Tafsir Surah Hud Ayat 113 – 117 (Ibadah penghapus dosa)

Ayat 113:

وَلا تَركَنوا إِلَى الَّذينَ ظَلَموا فَتَمَسَّكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِن دونِ اللَّهِ مِن أَولِياءَ ثُمَّ لا تُنصَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not incline toward those who do wrong, lest you be touched by the Fire, and you would not have other than Allāh any protectors; then you would not be helped.

(MALAY)

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.

 

وَلا تَركَنوا إِلَى الَّذينَ ظَلَموا

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim

Maksudnya, jangan bergantung kepada golongan kafir. Jangan berhubung baik dengan mereka lebih dari yang sepatutnya. Semasa ayat ini diturunkan, ianya melarang pihak Muslim dari bergantung kepada para pemuka Quraish yang musyrik itu.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna تَركَنواbahawa makna yang dimaksudkan ialah janganlah kalian bersikap diplomasi dengan mereka.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa makna yang dimaksudkan ialah cenderung kepada kemusyrikan.

Abul Aliyah mengatakan, makna yang dimaksudkan ialah janganlah kamu rela terhadap perbuatan mereka.

Ibnu Jarir telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa makna yang dimaksudkan ialah janganlah kalian cenderung kepada orang-orang yang aniaya. Pendapat ini cukup baik, yang maksudnya ialah janganlah kalian meminta pertolongan kepada orang-orang yang aniaya, kerana jadinya seakan-akan kalian rela kepada amal perbuatan mereka.

 

فَتَمَسَّكُمُ النّارُ

yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, 

Kerana kalau berhubungan baik dengan mereka, boleh menyebabkan kamu masuk neraka. Ini adalah kerana berkemungkinan kita terikut-ikut dengan cara mereka dan amalan mereka yang syirik.

 

وَما لَكُم مِن دونِ اللَّهِ مِن أَولِياءَ

dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang pelindung pun selain daripada Allah,

Kerana kalau kamu masuk neraka, kamu tidak akan mendapat sebarang pertolongan lagi untuk menahan dari azab Allah. Hanya Allah sahaja yang dapat membantu, tapi Allah tidak akan bantu lagi.

 

ثُمَّ لا تُنصَرونَ

kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.

Dan kalau kamu sudah kena azab itu, kamu tidak ada penolong lagi yang dapat menyelamatkan kamu dari azab itu.

Ada disebut pelindung dan penolong:
Pelindung: tahan dari masuk neraka.
Penolong: mengeluarkan setelah masuk neraka.

Dua-dua tidak akan diberikan kepada mereka.


 

Ayat 114: Ini adalah ayat jenis Umur Muslihah (tentang ibadah).

وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيلِ ۚ إِنَّ الحَسَناتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذٰلِكَ ذِكرىٰ لِلذّاكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And establish prayer at the two ends of the day and at the approach of the night. Indeed, good deeds do away with misdeeds. That is a reminder for those who remember.

(MALAY)

Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.

 

وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهارِ

Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang pelindung dan penolong. Kalau sudah ditakdirkan kita dimasukkan ke dalam neraka, tidak akan ada penolong dan pembantu lagi. Jadi kalau nak dapatkan penolong dan pembantu, bagaimana? Itulah kena beribadah dan ibadah yang paling utama adalah solat. Maka Allah menyebut tentang solat dalam ayat ini. Dengan solatlah kita dapat bergantung dan berharap kepada bantuan dan pertolongan Allah.

Dalam ayat ini Allah menyebut tentang waktu-waktu solat. Sebenarnya solat lima waktu telah disebut dalam Qur’an tapi tidaklah disebut waktu Subuh, Zuhur dan sebagainya. Yang pertama disebut adalah di ‘dua tepi siang’ – Yang dimaksudkan adalah Waktu Subuh, Zuhur Dan Asar. Kerana Subuh adalah permulaan siang, Zuhur adalah pertengahan dan Asar adalah waktu di hujung siang.

 

وَزُلَفًا مِنَ اللَّيلِ

dan pada bahagian permulaan daripada malam. 

Kemudian disebut tentang solat pada waktu malam pula. Yang disebut adalah ‘permulaan malam’ – yang dimaksudkan adalah Waktu Maghrib dan Isyak. Waktu Maghrib adalah di awal-awal permulaan malam dan kemudian Isyak pun datang tidak lama selepas itu.

Jadi cukuplah lima waktu solat disebut dalam ayat ini. Ini kena faham kerana ada yang menuduh solat lima waktu tidak disebut dalam Qur’an pun. Memang tidak disebut dengan jelas dalam Qur’an tapi ia tetap ada dalam bentuk isyarat. Dan kalau tidak ada pun, kita tetap ada Hadis-hadis sahih yang menyebut tentang waktu-waktu itu dengan jelas.

 

إِنَّ الحَسَناتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.

Sekarang Allah memberitahu yang amalan kebaikan boleh menghapuskan dosa. Ini adalah nasihat dari Allah yang kita kena ingat. Sebelum ini telah disebut tentang solat kerana ianya adalah amalan kebaikan yang paling utama. Tapi bukanlah itu sahaja, kerana ada lagi ibadat-ibadat yang lain.

Di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan melalui Abu Hurairah, dari Rasulullah Saw., disebutkan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“أَرَأَيْتُمْ لَوْ أن بِبَابِ أَحَدِكُمْ نَهْرًا غَمْرًا يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ، هَلْ يُبقي مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا؟ ” قَالُوا: لَا يَا رَسُولَ اللَّهِ: قَالَ: “وَكَذَلِكَ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، يَمْحُو اللَّهُ بِهِنَّ الذُّنُوبَ وَالْخَطَايَا”

“Bagaimanakah pendapat kalian seandainya di depan rumah seseorang di antara kalian terdapat sebuah sungai yang airnya berlimpah, lalu dia mandi lima kali sehari di dalamnya setiap harinya, apakah masih ada yang tersisa dari kotoran yang ada pada tubuhnya?” Mereka menjawab, “Tidak, wahai Rasulullah.” Rasulullah Saw. bersabda, “Demikian pula halnya solat lima waktu, Allah menghapuskan dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan dengannya.”

Kita sebagai manusia memang akan sentiasa sahaja melakukan dosa dan kadang-kadang dosa itu pun kita tidak perasan yang kita buat kerana kita tidak berhati-hati. Maka, kerana kita tidak tahu tentang dosa yang kita telah lakukan, kita pun tidak minta ampun kepada Allah.

Maka Allah beri jalan kepada kita dengan memberitahu bahawa segala amal ibadat dan perbuatan baik yang kita lakukan akan menghilangkan dosa-dosa kecil itu. Sebagai contoh, dengan mengambil wuduk akan menggugurkan dosa-dosa yang kecil-kecil. Maka kenalah kita memperbanyakkan amal ibadat kita.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan sebuah hadis melalui Amirul Mu’minin Usman ibnu Affan, bahawa dia berwudu’ di hadapan mereka seperti wudu yang dilakukan oleh Rasulullah Saw., kemudian dia mengatakan, “Demikianlah wudu’ yang pernah aku lihat Rasulullah Saw. melakukannya, lalu Rasulullah Saw. bersabda (sesudahnya):

“مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّث فِيْهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ”

‘Barang siapa yang melakukan wudu seperti wudu’ku ini, kemudian mengerjakan salat dua rakaat tanpa berbicara kepada dirinya sendiri dalam dua rakaatnya (yakni dia lakukan keduanya dengan khusyuk), maka diberilah ampunan baginya atas dosa-dosanya yang terdahulu‘.”

Dan di dalam hadis yang lain:

Imam Ahmad, Imam Muslim, Imam Turmuzi, Imam Nasai, dan Ibnu Jarir telah meriwayatkannya—dengan lafaz seperti berikut— melalui berbagai jalur dari Samak ibnu Harb: Dia pernah mendengar Ibrahim Ibnu Yazid menceritakannya dari Alqamah ibnu Aswad, dari Ibnu Mas’ud yang menceritakan bahawa ada seorang lelaki datang menghadap Rasulullah Saw., lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita di dalam sebuah kebun, lalu aku melakukan segala sesuatu terhadapnya, hanya aku tidak menyetubuhinya. Aku menciuminya dan memeluknya, lain itu tidak; maka hukumlah aku menurut apa yang engkau sukai.” Rasulullah Saw. tidak menjawab sepatah kata pun, lalu lelaki itu pergi. Dan Umar berkata, “Sesungguhnya Allah memaafkannya jika dia menutupi perbuatan dirinya (yakni tidak menceritakannya).” Pandangan Rasulullah Saw. mengikuti kepergian lelaki itu, kemudian beliau bersabda, “Panggillah lelaki itu untuk menghadap kepadaku.” Lalu mereka memanggilnya, dan Rasulullah Saw. membacakan kepadanya ayat berikut, iaitu firman Allah Swt.: Dan dirikanlah salat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. (Hud: 114) Mu’az mengatakan menurut riwayat yang lainnya, bahawa Umar berkata, “Wahai Rasulullah, apakah hal ini khusus baginya, ataukah bagi semua orang?” Rasulullah Saw. menjawab:

“بَلْ لِلنَّاسِ كَافَّةً”

Tidak, bahkan bagi semua orang.

Saya risau jika hadis ini disalahertikan pula oleh mereka yang membacanya. Jangan pula jadikan ini sebagai dalil boleh buat maksiat, kemudian solat sahaja. Kita kena tahu bahawa yang berjumpa Nabi itu adalah sahabat dan dia amat menyesal di atas perbuatannya, jadi dia amat ikhlas.

Dan kedua, mereka solat berjemaah dengan Nabi Muhammad dan itu ada kelebihan yang kita sendiri tidak ada. Maknanya, kalau dosa yang kita lakukan, belum tentu ianya akan dihapuskan dengan solat sahaja. Jadi, jangan kita lakukan dosa yang besar-besar kerana takut amalan ibadat kita tidak dapat membersihkannya. Allahu a’lam.

 

ذٰلِكَ ذِكرىٰ لِلذّاكِرينَ

Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.

Itulah peringatan yang baik bagi orang yang mahu mengambil peringatan. Iaitu mereka yang mahu mencari kebenaran dan memperbaiki keadaan dirinya. Mereka tidak sombong untuk menerima kebenaran. Mereka akan berusaha untuk mencari perkara baik apa lagi yang mereka kena buat.

Tidaklah mereka rasa selamat sahaja seperti kebanyakan orang dari kalangan masyarakat kita. Mereka itu ramai yang tidak berilmu agama, tapi mereka tidak buat apa-apa pun kerana mereka rasa sudah selamat (kerana sangka mereka sudah Muslim). Alangkah ruginya.


 

Ayat 115: Ayat tasliah.

وَاصبِر فَإِنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And be patient, for indeed, Allāh does not allow to be lost the reward of those who do good.

(MALAY)

Dan bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah tiada menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

وَاصبِر

Dan bersabarlah,

Dalam banyak perkara, kita kena sabar. Nak sampaikan dakwah kepada umat, kena sabar; nak tegur orang lain, kena sabar; nak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah kenakan kepada kita.

 

فَإِنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ

kerana sesungguhnya Allah tiada menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Bersabarlah dalam beramal kerana pasti Allah tidak akan hampakan untuk memberi balasan atas segala amal kebaikan itu. Segala usaha dan amal mereka itu tidak sia-sia. Memang tidak nampak terus pahala itu kerana ianya akan diberi di akhirat kelak tapi yakinlah bahawa ada malaikat yang merekod segala amalan kebaikan kita dan akan dibalas nanti.

Kalimah المُحسِنينَ adalah mereka memperbaiki keadaan diri mereka, amalan mereka dan agama mereka.


 

Ayat 116:

فَلَولا كانَ مِنَ القُرونِ مِن قَبلِكُم أُولو بَقِيَّةٍ يَنهَونَ عَنِ الفَسادِ فِي الأَرضِ إِلّا قَليلًا مِمَّن أَنجَينا مِنهُم ۗ وَاتَّبَعَ الَّذينَ ظَلَموا ما أُترِفوا فيهِ وَكانوا مُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So why were there not¹ among the generations before you those of enduring discrimination forbidding corruption on earth – except a few of those We saved from among them? But those who wronged pursued what luxury they were given therein, and they were criminals.

  • Meaning “If only there had been…”

(MALAY)

Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada (mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa.

 

فَلَولا كانَ مِنَ القُرونِ مِن قَبلِكُم أُولو بَقِيَّةٍ

Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan

Allah menegur, kenapakah tidak ada dari kalangan umat dahulu, mereka yang ada fikiran yang menahan manusia dari melakukan kerosakan. أُولو بَقِيَّةٍ adalah orang yang tetap meneruskan; mereka tetap atas kebaikan.

 

يَنهَونَ عَنِ الفَسادِ فِي الأَرضِ

yang melarang daripada (mengerjakan) kerosakan di muka bumi,

Mereka berusaha untuk menghalang manusia lain dari melakukan kerosakan. Kalau ada mungkar di depan mata mereka, mereka terus tegur. Kerana teguran ini penting sebagai peringatan kepada manusia. Manusia ramai yang berani buat dosa kerana mereka tidak ditegur.

 

إِلّا قَليلًا مِمَّن أَنجَينا مِنهُم

kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, 

Ramai yang tidak melakukan usaha murni itu melainkan sedikit sahaja. Mereka yang buat kerja amar makruf dan nahi mungkar itu adalah golongan yang Allah selamatkan. Kerana mereka telah mendapat kefahaman dan mereka telah melakukan tugas mereka. Mereka adalah orang-orang yang diselamatkan oleh Allah Swt. di kala murka Allah dan azab-Nya datang menimpa mereka secara tiba-tiba.

 

وَاتَّبَعَ الَّذينَ ظَلَموا ما أُترِفوا فيهِ

dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka,

Akan tetapi, kebanyakan manusia leka dengan kemewahan yang mereka ada. Mereka itu dipanggil orang zalim kerana telah ikut kemewahan yang menyebabkan mereka buat kerosakan di muka bumi. Mereka itu adalah golongan kaya yang Allah beri kemewahan kepada mereka.

Dan apabila mereka kaya, ramai dari kalangan masyarakat akan cuba untuk ikut mereka, nak jadi macam orang-orang kaya itu. Ini adalah kerana mereka sangka apa yang dilakukan oleh golongan zalim itulah yang menyebabkan mereka berjaya.

Begitulah kalau orang kaya dan berkuasa menjadi zalim, ia akan merosakkan masyarakat kerana bukan mereka sahaja yang jadi perosak, tapi ramai lagi yang cuba untuk mengikut mereka.

 

وَكانوا مُجرِمينَ

dan mereka adalah orang-orang yang berdosa.

Allah kata mereka itu orang-orang yang berdosa, kerana mereka sudah tidak kisah mana benar dan mana tidak asalkan mereka dapat apa yang mereka mahu.


 

Ayat 117: Ayat takhwif duniawi.

وَما كانَ رَبُّكَ لِيُهلِكَ القُرىٰ بِظُلمٍ وَأَهلُها مُصلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord would not have destroyed the cities unjustly while their people were reformers.

(MALAY)

Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

Allah tidak akan binasakan dengan azab sedangkan penduduk itu memperbaiki umat Islam yang lain.

Kalimah مُصلِحونَ adalah mereka yang melakukan kebaikan, dan buat kebaikan untuk orang lain, bukan dirinya sendiri sahaja. Ini adalah kerana kalau mereka sahaja yang baik, itu dipanggil soleh; tapi apabila mereka menyebarkan kebaikan itu barulah dipanggil مُصلِحونَ. Maka kalau kita hendak semuanya selamat, maka kita kenalah menyebarkan kebaikan di dunia ini.

Di dalam sebuah hadis disebutkan:

“إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الْمُنْكِرَ فَلَمْ يُغَيِّرُوهُ، أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُم اللَّهُ بِعِقَابٍ”

Sesungguhnya manusia itu apabila melihat perkara mungkar, lalu mereka tidak mencegahnya, nescaya dalam waktu yang dekat Allah akan menimpakan seksaan secara umum kepada mereka.

Maka janganlah kita lupakan tanggungjawab kita untuk menegakkan amar makruf dan nahi mungkar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s