Tafsir Surah Ahzab Ayat 34 – 35 (Jadikan majlis ilmu)

Ayat 34: Telah disebut yang wanita itu tempatnya di rumah. Tetapi buat apa di rumah? Bukanlah hanya duduk-duduk melepak sahaja.

وَاذكُرنَ ما يُتلىٰ في بُيوتِكُنَّ مِن ءآيٰتِ اللهِ وَالحِكمَةِ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ لَطيفًا خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember what is recited in your houses of the verses of Allāh and wisdom.¹ Indeed, Allāh is ever Subtle and Acquainted [with all things].

  • The teachings of the Prophet (ṣ) or his sunnah.

(MELAYU)

Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan hikmah (sunnah nabimu). Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.

 

وَاذكُرنَ ما يُتلىٰ في بُيوتِكُنَّ

Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu

Di rumah itu hendaklah membaca dan tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an yang telah diwahyukan kepada manusia. Inilah aktiviti yang perlu dijalankan di rumah. Oleh itu sesebuah keluarga haruslah mewujudkan suasana ilmu di rumah. Kenalah ada pengajian dan tazkirah dari masa ke semasa.

Kalimah اذكُرنَ dari segi bahasa ada dua maksud: ‘ingat sendiri’ dan ‘sampaikanlah’. Maka para isteri Nabi ﷺ kena ingat ajaran Al-Qur’an itu dan kemudian kena sampaikannya kepada manusia yang lain. Kalau para wanita zaman sekarang tentunya kepada anak-anaknya kerana itulah tanggungjawab seorang ibu. Kalau selain dari anak-anak, itu adalah bonus.

Dalam kes para isteri Nabi ﷺ, mereka ada tanggungjawab yang lebih dari wanita yang lain kerana mereka memang kena sampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ dan sunnah yang terjadi di dalam rumah mereka. Ini adalah kerana umat Islam perlu juga mengetahui bagaimanakah amalan Nabi ﷺ di rumah dan hanya mereka sahaja yang boleh tahu.

Maka ayat ini juga menjadi dalil bahawa kena sampaikan ilmu dari Al-Qur’an dan Sunnah yang kita telah tahu. Kerana ayat-ayat sebeginilah yang menyebabkan para sahabat tidak senang duduk goyang kaki di rumah mereka. Mereka menjalankan tugas menyebarkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ dengan mengembara ke merata dunia untuk menyampaikan wahyu Allah ‎ﷻ kepada manusia. Kerana itulah banyak jenazah mereka bukannya di Tanah Arab tetapi di negara asing kerana mereka mengembara menyampaikan dakwah.

 

مِن ءآيٰتِ اللهِ

dari ayat-ayat Allah

Tadabburlah ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Lakukannya sama ada bersendirian ataupun dalam bentuk perbincangan. Jadi kalau suami dan ayah orang berilmu, ini adalah satu kelebihan kerana pengajian boleh terus dilakukan. Kerana itu kena pilih suami yang ada keinginan kepada agama. Ini supaya mereka rajin belajar agama dan kemudian sampaikan kepada anak isteri.

Dan ini ada satu kelebihan kepada para isteri Rasulullah ﷺ, ayat-ayat Al-Qur’an itu diturunkan kepada Nabi ﷺ kadangkala ketika baginda di rumah bersama mereka. Malah pernah satu ayat diturunkan kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda bersama dengan A’isyah رضي الله عنها di dalam satu selimut. Jadi Allah ‎ﷻ ingatkan kelebihan itu kepada para isteri Nabi ﷺ dalam ayat ini.

 

وَالحِكمَةِ

dan hikmah

‘Hikmah’ bermaksud Sunnah Nabi ﷺ iaitu bagaimana cara Nabi ﷺ mempraktikkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ dalam kehidupan. Ini dari segi hadith baginda ataupun perbuatan dan akhlak baginda yang menjadi sunnah buat kita. Banyak perkara yang boleh menjadi ikutan dan amalan bagi kita umat manusia. Dalam surah ini juga telah disebut bagaimana Rasulullah ﷺ itu menjadi uswah (contoh ikutan) bagi manusia.

Maka kenalah tahu bagaimana baginda menjalani kehidupan baginda supaya kita boleh ikut. Ini memerlukan pembelajaran berterusan. Walaupun hidup Nabi ﷺ pendek sahaja sebagai seorang Rasul (23 tahun) namun amat banyak sekali pengajaran yang baginda sampaikan.

