Ayat 31: Masih lagi khitab kepada para isteri Nabi ﷺ.
۞ وَمَن يَقنُت مِنكُنَّ ِلِلهِ وَرَسولِهِ وَتَعمَل صٰلِحًا نُّؤتِها أَجرَها مَرَّتَينِ وَأَعتَدنا لَها رِزقًا كَريمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And whoever of you devoutly obeys Allāh and His Messenger and does righteousness – We will give her her reward twice; and We have prepared for her a noble provision.
(MELAYU)
Dan barang siapa di antara kamu sekalian (isteri-isteri nabi) tetap taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan mengerjakan amal yang saleh, nescaya Kami memberikan kepadanya pahala dua kali lipat dan Kami sediakan baginya rezeki yang mulia.
وَمَن يَقنُت مِنكُنَّ ِلِلهِ وَرَسولِهِ وَتَعمَل صٰلِحًا
Dan barang siapa di antara kamu sekalian (isteri-isteri nabi) tetap taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan mengerjakan amal yang saleh,
Kalimah يَقنُت adalah dari katadasar ق ن ت yang bermaksud perbuatan yang bersedia untuk menerima arahan dan jikalau mereka menerima arahan itu maka mereka suka untuk melakukannya. Dari katadasar ini juga kalimah ‘qunut’ diambil.
Qunut kepada Nabi Muhammad ﷺ tidaklah sama seperti kepada suami-suami yang lain kerana baginda bukanlah suami yang biasa tetapi baginda adalah juga seorang Rasulullah. Baginda memikul tugas yang amat besar sekali yang mesti dijalankan di atas muka bumi ini.
Ini penting kerana ayat ini tidak boleh digunakan oleh para suami untuk menyuruh isteri mereka qunut terus kepada mereka. Memang seorang isteri kena taat kepada suami, tetapi tidaklah sama sampai kepada tahap qunut kepada Rasulullah ﷺ pula. Kerana kedudukan suami biasa tidaklah sama seperti kedudukan baginda.
نُّؤتِها أَجرَها مَرَّتَينِ
nescaya Kami memberikan kepadanya pahala dua kali lipat
Dan jikalau mereka sanggup qunut kepada Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ, maka Allah ﷻ menjanjikan kepada mereka pahala dua kali lipat. Ini kerana pahala yang pertama adalah sebagai seorang Muslim, dan pahala yang kedua adalah kerana mereka sanggup menjadi contoh kepada wanita-wanita Muslim yang lain.
Ini kerana orang yang berada di kedudukan yang tinggi, kebaikan dan kesalahan mereka bukan hanya pada mereka sahaja, tetapi diikuti oleh orang lain. Maka kalau mereka berbuat salah, mereka akan diikuti oleh orang bawahan; dan kalau mereka berbuat baik, maka mereka juga akan diikuti dengan kebaikan itu. Maka kerana itu kalau baik atau buruk, mereka mendapat dua kali ganda.
وَأَعتَدنا لَها رِزقًا كَريمًا
dan Kami sediakan baginya rezeki yang mulia.
Dan mereka akan mendapat rezeki yang mulia di akhirat kelak. Rezeki yang mulia itu bermaksud cara pemberian rezeki itu pun dengan cara yang mulia. Ia diberi dengan penuh kasih sayang. Mereka akan diberikan dengan balasan syurga dengan nikmat yang berkekalan.
Ayat 32:
يٰنِساءَ النَّبِيِّ لَستُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّساءِ ۚ إِنِ اتَّقَيتُنَّ فَلا تَخضَعنَ بِالقَولِ فَيَطمَعَ الَّذي في قَلبِهِ مَرَضٌ وَقُلنَ قَولًا مَّعروفًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O wives of the Prophet, you are not like anyone among women. If you fear Allāh, then do not be soft in speech [to men],¹ lest he in whose heart is disease should covet, but speak with appropriate speech.
- The meaning has also been given as “You are not like any among women if you fear Allāh. So do not be soft in speech…”
(MELAYU)
Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa, maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,
يٰنِساءَ النَّبِيِّ
Hai isteri-isteri Nabi,
Ini kali kedua Allah ﷻ cakap terus kepada para isteri Nabi ﷺ. Ini adalah kerana ada perkara penting yang hendak disampaikan kepada mereka. Dan firman Allah ﷻ ini menjadi pengajaran bagi semua para wanita.
لَستُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّساءِ
kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain,
Allah ﷻ menekankan bahawa mereka tidak sama dengan wanita lain. Mereka itu istimewa kerana mereka adalah isteri kepada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh kerana Nabi ﷺ tidak sama dengan orang lain, maka para isteri baginda pun begitu juga.
Ini kerana mereka adalah para isteri Nabi ﷺ dan kerana itu orang lain akan memandang mereka sebagai contoh. Maka mereka kena menjaga amalan dan perbuatan mereka. Dan kalau mereka bertaqwa maka balasan yang amat besar akan diberikan kepada mereka yang lebih lagi daripada orang lain.
Ayat ini dan ayat-ayat selepas ini nampak seperti khitab kepada para isteri Nabi ﷺ sahaja. Tetapi ajaran di dalamnya tidaklah hanya untuk mereka sahaja. Jangan kita sangka begitu pula. Ini kerana ada yang bersangkaan begitu dan sangkaan itu adalah salah.
Allah ﷻ memberitahu bahawa mereka itu lain dari orang lain, kerana hendak menekankan yang mereka itu menjadi contoh ikutan. Bukanlah bermaksud hukum selepas ini hanya untuk mereka sahaja. Allah ﷻ memberikan arahan kepada para isteri Nabi ﷺ kerana cara amalan dan tingkah laku yang baik bermulanya dari rumah Rasulullah ﷺ untuk diikuti oleh masyarakat yang lain. Bukan hanya mereka sahaja kena berlaku baik, tetapi semua manusia.
إِنِ اتَّقَيتُنَّ فَلا تَخضَعنَ بِالقَولِ
jika kamu bertakwa, maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara
Mereka diingatkan untuk bertaqwa. Maksudnya, mereka itu bukanlah secara automatik sudah dikira Muttaqeen. Mereka pun kena berusaha untuk menjadi insan yang bertaqwa. Jangan mereka bergantung harap sebagai isteri Nabi ﷺ sahaja. Macam orang kita, kalau anak ustaz, jangan rasa sudah selamat pula.
Jangan lembut dalam bercakap. Memang wanita ada suara lembut dan lelaki suka dengar. Sebab itu kerja-kerja seperti pelayan dan operator telefon selalunya diberikan kepada perempuan. Kalau wanita yang bersuara lembut, lelaki pun rasa ingin bercakap lama sahaja. Tetapi ini bahaya kerana boleh menyebabkan fitnah.
Maka, kalau ada wanita-wanita yang bercakap dengan cara yang lembut, mengada-ngada, dan dengan gaya yang boleh mengundang perasaan tidak patut dari lelaki, itu adalah wanita yang tidak ada taqwa dalam hatinya. Malangnya, ramai juga yang kita dengar wanita-wanita yang bercakap begini, bukan?
Ramai yang salah faham dengan konsep ‘aurat’. Mereka sangkakan apabila mereka sudah menutup setiap inci tubuh mereka, mereka sudah selamat. Padahal aurat itu merangkumi juga cara berjalan, cara bercakap dan cara bergaul dengan orang lain. Kalau dengan lelaki ajnabi, memang kena jaga sungguh tingkah laku.
فَيَطمَعَ الَّذي في قَلبِهِ مَرَضٌ
sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya
Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa di Madinah itu ada lelaki yang ada penyakit di dalam hati mereka. Ada kemungkinan yang ada dari kalangan lelaki yang tertarik dengan suara para isteri Nabi itu dan ini akan dijadikan sebagai skandal oleh puak-puak munafik.
Bukan para isteri Nabi ﷺ sahaja yang kena berjaga-jaga tetapi kita pun kena berjaga-jaga juga. Seorang wanita kena sedar bahawa suara mereka itu sangat menarik kepada lelaki dan boleh menyebabkan masalah nanti. Ada lelaki yang bila dengar suara wanita di telefon sahaja, sudah mula angau. Maka jangan ada perbualan antara lelaki dan wanita ajnabi tanpa sebab penting. Kena jaga perkara ini.
Allah ﷻ berikan peringatan ini awal-awal lagi kepada para isteri Nabi ﷺ kerana ada lelaki yang akan datang berjumpa dengan isteri Nabi ﷺ itu untuk belajar agama terutama sekali selepas baginda wafat. Maka bagaimana nanti jikalau isteri-isteri Nabi ﷺ itu berkata dengan suara lembut dan lunak sampaikan menyebabkan ada di antara mereka itu yang tertarik?
Wanita mana-mana zaman pun kena ambil peringatan dari ayat ini. Bila bercakap dengan lelaki, kena cakap dengan suara yang biasa sahaja. Bukanlah suruh berkasar tetapi cakap dengan nada yang sederhana kerana kalau kasar nanti orang akan sangka begitulah percakapan yang sebenarnya. Sedangkan orang Muslim kena cakap dengan benar. Takut nanti orang agama lain hairan pula kalau dengar cara percakapan wanita Muslim kalau kasar sahaja.
Maksudnya jangan cakap dengan nada yang lembut dan menggoda kerana nanti takut lelaki ada yang perasan dan rasa ada harapan pula untuk mengurat. Bukan semua lelaki boleh dipercayai, bukan?
Bayangkan, bercakap dengan lembut pun dilarang oleh Allah ﷻ, bagaimana pula kalau menyanyi? Tentulah menyanyi itu dalam suara yang mendayu-dayu, bukan? Bagaimana pula kalau berlakon dalam drama dan memegang watak wanita penggoda? Agak-agaknya adakah ia dibenarkan?
Bagaimana pula dengan wanita yang bekerja di kedai-kedai dan melayan pelanggan dan menyambut dengan suara yang lembut dan menggoda? Bagaimana dengan wanita yang bekerja sebagai pramugari yang memang bercakap lembut dan berpakaian yang menggoda? Jadi perkara-perkara ini kenalah difikirkan oleh para wanita. Mereka kena pandai untuk memilih pekerjaan mereka. Rezeki Allah ﷻ luas dan kalau kita jaga agama, Allah ﷻ akan jaga rezeki kita. Maka carilah kerja yang sesuai bagi wanita Muslim.
وَقُلنَ قَولًا مَّعروفًا
dan ucapkanlah perkataan yang baik,
Dan cakaplah perkara-perkara yang patut sahaja dengan lelaki lain. Tidak perlu untuk bersembang lama dengan mereka. Cakaplah dengan cara yang menepati syariat.
Ibnu Zaid رحمه الله mengatakan, makna yang dimaksudkan ialah ucapan yang baik, pantas, lagi tegas. Dengan kata lain, seorang wanita itu bila berbicara dengan lelaki lain hendaknya tidak memakai nada suara yang lemah lembut. Yakni janganlah seorang wanita berbicara dengan lelaki lain dengan perkataan seperti dia berbicara kepada suaminya sendiri.
Maka kita kenalah mengambil pengajaran daripada ayat ini dan aplikasikan di dalam kehidupan kita. Jangan kita sangka yang ayat ini untuk para isteri Nabi ﷺ sahaja. Lebih-lebih lagi kita pada zaman ini lebih memerlukan peringatan ini.
Jangan bercakap-cakap antara lelaki dan perempuan ajnabi walaupun di dalam kawasan yang ramai orang. Cakap benda yang perlu sahaja dan jikalau wanita bercakap dengan lelaki, jangan gunakan suara yang lembut. Jangan bagi peluang untuk mereka terperasan dengan kelembutan kamu.
Ayat 33: Ini pula adalah ayat hijab tubuh badan untuk para wanita.
وَقَرنَ في بُيوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجنَ تَبَرُّجَ الجٰهِلِيَّةِ الأولىٰ ۖ وَأَقِمنَ الصَّلَوٰةَ وَءآتينَ الزَّكَوٰةَ وَأَطِعنَ اللهَ وَرَسولَهُ ۚ إِنَّما يُريدُ اللهُ لِيُذهِبَ عَنكُمُ الرِّجسَ أَهلَ البَيتِ وَيُطَهِّرَكُم تَطهيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And abide in your houses and do not display yourselves as [was] the display of the former times of ignorance. And establish prayer and give zakāh and obey Allāh and His Messenger. Allāh intends only to remove from you the impurity [of sin], O people of the [Prophet’s] household, and to purify you with [extensive] purification.
(MELAYU)
Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
وَقَرنَ في بُيوتِكُنَّ
Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu
Isteri para Nabi ﷺ diberitahu untuk duduk sahaja di rumah jika tidak ada keperluan yang mendesak untuk keluar. Kalau keluar dengan keluarga itu boleh, tetapi bukanlah untuk sengaja berjalan-jalan berseorangan. Dalam kebanyakan masa, duduk sahaja di rumah.
Kalimah قَرنَ sama ada dari katadasar ق ر ر yang bermaksud ‘duduk tetap di sesuatu tempat’ atau و ق ر yang bermaksud duduk dengan tenang. Ia juga bermaksud mereka kena sabar duduk di rumah. Jangan rasa rendah diri kerana kena duduk di rumah. Jangan rasa tertekan dan bosan duduk di rumah. Wanita mukminah tidak akan ada perasaan ini kerana mereka redha dengan arahan Allah.
Dan jangan persoalkan kenapa kena duduk di rumah. Kena sedar yang tempat wanita adalah di rumah dan bukannya di luar seperti lelaki. Allah ﷻ menjadikan keadaan yang berbeza bagi lelaki dan perempuan. Memang lelaki duduknya di luar dan wanita di rumah. Kerana itulah bahasa kita pun sebut para isteri sebagai ‘orang rumah’. Lelaki memang kena keluar rumah kerana mereka yang mencari rezeki.
Jadi ini adalah dalil yang kuat yang wanita tidak boleh bekerja di luar jika tidak perlu; wanita tidak perlu untuk bertanding dalam pilihanraya; wanita tidak perlu untuk berperang; dan macam-macam lagi. Malah para ustazah tidak perlu mengajar di khalayak ramai terutama sekali masuk TV.
Memang ramai yang tidak puas dan ada juga yang menggunakan hujah Saidatina Aisyah رضي الله عنها telah keluar berperang dalam Perang Jamal. Tetapi adakah mereka lupa bagaimana beliau menangisi perbuatannya itu? Setiap kali beliau membaca ayat ini, beliau akan menangis sehingga basah kain tudungnya. Ini kerana beliau sedar kesilapan yang telah dilakukannya dan penyesalan yang amat sangat.
Maka para wanita kena sedar yang ada kelebihan untuk mereka apabila mereka duduk di rumah. Kita hendak mendapat pahala dan bersedia untuk akhirat, bukan? Jadi kalau duduk di rumah boleh dapat pahala, apakah itu tidak bagus? Lihat satu hadis Nabi ﷺ:
قَالَ الْحَافِظُ أَبُو بَكْرٍ الْبَزَّارُ: حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ مَسْعَدة حَدَّثَنَا أَبُو رَجَاءٍ الْكَلْبِيُّ، رَوْحُ بْنُ الْمُسَيَّبِ ثِقَةٌ، حَدَّثَنَا ثَابِتٌ الْبُنَانِيُّ عَنْ أَنَسٍ، رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: جِئْنَ النِّسَاءُ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْنَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ذَهَبَ الرِّجَالُ بِالْفَضْلِ وَالْجِهَادِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ تَعَالَى، فَمَا لَنَا عَمَلٌ نُدْرِكُ بِهِ عَمَلَ الْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ قَعَدَ -أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا -مِنْكُنَّ فِي بَيْتِهَا فَإِنَّهَا تُدْرِكُ عَمَلَ الْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللهِ”
Al-Hafiz Abu Bakar Al-Bazzar mengatakan, telah menceritakan kepada kami Humaid ibnu Mas’adah, telah menceritakan kepada kami Abu Raja Al-Kalbi alias Rauh ibnul Musayyab seorang yang tsiqah, telah menceritakan kepada kami Sabit Al-Bannani, dari Anas رضي الله عنه yang mengatakan bahawa kaum wanita datang menghadap kepada Rasulullah ﷺ, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ, kaum lelaki pergi dengan memborong keutamaan dan pahala berjihad di jalan Allah ﷻ, sedangkan kami kaum wanita tidak mempunyai amal yang dapat menandingi amal kaum Mujahidin di jalan Allah ﷻ.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Barang siapa di antara kalian (kaum wanita) yang duduk —atau kalimat yang semakna— di dalam rumahnya, maka sesungguhnya dia dapat memperoleh amal yang sebanding dengan amal kaum Mujahid di jalan Allah ﷻ.
Tidakkah anda nampak begitu senang wanita boleh mendapat pahala? Tidak perlu untuk keluar berjihad pun, sudah mendapat pahala jihad. Kerana apabila para suami mereka keluar berjihad, mereka tenang di rumah sebagai isteri dan bertugas menjaga rumah dan keluarga mereka sepeninggalan suami mereka.
Maka para suami yang keluar rumah tahu yang yang rumah dan anak-anak dijaga oleh isteri dan isteri tidak berpeleseran di luar rumah. Maka mereka dapat mengerjakan urusan jihad (atau kerja) dengan senang dan tenang hati. Tidaklah risau: “Ke manalah pula bini aku keluar masa aku takde ni?”
Maka, tetaplah duduk di rumah kecuali kalau ada keperluan. Ini seperti hadis yang sampai kepada kita.
قَالَ الْبَزَّارُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَاصِمٍ، حَدَّثَنَا هَمَّامٌ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ مُوَرِّق، عَنْ أَبِي الْأَحْوَصِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنِ الْمَرْأَةَ عَوْرَةٌ، فَإِذَا خَرَجَتِ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ، وَأَقْرَبُ مَا تَكُونُ بروْحَة رَبِّهَا وَهِيَ فِي قَعْر بَيْتِهَا”.
Al-Bazzar mengatakan pula, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnul Musanna, telah menceritakan kepadaku Amr ibnu Asim, telah menceritakan kepada kami Hammam, dari Qatadah, dari Muwarraq, dari Abdul Ahwas, dari Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه dari Nabi ﷺ yang telah bersabda: Sesungguhnya (tubuh) wanita itu adalah aurat. Maka apabila wanita itu keluar, syaitan datang menyambutnya. Dan tempat yang paling dekat bagi wanita kepada rahmat Tuhannya ialah bila dia berada di dalam rumahnya. Imam Turmuzi meriwayatkannya dari Bandar, dari Amr ibnu Asim dengan sanad dan lafaz yang semisal.
Sedangkan solat wanita itu memang elok kalau di rumah pun. Ini seperti sabda Nabi ﷺ:
“صَلَاةُ الْمَرْأَةِ فِي مَخْدعِها أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي بَيْتِهَا، وَصَلَاتُهَا فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي حُجْرَتِهَا”
Solat wanita di dalam tempat tidurnya lebih baik daripada solatnya di dalam rumahnya, dan solatnya di dalam rumahnya lebih baik daripada solatnya di dalam kamarnya.
وَلا تَبَرَّجنَ تَبَرُّجَ الجٰهِلِيَّةِ الأولىٰ
dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu
Potongan ayat sebelum ini menyuruh para isteri duduk di rumah. Kalau setakat potongan ayat itu sahaja yang ada, maka tentulah langsung para isteri tidak boleh keluar rumah. Tapi dalam potongan ayat ini disebut jangan tabarruj. Dan larangan tabarruj itu kalau keluar rumah. Maknanya, kalau ada keperluan, boleh keluar rumah, ‘tetapi’ jangan tabarruj.
Tabarruj maksudnya mencantikkan diri dan menampakkannya di khalayak ramai. Kalimah ‘buruj’ digunakan untuk gugusan bintang kerana ia jelas kelihatan di langit; kalimah ‘burj’ pula digunakan untuk ‘menara’ kerana menara itu jelas kelihatan; kapal layar dinamakan ‘barijah’ kerana layarnya tinggi dan jelas kelihatan di lautan.
Jadi apabila wanita melakukan tabarruj, ia bermaksud mereka menunjuk-nunjuk diri mereka di khalayak ramai. Berbagai cara boleh termasuk dalam tabarruj:
a. Iaitu dengan pakai mekap berlebih-lebihan dengan segala warna ada pada muka;
b. dan memakai perhiasan yang indah-indah pada baju dan badan untuk dipertontonkan kepada orang lain.
c. juga termasuk kalau mereka menonjolkan diri pada khalayak ramai. Mungkin pakai baju biasa sahaja tetapi dari segi gaya, mereka menarik perhatian manusia lain.
Allah ﷻ suruh tinggalkan semua itu kerana itu adalah amalan-amalan semasa zaman jahiliyyah dahulu dan mereka pun sudah tinggalkan amalan jahiliyyah, bukan? Mujahid mengatakan bahawa dahulu di masa Jahiliyyah wanita bila keluar, mereka berjalan di hadapan kaum lelaki, maka itulah yang dinamakan tingkah laku Jahiliyyah. Dahulu wanita bila berjalan berlenggang-lenggok dengan langkah yang manja dan memikat, lalu Allah ﷻ melarang hal tersebut.
Seperti para wanita kita yang dahulunya suka memakai mekap berlebihan tetapi apabila sudah belajar agama maka kenalah tinggalkan perkara yang dilakukan dahulu itu kerana itu adalah ‘zaman jahiliyyah’ mereka.
Apabila tidak dibenarkan untuk tabarruj di luar maka ia memberi isyarat bahawa boleh, malah digalakkan untuk berhias semasa di rumah untuk suami. Malangnya orang perempuan kita terbalik pula; bila di luar berhias bukan main. Tetapi di rumah kadangkala berkemban sahaja dan kusut masai.
وَأَقِمنَ الصَّلَوٰةَ وَءآتينَ الزَّكَوٰةَ
dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat
Sebelum ini disebut tentang penegahan dan sekarang Allah ﷻ memberitahu apakah yang mereka perlu lakukan. Mereka kenalah solat dan mengeluarkan zakat; bermaksud mereka hendaklah melakukan kewajipan agama mereka dan tidak boleh bergantung hanya kepada Rasulullah ﷺ sahaja walaupun baginda itu seorang Nabi.
Potongan ayat ini menguatkan pendapat yang mengatakan ayat-ayat arahan untuk para isteri Nabi ﷺ itu tidaklah eksklusif kepada mereka sahaja. Kerana sekarang kita lihat arahan untuk mendirikan solat dan menunaikan zakat. Kalau kita kata hanya isteri Nabi ﷺ sahaja tidak boleh keluar rumah dan tabarruj, maka adakah hanya mereka sahaja yang kena solat dan tunaikan zakat? Tentu tidak, bukan? Maka suruhan kepada isteri-isteri Nabi ﷺ adalah dalam bentuk umum – ianya terkena juga kepada semua wanita-wanita Muslim yang lain.
Ayat ini juga memberitahu yang menjadi isteri seorang Nabi tidaklah menggugurkan kewajipan agama kepada mereka. Maka arahan ini termasuklah kepada keturunan baginda pun. Jadi kalau memang keturunan Habib tetapi tidak mengikut ajaran Al-Qur’an dan Sunnah pun, tidak akan terlepas dari disoal oleh Allah ﷻ.
Maka janganlah ikut sahaja amalan sesat golongan Habib itu hanya semata-mata mereka itu keturunan Nabi ﷺ. Kita tetap kena bandingkan amalan mereka dengan syariat. Dan seperti yang kita boleh lihat sekarang, ajaran dan amalan mereka memang ada masalah, maka memang haruslah dielakkan. Jangan diikuti majlis mereka itu.
وَأَطِعنَ اللهَ وَرَسولَهُ
dan taatilah Allah dan Rasul-Nya.
Dan mereka tetap kena taat kepada Allah ﷻ dan juga Rasul ﷺ dalam setiap urusan kehidupan. Bukan setakat dalam amal ibadat sahaja tetapi dalam segenap sudut kehidupan. Maka jangan kita ikut sunnah Nabi ﷺ dalam perkara ibadat sahaja tetapi hendaklah ikut sunnah baginda dalam pergaulan, dalam pemerintahan dan semua sekali.
إِنَّما يُريدُ اللهُ لِيُذهِبَ عَنكُمُ الرِّجسَ أَهلَ البَيتِ
Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait
Allah ﷻ menyuruh para isteri Nabi ﷺ itu untuk melakukan semua perkara yang disebut di atas adalah untuk membebaskan mereka daripada dosa dan perkara-perkara yang buruk. Tetapi jangan pula kita salah faham. Tidaklah para isteri Nabi ﷺ itu sudah ada dosa pula. Allah ﷻ sebenarnya hendak mengelakkan mereka dari melakukan dosa.
Walaupun Allah ﷻ sedang bercakap kepada ahli keluarga Rasulullah ﷺ, kita jangan sangka yang ia adalah untuk mereka sahaja kerana seperti yang kita telah beritahu, mereka itu menjadi contoh kepada umat Islam terutama golongan wanita.
Maka para wanita kita kenalah mendengar baik-baik dan mengamalkan suruhan dalam ayat-ayat ini dengan bersungguh-sungguh. Sebagai contoh, jangan keluar rumah tidak tentu pasal. Jangan berhias mengikut cara jahiliyyah. Jangan bergaul mesra dengan orang lelaki, dan sebagainya. Kena sedar ayat ini ditujukan kepada semua wanita.
Tetapi bagaimana pula dengan wanita yang kena bekerja? Ia boleh dan dibenarkan jika ada keperluan tetapi hendaklah mereka menjaga pergaulan mereka dan penampilan diri mereka seperti yang disebut di dalam ayat ini.
Dan jikalau perlu sahaja. Kadangkala wanita kita tidak perlukan sara hidup pun kerana suami mereka boleh menanggung hidup mereka. Tetapi mereka sengaja keluar bekerja kerana bosan duduk di rumah. Ini adalah sebab yang salah. Sepatutnya mereka duduk di rumah sahaja. Hanya kalau ada keperluan untuk bekerja barulah mereka bekerja. Jangan kerana hendak duit banyak supaya boleh beli itu dan ini, mereka bekerja. Itu adalah sebab yang salah.
وَيُطَهِّرَكُم تَطهيرًا
dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
Allah ﷻ hendak menyucikan ‘ahli bait’ dari dosa. Maka dari ayat ini, menjadi dalil yang ‘Ahli Bait’ adalah isteri-isteri Nabi ﷺ. Mereka termasuk dalam kalangan ahli bait termasuk dengan keluarga baginda yang lain.
Tetapi ada yang pendapat yang teruk iaitu fahaman Syiah yang hanya menentukan keturunan Fatimah رضي الله عنها dan Sayidina Ali رضي الله عنه sahaja. Ini adalah fahaman yang berlawanan dengan Al-Qur’an. Ini kerana dalam Al-Qur’an, maksud ‘ahli bait’ memang merujuk kepada isteri-isteri baginda. Dan dalam bahasa Arab pun, ahli bait itu adalah para isteri termasuk dengan anak beranak juga.
Dan apakah pula maksud ‘membersihkan’ itu? Kalau mengikut fahaman Syiah, maksud ayat ini Allah ﷻ menjadikan ahli keluarga Nabi ﷺ (iaitu pada mereka hanya Fatimah رضي الله عنها, Ali رضي الله عنه dan keturunan mereka sahaja) bebas dari dosa (maksum). Jadi mereka menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk mengatakan keputusan para imam mereka adalah maksum dan tidak salah.
Itu adalah fahaman yang jauh dari kebenaran. Ayat ini tidaklah membebaskan sesiapa pun dari perbuatan dosa. Tidaklah ia menjadikan mana-mana ahli keluarga Nabi ﷺ menjadi maksum. Mereka tetap manusia biasa sahaja. Cuma Allah ﷻ hendak beritahu, kalau mereka mengikut arahan dalam ayat ini, maka mereka tidaklah berdosa.
Dan kalau mereka buat, maka tentulah mereka berdosa. Kena baca ayat ini dalam konteks, jangan ambil potongan sahaja. Bila ambil potongan sahaja itulah yang mengakibatkan kesesatan seperti Syiah itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 29 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
Assalamualaikum, dlm mencari faham tafsir Alquran… sy jumpa blog ni. MEMANG TERBAIK SANGAT. SESUAI DGN TAFSIR TAFSIR DAN ULASAN YG SY PERNAH BACA SBLM INI. TERIMA KASIH PERKONGSIAN. merungkaian kesesatan org mengaku keturunan nabi itu terbaik, sbb kita akan masuk syurga kerana amalan dan bukannya meminum darah nabi shj seperti yg didakwa. tetapi amalan mereka banyak bercanggah dgn hadith Rasulullah s.a.w
LikeLike
kalaulah dakwaan habib itu dgn meminum darah Rasulullah s.a.w akan masuk syurga, mestilah nabi perintahkan dari dulu… dan baginda juga akan meninggalkan bnyk darahnya kpd kita. tetapi apa yg Nabi ajar… ialah beramal dgn amalan yg soleh. banyak dah yg terpesong golongan ini
LikeLike
Dlm penafsiran perlu juga kita faham atau tahu sebab turunnya satu2 ayat.
Contohnya ayat 33 surah al ahzab. Dlm ayat tersebut mungkin turun pada waktu dan suasana yg berbeza, Ayat ‘innama yuridullah mungkin turun pada waktu lain
Saya syorkan penafsir mengkaji sebab turun ayat dlm tafsirnya.
LikeLike
Terima kasih atas komen. Tapi dalam ilmu usul tafsir, asbabun nuzul adalah tafsiran kedua sahaja. Bukan semua ayat ada asbabun nuzulnya, dan kesahihannya juga perlu dilihat. Jadi dalam 10% sahaja ayat-ayat yang memerlukan asbabun nuzul untuk menterjemahkan. Kalau ayat itu memerlukan asbabun nuzul untuk memahaminya, saya telah masukkan.
LikeLike