Tafsir Surah Waqiah Ayat 51 – 64 (Cara berdoa dengan Surah Waqiah)

Ayat 51: Ini adalah tentang kumpulan yang tidak percaya kepada Hari Pembalasan.

ثُمَّ إِنَّكُم أَيُّهَا الضّالّونَ المُكَذِّبونَ

Sahih International

Then indeed you, O those astray [who are] deniers,

Malay

“Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat),

 

ثُمَّ إِنَّكُمْ أَيُّهَا الضَّالُّونَ

Kemudian kamu wahai orang-orang yang sesat

Sekarang Allah bercakap kepada orang yang sesat dalam nada yang marah. Maka ini amat menakutkan sekali kerana Allah bercakap terus kepada mereka. Ini amat menakutkan, macam guru besar terus cakap dengan anak murid. Selalunya cikgu darjah sahaja yang cakap. Tapi bila yang paling atas bercakap dengan kita, tentu ia sesuatu yang besar sekali.

 

الْمُكَذِّبُونَ

yang mendustakan;

Mereka sesat kerana mereka mendustakan kebenaran iaitu mendustakan Qur’an, tak mahu terima Qur’an dan juga hadis. Maksud ‘mendustakan’ itu adalah mengatakan sesuatu itu dusta. Kerana bila kita tidak terima Qur’an, itu bermakna kita faham Qur’an sebagai dustalah. Kerana kalau kita terima yang Qur’an itu bercakap benar, tentu kita terima, bukan?

Mereka juga mendustakan orang yang datang bawa kebenaran. Ada orang yang cuba nak ajar mereka dan ajak mereka kepada kebenaran, mereka tidak mahu dengar, mereka tolak siap-siap. Hanya kerana bawa perkara yang lain dari yang mereka faham.

Maknanya dari ayat ini, mereka yang sesat itu akan mendustakan kebenaran. Bila mereka dah sesat, maka mereka akan tolak cara hidup selain dari cara hidup mereka.

Mereka bukan sahaja sesat, tapi mereka juga menyesatkan orang lain juga. Seperti yang berlaku pada zaman Qarun. Bila dia kaya dan berpengaruh, maka ramai yang teringin nak ikut cara hidup dia. Jadi, kalau zaman sekarang, kalau yang sesat itu ada kedudukan dalam masyarakat, ia amat bahaya. Kerana mereka boleh mempengaruhi orang lain jadi sesat juga.


 

Ayat 52: Apakah yang mereka akan terima? Ayat 51 adalah mubtada’ (permulaan ayat) dan ayat 52 ini adalah khabar (apa yang hendak disampaikan).

لَآكِلونَ مِن شَجَرٍ مِّن زَقّومٍ

Sahih International

Will be eating from trees of zaqqum

Malay

Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,

 

لَآكِلُونَ مِنْ شَجَرٍ

Akan makan dari sebatang pokok

Ada juga makanan untuk mereka dalam neraka itu, bukannya tidak ada. Tapi kita kena ingat, dalam neraka itu ada api sahaja, di mana-mana. Kalau ikut logik, mana boleh pokok hidup dalam api? Tapi kalau pokok ini boleh hidup, maka ini adalah pokok yang lain macam.

 

مِّنْ زَقُّومٍ

dari buah Zaqqum;

Iaitu sejenis buah yang berduri. Dan bila ia dapat hidup dalam api neraka, maka ia pun ada kena mengena dengan api juga. Jadi ia bukanlah buah yang biasa. Kerana itu apabila diletakkan buah itu di dalam mulut, ia akan cair jadi minyak yang akan menghancurkan mulut, leher dan perut. Sanggup anda makan buah itu?


 

Ayat 53:

فَمالِئونَ مِنهَا البُطونَ

Sahih International

And filling with it your bellies

Malay

“Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok itu,

 

Mereka tetap juga akan  makan buah yang buruk dan teruk itu kerana mereka lapar sangat, sudah tidak tahan lapar.

Apabila makan buah itu, ia akan memenuhkan perut ahli neraka. Tapi bukanlah ia memenuhkan sampai jadi kenyang. Tapi ia akan jadi cairan yang amat panas dalam perut itu. Ia akan keluar dengan usus mereka sekali kerana ianya adalah buah berduri.

