Tafsir Surah Maarij Ayat 36 – 40 (Usaha menutup kebenaran dari puak kafir)

Ayat 36: Ayat 36 – 44 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir surah ini. Ia memberitahu yang kaum yang engkar akan dimusnahkan untuk diganti dengan kaum yang lain. Di akhirat pula mereka akan dibangkitkan dalam keadaan hina.

Ayat 36 ini adalah Ayat Zajrun. Dalam ayat ini, Allah menegur kaum kufar yang bersama Nabi. Allah menceritakan peliknya mereka, kerana masih tidak mahu beriman. Mereka nampak Nabi dengan segala akhlaknya yang baik dan telah ditunjukkan mukjizat kepada mereka, tapi masih tidak mahu beriman.

فَمالِ الَّذينَ كَفَروا قِبَلَكَ مُهطِعينَ

Sahih International

So what is [the matter] with those who disbelieve, hastening [from] before you, [O Muhammad],

Malay

Maka apakah yang menyebabkan orang-orang kafir, yang menentangmu (wahai Muhammad) datang berkejaran ke sisimu –

 

فَمَالِ الَّذِينَ كَفَرُوا قِبَلَكَ مُهْطِعِينَ

Maka apa kena dengan orang-orang kafir, bertempiaran lari ke arah mu

Allah menempelak golongan kafir, kerana Al-Qur’an begini punya hebat pun tapi masih lagi mereka menolak.

Kalimah مُهْطِعِينَ bermaksud ‘lari dengan kelam kabut kepada satu tujuan’. Salah satu maksud, mereka lari dari baginda. Mereka berlari ke kanan dan ke kiri. Berpaling macam keldai yang lari singa. Ini kerana mereka rimas dengan dakwah Nabi dan malas nak dengar. Macam orang sekarang yang tidak terima Islam. Kalau kita mula hendak menceritakan tentang tafsir Al-Qur’an atau tentang kebenaran dalam agama, mereka tidak senang duduk dan kalau boleh hendak berlalu dari situ. Padahal Islam tu amat baik sekali.

Atau, satu lagi maksud adalah mereka berlari ke arah baginda dari kiri dan kanan. Kenapa mereka berlari kepada Nabi? Seperti yang kita sepatutnya tahu, Nabi Muhammad berdakwah dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an. Baginda akan membacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Baginda juga akan lakukan perkara yang sama di khalayak ramai atau tidak. Contohnya, baginda akan membacakan ayat Al-Qur’an di kawasan Kaabah.

Apabila baginda membaca ayat Al-Qur’an di khalayak ramai, puak Musyrikin Mekah akan kelam kabut lari ke arah baginda. Bukan mereka nak dengar bacaan itu tapi kerana hendak menghalang Nabi, memalukan baginda dan menahan baginda dari terus membaca.

Mereka juga hendak menghalang orang lain dari mendengar bacaan Al-Qur’an dari Nabi. Mereka takut kalau orang lain mendengar bacaan Nabi kerana ditakuti mereka akan percaya dengan apa yang Nabi Muhammad bacakan. Maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk menghalang Al-Qur’an dari didengari orang. Allah sebut perbuatan menghalang mereka dalam Fussilat: 26

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

Jadi mereka berlari ke arah Nabi Muhammad sebab nak kacau. Mereka akan buat bising, buat lawak dan sebagainya. Memang mereka tunggu Nabi untuk kacau baginda. Nampak sahaja baginda datang, mereka akan cepat-cepat datang ke arah baginda.

Atau, boleh bermaksud mereka berlari ke arah Nabi kerana marah kepada baginda yang membacakan ayat-ayat yang mengutuk mereka. Umpamanya mereka kata: “kau kata kami akan masuk neraka?!”. Mereka mempersoalkan apa yang Nabi bacakan dari ayat ayat Al-Qur’an. Maknanya, mereka akan datang ke arah Nabi dengan marah-marah kerana marah dengan apa yang dibacakan oleh baginda.

Macam sekarang juga masih ada. Orang kafir akan marah orang Islam yang berdakwah. Mereka marah kerana Islam mengatakan yang orang kafir akan masuk neraka. Mereka tidak dapat terima kerana mereka rasa mereka itu berada dalam kebenaran. Maka kalau ada pendakwah besar Dr. Zakir Naik berceramah dan berjaya mengislamkan ramai orang, mereka akan halang sedaya upaya.

Begitu juga puak bidaah akan marah apabila orang sunnah memberitahu kebenaran kepada manusia. Mereka akan terkam kita dan cakap: “ooo, jadi kau nak cakap kami semua ni akan masuk nerakalah?!”. Marah betul mereka dengan dakwah ahli sunnah. Maka mereka akan buat tohmahan di merata tempat, di dalam masjid dan juga di dalam media.

Padahal kita tidak pernah mengatakan yang mereka itu adalah ahli neraka, kerana kita tidak jaga pintu syurga dan neraka. Bagaimana mungkin kita boleh kata orang itu atau orang ini akan masuk neraka atau syurga? Kita hanya membacakan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi sahaja. Kalau nak marah, marahlah kepada Allah dan Nabi Muhammad!

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah mengejek Musyrikin Mekah. Allah kata: Apa masalah mereka ini? Apa tak kena dengan mereka? Mereka tak fikir kah? Kenapa mereka bodoh sangat? Ada juga orang dungu macam ini?


 

Ayat 37:

عَنِ اليَمينِ وَعَنِ الشِّمالِ عِزينَ

Sahih International

[To sit] on [your] right and [your] left in separate groups?

Malay

(Sambil mereka) berkumpul berpuak-puak di sebelah kanan dan di sebelah kirimu.

 

Mereka datang berkumpulan datang ramai-ramai terkam Nabi. Berbagai kumpulan datang kepada baginda. Kalau orang buat macam itu kepada kita, tentulah kita akan takut, bukan? Begitulah mereka hendak menakutkan Nabi. Itulah sebabnya di awal surah ini, Nabi disuruh bersabar dengan sabar yang cantik.

Ada juga pendapat yang mengatakan, ayat ini dan sebelumnya, bukan bermaksud mereka datang ‘kepada’ Nabi, tapi sebaliknya, mereka ‘lari’ dari Nabi. Apabila Nabi membacakan ayat-ayat Al-Qur’an, mereka lari. Mereka lari ke semua arah, ke kiri dan ke kanan. Macam juga kalau bangunan terbakar, maka semua yang ada di dalam bangunan itu akan kelam kabut lari.

Kalimah عِزِينَ bermaksud kumpulan yang berpecah-pecah dengan percanggahan dalam pendapat mereka. Sesama mereka sendiri, mereka tidak sepakat dalam banyak perkara. Tapi mereka sepakat tidak ikut Al-Qur’an. Yang mereka sepakat adalah mereka kena lari dari kitab Al-Qur’an.

Selepas lari, mereka masih lagi melihat Nabi Muhammad. Macam mengawasi baginda. Mereka melihat dari banyak arah – arah dari kiri dan kanan. Seperti orang kafir yang sekarang melihat Islam dari jauh sahaja. Macam agama lain yang pandang serong sahaja dengan Islam. Sekali sekala mereka akan bersuara tentang Islam. Contohnya, mereka komen bagaimana teruknya Islam kerana benarkan lelaki berkahwin sampai empat.

Macam sekarang, orang Islam pun pelik dengan ajaran sunnah yang benar. Mereka nampak pelik sahaja apa yang dikatakan oleh puak-puak sunnah. Padahal itu adalah solusi kepada masalah umat.

Sebagai contoh, sekarang terlalu banyak perpecahan antara orang Islam. Berbagai-bagai pendapat yang bercanggah. Tapi, kalaulah semuanya berpegang kepada manhaj yang sama – Al-Qur’an dan Sunnah – maka umat Islam akan lebih bersatu, bukan? Kalau sumber rujukan sama, tentulah sama sahaja suara, bukan? Kenapa tidak nampak perkara ini?


 

Ayat 38: Ini satu lagi tempelak Allah kepada mereka: Mereka lari dari wahyu, tapi teringin nak masuk syurga? Tidakkah itu pelik?

أَيَطمَعُ كُلُّ امرِئٍ مِّنهُم أَن يُدخَلَ جَنَّةَ نَعيمٍ

Sahih International

Does every person among them aspire to enter a garden of pleasure?

Malay

Patutkah tiap-tiap seorang dari mereka berharap supaya dimasukkan ke dalam Syurga yang penuh nikmat (sedang dia tidak beriman)?

 

أَيَطْمَعُ كُلُّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ أَن يُدْخَلَ جَنَّةَ نَعِيمٍ

Patutkah tiap-tiap seorang dari mereka berharap supaya dimasukkan ke dalam Syurga yang penuh nikmat?

Patutkah mereka berharap untuk masuk syurga sedangkan mereka tidak beriman? Allah suruh lari ke arah kebaikan. Bukannya macam mereka lakukan yang melarikan diri dari kebenaran.

Mereka lari dari Nabi, tapi dalam masa yang sama, mereka tamak konon layak masuk syurga. Kerana mereka rasa mereka lebih baik dari kaum muslimin waktu itu. Mereka kata, kalau benar ada syurga, mereka lebih layak untuk masuk syurga daripada golongan muslimin yang miskin dan tidak ada kedudukan dalam masyarakat.

Sama juga dengan golongan bidaah yang tak ikut sunnah tapi ingat nak masuk syurga. Amat menghairankan. Mereka tidak sangka yang mereka sentiasa sahaja melakukan dosa dengan beramal dengan amal yang bidaah itu.


 

Ayat 39:

كَلّا ۖ إِنّا خَلَقنٰهُم مِّمّا يَعلَمونَ

Sahih International

No! Indeed, We have created them from that which they know.

Malay

Tidak sekali-kali! (Mereka yang kufur ingkar tidak akan dapat memasukinya). Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari apa yang mereka sedia mengetahuinya.

 

كَلَّا

Tidak sekali-kali!

Allah menidakkan sangkaan mereka yang hendak masuk syurga itu. Mereka yang kufur ingkar tidak akan dapat memasukinya. Mereka tidak layak untuk masuk syurga.

 

إِنَّا خَلَقْنٰهُم مِّمَّا يَعْلَمُونَ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari apa yang mereka sedia mengetahuinya.

Salah satu perkara yang Musyrikin Mekah tidak dapat terima adalah kehidupan semula. Mereka hairan kenapa manusia boleh hidup balik. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ingatkan balik kejadian mereka.

Kalau difikirkan, tentulah penciptaan dari mula lagi susah daripada menjadikan semula, bukan? Kalau Allah boleh jadikan mereka dari tidak ada kepada ada, tentulah lebih mudah untuk Allah menjadikan mereka semula.

Kenapa Allah sebut tentang kejadian mereka? Sebab mereka rasa diri mereka tinggi dan lebih mulia dari Nabi. Allah mengingatkan kedudukan mereka. Mereka semuanya dijadikan dari air mani yang hina sahaja. Mereka sendiri sudah tahu perkara itu. Allah tak sebut secara terperinci pun kejadian manusia daripada air mani dalam ayat ini.

Allah cuma beri isyarat sahaja – yang mereka sedia tahu – kerana mereka tahu mereka asalnya adalah air mani sahaja. Allah sampai tidak menyebutnya kerana ianya adalah perkara yang memalukan.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa manusia sama sahaja asalnya. Semuanya dijadikan dari air mani yang hina. Semua manusia sama sahaja dalam hal ini. Maka jangan kita takut kepada sesiapa. Kita sebagai pendakwah kena ingat ini. Kerana ada yang takut dengan kedudukan orang lain sampai mereka takut nak dakwah kepada orang tertentu.


 

Ayat 40: Allah ingatkan yang Dia berkuasa penuh.

فَلا أُقسِمُ بِرَبِّ المَشٰرِقِ وَالمَغٰرِبِ إِنّا لَقٰدِرونَ

Sahih International

So I swear by the Lord of [all] risings and settings that indeed We are able

Malay

Maka Aku bersumpah dengan (kebesaranKu) Tuhan yang menguasai (seluruh alam, meliputi) tempat-tempat terbit (matahari dan bulan bintang) dan tempat-tempat tenggelamnya, – sesungguhnya Kami berkuasa –

 

Kenapa disebut ‘tempat-tempat’ terbit dan tenggelam matahari? Sebab tempat terbit matahari dan tenggelamnya banyak sebab berubah dari musim ke musim. Itu sebab digunakan perkataan terbit dan tenggelam dalam bentuk jamak. Semua tempat-tempat terbit dan tenggelam itu dikuasai oleh Allah dan ditentukan oleh Allah.

Dalam ayat ini, Allah bersumpah dengan DiriNya sendiri. Untuk memberitahukan bahawa Dia Maha Berkuasa untuk mengembalikan mereka semula dari kematian.

Bukan seperti yang puak Musyrikin itu sangkakan. Itu sebab ada لا itu – menidakkan sangkaan mereka. Lihatlah bagaimana Allah memberi isyarat yang Dia mampu menjadikan dan menguasai turun naik matahari

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s