Tafsir Surah Kahfi Ayat 35 – 39 (Bahaya fahaman materialisme)

Ayat 35:

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظالِمٌ لِّنَفسِهِ قالَ ما أَظُنُّ أَن تَبيدَ هٰذِهِ أَبَدًا

Sahih International

And he entered his garden while he was unjust to himself. He said, “I do not think that this will perish – ever.

Malay

Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.

 

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ

Dan dia pun masuk kebunnya sedangkan dia menzalimi dirinya sendiri;

Allah tak kata lelaki kaya itu menzalimi sahabatnya yang miskin itu. Tapi Allah kata dia menzalimi ‘diri’nya sendiri. Apakah maksudnya?

Dia telah menzalimi dirinya dengan melakukan syirik kepada Allah. Dia masuk kebunnya itu dengan angkuh dan riak. Riak itu adalah salah satu dari syirik khafi (syirik kecil), tapi kalau selalu dibuat, ianya akan menjadi syirik besar.

Tapi bukan itu sahaja. Kerana perkataan ظَالِمٌ  (zalim) bermaksud ‘melakukan syirik’. Tapi apakah syirik yang dilakukannya? Ada dalam sambungan pada ayat ini. Memang dia ada buat perbuatan yang syirik. Apa yang dia buat itu, banyak juga dilakukan oleh orang sekarang.

Dia menzalimi dirinya kerana dia rasa apa yang semua dia ada itu adalah hasil usahanya sendiri. Ini adalah Syirik fi tawakkul. Dia lupa yang semua itu telah diberi oleh Allah kepadanya. Semuanya adalah kurniaan Allah.

Ayat ini adalah tentang apa yang dia cakap dengan kawannya yang miskin itu. Mungkin dia ajak kawannya itu berjalan-jalan dalam kebunnya. Dan sambil itu dia menunjuk-nunjuk kelebihan kebunnya itu.

 

قَالَ مَا أَظُنُّ أَنْ تَبِيدَ هَٰذِهِ أَبَدًا

Aku tidak rasa kebun aku ini akan binasa sampai bila-bila;

Dia yakin kebunnya itu akan kekal sampai bila-bila. Dia nafikan kuasa Tuhan. Dia rasa dengan dia pandai mengusaha kebun-kebunnya itu, dengan menggunakan pekerja yang ramai dengan susunan tanamannya, kebunnya itu akan kekal. Dia sangka dengan ada kebun tamarnya yang menjadi pendinding kepada kebun anggurnya, kebun anggurnya itu akan selamat. Dia lupa Allah boleh musnahkan kebunnya itu bila-bila sahaja.

Dia rasa dia yang menyebabkan kebunnya boleh sampai jadi begitu. Padahal Tuhan yang jadikan. Allah telah sebut berkali-kali dalam ayat-ayat sebelum ini. Sekarang ni pun ramai yang berperasaan macam itu. Mereka rasa merekalah yang menyebabkan kejayaan mereka. Mereka sangka sebab mereka pandai dan sebab mereka telah berusaha kuat, mereka dapat kejayaan itu kerana diri mereka sendiri.

Mereka lupa tentang kuasa Allah yang menyebabkan mereka berjaya. Berapa ramai orang yang pandai-pandai dan bijaksana, dan mereka juga telah gigih berusaha, tapi mereka tidak berjaya? Ingatlah bahawa mereka yang berjaya itu adalah kerana Allah lah yang memberikan kejayaan kepada mereka. Kalau Allah tidak takdirkan kejayaan bagi dia, tidak kira berapa banyak usaha dia, tidak akan berjaya juga.


 

Ayat 36:

وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُ إِلىٰ رَبّي لَأَجِدَنَّ خَيرًا مِنها مُنقَلَبًا

Sahih International

And I do not think the Hour will occur. And even if I should be brought back to my Lord, I will surely find better than this as a return.”

Malay

Dan aku tidak fikir hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

 

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً

Dan tidaklah aku yakin kiamat itu akan datang;

Dia dah sampai rasa kiamat takkan terjadi sebab hatinya sudah tertakluk kepada dunia. Dia terlalu mementingkan dunia sahaja. Dia dah tak nampak akan ada lagi kehidupan selepas kehidupan di dunia ini. Ini kerana dia sayang sangat kepada dunia kerana dia dapat kelebihan yang banyak.

Itulah bahayanya pemahaman materialisma yang dianjurkan oleh orang-orang kafir. Mereka ajar untuk fokus hanya kepada dunia dan kebendaan sahaja. Padahal dunia ini tidak akan kekal. Yang pasti akhirat pasti akan terjadi.

 

وَلَئِنْ رُّدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي

dan sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku;

Dia nak kata sekiranya betul-betul Hari Kiamat akan berlaku dan dia dikembalikan kepada Tuhan (sebagaimana yang dikatakan oleh kawannya yang mukmin itu), dia akan selamat. Dia kata kalau-kalau kiamat terjadi juga. Dia sebenarnya tak rasa kiamat akan terjadi, kalaulah terjadi, katanya:

 

لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا

pasti aku akan mendapat kebaikan yang lebih baik dari ini sebagai tempat kembalian;

Dia rasa kalau ada Kiamat dan kehidupan selepas mati, dia pun akan dapat kelebihan juga.

Begitulah ramai yang sangka mereka akan selamat di akhirat. Mereka rasa mereka akan selamat kerana mereka rasa mereka telah banyak buat kebaikan. Ini kerana selalunya orang-orang kaya itu selalu juga menderma. Contohnya, kita ambil seorang wakil rakyat. Dekat-dekat pilihanraya, dia akan banyak menderma. Mereka akan tolong orang sana sini. Mereka akan tanya apakah lagi yang mereka tak beri lagi?

Mereka sebenarnya bukan ikhlas, tapi mereka mengharap mereka diundi. Tapi orang yang sama, selepas dia bukan wakil rakyat atau pemimpin, dia akan berhenti dari berbuat kebajikan. Maknanya, dia hanya buat kebajikan itu kerana hendak meraih undi. Bukan kerana nak tolong orang sangat, dan bukan kerana ikhlas kepada Allah.

Maknanya, mereka yang kaya itu jangan kita kata mereka tidak menderma, sebab mereka memang menderma. Cuma niat mereka menderma itu kita tidak tahu. Jadi, mereka sangka perbuatan menderma mereka itu akan dibalas dengan pahala besar dari Tuhan. Mereka sangka mereka akan mendapat balasan yang baik dari Tuhan, kalaulah ada hari kiamat nanti. Tapi sebenarnya mereka buat itu bukan kerana Tuhan tapi kerana hendakkan sesuatu seperti undi dari masyarakat sahaja. Jadi tidak ada pahala untuk mereka sebenarnya.

Jadi, lelaki kaya itu sangka dengan dia banyak memberi pertolongan kepada orang miskin, dia rasa dia akan mendapat balasan yang baik dari Tuhan. Tidak sama sekali. Kerana Allah hanya mengira keikhlasan seseorang. Kalau dia memberi itu kerana ikhlas, dia akan dapat balasan baik. Tapi kalau tidak ikhlas, ia tidak akan dikira sebagai pahala.

Ataupun, kalau dia ikhlas pun bahagian sedekah itu, belum tentu dia akan selamat tentang perkara lain lagi.

Satu lagi tafsir: manusia yang sebegitu sangka kerana mereka telah diberi dengan kelebihan-kelebihan yang banyak di dunia, mereka sangka mereka akan mendapat kebaikan juga di akhirat nanti. Sebab mereka rasa mereka mendapat kekayaan dan kelebihan semasa di dunia ini, kerana mereka adalah manusia terpilih oleh Allah.

Mereka sangka mereka disayangi oleh Allah, sebab itu mereka dapat kebaikan yang banyak di dunia. Dan kalau Tuhan sayang mereka semasa di dunia lagi, tentulah mereka akan dapat kelebihan di akhirat kelak.

Inilah salah faham banyak orang. Inilah juga fahaman Kristian yang baru – mereka kata carilah kekayaan yang banyak semasa di dunia. Sebab ketua agama mereka kata tanda Tuhan sayang seseorang itu adalah dengan memberi kekayaan di dunia.

Tidak begitu sebenarnya. Nikmat yang Allah berikan di dunia ini bukan sebagai tanda bahawa Allah sayang lebih kepada kita berbanding orang lain. Kekayaan dan kemiskinan sama sahaja – dua-dua adalah dugaan dari Allah. Kadang-kadang kekayaan adalah satu dugaan yang lebih dari kemiskinan. Kerana kalau kita miskin, selalunya kita akan selalu mengharap kepada Allah. Tapi selalunya, kalau dah kaya, kita lupa kepada Allah.