Jadi ini adalah makanan yang amat teruk sekali. Bukan untuk dimakan sebenarnya. Tapi sebab tidak ada makanan lain langsung dalam neraka, maka makan Zaqqum itulah sahaja.

Tapi Musyrikin Mekah mengejek-ngejek Nabi Muhammad apabila baginda sampaikan tentang Zaqqum ini. Mereka kata: “ohhh, ada juga makanan di neraka. Bolehlah kami makan kalau begitu. Ayoh kawan-kawan, mari kita makan Zaqqum….”.


 

Ayat 54: Kalau makanan dari Zaqqum, bagaimana pula dengan makanan?

فَشٰرِبونَ عَلَيهِ مِنَ الحَميمِ

Sahih International

And drinking on top of it from scalding water

Malay

“Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,

 

Air itu ada di kaki, tapi nak minta minum itu pun ambil masa seribu tahun. Seribu tahun minta dari malaikat penjaga Neraka, barulah dia hendak menoleh tanya hendak apa.

Semua ahli neraka duduk bawah satu pokok Zaqqum itu. Nak minum tak berani nak ambil minum walaupun ada pada kaki mereka sahaja. Penjaga Neraka sebanyak tujuh neraka itu hanya ada 19 orang sahaja.

Air itu sudahlah busuk, bila minum akan menghancurkan mulut, badan dan perut. Bila diberikan air itu, mereka akan memalingkan muka sebab tak lalu. Maka mereka akan dipaksa untuk minum juga oleh malaikat. Malaikat akan masukkan juga ke dalam mulut mereka.

Bila dekat sahaja air itu dengan muka, maka akan terpiat mulut macam keropok, sebab panas sangat air itu. Kepala sampai jatuh dan Malaikat akan letak balik kepala orang itu. Kemudian mereka akan dipaksa minum juga air itu.

Apabila masuk sahaja air itu ke dalam perut, pecah akan perut. Perut boleh pecah padahal badan kita dah dinaiktaraf dan tahan benda-benda lain. Maknanya panas sangat air itu.


 

Ayat 55: Walaupun air itu panas dan tidak menyenangkan, tapi bagaimana mereka akan minum nanti?

فَشٰرِبونَ شُربَ الهيمِ

Sahih International

And will drink as the drinking of thirsty camels.

Malay

“Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas”.

 

Walaupun air itu menghancurkan perut, tapi mereka akan minum dan terus minum. Ini kerana mereka dahaga sangat. Ini adalah jenis minum yang tak puas-puas. Ini adalah satu penyakit yang boleh kena kepada unta – mereka akan minum dan minum. Kerana simpanan air mereka dah habis, maka bila mereka dah jumpa air, maka mereka akan minum macam gila.

Ibnu Abbas, Mujahid, Sa’id ibnu Jubair, dan Ikrimah mengatakan bahwa al-him adalah suatu penyakit yang menghinggapi unta, akibatnya unta yang dihinggapinya selalu merasa kehausan selamanya hingga ia mati. Maka demikian pula halnya ahli neraka Jahanam, mereka tidak pernah merasa kenyang dari minum air yang panas mendidih itu.

Ini menakutkan kerana selalu kalau kita minum air yang panas, maka kita akan minum sikit-sikit, bukan? Takkan kita nak minum dengan gogok air itu pula, bukan? Tapi begitulah yang terjadi kepada ahli neraka itu. Digunakan contoh unta kerana bukankah unta bila minum, dia akan minum dengan banyak, bukan? Begitulah nanti keadaan mereka.

Jadi begitulah seksaan kepada ahli neraka. Mereka tidak mahu minum tapi mereka terpaksa minum kerana tidak ada air lain dan mereka tersangat dahaga. Penghuni neraka tidak akan pernah merasa kenyang sampai bila-bila. Mereka akan sentiasa lapar dan dahaga sahaja.


 

Ayat 56: Dalil Aqli.

هٰذا نُزُلُهُم يَومَ الدّينِ

Sahih International

That is their accommodation on the Day of Recompense.

Malay

Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.

