Tafsir Surah Waqiah Ayat 28 – 49 (Golongan Kanan)

Ayat 28: Allah menceritakan keadaan Golongan Kanan itu.

في سِدرٍ مَّخضودٍ

Sahih International

[They will be] among lote trees with thorns removed

Malay

Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.

 

Golongan kedua ini juga dimasukkan ke dalam syurga. Dan di syurga itu ada banyak pohon Bidara. Tapi pohon bidara ada duri, bukan?

Kalimah مَّخضودٍ maksudnya tidak berduri. Di dunia ini ada pokok bidara, tapi berduri. Di syurga nanti pokok bidaranya tidak berduri. Di dunia, pokok bidara sedikit buahnya, tapi di syurga, banyak buahnya.

Jadi, kalau di syurga nanti akan ada juga buah durian, tapi ia tidak berduri juga. Semuanya untuk memudahkan ahli syurga.


 

Ayat 29: 

وَطَلحٍ مَّنضودٍ

Sahih International

And [banana] trees layered [with fruit]

Malay

Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,

 

Negeri Arab itu orangnya tinggal di padang pasir. Jadi, Allah memberitahu tentang buah-buahan yang mereka tahu sahaja. Dan sekarang disebut jenis buah pisang yang tersusun (maksudnya banyak sekali). Ia mengingatkan hal ini kepada orang-orang Quraisy kerana mereka merasa kagum dengan pohon yang besar yang rendang naungannya seperti pohon talh dan pohon bidara.

Bukanlah nak kata di syurga itu hanya ada buah-buahan itu sahaja. Tapi kalau Allah sebut buah-buahan yang mereka tak kenal, sudah jadi satu kerja lain pula nak menceritakan kepada mereka apakah buah-buahan itu.

Tapi buah-buahan itu sangat sedap dan lebih manis dari madu. Ianya lebih sedap dari buah-buahan yang kita ada di dunia ini.


 

Ayat 30:

وَظِلٍّ مَّمدودٍ

Sahih International

And shade extended

Malay

Dan naungan yang tetap terbentang,

 

Sebenarnya, matahari tidak ada di syurga maka tidak perlu untuk naungan sebenarnya kerana tidak panas pun. Tapi Allah hendak beri gambaran betapa nyamannya suasana di sana. Kerana naungan memberi isyarat keadaan yang redup dan menyenangkan.

Ada pokok di istana penghuni syurga. Pokok itu sangat luas. Dalam hadis diceritakan bahawa dari perdu pokok itu, kalau mengembara naik kuda yang paling pantas, 100 tahun tidak berhenti-henti ia belum lagi sampai ke hujung dahannya.

Bermakna, dahan itu lebih besar dari pokok itu lagi. Itu baru pokok sahaja. Kalau pokok pun sudah begitu hebat, bayangkan pula istana penghuninya!

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ أَبِي الزِّنَادِ، عَنِ الْأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ -يبلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-قَالَ: “إِنَّ فِي الْجَنَّةِ شَجَرَةً يَسِيرُ الرَّاكِبُ فِي ظِلِّهَا مِائَةَ عَامٍ لَا يَقْطَعُهَا، اقرؤوا إِنْ شِئْتُمْ: {وَظِلٍّ مَمْدُودٍ}
Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Abdullah, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Abuz Zanad. dari Al-A’raj, dari Abu Hurairah yang menyampaikannya dari Nabi Saw. yang telah bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pohon, bila seorang pengendara berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun, dia masih belum menempuhnya. Bacalah oleh kalian jika kalian suka akan firman-Nya, “Dan naungan yang terbentang luas.” (Al-Waqi’ah: 30)

Naungan itu tidak terputus, di dalamnya tidak terdapat matahari, tidak panas seperti sebelum terbitnya fajar. Jadi cuaca di syurga itu amat nyaman – tidak panas dan tidak sejuk. Begitulah yang kita suka, bukan?


