Tafsir Surah Nuh Ayat 1 – 5 (Lelah Nabi Nuh berdakwah)

Pengenalan

Surah Nuh ini adalah Surah Makkiah dan ianya adalah satu surah yang pendek. Ia diturunkan sekitar Tahun ke 5 Kenabian. Seperti yang kita sudah agak, ianya adalah tentang Nabi Nuh a.s. Baginda adalah salah seorang Rasul Ulul Azmi. Allah menceritakan tentang Nabi Nuh a.s. dan kerana itu surah ini adalah ayat-ayat Naqli dari Allah kepada kita.

Berdasarkan satu hadis, kita dapat tahu yang baginda adalah Rasul yang pertama. Walaupun sebelum baginda, telah ada Nabi Adam, tapi Nabi Adam tidak dikira sebagai seorang Rasul.

Dikatakan baginda hidup 10 generasi selepas Nabi Adam. Sebelum Nabi Nuh, manusia tidak ada yang melakukan syirik. Hanya zaman baginda baginda sahaja manusia mula buat syirik. Dan perbuatan paling melampau mereka adalah menyembah berhala (patung). Asalnya manusia hendak mengingati orang alim dari kalangan mereka yang telah mati. Mereka mula dengan gambar sahaja. Lama kelamaan mereka buat patung. Dan akhirnya mereka sembah patung itu. Waktu itulah Nabi Nuh diutuskan.

Allah hendak memberitahu yang ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad bukanlah baru, tetapi dari Rasul yang awal pun sudah mengajar perkara ini. Begitu juga kita yang mengingatkan ajaran Tauhid kepada masyarakat: bukanlah ia ajaran baru, tapi ajaran lama. Yang tidak belajar sahaja yang tidak kenal.

Ayat ini juga menceritakan tentang sabar. Dalam Surah Ma’arij sebelum ini, Allah memberitahu kepada Nabi Muhammad supaya mempunyai ‘sabar yang cantik’. Dalam ayat ini, dijelaskan lagi tentang sabar itu dan bagaimana contoh sabar Nabi Nuh a.s yang amat hebat.

Ayat ini juga memberitahu kita tentang cara dakwah Nabi Nuh. Maka Allah mengajar cara-cara dakwah kepada manusia dalam surah ini. Dalam surah ini, kita belajar bagaimana Nabi Nuh bertungkus lumus menjalankan usaha dakwahnya. Tapi seperti yang kita tahu, tidak ramai yang beriman dengan baginda.

Ini mengajar kita bahawa tidak semestinya setelah kita menjalankan usaha untuk dakwah, ramai akan ikut. Sebaliknya kita kena tahu bahawa akan ramai yang menolak. Kita boleh usaha sahaja sampaikan kepada manusia. Oleh itu, ayat ini mengajar kita supaya jangan putus asa dalam dakwah. Maka, bacalah Nabi Nuh ini untuk terus sabar dalam dakwah.

Tabshir duniawi surah nuh 10-12 fadhilat istighfar
Ramai yang suka buat amalan murah rezeki sehingga sanggup beramal dengan hadis palsu seperti membaca al-Waqiah setiap malam. Padahal dalil paling kuat amalan tentang rezeki yang banyak ialah bertaubat dan membanyakkan istighfar.

 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi seruan tauhid dan istighfar.

Ayat 1 ini adalah peringatan kepada manusia yang engkar. Kalau engkar diberi inzar (peringatan ancaman) oleh Allah.

إِنّا أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ أَن أَنذِر قَومَكَ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

Indeed, We sent Noah to his people, [saying], “Warn your people before there comes to them a painful punishment.”

Malay

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): “Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.

 

إِنَّا أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya,

Ini menunjukkan yang Nabi Nuh adalah rasul kepada kaumnya sahaja dan bukan kepada sekalian alam. Lain dengan Nabi Muhammad yang diberikan kepada semua kaum dan bangsa dalam dunia (termasuk kepada jin).

Ada yang mengatakan waktu itu, hanya kaumnya sahaja yang hidup di dunia. Sebab waktu itu, manusia tidak banyak lagi. Kalau begitu, maksud baginda diutus kepada kaumnya sahaja bermaksud baginda diutus kepada manusia sahaja. Berbeza dengan Nabi Muhammad yang diutus kepada golongan jin juga.

 

أَنْ أَنذِرْ قَوْمَكَ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.

Perkataan أَنذِرْ adalah dalam bentuk fi’il amar sebagai penekanan arahan itu. Amaran telah diberitahu awal-awal lagi sebelum mereka dikenakan dengan azab itu. Inilah tujuan baginda diutus untuk memberitahukan kepada kaumnya tentang bahaya syirik.

Azab boleh datang bila-bila masa. Dan mati dalam syirik akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka.

Ayat ini juga memberitahu tujuan hidup kita adalah berdakwah. Iaitu kita semua kena beri amaran kepada manusia. Bukan para Nabi dan Rasul sahaja yang kena dakwah, tapi kita juga. Maka kita akan belajar cara-cara dakwah Nabi Nuh dan kita cuba praktikkan nanti.


 

Ayat 2: Sekarang Allah memberi pengajaran bagaimana berdakwah kepada manusia. Kena dakwah kepada manusia secara berdepan dan itulah yang terbaik.

Memang Nabi Muhammad ada hantar surat kepada pemimpin negara lain. Tapi ia tidak berkesan. Cuma tanggungjawab menyampaikan dakwah telah dipenuhi, cuma kesannya tidak kuat. Kalau cara berdepan lagi berkesan.

قالَ يا قَومِ إِنّي لَكُم نَذيرٌ مُبينٌ

Sahih International

He said, “O my people, indeed I am to you a clear warner,

Malay

dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;

قَالَ يَا قَوْمِ

dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku!

Baginda memulakan dakwah dengan kata yang lembut. Dan baginda telah memanggil mereka dengan panggilan yang mesra (wahai kaumku). Nabi Nuh mengatakan baginda adalah sama sahaja dengan mereka. Baginda ingatkan mereka bahawa mereka itu adalah dari kaum yang sama. Ini menunjukkan sayang antara kaum yang sama.

 

إِنِّي لَكُمْ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata;

Nabi Nuh a.s. membawa mesej yang jelas. Tidak ada keraguan dalam kata-kata dakwah baginda. Tidak ada tersembunyi apa yang perlu disampaikan kepada manusia. Tidaklah macam ajaran tarekat sekarang, ada sahaja ajaran tersembunyi.

Ayat ini mengajar kita yang dalam kita dakwah kita, kita kena beritahu tujuan kita berdakwah itu.

Baginda memperkenalkan diri baginda kepada kaumnya dengan memberitahu mereka yang baginda adalah seorang Rasul. Penting untuk memperkenalkan kedudukan kita kepada masyarakat. Macam kita sekarang nak memulakan dakwah, kena beritahu yang kita bukan reka ajaran baru, tapi kita dakwah dan boleh mengajar kerana kita sendiri sudah belajar.


 

Ayat 3: Ada tiga perkara yang baginda sebut dalam ayat ini. Inilah intipati ajaran dalam Islam. Tiga-tiga perkara ini amat penting.

أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ وَاتَّقوهُ وَأَطيعونِ

Sahih International

[Saying], ‘Worship Allah , fear Him and obey me.

Malay

“Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;

 

أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ

“Iaitu sembahlah kamu akan Allah

Yang pertama, hanya sembah Allah sahaja, jangan campur sembah Allah dan sembah selain Allah. Ini adalah ajaran Tauhid dan semua Nabi akan ajar perkara yang sama. Maka kita pun kena mulakan dakwah dengan suruh manusia sembah Allah sahaja dan jangan campur sembah yang lain.

Atau dalam kata lain, ayat ini mengingatkan kita untuk menghambakan diri kepada hanya kepada Allah sahaja. Ini lebih luas maksudnya dari ‘sembah’ sahaja. Kerana orang kita, apabila disebut ‘sembah’, mereka sangka itu adalah sujud.

Padahal, sembah bukan sahaja bermakna sujud. Maksud ‘menghambakan diri’ lebih sesuai iaitu kita sedar yang kita ini adalah hamba Allah dan kita kena taat kepadaNya sahaja. Sebagaimana seorang hamba kena taat kepada tuannya. Dan tuan kita dalam hal ini adalah Allah.