 

Inilah dia balasan kepada mereka pada Hari Pembalasan. Tapi kalimah نزل itu sebenarnya bermaksud makanan sambutan kepada musafir yang baru sampai. Kalau orang yang baru sampai ke rumah kita, sebelum kita bagi makanan utama, kita akan bagi dia makan kacang atau air kosong sahaja sebab dia baru sampai. Maknanya ada makanan yang lebih hebat lagi.

Maka apakah makanan yang lebih hebat? Tentunya ini dalam neraka, jadi maksud lebih ‘hebat’ itu adalah lebih teruk! Maka walaupun telah diberitahu teruknya Zaqqum dan air panas itu, maknanya ada lagi yang lebih teruk! Kerana akhirat itu panjang lagi sampai bila-bila, tapi pada يَومَ الدّينِ lagi mereka dah kena teruk dah!

Ma sha Allah… semoga kita diselamatkan dari neraka kerana tidak sanggup kita nak menahan segala yang akan diberikan kepada ahlinya ini. Semoga Allah bimbing kita ke jalan yang benar dan beri kita taufik untuk kuat berpegang kepada agamaNya.

Ayat-ayat sebelum ini adalah tentang kejadian Hari Kiamat yang maha dahsyat itu. Kemudian diterangkan tentang tiga golongan:

Muqarrabin: Mereka ini adalah golongan yang tidak dihisab. Terus masuk syurga tanpa dihisab. Memang dibaca kitab amalan mereka, tapi hanya dibaca sahaja dengan mudah dan tidak ditanya banyak. Senang sahaja pertimbangan kepada mereka.

Golongan Kanan: Golongan ini menerima Kitab Amalan mereka dengan tangan kanan. Dan akan dibaca Kitab Amalan mereka dan akan dipersoalkan. Tapi mereka akhirnya selamat dan dimasukkan ke dalam syurga. Ini juga golongan yang bertuah.

Golongan Kiri: Ini adalah gologan yang malang kerana mereka akan menerima Kitab Amalan mereka dengan tangan kiri. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka.

Ada kalangan orang beriman yang masuk neraka dahulu kerana mereka ada melakukan dosa dan dosa mereka itu tidak diampunkan lagi. Ini adalah kerana mereka lalai dalam memohon ampun kepada Allah. Kita sebagai manusia dan jin, sentiasa melakukan dosa, setiap hari. Apa yang kita perlu lakukan adalah memohon ampun kepada Allah.

Masalahnya, ada yang tidak mohon ampun. Cuba kita tanya orang yang tak solat dan tak puasa. Mereka tidak pun meminta ampun atas dosa-dosa mereka.

Tapi walaupun mereka beriman, tapi mereka tidak melakukan syirik kepada Allah. Kalau mereka beriman, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu, dan apabila mereka telah diazab atas dosa-dosa mereka, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Mereka dikenali sebagai Jahannamiyyoon. Masalahnya, tak tahu berapa lamakah mereka diazab itu. Kita hendaklah bercita-cita supaya masuk syurga terus. Tak mahu lihat, hidu dan dengar neraka itu. Walaupun sesaat.

Dan ada yang masuk neraka tak keluar-keluar. Ini adalah mereka yang melakukan syirik. Ini adalah orang-orang kafir. Tapi ada juga orang Islam yang mengamalkan syirik. Dan mereka buat syirik itu adalah kerana lalai dalam belajar ilmu tentang tauhid. Menyebabkan mereka buat syirik tanpa mereka sedar. Mereka sepatutnya belajar, tapi mereka tidak belajar.


 

Ayat 57: Bermula dari ayat ini sampai ayat 74, Allah akan memperkatakan tentang hujah-hujah tentang Tauhid dan juga Hari Kebangkitan. Ini adalah kerana dua perkara inilah yang dilawan oleh Musyrikin Mekah.

نَحنُ خَلَقنٰكُم فَلَولا تُصَدِّقونَ

Sahih International

We have created you, so why do you not believe?

Malay

Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada – wahai golongan yang engkar), maka kenapa kamu tidak percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat)?

