Tafsir Surah Baqarah Ayat 17 – 20 (Perumpamaan orang munafik)

Baqarah Ayat 17: Allah beri ayat-ayat bandingan atau perumpamaan supaya lebih jelas apa yang hendak disampaikan. Ini adalah jenis Ilmu Bayan supaya jelas kepada manusia yang membaca dan belajar Al-Qur’an. Ayat 17 – 18 adalah ayat bandingan tentang orang Musyrikin dan Yahudi iaitu mereka yang jenis ‘kafir degil’. Dan ayat 19 – 20 pula adalah ayat bandingan untuk mereka yang ‘kafir jahil’ iaitu Munafikin dan Nasara.

Ayat-ayat bandingan ini memang banyak perselisihan sebab banyak perbahasan dan pendapat tentang siapakah yang dimaksudkan dalam bandingan-bandingan itu. Tapi dalam pengajian kita, kita mengikut apa yang telah disampaikan iaitu ayat 17 – 18 tentang Kafir Degil dan ayat 19 – 20 tentang Kafir Jahil.

مَثَلُهُم كَمَثَلِ ٱلَّذِى ٱستَوقَدَ نَارًا فَلَمَّآ أَضَآءَت مَا حَولَهُ ۥ ذَهَبَ ٱللَّهُ بِنُورِهِم وَتَرَكَهُم فِى ظُلُمَـٰتٍ لَّا يُبصِرُونَ

Sahih International

Their example is that of one who kindled a fire, but when it illuminated what was around him, Allah took away their light and left them in darkness [so] they could not see.

Malay

Perbandingan hal mereka samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

 

مَثَلُهُمْ

Contoh mereka itu

Allah beri perbandingan dan contoh bagaimana keadaan orang yang ‘kafir degil’ itu. Allah banyak beri pengajaran dalam bentuk bandingan kerana kita lebih senang faham kalau ada bandingan.

 

كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا

Seperti satu orang yang menyalakan api;

Orang yang menyalakan api itu adalah isyarat kepada Nabi Muhammad.

Dan نارًا – ‘Api’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ayat-ayat Al-Qur’an’ kerana sebagaimana api menerangi kegelapan, cahaya Al-Qur’an juga menerangi kegelapan syirik. Ianya juga mengandungi dalil-dalil Al-Qur’an tentang Islam. Maka Nabi Muhammad telah menyampaikan cahaya wahyu kepada manusia.

 

فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ

apabila ia menerangi yang di sekelilingnya

Untuk memahami ayat ini, istilah idmaj ادماج perlu digunakan dalam ayat ini. Iaitu kita kena taqdirkan (masukkan lafaz-lafaz) dalam ayat ini. Iaitu antara lafaz نَارًا dan فَلَمَّا.

Lafaz yang dimasukkan adalah: (beberapa orang lelaki duduk mendengar kepada Nabi). Ianya memang tidak dimasukkan dalam Al-Qur’an, tapi untuk kita memahaminya, kita kena masukkan lafaz ini dalam tafsir.

Lelaki-lelaki yang dimaksudkan itu adalah mereka yang kafir degil. Iaitu Arab Mekah. Dan kerana Surah Al-Baqarah ini adalah Surah Madaniyyah, maka ia juga merujuk kepada golongan kafir degil yang satu lagi yang ada di Madinah: Golongan Yahudi.

 

ذَهَبَ اللهُ بِنُورِهِمْ

Allah tarik dan hilangkan nur hidayat dari mereka

Apabila cahaya Al-Qur’an itu dinyalakan (dibacakan) kepada mereka, ذَهَبَ اللَّهُ بِنورِهِم – Allah tarik cahaya itu dari mereka. Sepatutnya mereka dapat cahaya itu, tapi Allah tarik daripada mereka disebabkan oleh kedegilan mereka.

Beginilah perbandingan yang diberikan oleh Allah supaya kita boleh faham. Kerana ada orang yang akan faham apabila diberikan penerangan dalam bentuk perbandingan. Inilah cara Al-Qur’an untuk menjelaskan agama kepada manusia.

 

وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمٰتٍ

Dan Allah membiarkan mereka dalam kegelapan;

Apabila Allah tarik cahaya wahyu itu dari mereka, kesan kepada mereka adalah mereka terbiar dalam kegelapan. Dan kegelapan itu adalah syirik kufur.

 

لَا يُبْصِرُونَ

mereka tidak dapat melihat;

Mereka tidak dapat melihat bahawasanya mereka sedang duduk dalam syirik kufur. Bila kita cerita kepada mereka tentang syirik kufur, mereka tidak faham. Ini kerana Allah telah tutup pemahaman dari akal mereka. Kerana mereka telah teruk sangat menolak sebelum itu.


 

Baqarah Ayat 18: Masih lagi tentang golongan Kafir Degil

صُمُّۢ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَرجِعُونَ

Sahih International

Deaf, dumb and blind – so they will not return [to the right path].

Malay

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

 

صُمٌّ

Pekak

Telinga mereka masih boleh lagi mendengar, tapi mereka tidak boleh mendengar kebenaran. Bila disampaikan kebenaran wahyu kepada mereka, mereka tidak boleh faham.

 

بُكْمٌ

Bisu

Mereka ada mulut dan boleh bercakap tapi mereka tidak bercakap tentang kebenaran.

 

عُمْيٌ

Buta; 

Mata mereka masih boleh nampak lagi, tapi mereka tidak boleh nampak kebenaran. Walaupun kebenaran itu ditunjuk di hadapan mereka. Tapi mereka tidak mampu memahaminya dan menerimanya.

Ketiga-tiga cara (pendengaran, percakapan dan penglihatan) untuk mendapat ilmu telah dihilangkan dari mereka. Kalau hilang satu atau dua, sekurang-kurangnya mereka ada lagi deria untuk mendapat maklumat. Tapi apabila Allah telah hilangkan ketiga-tiganya, mereka tidak ada harapan lagi.

Begitulah perumpamaan kepada mereka yang kafir degil. Mereka tidak akan dapat menerima kebenaran lagi. Hati mereka telah dikunci mati. Peluang untuk mendapat hidayah telah ditarik dari mereka.

 

فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ

Maka mereka sekali-kali tidak dapat kembali;

Mereka tidak akan dapat kembali kepada jalan tauhid. Kerana mereka telah kehilangan tiga-tiga pancaindera itu, mereka tidak ada peluang lagi. Mereka juga tidak ada cara nak minta tolong kerana percakapan pun sudah ditarik dari mereka.

Maka mereka tidak dapat kembali ke jalan tauhid yang dibawa oleh Nabi. Mulanya mereka sudah ada peluang kerana Nabi ada bersama-sama mereka, tapi apabila mereka telah tenggelam dalam lembah kesesatan, mereka tidak ada peluang lagi.

Mereka hilang peluang itu kerana mereka telah sampai kepada tahap kafir ‘Peringkat Keempat’. Iaitu apabila Allah sudah kunci mati hati mereka dari kebenaran.


 

Baqarah Ayat 19: Ini pula ada perumpamaan kepada golongan kafir jahil – Munafikin dan Nasara dan mereka yang bersifat seperti mereka, tidak kira sama ada mereka itu mengaku Muslim atau tidak.

أَو كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّماءِ فيهِ ظُلُمٰتٌ وَرَعدٌ وَبَرقٌ يَجعَلونَ أَصٰبِعَهُم في ءآذانِهِم مِّنَ الصَّوٰعِقِ حَذَرَ المَوتِ ۚ وَاللهُ مُحيطٌ بِالكٰفِرينَ

Sahih International

Or [it is] like a rainstorm from the sky within which is darkness, thunder and lightning. They put their fingers in their ears against the thunderclaps in dread of death. But Allah is encompassing of the disbelievers.

Malay

Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.

 

أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ

Atau seperti ditimpa dari langit air hujan;

Perkataan صَيِّبٍ bermaksud awan yang ada hujan di dalamnya. Dalam ayat ini, air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu Allah. Awam yang sebegitu, tentunya tebal dan gelap sampaikan menutupi cahaya matahari.

 

فِيهِ ظُلُمٰتٌ

di dalamnya ada kegelapan;

Apabila awan tebal, suasana pun jadi gelap. Yang dimaksudkan dengan ‘kegelapan’ adalah akidah syirik, amalan-amalan dan ilmu-ilmu salah yang mereka lakukan, diisyaratkan dalam ayat ini dalam bentuk kegelapan.

 

وَرَعْدٌ

dan guruh:

Bayangkan suasana ini, apabila guruh gempita. Ianya amat menakutkan. Ianya bermaksud ancaman-ancaman dalam Al-Qur’an tentang orang-orang yang akidah salah, akan kekal dalam neraka dan lain-lain ancaman lagi.

 

وَبَرْقٌ

dan kilat:

Kilat pula sabung menyabung dalam bentuk cahaya yang terang. Ianya adalah isyarat kepada dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan hadis tentang kebenaran Islam.

Sebelum turun hujan, mula-mulanya suasana gelap, selepas itu bunyi guruh, dan kemudian petir. Lepas petir baru hujan.

Gelap adalah akidah syirik bidaah yang manusia buat. Maknanya, sebelum diberitahu mereka ajaran tauhid, kena beritahu apa akidah syirik mereka dahulu.

Guruh adalah ancaman-ancaman tentang syirik kepada Allah dan bidaah yang mereka lakukan. Banyak amalan syirik dan bidaah yang masyarakat buat. Maka kita kena beritahu mereka. Jangan biarkan sahaja. Memang pahit dan susah nak beritahu, tapi begitulah cara ilmu disampaikan kepada manusia. Kadangkala nasihat itu amat pedih untuk diterima.

Kilat adalah yang cahaya yang menerangi, iaitu dalil-dalil dari Allah tentang pentingnya beriman penuh kepada Dia. Cahaya itu yang boleh menunjukkan jalan. Ianya adalah ‘hujah’ dan ‘bukti’ dari Allah tentang betapa jelasnya kesalahan dalam perbuatan dan fahaman syirik itu dan betapa nikmatnya tauhid. Ia menampakkan dengan jelas semua perkara, macam juga dengan kilat. Lihatlah bagaimana apabila kilat datang, semua akan cerah sahaja.

Semua itu adalah isyarat yang air hujan akan turun. Dan air hujan itu semua tahu, memberi manfaat dan memang ditunggu-tunggu oleh manusia – lebih-lebih lagi kalau orang Arab yang jarang dapat hujan. Tapi sebelum hujan turun, keadaan akan ada gelap, petir dan kilat akan datang dahulu.

Semua orang tahu perkara ini. Dari dulu sampai sekarang, di negara mana pun mereka berada. Jadi, apabila perbandingan ini diberikan, semua boleh bayangkan. Ia turun dalam keadaan berat – sepertimana awan gelap, petir dan kilat. Tetapi walaupun ianya berat, tapi orang tahu yang ianya adalah nikmat. Wahyu Al-Qur’an begitulah juga. Selalunya kalau sesiapa yang mula belajar, memang ada ayat-ayat yang seperti tepat kena batang hidung.

 

يَجْعَلُونَ أَصٰبِعَهُمْ

Mereka akan memasukkan jari-jari mereka 

Mereka punyalah takut sampai kalau boleh mereka nak masuk ‘semua’ jari-jari mereka ke dalam telinga. Bukan satu jari sahaja yang mereka nak masukkan, tapi ‘semua’ jari-jari mereka. Sebenarnya, bukan boleh masuk semua jari dalam telinga (satu jari pun tidak boleh). Tapi ini adalah sebagai mubalaghah, bahaya kiasan.

Maksudnya beriya-iya benar mereka hendak menutup telinga mereka, sampaikan kalau boleh semua jari di tangan mereka hendak masukkan ke dalam telinga.

 

فِي ءآذَانِهِمْ

ke dalam telinga-telinga mereka; 

Kenapa mereka tutup telinga mereka dengan jari-jari mereka? Kerana mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Tapi ini bermakna, mata mereka sepatutnya masih nampak lagi. Tapi mereka buat tak nampak. Mata pun mereka akan tutup juga.

Mereka sumbat telinga mereka dengan jari. Tapi, lubang telinga memang kecil, mana boleh masuk jari pun. Begitulah Allah nak tunjuk bagaimana mereka tak mahu sangat kepada Al-Qur’an sampaikan kalau boleh, lima-lima jari mereka mereka nak masukkan dalam telinga.

 

مِنَ الصَّوٰعِقِ

daripada mendengar petir,

Mereka tidak mahu mendengar guruh itu. Macam budak-budak yang tutup telinga kerana takut dengar bunyi guruh yang amat kuat. Ini adalah isyarakat kepada mereka tak mahu dengar ancaman dan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Hadis. Mereka lebih rela berada dalam kegelapan dari mendapat cahaya. Mereka jenis tidak boleh ditegur atau dinasihati lagi.

 

حَذَرَ الْمَوْتِ

kerana takut mati;

Kenapa حَذَرَ المَوتِ? Kenapa mereka ‘takut mati’. Kerana pada mereka, kalau tinggalkan syirik, bidaah dan maksiat itu, seolah-olah rasa mati pada mereka. Begitulah sayangnya mereka kepada apa yang mereka amalkan selama hari ini. Kerana amalan-amalan syirik dan bidaah itu sudah sebati dengan mereka. Mereka rasa tak boleh nak amalkan apa yang diajar oleh agama. Mereka tetap nak amalkan apa yang diajar oleh guru dan tok nenek mereka.

Orang-orang munafik itu juga takut mati. Mereka tidak mahu melalui cabaran yang perlu dilalui dalam perjuangan menegakkan Islam. Mereka tahu kalau mereka bersama dengan orang Islam, ada banyak cabaran dan antara cabarannya adalah berperang dan mungkin akan mati dalam peperangan itu.

 

وَاللهُ مُحِيطٌ بِالْكٰفِرِينَ

Dan Allah meliputi (ilmuNya) terhadap orang-orang kafir ini. 

Tapi mereka bukan boleh pergi ke mana pun. Kerana Allah meliputi mereka – Allah tahu apa yang mereka lakukan. Dan azab Allah akan kena juga kepada mereka walau ke mana pun mereka pergi.

Dalam ayat ini, Allah memberitahu kita bahawa mereka itu kafir sebenarnya. Lihatlah perkataan kafir yang digunakan oleh Allah dalam hujung ayat ini. Ini kerana Allah tahu bahawa mereka itu kafir.


 

Baqarah Ayat 20: Ini adalah bandingan kedua iaitu bagi golongan Kafir Jahil pula.

يَكادُ البَرقُ يَخطَفُ أَبصٰرَهُم ۖ كُلَّما أَضاءَ لَهُم مَّشَوا فيهِ وَإِذا أَظلَمَ عَلَيهِم قاموا ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَذَهَبَ بِسَمعِهِم وَأَبصٰرِهِم ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

The lightning almost snatches away their sight. Every time it lights [the way] for them, they walk therein; but when darkness comes over them, they stand [still]. And if Allah had willed, He could have taken away their hearing and their sight. Indeed, Allah is over all things competent.

Malay

Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصٰرَهُمْ

Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka;

Ayat ini bermaksud, hampir-hampir hujah Al-Qur’an itu menghairankan mereka dan memberi kesan kepada mereka. Hampir-hampir hujah itu mereka nak terima kerana hujah itu memang sudah benar dan tidak boleh ditolak oleh akal yang sihat. Tapi orang munafik walaupun jelas macam mana pun, mereka tak mahu terima juga.

 

كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ

Setiap kali kilat itu menerangi mereka, 

‘Menyinari’ itu bermaksud apabila mereka nampak keuntungan dunia, mereka akan ikut agama. Contohnya mereka boleh dapat duit zakat, harta ghanimah rampasan perang dan sebagainya.

Ataupun ia boleh bermaksud mukjizat Nabi yang ditunjukkan kepada mereka.

 

مَّشَوْا فِيهِ

mereka ikut;

Maksudnya, mereka duduk dalam majlis Nabi dan sahabat untuk kepentingan dunia sahaja. Sebab takut nyawa mereka melayang kalau orang lain tahu yang mereka itu sebenarnya tidak beriman. Mereka pergi solat berjemaah supaya mereka dilihat sebagai orang Islam sahaja.

Sebab itu Nabi kata orang munafik berat untuk datang solat Subuh dan Isyak kerana waktu itu suasana gelap jadi tidak ada orang nampak. Jadi, bila suasana gelap, bolehlah mereka buat alasan tak datang, kerana mereka datang waktu boleh dilihat sahaja.

Apabila ada kepentingan, terus mereka berlari untuk mendapatkannya. Mula mereka duduk dalam gelap, bila ada cahaya kilat itu, mereka akan berlari sebab mereka baru nampak ada cahaya. Ini isyarat bahawa jikalau ada hukum-hukum agama yang menguntungkan mereka, mereka akan ikut.

 

وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

Dan apabila gelap menyelubungi mereka, mereka berdiri;

Tapi apabila mereka lihat agama Islam tidak memberi faedah kepada mereka, mereka berdiri tidak bergerak, tidak ikut. Apabila mereka lihat agama Islam itu menyusahkan mereka, mereka tak mahu nak ikut.

Tapi kepada orang beriman, apabila kilat memancar, mereka akan tengok dan masa gelap mereka akan berjalan. Sebab masa cerah itu, mereka akan nampak halangan-halangan yang ada. Orang munafik, semasa terang sekejap itu yang mereka berlari. Itulah bezanya antara orang mukmin dan orang munafik. Orang munafik masuk Islam kerana mahukan sesuatu faedah sahaja.

 

وَلَوْ شَاءَ اللهُ

Kalaulah Allah kehendaki,

Allah boleh sahaja kalau Allah nak buat, tapi tidak semestinya Allah lakukan. Allah nak beritahu kekuasaanNya sahaja dalam ayat ini.

 

لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصٰرِهِمْ ۚ

nescaya Allah telah hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka;

Allah boleh hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka terus bagi mereka terus jadi pekak dan bisu semasa di dunia lagi. Tapi Allah tak buat begitu kepada mereka. Kerana ianya akan menjadi hujjah di akhirat kelak yang mereka telah dapat segalanya yang perlukan untuk beriman (tapi masih tetap tidak beriman).

Allah biarkan mereka ada alat pancaindera mereka yang lengkap supaya mereka tak boleh jadikan alasan yang mereka di dunia dulu tak dengar dan tak nampak kebenaran, jadi mereka tak dapat terima Islam kerana pancaindera mereka tidak lengkap. Oleh itu, sama rata sahaja Allah beri kepada mereka.

Allah boleh buat, tapi Tuhan masih lagi memberi mereka kuasa mendengar dan melihat kebenaran. Akan hanya ditutup apabila sakaratul maut nanti. Maknanya, Tuhan memang sayang kepada makhlukNya.

 

إِنَّ اللهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah atas segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Walaupun Allah tak buat, tapi Allah sebut dalam ayat ini kerana hendak memberitahu yang Dia boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Jangan sangka Allah tidak mampu.

Maka, tafsir ayat غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ, berhenti di sini. Panjang sedikit ayat tentang orang Munafik dalam ayat-ayat ini. Ini adalah kerana orang mukmin itu jelas, orang kafir itu jelas. Tapi orang munafik ini lain sikit. Pada luaran mereka menunjukkan mereka Muslim, tapi dalaman mereka tidak. Jadi memerlukan ayat-ayat yang banyak sedikit untuk menceritakan tentang mereka.

Habis Ruku’ 2 dari 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Oktober 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s