Tafsir Surah Maarij Ayat 28 – 35 (Sifat-sifat Mukmin)

Ayat 28:

إِنَّ عَذابَ رَبِّهِم غَيرُ مَأمونٍ

Sahih International

Indeed, the punishment of their Lord is not that from which one is safe –

Malay

Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorang pun) merasa aman terhadapnya;

Tak boleh rasa selamat dengan azab Allah. Tidak ada yang patut rasa selamat dengan azab yang dijanjikan oleh Allah – kerana kita tidak tahu sama ada kita terselamat atau tidak dari azab itu. Sedangkan Nabi pun takut takkan kita tak takut. Sebagai contoh, apabila angin kencang bertiup pun Nabi sudah takut entah-entah Kiamat sudah sampai. Kita kena takut kerana kalau azab datang, memang tidak boleh buat apa.

Orang yang buat banyak ibadat pun sepatutnya masih tak rasa selamat. Sebab kita tidak pasti entah Allah terima atau tidak amalan kita itu. Maka sehinggalah kita sampai ke gerbang kematian, tidak boleh rasa selamat. Perasaan takut itu adalah amat baik untuk kita. Kerana apabila ada perasaan takut, kita akan berusaha dan berusaha lagi untuk memperbaiki amalan kita dan memperbanyakkan amalan kita.


Ayat 29: Sambungan sifat-sifat mereka yang selamat.

وَالَّذينَ هُم لِفُروجِهِم حٰفِظونَ

Sahih International

And those who guard their private parts

Malay

Dan mereka yang menjaga kemaluannya, –

Sebelum ini telah disebut sifat-sifat orang mukmin itu:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

Maka, ini adalah sifat yang seterusnya – menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram. Ini adalah sama seperti disebut dalam Mukminoon:5. Ayat ini mengajar kita untuk menyekat diri dari melakukan yang haram. Tapi sebelum itu dimulai dengan menjaga ‘pintu’ zina. Iaitu jangan sampai tunggu ia sudah nak terjadi. Kerana kalau sudah nak terjadi baru nak jaga, maka memang bahaya.

Maka kena jaga pandangan dari mula lagi. Jaga mata kerana dari mata turun ke hati. Selalunya kita akan tengok dulu wanita/lelaki dan kemudian kita mula bersembang dengan dia. Lama kelamaan boleh membawa kepada perkara yang tidak diingini.

Ayat ini masih lagi ada kena mengena dengan orang yang solat. Kerana sebelum ini ayat tentang orang yang solat. Kerana ada juga yang solat tapi tak jaga kemaluan mereka. Jadi, ayat ini mengingatkan kita tentang perkara ini. Kita kena berhati-hati dengan kemaluan kita, kerana ada perkara yang kita senang nak jaga, tapi kemaluan ini satu perkara yang amat susah hendak dijaga.


 Ayat 30:

إِلّا عَلىٰ أَزوٰجِهِم أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم فَإِنَّهُم غَيرُ مَلومينَ

Sahih International

Except from their wives or those their right hands possess, for indeed, they are not to be blamed –

Malay

Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela;

إِلَّا عَلَىٰ أَزْوٰجِهِمْ

Kecuali kepada isterinya

Yang dihalalkan untuk kita melampiaskan hawa nafsu kita adalah dengan isteri-isteri kita sahaja. Allah telah mengajar kita melalui NabiNya bagaimana untuk menghalalkan perhubungan lelaki dan perempuan dengan pernikahan.

Allah telah memberi kita nafsu untuk perhubungan lelaki dan perempuan. Ianya memang fitrah manusia. Bukanlah kita disuruh untuk menghilangkan nafsu itu. Memang ianya tidak dapat dihalang. Tapi hendaklah ianya dilakukan dengan cara yang halal iaitu salah satunya, dengan pernikahan.

Jangan kita jadi seperti agama lain yang menidakkan nafsu ini, seperti agama Kristian dan agama Hindu dan Buddha. Pada mereka, ahli-ahli agama mereka tidak berkahwin. Mereka hanya boleh berkhidmat kepada agama mereka sahaja dan tidak boleh berkeluarga. Ini memang pelik – orang yang baik pula yang tidak dibenarkan kahwin. Ini memang penipuan dari syaitan.

أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُهُمْ

atau kepada hambanya,

Selain daripada pernikahan, orang lelaki halal untuk berhubungan jimak dengan hamba perempuan mereka. Perkataan مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ  dari segi bahasa bermaksud ‘yang dipegang oleh tangan kanannya’ – yang bermaksud ‘hamba’ yang dimiliki.

Seperti kita tahu, perhambaan berleluasa zaman dahulu. Hanya zaman sekarang tidak ada ada lagi dilakukan dengan meluas. Islam mengakui konsep perhambaan ini dan ada ada hukum-hukum tertentu tentangnya. Antaranya, seorang tuan boleh mengadakan hubungan seks dengan hambanya.

Hukum hamba ini masih ada lagi. Hendaklah kita tahu yang perhambaan tidak pernah dimansuhkan. Walaupun zaman sekarang tidak ada lagi perhambaan, tapi ianya mungkin boleh berlaku pada masa hadapan, tidak mustahil. Jadi hukum perhambaan ini adalah ‘tergantung’. Apabila perlu di masa hadapan, ia boleh digunakan.

فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

maka sesungguhnya mereka tidak tercela;

Hanya dua cara itu sahaja yang dibenarkan dalam Islam dan tidak tercela. Kalau selain dari itu, tidak boleh.


Ayat 31: Ini kalau sudah langgar arahan dari Allah.

فَمَنِ ابتَغىٰ وَراءَ ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ العادونَ

Sahih International

But whoever seeks beyond that, then they are the transgressors –

Malay

Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;

Dua jalan itu sahaja yang dibenarkan, selain dari itu dikira sebagai melampaui batas. Tapi pada zaman sekarang hanya ada isteri sahaja, maka ada satu jalan sahaja sekarang. Maka kalau onani (melancap) tidak boleh kerana ianya adalah selain dari dua cara yang dibenarkan tadi.


Ayat 32: Apakah sambungan sifat yang mulia lagi?

وَالَّذينَ هُم لِأَمٰنٰتِهِم وَعَهدِهِم رٰعونَ

Sahih International

And those who are to their trusts and promises attentive

Malay

Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Dan mereka yang amat menjaga amanah dan janjinya;

Sebelum ini telah disebut sifat-sifat yang perlu ada kepada mereka yang selamat:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

5. Menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram.

Sekarang, disebut pula perkara yang baru – menjaga amanah dan janji yang telah kita setujui. Banyak perkara yang termasuk dalam hal ini. Sebagai contoh, kalau ada orang yang amanahkan barangnya untuk kita jaga, maka hendaklah kita menjalankan amanah itu. Kita kena jaga ianya dengan baik dan apabila tuannya minta balik, kita kena beri.

Kita juga kena menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Sebagai contoh, kita mungkin telah dilantik sebagai ketua satu-satu jabatan, jadi kita kenalah menjalankan amanah sebagai ketua itu.

Selain daripada amanah, selalunya kita akan berjanji. Dalam ayat ini, Allah mengingatkan kita untuk menjaga janji yang telah dibuat. Macam-macam janji yang telah dibuat sesama manusia, sama ada dengan lisan atau bertulis, antaranya perkara-perkara yang termaktub dalam kontrak.

Antara kontrak yang ramai kita tandatangani adalah seperti kontak kerja. Kenalah kita memenuhi kontrak itu. Kalau kita disuruh menjalankan kerja dari pagi sampai ke pukul 5, kenalah kita buat kerja sampai waktu itu, jangan kita balik awal pula.

Selain daripada janji kepada orang lain, jangan lupa janji kita kepada Allah. Yang ini kena periksa dalam ajaran agama kerana ianya amat banyak. Kena ingat balik yang kita sebenarnya telah berjanji untuk taat kepada Allah. Maka kena penuhi janji itu.

Kalimah رَاعُونَ dari katadasar yang bermaksud ‘penggembala’. Menarik sekali penggunaan perkataan ini dalam ayat ini. Seorang penggembala kena sentiasa menjaga binatang gembalaannya. Setiap hari dia kena bekerja sampai tidak boleh cuti pun. Kerana kalau dia cuti, siapa yang akan beri binatang ternaknya makan?

Dia juga kena jaga bintang ternaknya sepanjang masa dia menjaga kerana ditakuti kalau dia leka, binatang gembalaannya itu boleh dimakan oleh binatang lain seperti serigala. Setiap ekor dia akan jaga, tidak boleh dia pilih-pilih mana yang dia nak jaga – dia kena jaga semua sekali, satu pun dia tidak boleh tinggalkan.

Maknanya, dia kena jaga betul -betul. Begitulah juga kita kena jaga amanah dan janjinya kita dengan tekun, setiap hari dan setiap satu. Kena benar-benar ambil berat dan menjaganya sedaya upaya kita. Tidak boleh lalai dari janji dan amanah kita itu.

Maka, ingatlah yang kita kena buat kerja yang telah dijanjikan kepada kita. Kalau rasa tak boleh buat, jangan janji dari awal-awal lagi. Ini pun ada masalah juga. Kadang-kadang kita tidak tahu macam mana nak kata ‘tidak’. Kita tidak tahu menolak walaupun kita tahu yang kita patut tolak. Ini adalah kerana kebanyakan dari kita dibesarkan dengan tidak diajar untuk menolak permintaan orang lain – walaupun kita tahu yang kita tidak mampu lakukan. Akibatnya, ada amanah dan janji yang kita mungkiri kerana kita tidak berani nak tolak permintaan orang lain.

Jadi, menjaga amanah dan janji adalah sifat yang mulia dan kita perlu ada. Lawannya adalah sifat orang munafik. Dalam Sahih Muslim, ada satu hadis yang menyebut tiga sifat orang Munafik:

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ وَقُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ وَاللَّفْظُ لِيَحْيَى قَالَا حَدَّثَنَا إِسْمَعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو سُهَيْلٍ نَافِعُ بْنُ مَالِكِ بْنِ أَبِي عَامِرٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Ada tiga tanda orang munafik; apabila berbicara dia berbohong, apabila berjanji dia mengingkari dan apabila dipercayai dia berkhianat

Maka, berat sekali kalau kita mempunyai tiga sifat buruk ini. Tapi itu adalah ‘tanda’ sahaja, tidaklah kita pasti sama ada orang itu munafik atau tidak. Janganlah kita senang sahaja melabel seseorang itu munafik, kerana munafik itu adalah perkara hati dan kita tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia.


Ayat 33:

وَالَّذينَ هُم بِشَهٰدٰتِهِم قائِمونَ

Sahih International

And those who are in their testimonies upright

Malay

Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi);

وَالَّذِينَ هُم بِشَهَادَاتِهِمْ قَائِمُونَ

Dan mereka yang di dalam persaksian, mereka tegakkan.

Sebelum ini telah disebut tentang beberapa perkara yang kita kena ada:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

5. Menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram.

6. Menjaga amanah dan janji.

Dan sekarang surah ini menyebut tentang Penyaksian pula. Kalimah Penyaksian yang utama adalah Dua Kalimat Syahadah. Iaitu lafaz yang mengaku bahawa tidak ada ilah selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Maka berpeganglah dengan syahadah ini, tanpa kurang dan tanpa tambah.

Dengan lafaz itu, dengan automatiknya, kita telah menjadi seorang Muslim. Apabila seseorang itu telah mengaku yang dia seorang Muslim, dia kena hidup sebagai orang Islam. Dia kena melakukan perkara yang disuruh dalam agama.

Pertama, hendaklah dia HANYA menyembah Allah taala sahaja. Buat ibadat kepada Allah sahaja, berdoa hanya kepada Allah sahaja.

Keduanya, setelah dia bersaksi yang Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, maka hendaklah dia mengikut ajaran Nabi Muhammad. Bukanlah dia mengikut kata-kata ulama’ dan ustaz sahaja, tapi hendaklah dia mengenal pasti sama ada Nabi telah mengajar kepada kita perkara itu.

Malangnya, ramai yang mengaku Nabi itu Rasul tapi tidak mengikut ajaran baginda. Mereka lebih memegang kata-kata ustaz mereka dan kitab karangan manusia sahaja. Jadi, persaksian mereka itu tidak tertegak lagi. Ianya hanya tertegak setelah benar-benar belajar apakah ajaran Nabi Muhammad.

Selain dari persaksian dalam Syahadah, ada juga persaksian dengan orang lain. Contohnya persaksian dalam mahkamah. Penyaksian ini hendaklah ditegakkan seperti yang telah dalam Nisa:135

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Juga dalam Baqarah:283

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ ببِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Maknanya, kalau kita tahu kebenaran sesuatu perkara, jangan kita simpan atau sorokkan dan buat senyap sahaja. Kerana kalau kita diamkan diri, keadilan tidak tertegak dan ada individu yang teraniaya.

Contohnya, emak kita mungkin menyebut satu perkara yang tidak betul. Dan kerana katanya itu telah menyebabkan perbalahan antara adik beradik. Dalam masa yang sama, kita tahu yang apa yang dikatakan oleh emak kita itu tidak benar. Maka, dalam hal ini kita kena beritahu apa yang benar. Kita kena jadi saksi yang benar, walaupun terhadap emak kita. Janganlah taat kepada ibu sampai melakukan kesalahan pula.

Begitu juga, kalau ada kawan-kawan kita yang teraniaya, kita kena pertahankan kawan kita itu. Jangan sembunyikan persaksian yang benar. Dan jangan kita terlibat dalam persaksian palsu. Jangan sekali-kali kita jadi saksi palsu. Jangan kita katakan perkara yang tidak terjadi. Telah disebut dalam Furqan:72

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak memberi persaksian bohong.


Ayat 34:

وَالَّذينَ هُم عَلىٰ صَلاتِهِم يُحافِظونَ

Sahih International

And those who [carefully] maintain their prayer:

Malay

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;

Sebelum ini, surah ini telah menyebut tentang solat. Selain dari itu disebut perkara-perkara lain:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

5. Menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram.

6. Menjaga amanah dan janji.

7. Menegakkan Penyaksian.

Sekarang disebut lagi tentang solat dan sifat menjaga solat. Apakah yang dimaksudkan dengan menjaga solat itu?:

1. Menjaga waktu solat. Kita kena lakukan solat dalam waktunya. Sebaik-baiknya dilakukan di awal waktu. Ini diperbincangkan dalam Sahih Bukhari – Waktu Solat. Kadang-kadang ini amat susah dijaga kalau kita tidak prihatin kepada solat dan kepentingan solat.

Waktu yang paling susah dijaga adalah waktu subuh. Ramai yang mengadu mereka tidak dapat bangun solat subuh kerana mereka tidur lambat. Oleh itu, kalau kita hendak senang bangun Waktu Subuh, jangan tidur lambat. Kita tahu itulah jalan penyelesaiannya, tapi berapa ramai yang ambil tindakan yang seterusnya?

2. Menjaga Rukun dan Kewajipan dalam solat. Termasuk juga perkara-perkara yang sunat. Untuk tahu apakah rukun, wajib dan perkara-perkara sunat dalam solat, kenalah belajar bagaimana cara Nabi mendirikan solat baginda.

3. Selepas kita mendirikan solat, kita kena jaga akhlak kita. Seperti yang kita tahu, sepatutnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Janganlah kita musnahkan kebaikan yang sudah kita dapat dalam solat itu dengan melakukan perkara-perkara yang buruk.

4. Menjaga jemaah solat bagi yang wajib menjaganya (lelaki). Nabi Muhammad di hujung hayat baginda sampai tidak mampu berjalan sendiri pun solat berjemaah juga.

Surah ini dimulakan dengan memperkatakan tentang solat dan sekarang di hujung-hujung surah, disebut juga tentang solat lagi. Ini menunjukkan pentingnya solat dan kemuliaan solat. Dan bukan sahaja solat tapi ianya menyentuh kepentingan melakukan ibadat-ibadat lain juga.

Sebagai seorang pendakwah, kita kena jaga ibadat. Jangan kita sibuk berdakwah sampai mereka terlupa untuk melakukan ibadat sendiri. Jangan kita pandang rendah amalan solat ini sampaikan kita buat sambil lewat sahaja. Sedangkan dalam solat itulah kita bermunajat kepada Allah dan meminta pertolongan kepada Allah.


Ayat 35:

أُولٰئِكَ في جَنّٰتٍ مُّكرَمونَ

Sahih International

They will be in gardens, honored.

Malay

Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan.

Sesiapa yang melakukan perkara-perkara yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini akan dikurniakan dengan Syurga dengan segala kelazatan dan perkara yang menggembirakan. Apakah perkara-perkara itu?:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

5. Menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram.

6. Menjaga amanah dan janji.

7. Menegakkan Persaksian.

8. Menjaga Solat

Mereka akan dimuliakan oleh Allah. Allah akan melayan mereka sebagai tetamu kehormat. Mereka dimuliakan kerana mereka telah melakukan perbuatan yang mulia semasa di dunia. Iaitu mereka melakukan solat dan memberi sedekah kepada orang lain dan perkara-perkara lain.

Apabila mereka melakukan semua perkara itu, mereka telah dipandang mulia oleh manusia juga semasa di dunia lagi. Dan bukan sahaja manusia, tetapi Allah juga.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s