 

نَحْنُ خَلَقْنَاكُمْ

Kami lah yang menciptakan kamu;

Allah mengingatkan manusia siapa yang menjadikan mereka. Dulu mereka tidak ada dan tidak disebut orang. Tapi Allah lah yang telah mencipta mereka dan telah menyempurnakan keadaan mereka.

Musyrikin Mekah kenal Allah, bukannya tidak kenal. Mereka tahu yang Allah lah yang menjadikan alam ini dan mereka sendiri. Maknanya mereka ada Tauhid Rububiyyah. Mereka kenal Allah adalah Rabb. Tapi kerana ada fahaman salah, maka mereka telah engkar kepada wahyu yang disampaikan kepada Rasulullah SAW.

 

فَلَوْلَا تُصَدِّقُونَ

Kenapakah kamu tidak mahu membenarkan?;

Maka Allah tanya kepada mereka, kalau mereka telah terima Dia sebagai Tuhan, tahu yang Dia lah yang telah menjadikan mereka, maka kenapa mereka tidak mahu membenarkan Allah sebagai Tuhan yang hanya Dia yang wajib disembah dan diseru? Kenapa tidak puja Allah sahaja? Kenapa tidak doa terus kepada Allah sahaja? Kenapa tidak beramal dengan amalan tauhid?

Ataupun: “Kenapakah kamu tidak membenarkan Hari Kebangkitan?”. Kerana mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa Allah boleh menghidupkan mereka semula apabila mereka telah mati dan mereka telah menjadi tulang belulang. Dalam ayat ini, Allah kata, Dia telah menjadikan manusia dan alam ini daripada tidak ada kepada ada. Tentulah Dia juga boleh membangkitkan semula manusia itu.


 

Ayat 58: Dalil kenapa kita kena membenarkan Allah sebagai Tuhan. Selepas ini Allah akan bertanya berkali-kali untuk mensabitkan kebenaran. Iaitu untuk mensabitkan QudratNya.

أَفَرَأَيتُم مّا تُمنونَ

Sahih International

Have you seen that which you emit?

Malay

(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?

 

Kalimah تُمنونَ dari م ن ي iaitu sesuatu yang ditumpahkan, dipancarkan. Dan perkataan ‘mani’ diambil dari kalimah ini. Cuba kamu fikirkan sikit. Ini antara suami dan isteri apabila mereka bersama. Bermakna, seorang suami memasukkan air mani ke dalam rahim isterinya. Tidakkah kamu mahu perhatikan? Tidakkah kamu memikirkan?


 

Ayat 59: Pertamanya Allah suruh lihat dulu diri sendiri.

ءأَنتُم تَخلُقونَهُ أَم نَحنُ الخٰلِقونَ

Sahih International

Is it you who creates it, or are We the Creator?

Malay

Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?

 

ءأَنْتُمْ تَخْلُقُونَهُ

Kamukah yang menciptakan bayi itu?;

Adakah kamu yang menjadikan bayi kamu dari sperma yang ada dalam mani itu? Memang air mani itu dari kamu, diletakkan di tempat yang sepatutnya, tapi adakah pasti ia akan terjadi? Adakah kamu yang jadikan air mani itu?

 

أَمْ نَحْنُ الْخَٰلِقُونَ

atau Kamikah yang menciptakan?;

Apabila kita dengar ayat yang sebegini, kita kena cakap: “bal anta ya Rabb” – Bahkan Kamulah Tuhan yang menciptakan bayi itu. Kita buat macam mana pun tidak akan menjadikan seorang bayi. Ada empat soalan dan empat-empat soalan itu kena jawap macam itu.

Allah beri hujah yang pertama: Siapa yang jadikan kamu, wahai manusia? Adakah air mani kamu itu sendiri boleh jadi anak dengan sendirinya? Tentu tidak, bukan? Allah lah yang menjadikan persenyawaan dalam rahim ibu itu dan memberikan sumber makanan untuknya.

Maka kenapa kamu tidak menghargai Allah? Sedangkan Dia yang menjadikan kamu? Kenapa kamu tidak sembah Dia sahaja? Jadi ini adalah hujah tauhid.

Dan kalau berkenaan Hari Kebangkitan: Allah yang boleh menjadikan manusia dari tidak ada kepada ada, tentunya boleh menjadikan manusia semula di Hari Akhirat nanti.