 

Ayat 31:

وَماءٍ مَّسكوبٍ

Sahih International

And water poured out

Malay

Dan air yang sentiasa mengalir,

 

Air itu macam air terjun. Dan ini menambah keindahan syurga itu. Orang Arab tidak ada air yang banyak di tempat mereka. Jadi air adalah sesuatu yang amat menarik perhatian mereka. Allah hendak menarik minat mereka kepada syurga supaya mereka berharap dan mahu beriman. Ini menjadi motivasi kepada mereka.

Bukan mereka sahaja suka kepada air, orang kita yang duduk di Malaysia pun suka kepada air walaupun tempat kita banyak juga sumber air. Sebab itu kalau rumah berdekatan dengan air, ia adalah kawasan perumahan yang mahal.

Bukan sahaja orang kita, di mana-mana sahaja memang kawasan yang air itu adalah kawasan perumahan yang mahal. Itulah sebabnya kalau rumah yang ada tasik, itu adalah rumah yang mahal. Dan kalau orang kaya, mereka akan buat kolam air pula di dalam rumah mereka. Ini kerana manusia memang suka tengok air kerana ia akan menenangkan hati mereka.


 

Ayat 32:

وَفٰكِهَةٍ كَثيرَةٍ

Sahih International

And fruit, abundant [and varied],

Malay

Serta buah-buahan yang banyak,

 

Terdapat banyak buah-buahan yang beraneka ragam warnanya, yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga, dan tidak pula pernah terbersit dalam hati manusia. Ulama mengatakan ada dua jenis buah-buahan di sana. Ada jenis buahan yang kita pernah lihat di dunia dan ada jenis yang kita tidak kenal pun.

Ada satu hadis riwayat Ibn Abbas: “Pernah terjadi gerhana matahari, lalu Rasulullah SAW mengerjakan solat dan orang-orang mengerjakan solat bersama baginda. Baginda menjelaskan tentang salat. Mengenai hal itu, mereka mengatakan: “Ya Rasulullah, kami melihatmu mengambil sesuatu dari tempatmu ini, kemudian kami melihatmu tertahan?!” Baginda menjawab: “Sesungguhnya aku telah melihat Syurga, lalu aku mengambil setandan buah darinya. Seandainya aku mengambilnya, pasti kalian akan terus memakannya sepanjang sisa umur dunia ini.”


 

Ayat 33: Sifat buah-buahan itu.

لّا مَقطوعَةٍ وَلا مَمنوعَةٍ

Sahih International

Neither limited [to season] nor forbidden,

Malay

Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,

 

لَا مَقْطُوعَةٍ

Yang tidak putus-putus;

Apabila dipetik sahaja buah, akan terbit buah yang lain. Tidak akan  bekalan dan tidak akan putus musim. Tidak ada musim buah macam di dunia sekarang. Kalau buahan di dunia, tidak sentiasa ada. Ini macam kita yang kena tunggu musim durian kalau nak makan durian, bukan? Tapi di syurga, semua jenis buah itu tidak ada putus musimnya.

Dalam surah ar-Rahman, disebutkan bahawa satu pokok, ada dua jenis rasa. Dan semua rasa itu sedap-sedap belaka.

Atau kalimah لَا مَقْطُوعَةٍ boleh bermaksud bukanlah buah itu terputus dari tangkainya dan jatuh ke tanah. Macam buah di dunia ada yang jatuh ke tanah, bukan? Buah-buahan syurga tidak begitu kerana ia tetap segar di dahannya. Maknanya petik buah yang segar dari dahannya dan terus dimakan.

 

وَلَا مَمْنُوعَةٍ

Tidak terlarang untuk mendapatkannya; 

Tidak tertahan untuk mengambilnya, baik halangan seperti pagar, mahupun duri atau jarak yang jauh. Semua buah itu kita boleh ambil. Ia mudah diambil, malah kalau kita mahu, dahan buah itu akan datang sendiri kepada kita untuk kita memetiknya.

