Tafsir Surah Nuh Ayat 6 – 10 (Cari jalan untuk dakwah)

Ayat 6: Setelah baginda tekun berdakwah, adakah baginda berjaya?

فَلَم يَزِدهُم دُعائي إِلّا فِرارًا

Sahih International

But my invitation increased them not except in flight.

Malay

“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

Semakin banyak baginda dakwah kepada mereka, semakin mereka lari dari baginda. Kerana kaumnya tidak mahu mendengar dakwah baginda. Nampak sahaja kelibat Nabi Nuh, mereka sudah lari jauh-jauh. Mereka tak larat nak layan baginda lagi.

Tentulah ini menyayat hati baginda. Tapi adakah baginda berhenti dari berdakwah? Tidak, baginda terus berdakwah. Kalau ini yang terjadi kepada kita, adakah kita buat perkara yang sama macam Nabi Nuh? Selalunya, kita akan berhenti dari dakwah, kan?

Katakanlah kita dakwah kepada kawan kita, tapi dia sudah tidak mahu jumpa kita, adakah kita akan cari dia lagi? Kemungkinan besar, kita tidak jumpa dia lagi. Kira sudah putus kawan pun boleh jadi juga. Tapi lihatlah apa yang Nabi Nuh buat – baginda tidak putus asa.

Jadi, ayat ini memberi semangat kepada kita supaya jangan berhenti dari berdakwah walaupun kepada mereka yang tidak mahu dengar. Kerana kita tidak mahu mereka terjerumus ke dalam neraka. Bayangkan, adakah kita rela kalau orang yang kita kenal baik, masuk neraka? Kalau kita tak sanggup, maka jangan berhenti berdakwah kepada dia.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Bandingkan ayat ini dengan Ibrahim:40.

Dalam Ibrahim:40, kalimah yang digunakan adalah دُعَاءِ (huruf ي dihazafkan) sedangkan dalam ayat Nuh ini, zikru (disebut) pula ya mutakallim dalam دُعَائِي. Kenapa ada perbezaan?

Apabila ada hazf, itu membawa maksud berterusan dan kalau zikru ya mutakallim dalam دُعَائِي ia membawa maksud tidak berterusan. Ini adalah kerana ajakan dakwah Nabi Nuh itu tidak berterusan. Kalau mereka ikut dan dengar ajakan dakwah baginda dan mereka menjadi mukmin, tidaklah perlu baginda ajak lagi, bukan? Maknanya ajakan Nabi Nuh ada kemungkinan boleh berhenti. Nanti kita ajar belajar Allah beritahu baginda yang tidak ada lagi kaumnya yang akan beriman. Maka waktu itu baginda berdoa kepada Allah untuk musnahkan kaum baginda.


Ayat 7:

وَإِنّي كُلَّما دَعَوتُهُم لِتَغفِرَ لَهُم جَعَلوا أَصابِعَهُم في آذانِهِم وَاستَغشَوا ثِيابَهُم وَأَصَرّوا وَاستَكبَرُوا استِكبارًا

Sahih International

And indeed, every time I invited them that You may forgive them, they put their fingers in their ears, covered themselves with their garments, persisted, and were arrogant with [great] arrogance.

Malay

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, –

Lihatlah tujuan Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya itu – bukan untuk dirinya tapi supaya Allah ampunkan dosa-dosa mereka. Baginda mahu mereka meminta ampun kepada Allah. Nanti akan disebutkan kepentingan meminta ampun dalam ayat seterusnya.

جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ

mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing,

Mereka masukkan jari-jari mereka ke dalam telinga mereka supaya mereka tak dengar dakwah baginda. Bayangkan mereka sampai sanggup buat begitu. Tapi sebenarnya kita boleh tutup telinga kita dengan satu jari sahaja.

Ada mubalaghah dalam ayat ini: tentulah manusia tidak dapat memasukkan semua jari dia dalam telinga. Jadi kalimat: memasukkan semua jari itu adalah dalam bentuk ekstrem: untuk menegaskan dan menekankan yang mereka memang tak suka langsung dengan dakwah dari Nabi Nuh itu. Sampaikan kalau boleh, mereka nak masukkan semua jari dalam telinga mereka.

Tak jauh beza pun dengan orang-orang zaman sekarang. Mungkin mereka tak masukkan jari dalam telinga mereka, tapi apabila kita dakwah kepada mereka, mereka buat tak dengar sahaja. Mereka cari peluang sahaja untuk lari meninggalkan kita. Mereka akan sentiasa lihat jam mereka kerana hendak pergi dari kita. Ini adalah kerana mereka tak pentingkan akhirat. Mereka tidak selesa dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang disampaikan kepada mereka.

