Tafsir Surah Fatihah Ayat 4 [Bahagian 2] (Allah tetap akan balas)

Ini adalah sambungan dari perbincangan Ayat 4 sebelum ini.

Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, Allah menyebut dua sifatNya: ar-Rahman dan ar-raheem. Itu adalah sifat Allah yang utama, iaitu Allah menyebut tentang belas kasihan Allah kepada makhlukNya. Kemudian selepas Allah menyebut dua sifatNya itu, terus Allah memperkenalkan sifat DiriNya yang maha berkuasa pada hari Kiamat nanti.

Memang Allah bersifat belas kasihan, tapi walaupun begitu, umat akan berada dalam ketakutan juga pada hari Kiamat itu. Kerana, sifat Allah bukan hanya belas kasihan sahaja, tapi ada sifat-sifat Allah lain yang keras. Hari Kiamat masih lagi satu kejadian yang amat menakutkan. Lebih-lebih lagi kepada orang kafir. Walaupun begitu, kepada orang mukmin pun akan rasa takut yang amat juga.

Kerana Hari Kiamat itu adalah keadaan yang amat-amat menakutkan. Kita yang orang Islam ini pun belum tahu nasib kita macam mana. Jangan kita berharap semata kepada sifat Rahman dan Raheem Allah itu sampai kita senang hati.

Dalam Al-Qur’an, Allah mengaitkan namaNya ar-Rahman, tapi masih juga menyebut bagaimana makhluk pada waktu hari kiamat akan tunduk diam dan khusyuk. Ini ada disebut dalam Taha:108

يَوْمَئِذٍ يَتَّبِعُونَ الدَّاعِيَ لَا عِوَجَ لَهُ وَخَشَعَتِ الْأَصْوَاتُ لِلرَّحْمَٰنِ فَلَا تَسْمَعُ إِلَّا هَمْسًا

Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru. Mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.

Tapi kita jangan terkeliru, pada hari Kiamat itu, Allah memang akan tunjuk rahmahNya juga. Bukanlah tidak ada langsung sifat Rahman dan Raheem Allah. Seperti yang kita tahu, pada hari itu, hanya Dia sahaja berkuasa. Terdapat sifat rahmahNya masih ada di situ. Mungkin kita tak berapa nampak. Iaitu pertama, amalan baik manusia akan dibalas dengan banyak.

Bukan sahaja dibalas setiap satu kebaikan itu, tapi akan ditambah lagi. Langsung tidak tertinggal mana-mana amalan baik yang telah dilakukan. Kalau Allah tidak bersifat rahmah, tentu akan ada balasan yang tidak diberikan dengan penuh. Kalau begitu, tentulah Allah tidak adil.

Manusia memang mahukan keadilan. Oleh itu, berita ini akan memberikan kelegaan kepada mereka yang baik dan berbuat amalan soleh. Mereka akan dibalas atas perbuatan mereka. Bukan sahaja mereka akan dibalas dengan perbuatan baik mereka, tapi Allah akan tambah balasan itu berkali-kali ganda lagi. Kerana percaya kepada balasan baik itulah yang manusia akan buat perkara baik semasa di dunia.

Dan hasilnya kalau manusia beriman dan beramal soleh, dunia akan menjadi aman. Ini adalah kerana manusia akan takut untuk berbuat kezaliman. Bayangkan kalau manusia tidak percaya tentang balasan akhirat, mereka akan berani buat apa sahaja ikut nafsu mereka. Oleh itu, kebaikan itu bukan untuk orang itu sahaja, tapi merangkumi kepada seluruh alam ini.

Pada hari Kiamat, tidak sama layanan Allah untuk orang baik kalau dibandingkan dengan orang jahat. Orang baik akan mendapat layanan yang baik dan orang jahat akan mendapat layanan yang buruk. Oleh itu, hendaklah kita jangan buat sesuatu yang boleh memurkakan Allah. Kita hendak Allah bersifat Raheem dengan kita pada hari itu. Janganlah Allah layan kita dengan kemurkaan seperti yang Allah akan layan orang kafir nanti.

Allah sebenarnya tidak memerlukan ibadat kita, jadi kenapa Allah nak balas kesalahan yang dilakukan oleh manusia? Untuk memahaminya, kita kena berikan perumpamaan kerajaan di dunia ini.