Allah sebut di sini, kerana hendak membandingkan dengan syurga yang didiami oleh Nabi Adam a.s. sebelum diturunkan ke bumi. Waktu itu, ada pokok terlarang, bukan? Itu adalah sebagai ujian kepada Nabi Adam. Jenis pokok sebegitu tidak ada lagi di syurga yang baru ini. Maka semua buah dan makanan yang ada di syurga itu boleh dimakan, tidak ada yang terlarang.


 

Ayat 34: 

وَفُرُشٍ مَّرفوعَةٍ

Sahih International

And [upon] beds raised high.

Malay

Dan tempat-tempat tidur yang ditinggikan.

 

Indah dan selesanya kehidupan dalam syurga itu. Allah hanya beri sedikit maklumat sahaja kerana kalau nak diceritakan semuanya, kita tidak akan faham. Salah satu penerangan dari Allah untuk menunjukkan keselesaan di dalamnya ada katil dan tilam yang tinggi. Tinggi itu maksudnya ‘tinggi nilainya’.

Tidak disebut di sini, tapi dengan mengambil kira ayat kemudiannya, memberitahu bahawa di atas hamparan tilam itu ada wanita-wanita yang berbaring di atasnya.


 

Ayat 35:

إِنّا أَنشَأنٰهُنَّ إِنشاءً

Sahih International

Indeed, We have produced the women of Paradise in a [new] creation

Malay

Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

 

Bidadari itu terus diciptakan jadi manusia dengan Qudrat Allah. Tidak perlu melalui proses macam manusia yang kena mengandung dulu, kemudian lahir, jadi bayi, membesar jadi kanak-kanak dan baru dewasa. Itu adalah proses Allah jadikan sebagai adat kejadian manusia di dunia sahaja dan Allah tidak terikat dengan adat atau proses itu.

Mereka tidak melalui proses itu kerana Allah jadikan secara Kun fa Yakun (Jadi, maka jadilah). Tidak ambil masa langsung, terus jadi sahaja. Allah boleh jadikan begitu kerana Allah maha berkuasa untuk melakukan apa sahaja.


 

Ayat 36:

فَجَعَلنٰهُنَّ أَبكارًا

Sahih International

And made them virgins,

Malay

Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara,

 

Tentunya bidadari itu perawan dan masih ada dara. Dan setiap kali bersetubuh, pasangan itu akan jadi perawan kembali. Ini seperti yang disebut dalam satu hadis:

قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ: أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ دَرَّاج، عَنِ ابْنِ حُجَيرة، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَهُ: أَنَطأ فِي الْجَنَّةِ؟ قَالَ: “نَعَمْ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ دَحْمًا دَحْمًا، فَإِذَا قَامَ عَنْهَا رَجَعتْ مُطهَّرة بِكْرًا”

Abdullah ibnu Wahb mengatakan, telah menceritakan kepadaku Amr ibnul Haris. dari Darij, dari Abu Hujairah, dari Abu Hurairah, dari Rasulullah Saw., bahwa Abu Hurairah pernah bertanya, “Apakah kita bersetubuh di dalam syurga?” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Ya, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, dengan dorongan yang kuat dan kuat sekali, manakala dia berdiri darinya (lalu mengulanginya), dia menjumpainya dalam keadaan perawan kembali seperti semula.

Dan kekuatan lelaki dalam syurga tidak sama dengan dunia. Kekuatan akan lebih lagi supaya mereka mampu untuk melakukan hubungan kelamin berkali-kali.

Anas meriwayatkan, Nabi bersabda: “Di Syurga, orang mukmin laki-laki akan diberi kekuatan sekian dan sekian terhadap wanita.” Lalu kutanyakan: “Ya Rasulullah, apakah dia akan mampu melakukan itu?” Baginda menjawab: “Dia diberi kekuatan seratus (kali lipat).”

Jadi, wanita-wanita yang dimasukkan ke dalam syurga jangan cemburu dengan bidadari-bidari kerana mereka juga akan jadi hebat dan diubah keadaan mereka menjadi muda dan perawan juga.

