Tafsir Surah Zumar Ayat 53 – 56 (Syirik menghapuskan amalan kebaikan)

Ayat 53: Ayat 53 – 70 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi seruan Al-Qur’an kepada kita.  Orang yang berdosa jangan berputus asa, kembali kepada Allah ﷻ  yang Maha Pengampun dan Pengasihani. Jadikan Al-Qur’an sebagai panduan hidup.

Ayat 53 ini adalah ayat yang ditujukan bagi orang yang telah pernah berbuat amalan syirik. Atau orang yang pernah membuat dosa yang banyak sebelum ini. Ini adalah sebagai pengumuman dari Allah ‎ﷻ sebagai rahmat dan galakan kepada tauhid.

Ulama’ Tafsir menyebut yang ayat ini adalah ayat yang paling memberi harapan kepada manusia dalam Al-Qur’an. Kalau orang yang dalam kesedihan dan berputus asa dalam hidupnya, suruh dia baca ayat ini dan fahami maksud dia. (bukan buat zikir pula… orang Melayu bab reka zikir memang pandai).

Baca dengan faham dan selami maknanya. Kerana sekiranya baca berulang-ulang untuk dapatkan sesuatu, itu sudah termasuk sihir (sihir menggunakan ayat Al-Qur’an).

۞ قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Sahih International

Say, “O My servants who have transgressed against themselves [by sinning], do not despair of the mercy of Allah . Indeed, Allah forgives all sins. Indeed, it is He who is the Forgiving, the Merciful.”

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

قُلْ يٰعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ

Katakanlah, wahai hambaKu sekalian yang telah melampaui batas kepada diri sendiri

‘Melampau batas’ dalam ayat ini adalah perbuatan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Perbuatan itu akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka. Kadang-kadang kita berbuat syirik kerana kita tidak tahu perbuatan itu adalah perbuatan yang syirik kerana kita tidak belajar ilmu wahyu.

Apabila jahil, ramai yang tidak tahu yang amalan mereka selama hari ini adalah amalan yang salah – sama ada bidaah atau syirik. Tetapi apabila mereka telah belajar, maka mereka takut dan rasa gelisah kerana perbuatan mereka dahulu, bukan?

Orang-orang yang buat syirik akan masuk neraka, dan kemudian akan kekal di dalamnya, kalau mereka tidak sempat bertaubat kepada Allah ‎ﷻ sebelum mereka mati. Salah faham dalam masyarakat Islam kita adalah, mereka sangka selama mereka Muslim, kalaupun mereka masuk neraka, mereka sangka mereka akan masuk syurga akhirnya.

Mereka tidak tahu bahawa kalau kesalahan yang mereka lakukan itu adalah dosa syirik, mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan keluar sampai bila-bila, walaupun nama mereka Islam dan mereka telah mengucap syahadah. Orang Islam yang masuk neraka dan selepas sekian lama dalam neraka dan dipindahkan ke syurga adalah mereka yang ada dosa, tetapi bukan dosa syirik.

Perkataan أَسْرَف juga bermaksud ‘berlebihan’. Ini adalah maksud yang lebih umum. Iaitu berlebihan sampai melampau. Mereka berlebih dalam tidur, buat maksiat, main game, berpolitik dan sebagainya. Sampaikan memberi kesan buruk kepada mereka. Ramai dari kalangan kita yang macam itu.

Mereka sangka apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan diri mereka tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk mereka dan telah memberi kesan kepada mereka. Sebab itulah perkataan yang digunakan adalah عَلَىٰ. Itu bermaksud perbuatan melampau mereka itu telah memberi kesan buruk kepada mereka. Sebagai contoh, kalau berlebihan dalam berpolitik, akan menyebabkan kita berbuat dosa dengan menjatuhkan orang lain dan sebagainya.

Dalam ayat ini tidak dikhususkan apakah perkara yang mereka telah melampau. Ini adalah kerana terlalu banyak perkara yang manusia melampau. Jadi Allah ‎ﷻ biarkan dalam bentuk umum.

Juga bermaksud mereka yang telah ‘jatuh’. Mereka yang telah kena musibah dalam kehidupan mereka seperti hilang pekerjaan dan sebagainya. Mereka sampai ada yang telah berputus asa. Maka, kepada mereka ini juga, Allah ‎ﷻ hendak berikan harapan.

 

Balaghah: Hazfu wa zikru:

Bandingkan kalimah عِبَادِي yang digunakan dalam ayat ini dengan kalimah عِبَادِ yang digunakan dalam Zumar:10. Kedua-duanya membawa maksud ‘hambaKu’, tetapi ia dalam bentuk berlainan, bukan?

Dalam ayat ke 10, kalimat عِبَادِ itu sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) kerana hamba yang dimaksudkan dalam ayat ke 10 itu adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia berterusan meningkatkan ketaqwaannya.

Mereka itu jenis yang sudah istiqamah dalam iman dan ibadah mereka. Kemudian itu terus disebut ganjaran mereka. Sedangkan, kalimah yang digunakan dalam ayat 53 ini adalah عِبَادِي kerana hamba yang dimaksudkan dalam ayat ini hamba yang masih banyak melakukan maksiat.

Lihatlah dalam ayat ini, mereka memang sedang melakukan maksiat. Oleh itu, mereka tidak boleh berterusan dalam maksiat mereka itu, mereka kena ubah sikap mereka. Mereka disuruh jangan kekalkan apa yang sedang mereka lakukan. Mereka sekejap baik, sekejap tidak. Tidak boleh begitu, mereka haruslah baiki diri mereka supaya tetap istiqamah dalam iman dan dalam ibadah.

Dan ya mutakallim dizikrukan (disebut) digunakan kerana bilangan mereka lebih ramai kalau dibandingkan dengan orang yang istiqamah dalam iman dan ibadah. Inilah bahagian ilmu balaghah yang tidak akan dapat diketahui kalau tidak belajar ilmu balaghah.

 

لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ

jangan sekali-kali kamu putus asa dari rahmat Allah.

Ayat ini mengatakan bahawa kita masih lagi ada peluang untuk mendapat keampunan dari Allah ‎ﷻ. Maknanya, ada peluang untuk bertaubat lagi walaupun kita sudah berbuat dosa maksiat, walaupun kita sudah berbuat syirik. Walau bagaimana banyak pun dosa kita. Tuhan akan mengampunkan dosa kita walaupun kita telah berbuat syirik.

Syaratnya, kenalah memohon keampunan itu sendiri, tidak boleh orang lain mintakan kalau dosa itu adalah dosa syirik. Dan untuk meminta keampunan itu hendaklah dilakukan semasa hidup. Kalau sudah mati, tidak ada harapan lagi. Kalau anak-anak isteri kita meminta keampunan untuk kita yang sudah berbuat syirik, itu tidak akan diterima. Kita kenalah meminta ampun sendiri.

Namun begitu, kalau dosa selain dosa yang syirik, walaupun kita sudah mati, ahli keluarga dan orang lain masih boleh meminta keampunan bagi pihak kita. Ini adalah kerana memang ada larangan dari Allah ‎ﷻ untuk meminta ampun kepada orang yang mati dalam syirik.

Ayat ini memberi kita harapan bahawa tidaklah Allah ‎ﷻ terus melupakan kita. Allah ‎ﷻ masih lagi memberi peluang kepada kita, walau berapa banyak dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ amat sayang kepada kita. Sifat rahmah Allah ‎ﷻ amatlah besar sekali. Ada orang sangka yang dosa mereka terlalu banyak sampai mereka kata Allah ‎ﷻ tidak akan ampunkan mereka.

Itu adalah sangkaan mereka sahaja, Allah ‎ﷻ tidak pernah berkata begitu, mereka sahaja yang memandai-mandai. Jangan kita ada sangkaan seperti itu langsung. Inilah juga bisikan dari syaitan untuk melemahkan harapan kita dan supaya kita tidak minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Syaitan bisikkan: “Dosa kamu dah banyak sangat, Allah takkan ampun dan pandang kamu dah…., baik kamu teruskan sahaja apa yang kamu telah lakukan itu”.

Oleh itu, sentiasalah kita meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Sebelum kita tidur setiap malam, mintalah ampun kepada Allah ‎ﷻ di atas segala dosa kita, termasuklah dosa syirik yang mungkin kita telah lakukan tanpa kita sedar. Kerana kita tidak tahu, entah-entah kita akan dimatikan malam itu dan roh kita tidak dikembalikan kepada tubuh kita lagi.

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang Rahmat-Nya dalam ayat ini. Oleh itu, para pemberi khutbah, penceramah pun, janganlah hanya menceritakan azab yang Allah ‎ﷻ akan berikan kepada kita kalau berbuat salah. Mereka kuat menceritakan tentang dosa manusia, sampai mereka lupa untuk cerita tentang rahmat Allah ‎ﷻ.

Sampaikan orang yang mendengar khutbah akan berasa yang mereka hanya layak untuk masuk neraka sahaja. Lama kelamaan manusia akan rasa mereka akan terus masuk neraka dan tidak ada harapan untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan rasa tidak ada gunanya lagi untuk berbuat baik kerana mereka sudah tidak ada harapan lagi untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan terus berbuat dosa.

Kepada mereka yang telah diberikan dengan ujian, jangan berputus asa dengan Allah ‎ﷻ. Mintalah kepada Allah ‎ﷻ supaya kita dikeluarkan dari masalah itu. Putus asa bukanlah satu sifat yang baik. Ia adalah satu sifat yang buruk. Jangan sekali-kali berputus asa. Selagi belum mati, apa-apa masalah pun ada harapan untuk diselesaikan.

 

إِنَّ اللَهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا

Sesungguhnya Allah sanggup mengampunkan dosa kamu semua sekali.

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ itu sanggup mengampuni dosa kamu semua sekali kalau kamu meminta pengampunan dari-Nya. Tidak semestinya Allah ‎ﷻ wajib mengampuni dosa itu, tetapi Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan, kalau Dia mahu.

Ada muqaddar di sini, iaitu tidak diletakkan dalam ayat ini tetapi kena dijelaskan supaya faham ayat ini. Iaitu dengan syarat, kita kena meminta ampun. Kalau tidak minta ampun, maka tidak dapat pengampunan itu. Dan kitalah yang kena meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ sendiri. Kalau kita sudah mati, dan ahli keluarga memohon pengampunan kepada kita atas dosa syirik kita, tidak akan diterima.

Kalau dosa selain dosa syirik, Allah ‎ﷻ masih lagi boleh diterima, kalau Allah ‎ﷻ mahu. Kalau dosa selain dari dosa syirik, orang lain masih boleh mintakan ampun bagi pihak kita. Ini adalah kerana orang yang buat syirik itu kena sedar dan dia sudah buat syirik dan dia menyesal atas perbuatannya itu.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk mengampunkan semua sekali dosa kita, bukan hanya sedikit. Bukan dosa yang kecil sahaja, tetapi dosa yang besar sekalipun. Maka kalau Allah ‎ﷻ sudah berkata yang Dia sanggup untuk menerima taubat itu, maka mintalah ampun semasa hidup di dunia ini. Janganlah tunggu di akhirat kelak yang mana taubat tidak diterima lagi.

 

إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Belas Kasihan.

Kenapa Allah ‎ﷻ sanggup untuk memberi keampunan kepada kita? Kerana sesungguhnya Dia itu adalah Dzat yang amat pemberi pengampunan. Sifat asal Allah ‎ﷻ adalah Maha Pengampun. Dia boleh mengampunkan dan Dia boleh melupakan dosa yang kita buat. Sampaikan tidak ada lagi yang akan tahu bahawa kita pernah melakukan dosa tersebut.

Kita sebagai manusia, tidak boleh melupakan kesalahan orang lain kepada kita, walaupun kita sudah memaafkannya. Hati kita masih ingat lagi walaupun kita sudah memaafkannya dengan mulut dan kita pun telah cuba untuk maafkan orang itu dalam hati kita.

Namun, bagi Allah ‎ﷻ, bila Dia ampunkan, Dia tutup dosa itu. Dan dia tidak akan azab hamba-Nya itu dalam neraka atas kesalahan itu. Asalkan jangan degil untuk meminta ampun. Dia sanggup mengampunkan kerana Dia amat belas kasihan kepada semua makhluk. Dia sayang sekali kepada hamba-Nya.

Kita kena faham apakah makna الْغَفُورُ ini. Ia bermaksud Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan banyak mana pun dosa makhluk itu. Allah ﷻ boleh tutup dosa itu. Namun begitu, tidaklah bermaksud Dia sentiasa memaafkan.

Kerana kalau kita rasa Allah ‎ﷻ akan sentiasa sahaja memaafkan kesalahan kita, bahayanya adalah: kita tidak risau untuk berbuat dosa pula kerana kita sangka Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja memaafkan. Bagaimana kalau Allah ‎ﷻ tidak mengampunkan dosa kita?

Jadi kita jangan senang hati sangat dan rasa boleh sahaja berbuat dosa, nanti minta ampun, dan Allah ‎ﷻ maafkanlah. Itu adalah salah faham seperti yang dihadapi oleh orang Kristian. Pada mereka, kalau mereka menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai tuhan, mereka akan diampunkan segala dosa mereka. Dan kalau mereka ada berbuat dosa, mereka pergi berjumpa paderi dan mengaku kesalahan mereka, maka mereka sudah selamat.

Dalam Islam tidak begitu. Kita memang kena meminta ampun dan berharap Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita, tetapi dalam masa yang sama, kita kenalah berhati-hati. Jangan kita salah gunakan ayat ini untuk beri tiket percuma untuk berbuat dosa pula. Kerana salah faham itulah ada kita dengar orang berkata: “takpelah… nanti dah tua nanti kita taubat lah…..”. Bagaimana kalau Allah ﷻ tidak terima taubat itu?


 

Ayat 54: Ini adalah syarat-syarat untuk mendapat pengampunan. Bukan hanya setakat minta ampun sahaja, tetapi kita kenalah perbaiki diri kita. Kembalilah melakukan amal kebaikan.

وَأَنيبوا إِلىٰ رَبِّكُم وَأَسلِموا لَهُ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ ثُمَّ لا تُنصَرونَ

Sahih International

And return [in repentance] to your Lord and submit to Him before the punishment comes upon you; then you will not be helped.

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

وَأَنِيبُوا إِلَىٰ رَبِّكُمْ

Dan kembalilah kepada Tuhan kamu,

Apabila sudah bertaubat, hendaklah kita kembali kepada Allah ‎ﷻ iaitu dengan mentaati segala hukum-Nya. Solat jangan ditinggalkan lagi. Jangan berbuat jahat lagi. Itulah yang dipanggil ‘kembali kepada Allah ‎ﷻ’. Dosa yang telah dibuat, berhentilah dari membuatnya. Kalau dahulu berzina, berhenti dari berzina. Kalau dahulu minum arak, berhenti dari minum arak. Kalau dahulu tidak berpuasa, mula balik berpuasa.

Antara tanda kembali itu termasuklah belajar agama. Belajar untuk mengetahui manakah perbuatan kita yang salah. Jangan terus duduk dalam kejahilan dan terus melakukan kesalahan yang berulang-ulang.

Ayat ini juga bermaksud, apabila kita berbuat dosa, sebenarnya kita telah meninggalkan Allah ‎ﷻ. Kita tidak mengendahkan Allah ‎ﷻ dan segala peraturan yang telah ditetapkan. Maka, sebab itulah Allah ‎ﷻ suruh kita kembali kepada-Nya. Kalau kita tidak endahkan kawan kita, keluarga kita, ada kemungkinan mereka akan meninggalkan kita. Tetapi tidak begitu dengan Allah ‎ﷻ. Pintu rahmat Allah ‎ﷻ sentiasa terbuka untuk kita.

Dan yang paling penting, kena kembali kepada tauhid setelah mengetahui yang selama ini perbuatan kita adalah perbuatan syirik. Kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik. Tinggalkan perbuatan syirik yang pernah dilakukan dahulu kerana mungkin dahulu kita buat disebabkan oleh kejahilan agama. Sekarang sudah tahu, kenalah tinggalkan.

 

وَأَسْلِمُوا لَهُ

dan serah diri kepadaNya

‘Islam’ bermaksud serah diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ. Serah diri dalam akidah dan dalam amal. Kita hendaklah menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ. Terima semua yang terkandung dalam Al-Qur’an dan hadis.

Terima bulat-bulat tanpa soal. Jangan kita gunakan akal lagi untuk menolak syariat, jangan gunakan hujah yang batil lagi untuk menolak suruhan-suruhan Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat, lakukan sahaja.

Malangnya, banyak ustaz-ustaz yang mengajar di merata-rata tempat, tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an dan hadis Nabi ﷺ. Mereka sendiri pun tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ hendak manusia buat. Tetapi mereka sudah mengajar manusia. Maka, apa yang mereka ajar itu tidak benar atau tidak lengkap.

Oleh itu kita yang mahu belajar agama, hendaklah memastikan bahawa guru yang mengajar itu telah belajar dari dua sumber agama yang utama: Al-Qur’an dan Hadis.

Dan yang paling penting jangan menggunakan akal dalam menafsir hukum Allah ‎ﷻ: ada orang yang berkata kalau makan babi boleh menyebabkan penyakit. Semua agama lain makan babi, tidak ada yang jadi gila pun. Ada yang berkata kerana dalam tubuh babi itu ada ulat yang tidak boleh dibunuh, kerana babi makan tahinya sendiri, kerana babi itu suka sondol binatang lain dan sebagainya.

Itu bukanlah jawapan yang tepat. Kita kenalah jawab begini: kita tidak makan kerana perintah Allah ‎ﷻ. Sebab kalau kita kata kita tidak boleh makan babi kerana ada ulat itu, katakanlah kalau ada cara untuk membunuh ulat itu dengan cara moden, adakah kita boleh memakan babi pula? Tentu tidak, kerana hukum itu tidak akan dimansuhkan sampai bila-bila. Kita kena terima semua sekali perintah Allah ‎ﷻ, jangan takwil-takwil.

Kerana kalau kita menggunakan akal kita untuk mencari sebab pengharaman sesuatu perkara, itu maknanya kita mempersoalkan hukum Allah ‎ﷻ. Jadi ada orang yang kata arak tidak haram, kalau minum tidak memabukkan. Babi pun boleh dimakan kerana zaman sekarang babi itu sudah bersih dan sebagainya. Itulah bahayanya. Allah ‎ﷻ tidak perlu menjelaskan sebab apa sesuatu perkara itu diharamkan. Kita mesti taat bulat-bulat kepada Dia sahaja.

Namun dalam masa yang sama, kalau kita cuba mencari hikmah pengharaman itu, tidaklah salah. Kalau niat kita untuk memahami lagi hukum Allah ‎ﷻ, itu bolehlah. Ulama’ memang akan selalu mencari hikmah kenapa Allah ‎ﷻ letak hukum begitu dan begini. Tetapi itu sebagai usaha akal manusia sahaja, mungkin benar dan mungkin juga tidak.

Tetapi berhati-hati jangan sampai kita mengubah hukum Allah ‎ﷻ pula. Kerana segala hujah atau kajian yang kita lakukan itu, mungkin benar dan mungkin salah.

 

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ

sebelum datang azab akhirat kepada kamu.

Kenalah mengubah diri kita sebelum terlambat. Sebab kalau sudah berada di alam akhirat, kita tidak dapat diselamatkan lagi. Waktu itu sudah terlambat untuk memohon keampunan. Oleh itu, kita kena taubat segera, jangan tunggu-tunggu lagi. Tidak perlu tunggu ‘Solat Taubat’ pun kerana taubat itu boleh dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa pun.

 

ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

kemudian kamu tidak diberi pertolongan

Apabila berada di Mahsyar, tidak ada peluang untuk mendapat pertolongan dari sesiapa pun, dari mana-mana arah pun. Pada waktu itu, tidak ada sesiapapun yang boleh menolong kita lagi.


 

Ayat 55: Dalil Wahyi. Ini ada syarat lagi yang perlu dipenuhi:

وَاتَّبِعوا أَحسَنَ ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ بَغتَةً وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

Sahih International

And follow the best of what was revealed to you from your Lord before the punishment comes upon you suddenly while you do not perceive,

 

Malay

“Dan turutlah – Al-Qur’an – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

 

وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Dan kamu ikuti sahajalah yang terbaik dari apa yang diwahyukan kepada kamu

Yang dimaksudkan yang terbaik adalah: Al-Qur’an dan Sunnah. Iaitu mengikut wahyu. Sama ada wahyu itu dari Al-Qur’an atau dari hadis Nabi ﷺ yang sahih. Iaitu kita ikut yang wajib dan yang sunat. Kalau ada amalan yang tidak sahih, jangan pula kita buat. Kerana agama ini tidak boleh direka-reka dan ditambah-tambah.

Dan yang terbaik dari wahyu itu semua adalah tentang Tauhid. Tauhid itu yang perlu dikemasi dahulu. Kena faham apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh itu, kena belajar tafsir 30 juzuk Al-Qur’an ini supaya faham apakah yang dimaksudkan dengan tauhid dan apakah syirik.

 

مِّنْ رَّبِّكُمْ

daripada Tuhan kamu

Dan kena pastikan bahawa dalil yang digunakan adalah dari Allah ‎ﷻ – sama ada dalam bentuk ayat Al-Qur’an atau dalam bentuk hadis Nabi ﷺ – wahyu yang disampaikan melalui lafaz Nabi Muhammad ﷺ.

Al-Qur’an dan hadis telah diberikan kepada kita untuk beramal. Yang terbaik dari Al-Qur’an dan hadis itu adalah dua perkara. Daripada lima hukum yang ada (iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram), dua sahaja yang kita buat akan dapat pahala. Iaitu yang wajib dan sunat.

Perkara yang hukumnya harus tidak perlu buat pun tidak mengapa. Sebab kalau buat pun, tidak dapat pahala. Kalau tidak buat pun, tidak berdosa. Jadi habis duit dan buang masa sahaja kalau buat. Kalau buat juga, itu untuk ihsan, iaitu kebaikan hidup di bumi. Apa yang dibuat, mestilah yang dihukumkan sunat. Yang wajib, memang kita tidak boleh tinggalkan. Tiga lagi hukum, kita tolak. Apa yang tidak sunat, tidak perlu buat.

Maka, janganlah kita mengikut pendapat guru-guru, ustaz-ustaz yang menggunakan akal sebagai hujjah untuk membenarkan amalan bidaah mereka. Contohnya, mereka yang mengatakan kebaikan dalam menyambut Majlis Maulid Nabi ﷺ, tetapi mereka tidak memberikan hujah dalil yang sahih, mereka menggunakan hujah akal sahaja.

Ambillah apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan dan amalkannya dalam kehidupan kita.

 

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً

sebelum datang kepada kamu azab yang datang tiba-tiba (iaitu mati)

Ingatlah bahawa kita boleh mati pada bila-bila masa sahaja. Kita tidak tahu bilakah kita akan mati. Waktu itu semuanya sudah terlambat. Maka jangan kita tangguh untuk berubah ke arah kebaikan. Entah sebentar lagi kita akan mati, kita pun tidak tahu. Maka kenalah kita bertaubat dan baiki diri kita dari sekarang.

 

وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

yang masa itu kamu tidak sedar.

Kita takut kita tidak sempat bertaubat pula nanti kalau kita tangguhkan. Celik-celik mata tengok-tengok sudah berada di dalam kubur. Maknanya, dia pun tidak sedar dia sudah mati.

Seperti orang yang kemalangan yang menyebabkan dia pengsan atau koma. Celik-celik mata tengok kipas sedang berpusing dalam hospital. Dia pun tidak sedar bilakah masanya dia telah dibawa ke hospital.

Maknanya, hendak mengikut Al-Qur’an ini hendaklah dilakukan sebelum kita mati. Kalau sudah mati, maka tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Jadi, kenalah belajar dari sekarang. Jangan ditangguh-tangguh lagi.

Walaupun begitu, telah diberitahu kepada kita bahawa ada perkara-perkara yang walaupun kita sudah mati, masih boleh mendapat pahala. Iaitu tiga perkara: Sedekah, ilmu berguna yang diajar kepada orang lain dan doa anak yang soleh.

Apakah itu sedekah jariah? Ia adalah sedekah dan infak yang kita berikan pada jalan agama. Sedekah jariah itu adalah apabila kita memberikan harta kita kepada agama. Dan ia berterusan. Sebagai contoh, kita sedekahkan duit untuk membina masjid dan masjid itu berterusan digunakan oleh manusia. Setiap kali ada orang yang menggunakan masjid itu, kita akan mendapat pahala.

Oleh kerana kita boleh berwasiat kepada selain dari keluarga kita, maka wasiatlah untuk infak sebahagian dari harta kita kepada agama. Iaitu sebanyak-banyaknya satu pertiga dari harta kita. Bukanlah kena bagi keseluruhan satu pertiga. Setakat mana kita hendak beri sahaja. Supaya pahala kita berterusan memberi saham pahala kepada kita.

Itu sahajalah harta yang kita boleh bawa balik ke akhirat. Sanak saudara kita yang telah kita berikan harta pusaka itu, belum tentu dia akan menderma harta yang kita pusakakan kepada mereka.

Ketahuilah bahawa sedekah itu adalah pencegahan dari api neraka. Manusia yang tidak mahu infak kepada agama ini adalah kerana bersifat munafik. Seperti yang telah diberitahu dalam Al-Qur’an dan hadis.


 

Ayat 56: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah kata-kata orang yang sudah mati. Ini adalah contoh orang yang menyesal dengan apa yang dia telah lakukan semasa dia di dunia. Allah ﷻ ceritakan kepada kita supaya kita boleh ambil pengajaran. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang sebegini.

أَن تَقولَ نَفسٌ يٰحَسرَتا عَلىٰ ما فَرَّطتُ في جَنبِ اللهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ السّٰخِرينَ

Sahih International

Lest a soul should say, “Oh [how great is] my regret over what I neglected in regard to Allah and that I was among the mockers.”

 

Malay

“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: `sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! –

أَنْ تَقُولَ نَفْسٌ

Supaya jangan seseorang berkata:

Ini adalah kata-kata penyesalan dari manusia yang cuai dalam amalan semasa di dunia. Ini orang yang mati mengejut dan tidak sempat untuk membuat persiapan.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Allah ‎ﷻ memberikan banyak peringatan kepada kita, supaya kita tidak cakap begini nanti.

يٰحَسْرَتَا

Alangkah besarnya penyesalanku,

Sekarang dia sedang menyesal sangat. Dia tahu yang dia telah membuat kesalahan yang besar. Dia sedang meraung dalam kesesalan.

عَلَىٰ مَا فَرَّطْتُ فِي جَنْبِ اللهِ

atas kecuaian aku tentang Allah.

Iaitu dia telah cuai dalam perkara ibadah. Iaitu cuai dalam belajar, cuai melakukan ibadat solat, puasa, haji, sedekah, walaupun dia memang ada niat untuk taat kepada Allah ‎ﷻ. Cuai itu antaranya tidak belajar cara sembahyang yang betul dan cara-cara melakukan ibadah-ibadah yang lain.

Dalam perkara lain, dalam perkara dunia, dia tidak cuai – dia belajar dari sekolah rendah, masuk sekolah menengah, masuk kolej dan universiti sampai ada yang ambil master dan Ph.D.

Namun semua itu adalah untuk perkara dunia, untuk hidup sementara sahaja di dunia. Sanggup dia mengeluarkan duit entah berapa banyak untuk mendapatkan ilmu dunia. Tetapi tentang hal akhirat, dia cuai untuk belajar. Padahal, bukan susah pun untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini.

Malangnya, ada guru-guru yang telah belajar agama di universiti sama ada di Malaysia ataupun di luar negara, sama ada di madrasah ataupun di pondok, lama mereka belajar, tetapi mereka tidak belajar lagi tafsir Al-Qur’an. Mereka sangka mereka telah tahu tentang agama, tetapi sebenarnya mereka tidak terpimpin lagi.

Tanyalah kepada ustaz-ustaz yang mengajar mereka agama, adakah mereka telah belajar tafsir Al-Qur’an dengan lengkap 30 juzuk? Ada kemungkinan besar mereka belum belajar lagi. Kita sahaja sangka mereka telah tahu tentang Al-Qur’an, tetapi mungkin tidak.

Maksud فِي جَنْبِ اللَّهِ (di sisi Allah) seolah-olah Allah ‎ﷻ ada di sebelahnya, tetapi dia buat tidak endah sahaja. Dia tidak belajar agama sampai dia kenal Allah ‎ﷻ dengan sepatutnya. Dan untuk mengenali Allah ‎ﷻ, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an kerana dalam Al-Qur’anlah Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya. Kemudian ditambah dengan belajar khusus fiqh Asma’ul Husna supaya kita lebih kenal Allah ﷻ.

وَإِنْ كُنْتُ لَمِنَ السّٰخِرِينَ

dan sesungguhnya aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh mempersenda-sendakan

Dia teringat kembali yang dia telah mempersendakan perkara agama dan ayat-ayat Al-Qur’an dan kerana itu dia telah masuk neraka dan menjadi seorang yang sangat rugi. السَّاخِرِ adalah orang yang tidak mengambil berat tentang tuntutan agama. Dia rugi kerana dia dahulu cuai semasa di dunia. Dia mengambil hal agama itu sebagai bahan jenaka sahaja.

Kita pun selalu lihat manusia seperti itu. Semua perkara adalah perkara lawak sahaja padanya. Dia tidak ambil peduli semua perkara. Sebagai contoh, apabila kita kata jangan buat perkara bidaah kerana Nabi ﷺ tidak pernah buat, mereka buat lawak: “Kalau macam itu, jangan pakai keretalah sebab Nabi tak pernah pakai kereta!”. Dan kata-kata lain yang mengejek-ngejek amalan sunnah.

Jangan kita menjadi manusia-manusia yang akan melahirkan penyesalan seperti itu di akhirat kelak. Hendaklah kita belajar tentang hal agama ini supaya kita tidak menyesal nanti. Dan hendaklah kita memastikan bahawa apa yang kita belajar itu adalah Al-Qur’an dan juga dari Hadis Nabi ﷺ yang sahih.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Zumar Ayat 53 – 56 (Syirik menghapuskan amalan kebaikan)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s