Bayangkan kalau satu-satu negara ada raja, dan raja itu telah meletakkan undang-undang yang perlu dipatuhi, bagaimana kalau ada rakyatnya yang melanggar undang-undang itu? Tentulah raja itu akan membalas orang itu dengan hukuman yang telah ditetapkan. Kalau raja itu tidak balas, ada tiga kemungkinan kenapa dia tidak balas:

    1. Raja itu tidak mampu untuk menjatuhkan hukuman kepada orang itu. Mungkin orang itu orang yang besar dan raja itu takut dengan orang itu. Atau raja itu tidak berkuasa penuh.
    2. Raja itu tidak tahu bahawa orang itu telah melanggar hukum. Mungkin dia buat pada malam hari. Mungkin dia buat cara tersembunyi. Polis negeri itu pun tidak tahu. Atau dia buat waktu orang tidak ada dan tidak ada yang melaporkannya.
    3. Raja itu suka dengan perbuatan orang itu yang melanggar hukum itu. Raja itu redha dengan perbuatan orang itu.

Jadi, dari perumpamaan ini, kita boleh boleh kesimpulan, kalau Allah tak balas kejahatan manusia, kita boleh kata Allah tidak balas itu kerana tiga perkara itu juga:

1. Allah tak mampu balas.
2. Atau Allah tak tahu perbuatan orang itu.
3. Atau Allah suka dengan perbuatan orang itu.

Kita pun tahu, bahawa kesemua kemungkinan di atas adalah mustahil bagi Allah. Allah mampu untuk membalas, Allah tidak takut kepada sesiapa; Allah maha tahu dengan perbuatan manusia, tidak kira di mana mereka melakukannya, bila mereka melakukannya; Allah juga tidak redha dengan dosa yang dilakukan oleh makhlukNya itu kerana itu Dia sudah beri arahan dan ancaman bagi sesiapa yang tidak taat. Maka dari ini, kita boleh tahu bahawa Allah akan tetap balas perbuatan dosa makhlukNya. Inilah keadilan namanya.

Oleh itu, apabila kita membaca ayat ini setiap hari, kita akan diingatkan bahawa setiap perbuatan kita ada kesannya. Ia boleh membawa kepada kesan baik kalau perbuatan kita itu baik dan ia boleh memberi kesan yang buruk kalau perbuatan itu adalah perbuatan dosa. Kita akan tetap kena walau macam mana pun.

Ingatlah bahawa kita tidak boleh lepas dari hukuman Allah itu. Kita tak boleh nak rasuah Allah seperti kita boleh rasuah penjaga undang-undang di dunia ini. Allah tidak memerlukan apa-apa dari kita untuk kita berikan kepadaNya. Segala apa yang kita ada pun dari Allah juga. Kita hanya bawa iman dan amal kita sahaja.

Memang Allah bersifat Maha pengampun dan Maha pemaaf. Tapi Allah juga boleh membalas. Allah adalah مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (Pemilik Hari Pembalasan). Allah berkuasa untuk menghukum. Allah berkuasa untuk menghukum dengan hebat sekali. Jadi jangan kita rasa senang diri sahaja, seolah-olah kita pasti selamat. Maka janganlah kita buat dosa langsung kerana kita sangka hanya ingat kepada sifat Allah yang maha pengampun.

Ini adalah kerana dalam kehidupan kita di dunia ini bukanlah untuk ikut nafsu sahaja. Tidaklah hidup kita di dunia ini dijadikan sia-sia sahaja. Bukanlah saja-saja sahaja Allah jadikan kita. Seperti yang disebut dalam ayat Mukminoon:115

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Allah hendak melihat dan menilai apa yang kita lakukan dalam dunia ini. Allah akan nilai sama ada perbuatan kita itu baik atau tidak. Ingatlah ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ dalam Surah Fatihah ini. Kena kena bersedia untuk menghadapi hari itu. Kena beramal baik dan menjauhkan diri dari melakukan dosa. Kalau kita berdosa, cepat-cepat kita minta ampun.

Apabila kita gabungkan ayat ini dengan ayat pertama: ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ, ia akan mengingatkan kita supaya bukan hanya buat baik kepada diri kita sahaja dan kepada sesama manusia sahaja. Kita kena buat baik kepada seluruh alam. Kerana Allah itu adalah rabb kepada ‘seluruh alam’. Semuanya dalam kerajaan Allah.

Semua perbuatan kita akan dibawa ke hadapan Allah sebagai saksi. Kalau kita ada buat salah dengan binatang, binatang itu akan dibawa sebagai saksi di atas perbuatan jahat kita itu. Kalau kita buat salah kepada pokok, begitu juga. Begitu juga kalau kita bertindak tidak baik dengan makhluk-makhluk yang lain. Maka, kita kena beringat.

Kita juga kena ingat bahawa balasan yang sebenarnya adalah di akhirat nanti. Bukan di dunia. Berapa banyak yang hidupnya susah semasa di dunia? Termasuk yang mengalami kesusahan itu adalah para Nabi. Walaupun mereka susah semasa di dunia, dengan segala dugaannya, tapi mereka akan mendapat kebaikan yang banyak di akhirat kelak.

Ini kita kena sebut kerana ada fahaman yang kata kalau di dunia ini banyak nikmat, itu tanda mereka diberkati dan disayangi Tuhan. Itu adalah fahaman yang silap. Balasan sebenar adalah di akhirat nanti. Kalau kita mengalami kesusahan hidup di dunia, kita masih boleh berharap yang kita akan diberikan dengan balasan baik di akhirat kelak kalau kita beriman dan beramal soleh.

Ada kisah bagaimana orang yang paling malang hidupnya di dunia akan dicelupkan sekejap ke dalam syurga. Selepas dia diangkat semula, ditanya kepadanya, bagaimanakah kehidupannya di dunia dulu? Dia jawab dia tidak pernah kenal kesusahan. Dan seorang lelaki yang paling bernasib baik di dunia dicelupkan sekejap sahaja dalam neraka dan ditanyakan kepadanya tentang kehidupan di dunia dulu. Dia kata dia tidak pernah kenal kesenangan semasa di dunia dulu.

Ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini adalah satu ayat yang mempunyai makna targhib dan tarhib. Targhib adalah ayat-ayat yang menggalak kita untuk buat baik dan tarhib adalah ayat-ayat yang menakutkan kita untuk berbuat jahat. Selalunya, satu-satu ayat itu ada elemen targhib sahaja atau tarhib sahaja. Jarang ada ayat yang ada dua-dua elemen.

Pada hari itu, Allah akan mengadili orang beriman dengan ‘keadilan’ dan ‘rahmah’. Tapi kepada kufur, hanya dengan ‘keadilan’ sahaja. Beza layanan Allah kepada orang kafir dan orang Islam.

Tapi ada juga orang beriman akan masuk neraka juga. Ini adalah kerana mereka beriman, tidak buat syirik, tapi ada dosa-dosa yang mereka lakukan. Mereka akhirnya akan diselamatkan dari neraka. Tapi sepatutnya neraka menakutkan kita dan kita sepatutnya berusaha untuk tidak memasukinya. Kita tak mahu dengar, tak mahu lihat, tak mahu cium sikit pun neraka itu. Kita minta dijauhkan sejauh-jauhnya dari neraka.

Ini menunjukkan pentingnya tidak syirik kepada Allah kerana kalau ada syirik, tidak ada peluang masuk syurga. Allah sudah kata bahawa Dia tidak akan maafkan perbuatan syirik.

Ayat ini juga memberi ketenangan kepada kita supaya tidak perlu risau kalau dizalimi di dunia ini oleh manusia lain. Ada orang yang berbuat zalim di dunia, tapi mereka terlepas dari tindakan di dunia. Kerana mereka ada kekuatan contohnya. Tapi mereka tidak akan terlepas di akhirat nanti.

Kerana Allah akan balas perbuatan zalim sesiapa sahaja kepada kita. Manusia selalu simpan marah dan dendam apabila mereka dizalimi. Macam ada negara yang dijajah, beratus tahun mereka masih simpan dendam itu. Jangan kita risau – ingatlah bahawa Allah akan balas. Tidak kira berapa banyak kesalahan mereka. Maka kalau kita dizalimi, tidak dapat hak kita, ingatlah yang nanti kita akan dapat juga hak kita itu di akhirat.

Bukan itu sahaja, orang yang dizalimi itu pula boleh dapat pahala pula kalau dia sabar. Ini adalah satu sumber pahala yang banyak. Sebagai contoh, kalau ada orang yang mengata kita dan kalau kita sabar, kita akan mendapat pahala.

Tiada kepercayaan tentang adanya ‘umat pilihan’ dalam Islam. Ini kerana ada juga umat yang percaya mereka itu adalah ‘umat pilihan’. Macam bangsa Yahudi, mereka sangka mereka adalah umat pilihan Allah dan mereka tidak akan masuk neraka. Kalau masuk pun, kepercayaan mereka adalah mereka akan masuk sekejap sahaja dalam neraka.

Bila mereka rasa begitu, mereka rasa mereka boleh buat apa-apa sahaja. Mereka sangka mereka boleh terlepas dari seksa Tuhan. Tapi ingatlah, bahawa Allah adalah Tuhan untuk semua makhluk dan tidak pilih kasih dan tidak pilih bulu. Kita pun telah belajar apakah maksudnya apabila Allah memperkenalkan DiriNya sebagai رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ. Allah adalah Tuhan kepada semua, sama ada yang Muslim atau yang kafir pun.

Jangan rasa kita orang istimewa dan akan terselamat dari neraka. Kalau kita ada macam itu, kita akan jadi macam lelaki dalam Kahfi:36 yang rasa dia akan selamat.

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا

Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Lelaki itu sangka kerana dia telah mendapat banyak kebaikan di dunia, dia sangka dia insan yang istimewa. Jadi, dia sangka kalau di dunia dia sudah dapat kelebihan, maka di akhirat dia pun akan dapat kelebihan juga macam di dunia. Maka, dia telah melakukan keburukan di dunia.

Begitu juga, penganut agama Kristian rasa mereka terus selamat bila terima Jesus. Hanya dengan ucap: “Aku terima Jesus”, mereka sangka mereka sudah selamat. Lalu, mereka ambil mudah tentang agama, tentang hubungan dengan makhluk lain dan hubungan dengan Tuhan.

Kita orang Islam pun jangan rasa selamat. Jangan kita sangka apabila kita sudah mengaku kita Muslim, sudah syahadah, sudah sembah Allah, kita tidak akan masuk neraka. Jangan kita sangka kita boleh lepas dengan kesalahan yang kita buat. Masalahnya, ada pemahaman dalam umat Islam kita, kalau masuk neraka pun sekejap sahaja, selepas diseksa sekejap, akhirnya akan masuk syurga juga akhirnya.

Kerana kita selalu diingatkan oleh ustaz-ustaz kita bahawa orang Islam akan masuk syurga juga akhirnya. Maka kesannya mereka macam tak takut dengan azab Neraka itu. Mereka tidak takut itu kerana mereka tidak tahu tentang azab Neraka. Mereka sangka azab itu biasa-biasa sahaja. Mereka sangka mereka akan masuk sekejap sahaja. Padahal, kalau tinggal solat satu waktu sahaja, kena seksa 80 tahun dalam neraka. Jadi, ‘sekejap’ yang mereka sangka itu, entah berapa lama. Entah beratus, beribu, berjuta tahun pun kita tidak pasti.

Jadi, secara ringkasnya, dalam Surah Al-Fatihah ini Allah menceritakan tentang DiriNya. Allah menyebut NamaNya dan sifatNya untuk kita kenal Dia. Asma’ itu adalah kunci untuk kita kenal Allah. Sebab itu salah satu pecahan dalam Ilmu Tauhid adalah Tauhid Asma’ wal Sifat. Apabila kita kenal Dia, barulah kita boleh beriman dengan sebenar. Malangnya kalau kita belajar tafsir Al-Qur’an, tidak banyak disebut penjelasan Asma’ Allah.

Dalam banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an, selalu di hujung-hujung ayat, akan disebutkan nama Allah. Tapi kebiasaannya, kita tidak perasan pun apakah ayat itu dan apakah yang hendak disampaikan. Padahal, ada banyak ajaran yang hendak disampaikan. Maka kena belajar khusus tentang fiqh Asma’ul Husna.

Allahu a’lam. Sambungan ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s