وَقَالَ عَبْدُ بْنُ حُمَيد: حَدَّثَنَا مُصْعَبُ بْنُ الْمِقْدَامِ، حَدَّثَنَا الْمُبَارَكُ بْنُ فَضَالَةَ، عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: أَتَتْ عَجُوزٌ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُدْخِلَنِي الْجَنَّةَ. فَقَالَ: “يَا أُمَّ فُلَانٍ، إِنَّ الْجَنَّةَ لَا تَدْخُلُهَا عَجُوزٌ”. قَالَ: فَوَلَّت تَبْكِي، قَالَ: “أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لَا تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ، إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ: {إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً. فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا}

Abdu ibnu Humaid mengatakan, telah menceritakan kepada kami Mus’ab ibnul Miqdam, telah menceritakan kepada kami Al-Mubarak ibnu Fudalah, dari Al-Hasan yang menceritakan bahawa pernah ada seorang nenek-nenek berkata, “Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah semoga Dia memasukkan aku ke dalam syurga.” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Hai Ummu Fulan, sesungguhnya syurga itu tidak akan dimasuki oleh nenek-nenek. Maka nenek-nenek itu pergi sambil menangis. Lalu Rasulullah Saw. bersabda: Beritahukanlah kepadanya bahawa dia tidak dapat memasukinya dalam keadaan nenek-nenek. Sesungguhnya Allah Swt. telah berfirman, “Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan ciptaan yang baru, maka Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan.” Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Turmuzi di dalam Asy-Syama-il melalui Abdu ibnu Humaid.


 

Ayat 37:

عُرُبًا أَترابًا

Sahih International

Devoted [to their husbands] and of equal age,

Malay

Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.

 

عُرُبًا

Terlampau sayang kepada suaminya; 

Yakni wanita-wanita yang sangat mencintai suaminya. Mereka menyayangi dan merindui suaminya, dan suaminya pun sedemikian terhadap mereka. Mereka pandang dengan pandangan penuh cinta kepada suaminya ahli syurga itu. Mereka tidak pandang kepada yang lain kerana pada mereka, suaminya itulah yang paling kacak dan ganteng sekali.

Maka ini adalah sesuatu yang amat menggembirakan hati suami. Kalau isteri kita sayang kita, tentulah kita pun suka dan sayang mereka, bukan? Malangnya, isteri kita di dunia ada juga pandang orang lain, bukan? Terutama kalau tengok pelakon dalam filem dan drama. Mulalah mereka berangan tidak keruan.

Dan ini juga kadangkala menjadi masalah dalam rumahtangga. Kerana mereka tengok filem dan drama dan tengok hero di dalamnya, dan mereka bandingkan suami mereka dengan hero dalam filem itu.

Dan mereka berangan-angan kalaulah mereka dapat kenal lelaki yang dalam filem itu. Suami aku tak macam ini pun…. Dan ini kadangkala terjadi kerana mereka asalnya tengok drama dalam filem tapi tak sedar diri mereka siapa. Sudah jadi isteri orang, tapi masih teringin kepada orang lain juga.

 

أَتْرَابًا

sebaya umurnya; 

Yakni, umurnya sama sentiasa 33 tahun. Setara lelaki dan perempuan. Mereka tidak jadi tua-tua. Mereka akan kekal dalam keadaan begitu, sampai bila-bila. Ad-Dahhak telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa makna yang dimaksudkan ialah usia mereka sama iaitu tiga puluh tiga tahun.

Atau ia juga bermaksud mereka sama pandai dan bijak dengan ahli syurga. Kerana kadangkala kita lihat di dunia, tidak ada persamaan intelektual antara pasangan. Seorang pandai dan seorang bijak, walaupun cantik. Jadi tidak dapat nak berkomunikasi sangat. Tapi Allah akan sediakan pasangan yang sesuai untuk ahli syurga nanti. Oleh kerana itu, mereka akan selesa sesama sendiri.

As-Saddi mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: lagi sebaya umurnya. (Al-Waqi’ah: 37) Iaitu akhlak mereka di antara sesamanya rukun dan damai, tiada permusuhan dan tidak ada rasa dengki atau iri hati di antara sesama mereka. Tidak sebagaimana halnya apa yang terjadi di antara para madu di dunia ini, yakni saling bermusuhan dan saling bersaing.


