tidak berlaku pada manusia. Sekuat mana pun seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah ﷻ .

Kuasa Allah ﷻ itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa mereka itu. Mereka akan tindas orang, buat sesuka hati mereka. Allah ﷻ memang Maha Perkasa, tetapi Allah ﷻ sertakan sifat kedua, iaitu:-

 

الْحَكِيمِ

Hakim: Allah Maha Bijaksana,

Allah ﷻ Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan tetapi sifat itu diimbangi dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimiliki-Nya itu.

Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah ﷻ  tetapkan, pada kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah ﷻ tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru. Allah ﷻ yang tetapkan manusia ada yang kaya dan ada yang miskin. Namun, ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah ﷻ. Ada yang ibu bapanya musyrik, tetapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah ﷻ sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkan-Nya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan yang tidak betul. Allah ﷻ mencipta manusia sebaik-baiknya untuk layak terima Al-Qur’an. Jangan kata seseorang itu bebal tidak boleh belajar maksud Al-Qur’an. Ini kerana Allah ﷻ telah jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian, dan dia pasti boleh terima pengajaran Al-Qur’an – kalau dia membuka pintu hatinya.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilan-Nya. Mengikut hukum yang Dia telah tetapkan. Siapa kufur, masuk neraka. Siapa beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum, Allah ﷻ telah tentukan. Hanya Allah ﷻ  sahaja yang boleh buat hukum. Manusia mengikut hukum, bukan membuat hukum. Hendak membuat hukum, mestilah satu entiti yang bersifat Al Hakim. Ini kerana Allah ﷻ Maha Bijaksana. Sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu hakim – yang bijaksana.

Allah ﷻ sememangnya Maha Bijaksana, sebagai contoh, Allah ﷻ akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubat. Walaupun Allah ﷻ bersifat al-Aziz – Maha Gagah Perkasa, jadi Allah ﷻ boleh buat apa sahaja, sebenarnya. Namun, Allah ﷻ tidak terus beri hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, terus mati dan sebagainya.

Tidaklah orang yang sembah patung Hindu itu jadi apa-apa, sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah ﷻ membiarkan sahaja. Supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah yang menentang Nabi ﷺ itu, mereka ramai yang selamat sahaja, tidak terus Allah ﷻ berikan azab kepada mereka walaupun mereka kata macam-macam perkara buruk tentang Nabi ﷺ. Cuma apabila mereka mati dan tidak bertaubat, maka siaplah tempat mereka di neraka.

Oleh itu, secara ringkasnya, maksud al-Hakim ada dua: [Yang Maha Bijaksana] dan [yang menetapkan hukum].

    1. Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Al-Qur’an itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Oleh itu, hendaklah kita mengikutinya. Kalau kita mengikuti ajaran dalam Al-Qur’an itu, kita adalah orang yang bijak.
    2. Dalam Al-Qur’an itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

 

Ayat 2: Ayat ini adalah Dalil Wahyi. Titah khusus kepada penerima, yang pertama sekali adalah Nabi Muhammad ﷺ. Tujuannya adalah mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadat.

إِنّا أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ فَاعبُدِ اللهَ مُخلِصًا لَّهُ الدّينَ

Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur’an ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat

 

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (Muhammad) Al-Qur’an yang mengandungi kebenaran.

Al-Qur’an mengandungi kebenaran. Oleh itu, jika kita hendak mencari kebenaran, ia ada di dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an itu diturunkan dengan tujuan yang besar – membawa kebenaran. Kebenaran tentang Allah ﷻ, tentang tauhid dan cara kita mengamalkan kehidupan kita. Bukan perkara main-main yang disebut dalam Al-Qur’an ini.

Ia juga bermaksud semua yang ada dalam Al-Qur’an ini adalah benar. Tidak ada kesalahan dari awal hingga akhir.

Ayat ini juga menolak kata-kata orang kafir yang mengatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah hasil karangan dari Nabi Muhammad ﷺ. Dari dahulu sampai sekarang ada sahaja yang mengatakan sedemikian. Kehebatan yang tertera dalam Al-Qur’an itu sendiri telah menolak kemungkinan yang ia adalah tulisan tangan manusia. Takkan manusia mampu untuk menulis satu kitab yang seperti Al-Qur’an ini – tidak masuk akal. Mereka yang berkata itu adalah kerana degil sahaja untuk menerima yang Al-Qur’an ini dari Allah ﷻ.