Memang para isteri Nabi ﷺ menjadi guru kepada golongan umat Islam kerana mereka sahaja yang tahu apa yang baginda lakukan di dalam rumah.  Kelebihan ini hanya ada pada mereka dan kerana itu para sahabat dan Tabiin selalu datang berjumpa dan rujuk dengan para isteri Nabi ﷺ untuk bertanyakan kepada mereka apakah amalan Nabi ﷺ di rumah.

 

إِنَّ اللهَ كانَ لَطيفًا خَبيرًا

Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ sedar cabaran yang mereka alami dalam kehidupan menjadi isteri Rasulullah ﷺ. Cabaran bagi mereka tidak sama dengan isteri lelaki biasa. Banyak perkara yang mereka kena jaga dan perhatikan kerana mereka menjadi contoh teladan bagi semua manusia.

Dan Allah ‎ﷻ Maha Tahu apa yang mereka lakukan. Maka kalau mereka melakukan kebaikan, maka mereka mendapat balasan pahala yang berganda. Maka ini adalah motivasi kepada mereka untuk terus melakukan kebaikan yang banyak.

Habis Ruku’ 4 dari 9 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 35: Surah Ahzab turun sebelum Surah Nur. Ada kaitan rapat antara dua surah ini kerana dalam kedua-dua surah ini Allah ‎ﷻ mengajar akhlak wanita. Jadi ayat yang kita akan baca ini adalah ayat yang amat penting.

Ayat ini memberi isyarat bahawa mudah sahaja untuk memasuki syurga bagi wanita. Sama sahaja kedudukan lelaki dan wanita dalam Islam. Tidak ada lebihnya kedudukan lelaki kalau dibandingkan dengan wanita. Kedua-duanya ada peluang untuk masuk syurga.

Dan ayat ini akan banyak menyebut tentang orang lelaki mukmin dan wanita mukminah. Ini menunjukkan yang ayat-ayat dalam Surah Ahzab ini untuk semua orang, bukannya untuk Nabi ﷺ dan untuk para isteri Nabi ﷺ sahaja. Semua sekali disampaikan dengan ayat-ayat Al-Qur’an ini. Semua sekali kena ikut ajaran yang disampaikan.

إِنَّ المُسلِمينَ وَالمُسلِمٰتِ وَالمُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ وَالقٰنِتينَ وَالقٰنِتٰتِ وَالصّٰدِقينَ وَالصّٰدِقٰتِ وَالصّٰبِرينَ وَالصّٰبِرٰتِ وَالخٰشِعينَ وَالخٰشِعٰتِ وَالمُتَصَدِّقينَ وَالمُتَصَدِّقٰتِ وَالصّٰئِمينَ وَالصّٰئِمٰتِ وَالحٰفِظينَ فُروجَهُم وَالحٰفِظٰتِ وَالذّٰكِرينَ اللهَ كَثيرًا وَالذّٰكِرٰتِ أَعَدَّ اللهُ لَهُم مَّغفِرَةً وَأَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the Muslim men and Muslim women, the believing men and believing women, the obedient men and obedient women, the truthful men and truthful women, the patient men and patient women, the humble men and humble women, the charitable men and charitable women, the fasting men and fasting women, the men who guard their private parts and the women who do so, and the men who remember Allāh often and the women who do so – for them Allāh has prepared forgiveness and a great reward.

(MELAYU)

Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.

 

إِنَّ المُسلِمينَ وَالمُسلِمٰتِ

Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim,

Selalunya apabila Allah ‎ﷻ menyebut ‘muslimin’, maka ia sudah termasuk golongan ‘muslimat’ sekali. Jadi sebenarnya dari segi bahasa, Allah ‎ﷻ tidak perlu sebut pun golongan Muslimat. Tetapi di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ sebut khusus untuk mereka juga, jadi para wanita kena memerhatikan perkara ini dengan tawajjuh (fokus). Ini menunjukkan ada penekanan kepada mereka dalam ayat ini sampaikan Allah ‎ﷻ sebut secara khusus.

Ini juga menunjukkan yang Islam bukanlah agama yang mendiskriminasi wanita. Itu adalah kata-kata dari orang yang jahil sahaja.

Muslim adalah orang yang menyerahkan sepenuhnya diri mereka kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tahu tentang wahyu dan taat kepada wahyu seperti yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Mereka telah membuat keputusan untuk menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim sejati. Bukan setakat nama sahaja dan bukan setakat ditulis ‘Muslim’ sebagai agama dalam Kad Pengenalan sahaja.

 

وَالمُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ

laki-laki dan perempuan yang mukmin, 

Mukmin pula adalah mereka yang mempunyai ‘iman yang sempurna’ kepada perkara-perkara yang perlu diimani. Iman yang sempurna adalah iman yang tidak ada syirik di dalamnya. Kerana ada dari kalangan orang kita yang berkata mereka beriman dengan itu dan ini, tetapi dalam masa yang sama, mereka ada juga kepercayaan kepada fahaman syirik dan mereka itu bukanlah ‘orang mukmin’.

Dan untuk tahu apakah ‘iman sempurna’ itu, memerlukan kemahiran ajaran wahyu dan kenalah belajar. Dan pelajaran utama yang mesti diketahui adalah tafsir Al-Qur’an. Kerana kalau tidak ada hubungan dengan Al-Qur’an ini, maka kita tidak faham apakah yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan dalam Al-Qur’an ini, maka sia-sialah segala ilmu dan segala amalan. Kerana mereka itu adalah golongan yang masuk neraka.

 

وَالقٰنِتينَ وَالقٰنِتٰتِ

laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya,

Qanit adalah orang yang bersedia untuk ikut arahan. Kalau diberi arahan, mereka tidak mempersoalkan arahan itu. Mungkin mereka tidak faham apakah hikmah dari sesuatu hukum dan arahan Allah ‎ﷻ, namun itu tidak menghalang mereka untuk taat kepadanya.

Maksudnya mereka bukanlah orang yang setakat ‘percaya’ sahaja, tetapi mereka sanggup untuk membuktikan kepercayaan iman mereka itu dengan melakukan ketaatan. Bukanlah mereka pandai sahaja bercakap tentang agama, tetapi mereka sendiri mengamalkannya. Ada ramai orang yang kononnya beriman, tetapi mereka tidak pun beramal ibadat. Itu hanya mereka yang pandai cakap di mulut sahaja namun iman mereka tidak benar.

 

وَالصّٰدِقينَ وَالصّٰدِقٰتِ

laki-laki dan perempuan yang benar,

Sidiq adalah ‘yang benar’. Maka saadiq adalah mereka yang ‘membenarkan agama’. Apabila kebenaran datang kepada mereka, mereka membenarkan dan mereka menerimanya.

Ini penting kerana ada sahaja manusia yang menolak kebenaran apabila sampai kepada mereka. Ini berlaku apabila ia berlawanan dengan nafsu mereka dan pemahaman asal mereka.

Sebagai contoh, ada kalangan orang kita yang sudah belajar agama di pondok atau madrasah atau di universiti. Dan apabila dibawa ajaran Sunnah kepada mereka, mereka tidak terima sedangkan apa yang disampaikan dalam ajaran Sunnah adalah ajaran dari Al-Qur’an dan Hadis. Tapi kerana berlainan dengan fahaman yang mereka telah belajar, maka mereka menolak. Ini amat bahaya.

Orang siddiq juga bermaksud orang yang benar dalam kehidupan mereka. Apa yang dalam hati mereka dan perlakuan mereka adalah sama. Mereka melakukan perbuatan yang sepertimana mereka bercakap perkara yang baik. Mereka tidak menipu dalam kehidupan mereka dan mereka tidak hipokrit.

 

وَالصّٰبِرينَ وَالصّٰبِرٰتِ

laki-laki dan perempuan yang sabar,

Orang yang sabar mendapat kedudukan yang tinggi. Ini adalah kerana susah untuk bersabar sebenarnya. Kerana kita ada banyak kehendak dan apabila perkara yang terjadi tidak seperti yang kita ingini, maka ada kalanya kita memberontak.

Maka Allah ‎ﷻ sebutkan kelebihan mereka yang sanggup sabar. Sabar dengan apa yang Allah ‎ﷻ takdirkan untuk kita dan sabar mengerjakan amal ibadat. Sabar dalam melakukan dakwah dan kemudian sabar dengan kata-kata manusia yang melawan kita apabila kita sampaikan ajaran yang benar. Kerana ada sahaja yang akan menentang dan akan menggunakan kata-kata yang buruk.

Mereka itu ‘sabar dalam taat’. Mereka tidak terpesona dengan keduniaan dan tidak tertipu dengan kehendak nafsu. Kerana untuk mendapat kenikmatan di akhirat kelak, kena bersabar dengan dugaan-dugaan di dunia ini. Sebagai contoh, sabar tidak minum arak di dunia dan nanti akan dapat arak di akhirat; sabar tidak melakukan zina di dunia dan di akhirat nanti akan dapat bidadari.

 

وَالخٰشِعينَ وَالخٰشِعٰتِ

laki-laki dan perempuan yang khusyu’, 

Iaitu mereka yang takut untuk menderhaka kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka kenal Allah ‎ﷻ dan kerana itu mereka takut kepada Allah ‎ﷻ. Dan kerana itu mereka akan buat amalan seperti yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Dan kerana itu mereka boleh khusyuk dalam solat kerana mereka sedar yang mereka sedang mengadap Allah ‎ﷻ.

Ada kemungkinan besar yang khusyuk di dalam potongan ayat ini berkenaan dengan solat kerana sedekah dan puasa pula akan disebut selepas ini.

Sepertimana mereka tunduk kepada Allah ‎ﷻ dalam solat, maka dalam kehidupan dunia mereka pun mereka tunduk kepada Allah ‎ﷻ. Mereka kenal siapakah diri mereka yang rendah di sisi Allah ‎ﷻ.

 

وَالمُتَصَدِّقينَ وَالمُتَصَدِّقٰتِ

laki-laki dan perempuan yang bersedekah,

Mereka juga banyak bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Bukan hanya mengeluarkan zakat yang wajib sahaja, tetapi mereka mengeluarkan sedekah yang sunat juga.

Jangan kita fikir hendak meminta lebih tetapi kena fikirkan apa yang kita hendak berikan kepada orang lain. Iaitu kita kena fikirkan jalan bagaimana hendak memberi dari apa yang kita dapat dari Allah ‎ﷻ.

Kita sudah tahu bahawa sadiq bermaksud ‘benar’. Maka sedeqah adalah perbuatan ‘membenarkan’ janji balasan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka yang bersedeqah. Memang ia berkaitan dan kerana itu ia diambil dari katadasar yang sama. Allah ‎ﷻ menjanjikan berbagai-bagai balasan besar kepada mereka yang bersedekah. Sesiapa yang percaya dan yakin dengan janji-janji itu, mereka akan ringan tangan untuk keluarkan sedekah.

 

وَالصّٰئِمينَ وَالصّٰئِمٰتِ

laki-laki dan perempuan yang berpuasa,

Mereka juga banyak melakukan puasa, sama ada Puasa Fardhu atau Puasa Sunat. Kalimah ‘saum’ asalnya bermaksud ‘menahan diri’. Maka puasa adalah menahan diri dari makan sepanjang waktu yang disyariatkan.

Maka ia juga bermaksud ‘memberi’ sebahagian dari diri kita. Sebelum ini disebut sedekah dalam bentuk benda dan sekarang sedekah dalam bentuk diri pula. Ini kerana kita sanggup tahan diri kita dari melakukan sesuatu yang normal iaitu makan kerana Allah ‎ﷻ.

 

وَالحٰفِظينَ فُروجَهُم وَالحٰفِظٰتِ

laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya,

Mereka menjaga kemaluan mereka dari melakukan dosa keji. Kalimah حافظ adalah dalam bentuk kata nama. Apabila ia di dalam bentuk kata nama, ia bermaksud mereka itu ‘sentiasa’ menjaga kemaluan mereka.

Sifat ini ditekankan kerana dugaan untuk melakukan dosa zina sentiasa berlaku untuk menguji kita dan kita kena sentiasa berjaga-jaga. Maka antara langkah berjaga-jaga adalah dengan menjaga pergaulan dan juga pakaian kita. Jangan pakai pakaian yang menjolok mata sampai dapat menarik perhatian orang lain terutama sekali yang berlawanan jantina dengan kita.

Jangan bercakap lemah lembut antara lelaki dan perempuan sampai boleh menarik minat; jangan keluar rumah kalau tidak perlu, tutup aurat kalau perlu keluar rumah.

Perkara sebeginilah yang penting untuk diperhatikan supaya tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Kerana itulah dalam ayat Al-Qur’an disebut ‘jangan hampiri zina’ kerana menghampiri itu sendiri sudah bahaya. Dan dalam surah-surah Nisa, Nur dan Ahzab banyak mengajar bagaimana menjaga pergaulan dan juga pakaian untuk mengelak zina dari berlaku.

 

وَالذّٰكِرينَ اللهَ كَثيرًا وَالذّٰكِرٰتِ

laki-laki dan perempuan yang banyak ingat Allah, 

Mereka sentiasa ingat kepada Allah ‎ﷻ. Mereka sebut nama Allah ‎ﷻ dengan lidah dan ingat dengan hati. Dan ini tidak dapat dicapai melainkan oleh mereka yang sudah kenal Allah ‎ﷻ dan sudah ada hubungan dengan Allah ‎ﷻ. Mereka sudah ada perasaan cinta kepada Allah ‎ﷻ dan kerana itu lebih senang untuk mereka ingat kepada Allah ‎ﷻ.

Salah satu cara mudah untuk sentiasa ingat dan sebut nama Allah ‎ﷻ adalah dengan memperbanyakkan doa. Hati dan mulut kita sentiasalah berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Sentiasalah berharap pertolongan daripada Allah ‎ﷻ dan jangan putus pengharapan kita itu. Kerana memang dalam setiap perkara dan masa kita memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ, bukan?

Ini adalah satu tips: sentiasa sahaja doa kepada Allah ‎ﷻ dalam apa jua perkara walaupun perkara kecil. Hendak memakai kasut, sebut [semoga kasut ini memudahkan aku berjalan, ya Allah]; kalau hendak beli barang, doa [semoga barang ini bermanfaat kepada aku, ya Allah] dan macam-macam lagi doa yang kita boleh sebut dalam hati kita dan sebut pada mulut kita. Dalam perkara ini boleh kreatif kerana bab doa adalah luas.

Tadi kita disuruh jaga kemaluan kita. Maka untuk jaga kemaluan adalah dengan mengingati Allah ‎ﷻ. Kalau hati kita sudah terpaut kepada Allah ‎ﷻ‎, kita akan takut untuk buat perkara-perkara yang keji. Mana mungkin kita hendak membuat satu dosa, sedangkan kita sedang mengingati Allah ‎ﷻ dan sedar yang Allah ‎ﷻ sedang memandang?

Jadi mengingati Allah ‎ﷻ adalah lebih lagi dari hanya melakukan ibadah. Kerana kalau ibadah seperti solat itu, ia tertakluk kepada satu-satu masa sahaja. Tapi mengingati Allah ‎ﷻ itu sepanjang masa. Dan kita pun patut tahu yang ibadah-ibadah yang dilakukan dengan hati lalai dari Allah ‎ﷻ, ibadat itu tidaklah bernilai mana.

Kerana itulah dalam potongan ayat ini digunakan kalimah كَثيرًا (dengan banyak). Sedangkan kalau ibadah solat, puasa, haji dan lain-lain, tidak pernah disebut kena dilakukan dengan banyak. Tapi apabila menyebut tentang zikir (mengingati Allah ‎ﷻ), disuruh kita melakukan dengan banyak pula. Kenapa agaknya?

Pertama, kerana ia ada dalam semua ibadah. Kita telah sebutkan yang kalau ibadah yang dilakukan tanpa mengingati Allah ‎ﷻ, bukan menjadi ibadah tapi menjadi adat sahaja.

Keduanya, ia adalah ibadah yang paling mudah dilakukan. Tidak perlu hendak pergi ke mana-mana, tidak perlu untuk memakai pakaian khas, tidak perlu untuk berwuduk, tidak perlu itu semua. Mengingati Allah ‎ﷻ boleh dilakukan di mana-mana sahaja, dalam apa-apa keadaan pun. Kerana itu ia boleh dilakukan dengan banyak.

 

أَعَدَّ اللهُ لَهُم مَّغفِرَةً

Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan

Allah ‎ﷻ menjanjikan pengampunan dan pahala yang banyak kepada mereka yang ada sifat-sifat di atas. Allah ‎ﷻ sudah menyediakan syurga untuk tunggu mereka masuk sahaja.

Ini adalah apabila perkara-perkara yang telah disebut di atas tadi sudah jadi sebagai tabiat, maka tentulah tidak lekat dosa.

 

وَأَجرًا عَظيمًا

dan pahala yang besar.

Dan di syurga nanti, mereka yang bersifat begitu akan mendapat balasan yang amat besar. Ini kerana mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang seorang Muslim dan Muslimah sejati.

Jadi, ayat ini menyebut lelaki dan wanita bersama-sama. Ini bermaksud yang disebut-sebut di atas adalah sama sahaja bagi lelaki dan wanita. Dalam kehidupan mereka, mungkin mereka tidak sama kerana lelaki selalunya di luar dan wanita selalunya bekerja di rumah. Lelaki jadi pemimpin dan boleh berperang sedangkan wanita di rumah sahaja menjaga anak dan memasak.

Jadi tentulah tidak sama sumbangan lelaki dan sumbangan dari wanita. Tapi perkara-perkara asas telah disebut di atas. Apa pekerjaan dan tugas mereka tidak membezakan mereka dari segi taqwa. Dari segi taqwa, kita sama sahaja. Wanita mempunyai peluang untuk masuk syurga, sama seperti lelaki juga. Malah wanita lebih mudah untuk masuk syurga dari lelaki kerana tanggungjawab wanita lebih ringan dari lelaki.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s