 

Ayat 38:

لِّأَصحٰبِ اليَمينِ

Sahih International

For the companions of the right [who are]

Malay

(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;

 

Jadi yang disebut sebelum ini adalah balasan bagi ahli syurga yang telah menerima Kitab Amalan mereka dari tangan kanan mereka.

Nabi bersabda: “Rombongan pertama yang masuk Syurga itu seperti bulan pada malam purnama, kemudian rombongan berikutnya seperti bintang, seperti mutiara yang mempunyai cahaya sangat terang di langit. Mereka tidak buang air kecil dan tidak juga buang air besar, tidak meludah dan tidak juga mengeluarkan kahak. Sikat mereka terbuat dari emas, keringat mereka seperti minyak kasturi, tungku mereka dengan kayu-kayu bakar yang baunya sangat harum, pasangan-pasangan mereka adalah bidadari, bentuk tubuh mereka seperti bentuk tubuh bapa mereka, Adam, dengan tinggi enam puluh depa di langit.”


 

Ayat 39:

ثُلَّةٌ مِّنَ الأَوَّلينَ

Sahih International

A company of the former peoples

Malay

Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,

 

Siapakah yang mendapat kelebihan ini? Ramaikah mereka? Allah beritahu yang ramai mereka itu dari golongan yang awal, golongan yang dulu.


 

Ayat 40:

وَثُلَّةٌ مِّنَ الآخِرينَ

Sahih International

And a company of the later peoples.

Malay

Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.

 

Dan ramai juga mereka dari golongan yang terkemudian. Maknanya sama banyak duduk di dalam syurga. Kalau golongan muqarraboon itu, ramainya dari golongan yang awal sahaja, tidak ramai dari golongan yang kemudian.

Ini adalah kerana kriteria untuk masuk golongan kanan ini lebih rendah kalau dibandingkan dengan golongan muqarraboon.


 

Ayat 41: Setelah diceritakan tentang dua golongan yang beruntung, sekarang Allah mula bercerita tentang golongan yang rugi pula. Ayat 41 – 56 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia berkenaan Ashabul Syimal.

وَأَصحٰبُ الشِّمالِ ما أَصحٰبُ الشِّمالِ

Sahih International

And the companions of the left – what are the companions of the left?

Malay

Dan puak kiri, – alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?

 

وَأَصْحٰبُ الشِّمَالِ

Dan golongan kiri;

Ini pula adalah golongan yang masuk neraka. Ada mufassir yang kata ini adalah mereka yang masuk neraka bukan kerana mereka buat syirik, tapi kerana banyak dosa sahaja. Tapi umum ayat ini menunjukkan kepada ahli neraka secara keseluruhan. Mereka ini adalah golongan yang amat celaka kerana mereka dimasukkan ke dalam neraka.

Kalau manusia atau jin itu dosa dan pahalanya sama banyak, dia akan tinggal di A’raf dahulu dan ini disebut dalam Surah al-A’raf. Iaitu duduk di tengah-tengah antara syurga dan neraka.

Itu adalah seksaan jiwa. Kerana dia tidak tahu sama ada dia akan masuk syurga atau neraka kemudian. Apabila dia melihat syurga, timbul perasaan mengharap yang sangat. Apabila melihat kepada neraka, timbul perasaan yang amat takut.

 

مَا أَصْحٰبُ الشِّمَالِ

Siapakah golongan kiri ini?

Pertanyaan ini adalah menaikkan keinginan kita untuk tahu siapakah golongan itu. Tujuan kita kenal adalah supaya jangan jadi seperti mereka. Alangkah celakanya mereka!


 

Ayat 42: Mulanya Allah ceritakan keadaan mereka di dalam neraka. Baca dan cuba bayangkan dan fikirkan: “mahukah aku duduk dalam keadaan begitu?”

في سَمومٍ وَحَميمٍ

Sahih International

[They will be] in scorching fire and scalding water

Malay

Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak

 

فِي سَمُومٍ

Di dalam wap panas;

Iaitu bahang angin yang sangat panas. Macam pressure cooker. Duduk dalam udara yang sangat panas membara. Dan angin yang beracun. Kadangkala kita duduk dalam sauna pun sudah tidak tahan, apatah lagi dalam neraka yang Allah boleh buat sangat panas.

 

وَحَمِيمٍ

dan air yang panas;

Sudahlah duduk dalam wap udara panas, kemudian dicelur dalam air yang panas pula!

Kepanasan itu bukan panas mendidih macam biasa dalam dunia. Kepanasan dalam neraka itu lagi teruk. Kerana kita telah diberitahu, kalau neraka sekarang bocor sebesar lubang jarum sahaja, wap panas yang keluar dari neraka itu boleh menghancurkan tujuh langit dan tujuh bumi.

Maknanya, neraka ini macam pressure cooker. Dan apabila dibawa neraka di Mahsyar nanti, Allah perintah supaya dipanaskan sekali ganda lagi. Air itu pula adalah dari darah, nanah, kudis dan air bangkai mayat.

Itulah juga minuman kepada penghuni neraka. Air itu duduk di kaki dia sahaja tapi tentu mereka pun tidak mahu nak minum. Tapi kerana tidak ada air, akhirnya mereka akan minum juga nanti kerana dahaga sangat.

Air itu kalau dibaling kepada matahari, matahari akan hancur. Maknanya, air itu lagi panas daripada matahari lagi. Air itu seperti superheated water. Tidak menggelegak, tapi lagi panas dari air yang mendidih. Sebab air yang mendidih itu, baru 100 darjah Celcius.

Tapi penghuni neraka duduk dalam air itu dan akan minum air itu. Tapi kenapa mereka tidak mati? Ini kerana badan penghuni neraka itu telah dinaiktaraf supaya tidak hancur duduk dalam neraka.


 

Ayat 43: 

وَظِلٍّ مِّن يَحمومٍ

Sahih International

And a shade of black smoke,

Malay

Serta naungan dari asap hitam,

 

Mereka duduk dalam naungan asap hitam. Teduhan pun panas lagi hitam. Orang Arab apabila mengembara di padang pasir, mereka mengharapkan naungan yang redup. Tapi kalau ianya hitam, tentulah ia tidak baik.

Dan asap itu lebih panas dari air yang dia duduk itu. Ini adalah azab juga. Bayangkan sekarang sekali sekala kena jerebu pun kita sudah rasa tak selesa, bukan? Bayangkan kalau asap itu sudahlah hitam, tapi panas pula. Memang tidak selesa.


 

Ayat 44:

لّا بارِدٍ وَلا كَريمٍ

Sahih International

Neither cool nor beneficial.

Malay

Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan.

 

لَا بَارِدٍ

Tidak sejuk;

Memang tidak sejuk langsung suasana di dalam neraka itu. Kita manusia memang suka suasana sejuk, bukan? Tapi tidak ada sebegitu di neraka kelak.

 

وَلا كَريمٍ

dan tidak sedap duduk di situ;

Ia tidaklah tempat yang baik untuk diduduki. Tidak mulia duduk di situ. Tidak tenang dan tidak selesa langsung.

Ini adalah ayat persenda dari Allah. Silalah duduk di tempat yang sebegitu. Kalau nak duduk di situ, buatlah dosa banyak-banyak. Nanti dapatlah tiket dan geran di rumah yang hina dina itu.


 

Ayat 45: Sekarang Allah ceritakan pula kenapakah mereka dapat duduk di neraka itu. Kerana Allah tidaklah suka-suka masukkan mereka ke sana.

إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُترَفينَ

Sahih International

Indeed they were, before that, indulging in affluence,

Malay

Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).