 

فَاعْبُدِ اللهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ

Maka oleh itu, hendaklah kamu puja, sembah Allah Dengan tulus ikhlasnya kepada Allah sahaja.

Maka, setelah kita pasti bahawa Al-Qur’an itu adalah Kalam Allah ﷻ, ia pula benar, maka hendaklah kita menyembah-Nya seperti yang telah disuruh oleh-Nya dalam Al-Qur’an itu. Hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Ibadat itu ada banyak jenis:

    • Dengan perasaan
    • Dengan anggota zahir
    • Dengan lafaz perkataan
    • Ada yang dilakukan dengan tetap duduk di satu-satu tempat (iktikaf)
    • Ada yang dilakukan dengan menahan (puasa)
    • Ada yang dilakukan dengan meninggalkan sesuatu (seperti Haji)

Apabila perkara-perkara di atas dilakukan untuk selain dari Allah ﷻ, itu adalah syirik dalam ibadah.

Perkara paling penting yang disebut dalam keseluruhan Al-Qur’an adalah tentang mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadah dan doa. Kena ingat, lafaz ‘deen’ dalam Al-Qur’an sekurang-kurangnya ada dua makna dan untuk mentafsirkan deen, kena sebut dua makna tersebut. Ia boleh membawa maksud [ibadah] dan juga [doa]. Maknanya adalah: mentauhidkan Allah ﷻ dalam segala perbuatan ibadah dan doa kita.

Oleh itu, bukan sahaja dalam ibadat, tetapi dalam berdoa pun, kita hendaklah mentauhidkan Allah ﷻ. Dalilnya seperti di dalam surah al-Fatihah, iaitu pada ayat iyyaka na’budu waiyaaka nastain; iaitu kepada Kamu kami beribadah dan kepada Kamu kami minta bantuan.

Di sini ibadah mempunyai dua tafsiran iaitu ibadah dan juga doa. Hendaklah kamu mentauhidkan ibadah kamu kepada Allah ﷻ semata-mata. Ibadah kita wajib bebas daripada syirik. Hendaklah kita sucikan ibadah dan doa kita daripada syirik. Dalam hadith, Nabi ﷺ pernah berkata bahawa ‘Doa adalah tunjang ibadah’.

Oleh itu, apa sahaja perkataan ‘ibadah’ dalam Al-Qur’an kena tafsirkan dua-dua maksud ibadah ini – doa dan ibadah dan ini adalah dakwa atau maksud surah ini. Maksud surah ini adalah hendaklah mentuluskan ibadah hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Semua ayat dalam surah ini adalah untuk mentauhidkan Allah ﷻ. SEMATA-MATA HANYA KEPADA ALLAH ﷻ. Tentang ibadah doa akan diceritakan di dalam surah yang lain iaitu dalam Surah Ghafir.

Jadi apabila kita kata solat kena tulus ikhlas, makna sebenar tulus ikhlas itu adalah tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Selain dari tidak melakukan syirik, kita juga dilarang dari buat amalan bidaah dalam solat itu. Oleh itu, dalam amalan ibadat seharian kita, kena ikut apa yang diajar agama melalui Al-Qur’an dan Sunnah.

Kita disuruh untuk mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah ﷻ. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ikhlas’?

Kita dikatakan ikhlas jikalau kita buat sesuatu ibadat itu atas kehendak sendiri tanpa perlu ada orang suruh. Kita buat ibadat itu kerana Allah ﷻ semata-mata, bukan kerana orang lain suruh. Bukan kerana kita mengharapkan bayaran dari orang lain atau bukan kerana kita buat ibadat itu kerana kita malu kepada orang lain yang tengok kita. Itulah makna ikhlas yang kita selalu faham.

Kalau buat juga, itu adalah syirik khafi (syirik tersembunyi). Ini bahaya kerana itu maksudnya buat ibadat, tetapi terkesan dengan orang. Contoh kalau dia solat sendiri, solat dia biasa sahaja, tetapi kalau ada orang yang tengok, solat dia lebih baik. Maknanya, dia terkesan dengan orang, dia hendak menunjuk solat dia bagus. Dia mengharap dipuji atau dia takut dia dikeji kalau dia buat sambil lewa sahaja. Kalau suka dipuji, ini digelar: sum’ah. Ini boleh menyebabkan amal ibadatnya tidak diterima oleh Allah ﷻ.

Namun, adakah itu sahaja maksud ‘ikhlas’? Adakah sama ikhlas kita dengan ikhlas agama lain? Mari kita bincangkan.

Ikhlas yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah ikhlas dalam hati tetapi bagaimana pula dengan ikhlas dalam perbuatan? Satu lagi konsep ikhlas adalah: melakukan sesuatu ibadat mengikut cara yang Allah ﷻ mahukan, iaitu melalui apa yang Dia ajar melalui Al-Qur’an dan Hadith.

Kita ambil contoh penyembelihan binatang. Ia adalah satu ibadat. Contohnya, kita sembelih binatang korban pada perayaan Hari Raya Haji. Namun, ada juga golongan masyarakat kita yang sembelih binatang atas suruhan tok bomoh sebab hendak memberi makan kepada jin. Ini kerana bomoh itu kata, kalau hendak sihat dari gangguan jin hantu, kena sembelih seekor kambing, contohnya.

Sembelihan itu, walaupun dibaca Bismillah semasa menyembelihnya, haram dimakan dagingnya. Ia lebih haram daripada makan daging babi kerana ia tidak ikhlas. Sembelihan itu bukan kerana Allah ﷻ tetapi kerana hendak memberi makan kepada jin, dan kerana atas suruhan bomoh.

Satu lagi contoh adalah puasa. Bukan agama Islam sahaja yang ada ibadat berpuasa, tetapi agama lain juga ada ibadat puasa. Cuma cara agama lain berpuasa berbeza daripada cara yang disyariatkan dalam Islam. Persoalannya, adakah ibadah puasa mereka diterima? Tentu tidak, kerana ikhlas mereka itu tidak mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh agama.

Selain itu, iktikaf juga adalah satu bentuk ibadat. Agama lain pun ada iktikaf juga di rumah ibadat mereka – di gereja, sinagog, kuil dan sebagainya. Adakah semua iktikaf itu  diterima oleh Allah ﷻ? Tidak sekali-kali. Hanya iktikaf yang mengikut cara yang Allah  ﷻ  syariatkan sahaja akan diterima. Begitu juga dengan ibadat-ibadat di atas tadi. Walau bagaimana ikhlas pun mereka buat ibadat mereka, tetapi kalau mereka buat tanpa mengikut syariat Islam, maka ibadat itu tidak diterima.

Kita juga selalu sebut yang Nabi ﷺ itu adalah contoh tauladan yang patut diikuti. Amal ibadat yang kita buat mesti ikut sunnah Nabi ﷺ, baru boleh ia dipanggil ‘amal soleh’. Kalau ibadat selain dari itu, tidak diterima. Jangan buat sesuatu amal ibadat kalau tiada dalil. Perbuatan yang ikhlas bukanlah satu dalil yang boleh dipakai kerana ada juga yang beri hujah: “kalau kita buat ikhlas, tentu Allah ﷻ akan terima.” Ini tidak benar, kerana Allah ﷻ bukan sahaja menetapkan kita buat kerana kita ikhlas dalam hati, tetapi kita kena ikhlas dalam perbuatan juga.

Contoh: Katakanlah kita iktikaf di masjid. Orang Kristian turut iktikaf juga, tetapi di gereja. Orang Hindu pula iktikaf di kuil dia. Agaknya ikhlas tidak perbuatan mereka itu? Tentulah mereka ikhlas melakukan ibadat mereka itu. Kalau tidak ikhlas, tentu mereka tidak akan buat. Bukan ada sesiapa upah mereka untuk buat ibadat mereka itu. Tiada siapa yang bayar.

Macam kita juga, kalau iktikaf, tidak ada siapa yang bayar. Bayangkan paderi tu, rela mereka tidak kahwin sampai bila-bila, sampai tiada zuriat dan tiada rumah, hanya tinggal di gereja itu sahaja. Kalau kita bandingkan dengan imam kita yang tinggal berdekatan masjid, mereka boleh lagi kahwin. Boleh menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Jadi kalau hendak dibandingkan tahap ikhlas, mungkin orang kafir itu lebih ikhlas daripada kita.

Sami Buddha itu pula, sanggup pakai kain dua lapis itu sahaja, jalan pula tidak pakai kasut pun. Duduk sampai mati di tempat ibadat mereka. Adakah iktikaf mereka diterima oleh Allah ﷻ ? Tentu sekali tidak diterima ibadat mereka itu sebab ibadat tersebut tidak mengikut sunnah yang dibawa Nabi ﷺ atau tidak ikut undang-undang Islam seperti apa yang Allah ﷻ hendak.

Jadi ‘ikhlas’ itu mesti mengikut sunnah. Mesti ikhlas sepertimana yang Allah ﷻ hendak. Kalau buat ibadat, tetapi tidak ikut seperti yang Nabi ﷺ suruh, maka tidak diterima. Saidina Umar رضي الله عنه pernah berkata yang mafhumnya: “kalau tidak tahu apa perbuatan Arab Jahiliyyah, belum tentu iman seseorang itu betul.” Agaknya agama apa sebenarnya Orang Arab Musyirikin itu?

Memang kita tahu mereka sembah berhala dan ilah-ilah yang lain tetapi mereka juga buat ibadat Haji kerana mereka duduk dekat dengan Kaabah. Sahabat pernah kata yang pada zaman Jahiliah, mereka wukuf juga di Muzdalifah pada musim Haji. Mereka lakukan itu pun pada 9 Zulhijah juga. Mereka juga melontar di tiga-tiga Jamrah. Tawaf pun sama sahaja dengan tawaf yang kita lakukan. Cuma mereka buat dalam keadaan bertelanjang. Mereka ada ubah dari ajaran Nabi Ibrahim  عليه السلام yang asal.

Sahabat juga kata mereka ambil wuduk dulu sebelum sembahyang. Maknanya, mereka pun wuduk dan sembahyang juga, cuma mereka sembahyang dua rakaat sahaja. Lain sikit cara sembahyang mereka. Nabi ﷺ pernah melakukan solat waktu pagi iaitu waktu Dhuha. Ini sebelum baginda menjadi Nabi. Sahabat kata mereka dulu sudah buat pun solat sunat Dhuha itu.

Mereka juga dibenarkan untuk tunaikan nazar yang mereka buat semasa zaman Jahiliyyah iaitu pernah Saidina Umar رضي الله عنه bernazar untuk melakukan iktikaf di Masjidil Haram. Maka, apabila dia sudah masuk Islam, dia bertanya kepada Nabi ﷺ adakah dia kena penuhi nazarnya itu? Nabi ﷺ katakan dia kena tunaikan. Maknanya, amalan bernazar itu sendiri sudah ada. Hukum kahwin cerai dulu pun ada juga. Cuma boleh rujuk walaupun selepas tiga kali cerai.

Jadi terdapat persamaan antara ibadat mereka dan kita. Jadi apa ugama mereka? Dalam Al-Qur’an, apabila ditanyakan kepada mereka, siapakah pencipta langit dan bumi? Mereka akan jawab: Allah ﷻ! Mereka juga tahu siapa yang beri rezeki iaitu Allah ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka.

Dan rasul mereka adalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام  tetapi mereka dipanggil kaum Musyrik sebab mereka juga sembah berhala. Mereka mempunyai ilah selain dari Allah ﷻ. Untuk memahami perkara ini, kita kena faham apakah akidah mereka sampai mereka dipanggil ‘Musyrikin Mekah’.

Selain dari itu, lafaz فَاعْبُدِ juga menyuruh kita untuk ‘menghambakan’ diri hanya kepada Allah ﷻ. Selalunya disebut ‘ubudiyyah’. Kehidupan kita mestilah untuk menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan kita buat ibadat tidak tinggal kepada Allah ﷻ, tetapi dalam perkara lain kita tidak ikut – sebagai contoh, berbuat zalim kepada orang lain, bercakap baik kepada orang lain dan sebagainya.

Perkataan الدِّينَ itu juga bermaksud ‘cara hidup’. Allah ﷻ telah memberi banyak suruhan dalam Al-Qur’an dan melalui ajaran Nabi-Nya Muhammad ﷺ. Pengajaran itu bukan hanya dalam ibadat seperti Solat, Puasa dan Haji sahaja, tetapi dalam segenap kehidupan kita. Adakah kita hanya ikut suruhan Allah ﷻ dalam ibadat khusus sahaja namun, tidak mengikut Allah ﷻ dalam perkara lain?

Oleh kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ada orang yang tidak tinggal sembahyang, tetapi mereka tidak ada masalah untuk memakan harta riba.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani