Ayat 12: Puak munafik yang ada rancangan-rancangan jahat itu suka untuk terus duduk himpit rapat dengan Rasulullah ﷺ. Bukan kerana sayang kepada baginda tapi kerana mereka nak menunjuk kepada orang yang seolah-olah mereka ada perbincangan rahsia dengan baginda ﷺ. Kerana baginda adalah pemimpin kerajaan waktu itu.
Ini kerana mereka dulu ada kedudukan di dalam masyarakat dan jikalau mereka dilihat seolah-olah ada perbincangan tertutup dengan Nabi ﷺ, maka ini akan terus menguatkan kedudukan mereka di mata masyarakat. Ini macam orang kita bersalam dengan ahli politik dan letak gambar di pejabat, konon mereka baik dengan menteri lah kiranya. Padahal ambil gambar sahaja, bukan ada apa-apa pun.
Maka golongan munafik ini selalu datang berjumpa Nabi ﷺ dan minta untuk berbincang dengan Nabi ﷺ secara peribadi. Seolah-olah mereka itu orang penting dan kena ada perbincangan peribadi dengan baginda ﷺ. Padahal mereka bukan nak tolong Islam pun tapi nak menaikkan nama dan kedudukan mereka sahaja.
Maka tentunya Nabi Muhammad ﷺ duduk juga berbincang dengan mereka kerana telah diminta, tetapi sekarang Allah ﷻ ajar satu cara untuk membezakan siapakah yang benar-benar ikhlas dan siapa yang tidak.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نٰجَيتُمُ الرَّسولَ فَقَدِّموا بَينَ يَدَي نَجوٰكُم صَدَقَةً ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ لَّكُم وَأَطهَرُ ۚ فَإِن لَّم تَجِدوا فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, when you [wish to] privately consult the Messenger, present before your consultation a charity. That is better for you and purer. But if you find not [the means] – then indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.
(MELAYU)
Hai orang-orang beriman, apabila kamu mengadakan pembicaraan khusus dengan Rasul hendaklah kamu mengeluarkan sedekah (kepada orang miskin) sebelum pembicaraan itu. Yang demikian itu lebih baik bagimu dan lebih bersih; jika kamu tidak memperoleh (yang akan disedekahkan) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang beriman,
Ayat ini ditujukan kepada orang Islam waktu itu. Allah ﷻ nak bezakan manakah mukmin sejati dan mereka yang berlakon sahaja. Kerana orang Islam waktu itu termasuklah juga dengan golongan munafik kerana mereka juga mengaku mereka muslim, bukan? Ada mekanisme yang Allah ﷻ letakkan sebagai pembahagi (mana yang ikhlas dan mana yang tidak).
Jadi, ia merujuk kepada semua orang Islam waktu itu. Kerana mereka ramai yang mahu mengadakan perjumpaan peribadi dengan baginda ﷺ yang menyebabkan kesusahan pada diri baginda. Susah pula baginda nak melayan berbagai jenis golongan yang bukannya ikhlas pun.
Tapi baginda ﷺ tidak sampai hati hendak menolak permintaan mereka itu. Kadangkala perkara yang hendak dibincangkan itu tidaklah penting pun. Ianya membuang masa baginda ﷺ sahaja. Sedangkan baginda bukan ada banyak masa lagi kerana kerja dakwah perlu dijalankan berterusan. Mana ada masa nak layan puak-puak lagha itu. Maka Allah ﷻ berikan jalan keluar kepada baginda ﷺ.
إِذا نٰجَيتُمُ الرَّسولَ
apabila kamu mengadakan pembicaraan khusus dengan Rasul
Golongan munafik selalu duduk berdekatan dengan Nabi ﷺ sehingga menyebabkan para sahabat yang lain tidak dapat datang dekat dengan Nabi ﷺ. Ini menyebabkan susah untuk baginda ﷺ berbincang dengan orang mukmin, untuk merancang perluasan agama Islam dan kerja dakwah ke serata dunia.
Puak munafik itu memang akan ganggu kerana mereka tidak mahu Islam berkembang dan kerana itu mereka menyibukkan diri mereka berdekatan Nabi ﷺ. Mereka duduk saja-saja tanpa ada kepentingan kepada Islam.
Sedangkan sahabat-sahabat Nabi yang penting dan besar yang ada kegunaan pada agama Islam itu beradab dan kerana itu jikalau sudah ada orang yang berdekatan dengan Nabi ﷺ maka mereka tidak datang menyelit.
Maka Allah ﷻ beri satu syarat kalau betul-betul nak duduk dengan baginda dan mengadakan perbincangan peribadi dengan baginda:
فَقَدِّموا بَينَ يَدَي نَجوٰكُم صَدَقَةً
hendaklah kamu mengeluarkan sedekah sebelum pembicaraan itu.
Allah ﷻ beritahu kepada orang Islam yang jikalau mereka hendak berjumpa dan bercakap dengan bicara peribadi bersama Rasulullah ﷺ, maka mereka hendaklah mengeluarkan sedekah dahulu. Sedekah itu bukanlah kepada Nabi ﷺ pula, bukannya nak bayar tiket jumpa Nabi ﷺ, tapi sedekahkan kepada fakir miskin.
Ayat ini akhirnya dimansukhkan, tapi Saidina Ali رضي الله عنه memberitahu yang dia antara orang yang sempat beramal dengan ayat ini dengan memberi sedekah sebelum berjumpa dengan Nabi ﷺ sebelum ayat ini dimansukhkan.
Untuk kita amalkan ayat ini, ada tafsiran yang lain: untuk dapat ilmu agama, maka kena ‘bodek’ Allah ﷻ dengan beri sedekah. Maka sebelum pergi kelas kita boleh beri sedekah. Berapa banyak? Satu pendapat mengatakan satu dinar dibahagi 72 bahagian.
ذٰلِكَ خَيرٌ لَّكُم وَأَطهَرُ
Yang demikian itu lebih baik bagimu dan lebih bersih;
Dengan memberikan sedekah itu Allah ﷻ akan balas dengan beri kefahaman yang lebih. Dan ini lebih baik sebagai pengagungan kepada Nabi. Jangan rasa senang-senang nak berbicara bersendirian dengan Nabi begitu sahaja. Baginda orang besar dan banyak kerja yang lebih penting dari melayan kehendak seorang individu. Jadi ini adalah adab dengan Rasulullah.
Dan dengan sedekah itu akan membersihkan diri dari dosa kerana sedekah itu dapat meredakan kemarahan Allah ﷻ. Dengan memberi sedekah Allah ﷻ akan berikan penyucian jiwa. Juga kerana dengan bersedekah akan menyucikan jiwa dari penyakit bakhil dan kikir.
Juga kerana memuliakan Nabi adalah perkara yang dapat membersihkan hati, kerana menghormati Nabi yang telah dilantik oleh Allah ﷻ. Kalau duduk secara privasi dengan Nabi tidak membincangkan perkara yang tidak penting, itu di luar rangka memuliakan Nabi.
Setelah diberikan penetapan ini maka orang-orang munafik itu tidak lagi mengganggu Nabi ﷺ kerana mereka itu walaupun ada banyak duit tetapi mereka kedekut. Maka mereka tidak lagi bertempek dengan Nabi ﷺ dan mengganggu baginda ﷺ.
فَإِن لَّم تَجِدوا فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
jika kamu tidak memperoleh (yang akan disedekahkan) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Sedekah itu adalah anjuran sahaja. Kalau memang orang yang tidak ada harta, maka tidaklah perlu sedekah. Tambahan pula, orang mukmin selalunya tidak ada harta. Islam tidak memberatkan kepada mereka yang tidak mampu.
Dan di dalam ayat seterusnya kita dapat tahu yang anjuran ini pun sudah dimansukhkan.
Ayat 13: Kesan anjuran memberikan sedekah itu telah menyebabkan orang munafik berubah. Mereka tidak lagi sibuk mengganggu majlis Nabi.
ءأَشفَقتُم أَن تُقَدِّموا بَينَ يَدَي نَجوٰكُم صَدَقٰتٍ ۚ فَإِذ لَم تَفعَلوا وَتابَ اللهُ عَلَيكُم فَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَأَطيعُوا اللهَ وَرَسولَهُ ۚ وَاللهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have you feared to present before your consultation charities? Then when you do not and Allāh has forgiven you, then [at least] establish prayer and give zakāh and obey Allāh and His Messenger. And Allāh is Acquainted with what you do.
(MELAYU)
Apakah kamu takut akan (menjadi miskin) kerana kamu memberikan sedekah sebelum mengadakan pembicaraan dengan Rasul? Maka jika kamu tiada memperbuatnya dan Allah telah memberi taubat kepadamu maka dirikanlah salat, tunaikanlah zakat, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
ءأَشفَقتُم أَن تُقَدِّموا بَينَ يَدَي نَجوٰكُم صَدَقٰتٍ
Apakah kamu takut kena memberikan sedekah sebelum mengadakan pembicaraan peribadi (dengan Rasul)?
Ini adalah perli Allah ﷻ kepada golongan munafik: Adakah kamu sudah takut?
Kalimah ءأَشفَقتُم dari kata dasar ش ف ق yang bermaksud kasihan, cemas, takut. Allah ﷻ tegur: Adakah kamu takut miskin? Adakah kamu takut harta kamu berkurang? Sepatutnya kamu tidak rasa takut habis harta kerana segala apa yang kamu sedekahkan akan dipulangkan kepadamu, sama ada di dunia atau di akhirat.
Atau ayat ini ditujukan juga kepada orang mukmin: adakah kamu takut yang hukum ini berterusan sampaikan kamu akan susah untuk berjumpa dengan Nabi ﷺ untuk mengadakan perbincangan khusus untuk kamu?
Ibnu Abbas pula mengatakan, sebelum itu para sahabat banyak bertanya kepada Rasulullah ﷺ sampaikan baginda kepenatan menjawab persoalan-persoalan mereka. Sampaikan Allah ﷻ telah mengeluarkan ayat sebelum ini untuk meringankan baginda (maknanya ada tapis sedikit supaya tidaklah semua asyik bertanya sahaja). Dan selepas itu telah berhenti soalan-soalan kepada baginda. Maka kerana itu seolah-olah Allah ﷻ bertanya: kenapa tak tanya, sebab takut miskin kah?
فَإِذ لَم تَفعَلوا وَتابَ اللهُ عَلَيكُم
Maka jika kamu tiada memperbuatnya dan Allah telah memberi taubat kepadamu
Undang-undang bersedekah ini adalah hanya pada permulaan sahaja kerana untuk menghalang golongan munafik dari datang dekat kepada Nabi ﷺ dan mengganggu perbincangan Nabi ﷺ dengan orang yang lebih patut. Kemudian Allah ﷻ telah memberi keampunan kepada para sahabat yang tidak dapat melakukannya.
Apabila Allah ﷻ sebut: وَتابَ اللهُ عَلَيكُم ia bermaksud Allah ﷻ memansukhkan hukum ini. Tidak perlu dilakukan lagi. Kerana tujuan untuk menghalang orang munafik telah berjaya. Telah nampak bagaimana yang dulu suka menghimpit sudah tidak sibuk-sibuk lagi.
Walaupun hukum keluarkan sedekah itu telah dimansukhkan, akan tetapi arahan untuk menghormati dan memuliakan baginda tetap perlu dijaga. Jangan layan baginda seperti orang-orang yang lain. Apabila bertanya jangan susahkan baginda. Jangan tanya benda-benda yang tidak penting dan jangan buang masa baginda. Kenalah bersopan santun dengan baginda.
Ulama tafsir khilaf berapa lama sebelum perintah memberikan sedekah itu dimansukhkan. Pendapat itu berbeza antara satu saat, satu hari sehinggalah ke sepuluh hari. Tidak ada pendapat yang mengatakan lebih dari sepuluh hari.
Menurut suatu pendapat, sebelum ayat di atas di-mansukh tiada seorang pun yang mengamalkannya selain Ali ibnu Abu Talib رضي الله عنه. Beliau menyedekahkan satu dinar, lalu mengadakan pembicaraan khusus dengan Nabi ﷺ. Ali رضي الله عنه dan menanyakan kepada Nabi ﷺ tentang sepuluh perkara, setelah itu diturunkanlah ayat rukhsah.
Apabila Allah ﷻ berfirman yang Dia telah ‘memberi ampun’, ini bermakna yang sedekah itu sepatutnya dilakukan. Tapi kerana ia payah, maka Allah ﷻ telah ringankan dan telah beri ampun kepada para sahabat. Maknanya bukanlah benda itu tidak perlu, tapi Allah ﷻ sahaja yang beri keringanan.
فَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ
maka dirikanlah salat, tunaikanlah zakat,
Allah ﷻ sudah mansukhkan suruhan beri sedekah sebelum jumpa Rasulullah ﷺ, tapi hukum-hukum dan arahan lain masih ada lagi. Maka sebagai ganti dari keluarkan harta, maka beramallah dengan amalan yang baik-baik ini.
Maka selepas dari itu, amalkanlah agama dengan benar, jalankanlah ibadat. Yang disebut adalah solat dan zakat kerana ini adalah dua ibadah yang amat penting, sebagai wakil kepada ibadah-ibadah yang lain.
Solat: wakil ibadat perhubungan dengan Allah
Zakat: wakil ibadat perhubungan manusia dengan manusia
Maka jalankanlah dan penuhilah kewajiban dua perkara ini dengan memerhatikan segala apa yang perlu dijaga dari segi perlaksanaannya, syarat-syaratnya dan lain-lain. Maknanya kena belajar tentang solat supaya boleh buat solat dengan sempurna; kena belajar tentang zakat supaya dapat tunaikan zakat dengan sempurna. Malangnya ramai yang masih tidak ada ilmu lagi tentang perkara ini sampaikan culas dalam dua ibadah utama ini.
وَأَطيعُوا اللهَ وَرَسولَهُ
dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya;
Hendaklah taat benar-benar kepada arahan Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Inilah tanda mukmin sejati. Ikutlah segala arahan agama yang diberikan. Kalau tentang solat dan zakat itu spesifik tentang ibadah, ini pula lebih berbentuk umum. Apa-apa sahaja hal lain yang Allah dan Rasulullah ﷺ telah arahkan dan suruh jaga, maka kenalah patuh. Ada banyak lagi hal agama lain selain daripada solat dan zakat.
وَاللهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ
dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Dan kena jaga dengan perbuatan setiap hari kerana Allah ﷻ tahu segalanya yang kita lakukan. Apabila Allah ﷻ tahu maka itu bermaksud yang Allah ﷻ akan beri balasan yang setimpal dengan segala apa yang dilakukan oleh manusia.
Apabila digunakan kalimah خَبيرٌ, ia bermaksud pengetahuan yang mendalam. Bermakna Allah ﷻ tahu apa yang ada di dalam hati manusia. Maka ini memberi isyarat kepada kita untuk menjaga niat dan keikhlasan hati kita dalam beribadat.
Sekian Ruku’ 2 dari 3 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 14: Ayat 14 – 22 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir surah ini. Allah ﷻ memberitahu yang pendukung agama Allah ﷻ akan menang dan pendukung syaitan akan kalah. Dan kita juga akan belajar dalam beberapa ayat ini tentang siapakah yang termasuk dalam ‘Parti Syaitan’. Semoga kita tidak termasuk di dalamnya.
Ayat 14 ini adalah ayat teguran dan ayat takhwif. Ianya adalah teguran kepada pemimpin yang berbaik dengan golongan munafik yang berbaik dengan golongan musuh seperti orang kafir.
۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ تَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم مّا هُم مِّنكُم وَلا مِنهُم وَيَحلِفونَ عَلَى الكَذِبِ وَهُم يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have you not considered those who make allies of a people with whom Allāh has become angry? They are neither of you nor of them, and they swear to untruth while they know [they are lying].
(MELAYU)
Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang menjadikan suatu kaum yang dimurkai Allah sebagai teman? Orang-orang itu bukan dari golongan kamu dan bukan (pula) dari golongan mereka. Dan mereka bersumpah untuk menguatkan kebohongan, sedang mereka mengetahui.
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ تَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم
Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang menjadikan suatu kaum yang dimurkai Allah sebagai teman?
Kalimah تَوَلَّوا dalam ayat ini bermaksud ‘kasih dalam hati’. Sikap wala’ adalah memberikan cinta dan taat setia kepada seseorang atau sesuatu kumpulan. Ia bermaksud berpaling dan menjadi golongan itu sebagai ‘wali’ iaitu sebagai penolong. Maknanya berkawan rapat dengan sesuatu golongan itu. Atau bermaksud menjadikan golongan itu sebagai pemimpin kerana wali juga boleh bermaksud ketua dan pemimpin.
Ini adalah teguran kepada orang Islam yang kasih kepada kaum yang ‘dimurkai’ oleh Allah ﷻ. Yang ditegur adalah golongan yang tidak mahu meneruskan atau terlibat di dalam usaha agama untuk mengembangkan agama Islam ini. Mereka itu adalah golongan munafik.
Dan mereka yang telah dimurkai oleh Allah ﷻ itu adalah golongan Yahudi (ada juga mufassir yang memasukkan golongan Nasrani sekali). Golongan munafik pada zaman Nabi itu masih lagi berbaik dengan golongan Yahudi di Madinah. Ini kerana mereka telah lama berkawan dengan Yahudi sebelum kedatangan Islam dan mereka lebih percaya dengan Yahudi itu dari mempercayai Rasulullah ﷺ. Mereka masih lagi berharap dapat berkawan dengan puak Yahudi itu kerana ada kelebihan keduniaan bagi mereka. Mereka juga hendak mendapatkan perlindungan dari golongan Yahudi.
Maka banyak maklumat mereka berikan kepada golongan Yahudi sedangkan golongan Yahudi itu sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan Islam (dari luar atau dari dalam). Memang golongan Yahudi tidak boleh dipercayai dari dulu sampai sekarang. Kerana itu kena berhati-hati dengan mereka dan jangan lagi berbaik-baik dengan mereka.
Sepatutnya, kalau iman sudah ada dalam hati, seseorang itu tidak akan suka nak berkawan rapat dengan golongan munafik, orang kafir atau ahli dunia. Mereka juga tidak suka bercampur dengan golongan sesat dan orang yang tidak kisah tentang agama. Mereka akan berhati-hati dengan siapa mereka berkawan.
Maka kalau masih lagi nak duduk bersama dengan golongan-golongan tak elok itu, maka itu menunjukkan ada masalah dengan hati orang itu. Maka kerana itu Allah ﷻ tegur dalam ayat ini. Kita kena jaga siapakah Circle of Influence kita. Memang merbahaya kalau tersalah pilih kawan.
مّا هُم مِّنكُم
Orang-orang itu bukan dari golongan kamu
Mereka itu adalah golongan munafik dan mereka itu bukanlah dari golongan mukmin. Mereka tidak bersama-sama dengan golongan mukmin dalam usaha menegakkan agama Islam.
Juga kalau dimaksudkan dengan golongan Yahudi, mereka itu bukan dari golongan Muslim. Kebanyakan dari mereka tidak suka kepada orang Islam dan agama Islam. Memang mereka benci dengan Islam dan mencari peluang untuk menjatuhkan Islam.
وَلا مِنهُم
dan bukan (pula) dari golongan mereka.
Oleh kerana mereka itu munafik, maka golongan kafir pun tidak percaya kepada mereka dan orang Islam pun tidak percaya kepada mereka. Tidak ada sesiapa pun yang mahu percaya dan berkawan rapat dengan mereka kerana mereka itu tidak boleh dipercayai.