Gambar hiasan – kaum Nabi Nuh sumbat telinga tak mahu dengar dakwah baginda

Kaum Nabi Nuh memang benar-benar sumbat telinga mereka dari dengar dakwah baginda. Tentulah ini satu perbuatan yang amat tidak patut kerana buat perkara itu di hadapan Rasul mereka sendiri. Tapi lihatlah bagaimana Nabi Nuh tidak berhenti dari terus berdakwah. Kalau kita ada orang buat begitu, tentu sudah lama bungkus tikar dan pergi dari situ.

وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ

dan berselubung dengan pakaian mereka,

Mereka angkat baju dan tutup muka mereka dengan baju mereka itu. Mereka buat begitu supaya Nabi Nuh tak kenal mereka. Konon mereka nak kata mereka bukan kaum baginda. Kononnya supaya baginda tidak boleh nampak mereka dan tidak tegur mereka. Alangkah kurang ajarnya mereka dengan Nabi mereka.

Kalau mereka di rumah, mereka akan tutup pintu dan tingkap rumah mereka supaya Nabi Nuh tidak datang masuk rumah. Kalau ketuk pintu mereka tidak akan buka pintu untuk baginda. Tapi itu tidak menghalang Nabi Nuh dari terus berdakwah kepada mereka. Baginda sentiasa sahaja mencari peluang untuk berdakwah kepada kaum baginda.

Begitulah semangat Nabi Nuh yang kita perlu ada. Jangan kita putus semangat untuk terus berdakwah kepada manusia walaupun ditentang dan tidak dihiraukan. Maka tidak ada alasan lagi untuk tidak berdakwah, bukan? Maka memang ayat-ayat tentang dakwah Nabi Nuh ini memotong hujah kita yang tidak mahu berdakwah.

وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا

serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

Kaumnya itu berterusan sombong untuk terima dakwah dan ajakan Nabi Nuh. Mereka rasa diri mereka besar. Oleh kerana itu mereka rasa sombong kerana mereka itu dari golongan yang kaya dan kuat. Seperti yang telah disebut dalam Hud:27

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِّثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَاذِبِينَ

Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta”.

Mereka melihat pengikut-pengikut Nabi Nuh waktu itu adalah orang-orang yang lemah dan miskin sahaja. Jadi, mereka rasa mereka terlalu tinggi kedudukan mereka untuk bercampur dengan puak-puak itu.

Begitulah yang terjadi zaman berzaman – dari dulu sampai sekarang – yang menerima dakwah tauhid dan dakwah sunnah adalah mereka yang miskin dan tidak ada kedudukan dalam agama dan masyarakat. Mereka ini sentiasa dipandang hina.

Sama juga yang dialami oleh Nabi Muhammad dengan masyarakat Arab. Pemuka Quraish yang menentang Nabi adalah mereka yang tinggi kedudukan mereka dalam masyarakat dan kaya raya. Sampaikan mereka suruh halau dulu sahabat-sahabat baginda yang miskin dari kalangan baginda dahulu, baru kononnya mereka nak duduk dengan baginda dan dengar apa yang baginda nak sampaikan.

Begitulah kadang-kadang ada orang yang meletakkan syarat untuk beriman. Kalau ada kata begitu, mereka itu tidak boleh dipercayai yang mereka akan beriman. Mereka itu sebenarnya tidak mahu beriman.

Ayat-ayat ini memberitahu kita apakah yang Nabi Nuh lakukan dan apakah sambutan dari kaumnya. Tapi Nabi Nuh memang sentiasa bersabar. Baginda terus berdakwah dan hanya berhenti berdakwah apabila Allah beritahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman dengan baginda.

Ada riwayat yang mengatakan, kaumnya benci dengan dakwah baginda sampaikan mereka akan pukul baginda sampai baginda tidak sedarkan diri. Kemudian mereka akan bungkus baginda dan bawa ke rumah baginda dengan harapan baginda akan mati atau berhenti berdakwah selepas itu. Tapi apabila baginda sedar, baginda kembali terus melakukan kerja dakwah.


Ayat 8: Sekarang disebut Nabi Nuh dakwah dalam majlis umum pula.

ثُمَّ إِنّي دَعَوتُهُم جِهارًا

Sahih International

Then I invited them publicly.

Malay

“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

Nabi Nuh tidak berhenti berdakwah. Salah satu cara yang baginda lakukan adalah baginda menyeru dengan suara yang kuat. Baginda akan cakap sekuat-kuat suara baginda. Ini kerana kaum baginda akan menutup telinga mereka maka baginda kena jerit kuat-kuat supaya mereka dengar. Maknanya, baginda berdakwah di khalayak ramai dalam bentuk ceramah umum.

Nabi Muhammad pun pernah buat apabila baginda naik ke bukit dan bercakap kepada semua penduduk Mekah.


Ayat 9: Ini pula dakwah secara perseorangan (one-on-one). Sebab ada kalanya orang tak sangka yang dakwah yang disampaikan adalah kepada mereka. Maka kena terus bercakap dengan mereka sahaja tanpa ada orang lain.

ثُمَّ إِنّي أَعلَنتُ لَهُم وَأَسرَرتُ لَهُم إِسرارًا

Sahih International

Then I announced to them and [also] confided to them secretly

Malay

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنتُ لَهُمْ

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang,

Baginda berdakwah dengan suara yang tinggi dan kepada ramai orang. Ini dakwah di khalayak ramai.

وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا

dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Mungkin ada yang tak suka dengan suara tinggi. Mungkin ada yang segan nak datang kepada baginda di khalayak ramai. Jadi baginda akan berdakwah secara peribadi kepada mereka. Pergi seorang-seorang (one-on-one).

Maknanya, sudah macam-macam cara Nabi Nuh gunakan dalam usaha dakwah baginda. Ayat ini juga mengajar kita untuk mengubah-ubah cara dakwah kita. Kalau satu cara tidak berjaya, kita cuba cara lain. Kerana mungkin cara dakwah kita tidak kena dengan orang tertentu. Sebelum kita salahkan orang lain yang tak mahu terima, kita cuba pendekatan yang lain.

Ingatlah yang dakwah ada berbagai-bagai cara. Mungkin dengan ceramah, dengan tulisan, dengan bersembang, hantar emel, beri buku untuk manusia baca, beri mesej Whatsapp, Facebook, beri mereka web link untuk mereka baca dan sebagainya.

Kita kena kreatif dalam jalan dakwah kita. Doa kepada Allah untuk beri jalan kepada kita untuk berdakwah kepada manusia. Asalkan tidak melibatkan cara yang berdosa seperti menyanyi dan qasidah – kerana itu adalah cara dakwah yang salah. Yang melakukan begitu adalah kerana mereka itu yang suka menyanyi.


Ayat 10:

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا

Sahih International

And said, ‘Ask forgiveness of your Lord. Indeed, He is ever a Perpetual Forgiver.

Malay

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ

“aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu,

Nabi Nuh akan mengajak mereka untuk memohon ampun kepada Allah – istighfar. Ini adalah cara yang amat baik. Kerana kebanyakan manusia telah banyak melakukan dosa. Maka kita suruh mereka untuk minta ampun kepada Allah. Kerana bila mereka berdosa, mereka akan rasa bersalah.

Maksud istighfar adalah meninggalkan syirik dan jaga iman dengan Allah. Maknanya kena tinggal perkara salah. Dan nak tahu perkara salah yang dilakukan, kenalah belajar.

Dan penting minta ampun kerana dosa akan menyebabkan susah untuk terima kebenaran. Ianya seperti benteng yang akan menutup kebenaran dari masuk ke dalam hati. Oleh itu, kita ajar manusia untuk minta ampun.

Kena minta ampun kepada Allah sendiri. Bukannya suruh orang lain istighfar untuk kita. Bukannya macam agama Kristian yang mengajar umatnya pergi mengadu dosa kepada paderi. Itu bukanlah cara yang betul.

إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

Kita kena ingatkan manusia bahawa Allah itu Maha Pengampun. Allah mampu dan sanggup untuk ampunkan segala dosa manusia. Tidak kira berapa banyak dosa mereka. Agama Islam mengajar manusia bahawa Allah itu Maka Pemaaf. Ini Allah telah sebut dalam Zumar: 53

۞ قُل يا عِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat Zumar ini memberi harapan kepada manusia yang walau banyak mana pun dosa mereka, Allah masih boleh ampunkan mereka. Janganlah pula kita takutkan manusia dengan mengatakan yang mereka akan masuk neraka tak keluar-keluar kerana mereka banyak dosa – itu adalah cara dakwah yang salah. Kita kena mulakan dengan menceritakan kelembutan dan rahmat Allah. Maka hendaklah beri harapan kepada manusia.

Kalimah غَفَّارًا bermaksud Allah ‘berkali-kali’ memberi ampun kepada kita. Kerana kita kadang-kadang sesudah minta ampun, masih buat salah lagi. Dan kesalahan itu kesalahan yang sama pula. Jadi perkataan غَفَّارًا bermaksud Allah boleh ampunkan berkali-kali walaupun ianya kesalahan yang sama. Itulah sifat Allah yang kita kena kenal.

Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang hendak menyesatkan kita. Syaitan akan bisikkan ke telinga kita: “buat apa kau minta ampun lagi, berapa banyak kali kau nak minta ampun? Tak malu ke? Buat teruslah dosa kau tu, nanti bila kau dah tua, barulah minta ampun sekali gus!”

Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan itu. Kerana kalau kita percaya dengan bisikan itu, kita tidak minta ampun dan entah-entah kita akan mati sebelum kita sempat minta ampun bila sudah tua nanti. Ingatlah bahawa Allah Maha Pengampun dan boleh ampunkan banyak kali segala kesalahan kita. Jangan putus harapan dengan Allah.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli (Yayasan Taalim)

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s