Ayat 16:
اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ فَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They took their [false] oaths as a cover, so they averted [people] from the way of Allāh, and for them is a humiliating punishment.
(MELAYU)
Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah; kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan.
اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً
Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai,
Yang dimaksudkan dengan ‘Sumpah’ mereka itu adalah Dua Kalimah Syahadah mereka. Apabila mereka menyebut Syahadah, maka mereka selamat daripada pedang orang-orang Islam, maka mereka menjadikan Syahadah itu sebagai perisai yang menyelamatkan mereka. Kerana kalau tidak, mereka akan ditangkap sebagai Kafir Harbi (orang kafir yang diperangi).
Atau, ia bermaksud sumpah mereka yang kata mereka sebenarnya beriman, mereka hanya mahukan kebaikan, mereka tidak pernah membocorkan rahsia umat Islam. Perkara ini telah pernah disebut sebelum ini. Iaitu usaha-usaha mereka menjatuhkan Islam dari dalam.
Maka mereka membuat kerja-kerja untuk melemahkan Islam dari dalam, tetapi apabila mereka ditangkap ataupun ditegur, mereka menggunakan Syahadah mereka sebagai ‘perisai’ supaya mereka tidak dibunuh. Mereka mengaku mereka Muslim dan tidak boleh dibunuh.
فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ
lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah;
Dan kerana mereka ada perisai syahadah itu, maka mereka selamat dan mereka boleh bergerak di bawah radar untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Mereka menggunakan tipu daya dan helah untuk menghalang manusia dari agama Islam. Mereka akan buat tohmahan, mereka beri hujah-hujah palsu, mereka akan buat penipuan dan sebagainya. Mereka juga menimbulkan salah sangka dan rasa sangsi terhadap agama Islam dan Rasulullah ﷺ.
Mereka akan pergi kepada orang mukmin dan mereka akan bersembang sampai menimbulkan salah faham di kalangan orang beriman itu. Orang beriman sangka yang datang kepada mereka itu adalah beriman juga, maka mereka dengarlah apa yang dikatakan oleh golongan munafik itu. Tapi rupa-rupanya yang mereka timbulkan perbincangan untuk memberi rasa sangsi terhadap Islam dan Rasulullah.
Antara yang mereka persoalkan adalah ajakan jihad. Mereka akan persoalkan kenapa perlu pergi jihad… bahaya pergi jihad… baik duduk di rumah sahaja…. dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana mereka tidak suka jihad (dan takut jihad) dan kerana itu mereka kena ajak umat Islam yang lain supaya tidak pergi berjihad.
فَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ
kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan.
Allah ﷻ telah menetapkan azab neraka buat mereka. Mereka pasti akan dimasukkan ke dalam neraka. Walaupun mereka mengucap syahadah tapi pengucapan itu bukanlah ikhlas, maka ia tidak dikira. Di dunia, memang mereka selamat tapi tidak akan selamat di akhirat kelak.
Ayat 17: Golongan munafik banyak duit dan mereka sangka mereka boleh bayar (rasuah) untuk selamatkan diri mereka. Ini kerana semasa di dunia mereka selalu sangat terlepas dengan rasuah maka mereka sangka di akhirat pun boleh rasuah juga. Alangkah salahnya sangkaan mereka.
لَّن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللهِ شَيئًا ۚ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Never will their wealth or their children avail them against Allāh at all. Those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally
(MELAYU)
Harta benda dan anak-anak mereka tiada berguna sedikit pun (untuk menolong) mereka dari azab Allah. Mereka itulah penghuni neraka, dan mereka kekal di dalamnya.
لَّن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللهِ شَيئًا
Harta benda dan anak-anak mereka tiada berguna sedikit pun (untuk menolong) mereka dari azab Allah.
Harta-harta dan anak-anak mereka tidak akan dapat menyelamatkan mereka daripada Allah ﷻ apabila Allah ﷻ telah buat keputusan untuk memberi azab kepada mereka. Harta dan dan anak-anak mereka itu bernilai semasa di dunia sahaja, tapi tidak di akhirat.
Kerana harta itu pun sudah tidak ada lagi pada mereka, kerana semuanya telah ditinggalkan di dunia. Oleh kerana mereka tidak infak semasa mereka hidup, maka tidak ada harta yang menunggu mereka di akhirat.
Semasa di dunia, mereka berbangga dengan anak yang ramai. Anak itu juga boleh diterjemahkan sebagai kumpulan pengikut mereka. Mereka sangka mereka kuat semasa di dunia, tapi nanti di akhirat, tidak akan ada kumpulan mana-mana pun yang boleh selamatkan mereka. Tapi tidak sama sekali.
Anak-anak boleh membantu kita di akhirat kelak kalau kita beri pendidikan agama kepada mereka dan mereka menjadi insan yang soleh. Maka anak-anak sebenarnya adalah ‘saham’ terbaik kita. Maka kenalah beri pendidikan kepada anak-anak dan didik mereka dengan nasihat yang baik.
أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ
Mereka itulah penghuni neraka,
Mereka pasti akan dimasukkan ke dalam neraka. Sekarang mereka tidak dimasukkan lagi kerana mereka masih hidup sahaja. Apabila mereka mati sahaja nanti, maka akan bermula azab akhirat bagi mereka. Di kubur lagi mereka akan kena seksa dan pasti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
هُم فيها خٰلِدونَ
mereka kekal di dalamnya.
Mereka bukan masuk sementara sahaja dalam neraka seperti orang Islam yang lain. Ada orang Islam yang masuk neraka dulu kerana mereka ada dosa, tapi akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga juga. Tapi orang munafik ini ada ‘geran neraka’ maka mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan keluar sampai bila-bila.
Ayat 18: Di dunia ini orang munafik suka bersumpah dan Allah ﷻ beritahu yang mereka akan bersumpah di akhirat juga. Kerana sudah selalu sangat sumpah di dunia sampai mereka jadi ketagih nak bersumpah.
يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا فَيَحلِفونَ لَهُ كَما يَحلِفونَ لَكُم ۖ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم عَلىٰ شَيءٍ ۚ أَلا إِنَّهُم هُمُ الكٰذِبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
On the Day Allāh will resurrect them all, and they will swear to Him as they swear to you and think that they are [standing] on something.¹ Unquestionably, it is they who are the liars.
- They assume that their lies will be believed and that they will escape detection as they did in worldly life.
(MELAYU)
(Ingatlah) hari (ketika) mereka semua dibangkitkan Allah lalu mereka bersumpah kepada-Nya sebagaimana mereka bersumpah kepadamu; dan mereka menyangka bahawa mereka akan memperoleh suatu (manfaat). Ketahuilah, bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang pendusta.
يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا
(Ingatlah) hari (ketika) mereka semua dibangkitkan Allah
Allah ﷻ hendak menceritakan keadaan mereka di hari Akhirat nanti. Waktu semua manusia dibangkitkan di Mahsyar dan diadili oleh Allah ﷻ.
فَيَحلِفونَ لَهُ كَما يَحلِفونَ لَكُم
lalu mereka bersumpah kepada-Nya sebagaimana mereka bersumpah kepadamu;
Dulu semasa di dunia mereka mengaku yang mereka orang Islam dan mahukan kebaikan untuk agama. Mereka siap bersumpah dan sumpah itu menjadi perisai bagi mereka semasa di dunia dulu. Apabila sudah mengucap dan mengaku Muslim sahaja, umat Islam yang lain tidak dapat sentuh mereka.
Dan kerana mereka selamat semasa di dunia dengan sumpah mereka itu, mereka cuba untuk mengatakan perkara yang sama di hadapan Allah ﷻ untuk menyelamatkan diri mereka lagi. Mereka mengaku yang kononnya mereka tidak munafik.
وَيَحسَبونَ أَنَّهُم عَلىٰ شَيءٍ
dan mereka menyangka bahawa mereka di atas sesuatu
Dengan bersumpah begitu, mereka sangka yang mereka ada dasar yang boleh menyelamatkan mereka. Mereka bersumpah kepada Allah ﷻ bahawasanya diri mereka benar-benar berada pada jalan petunjuk dan istiqamah, sebagaimana sumpah mereka kepada manusia ketika di dunia. Akan tetapi itu adalah anggapan mereka yang amat salah.
Mereka sangka mereka berada atas agama. Mereka sangka mereka betul. Kerana itu mereka tidak tinggalkan fahaman mereka yang salah. Kerana sesungguhnya barang siapa yang hidup dengan berpegangan pada sesuatu, maka matinya pun dia berpegang pada sesuatu itu; begitu pula saat dia dibangkitkan.
Mereka menyangka bahawa hal tersebut dapat memberi manfaat bagi mereka di sisi Allah ﷻ, sebagaimana dapat memberi manfaat bagi mereka di mata manusia. Mereka hanya berpegang kepada hal-hal yang lahiriah.
أَلا إِنَّهُم هُمُ الكٰذِبونَ
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang pendusta.
Maka umat Islam ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang-orang yang munafik dan salah satu sifat munafik adalah berdusta, bukan? Maka kita sendiri kena berhati-hati dengan mereka yang ada sifat munafik ini. Telah banyak disebutkan sifat-sifat mereka dalam Al-Qur’an dan dalam hadis. Walaupun kita tidak dapat baca hati manusia, tapi kita boleh kenal mereka dengan tanda-tanda mereka.
Kalau ada orang yang nampak mempunyai sifat-sifat munafik, maka kenalah berhati-hati, tapi janganlah sampai menuduh dan melabel mereka itu ‘munafik’ pula. Kerana kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia, maka kita tidak boleh menuduh begitu. Cuma berhati-hati sahaja dengan mereka.
Ayat 19: Sekarang Allah ﷻ beritahu kita kenapa mereka jadi begitu.
استَحوَذَ عَلَيهِمُ الشَّيطٰنُ فَأَنسٰهُم ذِكرَ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ حِزبُ الشَّيطٰنِ ۚ أَلا إِنَّ حِزبَ الشَّيطٰنِ هُمُ الخٰسِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Satan has overcome them and made them forget the remembrance of Allāh. Those are the party of Satan. Unquestionably, the party of Satan – they will be the losers.
(MELAYU)
Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.
استَحوَذَ عَلَيهِمُ الشَّيطٰنُ
Syaitan telah menguasai mereka
Kalimah istahwaza digunakan apabila seseorang itu mahir dalam mengendalikan binatang kenderaannya sampaikan dia boleh mengawalnya untuk bergerak sebagaimana yang dikehendaki. Maknanya sudah dapat mengawal kenderaan itu, sama ada unta atau kuda. Ia dari kata dasar ح و ذ yang bermaksud memandu dengan laju, menjaga dengan baik, menguasai sesuatu, mengguna pakai.
Maksud dalam ayat ini adalah syaitan sudah dapat mengawal orang itu sampaikan dia tidak perlu membisikkan was-was lagi tetapi terus beri arahan sahaja kepada orang itu untuk melakukan apa-apa dan orang itu akan ikut. Ini kerana manusia itu telah selalu ikut arahan syaitan, sampai satu masa syaitan sudah dapat mengawal mereka. Asalnya, syaitan hanya boleh bisikkan sahaja.
فَأَنسٰهُم ذِكرَ اللهِ
lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah;
Syaitan menjadikan orang itu lupa kepada Allah ﷻ. Bermacam-macam benda mereka akan lupa tentang agama:
Lupa hukum Allah ﷻ.
Lupa nak amal syariat Allah ﷻ.
Lupa kepada wahyu.
Lupa mereka yang mereka akan jumpa Allah ﷻ dan kena bertanggungjawab atas amalan mereka.
Ini tanda-tanda mereka sudah kena kawal dengan syaitan. Mereka lupa diri mereka, mereka sudah tak ingat akhirat, ingatkan dunia sahaja.
أُولٰئِكَ حِزبُ الشَّيطٰنِ
mereka itulah golongan syaitan.
Allah isytihar yang mereka itu sudah termasuk di dalam ‘parti syaitan’. Maknanya sudah duduk dalam kumpulan syaitan, sudah geng dengan syaitan. Maknanya mereka teruk sangat kerana menjadi pendukung syaitan.
أَلا إِنَّ حِزبَ الشَّيطٰنِ هُمُ الخٰسِرونَ
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.
Kalau sudah jadi golongan syaitan, sudah senang diarahkan oleh syaitan, maka tentu mereka akan rugi. Syaitan tidak pernah dan tidak akan suruh kepada benda yang baik. Maka mereka ini tidak akan selamat. Mereka ini adalah golongan yang amat-amat rugi di dunia dan di akhirat.
Ayat 20:
إِنَّ الَّذينَ يُحادّونَ اللهَ وَرَسولَهُ أُولٰئِكَ فِي الأَذَلّينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, the ones who oppose Allāh and His Messenger – those will be among the most humbled.
(MELAYU)
Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, mereka termasuk orang-orang yang sangat hina.
Kalimah ini ada digunakan di awal surah ini juga. Iaitu apabila menentang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ dengan kuat. Apabila menentang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ, maka amalan mereka pun tentu bercanggah dengan Al-Qur’an dan sunnah.
Maka kenalah kita menjadi ahli Al-Qur’an. Jangan masuk dalam parti Syaitan pula. Kerana akan menjadi golongan الأَذَلّينَ yang diambil dari kata dasar ذ ل ل yang bermaksud rendah, tergantung rendah, bahagian paling bawah, dilemahkan, lembut, hina, mudah, tunduk patuh, sukar, kekasaran, menyusahkan, patah.
Ayat 21: Tadi disebut golongan munafik yang menentang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Adakah mereka akan berjaya? Tentu tidak dan ini adalah ketetapan Allah ﷻ dari sejak azali lagi.
كَتَبَ اللهُ لَأَغلِبَنَّ أَنا وَرُسُلي ۚ إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has written [i.e., decreed], “I will surely overcome, I and My messengers.” Indeed, Allāh is Powerful and Exalted in Might.
(MELAYU)
Allah telah menetapkan: “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang”. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
كَتَبَ اللهُ لَأَغلِبَنَّ أَنا وَرُسُلي
Allah telah menetapkan: “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang”.
Allah ﷻ mengatakan yang Dia dan Rasul-Nya pasti akan menang. Tidak akan menang sesiapa yang menentang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Dan ini menjadi dalil bahawa Allah ﷻ akan memberi kejayaan kepada para Rasul عليهم السلام.
Tapi bukankah ada Nabi عليه السلام yang dibunuh dan dikalahkan? Kita kena tahu yang tidak sama kedudukan seorang yang hanya berstatus Nabi dan seorang yang statusnya Rasul. Status Rasul itu lebih tinggi lagi. Kalau seorang Nabi sahaja, mungkin dia diberi dugaan dikalahkan oleh manusia yang jahat. Tapi para Rasul عليه السلام pasti akan menang kerana misi Rasul itu pasti akan dibantu sehingga berjaya dan barulah mereka mati.
Ini memberi isyarat yang golongan syaitan pasti akan dikalahkan. Maka janganlah duduk dalam golongan syaitan. Jauhkan syaitan dari diri kita dan golongan pendukung mereka. Jangan termakan dengan bisikan syaitan. Kalau mula-mula dengar bisikan syaitan, lama kelamaan terus akan ikut arahan syaitan.
Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman Allah ﷻ:
{إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الأشْهَادُ يَوْمَ لَا يَنْفَعُ الظَّالِمِينَ مَعْذِرَتُهُمْ وَلَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ}
Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat), (iaitu) hari yang tidak berguna bagi orang-orang zalim permintaan maafnya dan bagi merekalah laknat dan bagi merekalah tempat tinggal yang buruk. (Al-Mu’min: 51-52)
إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ
Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
Makhluk ada kekuatan dalam peringkat mereka. Tetapi semuanya akan dikalahkan oleh Allah ﷻ. Ini kerana Allah ﷻ itu bersifat ‘Aziz’ dan ‘Qowwi’. Maknanya tidak ada yang mampu mengalahkan Allah ﷻ dan tidak ada yang lebih kuat dari Allah.
Maka kerana Allah ﷻ berkuasa penuh, maka para Rasul عليهم السلام akan dimenangkan oleh Allah ﷻ. Maka ini adalah berita gembira kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat yang berada bersama baginda memperjuangkan Islam. Supaya mereka tenang dan pasti dengan kemenangan yang mereka akan perolehi. Mungkin lambat, tapi mereka pasti akan dapat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 2 Disember 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi