Tafsir Surah an-Nisa Ayat 141 – 143 (Solat dengan malas)

Ayat 141: Ini adalah sifat keempat golongan munafik. Mereka menunggu-nunggu untuk melihat apa yang akan berlaku kepada umat Islam. Pada waktu itu mereka tinggal bersama umat Islam yang lain jadi mereka kelihatan seperti orang Islam pada luarannya. Tetapi dalaman diri mereka adalah kufur. Sifat kekafiran mereka itu tidak jelas, sampaikan Nabi Muhammad ﷺ pun tidak mengetahui yang mereka itu munafik.

Umat Islam sekarang pun ada yang seperti ini. Kita haruslah memahami bahawa ayat-ayat tentang munafik adalah untuk mereka. Mereka mestilah belajar Qur’an dan kalau mereka perasan ada alamat munafik dalam diri mereka, maka mereka mestilah terus menukar sifat mereka itu.

Oleh itu, mereka mesti mempelajari Qur’an kerana kalau tidak, mereka tidak akan tahu apakah kesilapan mereka. Hanya dengan mempelajari Qur’anlah yang akan membuka minda mereka dan menjelaskan apakah kesalahan mereka.

Lebih-lebih lagi, perkara pertama yang mereka lakukan adalah memisahkan diri mereka daripada berkawan rapat dengan orang kafir. Berkawan biasa sahaja boleh, tetapi janganlah berkawan rapat.

الَّذينَ يَتَرَبَّصونَ بِكُم فَإِن كانَ لَكُم فَتحٌ مِّنَ اللهِ قالوا أَلَم نَكُن مَّعَكُم وَإِن كانَ لِلكٰفِرينَ نَصيبٌ قالوا أَلَم نَستَحوِذ عَلَيكُم وَنَمنَعكُم مِّنَ المُؤمِنينَ ۚ فَاللهُ يَحكُمُ بَينَكُم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ وَلَن يَجعَلَ اللهُ لِلكٰفِرينَ عَلَى المُؤمِنينَ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who wait [and watch] you. Then if you gain a victory from Allāh, they say, “Were we not with you?” But if the disbelievers have a success, they say [to them], “Did we not gain the advantage over you, but we protected you from the believers?” Allāh will judge between [all of] you on the Day of Resurrection, and never will Allāh give the disbelievers over the believers a way [to overcome them].¹

  • In the Hereafter, but possibly in this world as well.

MALAY

(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): “Bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)”. Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): “Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?” Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.

 

الَّذينَ يَتَرَبَّصونَ بِكُم

Mereka orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu;

1. Mereka sebenarnya menunggu-nunggu musibah yang akan menimpa umat Islam.

2. Atau mereka menunggu apa yang akan terjadi kerana mereka hendak mengambil peluang, berdasarkan apa yang terjadi kepada umat Islam. Kalau ada kebaikan pada mereka, mereka akan mengaku mereka orang Islam. Kalau orang Islam kalah, mereka akan menarik diri dan bergabung dengan orang kafir pula.

3. Juga bermaksud mereka menunggu di belakang kerana mereka jenis yang tidak mahu pergi berjihad dan kerana itu mereka tinggal di belakang sahaja. Kalau umat Islam menang, mereka mengakulah yang mereka pun umat Islam juga.

 

فَإِن كانَ لَكُم فَتحٌ مِّنَ اللهِ قالوا أَلَم نَكُن مَّعَكُم

maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah, berkatalah mereka: “Bukankah kami bersama-sama kamu?

Kalau umat Islam mendapat kemenangan dalam peperangan, waktu itu mereka pun mengaku sebagai Muslim dan mereka akan meminta bahagian dari harta ghanimah.

Ini amatlah memalukan sekali kerana mereka tidak berbuat apa-apa pun, tetapi ingin meminta bahagian pula. Jadi, kalau kita tidak menyumbang apa-apa dalam sesuatu perkara, dan terdapat keuntungan dalam perkara itu, janganlah pula membuat muka tidak malu untuk meminta bahagian kita. Jangan berperangai seperti orang munafik.

 

وَإِن كانَ لِلكٰفِرينَ نَصيبٌ قالوا أَلَم نَستَحوِذ عَلَيكُم

Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian, berkatalah mereka: “Bukankah kami turut membantu kamu,

Dan kalau puak kafir pula yang menang, mereka akan pergi kepada orang kafir itu. Mereka mengingatkan orang kafir tersebut yang mereka telah membantu dengan melakukan helah untuk mencapai kemenangan bagi puak kafir itu.

Kalimah نَستَحوِذ dari katadasar ح و ذ yang bermaksud ‘ada kelebihan ke atas seseorang’. Jadi نَستَحوِذ bermaksud puak munafik itu telah melakukan sesuatu supaya puak kafir menang ke atas puak Muslim.

Ini seperti yang terjadi semasa kekalahan pada Perang Uhud. Selepas puak kufar menang, mereka telah pergi kepada puak kufar itu.

Lihatlah penggunaan lafaz dalam ayat ini. Apabila disebut tentang kemenangan puak Islam, digunakan lafaz فَتحٌ dan apabila disebut kemenangan puak kafir, digunakan lafaz نَصيبٌ yang bermaksud ‘sebahagian’. Ini adalah kerana lafaz فَتحٌ adalah kemenangan yang penuh dan apabila orang kafir menang, mereka tidak menang dengan sepenuhnya. Mereka mungkin nampak seperti memperolehi kemenangan di dunia, tetapi mereka tidak akan menang di akhirat kelak.

 

وَنَمنَعكُم مِّنَ المُؤمِنينَ

dan mempertahankan kamu dari orang-orang mukmin?

Orang munafik berkata mereka telah mempertahankan orang kafir dari serangan orang mukmin. Oleh kerana itu, mereka menginginkan bahagian dari orang kafir itu juga. Kerana itulah kita katakan yang mereka menunggu sahaja untuk melihat manakah puak yang menang. Mereka akan tuntut dari pihak yang menang kerana mereka mahukan habuan dunia sahaja.

Inilah sifat munafik. Mereka tengok siapa yang menang dan pergi kepada mereka yang menang. Mereka tidak tetap pendirian dalam dunia ini.

Malangnya ada juga dari kalangan orang kita yang sebegini. Kalau satu pihak menang, mereka sokong tetapi kalau satu pihak lagi yang menang, mereka pergi kepada pihak yang lagi satu itu pula. Mereka tidak mempunyai prinsip, hanya keuntungan sahaja yang mereka pentingkan. Ini selalu kita lihat di dalam percaturan politik.

 

فَاللهُ يَحكُمُ بَينَكُم يَومَ القِيٰمَةِ

Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; 

Allah ‎ﷻ akan buat keputusan yang manakah pihak yang benar di akhirat kelak. Keputusan yang akan dibuat itu adalah keputusan secara ‘amali’ (praktikal). Maksudnya, di akhirat nanti akan nampak jelas bahawa mereka sudah salah dan tidak dapat mengelak lagi.

Ini tidaklah bermaksud yang di sana nanti baru mereka dibuktikan salah. Di dunia ini lagi mereka sudah salah, tetapi di akhirat nanti keputusan itu dibuat secara amali. Sekarang di dunia, mereka nampak seolah-olah masih selamat lagi, tetapi tidak di akhirat nanti. Di dunia ini lagi mereka telah salah dari segi teori, tetapi mungkin belum nampak dengan jelas lagi.

Maka, biarkanlah Allah ‎ﷻ sahaja yang menghukum mereka kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang mengetahui siapakah mereka. Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam yang lain tidak mengetahui siapakah mereka kerana mereka menyembunyikan sifat mereka yang sebenar. Oleh kerana sifat mereka tersembunyi, maka mereka selamat dari ancaman umat Islam semasa di dunia. Tetapi mereka tidak akan selamat di akhirat kelak.

 

وَلَن يَجعَلَ اللهُ لِلكٰفِرينَ عَلَى المُؤمِنينَ سَبيلًا

dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ tidak akan memenangkan orang kafir ke atas orang mukmin walaupun satu detik. Cuma jika terjadi kekalahan, itu adalah kerana terdapat kesilapan dalam perbuatan orang mukmin itu sendiri yang akan menyebabkan Allah ‎ﷻ menahan pertolonganNya kepada orang mukmin. Sebagai contoh, kalau tidak mentaati  panglima perang, maka Allah ‎ﷻ akan menarik diri daripada memberikan bantuanNya.

Oleh itu, kalau orang Mukmin menjaga syarat-syarat yang telah ditetapkan, mereka akan pasti menang. Syarat-syarat itu telah dibincangkan dalam Surah Ali Imran.

Maka, jika orang Islam mengalami kekalahan sekali sekala, orang Islam itu tidaklah akan kalah secara keseluruhannya. Orang kafir tidak akan dapat mengalahkan umat Islam secara keseluruhannya. Allah  ‎ﷻ pasti akan menolong orang Mukmin seperti firmanNya dalam ayat yang lain:

إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَياةِ الدُّنْيا

Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia. (Al-Mumin: 51)

Habis Ruku’ ke 20 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 142: Ini adalah sifat kelima dan keenam golongan munafik. Mereka hendak menipu Rasulullah ﷺ atau pemimpin Islam. Dan mereka kalau berdiri dalam solat mereka lakukan tanpa semangat.

إِنَّ المُنٰفِقينَ يُخٰدِعونَ اللهَ وَهُوَ خٰدِعُهُم وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلوٰةِ قاموا كُسالىٰ يُراءونَ النّاسَ وَلا يَذكُرونَ اللهَ إِلّا قَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the hypocrites [think to] deceive Allāh, but He is deceiving them. And when they stand for prayer, they stand lazily, showing [themselves to] the people and not remembering Allāh except a little,

MALAY

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

 

إِنَّ المُنٰفِقينَ يُخٰدِعونَ اللهَ

Sesungguhnya orang-orang munafik itu memperdaya Allah

Ini seperti yang Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam ayat yang lain:

{يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا}

Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman. (Al-Baqarah: 9)

Mereka kononnya hendak memperdayakan Allah ‎ﷻ kerana mereka tidak mempercayai Allah ‎ﷻ. Mereka ‘cuba’ untuk menipu, tetapi sudah tentu mereka tidak sesekali boleh menipu Allah ‎ﷻ. Kalau mereka mempercayai Allah ‎ﷻ dengan sebenar-benar percaya, tentu mereka sedar yang Allah ‎ﷻ tidak boleh ditipu kerana Allah ‎ﷻ mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia. Tetapi, kerana mereka ini jenis ‘Kafir Jahil’, mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara ini.

Nanti di akhirat mereka akan cuba berdalih dengan Allah ‎ﷻ dengan mengatakan mereka berada di atas jalan yang lurus. Sebagaimana yang disebutkan oleh firmanNya:

يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ جَمِيعاً فَيَحْلِفُونَ لَهُ كَما يَحْلِفُونَ لَكُمْ

(Ingatlah) hari (ketika) mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu mereka bersumpah kepada-Nya (bahawa mereka bukan orang musyrik) sebagaimana mereka bersumpah kepada kalian. (Al-Mujadilah: 18),

 

وَهُوَ خٰدِعُهُم

dan Allah pula yang membalas tipu daya mereka

Allah ‎ﷻ yang akan memperdayakan mereka. Mereka tertipu kerana mereka tidak belajar bersungguh-sungguh tentang agama kerana itu mereka jahil terutama tentang akidah.

Allah ‎ﷻ membiarkan mereka berbuat apa yang mereka inginkan, sehinggakan mereka menyangka yang mereka telah berjaya menipu semua orang, dan menipu Allah ‎ﷻ tetapi sebenarnya mereka yang tertipu. Itulah maknanya, Allah ‎ﷻ memperdayakan mereka.

 

وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلوٰةِ قاموا كُسالىٰ

Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas.

Ini adalah sifat keenam mereka. Amalan agama pun tidak dibuat dengan cara tawajuh (fokus) oleh mereka. Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana mereka berdiri untuk solat dengan cara yang sangat malas. Bukannya mereka tidak solat, tapi dalam keadaan malas sahaja.

Habis, kenapa orang munafik itu solat juga, kalau mereka bukannya hendak solat? Mereka terpaksa solat kerana zaman Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat, semua orang Islam solat di masjid. Jadi kalau mereka tidak solat, memang nampaklah kemunafikan mereka itu.

Maka, kalau kita pun solat dengan malas, kita pun mempunyai sifat mereka juga. Maka kenalah periksa perasaan kita semasa kita hendak memulakan solat itu: adakah kita rasa berat sahaja atau kita gembira untuk solat? Kalau ada perasaan malas, maka ada sifat munafik dalam diri kita.

Lainlah kalau malas dan lemah itu kerana penat atau kerana sakit, maka kita fahamlah kalau solat itu lemah sahaja. Tetapi kalau tiada alasan, maka kita mungkin mempunyai masalah dengan hati dan ini amatlah bahaya.

Maka kita kenalah mempelajari cara untuk menjadikan solat itu sesuatu yang nikmat bagi diri kita. Kita haruslah sedar yang kita sedang mengadap Allah ‎ﷻ dan dapat bercakap-cakap dengan Allah ‎ﷻ dan itu adalah satu nikmat yang amat besar. Perasaan ini hanya dapat diterapkan ke dalam hati kita hanya jika kita mempunyai ilmu.

Kalau setakat kita mempelajari perbuatan fizikal dalam solat, itu tidak belum dapat mencapai tahap kemanisan solat. Untuk mendapat kemanisan solat, kita kenalah mempelajari dan mendalami falsafah di dalam solat. Harus belajar kepentingan solat.

 

يُراءونَ النّاسَ

Mereka hanya memperlihatkan kepada manusia

Memang mereka solat tetapi hanya kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain sahaja. Mereka ingin menunjukkan yang mereka pun solat juga. Mereka melakukannya supaya orang tidak menuduh mereka kafir.

Termasuk dalam perkara ini adalah orang yang solat bagaikan melepaskan batuk di tangga sahaja. Mereka cepat-cepat menghabiskan solat mereka, tanpa cuba untuk khusyuk. Mereka buat yang wajib sahaja, tidak baca pun surah-surah sama ada panjang ataupun pendek.

Oleh kerana itu, mereka tidak dapat mengambil manfaat dari solat itu. Mereka cuma melakukan perbuatan solat yang fizikal sahaja, dilakukan dengan cepat-cepat supaya mereka boleh meneruskan kehidupan mereka yang lain. Seolah-olah solat itu adalah ‘beban’ yang perlu dilepaskan dengan segera. Sampai mereka rasa ‘gembira’ dan ‘lega’ apabila sudah habis solat. Cuba fikir balik: Adakah anda mempunyai perasaan sebegini?

Ketahuilah yang itu bukanlah cara orang mukmin solat. Orang Mukmin faham akan kepentingan solat. Mereka menunggu-nunggu waktu solat yang seterusnya supaya mereka boleh bertemu dengan Allah ‎ﷻ lagi dan mengadu kepadaNya. Mereka akan menuju solat dengan segera tanpa melengah-lengahkan solat itu kerana mereka mementingkan Allah ‎ﷻ dari perkara-perkara yang lain.

Riak adalah masalah hati yang bahaya. Bukan dalam solat sahaja kita dilarang dari menunjuk-nunjuk, tapi dalam segala amal ibadat. ‘Riak’ itu maksudnya menunjuk-nunjuk kepada orang lain, supaya mereka mendapat pujian dari mereka. Sedangkan sepatutnya kita mengharapkan pujian dari Allah ‎ﷻ, bukannya dari manusia.

Kalau orang yang solat kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia, mungkin mereka akan mendapat apa yang mereka inginkan itu. Mungkin mereka solat dengan lama dan kerana itu mereka akan mendapat pujian dari orang. Tetapi mereka tidak akan mendapat bahagian dari akhirat. Di dalam sebuah hadis disebutkan:

“مَنْ سَمَّع سَمَّع اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ رَاءَى رَاءَى اللَّهُ بِهِ”

Barang siapa yang ingin terkenal, maka Allah membuatnya terkenal dengan apa yang diharapkannya. Dan barang siapa yang riya’, maka Allah ﷻ menjadikannya terkenal dengan apa yang dipamerkannya.

Dalam hadis ada disebut bagaimana sikap orang munafik terhadap solat berjemaah. Mereka selalu meninggalkan solat yang tidak kelihatan di mata umum, seperti solat Isya’ di hari yang gelap, dan solat Subuh di saat pagi masih gelap. Di dalam kitab Sahihain disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“أَثْقَلُ الصَّلَاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ وَصَلَاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا، وَلَقَدْ هَمَمْتُ أَنَّ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ، ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا فَيُصَلِّيَ بِالنَّاسِ، ثُمَّ أَنْطَلِقَ مَعِي بِرِجَالٍ، مَعَهُمْ حُزَم مِنْ حَطَبٍ إِلَى قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ، فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوتَهُمْ بِالنَّارِ”

Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isya’ dan solat Subuh. Seandainya mereka mengetahui pahala yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan mendatanginya, sekalipun dengan merangkak. Dan sesungguhnya aku telah berniat akan memerintahkan agar solat didirikan, kemudian aku perintahkan seorang lelaki untuk solat sebagai imam bersama orang-orang. Lalu aku sendiri berangkat bersama-sama sejumlah orang yang membawa seikat kayu untuk menuju ke tempat kaum yang tidak ikut solat (berjemaah), lalu aku bakar rumah-rumah mereka dengan api.

 

وَلا يَذكُرونَ اللهَ إِلّا قَليلًا

dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali 

Mereka tidak mengingati Allah ‎ﷻ pun dalam solat mereka melainkan sedikit sahaja. Ini adalah kerana mereka solat itu tidak lain melainkan hanya ingin menunjuk sahaja.

Bagaimana kita hendak tahu yang kita ikhlas atau tidak ketika dalam solat kita? Bandingkan solat kita kalau sendirian dan kalau di hadapan orang lain. Kalau di hadapan orang lain lagi bagus kita solat, maka kita ada masalah. Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“مَنْ أحْسَنَ الصَّلَاةَ حَيْثُ يَرَاهُ النَّاسُ، وَأَسَاءَهَا حَيْثُ يَخْلُو، فَتِلْكَ اسْتِهَانَةٌ، اسْتَهَانَ بِهَا رَبَّهُ عز وجل” 

Barang siapa yang melakukan solatnya dengan baik kerana dilihat oleh manusia dan melakukannya dengan jelek bila sendirian, maka hal itu merupakan penghinaan yang dia tujukan kepada Tuhannya Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung.

Selepas ini cuba tengok solat kita. Katakanlah kita sedang solat sendirian. Tiba-tiba ada orang masuk ke bilik kita yang kita sedang solat. Adakah kita tiba-tiba memperbaiki solat kita? Mungkin kita solat lama sedikit dari yang kita biasa buat; atau kita mula baca surah-surah yang panjang-panjang; atau kita baca surah itu dengan bacaan yang merdu padahal selalunya kita baca biasa-biasa sahaja.

Kalau ada sikap seperti di atas, maka ketahuilah yang kita ada sifat munafik dalam diri kita kerana kita sudah riya’ di dalam solat kita.


 

Ayat 143: Ini adalah sifat ketujuh golongan Munafik. Akidah mereka di dalam keraguan. Mereka tidak yakin dengan Allah ﷺ.

مُذَبذَبينَ بَينَ ذٰلِكَ لا إِلىٰ هٰؤُلاءِ وَلا إِلىٰ هٰؤُلاءِ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَلَن تَجِدَ لَهُ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Wavering between them, [belonging] neither to these [i.e., the believers] nor to those [i.e., the disbelievers]. And whoever Allāh leaves astray – never will you find for him a way.

MALAY

Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.

 

مُذَبذَبينَ بَينَ ذٰلِكَ

Mereka berkeadaan “muzabzab” antara (iman dan kufur) itu;

Mereka duduk di antara mukmin dan separuh terima dan tidak terima sepenuhnya. Ini dinamakan ‘muzabzab’ – sekejap ke sana dan sekejap ke sini pula. Mereka tidaklah menjadi kafir terus. Kalau dilihatkan dari luaran, mereka memang nampak seperti Muslim, tetapi dalaman mereka, Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu.

Mereka menjadi begitu adalah kerana ada perkara tentang Islam yang mereka terima dan ada yang mereka tidak dapat terima. Kerana ada yang mereka dapat terimalah yang menyebabkan mereka masih boleh duduk di kalangan masyarakat Islam. Kalau mereka langsung tidak dapat menerima keseluruhan Islam itu, tentunya mereka tidak duduk dengan orang Islam.

Tetapi, hati mereka seolah-olah ‘tergantung-gantung’ – muzabzab. Tidak mengambil semua dan tidak menolak kesemuanya sekali pula. Banyak orang di kalangan masyarakat kita yang seperti ini, bukan? Mereka menggunakan sebahagian agama yang mereka inginkan sahaja, dan ada bahagian yang mereka tidak suka atau berasakan tidak suka untuk buat, maka mereka akan buat tidak tahu sahaja.

Ini terjadi kerana mereka tidak mempelajari agama dengan benar. Maka ada perkara yang mereka was-was kerana mereka menggunakan akal mereka sahaja. Sedangkan kalau mereka belajar dengan guru yang benar, maka mereka akan nampak kebenaran agama itu dengan jelas. Tidaklah mereka menjadi keliru dan boleh menerima dengan senang hati.

 

لا إِلىٰ هٰؤُلاءِ وَلا إِلىٰ هٰؤُلاءِ

mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman).

Mereka tidak terus mengikuti kumpulan ini dan tidak kepada kumpulan itu. Mereka tidak tetap antara keduanya. Ini kerana mereka hendakkan keuntungan dan mereka hendak melihat manakah pihak yang memberi keuntungan kepada mereka.

Kalau pihak Islam yang menang, mereka pergi kepada Islam; kalau orang kafir yang menang, mereka pergi kepada orang kafir pula. Seperti yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ melalui firman-Nya:

كُلَّما أَضاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قامُوا

Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinarnya; dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. (Al-Baqarah: 20)

Maknanya, apabila ada kepentingan dalam Islam, mereka akan pergi kepada Islam.

Ini adalah salah, kerana orang Islam sepatutnya tetap duduk dalam Islam dan duduk di bahagian orang Islam.

 

وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَلَن تَجِدَ لَهُ سَبيلًا

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.

Kalau Allah ‎ﷻ sudah mentakdirkan mereka memasuki neraka, tidak ada sesiapa yang boleh berbuat apa-apa lagi untuk menolong mereka. Maka, kita kenalah hanya berharap dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya menetapkan kita di atas jalan keimanan kerana kalau Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk kita tidak menjadi orang beriman, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita lagi. Nauzubillahi min dzaalik!

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 21 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s