Semua yang kita hadapi dalam dunia ini adalah ujian. Semua yang kita ada dalam dunia ini adalah ujian. Miskin itu ujian, kaya itu ujian. Sakit itu adalah ujian, sihat juga ujian. Dilahirkan sebagai perempuan adalah ujian, juga kalau dilahirkan sebagai lelaki. Yang penting, adalah bagaimana kita hadapi ujian yang diberikan kepada kita itu? Adakah sebagai apa yang Allah kehendaki atau tidak?


 

Ayat 37: Apakah balasan dari sahabatnya yang mukmin itu?

قالَ لَهُ صاحِبُهُ وَهُوَ يُحاوِرُهُ أَكَفَرتَ بِالَّذي خَلَقَكَ مِن تُرابٍ ثُمَّ مِن نُّطفَةٍ ثُمَّ سَوّىٰكَ رَجُلًا

Sahih International

His companion said to him while he was conversing with him, “Have you disbelieved in He who created you from dust and then from a sperm-drop and then proportioned you [as] a man?

Malay

berkatalah rakannya kepadanya, semasa dia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur engkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?

 

قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ

Berkata sahabatnya yang mukmin itu kepadanya, semasa mereka sedang berbicara;

Kalau kita lihat ayat-ayat sebelum ini, iaitu semasa orang yang kafir itu menyatakan kelebihan dirinya dan kekurangan sahabatnya itu, sahabatnya tidak berkata apa-apa – iaitu Allah tak sebut tentang jawapan dia pun. Begitulah, kadang-kadang bila kita direndahkan oleh orang lain, tak boleh nak jawap apa-apa. Boleh tundukkan muka sahaja.

Tapi, apabila sahabatnya itu telah cakap pemahaman yang salah, dia sebagai seorang yang mukmin tidak boleh tahan lagi. Dia kena cakap sesuatu untuk memperbetulkan akidah lelaki itu.

Oleh itu semasa lelaki kaya itu membanggakan dirinya, dialah yang memulakan percakapan itu. Kali ini, kita diberitahu bahawa lelaki miskin yang mukmin itu pula yang memulakan percakapan antara mereka – يُحَاوِرُهُ . Seperti telah disebut sebelum ini, bukanlah bermakna, dia terus pergi dan tegur lelaki kaya itu. Mungkin percakapan mereka tentang perkara biasa-biasa sahaja – tentang cuaca, tentang keadaan semasa. Di dalam sembang biasa itu, dia menyelitkan nasihat yang dia hendak sampaikan kepada lelaki kaya itu.

Beginilah yang sepatutnya kita cakap kepada orang yang seperti orang kaya itu tadi:

 

أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِنْ تُرَابٍ

“Patutkah kamu engkar dengan Tuhan yang menciptakan kamu dari tanah?”;

Tak patut engkar kepada Allah yang menjadikan kita. Dan kita ini dijadikan dari tanah yang hina, iaitu manusia yang pertama adalah Adam, dan Adam dijadikan dari tanah.

 

ثُمَّ مِنْ نُّطْفَةٍ

“Kemudian mencipta kamu dari sperma.”; 

Allah telah mencipta manusia selepas Nabi Adam a.s. dari air mani yang hina. Dari tidak ada apa-apa kepada mempunyai segala apa yang dia ada.

 

ثُمَّ سَوَّىٰكَ رَجُلًا

“Kemudian Dia sempurnakan kamu menjadi manusia yang sempurna”;

Adakah patut setelah Allah menjadikan kamu pandai berkata-kata dan sempurna sebagai manusia, kamu kufur pula kepada Allah? Kufur itu boleh bermaksud tidak bersyukur kepada Allah. Apabila sangka kelebihan yang didapati adalah dari hasil usaha sendiri sahaja, maka itu sudah tidak bersyukur kepada Allah.

Lelaki yang seorang lagi ini menolak pemahaman orang kaya yang salah itu dan dalam waktu yang sama dia mengagungkan Allah.


 

Ayat 38:

لٰكِنّاْ هُوَ اللهُ رَبّي وَلا أُشرِكُ بِرَبّي أَحَدًا

Sahih International

But as for me, He is Allah, my Lord, and I do not associate with my Lord anyone.

Malay

Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.

 

ْلَٰكِنَّا

“Akan tetapi aku percaya dan yakin bahawa”;

Ini adalah kata-kata dakwah kawannya yang Mukmin itu:

 

هُوَ اللهُ رَبِّي

“Dialah Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan memelihara aku”;

Makna ‘Rabb’ itu bukan hanya ‘Tuhan’ sahaja, tapi yang mencipta, memiliki, memelihara dan menjaga. Kita tidaklah dijadikan oleh Allah dan Allah biarkan kita menjalani kehidupan kita begitu sahaja. Tapi Allah sentiasa memelihara kita dan mentadbir kehidupan kita.

Lelaki itu cakap dengan berakhlak sekali. Dia tidak kata Allah itu “Tuhan engkau”, tapi dia kata “Tuhan aku”.

 

وَلَا أُشْرِكُ بِرَبِّي أَحَدًا

“dan aku sekali-kali tidak akan menyekutu dengan Tuhan yang menciptakan aku dengan satu apa pun.”; 

Dia bercakap tentang dirinya. Maknanya sambil dia mengingatkan kawannya yang kaya itu, dia juga mengingatkan dirinya sendiri. Tapi dalam masa yang sama, sebenarnya dia hendak menasihati kawannya yang kaya itu. Kerana kawannya itu telah rosak akidahnya kerana terlalu mementingkan kebendaan.

Kenapa Allah kata lelaki kaya itu telah rosak akidahnya? Padahal dalam ayat sebelum ini, dia seperti percaya kepada Hari Akhirat. Dia pun tidak dikatakan menyembah berhala atau tuhan selain Allah. Tapi, Allah masih kata dia telah rosak akidah.

Akidahnya telah rosak kerana dia tidak bergantung kepada Allah. Dia hanya bergantung kepada ladang-ladang dan hartanya sahaja. Kita hendaklah berhati-hati juga dalam hal ini. Pergantungan kita hendaklah kepada Allah. Kadang-kadang kita mungkin terlalu percaya kepada benda juga.

Contohnya, kita percaya kepada pembuat kereta yang menyebabkan kereta kita berjalan lancar. Padahal, ianya dapat berjalan dengan selamat adalah kerana Allah yang benarkan; Kalau kita makan ubat dan sembuh, kadang-kadang kita kata ubat itu yang menyembuhkan, sampai lupa nak sebut bahawa Allah lah yang sebenarnya menyembuhkan kita; begitulah kejadian seharian kita. Kita lupa nak pulangkan segala nikmat yang kita ada ini kepada Allah taala.


 

Ayat 39: Dia beri nasihat kepada sahabatnya itu. Ini adalah cara menghargai nikmat yang Allah telah berikan.

وَلَولا إِذ دَخَلتَ جَنَّتَكَ قُلتَ ما شاءَ اللهُ لا قُوَّةَ إِلّا بِاللهِ ۚ إِن تَرَنِ أَناْ أَقَلَّ مِنكَ مالًا وَوَلَدًا

Sahih International

And why did you, when you entered your garden, not say, ‘What Allah willed [has occurred]; there is no power except in Allah ‘? Although you see me less than you in wealth and children,

Malay

Dan kenapa semasa engkau masuk ke kebunmu, engkau tidak berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,

 

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ

Dan kenapakah tidak, ketika kamu masuk ke dalam kebun kamu, kamu berkata begini:

Kawan yang miskin dan mukmin itu memberi nasihat kepada orang yang kaya itu. Apa kata semasa kamu masuk ke dalam kebun kamu itu, kamu mengembalikan nikmat itu kepada Allah dengan memujiNya?

 

مَا شَاءَ اللهُ

“Yang dikehendaki Allah”;

Katakanlah dan fahamlah yang semua yang berlaku adalah hanya atas kehendak Allah sahaja. Kebun dia yang hebat itu adalah kerana takdir Allah yang menjadikannya begitu.

Kita selalu sebut kalimat ini tanpa memahami maknanya. Ketahuilah yang semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah. Daripada sekecil-kecilnya, sampai ke sebesar-besarnya. Kereta kita boleh berjalan baik pun atas kehendak Allah. Kita makan ubat dan kemudian sihat juga atas kehendak Allah. Jangan kita kata ubat itu yang menyembuhkan kita.

Maka kita menghargai Allah dengan mengucapkan kalimah ma sha Allah ini. Iaitu apabila sesuatu menggembirakan kita, maka kita ucapkan kalimah ini. Apabila kita sesuatu yang hebat dan menakjubkan, kita ucapkan kalimah ini. Bukannya ucapkan ‘subhanallah’ seperti yang Orang Melayu selalu buat. Ini adalah kerana kalimah subhanallah diucapkan jika kita lihat perkara yang tidak baik.

لَا قُوَّةَ

“Tidak ada daya kekuatan”;

Kita tidak ada kekuatan langsung dari diri kita sendiri. Kita tidak ada kekuatan kita untuk menumbuhkan pokok yang kita tanam, atau tidak ada daya bagi kita untuk ajak orang berhenti singgah di kedai kita. Kedai lain banyak lagi orang boleh masuk. Kita tidak ada kuasa semua itu.

Semua itu adalah atas kehendak Allah. Bagaimana kita hendak sesuatu itu terjadi pun, tapi kalau Allah tak izinkan, ianya tidak akan terjadi.

 

إِلَّا بِاللهِ

“melainkan dengan kuasa Allah”;

Kebolehan yang kita ada adalah dari Allah. Kembalikan semuanya kepada Allah. Apa-apa kemampuan dan kejayaan yang kita ada adalah kerana Allah.

Ini adalah kata-kata orang beriman itu kepada orang kafir yang kaya itu. Allah nukilkan kata-katanya dalam Qur’an kerana kebenaran yang dikatakannya itu.

Oleh itu sebelum kita tengok kebun kita, atau sebelum kita buka kedai kita, maka katakan: مَا شَاءَ اللهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ. Apabila ada orang datang, kita baca lagi. Bila orang dah ramai, kita baca lagi. Atau apabila kita tunggu, tidak ada orang masuk, kita baca ayat yang ini juga. Apabila orang tanya macam mana dengan perniagaan kita, sebelum kita jawap, kita baca juga ayat ini. Kita mengaku bahawa kita tidak ada kekuatan apa pun.

Tapi yang terjadi sekarang adalah sebaliknya. Ramai yang tanya kepada guru samada mereka ada ‘ayat-ayat pelaris’ yang boleh mereka gunakan. Maka, guru yang ajar ajaran yang salah akan bagi ayat itu ini, benda itu dan ini. Padahal, inilah ayat pelaris kepada kita.

 

إِنْ تَرَنِ أَنَاْ أَقَلَّ مِنْكَ مَالًا وَوَلَدًا

“Jika kamu tengok aku kurang dari kamu dari segi harta dan anak”;

Ayat ini kena baca bersambung dengan ayat selepas ini baru boleh faham.

Kenapa Allah sebut ‘anak’ dalam ayat ini. Anak yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah anak lelaki. Sebab kalau anak perempuan, perkataan lain yang digunakan.

Disebut ‘anak lelaki’ adalah kerana anak lelaki adalah juga aset kepada seseorang bapa. Anak lelaki lah yang banyak menolong dalam perniagaan dan dalam kerja-kerja yang mendapatkan duit.

Kalau anak perempuan, bila dah dewasa, akan meninggalkan keluarganya untuk berkahwin dengan lelaki lain. Maka anak perempuan bukanlah satu aset dalam hal ini. Malah kena keluarkan banyak wang untuk jaga anak perempuan pula.

Ini adalah fahaman orang yang tidak beragama. Mereka hanya melihat dari keuntungan dunia sahaja. Bila tengok tidak ada kepentingan ekonomi dari anak perempuan, ramai yang tidak suka kepada anak perempuan. Padahal Islam tidak begitu. Dalam Islam, tidak ada kelebihan anak lelaki atas anak perempuan. Malah, anak perempuan lebih utama dari anak lelaki.

Lelaki kaya itu mungkin ada anak lelaki yang banyak yang dia banggakan dan dapat membantunya. Maka lelaki mukmin itu menegur salah faham dia. Kerana dia melihat kepada kebendaan sahaja dan kerana sahabatnya itu kurang dari segi kebendaan, maka dia telah pandang rendah kepada sahabatnya itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Mac 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Kahfi Ayat 35 – 39 (Bahaya fahaman materialisme)”

  1. Bukannya ucapkan ‘subhanallah’ seperti yang Orang Melayu selalu buat. Ini adalah kerana kalimah subhanallah diucapkan jika kita lihat perkara yang tidak baik.

    – bagaimana dgn suruhan menyebut subhanallah dan istighfar apabila melihat orang masuk islam secara berbondong2? mohon pencerahan.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s