Kaum Nabi Nuh itu bukan tidak kenal Allah. Mereka kenal Allah sebagai Tuhan, tapi dalam masa yang sama mereka puja lima wali. Kerana itu mereka jadi musyrik dan sampai sembah berhala. Ini kerana mereka lemah ilmu tauhid dan kerana itu senang ditipu oleh Iblis.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita yang mengamalkan syirik. Bukannya mereka tidak kenal Allah, tapi dalam masa yang sama mereka puja Nabi, wali dan malaikat. Ini kerana ajaran tauhid sudah lama ditinggalkan oleh kebanyakan dari masyarakat sampai jadi keliru dengan tauhid kepada Allah. Ini kerana ajaran Tafsir Al-Qur’an tidak dipelajari dengan meluas di negara kita ini.

 

وَاتَّقُوهُ

dan bertaqwalah kepadaNya,

Keduanya, kena ajar dan ajak manusia untuk bertaqwa kepada Allah. Kita kena takut kepada Allah. Bahagian pertama tadi telah disuruh kita sembah Allah sahaja. Mereka yang sembah Allah sahaja adalah mereka yang takut kepada hanya kepada Allah.

Makna taqwa yang lebih luas adalah sedar tentang Allah. Iaitu sedar yang Allah sentiasa memerhatikan kita. Kalau kita dapat kesedaran ini, kita tidak akan berani untuk buat dosa. Dalam setiap perbuatan kita, kita akan memikirkan apakah suruhan Allah dalam perkara itu. Kita akan bertanya diri kita: “apakah hukum aku lakukan perkara ini?” Maka orang yang bertaqwa akan jaga hukum dalam segenap kehidupan mereka.

 

وَأَطِيعُونِ

serta taatlah kamu kepadaku;

Yang ketiga ini juga amat penting. Mereka yang taat kepada Allah adalah mereka yang taat kepada Nabi  juga. Tidak ada taat kepada Allah tanpa taat kepada Nabi. Kita kena ajar manusia tentang para Nabi untuk menjadikan mereka sebagai ikutan kita.

Dan kita kena belajar apakah arahan dan ajaran Nabi kepada kita dalam bentuk hadis yang sahih supaya kita dapat tahu apakah kehendak agama. Kerana para Rasul adalah penyampai ajaran dari Allah. Tanpa mereka, bagaimana lagi kita boleh tahu apakah yang dikehendaki oleh Allah?

Malangnya, masyarakat Islam kita amat jauh dari pelajaran hadis. Mereka hanya terima sahaja apa kata ustaz-ustaz tanpa bertanya adakah itu ajaran Nabi atau tidak. Hasilnya, macam-macam perkara baru dalam agama yang timbul. Ramai yang mengamalkan amalan bidaah dalam masyarakat dan sampai tidak boleh ditegur lagi. Kalau kita tegur, kita pula yang kena marah. Ini kerana mereka telah keliru habis tentang maksud bidaah.

Ayat ini mengajar kita apakah tujuan dakwah kita. Mulakan dengan tiga perkara ini. Maka ayat ini mengajar langkah dalam dakwah. Mulakan dengan tiga perkara ini: sembah Allah, taqwa dan ikut ajaran Rasul. Tiga-tiga perkara ini kena ada. Tidak boleh tinggalkan walau satu pun.


 

Ayat 4: Seterusnya Nabi Nuh menceritakan pula kelebihan beriman dan melakukan ketiga-tiga perkara dalam ayat tadi.

يَغفِر لَكُم مِن ذُنوبِكُم وَيُؤَخِّركُم إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى ۚ إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ إِذا جاءَ لا يُؤَخَّرُ ۖ لَو كُنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

Allah will forgive you of your sins and delay you for a specified term. Indeed, the time [set by] Allah , when it comes, will not be delayed, if you only knew.’ “

Malay

“Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)”.

 

يَغْفِرْ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ

“Supaya Allah mengampunkan bagi kamu dari dosa-dosa kamu,

Kalau kita beriman dan melakukan ketiga-tiga perkara dalam ayat sebelum ini, kita akan mendapat keampunan dari Allah. Kita sebagai manusia amat berdosa dan amat memerlukan pengampunan dari Allah. Inilah perkara yang amat penting sekali.