Ada kisah seorang lelaki yang mengadu tidak mendapat anak walaupun telah berkahwin selama lapan tahun. Jadi dia bertanya, adakah ada ayat-ayat yang boleh menyebabkan dia dapat anak? Jadi diajar kepadanya untuk baca surah Waqiah sampai kepada ayat ini. Apabila sampai kepada ayat ini, maka berdoalah kepada Allah untuk mengurniakan anak kepada kita. Bukannya baca ayat ini berkali-kali.

Maknanya, kita baca ayat yang berkenaan dan kemudian kita kena doa. Jangan baca sahaja ayat Qur’an tanpa disebutkan kehendak kita. Kerana kalau kita baca ayat ini, ia adalah ‘pernyataan’, bukannya ‘permintaan. Jadi ianya bukan ayat doa. Maka kita kenalah sebut apa yang kita hendak.

Malangnya, ramai orang kita yang tidak faham perkara ini maka mereka baca sesuatu ayat itu berulang-ulang kali dengan harapan hajat mereka akan menjadi. Tapi dalam ayat-ayat itu tidak ada pun doa. Malangnya, ayat-ayat itu pula diberi oleh para ustaz juga. Maknanya, ustaz itu pun tidak faham perkara ini.

Jadi, kalau kita hendakkan anak, maka tahulah kita dari ayat ini bahawa Allah lah yang menjadikan zuriat. Maka, kita kena minta dengan Dia. Bukan minta dengan makhluk lain. Ada fahaman syirik yang berdoa kepada Nabi Zakariya a.s. untuk mendapatkan anak. Samada minta terus kepada Nabi Zakariya atau menjadikan baginda sebagai wasilah untuk menyampaikan doa. Kedua-duanya adalah syirik seperti banyak kali kita telah jelaskan dalam penulisan blog ini, cara begitu adalah syirik dalam berdoa.

Maka, dalam kita berdoa, selepas kita membaca ayat ini, kita berdoalah, contohnya seperti ini: “Apalah kiranya Tuhan, kalau Kamu anugerahkan anak kepadaku. Kalau Kamu memberi anak kepadaku, maka betullah Engkau Tuhanku. Sekiranya Engkau tidak memakbulkan doaku, Kuasa atas Engkaulah Tuhanku. Tapi kalau Engkau tidak memakbulkan doakan ini, kepada siapalah lagi aku hendak bermohon?”

Ayat itu tidak penting susunannya, kerana pendoa boleh susun ikut kehendak dia. Asalkan dia ikhlas dalam doanya. Jangan terikat dengan kalimah doa orang lain. Buat ayat sendiri supaya lebih ikhlas dan lebih faham dengan doa itu.

Dan tidak kisah pakai bahasa mana-mana pun. Tuhan kita tahu semua bahasa dan Dia tahu apa yang kita hendak. Tidak perlu nak menggunakan bahasa Arab kalau tidak faham. Allah tahu bahasa apapun yang kita baca.

Ikut kitalah berapa kali kita hendak baca. Selagi tidak dimakbulkan, selagi itulah kita baca. Kita kena ingat, doa kepada Allah itu ‘wajib’, tapi ‘harus’ sahaja bagi Allah untuk memakbulkannya atau tidak. Terpulang kepada Allah untuk memakbulkan doa kita atau tidak. Jadi kalau Allah tidak makbulkan lagi, maka teruslah berdoa kepada Allah. Jangan putus harapan.


 

Ayat 60: Allah beri penekanan lagi.

نَحنُ قَدَّرنا بَينَكُمُ المَوتَ وَما نَحنُ بِمَسبوقينَ

Sahih International

We have decreed death among you, and We are not to be outdone

Malay

Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan;

 

نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ

Sesungguhnya Kamilah yang menentukan kematian diantara kamu;

Sebagaimana Allah yang menentukan bilakah manusia akan lahir, maka bilakah manusia akan mati, Allah juga yang tentukan. Kita tidak boleh nak tahu bilakah ia akan terjadi. Kita pun tidak tahu apa yang terjadi sebentar lagi kepada kita.

Rahsia kematian adalah salah satu dari kunci-kunci rahsia Allah. Ada orang mati di hospital di hadapan doktor-doktor paling pakar pun; malah doktor itu sendiri akan mati akhirnya.

Dan manusia tidak tahu bilakah dan di manakah dia akan mati. Ada yang mati pada umur 5 tahun, ada yang 30 tahun dan ada yang mati pada umur 60 tahun. Memang ajal dan maut di tangan Allah. Kalau kita tengok air mani itu pun, sudah ada yang mati. Ini adalah kerana dalam air mani itu, ada banyak sperma, bukan? Tapi tidak semua menjadi anak, bukan?

Antara kehidupan di dunia ini dan kehidupan di akhirat, di tengahnya adalah kematian.

 

وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ

Dan tidaklah Kami dapat dilemahkan oleh sesiapapun;

Allah tidak akan dilemahkan oleh sesiapapun dalam urusanNya mencabut nyawa. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang Allah. Kalau Allah nak hidupkan seseorang, dia pasti hidup; kalau Allah nak matikan seseorang, dia tetap mati walaupun satu dunia tahan dia dari mati. Tidak ada yang mati awal atau mati lambat dari yang ditentukan oleh Allah.

Dan juga tidaklah kerana Allah sayang kepada seseorang, tidak dimatikan orang itu. Atau kerana Allah kena ugut, tak jadi nak matikan orang itu. Tidak sekali-kali. Tiada ada sesiapa yang dapat menghalang atau menahan Allah dari melakukan sesuatu – samada dalam bentuk pujukan atau ugutan. Kalau dengan manusia, bolehlah kita nak pujuk atau ugut, tapi dengan Allah, tidak sama sekali.


 

Ayat 61: Tidak ada sesiapa yang boleh lemahkan Allah untuk melakukan apa sahaja.

عَلىٰ أَن نُّبَدِّلَ أَمثٰلَكُم وَنُنشِئَكُم في ما لا تَعلَمونَ

Sahih International

In that We will change your likenesses and produce you in that [form] which you do not know.

Malay

(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu), dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.

 

عَلَىٰ أَنْ نُّبَدِّلَ أَمْثَٰلَكُمْ

untuk tukarkan kamu dengan orang-orang yang serupa dengan kamu; 

Dan Allah ada kuasa untuk ganti kita dengan sesiapa sahaja yang Allah hendak. Jangan kita sangka yang kita ini hebat sangat.

Dan memang kita akan digantikan pun. Nanti kita akan mati dan diganti dengan makhluk manusia yang seperti kita juga. Iaitu anak cucu kita.

 

وَنُنْشِئَكُمْ فِي مَا لَا تَعْلَمُونَ

dan menciptakan kamu dalam keadaan yang kamu tak tahu;

Iaitu di akhirat kelak nanti Allah akan tukar rupa manusia ikut kehendak Dia. Ada yang rupa manusia, rupa khinzir, rupa kera dan sebagainya. Kita tidak tahu kerana Allah boleh tukar bergantung kepada dosa dia di dunia.

Kalau di dunia, Allah jadikan kita dengan cara dibesarkan dulu di dalam rahim ibu; tapi apabila Allah bangkitkan makhluk balik, Allah tidak perlu melalui proses yang di dunia. Proses yang di dunia Dia juga yang buat, maka Dia boleh tukar kepada proses yang lain. Kerana itu nanti kebangkitan semula manusia adalah segera sahaja, seperti cendawan tumbuh.

Dan bila Allah jadikan kita nanti, keadaan kita tidak sama dengan keadaan kita semasa di dunia. Roh kita adalah roh yang sama, tapi tubuh kita sudah tubuh lain dah. Dan tubuh ini tidak sama dengan tubuh yang di dunia. Sudah ada naiktaraf.

Di dunia, banyak hijab yang menghalang kita dari mendengar dan melihat perkara ghaib. Nanti apabila kita bangkit di akhirat, kita boleh lihat perkara ghaib seperti syurga dan neraka, malaikat dan Allah.

Di dunia, kulit dan anggota badan kita tidak boleh bercakap, bukan? Tapi di akhirat kelak Allah akan jadikan mereka dapat berkata-kata. Mereka akan jadi saksi di atas apa yang kita telah lakukan semasa di dunia.

Di dunia, kita hidup sampai ke satu waktu tertentu sahaja. Bila dah tua sangat, maka akan mati. Tapi di akhirat kelak, Allah jadikan tubuh kita tidak mati-mati.

Kalau di dunia, manusia boleh terima ke satu tahap sakit sahaja. Kalau lebih lagi dia akan mati. Tapi di akhirat kelak, penghuni neraka boleh menerima azab yang amat teruk, tapi dia tidak mati-mati. Ini adalah kerana Allah nak beri azab sungguh-sungguh. Kalau dia kena sikit dan mati, tidaklah dia boleh diazab berkali-kali dengan teruk, bukan?

Begitu juga dengan penghuni syurga, tubuhnya dah lain kerana tubuh mereka akan dinaiktaraf untuk bersedia menerima nikmat yang teramat banyak dalam syurga itu. Pertamanya mereka akan dimudakan semula. Dan mereka tidak akan naik umur lagi. Sudahlah mereka tidak akan jadi tua, tubuh mereka lagi kuat dari tubuh dunia. Kekuatan seks kena lebih kerana ada banyak bidadari; begitu juga dengan selera makan akan lebih lagi kerana banyak sangat makanan di syurga. Kalau dengan tubuh kita sekarang, tak mampu nak menerima segala nikmat itu. Kalau Allah tak naiktaraf badan penghuni syurga, boleh mati kerana tidak tahan dengan nikmat yang banyak! Tengok nikmat yang banyak sangat dalam syurga pun boleh sakit jantung, agaknya.

Atau, ini juga boleh menceritakan keadaan di dunia. Kadang-kadang orang kena penyakit, dia akan macam jadi lain dah. Atau lepas kemalangan, dah tak sama dengan dulu. Cakap pun mungkin tidak sama lagi. Atau orang kena stroke dah tak sama macam dulu. Allah mampu nak buat segalanya. Allah boleh tukar keadaan diri kita. Terpulang kepada Allah dan tidak ada sesiapa yang boleh halang.


 

Ayat 62: Adakah kamu sangsi?

وَلَقَد عَلِمتُمُ النَّشأَةَ الأولىٰ فَلَولا تَذَكَّرونَ

Sahih International

And you have already known the first creation, so will you not remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan.

 

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ النَّشْأَةَ الْأُولَىٰ

Sesungguhnya kamu sudah tahu tentang penciptaan kamu dahulu; 

Iaitu kita sudah pun tahu bahawa Allahlah yang menciptakan kita semua sebelum ini daripada tidak ada kepada ada. Iaitu semasa kelahiran kita dulu. Sebelum itu kita tidak pernah disebut pun. Allah telah menciptakan kita dari sperma yang hina dan dijadikan di dalam rahim ibu. Selepas kita dijadikan, Allah memberikan kita pendengaran, penglihatan dan hati (akal) kepada kita semua.

Atau, ia juga boleh bermaksud kejadian kita sebelum dilahirkan. Iaitu telah ada perjanjian kita semasa di alam roh itu untuk menyembah Allah taala sahaja. Jadi Allah mengingatkan kita tentang perkara itu. Ini disebut dalam A’raf:172. Kamu dah lupakah?

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”.

 

فَلَوْلَا تَذَكَّرُونَ

jadi kenapakah kamu tidak mahu mengambil peringatan?; 

Mengapa kita tidak mahu mengambil peringatan bahawa kalau Allah boleh buat kita semua dari tidak ada kepada ada, tentulah lagi mudah untuk Dia mengulangi semula penciptaan kita. Tentulah Allah boleh menghidupkan semula manusia dan semua makhluk itu. Dalam ayat lain, Allah berfirman:

{وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ}

Dan Dialah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya. (Ar-Rum: 27)

Dan mengapa kamu tidak mengambil peringatan dengan perjanjian yang kamu telah buat seperti yang disebut dalam A’raf:172 itu?


 

Ayat 63: Soalan yang seterusnya. Tadi tentang diri sendiri, sekarang tentang rezeki pula.

أَفَرَأَيتُم مّا تَحرُثونَ

Sahih International

And have you seen that [seed] which you sow?

Malay

Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?

 

Sebelum ini disebut tentang ‘tanam’ air mani dalam rahim wanita. Dan sekarang tentang tanam benih dalam tanah pula. Iaitu usaha kita mencangkul tanah, membajak dan menaburkan benih-benih pada tanah itu. Biji benih itu memang kamu yang letakkan dalam tanah, bukan? Tapi selepas itu bagaimana?


 

Ayat 64:

ءأَنتُم تَزرَعونَهُ أَم نَحنُ الزّٰرِعونَ

Sahih International

Is it you who makes it grow, or are We the grower?

Malay

Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?

 

ءأَنْتُمْ تَزْرَعُونَهُ

Kamukah yang menumbuhkan pokok itu,

Selepas kita bajak tanah, korek tanah dan kemudian kita tanam benih, apa kita boleh buat? Adakah lagi usaha dari kita untuk menjadikan tumbuhan itu terus tumbuh? Selain dari siram tanah itu masa ke semasa, kita tidak boleh buat apa. Kerana kita tidak ada kemampuan. Kita tidak boleh nak picit-picit benih itu untuk keluarkan cambahnya. Kita pun tahu perkara ini, bukan?

 

أَمْ نَحْنُ الزَٰرِعُونَ

atau Kamikah yang menumbuhkannya?;

Kita tanam pokok atau tumbuhan pada tanah, kemudian kita letak baja dan air. Tapi lepas itu apa kita buat? Kita balik rumah. Bukan kita yang menumbuhkannya. Siapakah yang berkuasa menumbuhkan seribu benih itu dalam masa serentak kalau bukan Allah sahaja. Adakah tanah yang kita tanam itu kita punya? Bagaimana dengan cahaya matahari? Bagaimana dengan hujan yang diperlukan oleh tanaman itu?

Jadi Allah yang telah beri kesuburan kepada tanaman itu. Dan dengan tanaman itu kita makan untuk melangsungkan hidup kita. Maka hendaklah kita sembah dan seru Dia sahaja. Inilah tauhid.

Dan ia juga memberi isyarat kepada kehidupan semula. Sebagaimana benih ditanam itu akan keluar sebagai tumbuhan, maka nanti semua mayat yang ditanam di dalam tanah juga akan keluar sebagai makhluk baru nanti untuk diadili di Mahsyar kelak.

Jadi soalan ini juga perlu dijawap “bal anta ya Rabb“, “bahkan Kamulah yang menumbuhkan wahai Tuhanku!” Selepas baca ayat ini, bacalah doa kepada Allah. Itulah caranya; bukan dibaca berulang-ulang kali.

Menanam ini seperti berniaga juga. Kerana apa yang kita tanam, sebenarnya untuk kita jual kemudiannya selain dari kita makan sendiri. Jadi kalau nak doa supaya perniagaan kita berjaya, kita gunakan ayat ini.

Untuk tujuan perniagaan, kita terjemah begini: “Tidakkah kamu perhatikan perniagaan kamu itu? Kamukah yang mengajak orang datang membeli di kedai kamu, atau Akukah yang menggerakkan hati orang untuk membeli di kedai kamu?” Kalau di pasar selalunya, ramai lagi yang menjual barang yang sama dengan apa yang kita jual. Tapi kenapa orang akan singgah di kedai kita? Bukan boleh paksa orang nak singgah.

Bermakna, Tuhanlah yang mencampakkan hati orang untuk singgah ke kedai kita. Maka, selepas baca ayat ini, dan menjawap “bal anta ya Rabb“, bacalah doa sebegini:

“Apalah kiranya Tuhan, kalau Kamu anugerahkan rezeki kepadaku. Kalau kamu memberi rezeki kepadaku, maka betullah Engkaulah Tuhanku. Sekiranya Engkau tidak memakbulkan doaku, Kuasa atas Engkaulah kerana Engkau Tuhanku. Tapi kalau Engkau tidak memakbulkan doakan ini, kepada siapalah lagi aku hendak bermohon?”.

Atau boleh ubah dengan apa sahaja permintaan yang kita hendak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Disember 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Rosman

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s