 

Mereka dulu sibuk dengan dunia, mencari kesenangan dunia, kemudian menikmatinya. Kalimah مُترَفينَ dari إتراف yang bermaksud tidak kisah dengan perbelanjaan kerana duit banyak. Jadi mereka akan beli macam-macam perkara yang tidak perlu sampai ia ke tahap berdosa. Jenis buang duit dan membazir. Jadi bukanlah kemewahan yang menjadi masalah, tapi kemewahan yang menyebabkan manusia lupa diri.

Di dunia ada orang kaya yang ada berpuluh-puluh kereta tapi di sekeliling banglo mereka ada orang yang hidup merempat. Kita pernah tengok, kan? Mereka tidak sedar pun tentang orang lain. Sedangkan ada orang kaya yang baik dan menolong orang-orang di sekitarnya.

Mereka lalai dengan apa yang ditawarkan oleh dunia itu, sampai mereka tidak sempat buat persediaan untuk akhirat. Mereka tidak beramal ibadat dengan banyak; mereka tidak belajar agama dengan benar; mereka tidak infak; dan macam-macam lagi. Yang mereka selalu fikirkan adalah dunia, dunia sahaja.

Dan kerana mencari kesenangan dunia, maka ada kesalahan yang mungkin mereka lakukan. Sebagai contoh, katakanlah seseorang itu tak layak beli kereta mewah, tapi hendak juga beli kereta. Maka dia berhutang untuk beli. Kemudian nak pakai duit untuk beli minyak dan sebagainya. Tapi kurang pendapatan. Apabila kurang pendapatan, ada yang sampai sanggup mencuri.

Ada pula yang bocorkan rahsia kerajaan dan terlibat dengan rasuah. Dan kalau dengan syarikat, ada yang sanggup curi rahsia syarikat dan jual. Semuanya kerana hendak hidup dalam kemewahan tapi tak mampu.

Ataupun mereka dulu yang semasa di dunia, mereka sentiasa bersenang-senang dan mencari kelazatan diri sendiri dan tidak mempedulikan apa yang dibawa oleh Rasul. Dan mereka tidak berniat untuk bertaubat.

Mereka juga tidak kisah dengan pelajaran agama yang patut mereka dalami. Kerana mereka sibuk habiskan harta dan duit ke sana sini. Dan kerana mereka tidak tahu agama, maka mereka buat amalan yang salah dengan agama. Atau mereka ditipu oleh syaitan sampai mereka ada akidah yang salah tentang Allah.

Bandingkan pula dengan orang mukmin tidak hidup sampai mewah. Mereka hidup sederhana ikut keperluan. Kerana mewah itu selalunya akan menyebabkan pembaziran.


 

Ayat 46:

وَكانوا يُصِرّونَ عَلَى الحِنثِ العَظيمِ

Sahih International

And they used to persist in the great violation,

Malay

Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,

 

Oleh kerana nak hidup senang, ada yang berhutang dan terpaksa buat dosa besar macam curi dan sebagainya. Ada juga yang ponteng kerja dan buat kerja lain. Rezeki yang dia dapat itu adalah haram kerana dia tidak amanah di dalam kerjanya yang sebenar.

Termasuk dalam dosa ini adalah dosa-dosa syirik yang dilakukan kerana tak tahu itu adalah perbuatan syirik. Mereka tidak tahu itu kerana tidak belajar. Ini kerana mereka sibuk dengan hal keduniaan sampaikan tidak luang masa untuk belajar agama. Oleh kerana itu, mereka berterusan dalam akidah syirik.

Atau mereka buat dosa-dosa bidaah yang mereka tak tahu kerana tidak belajar juga. Agama mereka tidak belajar, maka mereka ikut sahaja amalan yang diajar oleh orang seperti ustaz dan orang lain.

Ulama’ kata, bidaah itu lebih buruk dari maksiat. Kerana orang yang buat maksiat, dia tahu yang dia buat salah. Maka mungkin lama kelamaan dia sudah tidak mahu melakukan maksiat lagi, maka dia bertaubat.

Tapi orang yang melakukan bidaah, dia tidak sedar yang dia buat dosa. Bila dia tidak sedar dia buat dosa, maka tentu dia tidak teringat nak bertaubat. Kerana pada dia, kenapa nak taubat sedangkan dia buat kebaikan?

Maka dia akan berterusan melakukan bidaah dan kerana itu kalimah يُصِرّونَ yang digunakan. Ia dari katadasar ص ر ر yang bermaksud berterusan, degil. Dia sahaja sangka begitu, sedangkan amalan bidaah bukanlah amalan yang baik.


 

Ayat 47: Dan dia menolak Hari Kiamat dan Akhirat.

وَكانوا يَقولونَ أَئِذا مِتنا وَكُنّا تُرابًا وَعِظٰمًا أَإِنّا لَمَبعوثونَ

Sahih International

And they used to say, “When we die and become dust and bones, are we indeed to be resurrected?

Malay

Dan juga mereka selalu berkata: “Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?

 

وَكَانُوا يَقُولُونَ

Dan kerana mereka dulu berkata:

Allah ulang kata-kata mereka semasa di dunia dulu. Dulu semasa mereka disampaikan dengan ajaran wahyu, mereka selalu membantah. Dan mereka membantah dengan mengeluarkan pendapat mereka yang tidak didasarkan atas dalil wahyu. Apakah antara kata-kata penolakan mereka?

 

أَئِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظٰمًا

Adakah apabila kami mati dan kami jadi tanah dan tulang kami dah hancur,

Mereka menggunakan akal mereka yang cetek. Mereka tolak wahyu dengan guna akal. Mereka memang tahu yang mereka akan mati nanti. Dan mereka lihat orang yang mati itu telah hancur. Dan menggunakan akal mereka, mereka tak rasa yang tulang belulang yang telah hancur itu dapat dijadikan manusia semula.

 

أَإِنَّا لَمَبْعُوثُونَ

adakah kami akan dibangkitkan semula?;

Ini adalah kata-kata orang kafir. Mereka mendustakan dan menganggap mustahil kejadian itu akan berlaku.

Tapi orang Islam pun macam itu juga sebenarnya. Orang yang buat dosa itu, tidak minta ampun pun atas dosa yang mereka telah buat. Contohnya, tanyalah orang yang tidak solat, adakah mereka minta ampun dosa mereka tak solat itu? Maknanya, mereka seperti tidak percaya kepada akhirat. Mereka tidak takut kena hadap Allah nanti.

Tapi mereka tetap mengaku orang Islam. Tapi mereka tidak beramal seperti orang Islam. Kerana mereka tak percaya kepada neraka, maka mereka layak untuk masuk neraka, walaupun mereka lahir dalam agama Islam dan pakai nama Islam.


 

Ayat 48: 

أَوَءآباؤُنَا الأَوَّلونَ

Sahih International

And our forefathers [as well]?”

Malay

“Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)? ”

 

Mereka tambah lagi, takkan tok nenek mereka yang tulang telah jadi debu itu pun akan dibangkitkan semula? Ini kerana mereka sangka takkan datuk nenek mereka yang sudah mati lama akan hidup semula. Pada mereka, kalau masih baru mati, bolehlah kalau nak difikirkan hidup semula… tapi kalau sudah lama sangat matinya, takkan boleh?


 

Ayat 49: Allah ajar Nabi Muhammad dan kita bagaimana nak jawab soalan mereka itu. Ya, mereka pasti akan dibangkitkan.

قُل إِنَّ الأَوَّلينَ وَالآخِرينَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “Indeed, the former and the later peoples

Malay

Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,

 

قُلْ إِنَّ الْأَوَّلِينَ

Katakanlah: Sesungguhnya orang-orang terdahulu

Allah suruh Nabi jawab kepada mereka: ya, orang-orang yang terdahulu akan dibangkitkan. Tidak syak lagi mereka pasti akan dibangkitkan.

 

وَالْآخِرِينَ

dan anak cucu kamu yang akan datang kemudian;

Bukan keturunan dahulu sahaja yang akan dibangkitkan, tapi keturunan yang datang kemudian pun akan dibangkitkan. Semua sekali akan dibangkitkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s