Ianya lebih penting dari mendapat pahala yang banyak, kerana dengan dosalah kita dimasukkan ke dalam neraka. Kalau pahala banyak, tapi dosa pun banyak juga, akan ada masalah nanti di akhirat kelak.

Dari perkataan مِّن  dalam ayat ini, ada yang kata keseluruhan dosa akan diampunkan. Dalilnya dari kisah Amr ibn Aas.

Amr bin al-Ash mengatakan, “Pada saat Allah menganugerahkan hidayah Islam di hatiku, aku mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Aku mengatakan, ‘hulurkanlah tangan engkau, aku akan membaiat engkau’. Rasulullah pun menjulurkan tangan kanannya kepadaku. Lalu kutahan tanganku –sebentar-.

Rasulullah bertanya, ‘Ada apa wahai Amr?’

Kujawab, ‘Aku ingin engkau memberikan syarat kepadaku’.

Rasulullah mengatakan, ‘Apa syarat yang kau inginkan?’

Aku menjawab, ‘Agar dosa-dosaku diampuni.’

Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Tidakkah engkau ketahui, bahawa keislaman menghapuskan dosa-dosa sebelumnya? Demikian juga hijrah menafikan kesalahan-kesalahan yang telah lalu? Dan juga haji menyucikan hilaf dan dosa terdahulu?’ (HR. Muslim).”

Dari hadis ini, kita boleh faham bahawa apabila masuk Islam, segala dosa-dosa yang lalu akan diampunkan.

Tetapi, ada juga mufassir yang mengatakan perkataan مِّن itu bermaksud sebahagian dari dosa yang akan diampunkan. Ini pun boleh diterima maksudnya, kerana dosa-dosa yang dibuat sampai setakat seseorang itu beriman sahaja yang diampunkan. Tetapi tidaklah termasuk dosa-dosa yang dilakukannya selepas itu. Tidaklah seseorang itu boleh buat apa sahaja tanpa dosa.

Tapi, ini tidaklah menidakkan sifat Maha Pengampun Allah. Jikalau kita telah melakukan dosa, kita boleh meminta ampun kepada Allah bila-bila masa.

 

وَيُؤَخِّرْكُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

dan memberi kamu hidup hingga ke suatu masa yang tertentu;

Kalau kita beriman, taqwa dan mengikut jejak langkah Rasul, Allah akan tangguhkan ajal kita. Dalam erti kata lain, kalau tak engkar, akan dipanjangkan hidup.

Dalam perkara ini, ada perbincangan ulama sama ada ajal boleh dipanjangkan atau tidak. Ada yang kata tidak, kerana ianya telah ditakdirkan oleh Allah dari dahulu lagi dan ianya telah tertulis di Lauh Mahfuz. Tetapi Allah telah sebut dalam Rad:38

لِكُلِّ أَجَلٍ كِتَابٌ

Tiap-tiap satu tempoh dan waktu telah tertulis.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa semua yang terjadi telah ditetapkan, tidak dapat diubah lagi. Tapi Allah sambung dalam ayat seterusnya:

يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِندَهُ أُمُّ الْكِتَابِ

Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu segala suratan”.

Dari ayat ini, kita boleh berhujah bahawa ada ketetapan yang Allah kekalkan dan ada yang Allah padamkan. Termasuk dalam perkara ini adalah pemanjangan umur. Tentu Allah boleh panjangkan umur manusia lebih dari yang telah ditetapkan pada asalnya. Macam Nabi Adam pernah meminta untuk panjangkan umur Nabi Daud. Dari doa Nabi Adam itu, Allah telah panjangkan umur Nabi Daud a.s.

Pada waktu dikeluarkan daripada keturunannya Nabi Adam diperkenankanNya melihat para nabi-nabi yang lahir setelah kewafatanya.Dilihatnya ada seorang lelaki yang bercahaya. Nabi Adam bertanya pada Allah: “Siapakah orang ini, wahai Tuhan?”
Tuhan : “Ini adalah anakmu Daud.”
Adam berkata: “Ya Tuhan, berapakah umurnya?” Tuhan menjawab: “60 tahun.”
Adam memohon kepada Tuhan: “Ya Tuhan, tambahlah umurnya.”
Tuhan menjawab: “Tidak, kecuali engkau berikan umurmu kepadanya. “Adapun umur Adam 1040 tahun, maka datanglah Malaikat Maut berkata kepadanya:”, telah sampai akhir umurmu.”
Adam berkata:” Bukankah umurku masih berbaki 40 tahun?” Nabi Adam telah lupa mengenai usia yang telah diberikan kepada puteranya, Daud a.s. Maka Allah s.w.t menyempurnakan umur Adam 1000 tahun dan untuk Daud a.s 100 tahun.

Ada juga yang berpendapat, bukanlah Allah akan panjangkan umur tapi Allah tambah keberkatan dalam kehidupan seseorang itu. Umur mungkin tak panjang tapi banyak yang dapat dicapai dalam masa yang singkat itu.

Sebagai contoh, kita semua tentu kenal Imam Nawawi. Beliau meninggal semasa umur beliau dalam 30an. Tapi lihatlah apa yang beliau capai dalam umurnya yang singkat itu. Kita pun tahu yang beliau telah susun Kitab Riyadus Salihin yang terkenal itu dan macam-macam lagi telah beliau capai termasuk kitab yang amat banyak walaupun dalam umur yang singkat kalau dibandingkan dengan kita.

Memang ada hadis tentang melanjutkan umur. Sebagai contoh ada hadis yang menyebut menyambung silaturahim adalah perbuatan yang memanjangkan umur. Ini berdasarkan hadis dari nabi Muhammad:

Al-Imaam Al-Bukhaariy rahimahullah berkata :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَبِي يَعْقُوبَ الْكِرْمَانِيُّ، حَدَّثَنَا حَسَّانُ، حَدَّثَنَا يُونُسُ، قَالَ مُحَمَّدٌ هُوَ الزُّهْرِيُّ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ” مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ “

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abi Ya’quub Al-Kirmaaniy: Telah menceritakan kepada kami Hassaan: Telah menceritakan kepada kami Yuunus: Telah berkata Muhammad – dia adalah Az-Zuhriy, dari Anas bin Maalik radliyallaahu ‘anhu, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah dia menyambung silaturahim,” [Shahiih Al-Bukhaariy no. 2067].

Mungkin timbul persoalan, kenapa Allah memanjangkan umur seseorang? Untuk beri peluang orang itu untuk melakukan lebih kebaikan lagi. Dia akan mendapat lebih banyak pahala lagi. Itulah dari rahmat Allah.

Dalam masa yang sama, ada orang yang berdosa pun yang Allah panjangkan umur mereka. Supaya mereka melakukan lebih banyak dosa dan supaya mereka akan dibalas dengan lebih teruk lagi di akhirat nanti.

Jadi, kita kena ingat yang balasan kebaikan yang pasti dapat adalah di akhirat nanti. Balasan kebaikan di dunia belum tentu lagi. Ada yang dapat dan ada yang tidak. Kerana dunia ini adalah tempat ujian. Jadi kena sabar, walaupun kita tidak dapat apa-apa semasa kita di dunia. Kerana kita kena harapkan apa yang menunggu kita di akhirat kelak.

 

إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ

sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah,

Allahlah sahaja yang menentukan ajal kita. Kita tidak tahu bilakah ajal kita akan sampai. Malaikat Maut yang mencabut nyawa kita pun tidak tahu bilakah ajal kita akan tamat. Hanya Allah sahaja yang tahu.

 

إِذَا جَاءَ لَا يُؤَخَّرُ لَوْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui”.

Apabila ajal itu sampai, tidak dapat ditangguh-tangguh lagi. Tidak boleh minta supaya ianya dilambatkan. Maka segeralah lakukan taat dan amal ibadat kepada Allah. Kerana apabila Allah sudah tetapkan sesuatu, tidak dapat dihalang lagi. Jangan kita buang masa dalam dunia ini dengan meninggalkan perbuatan amal ibadah. Jangan kita terpesona dengan dunia sampai meninggalkan akhirat.

Beginilah kata-kata Nabi Nuh kepada kaum baginda untuk mengingatkan mereka. Tapi, perkataan لَوْ digunakan untuk perkara yang telah berlalu. Oleh itu, ada juga yang mengatakan yang ayat ini lebih kepada kesesalan dari Nabi Nuh kepada kaumnya. Kalau ‘dulu’ mereka tahu, tidaklah mereka akan menerima azab.

Maksudnya, kata-kata Nabi Nuh ini adalah di hujung-hujung waktu sebelum berlaku kejadian Banjir Besar. Iaitu sudah hampir berlaku azab yang akan diberikan kepada kaumnya itu. Kalaulah mereka dulu tahu, tidaklah mereka akan berada dalam kedudukan itu.


 

Ayat 5: Nabi Nuh mula menceritakan kepada Allah apakah yang telah dilakukannya dalam usaha dakwah baginda. Perhatikan dan cuba kita ikuti. Ayat 5 – 20 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia menceritakan usaha-usaha dakwah Nabi Nuh. 

قالَ رَبِّ إِنّي دَعَوتُ قَومي لَيلًا وَنَهارًا

Sahih International

He said, “My Lord, indeed I invited my people [to truth] night and day.

Malay

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

 

قَالَ رَبِّ

Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku,

Nabi Nuh mengadu kepada Allah dengan apa yang telah dilakukannya dalam menjalankan dakwah kepada kaumnya dan apa yang terjadi selepas baginda dakwah kepada mereka.

Kita kena baca dan hayati kerana apabila seseorang telah bekerja atas jalan Allah, tentu akan menemui kesusahan. Dan waktu itu hendaklah kita mengadu kepada Allah untuk mendapat petunjuk. Lihatlah contoh Nabi Nuh yang mengadu kepada Allah dalam ayat ini. Kerana kalau kita diberi kerja oleh bos kita, dan kalau ada masalah, kita akan tanya bos kita bagaimana nak selesaikan, bukan?

Begitulah juga apabila kita menjalankan kerja Allah, maka tentu Allah sahaja boleh menolong kita. Maka, ini mengajar kita untuk serahkan diri kita kepada Allah dalam kerja dakwah. Dengan bantuan Allahlah, kita boleh mendapatkan kekuatan. Kita kena selalu rujuk kepada Allah.

 

إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا

sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang

Nabi Nuh amat tekun dalam melakukan kerja dakwah siang dan malam. Maknanya setiap masa sampai tiada waktu rehat kepada baginda kerana menjalankan dakwah. Siapakah yang kita kenal yang buat kerja mereka siang dan malam? Tentu tidak ramai. Tapi ada orang yang kadang-kadang kerja siang dan malam kerana mahu mendapatkan wang. Tapi orang yang begitu, tidaklah mereka buat ketekunan yang sama dalam kerja-kerja agama.

Terus baginda berdakwah sebab baginda tidak tahu bilakah masa yang mungkin kaum dia nak terima dakwah. Mungkin apabila pertama kali seseorang itu diberitahu dengan ajakan agama, dia tak terima. Esok mungkin baru boleh terima. Kalau siang tidak terima, entah malam mereka akan terima.

Maka ini mengajar kita untuk memilih masa untuk berdakwah. Nabi Muhammad pun pilih masa yang sesuai. Ini dinamakan konsep Tahayyun. Pilih masa apabila seseorang itu sedang lembut hati dengan kita. Contohnya selepas kita derma kepada dia, selepas kita tolong dia. Waktu itu hatinya lebih senang nak dengar apa yang kita katakan.

Maka Nabi Nuh dakwah tanpa henti. Berapa tahun baginda menjalankan dakwah kepada kaumnya itu? 950 baginda berdakwah kepada kaumnya. Jadi, kalau kita sibuk dengan kerja dakwah, dan kita rasa kita sudah banyak buat kerja, kita fikir balik, adakah kita sama usaha seperti Nabi Nuh?

Selalunya, Al-Qur’an akan menyebut ‘siang’ sebelum ‘malam’. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut siang dahulu. Ianya memberi isyarat bahawa Nabi Nuh tidak tidur malam kerana menjalankan kerja dakwah baginda. Allahu a’lam.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli (Yayasan Taalim)

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s