Maka mereka tidak ada kawan. Kerana orang tidak mahu percaya kepada ‘talam dua muka’. Mereka juga akan duduk dalam kebingungan dengan keadaan itu. Mereka akan sentiasa sahaja ada ragu-ragu kerana prinsip mereka bercelaru. Mereka jadi ragu-ragu antara beriman dan tidak.
Ayat ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah ﷻ melalui firman-Nya:
{مُذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذَلِكَ لَا إِلَى هَؤُلاءِ وَلا إِلَى هَؤُلاءِ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ سَبِيلا}
Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman dan kafir); tidak masuk kepada golongan ini (orang-orang beriman) dan tidak (pula) kepada golongan itu (orang-orang kafir). Barang siapa yang disesatkan Allah, maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan (untuk memberi petunjuk) baginya. (An-Nisa: 143)
وَيَحلِفونَ عَلَى الكَذِبِ وَهُم يَعلَمونَ
Dan mereka bersumpah untuk menguatkan kebohongan, sedang mereka mengetahui.
Apabila ditanya kepada golongan munafik itu kenapa mereka masih lagi berkawan dengan golongan Yahudi, mereka pun bersumpah yang mereka memang Muslim dan mereka mengatakan mereka berbaik dengan Yahudi itu sebenarnya kerana mahukan kebaikan. Mereka kata hendak berkawan sahaja dan macam-macam alasan lagi.
Akan tetapi itu sumpah kosong sahaja. Sedangkan sebenarnya mereka sendiri pun tahu yang mereka tidak jujur dalam sumpah mereka itu. Mereka bersumpah yang mereka beriman kepada Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ, tapi mereka menipu sahaja.
Mereka telah membocorkan rahsia umat Islam kepada puak Yahudi (seperti rancangan peperangan dan strategi dakwah), tapi mereka bersumpah yang mereka tidak melakukan perkara itu. Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang golongan yang duduk bermesyuarat secara rahsia dengan Rasulullah. Ada antara mereka yang telah membocorkan rahsia itu.
Mereka bersumpah itu adalah untuk menyelamatkan diri mereka sahaja. Mereka tidak mahu dipandang serong oleh orang Muslim yang lain, maka mereka mengaku kononnya mereka beriman dan menjaga rahsia umat Islam. Mereka hendak mengambil hati umat Islam yang mukmin sahaja. Itu pun kerana mereka duduk di dalam kalangan orang mukmin. Kerana itu mereka kena mengaku sebagai orang mukmin.
Ayat 15: Apakah balasan bagi golongan munafik itu?
أَعَدَّ اللهُ لَهُم عَذابًا شَديدًا ۖ إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has prepared for them a severe punishment. Indeed, it was evil that they were doing.
(MELAYU)
Allah telah menyediakan bagi mereka azab yang sangat keras, sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.
أَعَدَّ اللهُ لَهُم عَذابًا شَديدًا
Allah telah menyediakan bagi mereka azab yang sangat keras,
Kerana penipuan mereka itu, Allah ﷻ janjikan azab yang keras untuk mereka. Iaitu mereka akan dimasukkan ke dalam neraka nanti. Itulah tempat mereka kalau mereka tidak mengubah sikap mereka.
Allah berfirman,
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka. (Nisa: 145)
إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ
sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.
Buruk sekali apa yang mereka lakukan itu. Kalau orang kafir, semua sudah tahu agenda mereka dan pendirian mereka; tapi orang munafik ini adalah ‘gunting dalam lipatan’, ‘api dalam sekam’.
Orang mukmin sangka mereka itu orang mukmin juga, tapi sebenarnya mereka musuh dalaman. Dan musuh dalaman ini amat-amat bahaya. Kerana mereka musuh yang tidak dikenali. Dan kerana itu mereka boleh merosakkan agama Islam dan orang Muslim dari dalam.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 27 Mei 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi