Tafsir Surah al-An’am Ayat 59 – 61 (Allah yang menghidup dan mematikan)

An’am Ayat 59: Ini adalah ayat jenis Dalil Aqli. Ia menyebut tentang ilmu Allah ‎ﷻ yang maha luas.

۞ وَعِندَهُ مَفاتِحُ الغَيبِ لا يَعلَمُها إِلّا هُوَ ۚ وَيَعلَمُ ما فِي البَرِّ وَالبَحرِ ۚ وَما تَسقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلّا يَعلَمُها وَلا حَبَّةٍ في ظُلُمٰتِ الأَرضِ وَلا رَطبٍ وَلا يابِسٍ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

Sahih International

And with Him are the keys of the unseen; none knows them except Him. And He knows what is on the land and in the sea. Not a leaf falls but that He knows it. And no grain is there within the darknesses of the earth and no moist or dry [thing] but that it is [written] in a clear record.

Malay

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ

Dan hanya pada sisi Allah-lah kunci-kunci khazanah ghaib;

Tidak ada sesiapa selain Allah ‎ﷻ yang ada kunci khazanah perkara ghaib. Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu perkara ghaib. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib (Para Rasul hanya tahu setelah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ). Jadi kalau ingin mengetahui perkara ghaib, mesti dapatkan maklumat itu daripada Allah ‎ﷻ. Bukanlah kena dapatkan daripada guru sesat yang kononnya boleh tahu pula perkara ghaib. Itu karut sahaja.

Antaranya mereka kata guru mereka boleh “scan” jin. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu apa yang akan terjadi. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu bilakah hari Kiamat akan berlaku – pelbagai kesesatan yang disampaikan oleh mereka yang kadang-kadang digelar ‘guru’.

لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia (Allah),

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib. Maka perkara ini perlu difahami benar-benar supaya tidak mudah ditipu oleh golongan sesat.

Antara masalah yang manusia hadapi adalah tentang jin. Maka ramailah manusia yang sangka ada orang yang boleh “scan” jin, nampak jin, kawal jin, kawan dengan jin, bunuh jin dan sebagainya. Padahal kalau kita baca dalam Surah Jin, Nabi ﷺ sendiri pun tidak dapat tahu kehadiran jin yang mendengar bacaan Al-Qur’an yang dibaca oleh baginda.

Salah satu perkara ghaib adalah kejadian masa hadapan. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Malangnya banyak dalam kalangan manusia yang percaya masa hadapan boleh diramal. Jadi ada yang menggunakan ilmu Feng Shui, bomoh, ahli nujum, astrologi, Kad Tarot dan berbagai lagi cara syirik yang manusia lakukan.

Kalau dalam kalangan orang Islam pula, ada yang percaya terdapat wali-wali yang kononnya ada ilmu kasyaf iaitu tabir yang menghalang daripada melihat sesuatu perkara ghaib itu telah diangkat. Jadi orang itu kononnya boleh nampak perkara ghaib, boleh tahu masa hadapan, boleh ramal itu dan ini. Ini adalah satu penipuan. Ada melibatkan campurtangan jin dalam perkara ini.

وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dan hanya Dia yang mengetahui apa yang di daratan dan di lautan,

Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu segala-galanya yang terjadi dalam bumi ini, sama ada di daratan atau lautan. Maknanya, Allah ‎ﷻ tahu apa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Dan itu hanya di dunia sahaja. Allah ‎ﷻ bukan hanya tahu hal di dunia ini, tetapi seluruh alam ini. Cuma ditekankan dalam ayat ini darat dan laut kerana kita tinggal di dunia ini dan kita boleh nampak daratan dan lautan setiap hari.

Ini pun termasuk dalam bab Tauhid juga. Perbincangan Tauhid bukanlah menceritakan tentang Allah ‎ﷻ sahaja satu-satunya Tuhan. Akan tetapi ada banyak lagi. Antaranya adalah beriktikad yang sifat-sifat Allah ‎ﷻ tidak dimiliki oleh mana-mana makhluk. Satu sifat pun tidak boleh diberikan kepada makhluk. Kalau itu berlaku, bermaksud kita telah melakukan syirik.

Antara syirik yang dilakukan oleh manusia adalah bab ilmu. Ada fahaman sesat yang mengatakan ada makhluk yang tahu ilmu ghaib. Sedangkan mengetahui ilmu ghaib, mengetahui segala-galanya adalah Allah ‎ﷻ sahaja.

Salah satu contoh adalah fahaman Sufi Bathiniah yang mengatakan ada wali-wali yang menjadi Ahli Naubah boleh tahu segala apa yang berlaku, yang akan berlaku dan mereka boleh menentukan apa yang akan berlaku.

وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا

dan tiada sehelai daun (dan kelopak) pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya,

Kalau sebelum ini mengenai benda besar (alam) maka sekarang Allah ‎ﷻ sebut benda kecil-kecil pun Allah ‎ﷻ tahu. Allah ‎ﷻ berikan contoh daun yang di seluruh alam ini. Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja daun yang gugur, bilakah ia gugur, berapa lama masa yang diambil untuk ia gugur, di mana ia gugur dan selepas itu apa akan jadi kepada dedaunan dan kelopak bunga yang gugur itu dan segala-galanya tentangnya.

Kalau benda yang sekecil itu pun Allah ‎ﷻ tahu, apatah lagi kalau benda lain. Maknanya, Allah ‎ﷻ tahu segala perkara. Termasuk yang Dia tahu adalah segala perbuatan kita, segala detik hati kita. Maka kalau kita dapat faham perkara ini maka kita tidak akan berani hendak melakukan dosa kerana kita tahu yang Allah ‎ﷻ mengetahui segala perbuatan kita.

وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمٰتِ الْأَرْضِ

dan tidak sebutir biji pun dalam kegelapan bumi,

Allah ‎ﷻ tahu tentang biji-bijian dalam kegelapan malam pun. Ini termasuklah biji benih yang ditanam dalam tanah. Sudahlah bijian itu kecil, dalam kegelapan bumi pula lagi. Termasuk juga semua biji-bijian yang walaupun tidak tertanam dalam tanah. Tidak kiralah sama ada terdedah, tersembunyi atau tidak. Semuanya Allah ‎ﷻ tahu dan tidak ada yang tersembunyi bagi Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ tidak malu menggunakan contoh-contoh benda yang kecil pun untuk mengingatkan kita kepada-Nya. Sepatutnya kita dalam melihat kepada benda yang kecil pun boleh memikirkan tentang Allah ‎ﷻ.

وَلَا رَطْبٍ

dan tidak sesuatu yang basah

Perkataan رطب asalnya merujuk kepada buah tamar yang masih ranum, masih segar lagi. Semasa masak, ia berada dalam keadaan basah. Maka sebab itulah digunakan perkataan رَطْبٍ untuk merujuk kepada ‘sesuatu yang basah’.

Contoh tamar digunakan kerana masyarakat Arab amat biasa dengan buah tamar dan mereka adalah penerima wahyu yang awal. Maka, contoh-contoh dalam Al-Qur’an kebanyakannya akan menggunakan perkara-perkara yang mereka biasa dengannya.

وَلَا يَابِسٍ

atau yang kering,

Perkataan يبس adalah lawan kepada رطب. Jadi ia bermaksud sesuatu yang kering, kecut, sudah layu.

Ada juga yang mengatakan bahawa perkataan رطب merujuk kepada benda yang hidup seperti manusia dan binatang kerana semua yang bernyawa ada air di dalamnya.

Dan perkataan يبس merujuk kepada benda yang tidak bernyawa seperti batu, plastik dan sebagainya.

Kalimah رطب juga dikatakan bermaksud lidah yang ingat kepada Allah ‎ﷻ. Seperti sabda Nabi ﷺ yang menyuruh kita membasahkan lidah dengan zikir kepada Allah. Oleh itu, يَابِسٍ bermaksud lidah yang tidak zikir kepada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan yang Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita lakukan. Termasuk sama ada kita zikir ataupun tidak.

إِلَّا فِي كِتٰبٍ مُّبِينٍ

melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”

Semuanya Allah ‎ﷻ tahu (Ilmu Ilahi) dengan segala terperinci. Apa sahaja yang wujud dan berlaku, ada pengetahuannya pada Allah ‎ﷻ. Ia sudah tertulis di dalam Kitab Lauh Mahfuz yang telah menulis semua perkara yang akan terjadi sampailah Kiamat nanti. Ia digelar kitab yang nyata kerana apa yang tertulis di dalamnya pasti akan berlaku dan tidak akan berubah.


An’am Ayat 60: Ini satu lagi sifat Allah ‎ﷻ yang tidak ada pada sesiapa. Oleh kerana itu tidak boleh ingkar adanya Kiamat kerana Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja. Sekarang Allah ‎ﷻ beri dalil dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ menggunakan contoh tidur yang setiap hari terjadi kepada kita.

Kiamat nanti kita akan mati, dan akan dihidupkan kembali. Sekarang belum Kiamat lagi tetapi Allah ‎ﷻ sudah beri perumpamaannya kepada kita dalam bentuk tidur dan bangun daripada tidur.

وَهُوَ الَّذي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيلِ وَيَعلَمُ ما جَرَحتُم بِالنَّهارِ ثُمَّ يَبعَثُكُم فيهِ لِيُقضىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى ۖ ثُمَّ إِلَيهِ مَرجِعُكُم ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

And it is He who takes your souls by night and knows what you have committed by day. Then He revives you therein that a specified term may be fulfilled. Then to Him will be your return; then He will inform you about what you used to do.

Malay

Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.

وَهُوَ الَّذِي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيْلِ

Dan Dialah yang mengambil roh kamu di malam hari

Perkataan يَتَوَفَّاكُم daripada katadasar و ف ي yang bermaksud ‘mengambil sesuatu dengan lengkap’. Ambil sepenuhnya sehingga tiada apa-apa lagi yang tinggal. Selalunya digunakan untuk bermaksud ‘mematikan’ kerana keseluruhan Roh akan diambil oleh Allah ‎ﷻ apabila telah habis ajal seseorang.

Digunakan dalam ayat ini untuk bermaksud ‘tidur’ kerana waktu kita tidur, roh kita akan dipisahkan daripada badan. Manusia ada dua jenis roh. Satu dinamakan ‘roh hayat’ dan satu lagi ‘roh kesedaran’. Apabila kita tidur, hanya roh kesedaran kita sahaja yang diambil.

Tetapi kita tidak mati lagi kerana roh hayat masih ada lagi. Oleh kerana bukan semua roh diambil, maka perkataan يَتَوَفَّاكُم digunakan. Iaitu ia dalam bentuk isim fa’il. Allah ‎ﷻ menyebut bahawa Allah ‎ﷻ menidurkan kita seperti juga difirmankan dalam ayat Zumar:42.

Kalimah اللَّيْلِ ‘Malam hari’ disebut dalam ayat ini kerana kebiasaannya manusia akan tidur waktu malam. Fitrah manusia memang memerlukan tidur di malam hari. Kalau kita tidak tidur di malam hari, maka kita telah melawan fitrah yang Allah ‎ﷻ telah jadikan untuk manusia. Maka akan ada masalah di siang hari nanti, jika kita melawan fitrah ini.

Malangnya, ramai yang tidur lambat di malam hari sampaikan mereka tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya pada siang hari. Ada yang buang masa dengan bermain game, ada yang clubbing dan sebagainya. Lainlah kalau dia beribadat, barulah ada faedah untuknya. Namun begitu, untuk qiyamullail juga, sunnah mengajar kita bagaimana Nabi ﷺ pun tidur sebelum baginda bangun mengerjakan salat malam.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa tidur itu diberi oleh Allah ‎ﷻ. Tidur itu pun suatu nikmat juga. Kalau Allah ‎ﷻ tidak berikan kita nikmat tidur walaupun di malam hari, maka kita pun tidak dapat tidur. Pusinglah macam mana pun, tetapi kita tidak dapat tidur.

Kita tidak dapat kawal sepenuhnya tidur kita. Kadang-kadang kita hendak sangat tidur tetapi tidak boleh tidur juga. Kadang-kadang kita tidak mahu tidur, tetapi Allah ‎ﷻ tidurkan juga kita. Sebagai contoh, kita sedang memandu tetapi keadaan mengantuk sangat dan mata (otak sebenarnya) buat keputusan untuk tidur sendiri (dipanggil micro sleep). Entah berapa ramai yang tertidur semasa sedang memandu itu dan kerana itu banyak kejadian kemalangan yang berlaku.

Jadi, kalau kita ada masalah dengan tidur kita, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk memperbetulkannya kerana tidur itu dikawal oleh Allah ‎ﷻ. Kita mintalah kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi nikmat tidur kepada kita. Tidur ini pun memang satu masalah besar kepada manusia. Memang kita memerlukan kualiti tidur yang bagus. Bukan sahaja dapat tidur, tetapi ‘kualiti’ tidur itu pun penting juga. Ini dinamakan “deep sleep”.

Kalau kita tidak dapat tidur di malam hari, mungkin itu bermakna Allah ‎ﷻ hendak kita salat dan berdoa kepada-Nya. Mungkin waktu itulah kalau kita berdoa, doa itu akan dimakbulkan. Daripada berpusing-pusing atas katil tidak boleh tidur, baik kita bangun untuk salat, baca Al-Qur’an dan berdoa kepada-Nya.

Maka Allah ‎ﷻhendak memberitahu yang Dia boleh ‘matikan’ kita di malam hari, Allah ‎ﷻ boleh ambil roh kita bagaimana Dia kehendaki. Maka Allah ‎ﷻ tentu sahaja boleh mematikan kita terus dan jadikan Kiamat sebagaimana kehendak Dia.

وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُم بِالنَّهَارِ

dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari,

Tadi Allah ‎ﷻ menceritakan tentang malam. Sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang siang pula. Apa sahaja yang kita lakukan pada siang hari, Allah ‎ﷻ mengetahui mengenainya. Kalimah جَرَحْتُم daripada katadasar ج ر ح yang asalnya bermaksud ‘memberi luka kepada seseorang’.

Dalam ayat ini boleh bermaksud ‘perbuatan yang dilakukan oleh seseorang’. Macam-macam perbuatan yang kita lakukan sepanjang hari. Perbuatan itu boleh jadi perbuatan yang baik dan boleh jadi perbuatan yang jahat.

Jadi, Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang kita lakukan sepanjang hari kita. Oleh itu hendaklah kita memikirkan apakah yang kita lakukan sepanjang hari dari pagi sampai ke malam. Adakah ia sesuatu yang buang masa sahaja atau adakah ia sesuatu yang akan beri manfaat kepada kita di hari akhirat nanti? Tidakkah kita malu yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan perbuatan kita itu kalau perbuatan kita itu mengundang dosa?

ثُمَّ يَبْعَثُكُمْ فِيهِ

kemudian Dia membangunkan kamu padanya (siang hari)

Setelah kita telah tidur di malam hari kemudiannya apabila menjelangnya siang, maka Allah ‎ﷻ akan bangunkan kita. Bangun di siang hari juga adalah satu nikmat. Kerana ada yang Allah ‎ﷻ tidak bangunkan terus. Sebab itu kita diajar untuk mengucapkan syukur apabila kita bangun daripada tidur. Lihat doa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ:

الحَمْد لِلّهِ الّذِي أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْر

Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nya kami akan kembali.

Waktu siang memang waktu untuk berjaga. Sebab itu adalah amat susah untuk kita tidur pada siang hari. Sudahlah cahaya terang, bunyi pula bising ketika itu kerana memang manusia lain sedang bekerja dan bergerak. Memang waktu siang bukan keadaan yang sesuai untuk tidur. Kecuali kalau kita penat sangat atau kita tidak sihat pada waktu itu.

Tujuan apa Allah ‎ﷻ hidupkan kita semula di pagi hari?

لِيُقْضَىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى

untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan,

Masa kita daripada kita mula lahir sampai kita mati telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Itulah yang dinamakan ‘ajal’. Ajal itu bermaksud masa yang telah ditetapkan dari saat kita lahir sampailah kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. Kita akan memenuhkan masa itu. Selagi belum sempurna masa itu, Allah ‎ﷻ akan beri kita bangun daripada tidur lagi.

Kalimah لِيُقْضَىٰ bermaksud ‘untuk disempurnakan’. Bermakna kehidupan kita di dunia ini bukan untuk disia-siakan. Ada tujuan kita hidup ini dan ia hendaklah disempurnakan.

Satu persoalan: memang kita tahu tujuan dan tugas kita di dunia ini iaitu untuk menjadi hamba Allah ‎ﷻ dan beribadat kepada-Nya. Tetapi BAGAIMANA kita memenuhi tanggungjawab itu? Sepanjang kita hidup dari pagi sampai ke malam hari, adakah kita buat sesuatu untuk mencapai tujuan hidup kita itu?

ثُمَّ إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ

kemudian kepada Allah-lah kamu kembali,

Sama ada kamu mahu atau tidak, kamu akan dimatikan dan akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Sama ada kamu bersedia atau tidak. Sama ada kamu muda atau tua. Kematian datang tidak mengenal usia. Bila-bila masa sahaja boleh mati kerana tidak diketahui bilakah saat kita akan mati.

Maka, hendaklah kita bersedia setiap masa. Entah-entah sekejap lagi kita akan mati. Maka sampai satu masa, Allah ‎ﷻ akan mematikan semua makhluk dan semuanya akan kembali mengadap Allah ‎ﷻ. Maka jangan kita tangguh untuk bertaubat, untuk memperbaiki keadaan kita, untuk buat persediaan kepada akhirat.

ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.

Kalimah يُنَبِّئُكُم daripada perkataan naba’ yang bermaksud ‘maklumat-maklumat yang penting’. Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang kita telah lakukan dalam hidup kita  semenjak kita lahir sampai kita mati. Kita sendiri lupa semua yang kita lakukan tetapi Allah‎ ﷻ tidak lupa.

Kalau setakat semalam dan pagi tadi, mungkin kita masih ingat lagi, tetapi apakah yang terjadi semasa kita berumur 20 tahun? Allah ‎ﷻ tahu segala apa yang kita telah lakukan dan hari akhirat nanti Allah ‎ﷻ akan memberitahu semula kepada kita apakah nilai segala perbuatan tersebut. Dan Allah ‎ﷻ akan balas, sama ada dengan kebaikan atau dengan keburukan, bergantung kepada apakah amalan itu.

Ini bermakna, bukan sia-sia sahaja kita dibangkitkan kelak. Bukan untuk suka-suka, tetapi akan dibentangkan apakah yang kita telah lakukan.

Yang dahulu kamu kerjakan‘: ini bermakna, tiada ‘pahala pos’ atau ‘pahala sedekah’ daripada majlis tahlil, daripada bacaan Al-Qur’an orang lain. Tidak ada. Hanya apa yang kita lakukan sahaja yang akan menjadi pahala. Beratus kali ayat seperti ini diulang di dalam Al-Qur’an. Sebab Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada kita bahawa memang tidak ada sedekah pahala. Maka, amalan tahlil untuk sedekah pahala itu adalah sia-sia, kerana tidak sampai.

Dan amatlah sia-sia apabila kita dengar sahaja orang mati, ramai yang terus automatik sebut: ‘Al-fatihah’. Mereka yang buat seperti itu berniat hendak menghadiahkan pahala bacaan fatihah itu kepada si mati. Namun itu bukan daripada ajaran Islam yang sunnah dan ia adalah amalan yang sia-sia sahaja.

Allah ‎ﷻ menceritakan semula apa yang kita telah lakukan itu bukan sengaja suka-suka untuk bercerita, tetapi Allah ‎ﷻ hendak mengadili dan akan menghukum segala perbuatan kita itu.

Habis Ruku’ 7 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.


An’am Ayat 61: Takhwif Ukhrawi.

وَهُوَ القاهِرُ فَوقَ عِبادِهِ ۖ وَيُرسِلُ عَلَيكُم حَفَظَةً حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَكُمُ المَوتُ تَوَفَّتهُ رُسُلُنا وَهُم لا يُفَرِّطونَ

Sahih International

And He is the subjugator over His servants, and He sends over you guardian-angels until, when death comes to one of you, Our messengers take him, and they do not fail [in their duties].

Malay

Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ

Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan mutlak di atas semua hamba-Nya,

Ini kali kedua perkataan الْقَاهِرُ digunakan dalam surah ini. Mungkin pada kali pertama ia disebut dalam ayat ke 18, kita tidak nampak kekuasaan Allah ‎ﷻ itu. Maka dalam ayat-ayat selepas ayat ke 18 itu, Allah ‎ﷻ telah memberikan berbagai-bagai dalil tentang kekuasaan-Nya berkali-kali dan dengan berbagai jenis contoh. Dan sekarang Allah ‎ﷻ mengulang lagi perkataan الْقَاهِرُ  dan kali ini kita sepatutnya semakin faham dan semakin yakin.

Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja dengan makhluk-Nya kerana Allah ‎ﷻ ada hak ke atas kita. Kekuasaan Allah ‎ﷻ ke atas kita adalah mutlak tidak ada pengecualian. Apa yang Allah ‎ﷻ kehendaki tidak boleh dikalahkan tidak boleh dihalang. Kita pun ada kuasa ke atas sesuatu, tetapi kekuasaan kita tidak mutlak.

Contohnya, kita ada hak kuasa ke atas anak-anak kita, tetapi kita tidak boleh suruh mereka buat apa yang mereka tidak mahu buat. Atau kita tidak ada kuasa untuk suruh mereka lakukan perkara yang maksiat.

Dan kita tidak boleh kawal perasaan mereka. Sebagai contoh, kalau kita suruh jadi sedih, jadi gembira, mereka tidak boleh terus dapatkan perasaan itu. Tetapi, kekuasaan Allah ‎ﷻ ke atas kita adalah mutlak. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja kepada kita.

وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً

dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga,

Allah ‎ﷻ menugaskan kepada kita malaikat-malaikat untuk menjaga kita. Ada beberapa makna yang kita boleh ambil daripada maksud ‘malaikat penjaga’ itu.

Pertamanya, ia bermaksud kita sentiasa diawasi. Seperti yang disebut dalam Ayat Infithar:10-11.

وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ
Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu),
كِرَامًا كَاتِبِينَ
yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu),

Ini bermakna, ada malaikat Hafazah yang ditugaskan untuk menulis setiap perbuatan kita. Lihat pula ayat Qaf: 17-18.

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ
(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

Ayat daripada Surah Qaf itu memberitahu kepada kita bahawa malaikat-malaikat itu bukan hanya menulis apa yang kita buat tetapi apa yang kita cakapkan juga. Mereka duduk di kiri dan kanan kita.

Ini mengingatkan kita untuk berhati-hati dalam perbuatan dan percakapan kita. Kadang-kadang kita membuang masa dengan bercakap dan melakukan perkara yang lalai sahaja. Masa yang telah diberikan kepada kita hilang begitu sahaja. Alangkah malunya nanti apabila setiap percakapan kita dan tulisan kita di Facebook dan di Twitter dibentangkan kepada semua manusia untuk dilihat. Apa yang ada hanyalah perkara sia-sia sahaja.

Ada hadith dalam Sahih Bukhari yang menceritakan bagaimana ada malaikat yang berada bersama kita bergilir-gilir. Mereka berkumpul pada waktu Fajar dan Asar. Mereka kemudian akan naik bertemu Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ bertanya kepada mereka bagaimana mereka meninggalkan kita.

عن أبي هريرة، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ‏”‏ يتعاقبون فيكم ملائكة بالليل وملائكة بالنهار، ويجتمعون في صلاة الفجر وصلاة العصر، ثم يَعرج الذين باتوا فيكم، فيسألهم وهو أعلم بهم كيف تركتم عبادي فيقولون تركناهم وهم يُصلون، وأتيناهم وهم يُصلون ‏”‏‏.‏

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda: “Para Malaikat malam dan Malaikat siang silih berganti mendatangi kalian. Dan mereka berkumpul pada waktu salat Fajar (Subuh) dan ‘Asar. Kemudian Malaikat yang bermalam dalam kalangan kamu naik. Lalu Allah ‎ﷻ bertanya kepada mereka, dan Allah ‎ﷻ lebih mengetahui keadaan mereka itu. ‘Dalam keadaan bagaimana kalian tinggalkan hamba-hambaKu?‘ Para Malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang mendirikan salat. Begitu juga saat kami mendatangi mereka, mereka sedang mendirikan salat’.”

Bayangkan kalau waktu Asar itu kita hanya sibuk dengan kerja-kerja kita tanpa melakukan salat Asar? Bayangkan kalau waktu Subuh itu kita sedang tidur? Tidak malukah kita kalau malaikat-malaikat itu melaporkan kepada Allah ‎ﷻ tentang keadaan diri kita yang leka dalam beribadah kepadanya?

Selain daripada mengawasi apa yang kita lakukan, malaikat Hafazah itu ditugaskan juga untuk menjaga kita. Antaranya, mereka menjaga orang beriman daripada dirasuk jin. Jin tidak boleh mengganggu kita kerana ada malaikat yang mengawal kita. Jin tidak boleh masuk ke dalam badan kita dan mengawal minda kita. Kalau tidak ada malaikat yang jaga kita, sudah lama jin akan mengganggu kita.

Namun begitu, jika sering melakukan perbuatan syirik sahaja, maka, tiada lagi penjagaan daripada para malaikat. Mereka akan tinggalkan kita. Apabila kembali kepada tauhid, jin dan syaitan tidak boleh ganggu kita. Sebab itu, banyak kisah bagaimana orang yang selalu diganggu hantu, boleh nampak hantu dan sebagainya, tidak lagi akan diganggu apabila mereka kembali belajar tauhid. Itu adalah kerana hantu sudah tidak boleh mengganggu mereka lagi.

Dalil penjagaan ini boleh dilihat dalam ayat Rad:11.

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Dalam ayat ini diberitahu yang para malaikat akan sentiasa menjaga kita, tetapi apabila kita mengubah akidah kita, maka malaikat akan tinggalkan kita.

Selain menjaga kita daripada gangguan jin dan syaitan, malaikat-malaikat itu juga menjaga kita daripada perkara-perkara lain seperti kemalangan. Kadang-kadang kita boleh dengar bagaimana orang yang mengalami kemalangan yang besar tetapi dia selamat sahaja. Kereta remuk, dan kita terfikir macam manalah orang yang di dalamnya boleh terselamat.

Begitulah caranya Allah ‎ﷻ melindungi kita dengan menugaskan malaikat untuk menjaga kita. Selagi belum tiba ajal kita, maka selagi itu kita akan diselamatkan daripada kematian.

Lihat juga ayat at-Tariq: 4.

إِنْ كُلُّ نَفْسٍ لَمَّا عَلَيْهَا حَافِظٌ
tidak ada suatu jiwa pun (diri) melainkan ada penjaganya.

Jadi malaikat itu ada dua tugas: untuk mengawasi apa yang kita lakukan dan untuk menjaga kita.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ yang menjaga kita tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan tugas itu kepada para malaikat. Ini menunjukkan betapa sayangnya Allah ‎ﷻ kepada kita sampai Allah ‎ﷻ menghantarkan para malaikat untuk menjaga kita. Bukan seorang malaikat saja diberikan kepada seorang manusia tetapi banyak malaikat diberikan kepada manusia itu.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu,

Malaikat itu bukan berterusan menjaga kita. Mereka ada masa yang terhad. Mereka akan menjaga kita selama hayat kita masih ada lagi. Apabila telah habis hayat kita, tugas malaikat itu pun selesai. Waktu itulah kalau kemalangan berlaku, maka itulah sebab kematian kita.

تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا

dia diwafatkan oleh Rasul-rasul (malaikat-malaikat) Kami,

Kemudian, ada pula Malaikat yang diwakilkan untuk mengambil nyawa kita. Lihat Ayat Sajdah:11.

۞ قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan”.

Malaikat-malaikat itu hanya mengikut arahan Allah ‎ﷻ sahaja. Dan daripada Hadith kita dapat tahu bahawa bukan satu malaikat saja yang terlibat dalam proses kematian kita tetapi ramai malaikat. Ada ramai malaikat yang akan menyambut kita jika kita adalah roh yang baik. Begitu juga, akan ramai malaikat yang menarik kita dengan ganas kalau kita roh yang jahat.

Ada juga pendapat yang mengatakan malaikat yang sama menjaga kita, malaikat itulah juga yang mengambil nyawa kita nanti.

Daripada ayat ini juga, kita tahu bahawa para malaikat itu juga Rasul utusan Allah ‎ﷻ. Maka Rasul ‎ﷻ ada dalam kalangan manusia dan ada dalam kalangan malaikat.

وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajipannya.

Malaikat yang telah ditugaskan itu tidak boleh mempercepat atau melewatkan apa-apa arahan kepada mereka. Mereka hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka tidak akan gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka taat dan tidak akan terima rasuah daripada manusia.

Malaikat-malaikat itu tidak akan memberi belas kasihan sedikit pun kepada mereka yang tidak layak. Walau bagaimana kuat dan bagaimana cara pun kita merayu kepada malaikat-malaikat itu untuk memberi belas kasihan kepada kita. Malaikat-malaikat itu langsung tidak akan menangguhkan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah‎ﷻ .

Ayat ini mengingatkan kepada kita supaya tidak leka dan lalai dalam menjalankan tugas dan ibadat kita. Jangan kita tunggu-tunggu untuk membuat benda-benda yang baik. Jadilah kita seperti malaikat itu yang tidak lalai dalam menjalankan perintah Allah ‎ﷻ. Jangan kita kata hendak buat esok, nak buat minggu depan, hendak buat bulan depan, hendak buat tahun depan dan sebagainya, kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan habis.

Kalau benda itu baik, hendaklah kita lakukan segera. Kalau salat, hendaklah kita dirikan salat itu dalam waktunya kerana kita pun sebenarnya tidak tahu sama ada kita akan masih hidup menjelang petang ataupun malam nanti. Lalu bagaimana kita akan yakin yang kita ada masa untuk membuat perkara-perkara yang kita sepatutnya lakukan itu? Oleh itu, jangan tangguh.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s